PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, October 14, 2008

Teka-teki pilihanraya kampus

Pilihanraya kampus masih menjadi rahsia walaupun tempoh perkhidmatan semua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sudah berakhir awal bulan ini.

Bagaimanapun universiti-universiti di sebelah pantai timur Semenanjung dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membuat pengundian pada minggu ini.

Notis pemberitahuan tentang pilihanraya sesi 2008-2009 yang dijadual Khamis ini dikeluarkan di kampus-kampus berkenaan dua minggu lalu.

Pemilihan awal ini melibatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Di UUM, pilihanraya kampus dijadualkan Rabu, lapor Bernama hari ini.

Universiti-universiti lain masih belum jelas kedudukannya buat masa ini.

Seorang aktivis mahasiswa memberitahu Malaysiakini hari ini, universiti-universiti utama di Lembah Kelang seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka diadakan Januari tahun depan.

Tarikh pilihanraya di institusi-institusi lain tidak dapat dipastikan, kata jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Ahmad Shahir Abdul Aziz selepas pertemuan beberapa pemimpin pelajar dengan pegawai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun.

Tarikh tepat bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Idris hari ini dilaporkan berkata setiap institusi pengajian tinggi awam dibenarkan menetapkan tarikh pilihanraya di kampus masing-masing.

Pertemuan di lobi Parlimen hari ini kira-kira setengah jam turut dihadiri Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM).

Beberapa kumpulan mahasiswa Jumaat lepas menuntut Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan segera tarikh pilihanraya di kampus-kampus lain.

Sebanyak 13 kumpulan mahasiswa bersama penyokong diketuai SSM menuntut kementerian berbuat demikian “supaya amalan demokrasi dapat berjalan dengan baik” di peringkat kampus.

"Pilihanraya kampus kali ini tidak serentak.

"Kementerian Pengajian Tinggi sengaja merahsiakan tarikh pilihanraya keseluruhan kampus daripada pengetahuan mahasiswa,” kata pengerusinya Mohd Hafizuddin Abirerah.

Pada 2 Oktober lalu, Majlis Perwakilan Pelajar di kampus seluruh negara dibubarkan selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat.

* sumber dari malaysiakini.com

Mauidzah: Waktu makruh mendirikan solat sunat tidak bersebab

Andai kata dengan hanya sekali mendirikan solat 'istikharah' belum mendapat sebarang tanda kebaikan, ulangi kali kedua dan seterusnya.

Di kalangan ulama ada yang berpendapat bahawa ulangi solat teresebut hingga satu minggu.

Kadang kala Tuhan buka pintu hati kita dengan istikharah itu, ada ketikanya Tuhan kurniakan melalui sahabat yang ikhlas.

Dalam perbualan ditakdirkan sahabat itu menyentuh perkara tersebut, lalu terjawablah istikharahnya kepada Alah SWT.

Ada kalanya Tuhan kurniakan petunjuk melalui mimpi dengan jelas, diceritakan secara nyata dan fahamlah melalui mimpi itu. Ada ketikanya mimpi itu memerlukan 'ta'bir' melalui orang yang arif tentang rahsia mimpi.

Kini tiba ketikanya untuk menghuraikan tentang waktu yang makruh untuk tunaikan solat sunat. Dalam erti kata bahawa masa 24 jam yang dikurniakan Allah SWT, tidak seluruh waktu boleh digunakan untuk solat.

Meskipun solat merupakan ibadat yang terunggul di sisi Allah SWT, namun ibadat tersebut mesti mengikut cara peraturan yang dikehendaki-Nya.

Walau bagaimana indah dan baiknya sesuatu ibadat mengikut pandangan sendiri, Tuhan akan ditolak ibadah itu sekiranya tidak menepati kehendak Allah SWT.

Dalam banyak perkara yang perlu waspada adalah mengenai waktu, terdapat lima ketika yang makruh melakukan solat.

Pertama, selepas solat Ashar. Kedua, sesudah solat Subuh. Masa ketiga waktu gelincir tengah hari (zawal). Waktu keempat ketika mata hari sedang naik di ufuk timur. Detik kelima ketika mata hari sedang jatuh di ufuk Barat.

Semua lima waktu yang dinyatakan itu makruh mendirikan solat yang tidak bersebab, seperti solat sunat mutlaq, termasuk solat sunat hajat kerana yang menjadi sebab musababnya muncul kemudian (mutakhir).

Adapun solat yang bersebab seperti qadha solat ratibah (kapit solat fardhu) lantaran sesuatu sebab, dengan mengqadha solat ratibah bagi melazimkan solat sunat tersebut yang lazimnya dilakukan. Hanya lantaran keuzuran tertentu solat tersebut tertinggal.

Termasuk dalam solat bersebab ialah solat gerhana (kusyuf), solat jenazah. Bagi solat bersebab tidak dimakruhkan melakukannya pada lima ketika yang dinyatakan itu.

Sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri, diriwayatkan: Bahawa Nabi s.a.w. pernah solat dua rakaat selepas solat Ashar, lalu seorang sahabat bertanya; ya Rasulullah, bukankah kamu pernah melarang kami solat selepas solat Ashar?

Berkata Nabi s.a.w.: "Bahawa dua rakaat yang aku dirikan itu sebagai ganti (qadha) solat dua rakaat selepas Zuhur, oleh kerana ada tamu datang ke rumahku menyebabkan aku tidak sempat solat sunat selepas Zuhur."

Hadis kedua yang menjadi dalil bahawa Nabi s.a.w. pernah menggunakan waktu yang makruh untuk qadha solat tahajud, hadis tersebut riwayat Saiyidatina 'Aisyah r. anha katanya: "Nabi s.a.w. apabila sekali sekali terlalu mengantuk atau sakit, menyebabkan beliau tidak boleh bangun malam untuk tahajud, maka baginda s.a.w. qadha solat pada awal pagi (selepas solat Subuh) dua belas rakaat."

Hadis tersebut menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. pernah mendirikan solat qadha tahajud pada awal pagi, iaitu waktu yang dimakruhkan mendirikan solat yang tidak bersebab.

Oleh kerana Nabi s.a.w. mempunyai sebab mengapa beliau tidak dapat bangun solat tahajud malam, maka digantinya solat tahajud itu pada awal pagi.

Rahsia dimakruhkan oleh syara' mendirikan solat pada waktu tersebut ialah untuk mengelak daripada menyerupai penganut agama para penyembah mata hari.

Sesungguhnya Islam mengajar umatnya supaya beribadat dengan caranya sendiri, seperti yang ditegaskan oleh al-Quran dan sunnah Nabi s.a.w. Tidak meniru atau menyerupai ibadat agama lain termasuk penyembah mata hari.

'Illat tersebut meskipun berkait khusus dengan perkara solat, namun ia meliputi perkara yang lain termasuklah dalam soal akhlak atau adab dan soal menutup aurat (terutama bagi wanita) yang diwajibkan menurut al-Quran, hatta berpolitik dan mentadbir negara secara Islam.

Dengan cara demikian jelaslah perbezaan antara peribadi atau cara hidup orang Islam yang beriman, dengan masyarakat kuffar yang lain.

Kemurnian Islam amat nyata pada pandangan masyarakat umum, antara cara hidup orang yang berlandaskan iman kerana beramal dengan syari'at Islam, dengan golongan yang mencabar syari'at Allah SWT.

Di antara jenis ibadat di kalangan manusia kufur kepada Allah SWT ialah ibadat menyembah mata hari. Ibadat tersebut dilakukan ketika mata hari naik di awal pagi, ketika tengah hari mata hari gelincir (zawal) dan ketika mata hari jatuh ketika senja.

Justeru jika umat Islam mendirikan solat ketika tersebut, ia dianggap menyerupai ibadat penyembah mata hari, kecuali solat qadha dan solat yang bersebab.

Berdasarkan peristiwa qadha solat sunat yang berlaku kepada Nabi s.a.w., Imam Ghazali juga berpendapat bukan saja solat sunat, tetapi seseorang mempunyai amalan wirid, lalu terhalang kerana sesuatu keuzuran, maka wirid tersebut perlu diqadha pada waktu yang lain. Sehingga dia merasa tidak mengapa duduk sahaja tanpa wirid itu.

* sumber dari coretan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Kembangkan dakwah sehingga di luar masjid

Bulan Ramadan lalu, ada beberapa buah program televisyen popular yang mendapat tempat di hati peminat, seperti Tanyalah Ustaz, Syahadah, As-Salam USA, Kembara Ramadan, Jejak Rasul, Al-Risaalah dan beberapa rancangan lagi.

Dalam banyak-banyak program tv itu, antara yang menarik perhatian saya ialah program Tanyalah Ustaz. Daripada persoalan yang sekecil-kecilnya sehinggalah kepada soalan yang paling sukar, rumit telah cuba dijawab oleh para penceramah dan tetamu undangan tersebut.

Mungkin bagi sesetengah orang, soalan-soalan yang mudah itu sangat remeh. Tetapi bagi sesetengah orang, persoalan yang remeh itu amat besar bagi mereka. Kalau persoalan itu terjawab, maka lapanglah dada mereka untuk meneruskan amalan.

Selagi mana batu persoalan itu masih belum dipecahkan, nescaya penonton tidak rasakan keseronokan dalam beramal. Bayangkan kalau pertanyaan mereka masih belum terjawab, maka akan berterusanlah mereka beramal dalam keadaan resah gelisah.

Misalnya, ada seorang wanita yang bertanya adakah batal solatnya jika dia membuat tiga gerakan sepanjang solat terawih? Lalu dijawab ustaz, bahawa yang dimaksudkan dengan gerakan tiga kali yang membatalkan solat itu adalah khusus terhadap pergerakan anggota yang membabitkan pergerakan yang keras dan jelas kelihatan.

Sekadar gerakan kecil-kecilan, maka hal itu bukanlah membatalkan solat. Maka, puaslah hati wanita itu untuk beramal sebagai biasa dalam menunaikan solat terawih itu.

Sementara itu, ada pula seorang wanita yang meminta pandangan mengenai pengambilan pil bagi menghentikan haidh. Tujuannya ialah supaya dia dapat meneruskan puasa seperti biasa. Mungkin, wanita itu mahu mengelak qada puasa.

Saya sendiri sudah lupa apa jawapan ustaz itu. Namun, yang jelas pada fikiran saya ialah, ustaz itu tidak menggalakkan amalan tersebut. Huraian lanjutnya tidaklah saya pasti.

Kalau saya berada di tempat ustaz tersebut, maka kemungkinan besar saya cuba mencari jalan falsafah untuk menjawabnya. Jawapannya ringkasnya lebih kurang begini ...

Islam agama fitrah

Kita sedia maklum bahawa Islam adalah agama fitrah. Dan puasa adalah di antara amalan yang akan menuntun jiwa manusia ke arah sifat kemanusiaan (fitrah) itu.

Kesemulajadian, sifat asal dan tabiat, fizikal dan mental, rohani dan jasmani manusia itu adalah fitrah. Insan dibekalkan dengan sifat yang sebenarnya tidak menghancurkan alam ini. Jika insan itu menjadi perosak, maka dia meninggalkan fitrah kejadian asalnya.

Kepada kaum Hawa, Allah membekalkan kepada mereka satu kitaran putaran haidh yang melengkapkan kewanitaan. Kewanitaan adalah sebahagian daripada belahan kemanusiaan (fitrah). Selesai berpuasa, kita akan menyambut Aidil Fitri (kembali kepada fitrah).

Syahadan, tidakkah tindakan memakan pil guna menyekat kelancaran kitaran haidh telah menghalang salah satu fitrah asal kejadian seseorang wanita yang normal?

Bagaimanapun, kita tidak akan mengutarakan persoalan hukum hakam di sini melainkan hanya ingin mengingatkan falsafah puasa sebagai amalan atau alat untuk mengembalikan jiwa manusia agar kembali menemui tabiatnya yang asal.

Banyakkan dialog hukum hakam secara langsung

Kembali kepada topik bualan asal yang berkisarkan dakwah perlu dibawa keluar daripada masjid, maka rasanya menjadi suatu keperluan dalam kalangan stesen penyiaran, saluran tv memperbanyak acara soal jawab secara dua hala melalui telefon, sms dan mel-e seperti mana program Tanyalah Ustaz itu.

Melalui acara secara langsung, bualan dua hala seperti Tanyalah Ustaz itu, kita nampak kesannya lebih kuat berbanding soalan-soalan yang dijawab melalui mel-e setiap minggu di dada akhbar. Tempoh menjawab soalan-soalan itu terlalu lama di akhbar.

Sama a kita setuju atau tidak, kita harus akui bahawa kadar celik hukum dalam kalangan rakyat Malaysia yang beragama Islam ini berada pada tahap yang rendah.

Malangnya, golongan ini juga kurang membaca dan mereka tak tahu apakah bahan-bahan bacaan yang perlu dibaca. Selain itu, tidak ramai juga yang suka ke masjid, mendengar isi ceramah dan menghadiri sesi soal jawab tentang hukum hakam dalam masalah feqah.

Realitinya, ramai khalayak yang suka menonton tv. Jadi, saluran tv sememangnya saluran yang amat baik untuk mengasuh dan mendidik masyarakat kita melalui acara bual bicara seperti rancangan Tanyalah Ustaz itu.

Kebanyakan program seperti Halaqah, Forum Hal Ehwal Islam, al-Kulliyyah dan lainnya adalah bersifat sehala di mana hanya ustaz, agamawan, penceramah dan pendakwah saja yang memainkan peranannya untuk mempersembahkan idea.

Tetapi, ini tidaklah bermaksud rancangan itu kurang bagus. Malah ia perlu diteruskan dan seharusnya dikembangkan lagi dengan membanyakkan serta mempelbagaikan rancangan dakwah yang bersifat dua hala (sesi soal jawab) itu.

Ketika sedang asyik berjuang bagi menegakkan Negara Islam, maka jangan lupa bebanan tugas untuk mendidik insan hingga mereka terus beramal dengan sempurna. Amalan yang sempurna adalah amalan yang dilakukan tanpa wujud sebarang keraguan.

Dan amalan yang bersih daripada sebarang keraguan itu tercapai apabila setiap kekeruhan pertanyaan tentang selok-belok amalan itu dapat dijernihkan dengan segala jawapan.

Itu baru hal hukum-hakam sekitar persoalan solat terawih, amalan puasa, haidh dan nifas. Kita lihat masih ramai lagi masyarakat Muslim yang belum beres soal-soal kecil ini. Jadi, agak-agaknya, pertanyaan berhubung feqah Negara Islam sudah beres atau belum?

Kalau masih bersarang keraguan tentang feqah Negara Islam dalam hati dan fikiran orang Islam sendiri, apakah mudah laluan ke arah pembinaan Negara Islam di Malaysia di mana rakyatnya berbilang bangsa, agama dan kepercayaan, berjalur fahaman dan ideologi?

-am-

Setiap Muslim perlu jaga hati

Bulan Ramadan adalah masa paling sesuai untuk mengorak langkah menjadi insan cemerlang dari sudut amalan, cara hidup, berpakaian, berinteraksi sesama manusia, kerana di dalamnya disediakan sukatan (silibus) yang terbaik daripada Allah SWT.

Justeru, walaupun Ramadan telah berlalu, pasti terdapat insan bergelar graduan cemerlang ketika meraih hadiah kecemerlangan pada malam konvokesyen (Aidilfitri) dengan persiapan yang mantap dari sudut kesediaan sambutan yang diredai Allah SWT.

Iaitu sambutan menghidupkan malamnya dengan bertakbir, bertahmid, bertasbih, bertahlil, membaca al-Quran, berqiayamullail, ia bertujuan untuk menghidupkan hati manusia pada hari di mana Allah matikan hati mereka iaitu pada hari kiamat, ia bertepatan dengan sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri), maka hatinya tidak akan mati pada hari Allah matikan hati-hati manusia (akhirat)."

Justeru, Allah SWT akan mempersoal hati manusia ketika dia datang bertemu dengan-Nya pada hari kiamat mengenai apa dilakukan semasa di dunia. Hal ini ditegaskan Allah menerusi ayat 36 surah al-Israa maksudnya: "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."

Ini kerana hati manusia ibarat seorang raja yang boleh mengeluarkan arahan terhadap bala tenteranya. Dia boleh bertindak untuk menerus atau memberhentikan sesuatu peperangan jika dia melihatnya tidak memberi apa-apa keuntungan.

Baginda s.a.w. menganggapnya sebagai perkara yang utama dalam diri manusia, jika ia baik, maka baiklah seluruhnya anggota manusia, tetapi jika sebaliknya ia jahat, maka jahatlah seluruh anggotanya, itulah hati manusia. (Maksud sebahagian hadis riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim)

Paling penting, setiap Muslim perlu mencari jalan bagaimana mereka dapat meluruskan hati mereka daripada terkena virus penyakit berbahaya yang boleh mencacatkan hubungan mereka dengan Allah pada hari kiamat.

Ini kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:

* Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.

* Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.

* Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.

Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera.

Ini ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu'araa yang bermaksud: "Iaitu pada hari di mana harta dan anak-anak tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera)."

Iaitu sejahtera, bersih dan selamat daripada penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.

Apa yang perlu mereka ketahui, ialah bahawa hati manusia terbahagi kepada tiga jenis, satu positif dan dua yang lain adalah negatif, ia terserah kepada manusia Muslim untuk memilih salah satu daripada tiga jenis hati: (a) hati yang sejahtera (daripada segala bentuk khurafat, syirik, bidaah, nifaq), (b) hati yang mati dan (c) hati yang sakit.

Hati yang sejahtera

Iaitu hati yang sejahtera daripada menuruti hawa nafsu serakah yang menyalahi perintah Allah SWT, tidak terjebak dalam perlakuan syirik kepada-Nya, tidak melakukan tindakan yang menyalahi ajaran Rasul-Nya. Ia adalah hati yang sentiasa tunduk kepada kehendak Allah, mencintai-Nya lebih daripada isi dunia, takut kepada seksaan-Nya, rindu untuk menemui-Nya, ikhlas kerana-Nya, mengasihi seseorang Muslim dan membencinya kerana-Nya, sentiasa sokong dan cenderung kepada hukum-hakam-Nya, terselamat daripada jangkitan virus penyakit hati. Inilah hati yang hidup sejahtera, lembut, sedia menerima nasihat.

Hati yang mati

Iaitu hati yang berlawanan dengan hati yang sejahtera 100 peratus, iaitu membiarkan untuk tidak terus mengabdikan sebagai hamba Allah, menuruti hawa nafsu, menyanggah hukum-hukum-Nya, membenci golongan yang menyeru kepada kebaikan, menghalang majlis-majlis ilmu, tidak mahu menerima nasihat yang baik malah melawannya, bersahabat dengan orang-orang jahat. Itulah hati yang mati dengan Islam.

Hati yang sakit

Iaitu hati yang tidak konsisten, adakalnya cenderung kepada kebaikan dengan mendengar nasihat penceramah dan pada masa sama cenderung kepada kejahatan, inilah hati sekejap baik sekejap jahat.

Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?

Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:

1. Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.

2. Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.

3. Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.

4. Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.

5. Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.

6. Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.

7. Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.

Tanda-tanda hati yang rosak

1. Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.

2. Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.

3. Merasa seronok bergelumang dalam dosa.

4. Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.

5. Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.

6. Benci kepada orang-orang soleh atau mereka yang suka melakukan kebaikan.

7. Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.

8. Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.

9. Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikit pun tidak takut kepada Allah.

10. Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.

Kaedah rawatan penyakit hati

a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.

b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.

c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.

d) Khusyuk dalam solat.

e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.

f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.

g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.

h) Beriktikad dengan akidah yang betul.

i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.

j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.

k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.

l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.

m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.

n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.

o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.

p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.

q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.

r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang soleh yang boleh dijadikan teladan.

-am-

Saturday, October 11, 2008

Islam membenarkan demonstrasi, 12 nokhtah perhatian

Berhimpun dan mengadakan demonstrasi; menunjuk perasaan secara aman adalah salah suatu tindakan yang sah dari segi syara dan undang-undang untuk menyatakan penentangan terhadap kemungkaran. Ia suatu pendekatan yang berkesan untuk menyerlahkan pengaruh dan kuasa kebenaran.

Dengan itu orang yang zalim akan kembali sedar menginsafi kesalahan diri mereka. Hukum asal berhimpun secara aman dan berdemonstrasi adalah harus .

Tapi kalau dirujuk kepada 'Maqasid al Syaria'ah' ia mungkin menjadi 'Mandub' atau sunnah. Malah ia mungkin beralih kepada hukum wajib seandainya tidak ada cara lain untuk menegur dan membetulkan kemungkaran kecuali dengan cara keluar beramai-ramai berhimpun dan berdemonstrasi di padang terbuka atau di jalan raya .

Hal seperti ini pernah dilakukan oleh golongan ulama tersohor sepanjang sejarah. Setakat yang kita tahu tidak ada ulama yang membantah mereka. Berhimpun dan berdemonstrasi adalah salah satu yang memberi petanda dan ukuran terhadap pandangan massa rakyat .

Demonstrasi juga memperkasa kecenderungan rakyat ke arah mempertahankan kebenaran.

ImageSalah satu aras penanda utama yang menyerlahkan sifat kejantanan dan kelelakian ialah keupayaan seseorang menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah tirani yang zalim dan korup. Hal ini akan lebih nyatadan berkesan lagi jika dilakukan oleh rakyat seluruhnya .

Suara dan teriakkan ribuan para demonstran di jalan raya melaungkan kebenaran di berbagai pelusuk kota dan desa pastikan akan menyerlahkan kesepaduan tekad dan kekuatan umat membanteras kejahatan . Menyuarakan isu kebenaran dan membenarkan yang hak adalah suatu kewajiban moral ; malah dia adalah syiar agama.

Seandainya menyatakan kegembiraan justeru ketibaan hariraya dan menghimpunkan umat untuk berhari raya itu sunat termasuk menghimpunkan orang yang tidak wajib atau sunatpun mereka bersolat ; demi meramaikan majlis keraian orang orang Islam; sebagai menyatakan keceriaan dan kegembiraan dengan kedatangan hari raya maka apatah lagi berhimpun dan menunjukkan rasa solidariti dan simpati kepada mangsa kekejaman dan kezaliman yang telah dilakukan terhadap mana-mana manusia di dunia ini.

Sama ada rumah mereka telah dirobohkan atau maruah mereka telah dicabuli mahupun kerana pembunuhan terhadap anak dan isteri mereka. Kepentingan dan Keabsahan Demonstrasi Memandangkan masih ramai kalangan yang jahil dan keliru terhadap pandangan agama Islam terhadap demonstrasi ini maka di sini kita akan tampilkan dalil sunah daripada Sirah Rasul dan perspektif Islam terhadap hal ini berdasarkan asas dan kaedah yang difahami oleh ulama dan amalan mereka; baik pengucapan mahupun perbuatan.:

Pertama: Dari Sudut Kesannya Terhadap Lawan Lawan atau musuh akan tersentak dengan perbuatan itu dan ini akan menyebabkan mereka kembali merenung dan memikirkan kesilapan mereka. Ini mungkin menyebabkan mereka insaf dan tidak jadi melakukan kejahatan atau kezaliman.

Kaum Quraisy pada zaman dahulu tekejut dan dikejutkan oleh keberanian Rasululluh yang tampil berdemo dalam satu gelombang demontrasi pertama dengan dua ketumbukan yang satu dikepalai oleh Hamzah dan satu lagi diketuai oleh Saidina Omar Ibnu al Khattab.

Inilah suatu demonstrasi pertama dalam Islam; di mana kekuatannya ditampilkan secara aman tanpa peperangan dan maruah Islam diproklamir tanpa konfrantasi.

Kedua: ImageDemonstrasi Adalah Bukti Penolakan Terhadap Kemungkaran Kalau berlaku kekejaman atau pembunuhan terhadap mana mana rakayat yang tidak berdosa maka kita wajib tampil menyatakan bantahan samaada dengan kuasa mahupun dengan yang lain.

Namun kalau tidak ada kuasa maka sekurang-kurangnya dengan lidah dan perkataan. Tapi kalau lisanpun sudah menjadi kelu dan tidak terkata maka sekurang-kurangnya penolakan kemunkaran itu dilakukan dengan hati .( dan itu adalah selemah-lemah iman). Rasulullah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka ia wajib merubahnya dengan tangan (kuasa) jika ia mampu.

Kalau dia tidak mampu maka sekurang-kurangnya dengan lidah. Kalau tidak mampu juga maka sekurang-kurangnya dengan hati dan itu adalah petanda selemah-lemah iman. Ibnu Hajar dalam kitab beliau Fathu al Bari mengatakan: Wajib melaksanakan amr ma'ruf bagi yang berupaya meskipun ianya mungkin berbaur maksiat.

Kerana pada umumnya ia akan diganjari terhadap perlaksanaan amr makruf itu; lebih-lebih lagi jika ia masuk dalam kategori ketaatan. Manakala dosa kecil maksiat yang dilakukan olehnya mungkin akan diampunkan oleh Allah atau sebaliknya. Akan tetapi bagi orang yang berpendapat sebaliknya; yang mengatakan amr makruf tidak wajib hanya kepada sesiapa yang tidak pernah melakukan maksiat maka itu bermakna seolah-olah menutup pintu sama sekali untuk terlaksananya amr ma'ruf .

Lebih-lebih lagi jika tidak ada cara lain untuk menentang kemungkaran kecuali dengan perbuatan itu.

Ketiga: Demonstrasi Memamirkan Kekuatan Umat Islam Sebelum ini kita telah maklum bahawa Rasulullah pernah keluar bersama sahabat berdemontrasi untuk memaparkan suara , kekuatan dan ramainya bilangan umat Islam ketika itu ; meskipun hal ini hasil desakan para sahabat baginda .

ImageSelaras dengan itu adalah pandangan Syaikh Abdul Rahman Abdul Khaliq. Beliau menerangkan: Demonstrasi ada disebutkan sebagai salah satu cara yang diambil oleh Rasulullah untuk mengenengahkan kekuatan Islam dan sebagai salah satu cara dakwah.

Ini berlandaskan hadith bahawa kaum muslimin keluar beramai-ramai setelah Omar mengisytiharkan dirinya menganut agama Islam berdasarkan arahan Rasul dengan dua barisan . Satu barisan diketuai oleh Hamzah R.A. dan satu lagi diketuai oleh Omar.

Teriakan mereka terdengar bagaikan deru kisaran tepung sehinggalah mereka masuk dalam masjid. Pada pengamatan saya tindakan tersebut semata-mata kerana mahu menunjukkan kekuatan (suara kebenaran) Versi hadith tersebut pernah diriwayatan oleh Abu Na'im dalam Kitab al Hilyah dengan sanad yang dihubungkaitkan dengan Ibnu Abbas.

Di mana diriwayatkan Saidina Omar berkata: Wahai Rasulullah , bukankah kita dipehak yang benar; sama ada semasa kita hidup atau kita mati?. Bahkan jawab Rasulullah. Kamu di pehak yang benar; samada ketika kamu hidup atau kamu mati. Maka aku pun meningkah : Kalau begitu mengapa kita harus menyepikan diri (bersembunyi) Demi Allah yang mengutusmu membawa kebenaran engkau mesti keluar menampilkan diri .

Lalu kami keluar bersama baginda dalam dua barisan para penunjuk perasaan. Hamzah mengepalai satu barisan dan aku mengepalai satu barisan. Demonstrasi ini gegap dengan teriakan bagaikan bunyi alat kisaran tepung (yang besar) sehinggalah kami sampai dan masuk dalam masjid. Dia berkata lagi :

Kemudian aku dapati kaum Quraisy menoleh kepada ku dan kepada Hamzah dengan pandangan muram dan sugul. Mereka merasa kecewa dan frustrasi yang tidak pernah mereka alami sebelumnya. Sejak daripada itu Rasululah member i nama jolokan kepada ku sebagai Omar al Faaruq. Kerna Allah telah menyerlahkan perbezaan antara kebenaran dan kebatilan dengan (pengislaman) diriku.(Lihat Hilyatul Aulia Juz 1 hal:40 dan Fathul Bari Juz 7 Hal:59}

Keempat: ImageSemangat Perundangan Islam Membenarkannya Syariat Islam banyak mengandungi syiar amalan dan slogan yang menyerlahkan menifestasi kekuatan, pengaruh dan dakwah Islam itu sendiri.

Umpamanya solat berjamaah, solat Jumaah, solat dua hariraya dan sebagainya. Rasulullah sendiri memerintahkan agar kaum wanita samadan yang berhaidh atau anak dara keluar menghadiri solat hari raya samaada di masjid atau di tempat lapang dengan alasan yang beliau sebutkan :

Mereka hendaklah melihat( meramaikan) majlis kebaikan dan seruan dakwah Islam kaum muslimin. Antara kebaikan yang mereka saksikan ialah ramainya bilangan orang Islam dan bagaimana mereka beramai-ramai menampilkan syiar-syiar Islam.

Baginda juga pernah mengutus para utusan yang ramai dan ketumbukan perang yang matlamat utama baginda di sabalik pengiriman utusan tersebut ialah untuk mempamirkan kekuatan umat .

Sebab itu baginda pernah berkata kepada Usamah R.A. "Bawa (tentera berkudamu) memijakkan kakinya di bumi Balqa."

Kelima: Demonstrasi Pada Asasnya adalah Harus Demonstrasi adalah satu tatacara atau wasilah. Oleh itu hukumnya adalah hukum yang berstatus wasilah.'Al Asl fi al Wasaail al Ibahah.' (Hukum wasilah – pada dasarnya – adalah harus )

Oleh itu kalau ada pun perkara pelanggaran kecil yang dilakukan ketika itu maka hukumnya adalah mengikut hukum al Maqasid .

Perkara yang dimaksudkan oleh orang Islam ketika melaksanakan kegiatan seperti ini ialah menyatakan dan mendambakan kebenaran, menolak kezaliman , mendedahkan kejahatan golongan tirani . meniup semangat orang ramai menggalakkan mereka bertindak untuk menegur dan membanteras kejahatan.

Oleh itu demonstrasi boleh mengukuhkan kesepaduan pendirian dan solidariti sesama umat.

Keenam: Demonstrasi Memperkasa dan Menggerakkan Massa Umat Menghadapi Kuasa Tirani. Pada suatu ketika ada seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah tentang perangai buruk jiran tetangganya (sehingga menyusahkan ketenteraman hidupnya sebagai jiran) .

Baginda berkata kepadanya; Keluarkan barangan rumah tangga saudara di luar rumah. Diapun mengeluarkan barangan rumahnya di luar rumah. Ini menyebabkan setiap orang yang lalu lalang di situ bertanya .Lalu dia menerangkan sebab musabbabnya.

Maka orang yang lalu lang di situpun ikut mengutuk perbuatan jahat jiran tersebut. Orang berkenaan tidak tahan lalu pergi menemui Rasulullah . Rasulullah bertanya apa masaalah saudara. Dia menceritakan kepada baginda bahawa orang ramai mengutuknya .

Baginda menjawab . Allah mengutuk saudara lebih awal daripada orang ramai mengutuk anda. Orang itu menjawab . Kalau begitu aku taubat dan tidak akan mengganggu ketenteraman jiranku. Ia pulang menemui jiranya dengan berkata. Angkatlah barangan masuk ke rumah saudara semula saya berjanji tidak akan menyakit suadara lagi ( sebagai jiran).

Ketujuh; ImageDemonstrasi Dalam Zaman Modern Ini Adalah Sebahagian Daripada Wasilah Perjuangan Media informasi, sama ada tulisan , imej , video, demontrasi dan sebagainya adalah sebahagian daripada 'kempin raya' untuk memenangkan sesuatu agenda perjuangan atau peperangan.

Sebab itu kalau kita meneliti gerak kerja Zionist dalam hal ini kita akan dapati betapa gerakan mereka begitu rapi, banyak dan berpengaruh untuk menjuari perjuangan mereka. Peperangan media begitu gencar sekarang terhadap umat Islam.

Informasi Barat , Amerika khasnya sengaja menggelapkan berita berita kebangkitan dan demonstrasi orang Islam menentang penindasan mereka, kecuali berita yang membayangkan keburukan dan kemunduran Islam maka itu akan mereka paparkan seluas-luasnya .

Penampilan media mereka sampai kepada pembuat keputusan dan pengendali kuasa politik umat , Mereka sedar betapa seriusnya peranan informasi termasuk demonstrasi dalam menggegarkan sendi pemerintahan diktator dan penguasa yang zalim di dunia ini . Massa rakyat akan segera menyahut dan bertindak atas kebejatan mereka .

Ia adalah permulaan kepada kesedaran yang akan meniupkan semangat perjuangan umat. Kalaulah tidak kerana kesedaran pehak tertentu tentang peranan demonstrasi ini dalam menggerakkan dan menimbulkan kesedaran massa sudah pasti mereka tidak akan merubah sikap atau sudah pasti golongan penzalim tidak akan mengurangkan kezalimannya kerana adanya demo-demo menentang kezaliman mereka.

Umat Islam tidak kurang memiliki kesedaran seperti ini. Mereka tidak sepatutnya tinggal diam seribu bahasa membiarkan kejahatan dan kezaliman berlaku terus menerus terhadap diri dan rakyat . Mereka wajar tampil menyuarakan ketidakpuasan hati mereka, menentang rasuah dan salah guna kuasa dalam berbagai bidang hidup demi kesejahteraan bangsa dan keselamatan negara mereka .

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Orang muslim adalah saudara orang muslim yang lain. Ia tidak wajar menyerahkan orang muslim yang lain (untuk dizalimi) atau membiarkannya (dizalimi)." Prinsip ini juga berlaku terhadap sesama manusia dan sesama warga negara .

Kelapan: Kalau Ada Fatwa Yang Mengharamkan Demonstrasi Maka Ia tunduk Kepada Perubahan Keadaan Namun ada juga segelintir yang terpengaruh dengan fatwa kumpulan Tariqat atau Tasauwuf tertentu yang mengharamkan perbuatan demonstrasi kerana terpengaruh dengan pendapat syaikh mereka yang agak terhad pemikiran mereka . Terhadap golongan ini mereka wajar bertaqwa kepada Allah .

Mereka tidak harus terbelenggu dalam minda terhad Syaikh-Syaikh mereka . Mereka tidak sepatutnya mengikut – begitu sahaja - secara membuta tuli . Yang benar atau al haq lebih wajar dipatuhi berbanding figure atau orang tertentu; betapapun besarnya mertabat orang berkenaan. Para Syaikh yang baik itu mungkin terpengaruh pada isu dan masa tertentu .

Manakala latar belakang isu berkenaan telah berubah dan tidak wujud lagi sekarang.Fiqh leluhur silam atau Fiqh Salafi sentiasa dinamis menurut keperluan dan tuntutan lingkungan.

Sebab itu fatwa mereka boleh berubah dengan perubahan situasi. Kalau Salafi difahamkan sebagai period masa lampau maka dia telah berlalu dengan ciri khasnya. Kalau al Salafi itu dihubungkaitkan dengan Manhaj atau methode maka tentulah ia manhaj yang responsive terhadap perubahan lingkungan dan zaman. Kini adalah zaman ilmu dan akal .

Sesungguhnya menurut Rasulullah adalah selaras dengan tuntutan kontemprori atau al Muasarah yang didambakan oleh orang sekarang. Manhaj yang baik ialah manhaj yang sentiasa responsive dengan bijak terhadap perkembangan situasi dan kondisi semasa. Ia bukan manhaj yang beku dan statis.

Kesembilan: Hujjah Amalan Para Ulama Sepanjangan sejarah para alim ulama ramai yang telah meluahkan perasaan dan pandangan mereka melalui demontrasi aman tanpa dipersalahkan oleh ulama yang muktabar. Di Kuwait, algeria, Mesir dan Syam.

Ulama seperti Rashid Redha Rahimullah pernah turut berdemo untuk mengeluarkan penjajah Perancis dari tanah air mereka . Ulama Azhar pernah keluar beramai-ramai berdemo menentang penjajah Inggeris pada tahun 1919 dan baru baru ini menentang regim tirani di Mesir.

Tiada seorang ulama pun mengeluarkan fatwa mengharamkannya. Malah Sami Budha Burma pun turut tampil berdemo untuk menuntut keadilan dan demokrasi dalam Negara mereka.

Kesepuluh: Demonstrasi Parameter Denyutan Keperihatinan Massa Tunjuk perasaan aman adalah petanda hidupnya keperihatinan massa rakyat; baik kafir mahupun muslim pada zaman ini. Kita tidak akan dapat mengesan pandangan rakyat terhadap golongan atau parti yang memimpin mereka yang memerintah dengan sewenang-wenangnya tanpa mempedulikan kepentingan rakyat melainkan dengan gerakan massa seperti ini yang mendedahkan golongan mana yang tidak setuju dan golongan mana pula yang bersekongkol.

Demonstrasi aman seperti ini bukan perkara baru dalam sebuah negara maju seperti Britain, Amerika dan lain-lain. Dalam Negara tersebut semua jentera negara – termasuk polis dan pegawai trafik - memberi laluan, kerjasama dan melindungi para penunjuk perasaan aman berkenaan.

Kesebelas: Hasil Demonstrasi Ialah Umat Berjaya Mengatasi Sebahagian Kemusykilan Hidup Mereka Demonstrasi besar-besaran di berbagai pelusuk dunia telah menghasilkan buahnya yang positif di beberapa buah negara sepanjang sejarah.. Yang terakhir ialah dapat kita lihat kejayaan demonstrasi rakyat Afrika selatan sehingga berhasil memerdekakan negara mereka.

Di Indonesia rakyat berjaya meruntuhkan kekuasaan Suharto yang korup dan digantikan dengan pemerintahan era reformasi golongan Orde Baru. Di Yugoslovia rakyat yang berdemonstrasi secara besar-besaran berjaya menjatuhkan Slobodan Milosonich dan mengembalikan maruah dan kehurmatan bangsa mereka dari dilumuri kehinaan dan kebejatan regim yang korup. Malah dalam banyak lagi negara negara lain kita melihat kejayaan demonstrasi rakyat mengubah nasib mereka; samada sebahagian atau keseluruhan sosok dan wajah kehidupan mereka.

Keduabelas: Demonstrasi Perlu Demi Mempertahankan Kebenaran di Samping Menentang Kebatilan dan Kezaliman Keluar beramai-ramai menobatkan kebenaran, menumpaskan kebatilan adalah suatu hak yang sah .

Amalan ini juga diperakukan oleh Allah untuk menunjukkan penentangan serta penolakan terhadap amalan munkar . Sebab itu Allah memerintahkan agar perlaksanaan hudud diperlihatkan kepada segolongan orang ramai . Allah juga memerintahkan supaya umat keluar beramai-ramai menyambut hari raya , bahkan beginda Rasulullah menggesa rakyat agar ikut serta mengucapkan pamitan kepada rombongan mujahid dan pejuang Islam yang akan bergerak ke medan tempur atau menyambut kepulangan mereka ketika mereka kembali dari medan perjuangan.

Baginda pernah memamirkan kekuatan dan kehebatan ketumbukan tentera Islam kepada Abu Sufian agar dia tidak berani bertempur dengan ketumbukan berkenaan. Sebelum itupun Rasulullah pernah menyuruh umat Islam yang menunaikan tawaf di Mekah agar melakukannya dengan tangkas , berlari anak sambil mendedahkan bahagian bahu dan lengan (Kaedah al Raml dalam tawaf) sebagai petanda keperwiraan , kecekatan dan kesiapsiagaan umat Islam untuk berjuang .

Perincian perkara ini boleh dirujuk dalam huraian mengenai bab Haji atau Umrah. Seandainya kita semua – sebagai bangsa dan rakyat yang merdeka - enggan melahirkan sikap penentangan kita terhadap kejahatan , penipuan , rasuah dan kezaliman yang berlaku serta tindakan pengkhianatan dan menghakis kemerdekaan dan maruah umat yang dilakukan oleh pehak-pehak tertentu; dengan cara yang berkesan maka apakah lagi yang ada dari sifat kejantanan dan dakwaan kemerdekaan kita sebagai umat yang bermaruah.

Jelas daripada hujah di atas bahawa melahirkan sikap dan menunjuk perasaan atau berdemonstrasi secara aman adalah suatu yang dibenarkan dalam Islam; bahkan pernah diamalkan oleh para leluhur di zaman silam dan malah menjadi amalan bangsa-bangsa yang bertamadun, bermaruah dan merdeka.

Semoga Allah memberikan kita semua keyakinan dan keberanian untuk merubah nasib umat dan rakyat. Semoga bangsa, warga dan rakyat Malaysia amnya bebas dan merdeka dalam erti kata yang sebenarnya.

-am-

Hadith palsu: Bacaan al-Quran atas kubur satu bidaah

Hadis-hadis palsu seringkali digunapakai dalam amalan segelintir umat Islam yang perlu diperbetulkan malah wajar dibanteras penggunaan hadis tersebut dalam menghuraikan ajaran agama oleh segelintir individu yang tidak bertanggungjawab menjadi lebih berleluasa.

Sebagai renungan beberapa contoh yang disebarkan yang wajar dikaji semula adalah membaca al-Quran ketika ziarah kubur yang bersandarkan kepada satu hadis iaitu:"Barang siapa berziarah ke kuburan kedua-dua oran tua atau salah satu di antara mereka pada hari Jumaat dan membacakan surah Yasin, maka dia akan diampuni dosanya dan dihitung sebagai kebaikan."

Hadis sebegini telah dijadikan dalil untuk menjustifikasikan amalan membaca al-Quran di kubur, kononnya amalan itu adalah suatu sunah yang diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat r.a.

Sedangkan ia merupakan sebuah hadis palsu yang mana kepalsuannya telah ditegaskan oleh para ulama hadis seperti Ibn Adiyy dalam Al-Kamil Fi Ducafa' Ar-Rijal, Az-Zahabi dalam Mizan Al-Ictidal Fi Naqd ar-Rijal, As-Suyuti dalam Al-Lali' Al-Masnu'ah Fi Al-Ahadith Al-Maudu'ah, seperti yang dipetik daripada Utusan Online.

Satu lagi hadis palsu berkaitan membaca al-Quran di kubur ialah yang bermaksud, "Barang siapa yang berziarah di kuburan, kemudian dia membaca al Fatihah, Qul Huwallahu Ahad dan al-Hakumut Takasur, lalu ia berdoa: "Ya Allah, kuhadiahkan pahala pembacaan firman-Mu pada kaum mukminin penghuni kubur ini, maka mereka akan menjadi penolong baginya (pemberi syafaat) pada hari kiamat".

"Saya telah cuba setakat terdaya menyemak sumber dan status hadis ini sama ada dalam kitab-kitab yang mengumpul hadis sahih atau yang mengumpul hadis daif dan palsu, tetapi gagal menemuinya," kata seorang pensyarah Dr. Azwira Abdul Aziz dari Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Tiada sesiapa pun yang menghukum amalan ziarah kubur sambil memberi salam kepada penghuni kubur serta berdoa dan beristighfar untuk mereka sebagai amalan bidaah. Kerana amalan sedemikian memang disunahkan oleh Nabi s.a.w. melalui nas-nas yang sahih.

"Berbeza dengan amalan ziarah kubur sambil membaca al-Quran di atasnya, di mana jumhur ulama memang melihatnya sebagai bidaah, kerana beberapa alasan ilmiah," katanya dan tambahnya kerana tidak ada nas sahih yang menyokong amalan membaca al-Quran di kubur. Semua hadis berkenaan amalan tersebut tiada asal usulnya (palsu) sebagaimana yang ditegaskan oleh Al-Albani dalam Ahkam Al-Janaiz Wa Bida'iha, katanya.

-am-

Ke mana janji reformasi Abdullah?

Abdullah Ahmad Badawi akhirnya mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti yang ditangguhkan ke Mac 2009.

Beliau mengumumkan sehari sebelum mesyuarat bahagian parti tersebut yang dijadual bermula hari ini.

Ahli parlimen Kepala Batas akhirnya akur kepada desakan-desakan yang diterimanya agar melepaskan jawatan lebih awal daripada pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pertengahan Jun 2010.

Semenjak pilihanraya 8 Mac yang menyaksikan BN kehilangan kuasa dua pertiga di Parlimen dan penguasaan terhadap negeri-negeri Perak, Selangor Kedah dan Pulau Pinang, Abdullah menerima tekanan daripada Umno dan parti-parti komponen BN.

Abdullah menerima tamparan hebat apabila SAPP meninggalkan BN. Kira-kira 60 peratus daripada ahli-ahli Gerakan juga mahukan parti tersebut meninggalkan BN.

Tekanan yang diberikan kepada perdana menteri bertambah hebat apabila Anwar Ibrahim berjaya memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar berbanding undi yang diraih oleh presiden PKR dalam pilihanraya umum lalu.

Walaupun Najib Razak yang bertanggungjawab sebagai pengarah pilihanraya kecil tersebut dan sering dilihat di Permatang Pauh untuk berkempen, kesalahan diletakkan di bahu Abdullah seratus peratus dan nama Najib langsung tidak dikaitkan.

Kekalahan BN dalam pilihanraya kecil itu telah memberikan suntikan kepada bekas naib presiden Umno, Muhyiddin Yassin untuk mendesak Abdullah berundur lebih awal daripada pelan peralihan kuasa 2010.

Mampukah Najib?

Najib kini disebut-sebut sebagai bakal pengganti Abdullah sebagai presiden Umno sekali gus perdana menteri keenam.

Akan tetapi ia masih belum pasti seperti yang dikatakan oleh Abdullah semalam kerana Najib masih perlu menang sebagai presiden Umno dalam pemilihan parti tersebut Mac depan.

Namun, mengenali Umno yang tidak demokratik dan sering menggunakan alasan perpaduan parti untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi terutamanya presiden dan timbalannya, peluang Najib untuk menaiki takhta dilihat cerah.

Persolan yang harus difikirkan oleh Umno dan BN pada ketika ini ialah, mampukah anak perdana menteri kedua itu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN?

Kepimpinan Abdullah yang diregukan bersama Najib dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu kerana gagal menunaikan janji-janji untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem kehakiman, mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap polis, memerangi rasuah dan membuka ruang demokrasi.

BN menang besar dalam pilihanraya 2004 kerana rakyat mengharapkan Abdullah melaksanakan reformasi dalam pentadbiran kerajaan setelah hidup selama 22 tahun bawah pemerintahan autokratik Dr Mahathir Mohamad.

Setelah sepenggal pemerintahannya, Abdullah gagal melaksanakan reformasi, lantan rakyat menolak BN.

Jika pilihanraya umum tersebut berjalan secara telus, bebas dan adil, sudah pasti BN menjadi sejarah.

Era kuku besi dan 'momok Altantuya'

Ramai penganalisa politik menjangkakan bahawa Najib akan mengembalikan Malaysia ke era pemerintahan Dr Mahathir apabila hanya sedikit ruang kebebasan yang dapat dikecapi hari ini akan dirampas kembali.

Analisis begini timbul kerana Najib dilihat sebagai penyambung legasi pemerintahan Dr Mahathir yang pernah menyaksikan tragedi Memali, Operasi Lalang, skandal kewangan dan pembungkaman media arus perdana.

Ramai penganalisis percaya bahawa Dr Mahathir akan memainkan peranan penting dalam pentadbiran kerajaan sewaktu Najib menjadi perdana menteri.

Telah timbul juga cakap-cakap mengenai bekas perdana menteri itu akan dilantik menjadi penasihat kerajaan selepas Abdullah melepaskan jawatan secara rasminya pada Mac tahun hadapan.

Selain dilihat sebagai pemimpin yang bakal mengambil tindakan keras, najib juga dihantui kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam perjalanannya ke Seri Perdana.

Baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa, persepsi tidak dapat diubah bahawa timbalan perdana menteri itu tercemar dengan imej pembunuhan kejam wanita Mongolia yang sekarang ini masih lagi dibicarakan dimahkamah.

Sumpah yang dilafazkan oleh Najib sewaktu kempen pilihanraya kecil di Permatang Pauh bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak tahu-menahu mengenai kes pembunuhan kejam itu masih tidak dapat meyakinkan rakyat. Keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh itu boleh dijadikan sebagai bukti.

Ke mana reformasi Abdullah?

Antara perkara yang paling memeningkan kepala Abdullah menjelang saat-saat akhir pemerintahannya ialah, bagaimanakah rakyat Malaysia mengingatinya pada masa akan datang?

Tunku Abdul Rahman dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan Negara. Abdul Razak pula adalah Bapa Pembangunan Malaysia. Hussein Onn dilihat sebagai Bapa Penyatuan Malaysia dan Dr Mahathir diingati sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Apakah gelaran rakyat terhadap Abdullah? Buat masa ini masih belum ada gelaran yang sesuai selain bapa mertua Khairy Jamaluddin.

Sebab itulah Abdullah kini akan berusaha keras untuk melaksanakan Reformasi yang pernah dijanjikan olehnya sebelum meletak jawatan secara rasmi.

Tiga langkah akan dilaksanakan oleh beliau sebelum berundur:

bullet buttonMemperkukuhkan institusi negara dengan melibatkan penubuhan tiga buah suruhanjaya yang berkaitan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan agensi penguatkuasaan.

bullet buttonInisiatif kedua, memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial kerana kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara adil ke serata negara.

bullet buttonKerajaan dan BN memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Mampukah Abdullah melaksanakan perubahan yang besar tersebut dalam masa enam bulan?

Jika sepanjang tempoh empat tahun sejak 2004 perkara-perkara di atas gagal terlaksana, apakah tempoh enam bulan akan menyaksikan perubahan yang mendadak tersebut?

Mampukah Abdullah berhadapan dengan Umno yang jelas menolak reformasi beliau daripada dilaksanakan di Malaysia?

* sumber dari malaysiakini.com