PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, October 31, 2008

Waspada terhadap golongan sesat di kalangan umat Islam

Rasulullah SAW telah meninggalkan umatnya sejak empat belas abad yang lalu, iaitu satu tempoh yang agak lama, sepeninggalan Baginda SAW sebenarnya telah memberikan banyak input mengenai Islam dalam bentuk yang mudah difahami, apatah lagi umat hari ini yang boleh disifatkan sebagai golongan manusia yang mudah untuk memahami sesuatu, kerana mereka semakin cerdik.

Namun begitu, apa yang sepatutnya diharapkan dari umat ini ialah bagaimana mereka boleh menjadi individu-individu yang terbaik dalam segenap aktiviti atau agenda harian hidup mereka, kerana peluang dan kesempatan untuk mereka menggarap khazanah ilmu peninggalan baginda Rasulullah SAW terbentang luas, sepatutnya mereka boleh jadi lebih baik dibandingkan umat terdahulu, sama ada di kalangan para sahabat, tabi'in dan generasi selepas itu.

Tetapi apa yang dapat dilihat di kalangan umat Islam hari ini, mereka semakin menjadi lemah tidak keharuan, jumud (beku) cara berfikirnya, malah ada yang tersasar jauh daripada ajaran Islam sebenar, akibat tidak duduk dalam majlis-majlis ilmu atau bersama dengan golongan yang mampu mengingatkan mereka kepada Allah SWT.

Benarlah apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW,

"Bahawa akan datang satu masa (dianggarkan masa itu ialah pada hari ini), ramai di kalangan umat Islam menjauhkan diri daripada golongan ulama '(tidak mahu memperdalami ilmu agama), tindakan mereka itu sebenarnya telah mengundang kemarahan Allah SWT, dan Allah SWT timpakan tiga bala ke atas diri mereka, iaitu Allah SWT akan menarik segala sumber keberkatan dalam usaha/pekerjaan yang dilakukan, mereka akan diperintah oleh para pemerintah yang zalim dan mereka akan meninggalkan dunia ini dengan tidak membawa walaupun secebis iman dalam diri mereka."

Justeru, tidak hairanlah jika mereka bertindak sesuatu yang menyalahi ajaran agama Islam, akibat daripada menjauhkan diri daripada ulama' yang merupakan pewaris Nabi-nabi, malah mewarisi tugas, kerja, peranan Nabi-nabi dalam menyampaikan kebenaran untuk menyeru manusia seluruhnya menerima Islam sebagai satu-satunya agama yang diperakui Allah SWT.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah SAW ada menegaskan dalam sebuah hadithnya yang bermaksud :

"Bagi orang yang mempelajari ilmu-ilmu agama, mereka akan berhadapan dengan (tiga) golongan yang mencabar keilmuan mereka, iaitu golongan yang menyeleweng daripada kebenaran agama Islam lagi melampaui batas-batas agama, golongan yang mencipta agama baru dan golongan yang jahil tentang Islam, tetapi cuba mentafsirkan Islam mengikut kepala mereka."

Jelas daripada apa yang ditegaskan oleh Baginda SAW, sesungguhnya bagi mereka yang benar-benar komited dengan Islam, berusaha untuk menyampaikannya kepada orang lain, tetapi pada masa yang sama akan berhadapan dengan golongan-golongan yang disifatkan oleh Baginda SAW sebagai anti kepada Islam yang mesti dibendung dengan apa cara sekalipun , lebih-lebih lagi golongan pemerintah.

Kenapa tidak, kerana golongan-golongan tersebut boleh memudaratkan aqidah, pegangan, kepercayaan yang dianuti oleh orang-orang Islam yang lemah cara berfikirnya, dibimbangi akan mendatangkan musibah yang berpanjangan pada masa akan datang.

Kenyataan Baginda SAW di atas telah disebut seribu tahun yang lalu, tetapi ia dianggap segar dalam minda umat Islam yang sayangkan agama mereka, ini kerana golongan yang menyeleweng daripada kebenaran agama Islam lagi melampaui batas-batas agama semakin berleluasa dalam masyarakat, ia dapat dilihat dengan tindakan para pengusaha atau pengamal perfileman yang menerbitkan filem-filem yang dianggap tersasar jauh daripada kebenaran Islam dan sekaligus melampaui batas-batas agama Islam yang suci daripada sebarang bentuk penyelewengan.

Begitu juga dengan golongan yang mencipta agama baru, seperti lahirnya golongan yang mengaku menjadi nabi selepas Nabi Muhammad SAW, seperti Kahar Ahmad, Ayah Pin dan lain-lain yang masih aktif dengan penyelewengan mereka yang sepatutnya dihukum sebagai terkeluar daripada agama Islam, namun penguatkuasaan ke atas mereka masih berada pada jalan buntu yang belum dirungkai.

Ini termasuk penyelewengan golongan yang cuba mentafsirkan Islam, sedangkan mereka sebenarnya jahil mengenainya, ia dapat dilihat seperti tindakan golongan liberisme, pluralisme, 'sisters in Islam' dan lain-lain yang jelas menunjukkan kejahilan mereka mengenai Islam, tetapi cuba mentafsirkan Islam yang jelas menyimpang jauh daripada landasan Islam sebenar.

Yang dibimbangkan, jika golongan-golongan berkenaan tidak dibendung dengan kadar segera oleh pihak berkuasa, lambat laun akan mempengaruhi umat khususnya di kalangan golongan remaja yang longgar ikatan dan hubungan mereka dengan Islam, kerana golongan-golongan berkenaan tidak pernah berdiam diri daripada berperanan untuk menyatakan pandangan mereka mengenai Islam mengikut acuan mereka yang tidak selari dengan islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

-am-

Menagih keberkatan dalam majlis kenduri kahwin dan kesyukuran..

TAZKIRAH JUMAAT

Musim cuti sekolah hampir tiba, ramai di kalangan umat Islam mengambil kesempatan untuk mengadakan pelbagai majlis keraian, sama ada majlis kesyukuran sempena pemergian ke tanah suci Makkah kerana menunaikan fardhu haji, majlis kesyukuran kerana anak lulus periksa, majlis kerana meraikan kejayaan dalam kerjaya, tidak kurang juga majlis walimatul urus.

Tetapi sedarkah kita bahawa majlis yang dianjurkan itu benar-benar menepati inspirasi tuntutan ajaran Islam, dengan lain perkataan apakah majlis yang dianjurkan itu menitik-beratkan persoalan pantang larang agama, iaitu tidak terdapat upacara bersalaman antara jemputan lelaki dan perempuan yang bukan mahram, memakai hijab (tudung kepala) mengikut kehendak hukum Syara', tidak berlaku percampuran antara para jemputan lelaki dan perempuan secara bebas dan lain-lain.

Semua pantang larang itu dipelihara bagi menjamin keberkatan dan restu Allah SWT agar setiap majlis yang dianjurkan itu benar-benar meraih sumber pahala yang banyak dan berkekalan sampai hari kiamat.

Namun sikap kebanyakan orang Islam hari ini terhadap agama mereka sendiri berbeza-beza antara seorang individu dengan individu lain, ini kerana ada yang benar-benar belajar ilmu-ilmu fardhu 'ain di masjid-masjid atau di surau-surau, walau pun mereka ketahui bahawa ilmu agama yang dipelajari setakat SPM adalah tidak mencukupi bagi meniti kehidupan masa depan.

Mereka adalah golongan yang sering bersama dengan mereka yang arif tentang selok-belok agama seperti para ustaz, pensyarah, tuan guru, tok kiyai dan lain-lain bagi menanyakan sesuatu yang tidak diketahui atau pun mendapatkan khidmat nasihat berguna bagi melakukan sesuatu perkara itu agar menepati acuan agama Islam.

Seperti mengadakan majlis kenduri walimatul urus, agar ia berjalan mengikut kehendak Islam, maka pandangan para ulama' dan yang berpengetahuan agama perlu diambil kira, kerana dalam konsep pelaksanaannya pada hari ini berlaku kekeliruan antara yang dibenarkan oleh Islam dan yang bercanggah dengannya.

Bagi yang tidak mengambil peduli urusan agama dalam segenap agenda hidup mereka, apabila mengadakan majlis walimatul urus untuk anak-anak mereka, dianggap sebagai 'raja sehari', justeru mereka mencampur-adukkan unsur-unsur syirik yang menyebabkan penganjuran majlis walimah tidak mendapat rahmat dan keberkatan Allah SWT.

Bersanding dan persoalan lain yang tidak mendapat keberkatan Allah SWT.

Antara perkara yang dilakukan jelas bertentangan dengan ajaran Islam ialah majlis persandingan, ia merupakan cetusan daripada ajaran agama Hindu yang masih berkekalan dalam adat istiadat Melayu sampai ke hari ini, menurut De Jong (Religions in the Malay Archipelago, Oxford Univ. press, 1965) dan Joginder Singh (Tata Rakyat, Longman, 1978) berpendapat ia adalah daripada pengaruh Hindu. Malah persandingan adalah adat yang diimport dari India yang tiada kena mengena dengan ajaran agama Islam yang suci.

Terdapat unsur lain yang menyebabkan majlis walimatul urus tidak diberkati Allah SWT seperti yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah SAW kerana tidak mengundang golongan miskin untuk turut bersama, ia berdasarkan hadith Nabi SAW maksudnya:

Dari Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: "Makanan yang paling buruk adalah makanan walimah apabila orang yang perlu makan (si miskin) tidak diundang malah orang yang tidak perlu (orang kaya) diundang."

Hadith riwayat Muslim daripada Abu Hurairah.

Ia tetap perlu dilakukan walau hanya dengan seekor kambing sahaja, ia bertujuan untuk memaklumkan kepada umum bahawa anak seseorang itu telah pun berkahwin bagi mengelak sebarang yang mungkin akan timbul pada masa akan datang, Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

"Buatlah walimah walaupun hanya dengan seekor kambing."

Unsur-unsur khurafat dalam persandingan:

(a) Penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan ialah bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi. Jika ia ditabur dengan tujuan menambah semangat dan menghalau roh jahat, maka ia adalah syirik.

(b) Penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu.

(c) Berandam: Perbuatan andaman yang berbentuk "li tadlis" mengabui/merubah kecantikan yang sebenar adalah haram. Antaranya yang disebut oleh al-hadith: HR Muslim-Muslim dari Abdullah Ibn Mas'ud:

"Allah SWT melaknat wanita yang mencucuk tangan dan menaruh warna (tattoo) dan yang meminta berbuat demikian; wanita-wanita yang menghilangkan bulu kening di muka*, wanita yang mengikir gigi dan menjarangkannya supaya kelihatan cantik yang merubah kejadian Allah SWT." (*pengecualian: membuang bulu yang berupa janggut atau misai atau side-burn.)

(d) Berhias untuk dipamerkan (tabarruj): Berhias dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah SWT (maksudnya), "Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33).

(e) Mas kahwin dan hantaran yang mahal: Inilah adalah sunah Rasul SAW: "Wanita yang paling berkat ialah wanita yang paling murah hantarannya." (HR Ahmad, al-Hakim dan Baihaqi).

(f) Majlis diselangi dengan nyanyian wanita atau tarian joget lambak dan sebagainya, ia amat bertentangan dengan Islam, kaedah Usul Fiqh ada menegaskan bahawa 'matlamat tidak menghalalkan cara'.

Bagi yang masih jahil dan bersungguh-sungguh ingin meneruskan ajaran Hindu ini, kita hendaklah terus menerus menjelaskan dengan hikmah. Walimatul urus bukanlah suatu majlis untuk berpesta dan bersukaria tidak menentu, malah ia adalah satu bentuk ibadat diperintah Allah SWT yang perlu diadakan dengan sebaik-baiknya mengikut anjuran agama.

Apabila mengadakan majlis kenduri kahwin jangan sampai berhutang sebaliknya buat mengikut kemampuan.

Tetapi bagi orang berada, tiada masalah untuk mengadakan walimah besar-besaran dengan syarat menepati dengan anjuran Islam, menjemput semua orang termasuk orang miskin supaya matlamat walimah tercapai, memupuk persefahaman dan perkenalan.

Alangkah sayangnya, jika majlis walimatul urus yang dirancang bukan sehari dua, malah berbulan-bulan dan mungkin juga bertahun-tahun, dengan para besan mengeluarkan wang yang bukan kecil jumlahnya, terpaksa meredah tol dan lebuh raya bertujuan untuk menjemput sanak-saudara agar memeriahkan majlis berkenaan, tetapi ianya dianggap tidak mendapat pahala di sisi Allah SWT, kerana penganjurannya diselit dengan perkara-perkara yang tidak disukai Allah SWT. Wallahualam..

-am-

Wednesday, October 29, 2008

Sunnah dan bid'ah dalam pemerintahan Islam

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah RA berkata:

"Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan suatu nasihat yang menggetarkan hati kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu, baginda pun bersabda: "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak.

Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa' Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."

(Abu Daud dan Tirmidzi)

Menurut pada pesanan yang amat berguna kepada kita pada akhir zaman ini boleh dipecahkan kepada empat perkara.

Pertamanya, mengenai hal ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kedua, mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum Muslimin walaupun mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan al-Qur'an, sunnah Nabi s.a.w dan sunnah-sunnah khulafa' Ar-Rasyidin.

Ketiga, berpegang teguh kepada sunnah Nabi SAW dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin (Abu Bakar RA, Omar RA, Uthman RA dan Ali KW).

Keempatnya, menjauhi hal bid'ah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama.

Keterangan lanjut:
Berasaskan hadith ini, saya berminat mengulas hal sunnah dan bid'ah dalam pemerintahan. Lazimnya, kita dapati terdapat jalur pemikiran yang melihat hanya syura saja warisan dan peninggalan sistem pemerintahan Islam itu.

Apakah sistem beraja tidak mewakili pemerintahan Islam? Kalau kita melihat bagaimana Raja Nabi Daud AS mewariskan pemerintahan kepada anaknya Raja Nabi Sulaiman AS, maka di sini kita dapati bahawa sistem beraja juga terpakai sebagai salah satu daripada sistem khilafah itu. Dalam ayat lain, khilafah itu tidak hanya berbentuk syura sahaja, malah sistem beraja juga adalah bahagian daripada belahan daging agama yang terkait dengan siasah.

Selepas era khalifah Ali KW bin Abi Talib, maka bermulalah era khalifah yang ada unsur pemerintahan beraja. Perkembangan Dinasti Umayyah, Abbasiyyah dan seterusnya telah menyaksikan bagaimana pemerintahan itu disalurkan melalui hubungan darah.

Kalau golongan Syiah berpendapat bahawa pemerintahan itu adalah milik ahli bait, iaitu keturunan Rasulullah SAW, maka secara tidak langsung pemerintahan berasaskan kepada hubungan darah ini memang tidak dapatlah dipisahkan daripada sunni dan syiah juga.

Tuhan meredhai semua kaedah bentuk khilafah

Kunci kepada pengertian semua ini adalah tertakluk kepada ceraian nas dalil Al-Baqarah, ayat 30. Dalam tafsiran Inggeris oleh King Fahd Complex, Madinah, menyebutkan:

"..Verily, I am going to place (mankind) generations after generations on earth.."

Generasi demi generasi di sini, tentulah wujudnya pemerintahan dalam bentuk hubungan darah. Namun, ada juga pemerintahan diberikan kepada seseorang yang bukan hubungan persamaan darah, melainkan kerana wujudnya persamaan idea, pemikiran, amalan.

Kes ini terjadi ke atas Raja Nabi Zulkifli AS yang dilantik sebagai raja kerana mampu amalkan beberapa syarat, iatu berpuasa, jangan marah dan sebagainya. Syarat-syarat ini diberikan oleh seorang raja di sebuah negeri yang ingin turun daripada takhtanya.

Ketika Islam mula sampai di Alam Melayu, ulama' dan pendakwah ini tidak membatalkan sistem beraja. Malah, Islam di rantau ini diperteguhkan dengan institusi raja-raja. Apabila raja-raja itu mula zalim menindas rakyatnya maka mereka jatuh terhina dihinakan melalui pemberontakan hulubalang Hang Jebat, Megat Seri Rama dan sebagainya.

Pendek kata, raja-raja boleh dijatuhkan, tapi institusi raja-raja tidak dirobohkan. Raja-raja itu dapat digantikan dengan raja-raja baru yang lebih baik daripada sebelumnya. Dan, ini yang dilakukan oleh Yahudi Freemason di Turki. Iaitu mereka jatuhkan langsung institusi kesultanan. Maka, raja-raja khalifah itu terpupus terus.

Oleh kerana syura suatu yang ideal, kerana ia memerlukan manusia yang berkualiti untuk melaksanakannya, maka dalam realiti sekarang di Malaysia, ia mungkin mustahil. Tetapi, untuk masa-masa akan datang, maka tidak mustahil ia dapat dilaksanakan.

Maka, ketuanan ini boleh dipindahkan melalui

(1) Hubungan darah;

(2) Hubungan idea;

(3) Hubungan amalan dan lain-lain.

Tuhan cuma ingin mewujudkan khalifah sahaja. Tapi, hal mewujudkan satu atau lebih daripada satu 'sistem' untuk melantik, menaikkan khalifah itu maka terpulanglah kepada kebijaksanaan manusia itu sendiri.

Ringkasnya, khilafah yang baik itu boleh juga muncul dalam bentuk syura, sistem beraja, sistem demokrasi. Kalau ekonomi kita mengamalkan dasar ekonomi campuran, ada unsur sosialisme dan kapitalisme digabungkan sekali. Maka hal yang sama terjadi dalam politik di Malaysia, iaitu dasar politik campuran, ada demokrasi, dan sistem beraja.

Sunnah dan bid'ah dalam pemerintahan.

Pendek kata, semua ini, bermodalkan dalil yang ditemukan, bolehlah disebut sebagai satu sunnah dalam pemerintahan Islam.

Cuma, yang peliknya kadangkala, pemimpin kita asyik berseteru merebutkan kuasa tetapi boleh dihadirkan pula konsep perkongsian kuasa. Kuasa yang mulanya direbutkan hingga berlaku sepak terajang dan londeh melondehkan, menelanjangi perbuatan batil musuh, ia akhirnya dikongsi. Walhal kalau ia direbut, sudah tentulah untuk tidak dikongsi.

Yang mungkin boleh didebatkan lanjut adalah, bolehkah diwujudkan perkongsian kuasa dengan bukan Islam? Adakah hal ini termasuk dalam kategori sunnah atau bid'ah dalam pemerintahan? Ini boleh kita lanjutkan dalam bualan akan datang, insya Allah.

Bagaimanapun, berasaskan hadith di atas bolehlah juga kita lihat apakah tahanan ISA yang menahan rakyat tanpa bicara itu merupakan satu warisan daripada sunnah pemerintahan Rasulullah SAW, Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA dan Ali KW? Baginda dan para sahabat terkemuka tidak pernah berbuat demikian.

Pemerintahan Islam Hadhari, pemerintahan bid'ah?

Ertinya, pemerintahan yang menguatkuasakan undang-undang ISA ini tergolong di dalam pemerintahan bid'ah. Syed Abdul Hamid Albar selaku Menteri Dalam Negeri seharusnya malu kerana dia adalah ahli bait tapi tidak meneruskan sunnah nenek moyangnya itu.

Adapun Abdullah Ahmad Badawi pengasas Islam Hadhari telah pun tersasar sunnah juga. Islam Hadhari merujuk era kegemilangan sains dan teknologi dan era itu bukanlah zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA dan Ali KW.

Memang zaman itu ilmu berkembang dengan pesat, tetapi kezaliman penguasa tak kurang hebat juga perkembangannya. Semak semula berapa lama zaman salafusoleh berlangsung seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW itu.

"Sebaik-baik kurun, adalah kurunku. Kemudian kurun selepasku, dan kemudian kurun selepas daripada itu."

Jumhur ulama' menafsirkan, kurun Kerasulan berlangsung selama 100 tahun, kurun pada zaman Sahabat selama 100 tahun dan kurun Tabiut Tabiin selama 100 tahun. Maka zaman selama 300 tahun itulah yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai tempoh terbaik yang ditafsirkan kebanyakan ulama' sebagai zaman salafussoleh.

Tapi, rujukan dan sandaran masa Islam Hadhari telah berada di luar lingkungan masa dan di luar lingkaran putaran waktu era salafussoleh itu. Ertinya, pemerintahan Islam Hadhari yang mendokong ISA terbabas dari sunnah pemerintahan Nabi SAW dan sahabat terulung.

Syahadan, sunnah itu bukanlah cuma terkait dengan pemakaian jubah serban, bersugi dan memakai celak saja. Berdasarkan hadith di atas, pengertian sunnah terkait langsung ke atas pemerintahan juga. Adakah nilai pemerintahan hari ini bertepatan dengan sunnah?

Nota-nota ini wajib diteliti, dibantah, dikritik guna mencari kesempurnaan hujah dan ilmu. Artikel ini tidak terhindar daripada sebarang kesilapan dan kekhilafan. Nota-nota bantahan boleh disalur melalui e-mail taufiq_atm@yahoo.com

-am-

Wawancara Bloomberg dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim

Wawancara eksklusif Bloomberg dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan keadaan politik semasa Malaysia. Wawancara ini telah disiarkan oleh saluran Bloomberg (Saluran 12) TV ASTRO (Malaysia) pada waktu:

Tarikh: 28 Oktober (Selasa)
Jam: 1pm, 8:30pm (ulangan), 11:30pm (ulangan)

Wawancara 3½ minit ini menyaksikan Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi komentar berkenaan situasi politik semasa dan proses demokratisasi di Malaysia.

Selamat menonton wawancara ini!

http://www.youtube.com/watch?v=Sypf7xgY10U&eurl=

-am-

Ikuti sidang Parlimen secara 'LIVE'.

Inginkan berita, maklumat dan info muktahir mengenai sidang Dewan Rakyat termasuk perbahasan dan perdebatan hangat wakil-wakil rakyat?

Kini, orang ramai boleh menyaksikan secara langsung sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung ketika ini. Untuk melihat secara langsung sila ke laman-laman berikut:

http://mppas.blogspot.com atau di laman;

http://mppas.wordpress.com

-am-

Tuesday, October 28, 2008

Perkahwinan - Kemuliaan Seorang Wanita

Keluarga merupakan asas pada pembentukan sebuah masyarakat. Ia adalah sebuah unit asas yang terdiri dari seorang suami dan isteri, juga jika dikurniakan zuriat, maka ianya menjadi penyempurna kepada sebuah keluarga. Coretan ini ditulis bukan mahu menceritakan apa yang perlu ada pada dalam perkahwinan tetapi apa yang ada pada sebelum perkahwinan. Hasil pengamatan saya terhadap generasi terbilang yang sama-sama kita boleh berkongsi bersama. Juga untuk rujukan kita jika kita mahu mengamalkannya dalam kehidupan.

Umum diketahui bahawa generasi terbilang dahulu adalah hasil tarbiyah dan didikan. Yang seterusnya melahirkan generasi gemilang. Di sini dicoretkan beberapa kemuliaan (bagi padangan saya) seorang wanita dalam erti kepada perjalanan kepada perkahwinan.

Apabila dituruti sirah Nabi-nabi, kemuliaan wanita adalah terletak pada apabila mereka dikahwinkan oleh bapa mereka. Mungkin kita sedikit mencebik apabila dikatakan bahawa perkahwinan yang diatur oleh ibu bapa adalah perkahwinan zaman dahulu, tetapi hakikatnya ia adalah sunnah para Nabi. Mari kita turuti beberapa kisah dari pengamatan yang terhasil:

1. Perkahwinan Nabi Musa AS dengan anak penternak (Surah Al-Qosos : 22-28).
Kisah bermula apabila Nabi Musa AS sampai di sebuah tempat setelah jauh membawa diri dari pihak Penguasa Firaun. Ketika sampai di suatu sumber air di sebuah tempat bernama Madyan, baginda melihat dua orang anak gadis muda sedang menghambat ternakan mereka. Terus ditanyakan pada mereka;

“Mengapa kamu buat begitu?”

"Kami tidak boleh memberi minum pada ternakan kami sehinggalah penternak-penternak yang lain pulang sedangkan ayah kami adalah seorang yang sangat berumur." kata kedua-dua anak gadis tersebut.

Maka di atas sifat seorang manusia, Nabi Musa AS membantu kedua anak gadis tersebut memberikan minuman pada ternakan-ternakan mereka. Sehingga selesai dari kerja itu, Nabi Musa AS kembali ke tempat perteduhannya.

Setelah beberapa ketika, seorang dari dua perempuan yang dibantu Nabi Musa AS datang kepadanya dengan keadaan yang malu-malu, sifat semula jadi seorang wanita, menjemput Nabi Musa AS kerumahnya kerana ayah mereka ingin membalas budi yang ditaburkan Nabi Musa AS kepada merkea.

Perkenalan Nabi Musa dengan ayah gadis-gadis ini dan setelah penceritaan semua peristiwa yang berlaku, salah seorang dari wanita gembala itu, mengusulkan pada ayah mereka agar diambil Nabi Musa AS bekerja dengan mereka kerana pada Nabi Musa AS ada sifat orang yang dipercayai dan juga seorang yang kuat.

Terus dikatakan pada Nabi Musa oleh ayah pada wanita ini,

“aku sangat ingin untuk menikahkan kamu dengan salah seorang anakku, dengan (mahar) dasar kamu bekerja denganku 8 tahun dan kalau kamu mahu cukupkan 10 tahun, itu terserah padamu.” Nabi Musa AS bersetuju dengan syarat tersebut. Maka Nabi Musa AS dikahwinkan dengan salah seorang dari wanita anak kepada penternak binatang ini.

Kesimpulan cerita
: seorang wanita mulia adalah mereka yang dijodohkan dengan seseorang yang dipercayai kebaikan dan akhlaknya oleh ayahnya sendiri. Yang datang dari mulut ayahnya bukan dari pihak lelaki.

2. Kisah Nabi Lut AS dengan kaumnya (surah Hud : 76-77).
Ketika datang utusan (malaikat) yang membawa berita dari Allah SWT dalam bentuk manusia. Mereka mendatangi Nabi Lut AS sebagai tetamu. Berita tentang kedatangan tetamu ini, diketahui oleh kaumnya. Kita ketahui bahawa kaum Nabi Lut AS merupakan pelaku sodom (homoseksual-lesbian-suka sama jenis). Apabila diketahui ada lelaki yang datang bertamu ke rumah Nabi Lut AS, segera mereka datang kepada Nabi Lut AS dalam keadaan bergesa-gesa.

Melihatkan sikap yang dipamerkan oleh kaumnya ini, Nabi Lut AS tahu dengan apa maksud yang merka ingin darinya, terus ditawarkan pada mereka anak-anak perempuannya dengan maksud dikahwinkan dengan mereka :

“Wahai kaumku, ini merupakan puteri-puteriku, mereka lebih suci bagi kamu semua. Bertaqwalah kamu kepada Allah SWT, dan janganlah kamu mencemarkan aku dihadapan tetamu-tetamu ku ini. Tiadakah dikalangan kalian orang yang berakal?” Ayat ini disebut oleh Nabi Lut AS setelah sikap yang dipamerkan mereka dihadapan tetamu yang hadir. Sebagai seorang manusia yang berakal, timbul perasaan malu pada diri Nabi Lut AS dengan sikap yang dipamerkan oleh kaumnya.

Jawapan yang diberikan oleh kaumnya:

“Kamu dah tahu bahawa kami tiada keinginan terhadap anak-anak kamu, dan kami pasti kamu tahu apa yang kami mahu” Jawapan yang sangat mengharu-birukan perasan seorang manusia yang berakal terhadap sikap yang dipamerkan oleh satu kaum yang sudah tidak kenal erti kemanusiaan.

Kesimpulan cerita
: seorang ayah akan menjodohkan anaknya yang mulia dengan lelaki yang sanggup untuk membuat perubahan ke arah lebih baik.

3. Kisah perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan Khadijah RA.
Umum sudah kita ketahui kisah ini, yang Khadijah RA merisik Nabi SAW. Kecerdikan, keramahan dan sifat mulia yang ada pada diri Nabi Muhammad SAW sangat menarik hati dan naluri Khadijah RA terhadap budi pekerti Nabi Muhammad SAW.

Dari perkahwinan antara Khadijah RA dan Nabi Muhammad SAW, lahir seorang wanita yang menjadi antara wanita yang mula-mula sekali masuk ke syurga. Dia itulah Fatimah Azzahra RA.

Kesimpulan cerita
:
a. Seorang wanita yang mulia akan memulakan langkah dengan merisik sendiri lelaki idamannya dengan melalui saluran yang betul. (guna orang tengah tanya bahagian lelaki).
b. Zuriat yang bagus juga dari hasil bermula cara perkahwinan dari ayah dan ibunya.

4. Perkahwinan Saidina Ali KW dan Fatimah RA.
Nabi Muhammad SAW menawarkan pada para sahabat baginda tentang hasrat hatinya untuk mengahwinkan salah seorang dari kalangan mereka dengan puterinya Fatimah RA. Perkahwinan ada syarat yang diperlukan. Akhirnya, Saidina Ali KW cukup syarat yang diperlukan.

Hasil perkahwinan Saidina Ali KW dan Fatimah RA melahirkan Hasan RA yang diketahui oleh kita telah menyatukan kembali perpaduan umat Islam yang berpecah di zamannya.

Kesimpulan cerita :
a. Seorang ayah akan mengahwinkan anaknya yang mulia dengan seorang lelaki yang cukup ciri kemuliaan dengan anaknya.
b. Ciri seorang pemimpin yang terbilang dihasilkan / dilahirkan dari pertemuan atau bagaimana cara pertemuan perkahwinan ibu bapanya.

5. Saidina Umar al-Khattab RA mengahwinkan anaknya.
Suatu hari, Saidina Umar al-Khattab RA melakukan rondaan di waktu malam untuk melihat suasana rakyatnya disamping mengetahui keadaan sebenar rakyatnya. Diri beliau yang selaku seorang khalifah umat Islam, cuba melakukan seadil mungkin di atas amanah dan tanggungjawab yang dipikulkan ke atas bahunya.

Suatu ketika ketika melakukan rondaan, beliau terdengar suatu pebualan di suatu rumah, Saidina Umar RA berhenti untuk mendengar perbualan tersebut. Seorang ibu menyuruh anaknya agar memerah susu untuk dijual esok dan periksa berapa banyak susu yang ada. Hasil dari pemeriksaan, anaknya (seorang perempuan) memberitahu bahawa susu yang ada hanya sedikit.

“Kamu tambahkan air ke dalam susu tersebut. Biar banyak sedikit hasil yang akan kita peroleh” kata si ibu.

“Tidak boleh ibu, ia seperti kita menipu timbangan pada manusia", kata si anak.

“Tidak mengapa, Saidina Umar RA tidak tahu perkara ini” balas si ibu.

Ketika itu, Saidina Umar RA semakin tertarik dengan perbualan mereka dan cuba mendengar apa jawapan dari anak perempuan tersebut.

"Ibu, Saidina Umar RA sememangnya tidak mengetahui perkara ini, tetapi Tuhan Saidina Umar RA tahu akan perkara ini."

Terkejut Saidina Umar RA dengan jawapan yang diberikan oleh anak perempuan wanita tersebut. Setelah itu, keesokan harinya, Saidina Umar RA mengarahkan pengawalnya memanggil kedua-dua beranak ini ke pejabatnya. Dan menawarkan kepada wanita tua tersebut untuk anaknya (seorang lelaki) dikahwinkan dengan anak wanita itu.

Hasil dari keturunan inilah lahirnya Khalifah Umar Abdul Aziz, seorang pemimpin yang terkenal dengan sifat adilnya dalam pemerintahan.

Kesimpulan cerita
:
a. seorang wanita yang mulia akan ditawarkan / dirisik oleh ayah seorang lelaki yang ingin mengahwinkan anaknya dengan wanita tersebut.
b. Seorang pemimpin yang terbilang adalah hasil dari benih pertemuan ketika bermulanya perkahwinan dari ibu dan ayah mereka.

Kesimpulan dari cerita-cerita dari kisah-kisah yang dipamerkan, jelaslah kepada kita, bahawa sunnah orang-orang beriman dalam perkahwinan banyak yang datang dari pihak perempuan dahulu. Hasil dari tarbiyah dan didikan itu, melahirkan pemimpin-pemimpin umat. Jodoh pertemuan adalah seperti nasi/makanan, yang mana ianya perlu diusahakan, bukan sekadar hanya mengharap tetapi usaha perlu dahulu dimulakan.

Akhir kalam, janganlah kalian (para wanita) untuk malu melakukan langkah dahulu dalam memastikan kebahagiaan di dunia sebagai wasilah cemerlang diakhirat. Jika sudah dikenal pasti siapa yang berkenan di hati, jangan ragu-ragu untuk menyatakan hasrat melalui saluran yang betul. (elok ibu ayah atau orang tengah ).

Terbukti bahawa dari kisah-kisah di atas bahawa permulaan kepada pernikahan yang dimulakan oleh wanita menunjukkan kemuliaan wanita itu. Mahu menggunakan ibu ayah, maka Nabi Muhammad SAW sebagai contoh dalam mengahwinkan anaknya, mahu mencari sendiri, maka Khadijah RA (isteri Nabi SAW) sebagai suri contoh.

Sifat malu itu bertempat. Dalam perkara ini, jika wanita memulakan dahulu bukan bermakna dia tidak punya sifat malu, tetapi wanita yang kata dia tidak mahu memulakan itu kerana malu ia adalah salah konsep, ia adalah segan bukan malu atau istilah lain, malu tidak bertempat.

Ingatlah, bahawa lelaki mulia dengan memilih seorang ibu yang baik untuk anak-anaknya, dan kemuliaan seorang wanita adalah dengan memilih calon bagi dirinya untuk kebahagiaan dunia dan akhiratnya.

Percayalah bahawa anda seorang yang mulia walaupun anda yang memulakan dahulu.

Nota kaki : Artikel di atas sekadar perbicangan di kalangan kita
terhadap isu tidak berkahwin, kahwin lewat yang sedang berlaku di zaman kita yang banyak terjadi dikalangan wanita. Sifat malu dan menunggu orang masuk membuatkan golongan wanita semakin ramai yang tidak punya pasangan.. Salah silap, teguran sangat diharapkan. Tulisan adalah dari dasar pengamatan saya. Terima kasih buat kalian semua.

-am-

OMAR AL-MOKHTAR: LION OF THE DESERT. (Singa padang pasir yg paling digeruni musuh.)


Tokoh terbilang ini nama penuhnya Omar al-Mokhtar Muhammad Farhat Abridan Muhammad Mukmin Buhadimeh Abdullah bin Manaf Bin Muhsen bin Hasan bin Ikrimah bin al-Wataj Bin Sufyan bin Khaled bin al-Joshafi bin Toher Bin al-Arqa' bin Sa'id bin Uwaidah bin al-Jareh bin Khofi bin Hisham Bin Manaf al-Kabir yang berketurunan sampai kepada bangsa Quraisy.

Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli.

Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-Sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah. Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu muda.

Kepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar.

Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.

Menyertai jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris. Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali.

Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu. Ketika umurnya 37 tahun beliau telah menyertai jihad menentang Perancis di sempadan Sudan dan Chad, iaitu satu usia yang dianggap muda khususnya dalam suasasan peperangan.

Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya.

Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.

Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting:

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.

2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-'Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.

3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.

Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Ketokohan Omar terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu. Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.

Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.

Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya.

Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tingi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (musuh Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya di bawah penguasaan mereka.

Dihukum gantung sampai mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.

Beliau meingatkan kepada mereka: "Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini."

-am-

Islam dan Ketuanan Melayu..

Bahagian 1:

Konsep Ketuanan Melayu adalah suatu ungkapan yang diutarakan Dr Mahathir dan dipercayai ia tak pernah dibangkitkan oleh Perdana Menteri dan Presiden Umno sebelum Dr Mahathir. Ringkasnya, 'Ketuanan Melayu' itu satu hubungan yang terikat kuat dengan beliau. Apa-apa yang terjadi selepas artikel ini tersiar, beliau turut terheret sama.

Agar lebih bertanggungjawab, biarlah saya nyatakan di sini bahawa buah fikiran ini saya temui ketika berbual ringkas bersama Dr Muhammad Nur Manuty. Saya rasa, beliau sendiri pun terlupa bahawa saya pernah menelefonnya ketika meminta buah fikirannya mengenai hal ini.

Tambah beliau lagi, Ketuanan Melayu juga tak pernah digemakan pada atau sebelum 13 Mei 1969. Ringkasnya, apa-apa pun, memang Dr Mahathir itulah yang mesti menjawab di dalam http://www.chedet.com sekiranya beliau ingin menbela diri.

Pun begitu, sayugia diingatkan bahawa, apabila kita menyatakan Ketuanan Melayu tidak wujud pada asalnya, itu bukan bererti institusi kesultanan Melayu terbatal dan kedudukan Melayu sebagai tuan, pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah SWT terhadap negara ini akan terbatal. Sama sekali tidak.

Maksud saya, jika Dr Mahathir tidak ditakdirkan sebagai PM dan lafaz Ketuanan Melayu itu tidak keluar, meniti dari bibirnya dalam Perhimpunan Agung Umno dulu, hal Melayu sebagai pemilik atau bangsa yang diberikan hak oleh Allah SWT ke atas negara ini tidak akan pernah terbatal atau hakikat itu tidak akan tercuit walau sedikit pun.

Beliau cuma perkakas, alat untuk diperalatkan untuk mengukuhkan Ketuanan Melayu itu. Dan saya masih ingat bahawa Dr Muhammad Nur Manuty menyebutkan bahawa lafaz itu terlahir dari Perhimpunan Agung Umno pada satu masa lalu kesempatan itu telah diambil oleh kalangan ilmuan, pensyarah, cendekiawan dan sebagainya sebagai satu wacana.

Semua mereka akan mendapat habuannya sesuai dengan niatnya. Jika mereka menulis itu bertujuan membodek Tun Mahathir, maka habuannya hanya Allah SWT yang memutuskannya kelak di akhirat. Tapi, yang masih dapat kita kaji ialah atas dasar dan sebab apakah, maka dengan tiba-tiba, Ketuanan Melayu itu meluncur dari bibir Tun Mahathir?

Hal ini masih kekal sebagai suatu misteri atau bersifat X-Files. Tun Mahathir mempunyai rekod yang buruk dengan istana. Pernah satu ketika, hanya dengan sebab suatu kesilapan seorang raja, maka seluruh institusi kesultanan menanggung akibat dan media-media pun berlumba-lumba merekodkan lalu keterlaluan menghukum kesilapan itu.

Sedangkan, ada bezanya antara manusia dan kemanusiaan, Islam dan Muslim. Dan begitu juga seorang raja dengan institusi kerajaannya atau seorang sultan dengan kesultanannya. Mengapakah melalui kesilapan seorang sultan, maka kesultanan menanggung akibat?

Hal ini yang perlu diulas dalam http://www.chedet.com. Atas sebab itulah, kita ada sebab yang kukuh untuk meragui Ketuanan Melayu dalam takrifan Umno kerana lafaz itu lahir dalam Perhimpunan Agung Umno. Samalah juga, rakyat meragui Islam Hadhari lantaran lafaz itu dibidankan dalam 'seminar pemikiran Umno' dan ia bukan didebatkan oleh para golongan cendekiawan di universiti pada asal mula kelahirannya itu.

Ringkasnya, jangan sesekali dianggap bahawa dengan sebab Tun Mahathir yang berawal konsep Ketuanan Melayu itu, maka beliau adalah antara penyelamat Melayu 100%. Sesekali jangan dianggap dan dilihat begitu.

Kita khuatir Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Umno. Masih selamat lagi jikalau Ketuanan Melayu itu dihubungkan dengan Raja-Raja Melayu. Ini kerana, secara idealnya institusi raja-raja itu dilihat sebagai pelindung agama Islam, walaupun kita tahu bahawa mereka lebih banyak menerajui FAM dan pertandingan bola sepak.

Itu bab lain. Kita melihat dari segi idealnya dan jangan menoleh ke arah realiti lagi. Dan semua hal-hal yang tersebut nanti akan lebih banyak terkait dengan ideal. Dan, hal inilah yang menyebabkan ramai orang tidak bersabar dalam perdebatan.

Maka, untuk akhirnya, izinkan saya jelaskan lagi konsep Ketuanan Melayu di sini, iaitu hal Ketuanan Melayu di Malaysia ini mestilah dihubungkan kepada Raja-Raja Melayu kerana institusi ini dihubungkan sebagai pelindung agama Islam. Itu yang pertama.

Kedua, Ketuanan Melayu itu mestilah dihubungkan dengan Allah SWT kerana Dia adalah pemilik bumi bertuah ini. Dan, Dialah yang telah menganugerahkan kepada kita sebidang tanah yang bernama Suvarnabumi, Tanah Melayu, Malaya Merdeka dan Malaysia.

Amalan rahsia nenek moyang bangsa Melayu

Sekarang kita masuk kepada perbahasan kedua. Kenapakah Tuhan memberikan tanah ini kepada nenek moyang kita yang berbangsa Melayu. Mesti ada sebabnya dan mestilah ada tujuannya. Pasti ada sesuatu amalan rahsia yang dilakukan oleh umat terdahulu sehingga menyebabkan Tuhan mahu sebidang tanah semenanjung ini diberi kepada mereka.

Amalan rahsia itu adalah dakwah. Sebelum kedatangan Islam lagi, sudah timbul anutan, kepercayaan kepada Tuhan yang Maha Esa. Kita namakan anutan ini sebagai Tauhid.

Mereka telah lama mengembara dan menjelajah guna menyebarkan fahaman dan agama ini. Boleh jadi, mereka ini adalah keturunan Nabi Ibrahim AS atau Nabi-nabi yang mengajar mereka akan konsep dosa, pahala, syurga, neraka, tiupan sangkakala dan lain-lainnya.

Ini semua istilah yang ada hubungannya dengan hari akhirat. Ketika tibanya Islam, maka tidak pula orang kita menyebut as-Sawab, al-Ajru, al-Jannah (syurga), an-Naar (neraka). Maka, istilah ini kekal sebagai sebutan biasa. Sudah tentu, ada Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang mengajar tentang hal ini. Hanya Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang mendidik umatnya yang berbangsa Melayu berhubung hari kebangkitan, hari kiamat dan akhirat.

Setakat saya faham, polemik dan debat berhubung Nabi dan Rasul Melayu ini, pernahlah tercetus sekitar 1950-an oleh seorang cendekiawan bernama Sutan Takdir Alisyahbana. Namun, usaha menjejakinya terhenti kerana kita mungkin kekurangan peralatan.

Sekiranya idea tentang Nabi dan Rasul Melayu itu wujud, maka apa hubungannya terhadap Ketuanan Melayu itu? Hubungan ini berlaku dan terjalin dengan sebab doa dan perjanjian antara Nabi, Rasul tersebut dengan Tuhan.

Jika, Nabi dan Rasul itu wujud, maka ada kemungkinankah Sang Gedembai itu merupakan Nabi-nabi yang pernah menegur kemungkaran umat Melayu dahulu? Lalu, akibat mereka tidak mengendahkan teguran Nabi Sang Gedembai itu, maka Allah SWT menghukum mereka itu menjadi batu? Maka, teguran Sang Gedembai itu bernilai dakwah adanya.

Jadi, ia bukanlah meriwayatkan kisah dongeng seekor haiwan yang menegur manusia lalu dengan tiba-tiba insan itu berubah jadi batu. Yang memegang watak itu, mesti seseorang yang mencapai darjat makam 'holier than thou' (lebih suci, mulia daripada yang lain).

Sekarang, marilah kita samakan watak Nabi dan Rasul itu dengan Nabi Ibrahim AS. Oleh kerana manusia Melayu yang terawal tadi dilantik menjadi Nabi, maka suatu hari dia pun berdoa, menyusun perjanjian dengan Allah SWT supaya ada dalam kalangan zuriatnya dilantik sebagai pemimpin pada akhir zaman.

Ketuanan Melayu terkait dengan doa Nabi dan dakwah

Seperti Nabi Ibrahim AS juga doa itu dipanjatkan bukan dengan tujuan kemuliaan bangsanya malah bagi tujuan berdakwah ke arah penyembahan Allah SWT, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah manusia daripada kemungkaran.

Menurut riwayat termasyhur, zuriat dan keturunan Nabi Ibrahim AS itu terpancar kepada dua sahaja, iaitu bangsa Arab dan bangsa Yahudi. Maka, demikian juga Nabi Melayu itu. Pada suatu masa, muncul seorang Nabi yang lain lagi atau orang-orang suci yang mencapai satu darjat ketinggian, lalu keturunannya dinisbahkan kepada Melayu sehingga ke hari ini.

Maka, dengan sebab doa Nabi Ibrahim AS tadi, kedua-dua zuriatnya sudah mendapat negara, lalu terbentuk Ketuanan Arab dan Ketuanan Yahudi. Ketuanan Arab itu terpusat di Hijjaz dan Ketuanan Yahudi itu terpusat di Kanaan. Bezanya, Yahudi mendapat Kanaan melalui jalan peperangan. Manakala Arab, melalui Ismail AS dan Siti Hajar RA mendapat ketuanan tanpa pertumpahan darah. Kisah ketuanan Arab ini telah disebutkan dalam Al-Qur'an.

Lalu, di Alam Melayu ini, hal yang sama berlaku. Golongan Sang Gedembai ini mungkin telah berusaha keras menyampaikan ajaran tauhid kepada kerajaan-kerajaan lama seperti Gangga Negara dan lainnya. Sebahagian mereka ini telah menerima dakwah dan selamat dan sebahagiannya lagi menolak lalu menerima padah dan celaka.

Syahadan, hikayat dan riwayat inilah yang diperturunkan kepada kita daripada zaman ke zaman, generasi ke generasi sehingga wujud tokok tambah yang tidak masuk akal, lalu ia menjadi suatu kisah dongeng yang mengerikan.

Arakian, demikian serba sedikit kisah berhubung asal-usul Ketuanan Melayu itu. Ia mesti dipautkan kepada kekuatan dakwah Islam dan bukanlah sesuatu yang didengungkan serta digemakan dengan tujuan mengukuhkan legasi Umno, khususnya merujuk pancaran idea dan faham Tun Dr Mahathir Mohamad itu..

Bahagian 2:

Akhirnya polemik Ketuanan Melayu meletus kembali menjadi topik perbincangan dalam kalangan cendekiawan Melayu. Ketuanan Melayu adalah suatu konsep yang tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demikian antara hujah pihak-pihak yang tidak pernah bersetuju dengan Ketuanan Melayu itu. Bagi mereka, kalau hal itu tidak pernah disebutkan dalam Perlembagaan Persekutuan, maka kenapakah hal itu perlu diulang-ulang?

Antara hujah lain, Ketuanan Melayu ditolak lantaran ramai pihak menganggap konsep itu sebagai menunjukkan bangsa bukan Melayu sebagai hamba. Perbahasan mengenai hal ini agak panjang, sulit dan mendalam juga.

Oleh itu, kita akan debatkan hal ini dalam bahagian yang lain pula. Apa yang mustahak di sini ialah kupasan dan hal membedah sedalam-dalamnya hubungan Ketuanan Melayu itu dengan pencipta bangsa Melayu, iaitu Allah SWT.

Apabila kita akui hal ini, maka kita boleh mempertalikan hubungan Allah SWT yang mahukan Islam dibawa dan didakwahkan oleh bangsa Melayu ke atas bangsa bukan Melayu dalam Malaysia hari ini. Masyarakat majmuk hari ini adalah suatu ruang untuk bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu sebenarnya.

Tetapi, sejauhmana bangsa Melayu berdakwah kepada bukan Melayu di negara ini, maka hal itu termasuk dalam bab lain pula. Bayangkan, apa akan jadi jika negara ini bukannya dimiliki oleh bangsa Melayu? Mungkin, dengan mudahnya dakwah akan tertolak.

Akan tetapi, Ketuanan Melayu yang dimahukan oleh Umno bukannya didasari oleh citra dan semangat dakwah, melainkan perkongsian kuasa dan selebihnya pembahagian kek ekonomi yang diselewengkan sehingga menjatuhkan maruah bangsa sendiri.

Ketuanan Melayu dan Negara Islam

Apakah persamaan antara konsep Ketuanan Melayu dan konsep Negara Islam? Kalau hal Ketuanan Melayu tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, maka demikianlah hal Negara Islam yang tidak disebut di dalam Al-Qur'an.

Apakah ketidakwujudan Ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negara Islam yang tiada di dalam Al-Qur'an itu melambangkan kedua-dua konsep ini tidak wujud sebagai suatu hal yang boleh dibincangkan?

Sama-sekali tidak! Malah, selagimana negara ini dipelihara oleh orang Melayu dan orang Islam, maka konsep ini selalu kekal relevan untuk dibahaskan. Istilah, ungkapan itu boleh diwujudkan selagi mana manusia itu mahukan ia wujud.

Maka, Ketuanan Melayu dan Negara Islam tidak disuratkan, tetapi disiratkan. Ia bukanlah tersurat tapi tersirat. Pun begitu kedua-dua kalimat itu sentiasa berdengung. Dan sebarang usaha untuk membuangnya tidak akan pernah berjaya kerana orang Melayu dan muslimin di negara ini telah diamanahkan oleh Allah SWT untuk memimpin negara ini.

Islam perlukan sesuatu bangsa untuk meneguhkan
Dalam sejarah, Islam diletakkan di atas pundak kaum Arab sebagai bangsa pertama untuk meneguhkan ajaran Tauhid itu. Dan seterusnya ia meniti di atas batang tubuh kaum Parsi, bangsa Kurdish oleh Salahudin al-Ayyubi, bangsa Turki dan lainnya sehinggalah ia jatuh ke atas bangsa Melayu di Kepulauan Melayu atau rantau Nusantara ini.

Ini suatu hakikat yang tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Firman Alahh SWT:-

" Dan kenanglah ketika Allah SWT menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah SWT telah menambahkan kamu kelebihan (dan kekuatan) pada bentuk kejadian tubuh kamu. Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah SWT supaya kamu berjaya." (Al-A'raaf: 69)

Di dalam ayat di atas, Allah SWT telah meletakkan ajaran Tauhid ke atas kaum Nabi Nuh AS dan dengan itu percubaan itu, proses menegakkan khilafah (ketuanan) ke atas kaum Nabi Nuh AS pun telah bermula. Mereka menolak lalu tercabutlah akar khilafah daripada mereka.

"Dan kenanglah ketika Allah SWT menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum A'ad dan ditempatkannya kamu di bumi, (dengan diberi kemudahan) untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Maka kenangkanlah nikmat-nikmat Allah SWT itu dan janganlah kamu bermaharajalela melakukan kerosakan di muka bumi." (Al-A'raaf: 74)

Ketuanan khalifah itu cuba dipahatkan ke atas bangsa A'ad. Mereka membina peradaban, ketamadunan yang tinggi seperti yang disebutkan di atas. Dan khalifah telah dipesan agar tidak melakukan kerosakan. Namun, kerosakan tetap berlaku. Dan percubaan meletakkan ketuanan khalifah itu telah pun tamat tempohnya.

"Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad SAW) khalifah-khalifah di bumi bagi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, agar Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan." (Yunus: 14)

Kini, tibalah giliran umat Nabi Muhammad SAW pula untuk diberikan amanah, tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah itu bagi menggantikan kaum yang telah dibinasakan itu. Dan kini, umat Baginda sedang dipantau oleh Allah SWT dengan tujuan yang sama, iaitu Allah SWT ingin melihat sejauhmana kita menggunakan khalifah ketuanan itu bertujuan meneguhkan ajaranNya. Maka, hal 'Ketuanan' itu terkait langsung dengan 'Ketuhanan'.

Ketuanan jatuh di China dan India

Penjelasan seperti inilah yang menyebabkan kita sedar bahawa kenapa Institusi Raja-Raja Melayu masih wujud dan kekal berbanding Dinasti Maharaja India dan Dinasti Maharaja China telah tumbang. Semua ini terkait dengan ketuanan atau khilafah itu.

Islam masuk ke India, tapi tidak lama dalam bentuk Ketuanan, lalu sistem maharaja India telah roboh. Sebenarnya, rajanya masih ada, tetapi sistem itu sudah tenggelam dan tidak banyak mempengaruhi keputusan melibatkan dasar negara.

Islam pernah masuk ke China. Tapi, yang terkenal cuma Laksamana Cheng Ho dan sosok itu bukanlah keturunan diraja. Akhirnya, dinasti pemerintahan beraja itu berakhir dan tumbang. Setelah gagal di India dan China, ketuanan itu mengalir ke Nusantara.

Tapi, Islam apabila masuk ke Kepulauan Melayu, ia meresap ke dinding istana dan Tanah Melayu terus berubah wajah, rupa parasnya sekelip mata, tanpa pertumpahan darah.

Sebab itulah desakan bukan Melayu agar kuasa istana dirobohkan di negara ini tak boleh dilayan. Ini kerana, Islam cuba memasuki wilayah mereka tetapi mereka menolaknya dan ketuanan mereka terhapus. Lalu, sebahagian mereka dikirim ke negara kita kerana Tuhan ingin memberi peluang kedua kepada mereka untuk mengenali Islam di sini.

Cabaran Islam di Indonesia lebih dahsyat. Ketuanan dan institusi raja-raja berkubur terus kecuali di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY). Jadi, kenapakah 'ketuanan' dalam bentuk institusi raja-raja Melayu di Malaysia terselamat?

Semua itu berbalik kepada Perlembagaan Persekutuan di Malaysia yang mana sirah telah membuktikan kebijaksanaan nenek moyang kita dahulu menggunakan ungkapan 'bangsa' Islam melawan 'bangsa' kafir. Itu ungkapan Tok Janggut, dan lain-lain pejuang.

Warisan perjuangan nenek moyang kita yang panjang inilah antara penyebab kenapakah orang-orang tua Melayu bijaksana dahulu telah digerakkan hati mereka untuk menyusun ayat di dalam perlembagaan bahawa Melayu itu berugama Islam dan raja-raja Melayu itu bertindak sebagai watak pemelihara agama.

Kita menulis begini supaya orang-orang Melayu Umno lekas-lekas sedar diri bahawa hal Ketuanan Melayu itu menjadi satu ungkapan yang istimewa bukanlah kerana kemelayuan mereka. Tapi, kerana mereka itu lemah-lembut, berakhlak mulia dan punya sifat menjaga agama Islam ini bukan hanya dalam bentuk amalan peribadi, malah bersifat dakwah.

Sekali gus, mudah-mudahan Umno yang menyebutkan Ketuanan Melayu itu cepat-cepat sedar bahawa yang disebut dalam perlembagaan itu cuma Melayu sebagai beragama dan Raja-Raja sebagai pelindung Islam.

Dan Tuhan tidak menggerakkan hati mereka untuk menamakan Umno sebagai parti yang memperjuangkan Islam dan melindung Islam di dalam perlembagaan. Syahadan, Umno telah diberikan peluang guna melindungi Islam selama 62 tahun belakangan ini.

Maka, Umno juga akan menerima nasib-nasib seperti kaum A'ad, Tsamud dan digantikan dengan parti-parti lain yang bakal dipantau oleh Allah SWT juga untuk memperjuangkan Islam di negara ini. Umno bukan parti keramat! Sudah tentu Umno boleh direhatkan.Wallahualam..

-am-


Krisis ekonomi hari ini rangsang manusia untuk kembali kepada al-Quran

Sesunguhnya pelbagai krisis yang melanda manusia di muka bumi ini sebenarnya adalah kerana tindakan mereka sendiri yang dibiarkan Allah agar mereka kembali kepada kebenaran agama Islam.

Krisis remaja, pembuangan anak luar nikah, krisis keruntuhan moral, krisis keyakinan dan terkini krisis ekonomi adalah disebabkan kesalahan tangan-tangan manusia yang mentadbir bumi tanpa mengikut arahan Allah, justeru Dia menurunkan bala agar manusia merasai keperitan, moga-moga mereka mahu menerima kebenaran Islam, perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 41 surah ar-Rum maksudnya : �Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).�

Kesalahan tidak mahu mentadbir negara dengan Islam atau tidak terfikir untuk menginsafi diri juga dianggap sebagai krisis yang melanda umat manusia, maka krisis demi krisis akan terus melanda jika mereka tidak berniat langsung untuk kembali memartabat dan mendaulatkan Islam.

Ramai cerdik pandai hari ini, sama ada di kalangan umat Islam dan bukan Islam bersetuju mengatakan bahawa keangkuhan dan tindakan biadap Amerika sebenarnya mengundang kepada berlakunya krisis ekonomi di peringkat global, hingga akhbar New Starits Time Singapura dalam laporannya Jumaat 10 Oktober 2008 menyebut bahawa, kemungkinan besar ramai pekerja negara itu akan diberhentikan kerja dalam tempoh sebulan dua ini kesan daripada krisis ekonomi.

Syariat Islam adalah penyelesai kepada kemelut ekonomi

Negara-negara umat Islam, khususnya negera-negara OIC perlu menjadi perintis kepada pelaksanaan sistem ekonomi bertepatan dengan roh syariat Islam yang berteraskan elemen ayat-ayat al-Quran tanpa sedikitpun terikat dengan mana-mana elemen sistem ciptaan manusia, kerana Islam menganggap ia sebagai cara untuk menghapuskan sistem-sistem yang dikenal pasti menindas kepentingan orang ramai.

Bagi menangani kemelut ekonomi yang dianggap menyusahkan banyak pihak khususnya orang awam, Islam telah meletakkan garis panduan untuk diikuti oleh seluruh peringkat individu di kalangan umat Islam, iaitu prinsip al-Quran yang menghubungkan naluri manusia dengan hukum syariat Allah SWT, ia dapat dijelmakan menerusi tiga perkara berikut : 1- Menyediakan kaedah membersihkan hati manusia daripada segala dosa, dengan meninggalkan segala aspek muamalat yang dianggap jijik oleh Islam. 2- Kaedah menambah-baik pengurusan harta dan cara pensuciannya daripada daki riba, faedah dan sebagainya. 3- Menjamin keharmonian hidup kepada setiap individu dalam bermasyarakat untuk memenuhi keperluan mereka dari sudut penggalakan pertumbuhan ekonomi bagi meneruskan agenda hidup harian terutama kepada golongan fakir, miskin dan mereka yang benar-benar perlu dibantu.

Islam dan keperluan pertambahan pengeluaran produk

Islam sentiasa menggalakkan penganutnya agar peka dalam menambahkan pengeluaran produk yang bermutu tinggi yang menjadi keperluan kepada orang ramai tanpa melakukan pembaziran lebih-lebih lagi boleh dijadikan pendapatan negara.

Produk yang perlu dihasilkan adalah berbentuk pengeluaran keutamaan seperti beras, gandum, bukannya dengan penanaman tembakau atau bahan-bahan yang yang tidak boleh dimanfaat oleh sebahagian besar rakyat sesebuah negara malah ia adalah produk yang membawa kepada bahaya.

Apa yang penting untuk penghasilan sesuatu produk itu benar-benar diberkati Allah, ialah dengan wujudnya aspek akhlak yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara, iaitu akhlak yang menjadikan seseorang itu berdisplin dan beretika malah jauh dari sebarang tindakan negatif seperti yang dibahaskan di atas antaranya, menipu, terlibat dengan rasuah, judi, arak, pelacuran dan lain-lain.

Disiplin, tekun, bersungguh dan beretika dalam pekerjaan menjamin produktiviti yang disantuni Allah sebagai satu bahagian akhlak yang cukup memberangsangkan, sekali gus seseorang itu akan merasakan ketenangan dalam meningkatkan mutu hasil ekonomi yang terbaik buat negara dan masyarakatnya malah membantu mencapai tahap ekonomi yang baik.

Konsep Pembangunan Ekonomi

Asas Iman, Islam dan Ihsan melatari segala gerak kerja pembangunan.

Syariat adalah asas pembangunan yang berikutnya. Pengembangan ekonomi mesti merujuk kepada asas-asas yang syar�i dan halal. Segala akad-akad yang fasid serta muamalat yang berunsur gharar dan qimar tidak boleh menjadi amalan dalam membangun ekonomi. Pembangunan mesti menjulang dasar yang adil, tidak menindas, atau melalui kaedah yang zalim dan haram. Asas berikutnya ialah asas akhlak atau Ihsan. Pembangunan keperihatinan moral adalah prasyarat dalam pembangunan ekonomi Islam. Sebab itu usaha meningkatkan kemakmoran mesti digandingi oleh usaha meningkatkan ibadah, menggilap ruhani dan tendensi kejiwaan yang lohor dan positif.

Hal ini penting untuk mengukuhkan kawalan dalaman serta daya kontrol nafsu dan kemahuan yang rendah. Jika tidak dilakukan maka masyarakat akan dihantui oleh kecenderungan melempiaskan nafsu syahwat dan peningkatan jenayah serta maksiat.

Selain dari itu ilmu, teknologi dan keterampilan adalah asas yang tidak kurang pentingnya dalam menjana pembangunan ekonomi umat Islam. Semakin tinggi pencapaian warga umat Islam dalam bidang ilmu, teknologi dan keterampilan maka semakin meningkat kemajuan pembangunan ekonomi yang dapat dicapai. Ini berkait rapat dengan keupayaan untuk takhassus dalam berbagai bidang pengeluaran.

Pembangunan Seimbang juga merupakan matlamat pembangunan ekonomi Islam. Ia bukan hanya bermakna pembangunan yang harmoni dan seimbang antara wilayah-wilayah dan antara sektor-sektor ekonomi tetapi juga kepada pemulihan kesaksamaan agihan pendapatan dan pemilikan harta.

Jika apa yang diutarakan di atas dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh para pemerintah Islam di seluruh dunia, pembangunan ekonomi bukan sahaja meningkat, malah negara dibayangi dengan faktor rahmat daripada Allah SWT, malah Dia akan menganugerahkan punca dan sumber rezeki (ekonomi) yang tidak disangka-sangka, sama ada hasil yang keluar daripada perut bumi ataupun yang turun daripada langit, ia bertepatan dengan firman-Nya menerusi ayat 96 surah al-�Araf maksudnya : �Sekiranya penduduk di sesebuah negeri, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.�

-am-

Amat penting mendalami Sirah Nabi

Benarlah kenyataan sebahagian para ulama setelah tamat menjalani proses tarbiyah pada bulan Ramadan, mereka mengingatkan kita pula agar jangan lupa untuk terus bermohon dengan menadah tangan ke hadrat Allah Yang Maha Besar dalam segala hal, supaya kita sentiasa diberikan petunjuk hidayah-Nya ke jalan kebenaran.

Apa kita mengamati kenyataan itu, memang ada kebenarannya, kerana bukan semua orang Islam khususnya dalam negara kita ini yang terus komited dengan Islam.

Mengapa tidak, sebulan kita berpuasa pada siang hari dan waktu malam bersolat Isyak dan Tarawih bertujuan untuk mensucikan hati, tiba-tiba ada sebahagian mereka merosakkan hati dengan program hiburan pada malam raya, tidakkah tindakan itu menyalahi ajaran baginda Rasulullah s.a.w.

Kita perlu sedar, bahawa petunjuk hidayat Allah tidak terhenti untuk dipohon pada Ramadan sahaja, malah ia perlu dilakukan sepanjang masa agar seluruh agenda hidup kita menepati tuntutan daripada ajaran baginda Rasulullah s.a.w.

Seminggu selepas raya anak-anak kita telah menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan SPM tidak berapa lama lagi.

Jika kita termasuk dalam senarai kategori ibu bapa yang benar-benar mendapat hidayat Allah, betapa bahagianya kita apabila doa-doa kudus kita mengiringi anak-anak kita yang menduduki peperiksaan sekali gus diterima di sisi Allah SWT dan akan menganugerahkan kepada mereka kejayaan yang cukup cemerlang dalam hidup mereka.

Para ulama juga berpesan, ketika menyambut hari raya janganlah kita lupa pula untuk memperdalami Sirah Nabi Muhammad s.a.w., kerana ia merupakan rujukan penting buat kita bagi menerajui kehidupan berteraskan kebenaran yang ditonjolkan bagi dalam sirahnya itu.

Kenyataan mereka ada kebenarannya, kerana Sirah Nabi Muhammad s.a.w. pernah didefinisikan oleh ulama-ulama sirah seperti Syeikh Muhammad al-Ghazali, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Dr Munir Muhammad al-Ghadban antara lain: Sirah Nabi Muhammad itu adalah pelaksanaan Islam secara praktikal, contoh terbaik bagi mendirikan sebuah Negara Islam, ia juga merupakan sumber pelaksanaan undang-undang Islam dan akhlak-akhlak Islam.

Apabila kita teliti dengan saksama definisi Sirah yang dilontarkan oleh mereka, kita dapat menyelami maksud bahawa segala tindakan, cara hidup, cara bermuamalah, berpakaian, berpolitik, berjiran, mentadbir negara dengan undang-undang Islam dan banyak lagi, semuanya dipraktikkan oleh Nabi yang juga melaksanakan Islam dalam bentuk yang menyeluruh.

Alangkah sedihnya apabila kita dibekalkan oleh para pentazkirah yang diundang khas untuk menyampaikan tazkirah di surau atau masjid yang berdekatan dengan rumah kita pada sebulan Ramadan, banyak pengisian, maklumat agama dan semasa berpaksikan ilmu-ilmu al-Quran, hadis Nabi, Sirah dan lain-lain, ia bertujuan untuk menjadikan kita insan-insan yang dapat mempraktikkan Islam dalam Ramadan dan Syawal, tiba-tiba ada perkara yang merosakkan pahala secara sedara ataupun tidak.

Sebagai contoh, Nabi Muhammad s.a.w. telah mencontohkan kepada kita secara praktikal cara bermuamalat sesama ahli keluarga dengan menjaga batas-batas aurat dengan sempurna, walaupun termasuk ipar duai, biras ibu saudara atau anak saudara perempuan isteri yang bukan mahram dengan kita atau sebaliknya.

Bayangkan pada hari raya baru-baru ini, kita pulang ke kampung untuk menyambutnya dengan girang dan gembira sebagai tanda kesyukuran kepada Allah kerana berjaya menjalani ujian puasa sebulan di siang hari, kita berkumpul dengan ahli keluarga yang besar jumlahnya, termasuk kakak-kakar ipar, adik-adik ipar perempuan, biras perempuan yang tidak memahami batas-batas aurat sehingga mereka hanya berhijab (bertudung kepala) ketika dalam perjalanan pulang dalam kereta, tetapi membukanya setelah sampai di rumah mentua mereka.

Tidakkah itu yang pernah dikatakan oleh Nabi, bahawa mati lebih baik daripada kita melihat aurat mereka, ia berlaku dalam rumah kita atau rumah mentua kita sendiri, tidakkah itu satu kemungkaran yang mesti ditangani, Nabi mengajar kita supaya mengubah kemungkaran dengan kuasa yang ada, kalau tidak pun dengan lidah (bercakap) mengenai kemungkaran itu atau pun hanya sekadar berdoa dalam hati yang dianggap selemah-lemah iman.

Kenapa kita mampu mengubahnya? Sanggupkah kita melihat rumah kita sendiri dipenuhi dengan perkara yang dibenci Allah? Pada waktu yang sama kita dibekalkan maklumat agama dalam tazkirah yang disampaikan pada malam-malam Ramadan.

Apakah kita sanggup melihat saban tahun menyambut hari raya dalam keadaan kita berdosa kepada Allah SWT? Kalau persekitaran kita pada hari ini tidak bersifat Islamik kerana tidak mampu untuk membendung kemungkaran, mengapa kita membiarkan kemungkaran yang sama juga melanda rumah tangga kita? Di sinilah letaknya keupayaan dan keberkesanan ilmu yang kita garap sebelum dan selepas Ramadan.

Ini menunjukkan bahawa, pentingnya ilmu-ilmu fiqh yang menceritakan persoalan hukum-hukum agama, akidah yang memantapkan kepercayaan kita kepada Allah, Sirah Nabi yang mencontohkan Islam secara praktikal, ilmu tafsir yang menghuraikan isu-isu semasa, hadis-hadis Nabi yang memimpin kita ke jalan kebenaran.

Justeru, kita perlu mengintegrasikan ilmu-ilmu tersebut dalam satu tubuh badan kita sebagai Muslim yang komited kepada Islam. Mengapa kita masih tidak mahu memantapkan diri dengan ilmu-ilmu tersebut, kita masih mahu membuang masa dengan perkara-perkara yang tiada kaitan langsung dengan Islam.

Ingatlah wahai saudara-saudariku sekalian, kematian tidak mengenal usia atau memilih kedudukan seseorang, ia akan menjemput kita menghadapi Allah SWT. Biarlah ketika nyawa kita dicabut, kita berada dalam keadaan dan suasana yang amat disukai Allah, sama ada ketika membaca al-Quran, mendengar kuliah agama, memberi nasihat atau motivasi yang baik-baik kepada anak-anak kita, memantau pembelajaran mereka dan sebagainya, apatah lagi ketika kita sedang tunduk dan sujud kepada-Nya.

Sesungguhnya memperkasa diri dengan Sirah Nabi banyak membantu kita untuk mengislamisasikan agenda hidup, termasuk mentadbir negara dengan undang-undang Islam yang dicipta khusus kepada kita oleh Allah SWT Yang Maha Bijaksana.

-am-

Tsunami Melanda Pilihanraya Kampus

TSUNAMI Politik tanah air yang melanda negara pada pada pilihanraya ke 12, Mac lalu memberikan petunjuk kepada para mahasiswa untuk turut melakukan perubahan sepanjang pilihanraya kampus yang kini telah tiba musimnya.

Ianya dibuktikan dengan beberapa kemenangan di dua Universiti yang dilihat sebagai sarang Aspirasi yang dikatakan pro kepada kerajaan, dan ianya dijangka akan turut membawa perubahan di beberapa universiti utama di Lembah Kelang.

Di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Pro Mahasiswa berjaya menawan lapan kerusi yang mana tiga daripadanya merupakan kerusi umum daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Manakala di Universiti Malaysia Sarawak pula, kumpulan ini telah menang tujuh kerusi daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut Pengerusi Pro Mahasiswa Nasional, Norazali Zainuddin kejayaan di dua Universiti terbabit adalah satu permulaan yang baik bagi musim pilihanraya kali ini.

“UPSI dan beberapa universiti yang lain kita nampak ada perubahan. Dulu tak pernah menang, kali ini kita sudah ada kerusi,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.

Walaubagaimanapun, menurut Norazali, kemaraan tsunami politik ini akan terserlah sekiranya pilihanraya kampus diadakan serentak suluruh negara.

“Kita akan terselah dab ada impak yang lebih besar sekiranya ianya dilaksanakan seperti tahun lalu dimana ianya diadakan dengan serentak di seluruh negara termasuk juga universiti-universiti utama,” katanya lagi.

Tambahnya lagi, walaubagaimanapun, kemenangan yang diperoleh di UPSI adalah untuk memberi signal kepada Pro-Mahasiswa daripada kampus yang lain supaya bekerja keras untuk memastikan kemenangan pilihanraya kali ini berpihak kepada kita.

“Kami yakin Pro Mahasiswa boleh menembusi universiti-universiti di Lembah Klang dan paling kurangpun kami mampu memberi saingan sengit kepada lawan,”jelasnya lagi.

Norazali turut mengingatkan kepada calon Pro-Mahasiswa yang telah menang dalam pilihanraya kampus baru-baru ini, bahawa kemenangan yang diberikan bukanlah untuk dijadikan kebanggaan dan juga mengejar populariti.

“Tugas berat yang dihadapi oleh kita ialah kini bagaimana untuk mengisi kemenangan dan menyakinkan bahawa undi mahasiswa kepada Pro-Mahasiswa kali ini adalah berbaloi” ujar Norazali lagi.

Seorang lagi tokoh mahasiswa, Hafizuddin Razak yang juga Pengerusi Solidari Mahasiswa Malaysia (SMM), beliau mengkritik beberapa universiti yang memonopoli pentadbiran kempimpinan mahasiswa.

Kataya lagi, adanya unsur-unsur menopoli dari pentadbiran untuk mengawal kabinet pelajar dimana ada calon Pro Mahasiswa tidak dilantik.

“Kita masih melihat adanya unsur-unsur manopoli dari pihak pentadbiran. Seperti di kabinet UPSI, calon pro mahasiswa turut memenangi dengan jumlah yang besar walaubagaimanun yang dilantik semuanya dikalangan aspirasi,” menurutnya.

Beliau menambah, perubahan kali ini juga dilihat sebagai keberanian para mahasiswa untuk memilih calon-calon luar dari aspirasi serta mereka turut mengikuti perkembangan arus.

“Kita jangkakan ada perubahan yang besar pada pilihanraya kampus kali ini dimana para mahasiswa telah berani memilih calon-calon dari Pro Mahasiswa,” katanya lagi.

* sumber dari suarakeadilan.com

Thursday, October 23, 2008

Kemelut harga barang


HARGA barang yang tidak turun meresahkan pengguna. - Gambar hiasan

PENGUMUMAN kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel pada minggu lalu pastinya disambut gembira oleh pengguna-pengguna kenderaan di negara ini. Apatah lagi, ia merupakan penurunan kali ketiga setelah mengalami kenaikan tertinggi, Jun lalu.

Seiring dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia, kerajaan mengumumkan pelarasan harga minyak kali pertama pada 23 Ogos lalu dengan mengurangkan harga petrol sebanyak 15 sen seliter dan 8 sen seliter bagi diesel.

Penurunan harga kali kedua pula berlaku pada 25 September lalu dengan kedua-dua petrol dan diesel dikurangkan 10 sen seliter.

Dengan penurunan kali ketiga iaitu 15 sen seliter bagi petrol dan 20 sen seliter bagi diesel pada minggu lalu, harga runcit petrol RON97 kini ialah RM2.30 dan harga diesel RM2.20 seliter. Ini bermakna, dalam tempoh kurang tiga bulan harga petrol dikurangkan sebanyak 40 sen dan diesel 38 sen keseluruhannya.

Harga minyak di pasaran dunia kini berlegar sekitar AS$67.41 (RM239.00) setong berbanding paras tertinggi yang dicapai, AS$140 dolar (RM492.80) setong pada Jun lalu.

Walaupun harga minyak telah turun, namun pengguna kini terus berdepan dengan dilema yang baru apabila sesetengah peniaga terus-terusan menaikkan harga barangan 'seolah-olah mereka masih berada pada bulan Jun 2008.'


APA maknanya harga minyak turun jika harga barang tidak berubah? - Gambar hiasan


Sedangkan pengguna menjangkakan, harga barangan sewajarnya ikut turun apabila harga petrol dan diesel diturunkan kerana faktor itulah yang sering dicanang-canangkan peniaga ketika menaikkan harga barangan dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diusulkan media pada minggu lalu berhubung rungutan pengguna, meminta agar peniaga mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang.

Justeru, wajarkah jika pengguna memboikot peniaga yang masih berdegil menjual barangan pada harga tinggi?

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, memboikot bukanlah jalan penyelesaian.

"Bukan boikot, sebaliknya pengguna sendiri perlu bijak membuat pilihan dalam berbelanja. Boikot juga tidak boleh dilakukan kerana ia turut melibatkan barangan keperluan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

"Tambahan pula, kita tidak boleh memboikot secara membuta-tuli. Pengguna perlu faham, bahawa bukan harga minyak sahaja yang mempengaruhi harga barang. Ia juga bergantung kepada harga barang asas, faktor kenaikan gaji pekerja, insurans dan berbagai-bagai lagi," katanya.

Bagaimanapun, Maamor tidak menolak bahawa terdapat peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan golongan ini seharusnya diambil tindakan.




"Tetapi, masalahnya ialah buat masa ini, kita tidak mempunyai undang-undang yang boleh dikenakan kepada peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya meliputi semua barangan," katanya.

Selain aspek undang-undang, Maamor berkata, masalah lain juga ialah pengguna tidak mempunyai satu prasarana yang membolehkan mereka bertanya sama ada sesuatu harga barangan itu dijual pada harga yang berpatutan.

"Kita sering kali mengingatkan pengguna agar bertindak bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan yang dijual pada harga berpatutan. Masalahnya, pengguna sendiri tidak disediakan satu prasarana yang membolehkan mereka memberi maklumat atau bertanyakan sama ada sesuatu harga barangan itu dijual pada harga yang patut atau tidak?

"Kerajaan seharusnya menyediakan prasarana sedemikian untuk menjadi rujukan harga bagi pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Maamor menasihatkan para pengguna agar terus mengamalkan amalan berjimat cermat walaupun harga minyak sudah turun.

"Seboleh-bolehnya beli barangan yang menawarkan harga patut. Kenal pasti kedai yang menjual barang dengan harga yang munasabah. Membeli barangan di koperasi juga patut diamalkan," katanya.

Berhubung peniaga yang masih menaikkan harga barang, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, satu akta perlu digubal untuk membolehkan hukuman dikenakan kepada pihak terbabit.

"Saya berpendapat, kerajaan seharusnya menggubal satu akta yang boleh mengawal selia harga kesemua barangan seperti Akta Perdagangan Adil di Britain dan Australia. Dengan akta seperti ini, barulah hukuman boleh dikenakan kepada peniaga-peniaga yang rakus menaikkan harga barang," jelasnya sambil menerangkan kawalan selia harga berdasarkan akta tersebut dibuat berasaskan kadar keuntungan munasabah sesuatu perniagaan.

"Dengan itu, peniaga tidak boleh memanipulasi harga barangan yang dijualnya. Sekiranya, sesuatu perniagaan itu mendapat keuntungan melampau daripada yang sepatutnya, harga barangannya akan diselia dan jika didapati bersalah kerana meletakkan harga terlampau tinggi, peniaga boleh dikenakan hukuman," katanya.

Mohd. Yusof juga meminta agar kerajaan melakukan kajian data untuk membezakan barangan yang harganya naik berpunca daripada kenaikan harga minyak dan yang bukan disebabkan faktor tersebut bagi membolehkan tindakan diambil.

"Melalui data itu nanti, barulah kerajaan boleh mengenal pasti peniaga yang menaikkan harga sesuka hati atau sebaliknya," katanya.

Di pihak pengguna pula, Mohd. Yusof menggesa supaya mereka mengamalkan perbelanjaan berhemah dan digalakkan membeli barangan separa jenama yang banyak diusahakan pasar raya kerana ia lazimnya lebih murah.

"Jika selalunya kita membeli susu berjenama popular, cubalah pula kita membeli susu separa jenama seperti susu cap Tesco misalnya. Kualiti, sebenarnya serupa. Di Eropah, barangan separa jenama ini mendapat sambutan yang lebih meluas," katanya.

* sumber dari kosmo!