PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, June 25, 2008

Utk bakal2 mak mertua & juga anak pompan dia eh...

Assalamu'alaikum & Salam sejahtera...

Al kisah aderla satu hari tu, members saya satu ni tepon nak jemput saya ke majlis dia... Saya pon tanya ler.. "Amacam geng, semua dah siap?" Dia cakap "Parah beb, gua kayap siak ni bulan... 20 ribu dah abis siot.." HAAA?!? 20 RIBU?!?! Mak oi..

Hidop kat singapore tu memang ler mahal dan kekadang tu pasangan tak jadi kahwin pasal duit tak cukop atau pon duit yang ade tu diorang tak bleh agree nak digunakan untuk apa..

Maknernyer, diorang plan nak buat majlis kan, abih tak boleh agree with each other, so they bergaduh & bertekak & salahkan mak bapak each other and at last, tak jadi kahwin....


Al kisahhh... Tapi kan, saya heran tau.. pasangan sekarang lebih stress memikirkan majlis ini daripader memikirkan maser depan dan hala tujuan hidup bersamer selepas nikah. Heran eh?? Diorang ingat lepas kawin life stops there ke?? Hmm.. ok, that's a different story..

So getting back pasal duit nie kan, tak ikut market price nanti orang kata kedekut lah, sengkek lah, tak mampu jangan ada hati nak kahwin lah, akak kau tak mampu, aku laki la, hai... Macam-macam story lagi...

Biasanyakan, yang letak harga ialah mak sebelah pompan. Bapak confirm mesti orait.. ikutkan aje. Kadang2 ada jugak pompan sendiri yang letak harga, lepas tu pakat dengan mak, revenue sharing 50/50. Hurhurhur...

Mengikut survey kedai kopi pat Jurong West St 42, sekarang hantaran paling minimum ialah SGD$7000. Maximum sampai $25,000 pon ade. Dasyat beb.. Dah lah Singapore ni mahal giler.. Macam mane couple tak bertekak.. Nak tahu apasal mahal?

Mengikut Survey Kedai Gunting Teban Gardens, hantaran sekarang makin mahal pasal;
1. Anak pompan sorang
2. Anak pompan sekolah tinggi sampai tingkat 20
3. Anak pompan paling jambu dalam family
4. Anak pompan kerja lawyer/doctor/CEO
5. Anak pompan biasa pakai barang branded
6. Anak pompan yang pandai masak, kemas rumah, layan suami sampai suami takmo gi kerja
7. Kakak belum kahwin; jadi kena sponsor kakak kawin jugak.. nanti lemau..
8. Anak pompan tu banyak yang melamar, semuanya hensem-hensen + kaya..

Mengikut survey Kedai Basikal Chai Chee, selalunya jawapan yang diberi oleh pihak lelaki kalau hantaran melampau sangat ialah;
1. Bapak Rock - "Lu giler ka pa beb"
2. Bapak Mithali -"Astarghfirullah.."
3. Bapak Bintang TV - "TTIIDDDAAAAKKKKKK!!!!!!"
4. Bapak Gangster/Tailong - "Masih virgin ke tak ni lu penyer girl, macam wa pernah nampak jer.."
5. Bapak Bisnesman - "We're sorry but the returns of our investment is definitely less than 20%..."
6. Bapak Lembik - "mahal la.. macam mane nie darling?" sambil membisik kat Isterinya...
7. Bapak Garang - "APAAAA?!?! AAPPAAAAAA??!! CUBA KAU CAKAP LAGI SEKALI!!!??"
8. Bapak Gerek - "HAHAHA! Lupakan sudah... Takpe Roy, nanti bapak recommend yang lebih power dari Ashwarya Rai eh?"

Mengikut survey Warung Nasi Lemak Bussorah Street, kata2 dari sebelah pompan yang lelaki ingin sangat nak dengar ialah;
1. "Ikut suka hatilah. Berapa yang lelaki kasi; kita ambik je. Makcik ngan pakcik kau nie tak cerewet."
2. "Takpelah. Kalau tak boleh adakan sekarang; kahwin dulu. Lepas tu bayar pelan-pelan cara instalment."
3. "Jangan bimbang. Korang cuma adakan hantaran je. Duit majlis semua kita sponsor."
4. "Pasal makcik kau ngan pakcik kau nie suka sangat kat kau, kita ikhlas..."
5. "Berapa korang nak kasi, kasilah. Nak ambik free pun takpe. Anak pompan kita ramai lagi."

Mengikut survey Mat Despatch Gathering @ Waterloo St, kalau kena pulak family lelaki yang loaded makan tak abis punya; jawapannya:
1. "Okay setuju. Kita up lagi $10,000. Ditanggung beresss."
2. "Ehh sikit nah! Camni tak nak lah. Malu la kawin hantaran $10,000. Kami OKB tau!"
3. "Brape? Gitau je?"
4. "Darling, amikkan cheque book abang tu.. "
5. "Sebagai hadiah upacara masuk minang ni; kita ada siapkan kereta 5 bijik. Tu anak bujang kita tengah parking semua kat bawah tu."
6. "Sebagai hadiah upacara masuk minang ni; kita ada siapkan kereta 5 bijik, 3 bijik TV LCD 50 inci, 2 tiket penerbangan ke..."

Haa... tu lah beberapa kerenah orang melayu kita ni. Hati dah suka punya pasal, semua boleh aje. Cukup time tak larat nak naik pelamin pasal kerja tiga empat macam untuk kumpul duit. Ada pulak tu.. yg terpaksa amik personal loan la, 0% installment Bank la, atau pakai credit card. Honeymoon pon utang.. Lepas kawin, dah balik dari honeymoon, kepala teros sewel, pikir nak bayar hutang and at the end of it, tak tercapai lah maksud perkahwinan yg sepatutnya semakin memudahkan kehidupan.. dah terbalik.. jadi semakin susah...

So amacam geng, korang sumer dah ready nak kawin??
Gua tengah serabut nih.. hahaha... adoyaiii.....

-ibnumustafa-

Tuesday, June 24, 2008

Tangisan Rasulullah S.A.W menggegarkan Arasy...

Assalamu'alaikum & Salam sejahtera...

Untuk renungan bersama. Semoga ianya memberi manfaat yang berguna kepada kita.

Jika harta yang hilang dari diri seseorang, maka tiada apa pun yang hilang, Jika kesihatan yang hilang dari diri seseorang, maka ada sesuatu yang hilang, Tetapi jika akhlak yang hilang dari diri seseorang, maka segala-galanya telah hilang dari diri seseorang.

"Dikisahkan, bahawasanya di waktu Rasulullah SAW sedang asyik bertawaf di Ka'abah, beliau mendengar seseorang di hadapannya bertawaf, sambil berzikir: "Ya Karim! Ya Karim!" Rasulullah SAW menirunya membaca "Ya Karim! Ya Karim!" Orang itu lalu berhenti di salah satu sudut Ka'abah, dan berzikir lagi: "Ya Karim! Ya Karim!" Rasulullah SAW yang berada di belakangnya mengikut zikirnya "Ya Karim! Ya Karim!" Merasa seperti diolok-olokkan, orang itu menoleh ke belakang dan terlihat olehnya seorang laki-laki yang gagah, lagi tampan yang belum pernah dikenalinya. Orang itu lalu berkata: "Wahai orang tampan! Apakah engkau memang sengaja memperolok-olokkanku, kerana aku ini adalah orang Arab badwi? Kalaulah bukan kerana ketampananmu dan kegagahanmu, pasti engkau akan aku laporkan kepada kekasihku, Muhammad Rasulullah." Mendengar kata-kata orang badwi itu, Rasulullah SAW tersenyum, lalu bertanya: "Tidakkah engkau mengenali Nabimu, wahai orang Arab?" "Belum," jawab orang itu. "Jadi bagaimana kau beriman kepadanya?" "Saya percaya dengan mantap atas kenabiannya, sekalipun saya belum pernah melihatnya, dan membenarkan perutusannya, sekalipun saya belum pernah bertemu dengannya," kata orang Arab badwi itu pula. Rasulullah SAW pun berkata kepadanya: "Wahai orang Arab! Ketahuilah aku inilah Nabimu di dunia dan penolongmu nanti di akhirat!" Melihat Nabi di hadapannya, dia tercengang, seperti tidak percaya kepada dirinya. "Tuan ini Nabi Muhammad?!" "Ya" jawab Nabi SAW. Dia segera tunduk untuk mencium kedua kaki Rasulullah SAW. Melihat hal itu, Rasulullah SAW menarik tubuh orang Arab itu, seraya berkata kepadanya: "Wahal orang Arab! janganlah berbuat serupa itu. Perbuatan serupa itu biasanya dilakukan oleh hamba sahaya kepada tuannya, Ketahuilah, Allah SWT mengutusku bukan untuk menjadi seorang yang takabbur yang meminta dihormati, atau diagungkan, tetapi demi membawa berita gembira bagi orang yang beriman, dan membawa berita menakutkan bagi yang mengingkarinya." Ketika itulah, Malaikat Jibril AS turun membawa berita dari langit dia berkata: "Ya Muhammad! Tuhan As-Salam mengucapkan salam kepadamu dan bersabda: "Katakanlah kepada orang Arab itu, agar dia tidak terpesona dengan belas kasih Allah. Ketahuilah bahawa Allah akan menghisabnya di hari Mahsyar nanti, akan menimbang semua amalannya, baik yang kecil mahupun yang besar!" Setelah menyampaikan berita itu, Jibril kemudian pergi. Maka orang Arab itu pula berkata: "Demi keagungan serta kemuliaan Tuhan, jika Tuhan akan membuat perhitungan atas amalan hamba, maka hamba pun akan membuat perhitungan dengannya!" kata orang Arab badwi itu. "Apakah yang akan engkau perhitungkan dengan Tuhan?" Rasulullah SAW bertanya kepadanya. "Jika Tuhan akan memperhitungkan dosa-dosa hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa kebesaran maghfirahnya," jawab orang itu. "Jika Dia memperhitungkan kemaksiatan hamba, maka hamba akan memperhitungkan betapa keluasan pengampunan-Nya. Jika Dia memperhitungkan kekikiran hamba, maka hamba akan memperhitungkan pula betapa kedermawanannya!". Mendengar ucapan orang Arab badwi itu, maka Rasulullah SAW pun menangis mengingatkan betapa benarnya kata-kata orang Arab badwi itu, air mata beliau meleleh membasahi janggutnya. Lantaran itu Malaikat Jibril AS turun lagi seraya berkata: "Ya Muhammad! Tuhan As-Salam menyampaikan salam kepadamu, dan bersabda: "Berhentilah engkau dari menangis! Sesungguhnya kerana tangismu, penjaga Arasy lupa dari bacaan tasbih dan tahmidnya, sehingga ia bergoncang. Katakan kepada temanmu itu, bahawa Allah SWT tidak akan menghisab dirinya, juga tidak akan memperhitungkan kemaksiatannya. Allah SWT sudah mengampuni semua kesalahannya dan la akan menjadi temanmu di syurga nanti!" Betapa sukanya orang Arab badwi itu, apabila mendengar berita tersebut, lalu menangis kerana tidak berdaya menahan keharuan dirinya." Kalau tidak keberatan....

Kepada rakan-rakan, saya berharap semoga dapat menyampaikan ilmu dan cerita ini kepada saudara Muslim Muslimat kita yang lain agar menjadi renungan dan pelajaran kepada kita semua. Ilmu yang bermanfaat ialah salah satu amal yang berkekalan bagi orang yang mengajarnya meskipun dia sudah meninggal dunia...

-ibnumustafa-

Dajjal Laknatullah...

Assalamu'alaikum & Salam sejahtera...

Saya tidak tahu kesahihan kisah ini. Kalau ada sesiapa yang boleh beritahu saya kesahihan cerita ini diucapkan terima kasih. Semoga kisah ini mampu menjadi panduan untuk kita semua...

Dari Abi Umamah Al-Bahiliy, beliau berkata:

"Rasulullah SAW telah berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda banyak menyentuh masalah dajjal. Baginda telah bersabda: "Sesungguhnya tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain daripada fitnah yang dibawa oleh dajjal.” Setiap nabi yang diutus oleh Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang dajjal. Aku adalah Nabi yang terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah pembela bagi setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah akan menjaga orang-orang mukmin. Dajjal itu nanti akan datang dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan akan mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah, wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan aku terangkan kepada kamu ciri-ciri dajjal yang belum diterangkan oleh Nabi-Nabi sebelumku kepada umatnya. Pada mulanya nanti dajjal itu mengaku dirinya sebagai Nabi. Ingatlah, tidak ada Nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah tidak cacat, bahkan tidak sama dengan baru. Dan juga diantara dua mata dajjal itu tertulis K-A-F-I-R yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang pandai membaca atau buta huruf. Di antara fitnah dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka. Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni panas. Sesiapa diantara kamu yang diseksanya dengan nerakanya, hendaklah dia membaca pangkal surah Al-Kahfi, nescaya nerakanya itu akan sejuk sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim AS itu menjadi sejuk. Diantara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab; "Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai Tuhanmu?." Orang Arab itu akan berkata: "Tentu.". Maka syaitan pun datang menyamar seperti ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama malah suaranya pun sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutlah dia, sesungguhnya dialah Tuhanmu." Diantara tipu dayanya itu juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia belah dua. Setelah itu dikatakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa yang akan aku lakukan terhadap hambaku ini. "Sekarang akan aku hidupkan dia semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian dajjal itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang tadi yang kebetulan beriman menjawab: "Tuhanku adalah Allah sedangkan kamu adalah musuh Allah. Kami telah diperingatkan oleh Rasulullah tentang kedatanganmu di akhir zaman." Mendengar yang demikian itu dajjal marah dan cuba membunuhnya lagi tetapi tidak sanggup. Akhirnya mencampakkan orang mukmin tadi kedalam nerakanya. Orang itu telah lulus dalam ujian Allah SWT dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga. Di antara tipu dayanya itu juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan, dengan izin Allah SWT tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh supaya bumi mengeluarkan tumbuh-tumbuhan, dengan izin Allah SWT tiba-tiba tumbuh. Dajjal tersebut datang ke perkampungan orang-orang baik dan mereka tidak mengakunya sebagai Tuhan, maka disebabkan demikian tanam-tanaman mereka tidak menjadi. Dajjal tersebut pergi ke perkampungan orang-orang yang percaya kepadanya dan penduduk kampung tersebut mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan demikian Dengan izin Allah SWT hujan pun turun di tempat mereka dan Dengan izin Allah SWT juga tanam-tanaman mereka pun menjadi. Tiada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi dajjal kecuali Makkah dan Madinah kerana kedua-dua kota tersebut dikawal oleh Malaikat. Ketika dajjal datang ke pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan dan tidak tahan lagi tinggal di Madinah dan mereka keluar dan pergi bergabung dengan para pengikut dajjal. Inilah yang dikatakan hari pembersihan kota Madinah.

-ibnumustafa-

Kisah Wahyu Terakhir Kepada Rasulullah S.A.W.

Assalamualaikum & Salam Sejahtera..

Diriwayatkan bahawa surah AI-Maaidah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu asar iaitu pada hari Jumaat di padang Arafah pada musim haji penghabisan [Wada*].

Pada masa itu Rasulullah SAW berada di Arafah di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah SAW tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. Kemudian Rasulullah SAW bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan.

Setelah itu turun Malaikat Jibril AS dan berkata:

"Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan demikian juga apa yang terlarang olehnya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."

Sebaik sahaja Malaikat Jibril AS pergi maka Rasulullah SAW pun berangkat ke Mekah dan terus pergi ke Madinah. Setelah Rasulullah SAW mengumpulkan para sahabat beliau, maka Rasulullah SAW pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh Malaikat Jibril AS. Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata:

"Agama kita telah sempurna. Agama kila telah sempuma."

Apabila Abu Bakar RA mendengar keterangan Rasulullah SAW itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar RA menangis dari pagi hingga ke malam.

Kisah tentang Abu Bakar RA menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di hadapan rumah Abu Bakar RA dan mereka berkata:

"Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Sepatutnya kamu berasa gembira sebab agama kita telah sempuma."

Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar RA pun berkata:

"Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesualu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ianya menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah SAW. Hasan dan Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi menjadi janda."

Selelah mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar RA maka sedarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar RA, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus beritahu Rasulullah SAW tentang apa yang mereka lihat itu. Berkata salah seorang dari para sahabat:

"Ya Rasulullah SAW, kami baru balik dari rumah Abu Bakar RA dan kami mendapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di hadapan rumah beliau."

Apabila Rasulullah SAW mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah SAW dan dengan bergegas beliau menuju ke rumah Abu Bakar RA.

Sebaik sahaja Rasulullah SAW sampai di rumah Abu Bakar RA maka Rasulullah SAW melihat kesemua mereka yang menangis dan bertanya:

"Wahai para sahabatku, kenapakah kamu semua menangis?"

Kemudian Ali KW berkata:

"Ya Rasulullah SAW, Abu Bakar RA mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?"

Lalu Rasulullah SAW berkata:

"Semua yang dikata oleh Abu Bakar RA adalah benar, dan sesungguhnya masa untuk aku meninggalkan kamu semua telah hampir dekat."

Sebaik sahaja Abu Bakar RA mendengar pengakuan Rasulullah SAW, maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali KW pula mengeletar seluruh tubuhnya. Dan para sahabat yang lain menangis dengan sekuat-kuat yang mereka mampu. Sehingga gunung-gunung, batu-batu, semua malaikat yang dilangit, cacing-cacing dan semua binatang baik yang di darat mahu-pun yang di laut turut menangis.

Kemudian Rasulullullah SAW bersalam dengan para sahabat satu demi satu dan berwasiat kepada mereka. Kisah Rasulullah SAW mengalami hidup selepas turunnya ayat tersebut, ada yang mengatakan 81 hari, ada pula yang mengatakan beliau hidup sehingga 50 hari selepas turunnya ayat tersebut, ada pula yang mengatakan beliau hidup selama 35 hari dari ayat tersebut diturunkan dan ada pula yang mengatakan 21 hari.

Pada saat sudah dekat ajal Rasulullah SAW, beliau menyuruh Bilal RA azan untuk mengerjakan solat, lalu berkumpul para Muhajirin dan Ansor di masjid Rasulullah SAW. Kemudian Rasulullah SAW menunaikan solat dua raka'at bersama semua yang hadir. Setelah selesai mengerjakan solat beliau bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata:

"Alhamdulillah, wahai para muslimin, sesungguhnya saya adalah seorang nabi yang diutus dan mengajak orang kepada jalan Allah dengan izinnya. Dan saya ini adalah sebagai saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah. Oleh itu kalau ada sesiapa yang mempunyai hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun dan membalasi saya sebelum saya dituntut di hari kiamat."

Rasulullah SAW berkata demikian sebanyak 3 kali kemudian bangunlah seorang lelaki yang bernama 'Ukasyah bin Muhshan dan berkata:

"Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah SAW, kalau anda tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu saya tidak mahu mengemukakan hal ini."

Lalu 'Ukasyah berkata lagi:

"Sesungguhnya dalam Perang Badar saya bersamamu ya Rasulullah SAW, pada masa itu saya mengikuti unta anda dari belakang, setelah dekat saya pun turun menghampiri anda dengan tujuan supaya saya dapat mencium paha anda, tetapi anda telah mengambil tongkat dan memukul unta anda untuk berjalan cepat, yang mana pada masa itu saya pun anda pukul pada tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu sama ada anda sengaja memukul saya atau hendak memukul unta tersebut."

Rasulullah SAW berkata:

"Wahai 'Ukasyah, Rasulullah SAW sengaja memukul kamu."

Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Bilal RA:

"Wahai Bilal RA, kamu pergi ke rumah Fatimah RA dan ambilkan tongkat aku ke mari."

Bilal RA keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah RA sambil meletakkan tangannya di atas kepala dengan berkata:

"Rasulullah SAW telah menyediakan dirinya untuk dibalas [diqisos]."

Setelah Bilal RA sampai di rumah Fatimah RA maka Bilal RA pun memberi salam dan mengetuk pintu. Kemudian Fatimah RA menyahut dengan berkata:

"Siapakah di pintu?."

Lalu Bilal RA berkata:

"Saya Bilal, saya telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk mengambil tongkat beliau."

Kemudian Fatimah RA berkata:

"Wahai Bilal RA, untuk apa ayahku minta tongkatnya."

Berkata Bilal RA:

"Wahai Fatimah RA, Rasulullah SAW telah menyediakan dirinya untuk diqisos."

Bertanya Fatimah RA lagi:

"Wahai Bilal RA, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqisos Rasulullah SAW?."

Bilal RA tidak menjawab pertanyaan Fatimah RA, sebaik sahaja Fatimah RA memberikan tongkat tersebut, maka Bilal RA pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah SAW.
Setelah Rasulullah SAW menerima tongkat tersebut dari Bilal RA maka beliau pun menyerahkan kepada 'Ukasyah. Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar RA dan Umar RA tampil ke hadapan sambil berkata:

"Wahai 'Ukasyah, janganlah kamu qisos Baginda SAW tetapi kamu qisoslah kami berdua."

Apabila Rasulullah SAW mendengar kata-kata Abu Bakar RA dan Umar RA maka dengan segera beliau berkata:

"Wahai Abu Bakar RA, Umar RA, duduklah kamu berdua sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua."

Kemudian Ali KW bangun, lalu berkata:

"Wahai 'Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah SAW oleh itu kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqisos Rasulullah SAW"

Lalu Rasulullah SAW berkata:

"Wahai Ali KW, duduklah kamu sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu."

Setelah itu Hasan RA dan Husin RA bangun dengan berkata:

"Wahai 'Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah SAW, kalau kamu menqisos kami sama dengan kamu menqisos Rasulullah SAW."

Mendengar kata-kata cucunya Rasulullah SAW pun berkata:

"Wahai buah hatiku, duduklah kamu berdua."

Berkata Rasulullah SAW;

"Wahai 'Ukasyah pukullah aku kalau kamu hendak memukul."

Kemudian 'Ukasyah berkata:

"Ya Rasulullah SAW, kamu telah memukul aku sewaktu aku tidak memakai baju."

Maka Rasulullah SAW pun membuka baju, sebaik sahaja Rasulullah SAW membuka baju maka menangislah semua yang hadir.
Sebaik sahaja 'Ukasyah melihat tubuh badan Rasulullah SAW maka ia pun mencium beliau dan berkata;

"Aku tebus dirimu dengan jiwaku, ya Rasulullah SAW. Siapakah yang sanggup memukulmu. Aku melakukan begini adalah sebab aku hendak menyentuh badanmu yang dimuliakan oleh Allah SWT dengan badanku. Dan Allah SWT menjagaku dari neraka dengan kehormatanmu."

Kemudian Rasulullah SAW berkata:

"Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya."

Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata:

"Wahai 'Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah SAW di dalam syurga."

Apabila ajal Rasulullah SAW makin hampir maka beliau pun memanggil para sahabat ke rumah Siti Aisyah RA dan beliau berkata:

"Selamat datang kamu semua semoga Allah SWT mengasihi kamu semua, aku berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada Allah SWT dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara aku dengan kamu semua hampir dekat, dan dekat pula saat kembalinya seorang hamba kepada Allah SWT dan menempatkannya di syurga. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali KW yang memandikanku, Fadhl bin Abas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kamu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku di atas balai tempat tidurku dalam rumahku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku. Pertama yang akan mensolatkan aku ialah Allah SWT, kemudian yang akan mensolatkan aku ialah Jibril AS, kemudian diikuti oleh malaikat Israfil AS, malaikat Mikail AS, dan yang akhir sekali malaikat lzrail AS berserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu semua masuk beramai-ramai bersolat ke atasku."

Sebaik sahaja para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada yang keras dan berkata:

"Ya Rasulullah SAW, kamu adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini kamu memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila kamu sudah tiada nanti kepada siapakah yang akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?"

Kemudian Rasulullah SAW berkata:

"Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah AI-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada AI-Quran dan Hadithku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pengajaran dari mati."

Setelah Rasulullah SAW berkata demikian, maka sakit Rasulullah SAW bermula. Dalam bulan safar Rasulullah SAW sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah SAW diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah SAW bertambah berat, setelah Bilal RA selesaikan azan subuh, maka Bilal RA pun pergi ke rumah Rasulullah SAW. Sesampainya Bilal RA di rumah Rasulullah SAW maka Bilal RA pun memberi salam:

"Assalamualaika ya Rasulullah."

Lalu dijawab oleh Fatimah RA:

"Rasulullah SAW masih sibuk dengan urusan beliau."

Setelah Bilal RA mendengar penjelasan dari Fatimah RA maka Bilal RA. pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah RA itu.

Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal RA pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah SAW dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal RA telah di dengar oleh Rasulullah SAW dan baginda berkata;

"Masuklah wahai bilal RA, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar RA mengimamkan solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir."

Setelah mendengar kata-kata Rasulullah SAW maka Bilal RA pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata:

"Aduh musibah."

Sebaik sahaja Bilal RA sarnpai di masjid maka Bilal RA pun memberitahu Abu Bakar RA tentang apa yang telah Rasulullah SAW katakan kepadanya.

Abu Bakar RA tidak dapat menahan dirinya apabila ia melihat mimbar kosong maka dengan suara yang keras Abu Bakar RA menangis sehingga ia jatuh pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah dalam masjid, sehingga Rasulullah SAW bertanya kepada Fatimah RA;

"Wahai Fatimah apakah yang telah berlaku?"

Maka Fatimah RA pun berkata:

"Kekecohan kaum muslimin, sebab dirimu tidak pergi ke masjid."

Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali RA dan Fadhl bin Abas, lalu Rasulullah SAW bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah SAW sampai di masjid maka beliau pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.

Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah SAW pun berkata:


"Wahai kaum muslimin, kamu semua sentiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah SWT, oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah SWT dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia."

Setelah berkata demikian maka Rasulullah SAW pun pulang ke rumah beliau. Kemudian Allah SWT mewahyukan kepada Malaikat lzrail AS:

"Wahai lzrail AS, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut rohnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah lerlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masukilah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak izinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali padaku."

Sebaik sahaja Malaikat lzrail AS mendapat perintah dari Allah SWT maka Malaikal lzrail AS pun turun dengan menyerupai orang Arab Badwi. Setelah Malaikat lzrail AS sampai di hadapan rumah Rasulullah SAW maka ia pun memberi salam:

"Assalamualaikum yaa ahia baitin nubuwwati wa ma danir risaalati a adkhulu?"

(Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu semua sekalian, wahai penghuni rumah nabi dan sumber risalah, bolehkan saya masuk?)

Apabila Fatimah RA mendengar orang memberi salam maka ia-pun berkata;

"Wahai hamba Allah, Rasulullah SAW sedang sibuk sebab sakitnya yang semakin berat."

Kemudian Malaikat lzrail AS berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali ini seruan malaikat itu telah didengar oleh Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW bertanya kepada Fatimah RA:

"Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu."

Maka Fatimah RA pun berkata:

"Ya Rasulullah SAW, ada seorang Arab badwi memanggilmu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa kamu sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandangmu dengan tajam sehingga aku merasa menggigil seluruh badanku."

Kemudian Rasulullah SAW berkata;

"Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?"

Jawab Fatimah;

"Tidak ayahku."

Maka jawab Rasulullah SAW;

"Dia adalah Malaikat lzrail AS, Malaikat yang akan memutuskan segala macam nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan semua rumah serta meramaikan kubur."

Fatimah RA tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya.

Apabila Rasulullah SAW mendengar tangisan Fatimah RA maka beliau pun berkata:

"Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku."

Kemudian Rasulullah SAW pun menjemput Malaikat lzrail AS masuk. Maka Malaikat lzrail AS pun masuk dengan mengucap:

"Assalamualaika Ya Rasulullah."

Lalu Rasulullah SAW menjawab:

"Waalaikassalamu, wahai lzrail AS engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut rohku?"

Maka berkata Malaikat lzrail AS:

"Kedatanganku adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut rohmu, itupun kalau kamu izinkan, kalau kamu tidak izinkan maka aku akan kembali."

Berkata Rasulullah SAW:

"Wahai lzrail AS, di manakah kamu tinggalkan Jibril AS?"

Berkata lzrail AS:

"Saya tinggalkan Jibril AS di langit dunia, semua para malaikat sedang memuliakan dia."

Tidak beberapa saat kemudian Jibril AS pun turun dan duduk dekat di kepala Rasulullah SAW. Apabila Rasulullah SAW melihat kedatangan Jibril AS maka Rasulullah SAW pun berkata:

"Wahai Jibril AS, tahukah kamu bahawa ajalku sudah dekat"

Berkata Jibril AS:

"Ya aku memang tahu."

Rasulullah SAW bertanya lagi:

"Wahai Jibril AS, beritahu kepadaku kemuliaan yang menggembirakan aku disisi Allah SWT."

Berkata Jibril AS:

"Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti rohmu dilangit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua para bidadari sudah berhias menanti kehadiran rohmu."

Berkata Rasulullah SAW:

"Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti."

Berkata Jibril AS:

"Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga."

Berkata Rasulullah SAW:

"Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku."

Kemudian Rasulullah SAW berkata:

"Wahai lzrail AS, dekatlah kamu kepadaku."

Selelah itu Malaikat lzrail AS pun memulakan tugasnya, apabila rohnya sampai pada pusat, maka Rasulullah SAW pun berkata:

"Wahai Jibril AS, alangkah dahsyatnya rasa mati."

Jibril AS mengalihkan pandangannya dari Rasulullah SAW apabila mendengar kata-kata beliau itu. Melihatkan telatah Jibril AS itu maka Rasulullah SAW pun berkata:

"Wahai Jibril AS, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?"

Jibril AS berkata:

"Wahai kekasih Allah, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?"

Anas bin Malik RA berkata:

"Apabila roh Rasulullah SAW telah sampai di dada beliau telah bersabda: "Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu."

Ali KW berkata:

"Sesungguhnya Rasulullah SAW ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau sebanyak dua kali, dan aku meletakkan telinga, aku dengar Rasulullah SAW berkata: "Umatku, umatku."

Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa:

"Malaikat Jibril AS telah berkata kepadaku; "Wahai Muhammad SAW, sesungguhnya Allah SWT. telah menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu."

-ibnumustafa-

Lidah Tergamam Apabila Tangan Bertutur...

Assalamu'alaikum & Salam Sejahtera..

Kehidupan di dunia ibarat sebuah madrasah pengajian, segala ilmu diajar untuk memberi peluang kepada manusia bagi melengkapkan perbendaharaan ilmu masing-masing. Allah SWT menyediakan tenaga pengajar yg cukup mahir terdiri daripada para Anbiya dan juga Rasul AS dan kemudiannya disambung pula tugas mulia itu oleh para ulama' sehingga Hari Qiamat.


Justeru Tuhan telah melengkapkan segala keperluan untuk manusia melepaskan diri dari kejahilan, sehingga tidak seorang pun didataran Mahsyar kelak boleh berdalih untuk menyatakan bahawa tidak ada kemudahan untuk menimba ilmu, dan tidak mungkin dapat menafikan bahawa para Rasul AS telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna, kerana setiap Rasul AS itu memiliki sifat tabligh yakni menyampaikan setiap wahyu yang dikurniakan oleh Allah SWT.


Para Rasul AS sudah menyediakan garis panduan yang selengkapnya, dan menunjukkan jalan-jalan lurus dan selamat yang mesti dilalui oleh manusia. Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yang lurus, para Rasul AS juga memberikan beberapa amaran adanya bahaya jalan yang berliku dan bersimpang-siur itu agar manusia berwaspada kerana jalan yang bersimpang-siur itu boleh menyebabkan manusia tersesat jalan.


Firman Allah SWT di dalam surah al-An’aam ayat 153 yang bermaksud;


“Dan bahawa inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia dan janganlah kamu tempuhi jalan yang lain, kerana jalan yang bersimpang-siur itu akan mencerai-beraikan (menyesatkan) kamu dari jalan–Nya. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.”


Setelah dibentangkan dihadapan mereka jalan yang lurus andainya masih ada juga yang menyimpang ke jalan yang membawa mereka ke arah kesesatan, tiada siapa yang patut dipersalahkan, kecuali mereka patut menyalahkan diri sendiri serta mengakui bahawa mereka tidak mematuhi setiap petunjuk arah yang telah disediakan di sepanjang jalan itu.


Ketika manusia terdampar di dataran Mahsyar jutaan tahun (menurut ukuran masa dunia), di kala mengharungi kesengsaraan yang amat dashyat, ramai di kalangan penghuni Mahsyar yang terkenangkan kampung halaman. Mereka menyesali diri kerana memandang sepi seruan para Rasul AS dahulu, dan bersikap dingin kerana seruan dakwah oleh para ulama' terhadap para penyeru ke jalan Allah SWT.


Setelah mereka menyaksikan setiap perkara di Mahsyar teringatlah akannya kebenaran hari Qiamat yang diberitahu oleh para Rasul AS dahulu. Dalam ratapan ahli Mahsyar, merintih merayu kepada Tuhan agar memberi peluang mereka kembali ke dunia walau sejenak untuk memperbaiki keimanan dan melakukan amal soleh, seperti yang digambarkan di dalam Al-Quran surah As-Sajadah ayat 12; yang bermaksud;


“Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, mereka berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin”.


Kesedaran yang terlewat hanyalah penyesalan yang tidak berfaedah, kerana planet bumi untuk tempat kembali seperti yang dirayu oleh ahli Mahsyar itu sudah hancur. Manusia ingin pulang ke dunia, tetapi tidakkah mereka datang dari dunia? Apakah yang menyebabkan mereka abai terhadap kesempatan yang Tuhan berikan untuk hidup didunia dahulu?


Rasulullah SAW bersabda yg bermaksud: Dihari akhirat Tuhan akan bertanya kepada setiap manusia:


"Hai manusia, bukankah Aku telah kurniakan kepada engkau kemeriahan masa remaja? Untuk apakah kamu habiskan masa remajamu? Tidakkah Aku telah kurniakan umur yang panjang? Untuk apa umurmu itu kamu pergunakan? Bukankah telah Aku kurniakan rezeki yang melimpah? Tetapi untuk apa kamu habiskan harta itu? Bukankah Aku telah berikan kamu ilmu? Tetapi untuk apa ilmu itu kamu gunakan?"


Empat soalan penting yang dikemukakan oleh Allah SWT di akhirat ialah yang pertamanya mengenai alam remaja, suatu lembaran hidup selepas bermulanya taflik syarak. Tuhan tidak menanyakan seseorang tentang alam kanak-kanak kerana usia kanak-kanak belum diberi beban atau tanggungjawab memikul suruhan dan larangan yang terkandung di dalam syariat.


Alam remaja merupakan zaman kejutan kepada suatu perubahan emosi, saat remaja mulai terdedah dengan persoalan kejantinaan. Suatu cabaran baru mengenai panduan, kawalan dan kejayaan dalam menghadapi masa remaja bergantung kepada sejauh mana kefahaman supaya mampu mengendalikan kehidupan yang lurus.


Runtunan masa remaja akan menjadi asas yang kukuh untuk menghadapi cabaran usia yang berikutnya, tetapi kegagalannya akan menjadi titik hitam yang merumitkan, terutama ketika menyediakan jawapan terhadap soalan yang bakal dikemukakan oleh Allah SWT di hari Mahsyar kelak.


Apabila menempuh usia dewasa dan hari tua, bererti Tuhan telah mengurniakan umur yang panjang. Mengharungi kehidupan yang panjang bererti lebih banyak peranan yang harus dipikul.


Sebagai individu insan, berbagai kelengkapan perlu disediakan, iaitu iman yang berasaskan ilmu wahyu, amal soleh merupakan buah kepada ilmu.


Sebagai ketua keluarga dia adalah ‘murabbi’, yang memikul peranan dan tanggungjawab memimpin rumahtangga, mengasuh keluarga dengan didikan berasas ketaqwaan.


Sebagai anggota masyarakat, dia mempunyai peranan sebagai pemimpin yang mengajak manusia ke arah mematuhi ajaran Islam, atau menjadi manusia yang sedia dipimpin dalam suatu wadah perjuangan Islam. Terlaksanakah semua beban kewajipan itu?


Selain itu, Tuhan menjanjikan rezeki kepada setiap hamba-Nya yang diciptakan di muka bumi ini. Manusia yang mempunyai peranan sebagai khalifah, adalah makhluk istimewa yg dikurniakan berbagai kekayaan dunia, samada kekayaan yang terpendam di perut bumi, kekayaan di lautan, kekayaan di daratan dan juga kekayaan di udara.


Tetapi semua itu hanyalah merupakan alat-alat yang mesti dipergunakan untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT. Bagaimana cara mendapatkan kekayaan harta tersebut, sama ada dgn cara betul dan halal atau cara yang terlarang. Untuk apa pula dipergunakan harta yang melimpah ruah, adakah untuk menjadi penghimpun kekayaan dan lupa daratan seperti Qarun, samada Qarun klasik atau Qarun moden.


Segala yang bersangkutan dengan harta kekayaan Allah SWT kurniakan itu, adalah di antara soalan yang mesti dijawab di dataran Mahsyar kelak. Harta halal yang terhimpun banyak, akan melambatkan seseorang memasuki syurga sebaliknya harta yang diperoleh dengan cara haram, akan menjadi api pembakar untuk dirinya sendiri di dalam neraka (wal iyazu billah).


Persoalan ke empat di dalam hadith Nabi SAW itu ialah mengenai ilmu. Tuhan bertanya;


"Bukankah Aku telah kurniakan engkau ilmu? Bagaimanakah ilmu itu dimanfaatkan?"


Sesungguhnya Allah SWT menjadikan manusia sebagai makhluk istimewa mengatasi makhluk yang lain hatta Malaikat sekalipun, tidak lain kerana manusia dikurniakan ilmu pengetahuan. Justeru itu manusia adalah makhluk sejak dari manusia pertama iaitu Adam AS.


Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 31;


"Dan Dia mengajarkan kepada Adam (ilmu) nama-nama (benda) seluruhnya, kemudian mengemukakan kepada Malaikat lalu berfirman “Sebutkanlah kepada–Ku nama benda–benda itu jika kamu memang dari golongan yang benar”.


Ternyata cabaran Allah SWT terhadap para Malaikat tentang kelebihan ilmu pengetahuan yang dikurniakan kepada Nabi Adam AS itu tidak dapat disahut oleh Malaikat AS, sebagaimana pengakuan Malaikat AS yang dinyatakan oleh Al-Quran surah al-Baqarah ayat 32; yang bermaksud;


“Mereka menjawab: Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain dari apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Bijaksana”.


Allah SWT mengiktiraf orang-orang yang berilmu kerana dengan ilmu itu Allah SWT telah mengangkatnya ke satu martabat yang tinggi, sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah Al-Mujadilah ayat 11; yang bermaksud;


"Wahai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", maka lapangkanlah, nescaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya Allah akan meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”


Di samping itu, Allah SWT juga menyifatkan orang yang jahil itu sebagai seteru-Nya seperti yang di perjelaskan oleh sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud;


“Orang alim itu adalah kekasih Allah sekalipun dia fasiq, sementara orang yang jahil itu adalah seteru Allah meskipun dia seorang ‘abid’."


Meskipun demikian Tuhan akan persoalkan juga tentang ilmu yg di kurniakan oleh Allah SWT terhadap hamba-Nya, kerana ilmu juga boleh digunakan untuk kebaikan yang memberi manfaat dan mengangkat darjat manusia. Sebaliknya ilmu juga boleh disalah gunakan, hingga mendatangkan malapetaka dan kebinasaan terhadap manusia sendiri. Terlalu banyak contoh manusia binasa oleh ilmu.


Demikianlah diantara beberapa perkara yang akan ditanya oleh Allah SWT di hari Mahsyar kelak, malah perilaku dan amalan baik atau sebaliknya tidak akan terkecuali walau sedikitpun.


Firman Allah SWT di dalam surah AL-Hijr ayat 92-93 yang bermaksud;


"Maka demi Tuhanmu Kami pasti akan menyoal mereka semuanya tentang apa yang telah mereka kerjakan dulu."


Soalan di hari Mahsyar bukanlah soalan bertaraf ijazah yang bagaimana sulit pun pasti akan dijawab oleh mereka yang menguasai ilmu.


Sesungguhnya soalan di dataran Mahsyar tidak akan terjawab oleh lidah, lantaran itu lidah yang petah tidak mendatangkan manfaat lagi. Sebaliknya yang bakal menjawab adalah setiap panca indera, iaitu tangan-tangan mereka, sementara kaki pula akan menjadi saksi bagi mengesahkan pengakuan yang telah mereka lakukan.


Firman Allah SWT di dalam surah Yaasin ayat 65; yang bermaksud;


"Pada hari Kami tutup mulut mereka, dan berkatalah kepada Kami tangan mereka dan memberi kesaksian kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan."


Sesungguhnya tergamamlah lidah apabila tangan dan anggota lain saling membuat pengakuan terhadap berbagai dosa yang telah dilakukan semasa di dunia dahulu...


-ibnumustafa-

Thursday, June 19, 2008

Menjelang 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat!

Assalamualaikum & salam sejahtera kepada semua,

Sempena menjelangnya 100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat ke atas lima buah negeri di Malaysia; Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan, marilah kita sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadhrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinNya jualah kita dapat menyambutnya dengan serba kesederhanaan, dan penuh pengertian bahawa kita telah mampu melalui hari-hari getir dan mencabar dengan penuh kesabaran dan keihklasan.

Sebagai rakyat yang memilih dan memerhati, marilah kita sama-sama berdoa padaNya memohong pertolongan agar segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada para pemimpin kita dapat dilaksanakan dengan penuh kesabaran dan keikhlasan terhadap Allah SWT dan rakyat walaupun saban hari kita semua menghadapi pelbagai cabaran dan ujian.

Atas dasar rakyat yang perihatin dan sentiasa memberi sokongan dan dokongan kepada para pemimpin Pakatan Rakyat di sini saya ingin merakamkan jutaan tahniah kepada kerajaan Pakatan Rakyat.

Semoga hubungan baik dan kerjasama diantara rakyat dengan kerajaan Pakatan Rakyat akan berterusan, oleh yang demikian dapatlah kita melihat kerajaan baru ini memikul amanah menjalankan tanggungjawabnya mentadbir negeri masing-masing dengan jayanya.

Selaku AMK Bahagian Nibong Tebal, bagi pihak pimpinan KeADILan Pulau Pinang, saya ulangi ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada rakyat Pulau Pinang, khususnya para pengundi yang mengundi calon-calon PKR, PAS dan DAP pada 8 Mac yang lalu sehingga kita beroleh kemenangan.

Kepada seluruh rakyat di bawah pemerintahan Pakatan rakyat, ayuhlah kita bangun gerakkan tenaga, sama-sama berganding bahu tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa, sama-sama membantu dan memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat, supaya seluruh agenda dan gerak kerjanya untuk kepentingan rakyat akan terlaksana dengan berkesan.
Yakinlah, pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat akan dapat menunaikan tanggungjawabnya, bagi menjamin hak-hak rakyat dapat dinikmati dengan saksama kerana ianya dilaksanakan berasas kepada prinsip-prinsip yang mulia seperti yang pernah diumumkan oleh MB Perak sebaik beliau dilantik menjawat jawatan tersebut pada 17 Mac yang lalu. Lima prinsip tersebut ialah beramanah, adil, telus, berintegriti dan berkebajikan.

Kita semua harus sedar bahawa, sejarah telah terukir buat julung-julung kalinya selepas lebih 50 tahun merdeka, negeri-negeri yang suatu masa dahulu di bawah Barisan Nasional (sebelumnya Perikatan) kini telah beralih tampuk pemerintahannya ke Pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat. Justeru itu bukanlah suatu perkara yang mudah untuk membuat perubahan dari semua segi dan aspek untuk kepentingan rakyat.

Namun begitu, menilai 100 hari Pakatan Rakyat memerintah, ia telah dapat menyesuaikan diri dan beransur-ansur membuat perubahan serta terus merapatkan diri kepada rakyat melalui berbagai-bagai langkah dan tindakan.

Tentunya semua ini dicapai, antaranya, hasil daripada kerjasama erat exco-exco dan Adun-adun ketiga-tiga parti rakan pakatan. Juga hasil daripada kesetiaan dan kerjasama erat sebahagian besar pegawai serta kakitangan kerajaan yang bersikap profesional dan penuh pengertian bersama-sama menjayakan gerak kerja kerajaan baru ini. Kerjasama erat seperti ini sewajarnya dapat diteruskan walaupun ada segelintir yang masih cuba melakukan halangan dan tidak menunjukkan keprofesionalan mereka dalam menjalankan tugas.

Selaku rakyat yang memilih dan memberi mandat, saya ingin menyeru kepada semua Adun dan Ahli Parliman dari kerajaan Pakatan Rakyat agar dapat memberikan khidmat yang lebih cemerlang kepada rakyat dan di samping itu bersama-sama bekerja keras memperkukuh parti.

Dan seperkara lagi suka saya ingatkan di sini, kepada seluruh warga negeri di bawah Pakatan Rakyat khusunya dari parti PKR, PAS dan DAP bahawa mereka perlu mengubah corak minda (mindset), iaitu kalau dulu kita berfikir sebagai pembangkang, maka kini kita mestilah berfikir sebagai pendokong kerajaan di lima negeri tersebut.

Tentunya tugas kita yang utama ialah membantu kerajaan Pakatan Rakyat menjayakan kerajaan baru ini serta membantu memberikan penerangan akan dasar-dasar serta wawasan kerajaan.

Untuk itu kepada ahli-ahli dari parti PKR, PAS dan DAP mestilah bersama-sama membantu wakil-wakil rakyat masing-masing menjalankan tugas demi untuk kepentingan rakyat. Pusat-pusat khidmat wakil rakyat di kawasan yang mereka memenanginya, hendaklah sentiasa memberikan perkhidmatan yang cemerlang dalam menangani masalah rakyat dan menyampaikan mesej kerajaan. Begitu juga di kawasan-kawasan DUN yang belum dimenangi, bekas-bekas calon pakatan rakyat hendaklah membuka pusat-pusat perkhidmatan yang sama untuk membantu menangani masalah rakyat dan mendengar serta menerima aduan-aduan.

Oleh kerana kita akan menghadapi pilihan raya umum setiap lima tahun sekali, maka secara tradisi dan lojiknya kita akan meminta mandat kembali dari rakyat lima tahun dari sekarang. Justeru itu kita mestilah berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji yang dirakam dalam manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat tempoh hari.

Tidak syak lagi, jika kita telah memenuhi janji dan rakyat melihat komitmen kita untuk membela mereka dalam semua aspek kehidupan, insyaAllah, mereka akan memberikan kita mandat lagi dalam pilihan raya umum akan datang. Itu harapan kita. Moga-moga Allah Merestui dan Meredhainya.

-ibnumustafa-

Wednesday, June 18, 2008

Salam Ukhwah, Salam Pembukaan, Salam perjuangan..

Assalamualaikum & Salam sejahtera..

Kepada rakan2, sahabat2, teman2 sekalian..
Di atas kepesatan ilmu IT dan jaringan liputan.. Bahan bacaan alternatif kini mulai mendapat sambutan yang menggalakkan dengan bercambahnya blogger2 yang bagaikan cendawan tumbuh sesudah hujan.. Di sini saya juga terpanggil untuk turut sama-sama berkongsi idea, berita, cerita dan memberikan maklumat terkini mengenai isu2 semasa, dunia, ekonomi, politik, pendidikan, agama, kesihatan & dll..
Marilah kita sama-sama memeriahkan dunia BLOG..

"Think Blogging, Think Sesemut Emas!"

-ibnumustafa-