PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, August 20, 2010

Roh di bulan Ramadhan

"Walau setinggi mana kasih sayangku, sesungguhnya Allah lebih berhak menyayangimu, Damai lah engkau disana di bawah limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya, Sesungguhnya kami semua akan menyusulmu di kemudian hari... Al-Fatihah buat semua muslimin dan muslimat yang telah pergi mendahului kita"

Pagi tadi sempena hari Jumaat bulan Ramadhan yang mulia ini, aku menghadiri majlis ilmu yang membincangkan tentang amalan di bulan Ramadhan. Satu perkara yang menarik perhatian aku tadi, ustaz penceramah bercerita tentang keadaan roh di bulan Ramadhan. Menurut satu hadith Rasulullah S.A.W.. (maaf aku tak sempat catat perawi hadith ini).. menceritakan apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka. Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak-anak mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka. Perkara ini akan berlarutan sehinggala tibanya Hari Raya Aidilfitri. Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka-mereka yang masih hidup.

Di sini ustaz memberitahu hikmah adanya alam kubur. Alam kubur membuktikan bahawa Allah itu Maha Penyayang. Orang yang melakukan kesalahan semasa hayatnya boleh dibantu dengan doa orang-orang yang masih hidup. Alangkah bahagianya jika seseorang yang telah meninggal dunia masih mendapat bekalan dari orang-orang yang masih hidup.

Oleh itu wahai sahabatku, jangan biarkan orang-orang yang kita sayang, yang mengadap Allah S.W.T terlebih dahulu daripada kita sepi tanpa doa dan sedekah daripada kita. Sesungguhnya apabila mati seseorang anak adam itu, terputus
ia semua hal kecuali 3 perkara iaitu doa anak-anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah.

-ibnumustafa-

Tuesday, August 17, 2010

Sesetengah Melayu mudah lupa, bulan puasa bulan tak puasa sama saja bagi mereka..

RAMADHAN adalah syiar keagungan Islam. Bulan puasa menjadi pemangkin umat Muhammad S.A.W, meneruskan langkah untuk meningkatkan ibadah kepada yang Maha Esa setelah bulan-bulan sebelumnya leka dan sibuk kerana kesibukan mengejar 'kekayaan' dunia.

Baru-baru ini sebelum menjelangnya bulan Ramadhan sekali lagi umat Islam digemparkan dengan keganasan Yahudi Israel laknatullah yang memuncak-muncak terhadap penduduk Palestine dan juga pada para sukarelawan seluruh dunia yang berniat baik datang membantu penduduk Palestine.

Sekali lagi emosi setiap entiti masyarakat Islam terganggu dengan kebiadapan dan kekejaman Yahudi Israel itu.

Tindakan zalim dan kejam itu turut menerima kecaman pelbagai lapisan masyarakat dilihat sebagai satu 'time bomb' yang sedikit sebanyak menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Tidak kurangnya di negara ini, umat Melayu Islam bangkit menghentam kekejaman Yahudi Israel ini, malah ada pihak yang menganjurkan demonstrasi membantah kekejaman Yahudi Israel baik di Kedutaan Amerika mahupun dijalanan.

Keberanian orang Melayu ketika berhadapan dengan isu tersebut agak membanggakan meskipun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ketika berhadapan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dalam pertemuannya di New York yang lalu akur dengan pandangan Mr.Right tersebut.

Di tanah air orang Melayu tak kira ahli UMNO, PAS, PKR atau berkecuali tidak henti-henti menghentam kekejaman dan kebiadapan yahudi Israel dan ada yang berani menyelar mereka secara terbuka dan keras. Inilah keberanian umat Melayu Islam di negara ini.

Namun kenyataan itu bagaimanapun tidak mampu menyedarkan sebilangan kecil masyarakat Islam yang kononnya 'sensitif' dalam soal 'agama' mereka. Bulan puasa langsung tidak menjadi nadi perubahan kepada golongan ini, malah isu penzaliman Israel ke atas umat Islam Palestine tidak memutuskan golongan ini memerdekakan hati dan jiwa daripada jajahan nafsu mereka.

Semasa pulang bercuti baru-baru ini, saya terlihat beberapa orang Melayu yang dengan selambanya makan dan minum di beberapa buah Cyber Cafe Internet malah ada juga tanpa segan silu makan di kedai makan milik peniaga Cina. Hal ini berlaku pada siang hari bulan puasa. Berani sungguh golongan ini, kata hati kecil saya.

Paling menyedihkan mereka ini tidak pun berasa malu dengan golongan bukan Muslim. Mereka makan secara terang-terangan sedangkan orang uzur termasuk perempuan yang 'off day' disuruh makan secara sembunyi-sembunyi.

Lebih malang, mereka ini makan dan minum di kedai pemiliknya bukan Islam dan hidangan mereka entahkan halal, entahkan haram.

Terlihat saya di satu sudut kedai makan, beberapa orang Melayu yang tidak berpuasa makan dan minum, menu 'kerbau pendek panggang', 'mi kerbau pendek' dan segala hidangan haiwan larangan.

Sedar atau tidak kumpulan manusia daripada golongan yang tidak malu ini telah memberi imej yang buruk kepada bukan Islam dengan kelakuan mereka yang langsung tidak menghormati Ramadhan yang mulia.

Seorang kenalan yang turut menyaksikan 'adegan makan-makan pada bulan puasa' menyapa sambil melahirkan rasa malunya terhadap sikap beberapa orang Melayu tersebut yang baginya hanya mengundang satu senario bahawa umat Islam kini tidak lagi menghormati ajaran agama mereka.

Tak perlu tunggu bangsa lain terutamanya Yahudi Israel menghina Islam, umat Islam berbangsa Melayu sendiri menghina keberkatan dan kemuliaan Ramadhan.

Kewajiban puasa kini tidak dilihat sebagai satu perintah Allah S.W.T lagi, malah ia dilanggar dengan tidak ada rasa malu sepertimana mereka melanggar undang-undang jalan raya.

Kekuatan Ramadhan bukan lagi satu 'medan' kepada umat Islam di bumi Malaysia ini untuk membina satu benteng kekuatan dan kegemilangan Islam sebaliknya ia hanya menjadi satu medan untuk hanya merayakan pesta 'makan-makan' di mana-mana bazar Ramadhan yg bersepah.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata Melayu mudah lupa, tetapi kini orang bukan Islam boleh melihat... mudahnya Melayu lupa agama, mana tidaknya Melayu tak malu makan di kedai orang bukan Islam ketika bulan puasa... Astaqfirullah al azieemm..

-ibnumustafa-

Monday, August 16, 2010

Kasih Sayang


-Beutiful Life-
Pada suatu hari di sekolah..
Seorang murid bertanya kepada gurunya..
Ketika itu guru tersebut sedang mengajar tentang kasih sayang.

Pelajar :
Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang? Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Cikgu :
Ok, ikut apa yang saya suruh. Kamu pergi ke padang. Kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput di depan kamu. Pilih yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walau sekali. Dan petik rumput yang PALING cantik, bawa ke kelas.

Apabila pelajar tersebut pulang ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya.

Cikgu :
Kenapa tiada rumput yang dipilih?

Pelajar :
Tadi masa saya berjalan, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik, maka saya terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang, saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya tadi rumput yang paling cantik tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Cikgu :
Itulah jawapannya. Maknanya apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita mencari lagi yang lebih baik dari itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Jangan kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Semoga yang berlalu tidak berulang lagi. Dan ingatlah orang yang paling kita sayang itulah yang paling cantik dan yang paling baik walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi..

*Special dedicate for her..*

-ibnumustafa-

Wednesday, July 7, 2010

Betapa cuaknya Orang Melayu apabila ada lambang zionis dalam PC mereka..

Betapa cuaknya orang melayu apabila mereka dapat tahu ada lambang zionis dalam komputer masing-masing. Kemudian, mereka akan hantar mesej beramaran kepada rakan-rakan melalui facebook, yahoo messenger dan email berantai..

Pergh! memang gempaklah dapat mesej ni..

Salam nak tahu tak sebenarnya dalam MO (Microsoft Office) ada lambang zionis yahudi yang kita xsedar… cuba check C:\ProgramFiles\MicrosoftOffice\MEDIA\CAGCAT10\J0285926.WMF tolong delete file ni.. foto kemenangan lambang zionis yg kita x sedar.. harap hebahkan… tq

Tengok punya tengok.. memang ada, Ia tersorok dalam file Microsoft Office. Gambar sepertimana tertera di atas. Siap ada lambang Yahudi lagi. Rupa-rupanya Zionis selama ini dok menyorok dalam komputer kita. ngeh3..

Untuk pengetahuan semua, bukan setakat gambar zionis sahaja yang ada dalam komputer kita malah gambar Ka'abah pun ada juga. Sila check di komputer masing-masing:-

C:\ProgramFiles\MicrosoftOffice\MEDIA\CAGCAT10\J0301050.WMF

Sebagaimana lambang zionis ada dlm PC kita selama ni, selama itu jugalah Baitullah al-Haram juga berada di dalam komputer kita. Pelik?

Janganlah cuak sangat bila dengar zionis ni, kita umat islam bukan lemah, jangan tunjukkan yang kita ini lemah dan bodoh, umat Islam bukan bodoh! maka tolonglah jangan nampakkan sangat yang umat Islam ini bodoh. Tak ada maknanya zionis nak menyorok dalam komputer kita selama ini..

Untuk pengetahuan semua WMF itu biasalah untuk perisian pictures dalam Windows, semua agama dan fahaman ada dalam tu sebab untuk memudahkan pengguna komputer, bukan setakat lambang zionis je ada, Ka'abah umat Islam pun ada! bahkan patung buddha pun ada, nak tengok patung buddha dalam PC sila check:-

C:\ProgramFiles\MicrosoftOffice\MEDIA\CAGCAT10\J0300912.WMF

Bayangkan umat Islam duduk berkempen delete lambang zionis dlm PC, Adakah pihak zionis akan lakukan kempen yang sama supaya delete gambar Ka'abah al-Haram dalam komputer mereka juga? xde maknanya..

Malah kalau zionis tahu sekalipun kempen umat Islam mendelete lambang zionis dlm PC ni, sudah pasti mereka akan tergelak terbahak-bahak pada umat Islam, betapa nampak bodohnya umat Islam di mata mereka! Mereka ada agenda besar lain lagi yang lebih bagus daripada isu ini untuk melemahkan umat islam.. sedangkan umat Islam khususnya orang melayu cepat melatah dengan isu2 yang remeh ini, dalam waktu yang sama masih menyondol dan menjilat.. fikir-fikirkanlah..

-ibnumustafa-

Friday, June 11, 2010

Selamatkan Masjid Al-Aqsa

Assalamu'alaikum wrt wbt..

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa sama ada dalam keadaan terang atau tersembunyi. Marilah kita bersama-sama berusaha memelihara dan mengelakkan diri kita daripada azab Allah Subhanahu Wata’ala dengan melaksanakan amal-amal soleh dan menjauhi setiap larangan-Nya.

Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam tamadun manusia dan menjadi rebutan kepada tiga agama. Namun demikian, Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam hati setiap muslim sejak zaman-berzaman. Keistimewaan Palestin seperti yang terdapat di dalam Al-Quran, Al-Hadith dan Kitab-kitab Sejarah ialah:

1. Sebagai Qiblat pertama umat Islam.
2. Terdapat Masjidil-Aqsa iaitu masjid kedua yang dibina di atas muka bumi. Dan masjid ketiga paling suci selepas Masjidil-Haram dan Masjidin-Nabawi.
3. Tempat berlakunya Israk dan Mikraj.
4. Harta wakaf umat Islam sehingga ke Hari Qiamat.
5. Tempat kelahiran Para Anbia’

Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis yang bermula pada tahun 1948 setelah terbinanya negara haram Israel telah menyaksikan bukan sahaja isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu akidah umat Islam, tanahair, maruah dan peradaban. Sesungguhnya bumi Palestin yang terdapat di dalamnya qiblat pertama umat Islam adalah watan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi Masjidil-Aqsa yang merupakan persinggahan Rasululah s.a.w. sebelum dimikrajkan ke langit, sekarang ini terancam dengan apa yang dilakukan oIeh Yahudi laknatullah terhadap masjid yang mulia ini.

Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 1: Bermaksud: "Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haram (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin) yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepada-Nya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Sejak berzaman lagi Yahudi berusaha untuk meruntuhkan Masjidil-Aqsa bermula dengan siri pengeboman terhadap masjid suci yang ketiga umat Islam pada 01 Mei 1980 setelah mereka berusaha untuk memusnahkannya dengan membakarnya pada tahun 1969. Hari ini usaha meruntuhkan Masjidil-Aqsa giat dijalankan dengan menggali terowong di bawah Masjidil-Aqsa supaya masjid ini runtuh dengan sendirinya dan didirikan di atasnya Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) yang merupakan di antara matlamat mereka untuk menguasai Masjidil-Aqsa.

Kini Masjidil-Aqsa dalam keadaan merbahaya. Zionis Yahudi berusaha memastikan doktrin-doktrin Thalmud, kitab yang menyeleweng yang mereka yakini dapat direalisasikan dengan proses pengyahudian dan projek-projek penempatan rumah-rumah haram.

Islam amat menghendaki umatnya bersatu menentang musuh tanpa mengenal sempadan dan warna kulit.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 15: Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya)".

Apa yang memeritkan, tatkala masyarakat Islam seluruh dunia bangun memprotes apa yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, pemimpin negara-negara Arab dan Islam seolah-olah merestui apa yang dilakukan oleh rejim Zionis yang disokong oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Britain untuk melakukan apa sahaja kepada saudara mereka.

Di manakah maruah umat Islam?. Inilah di antara bahana yang berlaku apabila umat Islam terlalu bergantung dengan kuasa-kuasa besar dan bukannya kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Sikap ini perlu dibebaskan daripada jiwa kita dan kita wajib membantu rakyat Palestin dengan apa jua cara dan tindakan, yang bermula dengan doa kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala sehinggalah kepada tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan Yahudi dihalau keluar daripada negara yang mereka jajahi.

Masjidil-Aqsa dikepong dan umat Islam yang berumur di bawah 45 tahun tidak dibenarkan bersolat di dalamnya. Selain daripada itu kezaliman dan penindasan rakus terus-menerus berlaku. Pembunuhan kejam menggunakan senjata-senjata moden yang dimiliki mereka dibenarkan oIeh undang-undang. Mahkamah Tinggi Israel mengisytiharkan keizinan untuk orang Yahudi bersembahyang di Masjidil-Aqsa. Ajaran yang dikeluarkan oIeh paderi mereka ialah menyarankan agar warga lsrael membawa kitab Thalmud tiga kali seminggu di dalam Masjidil-Aqsa. Pencerobohan ke atas Masjidil-Aqsa Al-Mubarak oleh puak Ekstremis Yahudi di bawah pengawasan tentera Israel berlaku pada hari Ahad 04 Oktober 2009 yang lalu. Pencerobohan yang dilakukan itu dicetuskan selepas 9 tahun Ariel Sharon melaksanakan tindakan memalukan, berlaku pada Perayaan Yahudi 'Yom Kippur'. Tindakan mereka ini telah menyebabkan 16 orang rakyat Palestin dimasukkan ke hospital dan 9 lagi dipenjarakan. Masjidil-Aqsa Al-Mubarak adalah tempat suci bagi umat Islam tidak boleh menerima sama sekali tentera Israel bersama penduduknya melakukan jenayah yang kejam terhadap rakyat Palestin, Komuniti Muslim dan masjid sucinya. Malangnya umat Islam masih leka dan terus menyokong bantuan-bantuan yang telah diberikan kepada Israel melalui pembelian barangan makanan, rokok, mahu pun Perkhidmatan Profesional yang secara jelas keuntungannya diberikan untuk membiayai negara Israel. Di manakah maruah umat Islam?.

Sesungguhnya kekejaman Zionis pasti akan berulang dan terus berulang tanpa mengenal siapa yang menjadi sasaran. Utusan Malaysia bertarikh 24.03.2010 melaporkan Perdana Menteri Israel “Benjamin Netanyahu” dengan bangga menyatakan Baitul-Muqaddis adalah ibu negara Israel yang sah, dengan itu tiada halangan bagi Israel untuk membina penempatan baru untuk penduduk Yahudi berhampiran Masjidil-Aqsa. Di manakah kita sekarang?. Adakah kita masih lalai dan leka?. Adakah kita masih nyenyak tidur dengan mimpi-mimpi yang indah?. Umat Islam pada hakikatnya sekarang ini sedang disibukkan dengan isu-isu remeh-temeh, dipesongkan fikiran mereka dengan sukan dan hiburan yang menghancurkan, kadangkala artis lebih dikenali daripada masjidil-Aqsa.

Majalah Haretz Israel baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan umat Islam, iaitu pada tarikh 16 Mei 2010 Masjidil-Aqsa akan siap dirobohkan dan terbinalah Kuil Yahudi di atas tapak yang sama. Adakah ini sesuatu yang mustahil?. Untuk mencapai tujuan yang besar ini, Israel tidak melakukannya dengan serta-merta, akan tetapi mereka melaksanakannya dengan perlahan-lahan. Berita yang dilaporkan oleh radio Israel pada 24.03.2010, pihak berkuasa Israel meluluskan pembinaan penempatan haram Yahudi sebanyak 1,000 unit rumah di dalam Kota Baitul-Muqaddis berhampiran Masjidil-Aqsa. Namun umat Islam seolah-olah hanyut dengan kemewahan dan budaya hiburan Hidonisme khayal yang akhirnya mereka lupa dengan apa yang berlaku terhadap saudara-mara seaqidah mereka. Tusukan tajam jarum-jarum Zionis melalui hiburan, telah menyebabkan pegangan akidah umat Islam semakin longgar. Justeru, perasaan ukhuwwah perlu disemai dan dibaja semula dengan iman dan Islam, agar apa yang berlaku di Palestin dirasai bersama sehingga menghasilkan tindakan-tindakan yang sesuai sebagai seorang muslim.

Di saat ini masjid-masjid lain di Palestin telah ditukarkan menjadi Kuil-kuil Yahudi, kelab-kelab malam, panggung wayang dan kandang-kandang lembu. Di saat ini umat Islam Palestin menanggung sengsara yang tidak terhingga dan tidak terkata, malah menjadi buntu kepada siapakah pertolongan mahu dipinta?. Di manakah umat Islam?. Adakah kita lupa pada kalimah syahadah yang sama-sama kita ucapkan?. Adakah terdapat perbezaan antara dua kalimah syahadah umat Islam Palestin dengan umat Islam di Malaysia?. Jawapannya sudah tentu tiada bezanya. Bahkah solat kita sama, puasa kita sama, qiblat kita sama. Tuhan yang kita sembah juga sudah pasti sama, iaitu Allah yang Maha Esa. Akan tetapi persoalannya kenapa kita masih membiarkan mereka bersendirian mempertahankan Masjidil-Aqsa?.

Bumi Palestin dinodai. Umat Islam Palestin dinafikan hak mereka. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka yang serba kekurangan dari semua sudut, berlawan bersendirian dengan rejim Zionis untuk mempertahankan Masjidil-Aqsa yang mendapat sokongan dan dokongan dari Dunia Barat yang diketuai Amerika Syarikat. Umat Islam perlu sedar, apakah yang hendak diharapkan daripada musuh-musuh Islam bagi mempertahankan dunia Islam?. Umat Islam wajib bersatu berganding bahu tanpa membuang masa dan waktu, bangun mempertahankan Baitul-Muqaddis yang satu. Islam adalah teras kepada kesedaran ini dan bukannya hanya semangat yang ditiup oIeh kepentingan individu. Umat Islam mesti dimotivasikan dan dibangunkan jiwa mereka dengan kitab suci Al-Quran. Itulah cara dan jalan terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya dan tidak lagi diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti akan berlaku. Maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini. Hati kita dengan umat Islam di Palestin adalah terikat dengan ikatan akidah yang satu. Perjuangan rakyat Palestin dengan nyawa dan darah mereka adalah fardhu 'ain dan kefardhuan jihad telah dilaksanakan oleh mereka. Sekiranya umat Islam Palestin berjihad menggunakan senjata dan ia merupakan fardhu 'ain ke atas mereka, maka kefardhuan tersebut diganti dengan jihad harta dan sokongan moral kepada kita bagi membantu rakyat Palestin. Tidakkah ini satu perjanjian dan satu pertukaran yang menguntungkan kepada umat Islam di negara kita?. Sesungguhnya bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan umat Islam Palestin wajib ke atas kita semua.


Firman Allah dalam Surah As-Soff ayat 10-12: Bermaksud: “Wahai orang yang beriman!, mahukah aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjihad di jalan Allah (membela dan menegakkan agama Allah) dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai serta di tempatkan kamu di tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar”.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam. Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, kehidupan kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

-ibnumustafa-

Friday, June 4, 2010

12 Aurat Wanita

1. Bulu Kening - Menurut Bukhari, Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikan dari Hadith Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki) semacam hantu loceng - "Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

Keterangan : Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya pada mereka yang mengikatnya dengan loceng.

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yang berserombong kapal kata orang sekarang hidung belang - Petikan dari Hadith Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - "Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi bahagian hadapan dada-dada mereka." - Petikan dari Surah An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasulullah SAW melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya - Petikan dari Hadith Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah - Petikan dari Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasanmu seperti orang jahilliah yang dahulu.

Keterangan : Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binti Abu Bakar RA telah menemui Rasulullah SAW dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasulullah SAW: "Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." - Petikan dari Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari Hadith Riwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - "Dan katakanlah kepada perempuan mu'min hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Rasulullah SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandangan seterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram" - Petikan dari Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - "Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik." - Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 32.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang la in, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah SWT akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." - Petikan dari Hadith Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mu'min, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka." - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Rasulullah SAW, "Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." - Hadith Riwayat Riwayat Al Bazzar.

"Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." - Petikan dari Hadith Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - "Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yang menjolok mata, maka Allah SWT akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." - Petikan dari Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari Surah Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud: "Hai Nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."


"Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya." - Petikan dari Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.

-ibnumustafa-

Tazkirah Jumaat : Allah amat sayangkan makcik...

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?". "Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah" Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu.

Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya.

Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya. Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal.

Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan. Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi. Akhirnya pintu rumah itu dibuka.

Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih. "Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit. "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah". Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu"

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini" Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat". "Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR!

Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya.

Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya. Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat.

Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang..

Panjangkanlah risalah ini. Ingat ALLAH sentiasa menyayangi dan memelihara kamu!

TAKBIR!! ALLAHUAKBAR!

Wassallam..

-ibnumustafa-