PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, October 17, 2008

Panjang tempoh bateri

Ketahui langkah-langkah yang boleh diambil untuk memanjangkan jangka hayat bateri komputer riba anda sekali gus dapat menggunakannya dengan lebih lama.

SETIAP bateri yang didatangkan dengan komputer riba mempunyai tempoh bekalan kuasa tertentu.


KOMPUTER riba bukanlah gajet yang dianggap terlalu mewah pada hari ini. Jika dahulu penggunaannya terhad kepada golongan profesional atau setidaknya mereka yang telah bekerja, tetapi hari ini ia digunakan secara meluas termasuk golongan pelajar.

Faktor mobilitinya menyebabkan ia menjadi pilihan ramai. Sungguhpun begitu faktor bateri ada kalanya menyebabkan aktiviti dengan komputer mudah alih ini agak terhad. Langkah-langkah berikut dapat membantu memanjangkan nyawa bateri komputer anda.

Kebanyakan bateri komputer riba hari ini digerakkan oleh bateri lithium ion (li-ion). Bateri jenis ini lebih ringan, mempunyai nisbah kuasa dengan berat yang lebih baik, mampu menyimpan cas lebih lama, mempunyai jangka hayat dan tidak memberi kesan kepada ingatan komputer sekiranya ia menemui kegagalan pra-matang.

Kos pengeluaran bateri lithium ion ini juga lebih rendah berbanding bateri generasi sebelumnya - nickel metal hydride. Satu-satunya kekurangan pada bateri jenis lithium-ion ialah ia boleh menyebabkan litar pintas malah meletup sekiranya terlampau panas. Setiap bateri yang didatangkan dengan komputer riba mempunyai tempoh bekalan kuasa tertentu. Periksa tempoh bekalan kuasa yang tertera pada katalog sebelum membeli sesebuah komputer riba.

Anda boleh memilih pengunaan bateri yang optimum ialah dengan memadankan tetapan bateri selari dengan mod penjimatan kuasa pada komputer anda.

Tetapan ini akan meletakkan cakera keras pada mod tidur ketika beban tugasan berkurangan dan ini akan mengurangkan prestasi unit pemproses bagi memaksimumkan hayat bateri. Pilih longest battery life pada tetapan kuasa komputer anda.

Di sini, digariskan beberapa langkah-langkah penjimatan bateri yang boleh diamalkan. Semoga ia dapat memanjangkan lagi hayat cas bateri komputer riba kita. Maka, anda dapat menggunakan komputer riba dengan lebih lama!




Langkah penjimatan bateri

*** Sekiranya komputer tidak digunakan untuk satu tempoh yang agak panjang, letakkannya pada mod bersedia atau standby. Mod bersedia akan memastikan data semasa disimpan di dalam RAM dengan pengunaan kuasa yang minimum.

*** Menambahkan ingatan sementara atau RAM komputer anda akan menjimatkan kuasa bateri kerana ia akan mengurangkan pergantungan sistem operasi pada virtual memory swap pada cakera keras anda.

*** Tetapkan kecerahan skrin LCD anda serendah yang mungkin tetapi selesa pada mata anda. Semakin cerah paparan skrin, semakin banyak kuasa bateri yang digunakan.

*** Elakkan daripada mengecas bateri dan pada masa yang sama mengoperasikan komputer menggunakan adapter AC anda. Seboleh-bolehnya, cas ketika komputer tidak digunakan. Ini membolehkan bekalan elektrik dapat disalurkan dengan sempurna tanpa gangguan.

*** Sekali-sekala bersihkan sambungan bateri (berwarna keemasan) bagi memastikan ia bebas daripada habuk. Anda boleh menggunakan sedikit alkohol dan lapkan dengan kain bagi mencuci bateri.

*** Nyahaktifkan fungsi atau ciri yang tidak digunakan pada komputer riba anda. Sebagai contoh, keluarkan disk optikal (CD/DVD) dari pemacunya apabila tidak digunakan. Pemacu CD/DVD akan cuba membaca media di dalamnya dan ini menggunakan kuasa bateri yang lebih.

*** Cabut kabel perkakasan tambahan seperti pencetak, pengimbas atau gajet digital lain daripada komputer anda kerana ia akan memakan bekalan kuasa walaupun ketika tidak digunakan.

*** Hentikan carian automatik wifi dan bluetooth anda apabila tidak diperlukan. Sekiranya anda tidak menggunakannya langsung, matikan semua fungsi ini dan sekali gus anda dapat membuat penjimatan kuasa yang lebih.

Segalanya Pulau Pinang

Buku ini dapat membantu mempromosikan Pulau Pinang secara lebih santai dan ringkas sebagai paparan kepada pelancong di hotel-hotel dan pintu masuk utama di negeri ini.

NICHOLAS KU menunjukkan buku bertajuk Penang The Worlds's Home.


TIADA kata yang dapat menerangkan keindahan Pulau Pinang kecuali dengan berkunjung sendiri ke negeri yang terkenal dengan jolokan nama Pulau Mutiara itu.

Namun bagi yang tidak berkesempatan untuk datang, memadailah dengan menatap buku meja kopi Penang The World's Home yang lengkap dengan paparan tempat-tempat menarik dan aktiviti penduduk di negeri itu.

Ini kerana segala-galanya tentang Pulau Pinang telah dimuatkan di dalam buku setebal 52 muka surat itu termasuk sejarah latar belakang negeri tersebut serta keindahannya sebagai Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Organisasi Pendidikan, Ilmu Pengetahuan, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) serta lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi.

Selain itu, kandungan buku tersebut juga memaparkan kekayaan seni bina termasuk bangunan kolonial yang berabad lamanya atau menjelajah ke celah-celah lorong yang menonjolkan budaya sebenar penduduk Pulau Pinang.

Kepelbagaian etnik yang mendiami negeri ini turut memperkenalkan perbezaan budaya dan sambutan perayaan yang menyerlahkan warna-warni serta dinamik kehidupan masyarakat berbilang kaum.

Penjelajahan ini tidak akan sempurna tanpa merasai atau menikmati sendiri hidangan seperti nasi kandar, char koey teow, pasembur, laksa, roti canai, capati ataupun mencuba jeruk buah pala.

Pulau Pinang juga tidak lupa menawarkan tarikan untuk kembali ke alam semula jadi seperti Taman Rama-Rama, Taman Botani, Taman Negara Pulau Pinang, selain pantainya yang indah di Batu Feringghi dan pulau Jerejak.

Lokasi perniagaan yang ditawarkan pula sesuai untuk mengadakan mesyuarat, bengkel insentif, konvensyen dan pameran (MICE). Ia turut tidak diabaikan di negeri yang sedang meningkat maju itu seperti di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang ataupun hotel-hotel di seluruh negeri itu.

Foto-foto yang dimuatkan di dalam buku ini turut menonjolkan Pulau Pinang secara keseluruhannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, beca, kereta api Bukit Bendera dan feri yang menjadi identiti negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang pada sidang medianya memuji langkah Wan Ling Sdn. Bhd (Wan Ling) menerbitkan buku tersebut.

Katanya, ia dapat membantu mempromosikan Pulau Pinang secara lebih santai dan ringkas sebagai paparan kepada pelancong di hotel-hotel dan pintu masuk utama di negeri ini.

"Ini selaras dengan usaha memperkenalkan Pulau Pinang dalam bidang pelancongan global, selain meletakkan negeri ini sebagai destinasi wajib dilawati oleh pelancong ke Malaysia.

"Pelbagai produk boleh difokuskan di Pulau Pinang sama ada warisan hidup, budaya, seni dan filem, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan dan tak lupa Pulau Pinang sebagai syurga makanan," katanya.

Penerbitan buku ini menurut Danny adalah tepat pada masanya bagi memaparkan keindahan Pulau Pinang dan sumbangan sebuah syarikat swasta ke arah industri pelancongan yang lebih baik.

"Sebagai pelengkap kepada buku ini, kami merancang untuk mengeluarkan cakera padat digital mengenai tempat-tempat menarik dan makanan Pulau Pinang, selain risalah dan peta pelancongan baru," ujarnya.

Buku Penang The Worlds's Home itu akan dilancarkan pada majlis makan malam amal For Vogue A Glittering Night of Honors di Hotel G, George Town pada malam ini, 17 Oktober.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Wan Ling, Nicholas Ku berkata, majlis makan malam ini turut diserikan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal Carven Ong.

Melayu tidak perlu merasa khuatir - Raja-raja Melayu

“Kenyataan akbar yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-Raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-Raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi Agama Islam, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakarang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Social Contract.

Social Contract ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-Raja Melayu wajar mempertingkatkan supaya isu berkaitan Social Contract tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era pra kemerdekaan, berfikiran dalam berpandangan jauh. Raja-Raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi Raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak Kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi Raja Berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Majlis Raja-Raja juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja Melayu, melindungi agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Ja’afar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang diPertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

* sumber dari suarakeadilan.com

Tuesday, October 14, 2008

Mulianya seorang isteri disisi Allah...

Dan betapa berharganya wanita yang bergelar isteri ini pada keluarga, suami dan anak-anak. Rugi dan binasalah suami-suami yang tidak menghargai isteri mereka kerana isteri inilah yang akan membantu mereka di akhirat kelak. Biarlah buruk mana isteri anda, sayangilah mereka...

Beruntungnya seorang wanita yg ada rahim ini ialah dia bekerja dengan Tuhan... Jadi 'kilang' manusia. Tiap-tiap bulan dia diberi cuti bergaji penuh... 7 sehingga 15 hari sebulan dia tak wajib sembahyang tetapi Allah SWT menganggap diwaktu itu sembahyang terbaik darinya. Cuti bersalin juga sehingga 60 hari. Cuti ini bukan cuti suka hati tapi cuti yang Allah SWT beri sebab dia bekerja dengan Allah SWT. Orang lelaki tak ada cuti dari sembahyang.. sembahyang wajib baginya dari baligh sehingga habis nyawanya...

Satu lagi berita gembira untuk wanita, Sepanjang dia mengandung Allah SWT sentiasa mengampunkan dosanya.. Lahir sahaja bayi seluruh dosanya habis.. Inilah nikmat Tuhan beri kepada wanita, jadi kenapa perlu takut nak beranak?

Marilah kita pegang kepada tali Allah SWT.. Seandainya wanita itu mati sewaktu bersalin, itu dianggap mati syahid, Allah SWT izinkan terus masuk Syurga. Untuk orang kafir dia tak dapat masuk Syurga tapi Allah SWT beri kelonggaran siksa kubur. Untuk peringatan semua wanita yang bersuami seluruh kebaikan suaminya, semuanya isteri dapat pahala tetapi dosa-dosa suami dia tak tanggung...

Diakhirat nanti seorang wanita solehah akan terperanjat dengan pahala extra yang banyak dia terima diatas segala kebaikan suaminya yang tak disedari. Contohnya bila dia redho suaminya pergi berjemaah di masjid atau ke majlis ilmu, bersedekah.. ganjaran Allah SWT keatasnya jua...

Bila dia lihat suaminya tengah terhegeh-hegeh di titian Sirat dia tak nak masuk syurga tanpa suaminya, jadi dia pun memberi pahalanya kepada suami untuk lepas masuk syurga.. Didunia lagi, kalau suami dalam kesusahan isteri boleh bantu tambah lagi di akhirat.. Kalau seorang isteri asyik merungut, mulut selalu muncung terhadap suami dia tak akan dapat pahala extra ini...

Manakala suami pula mempunyai tugas-tugas berat didalam dan diluar rumah, segala dosa-dosa anak isteri yang tak dididik dia akan tanggung ditambah lagi dengan dosa-dosa yang lain.. Dinasihatkan kepada semua wanita supaya faham akan syariat Allah SWT agar tidak derhaka denganNya..

Sesungguhnya wanita dijadikan daripada rusuk kiri lelaki. Dia bukan dicipta dari kepala ke kaki, juga bukan dari tapak kaki. Dia dicipta dari sebelah rusuk kiri lelaki supaya dia hampir kepada kamu(lelaki), lengan lelaki dicipta untuk mempertahankan wanita, dekat dengan hati lelaki untuk disayangi..

Fikir-fikirkanlah...

-am-

Mencari pengasas 'teori Rahman'

Rancangan penyerahan kuasa Umno kepada Datuk Seri Najib Razak akan melengkapkan "teori Rahman" yang dianggap satu kaedah menjelaskan usaha mencari bakal perdana menteri Malaysia.

Sekurang-kurangnya sejak 20 tahun lalu, tokoh atasan Umno termasuk mereka yang berusaha mencapainya berharap keberkatan teori ini membawa tuah kepadanya atau pemimpin pilihan mereka.

Suatu waktu dahulu penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap A pada "teori" yang diambil pada nama perdana menteri pertama itu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj melengkapkan sebahagian misteri peralihan pucuk pimpinan negara.

Bagaimanapun, sehingga kini, masih tidak jelas sejak bila teori ini mula-mula dikemukakan dan siapakah yang memperkenalkannya sehingga berjaya menangkap khayalan peminat tegar politik negara ini.

rahman theory malaysia prime ministerMalaysiakini menghubungi tiga penulis politik Melayu berpengalaman dan tersohor untuk mencungkil asal-usul mitos moden ini – mungkin boleh dianggap satu-satunya "teori" yang paling tepat untuk menjadi nujum politik Melayu, setidak-tidaknya untuk melihat siapa pemimpin nombor satu Umno.

Pengamat-pengamat politik itu bagaimanapun semuanya tidak dapat mengesan tarikh tepat ia mula diperkenalkan tetapi umumnya bersetuju ia muncul pada zaman 1980-an, awal pentadbiran perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun mereka sepakat hanya satu nama dalam urutan teori itu, yang asalnya diramal jatuh kepada Anwar, tidak menjadi kenyataan.

Ketua pengarang mingguan Siasah, Mohd Sayuti Omar percaya teori Rahman mula-mula dikemukakan oleh penulis politik Ikhwan Nasir dalam tabloid Mingguan Tanah Air pada pertengahan dekad itu.

"Boleh jadi juga beliau (Ikhwan) yang memulakannya. Beliau memang suka menggunakan akronim seperti 'jubir' bagi jurubicara rakyat dan 'kadun' bagi Kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya, yang pernah menulis untuk tabloid itu.

Ikhwan, juga bekas ahli parlimen Pontian dan juga bekas setiausaha politik Tun Musa Hitam, pemilik akhbar politik yang diterbitkan oleh syarikatnya SIR Sdn Bhd.

Teori itu, menurut Mohd Sayuti yang mengenali secara peribadi Ikhwan, sangat berpengaruh pada waktu itu sehingga ada tokoh politik terkenal mempercayainya.

"(Bekas menteri besar Kedah) Tan Sri Sanusi Junid pernah memberitahu saya, nama beliau sebenarnya bermula dengan Mohamad," katanya merujuk kepada huruf M pada nama Rahman.

Terdapat juga buku politik karya Abd Bashid Harun mengupas teori itu pada pertengahan 1990-an, jelas Mohd Sayuti.

Melalui blognya, Abd Bashid mendakwa beliau pertama kali menulis tentang "teori Rahman" di Mingguan Tanah Air sewaktu Umno sedang bergolak antara kumpulan pro-Tengku Razaleigh Hamzah bersama Musa melawan DR Mahathir menjelang pemilihan parti itu 24 April 1987.

"Dalam kesibukan berkempen dan melobi dalam perhimpunan agung Umno itu timbullah suara-suara di kalangan perwakilan bahawa baik Tengku Razaleigh ataupun Musa, mereka tidak akan menjadi perdana menteri.

"(Tanggapan) ini semacam satu takdir yang ditetapkan untuk mereka berdua. Sebahagiannya pula menganggap pertandingan melawan Dr Mahathir itu sia-sia sahaja.

"Alasan mereka ialah nama Razaleigh dan Musa tidak termasuk dalam susunan nama Rahman itu.

"Maka bermula dari situlah bermulanya teori Rahman," tulisnya pada 10 Oktober lalu, dua hari selepas presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan untuk bersara pada Mac tahun depan.

Menurut Abd Bashid - seorang guru di Simpang, Taiping - tulisannya menghuraikan secara terperinci maksud "teori Rahman", termasuk "mengupas agak mendalam tentang kedudukan Abdullah dan Anwar sebagai bakal perdana menteri."

anwar and pak lah 190908Artikelnya itu, kata Abd Bashid, kemudian diulas oleh lidah pengarang akhbar tersebut yang memetiknya sebagai "penulis dari Semanggol (Perak)" memaklumkan bahawa "hanya ada seorang sahaja dari Pulau Pinang yang akan berjaya menjadi perdana menteri. Orang itu ialah Pak Lah."

Penulis kolum veteran Subky Latiff pula berkata, teori itu mula-mula dikemukakan oleh ahli parlimen Kepala Batas sebelum Abdullah, Saupi Ibrahim.

"Seingat saya, Saupi yang mula-mula tulis. Lebih kurang 20 tahun dulu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Tulisan yang dihasilkan oleh bekas duta itu dalam umur persaraannya, kata pemimpin PAS dan penulis kolum Harakah itu, diterbitkan di sebuah akhbar harian dengan gaya popular.

Ditanya kenapa idea itu mendapat perhatian rakyat Malaysia, beliau berkata: "Ia menarik. Sedap (dijadikan) hujah."

Sementara penulis buku-buku politik terkenal Syed Hussein Alattas mendakwa teori ini muncul pada awal 1990-an.

Beliau bagaimanapun tidak pasti siapakah yang memulakannya.

Menurutnya, teori itu rancak diperkatakan pada 1990-an apabila Anwar, yang timbalan perdana menteri, dijangkakan menjadi menggantikan Dr Mahathir.

"Tetapi akhirnya A itu untuk Abdullah," katanya.

Ketiga-tiga mereka percaya teori Rahman "terjadi secara kebetulan" sahaja dan tiada asas ketekalan untuk diyakini bulat-bulat.

Namun ia berjaya mempengaruhi orang Melayu termasuk pemimpin politik yang "kuat percaya kepada mitos," kata Mohd Sayuti.

"Ia memberikan kesan psikologi, mempengaruhi 20-30 peratus perkembangan politik negara. Kalau selalu diulang-ulang, jadi (kenyataan).

"Tetapi kita tidak boleh percaya seratus peratus."

Syed Hussein, juga popular dipanggil Pak Habib, berkata "teori ini tidak logik."

Seperti banyak pihak lain, Subky pula mempertikaikan asas penyusunan huruf pertama pada nama-nama pemimpin yang dikatakan memenuhi urutan Rahman.

Katanya, bagi perdana menteri pertama, "teori" ini membuang nama awal Abdul untuk menjadikannya sebagai Rahman sahaja, sedangkan tokoh seterusnya menggunakan nama Abdul.

"Secara popular, perdana menteri pertama disebut penuh sebagai Tunku Abdul Rahman, sedangkan perdana menteri kedua lebih dikenali Tun Razak (tanpa Abdul)," katanya, seorang wartawan berpengalaman sebelum menyertai PAS.

Bakal perdana menteri yang menduduki huruf keenam dalam "teori Rahman" bermula dengan nama "Mohd Najib" tetapi nama awalnya tidak diambil kira dalam teori popular itu.

* sumber dari malaysiakini.com

Parlimen Kulim tetap dimiliki KeADILan

Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini menolak petisyen petisyen pilihan raya Parlimen Kulim-Bandar Baharu yang kemukakan selepas Barisan Nasinal (BN) menarik balik petisyen berkenaan.

Kerusi berkenaan yang dimenangi, Zulkifli Nordin pada pilihanraya umum ke 12, Mac lalu kini kekal milik calon KeADILan itu.

Pada 27 April lalu, calon BN, Abdul Aziz Sheikh Fadzir memfailkan petisyen dengan alasan Zulkifli gagal mengemukakan penyata perbelanjaan beliau pada pilihan raya umum itu yang dilihat sebagai melanggar Akta Pilihan Raya.

Keputusan kes berkenaan sebelum ini telah ditunda beberapa kali dan ianya sepatutnya didengar di Mahkamah Tinggi Alor Star, 3 Jun lepas.

*sumber dari suarakeadilan.com

BN tarik balik petisyen Kulim-Bdr Baharu

Calon BN Kulim-Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir menarik balik petisyennya hari ini dengan alasan "ingin memberikan lebih tumpuan kepada isu-isu ekonomi" dan "pilihanraya semula akan memakan banyak tenaga."

"Lagi pun, satu kerusi tambahan, tidak memberikan kesan apa-apa," katanya kepada Malaysiakini.

Keputusan ini dicapai beberapa hari lepas hasil perbincangan pemimpin BN, katanya.

bm version bandar kulim bharu kedah parliament seat results 180708Mahkamah Tinggi Alor Star hari ini membatalkan petisyen itu selepas keputusan mendadak calon BN itu.

Mengulas desas-desus wakil rakyat PKR kawasan itu Zulkifli Nordin akan menyertai Umno, Abdul Aziz berkata beliau tidak tahu tentang perkara tersebut.

"Tetapi saya juga ada mendengar khabar angin itu," katanya.

Zulkifli terlibat membantah penganjuran forum 'Memeluk Islam' anjuran Majlis Peguam awal Ogos lalu.

Penglibatannya menimbulkan pelbagai reaksi pro dan kontra sehingga dihadapkan ke jawatankuasa disiplin PKR pada 6 September.

Bagaimanapun, sebarang keputusan belum dibuat hingga kini.

Desas-desus mengatakan beliau akan menyertai Umno kerana tidak berpuas hati berhubung tindakan parti itu, yang dikepalai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Abdul Aziz, ditanya sama ada keputusan beliau menarik balik petisyen itu akan menyebabkan kerugian bagi Umno dan dirinya, beliau berkata:

“Saya cuma hilang satu peluang. Bagaimanapun, di hujungnya, rakyat akan buat keputusan.”

Beliau yang juga ketua bahagian Umno Kulim-Bandar Baharu mendakwa masih mempunyai tanggungjawab dan tugas yang sama seperti Zulkifli walaupun tidak menjadi wakil rakyat.

“Saya ada pusat khidmat masyarakat. Saya masih bekerja macam biasa, cuma tidak menjadi ahli parlimen sahaja,” katanya.

Sementara itu, peguam Zulkifli, Aaqbal Shiffudin Adnan Sallehudin berkata pihaknya gembira dengan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, peguamnya itu belum mendapat maklum balas daripada anak guamnya.

Ahli parlimen itu tidak menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Malaysiakini
gagal mengubunginya untuk mengulas perkembangan terbaru petisyen itu.

April lepas, Abdul Aziz menfailkan petisyen bantahan kepada Zulkifli atas alasan lawannya itu telah gagal mengemukakan kenyataan perbelanjaannya sewaktu kempen pilihanraya umum 2004.

Mengikut akta pilihanraya, setiap calon yang tidak mengemukakan kenyataan perbelanjaan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tidak dibenarkan bertanding dalam pilihanraya seterusnya.

Pada 2004, Zulkifli bertanding kerusi parlimen Kuala Langat di Selangor tetapi kalah kepada calon BN dari Umno, Datuk Dr Shafie Mohd Salleh.

Dalam petisyennya, Abdul Aziz juga mendakwa bahawa pegawai pengurus pilihanraya telah gagal bertindak terhadap Zulkifli walaupun mempunyai dokumen yang mengesahkan kegagalannya mengemukakan kenyataan perbelanjaannya.

* sumber dari malaysiakini.com