PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, August 16, 2011

Nuzul Al-Quran Merubah Sikap Muslim..


Firman Allah S.W.T di dalam Al-Quran bermaksud:
“Kami (Allah) akan tunjukkan tanda-tanda kebesaran Kami pada alam semesta ini (pada segenap ufuk) dan pada diri manusia sendiri, hinggalah menjadi bukti yang jelas bahawa Al-Quran ini datangnya daripada Allah S.W.T. Wahai manusia, tidakkah cukup bagi kamu bahawa Tuhan kamu sendiri menjadi saksi terhadap segala sesuatu.” - Surah Al-Fussilat; ayat 53.

Assalamu'alaikum & Selamat Menyambut Nuzul Al-Quran..

Muslim dan al-Quran

Sesungguhnya dengan turunnya al-Quran pada bulan Ramadhan sejak lebih 1,400 tahun lalu, telah menyelamatkan manusia daripada melakukan tabiat serta tingkah laku yang tidak selari dengan fitrah mereka sendiri.

Ia menjadi inspirasi ke arah kebaikan kerana di dalamnya penuh dengan ayat-ayat yang mampu merubah sikap manusia kepada sesuatu yang positif dalam hidup mereka.

Sayidina Omar bin al-Khattab R.A yang dulunya dikenali sebagai seorang yang bengis dan amat membenci Rasulullah S.A.W. telah menemui jalan terbaik dalam hidupnya apabila dipertemukan dengan al-Quran yang akhirnya memeluk Islam.

Yang menariknya, Omar telah memeluk Islam hanya kerana membaca dan menatap beberapa potong ayat al-Quran daripada Surah Taha dan setelah mengucap dua kalimah syahadah. Omar menjadi seorang Muslim yang amat komited dan yakin dengan Islam. Omar, setelah mengucap, terus mengisytiharkan keislamannya kepada seteru tradisi Rasulullah S.A.W termasuk Abu Jahal.

Begitulah jauhnya perbezaan Omar dengan umat Islam pada akhir zaman ini. Tetapi yang peliknya, Omar dan umat akhir zaman juga mengharapkan untuk mendapat syurga dan rahmat pada hari pembalasan, sedangkan cara hidup dan keyakinan mereka amat berbeza. 

Apa yang dimaksudkan dengan Nuzul al-Quran? 

Nuzul yang diambil daripada perkataan bahasa Arab diertikan sebagai penurunan, sementara al-Quran pula merupakan kitab Allah S.W.T yang diberikan kepada Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad S.A.W.

Jadi istilah Nuzul al-Quran boleh diertikan sebagai penurunan al-Quran ke atas baginda Rasulullah S.A.W sebagai petunjuk kepada umat manusia sejagat. 

Waktu turunnya al-Quran? 

Allah S.W.T menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai “Lailatul Qadr”, pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril A.S. turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan.

Surah al-Qadr ini pula diturunkan di Kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah S.A.W ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah S.W.T dan rukun-rukun iman yang lain. 

Kenapa al-Quran diturunkan dan apakah fungsinya yang sebenar? 

Dalil daripada al-Quran:

1- Ayat 15-16 Surah al-Maidah:

“Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad S.A.W) dari Allah S.W.T dan kitab yang menerangkan (al-Quran). Dengan kitab itulah Allah S.W.T menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah S.W.T mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.”

2- Dalam ayat 9 Surah al-Hadid:

“Dialah (Allah S.W.T) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad S.A.W) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam).”

Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah S.W.T melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.

Dalil daripada hadith Nabi Muhammad S.A.W:

Daripada Ali K.W, beliau berkata: Sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: Sesungguhnya akan berlaku fitnah yang banyak. Aku pun bertanya: Apakah jalan keluar darinya duhai Rasulullah? Baginda S.A.W menjawab: Kitabullah (al-Quran) kerana di dalamnya terdapat kisah-kisah orang dan perkara sebelum kamu dan perkhabaran tentang apa yang akan datang sesudah kamu; dan terdapat di dalamnya hukum-hakam di antara kamu; Ia (al-Quran) adalah kata putus dan bukan senda gurau; sesiapa yang meninggalkannya (menolaknya) kerana sombong, ia akan dibinasakan oleh Allah S.W.T; dan sesiapa sahaja yang mencari petunjuk selain darinya akan disesatkan oleh Allah S.W.T; Ia adalah tali Allah S.W.T yang teguh dan ia adalah pengajaran (peringatan) yang bijaksana. Ia adalah as-Siratul Mustaqim (jalan yang lurus); Ia adalah kitab yang dengan sebab berpegang teguh kepada ajarannya, hawa nafsu seseorang tidak akan menyeleweng dan terpesong; dan Ia adalah kitab yang kalimah-kalimahnya tidak samar dan berputar-belit; dan para ulama pula tidak pernah puas menggali ilmu darinya (demikian juga) keindahan, kemanisan dan kelazatan membacanya tidak akan pernah hilang dan kandungannya menakjubkan, tidak berkesudahan. Ia adalah kitab yang jin tidak berhenti mendengarnya sehingga mereka berkata, "Sesungguhnya kami mendengar bacaan al-Quran yang menakjubkan, ia menunjuk ke jalan yang benar, lalu kami beriman kepadanya." Sesiapa sahaja berkata dengannya, benarlah perkataannya; sesiapa yang beramal dengannya, dia akan diganjari pahala, sesiapa yang berhukum dengannya, adillah dia dan sesiapa yang menyeru kepadanya, nescaya dia akan diberi petunjuk Siratil Mustaqim (jalan yang lurus). - Hadith Riwayat at-Tirmidzi dan Darimi. 

Keterangan maksud hadith mengenai fungsi al-Quran 

Memang benar dan tepat sekali penjelasan Baginda S.A.W. seperti dalam hadith di atas, bahawa pada akhir zaman akan berlaku terlalu banyak fitnah yang ditimpakan ke atas Islam dan Muslimin.

Sama ada fitnah itu dilakukan oleh mereka yang bukan Islam yang menaruh sifat benci amat mendalam serta dendam kesumat terhadap Islam dan umatnya, ataupun dilakukan sendiri oleh mereka yang bernama Islam.

Antara fitnah yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti meninggalkan solat tanpa alasan atau sebab yang boleh diterima kerana menonton pertandingan bola sepak, pertandingan akhir mencari juara bintang popular dan sebagainya, tidak kurang juga golongan remaja muda dan tua yang tidak mengenakan kod berpakaian yang disyariatkan oleh Allah S.W.T, terlibat dalam pembunuhan, perjudian, rasuah, pecah amanah, penipuan dalam pilihan raya dan banyak lagi.

Kesemua yang disebutkan itu adalah fitnah yang menyukarkan golongan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam kepada bukan Islam tentang keindahan agama Islam kerana tindakan-tindakan liar itu menjadi batu penghalang kepada bukan Islam untuk menerima Islam, ataupun minat, cenderung atau simpati kepadanya.

Justeru, yang boleh menyelamatkan keadaan dan dari fitnah-fitnah tersebut adalah kitab suci al-Quran, kerana tujuan ia diturunkan seperti yang dijelaskan dalam ayat-ayat di atas adalah untuk meneylamatkan bangsa manusia serta mempimpin mereka ke jalan kebenaran. 

Cara bagaimana al-Quran diturunkan 

Menurut Imam as-Suyuti dalam kitabnya al-Itqan: Al-Quran diturunkan ke langit dunia pada malam al-Qadr secara sekali gus, kemudian diturunkan pula secara berperingkat selama dua puluh tahun, ada pendapat yang mengatakan dua puluh tiga tahun dan ada pula dua puluh lima tahun sejak Nabi Muhammad S.A.W dilantik menjadi Nabi dan Rasul berdasarkan peristiwa dan keadaan tertentu yang hanya diketahui oleh Allah S.W.T pada tempoh tersebut.

Tetapi kenapa al-Quran diturunkan sekali gus ke langit dunia dan diturunkan tidak sekali gus malah berperingkat-peringkat ke atas baginda, perkara ini telah dijawab oleh Allah S.W.T menerusi ayat 32 surah al-Furqan yang bermaksud:

“Berkatalah orang-orang Kafir: Mengapa al-Quran itu tidak diturunkan kepada (Muhammad S.A.W) sekali turun sahaja? Demikianlah (dengan cara itu) supaya Kami perkuatkan hatinya dan Kami membacanya kelompok demi kelompok (secara ansur-ansuran).”

Surah pertama turun dalam al-Quran 

Menurut Imam as-Suyuti, surah pertama turun secara keseluruhan isi kandungannya ialah surah al-Muddathir, sementara riwayat Imam at-Tabrani pula surah yang sempurna diturunkan ialah al-Fatihah dan ada pendapat yang mengatakan ialah surah al-Alaq yang diturunkan hanya lima ayat pertama. Walau bagaimanapun mengikut susunan para ulama: Surah al-Alaq yang pertama diturunkan secara mutlak mengikut pendapat jumhur. Surah al-Muddathir pertama diturunkan dalam konteks menyampaikan mesej dakwah. Surah al-Fatihah pula pertama diturunkan sebagai pembuka kepada surah-surah lain dalam al-Quran. 

Ayat terakhir turun dalam al-Quran 

Perkara ini juga diperselisihkan oleh beberapa pendapat ulama berdasarkan riwayat hadith tertentu:

Pendapat pertama: Ayat terakhir turun ialah ayat mengenai pengharaman riba daripada ayat 278 surah al-Baqarah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah S.W.T dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu benar-benar orang-orang yang beriman.

Ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari daripada Ibnu Abbas.

Pendapat kedua: Ayat 281 surah al-Baqarah:

“Dan peliharalah diri kamu dari (azab yang terjadi) pada hari yang pada waktu itu kamu semua dikembalikan kepada Allah S.W.T.”

Ia berdasarkan riwayat an-Nasaie daripada Ibnu Abbas dan Said Bin Jubair.

Pendapat ketiga: Ayat 282 surah al-Baqarah yang menceritakan tentang kesaksian dalam muamalat, iaitu ayat yang terpanjang dalam al-Quran. 

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. 

Ia berdasarkan riwayat Said Bin al-Musaiyab.

Pendapat keempat: Ayat 3 surah al-Maidah:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agama kamu, dan telah Aku cukupkan kepada kamu nikmat-Ku dan Aku reda Islam itu menjadi agama bagi kamu.”

Perbezaan pendapat di atas berlaku adalah disebabkan riwayatnya tidak sampai kepada Nabi Muhammad S.A.W, ia hanya terhenti setakat di kalangan para sahabat, maka masing-masing menyatakan keyakinan yang dipercayai yang tidak menjejaskan pegangan akidah mereka, walau bagaimanapun menurut para ulama, kecenderungan mereka kepada pendapat keempat berdasarkan apa yang dibacakan oleh baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir untuk bertemu Tuhannya. 

Apakah yang ada dalam al-Quran? 

Sesungguhnya isi-isi kandungan meliputi pelbagai aspek yang diperlukan oleh manusia bagi mengurus kehidupan mereka dengan lebih sistematik. Dalam al-Quran terdapat ayat yang mengisahkan tentang cerita orang-orang terdahulu dan akan datang (pada hari kiamat) yang sepatutnya menjadi contoh teladan umat Islam hari ini, kerana ayat-ayat cukup sesuai sampai bila-bila, ini menunjukkan bahawa Allah S.W.T yang memiliki kitab suci tersebut bersifat Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya.

Tidak kurang juga al-Quran memberi panduan untuk beramal ibadat seperti ayat-ayat wuduk, solat, perkahwinan, sistem kewangan, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, alam sekitar, sains, kaji hayat, sejarah dan banyak lagi yang tidak dapat untuk disenaraikan satu persatu di sini.

Ia juga merakamkan ayat mengenai akidah, ibadat, hubungan manusia dengan Tuhannya, penganjuran supaya berakhlak mulia dan meninggalkan akhlak tercela, cerita tentang azab dan nikmat, syurga dan neraka dan lain-lain.

Apa yang penting, al-Quran bukanlah kitab kuno atau doktrin yang hanya sesuai di zaman unta semata-mata seperti yang didakwakan oleh sesetengah para ilmuan termasuk di kalangan orang Islam, malah ia lebih kepada kitab yang memberi pedoman dan panduan berguna menuju jalan keselamatan hidup di dunia dan akhirat dalam segenap bidang yang mereka perlukan. 

Sikap Muslim terhadap al-Quran 

Tidak semua di kalangan manusia yang bernama Islam memiliki cita-rasa yang sama terhadap al-Quran, perkara ini ditegaskan sendiri oleh Allah S.W.T menerusi ayat 32 surah Fatiir yang bermaksud:

“Kemudian kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yanag kami pilih di antara hamba-hamba Kami, lalu di antara mereka ada yang menganiayai diri mereka sendiri, ada di antara mereka yang bersederhana dan di antara mereka ada yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan dengan izin Allah S.W.T. Yang demikian itu adalah kurniaan yang amat besar.”

Sesungguhnya di kalangan hamba Allah S.W.T yang diwariskan Allah S.W.T al-Quran kepada mereka adalah yang bernama Islam (Muslimun), sedangkan Kristian, Sekular, Kapitalis, Sosialis, Komunis dan sebagainya adalah hamba Allah S.W.T yang menolak kebenaran al-Quran secara mutlak.

Namun dalam ayat di atas terdapat tiga jenis manusia di kalangan hamba Allah S.W.T yang Islam yang berbeza pendirian atau sikap mereka terhadap al-Quran:

1- Yang menganiayai diri mereka sendiri: Iaitu golongan yang kesalahan dosa mereka lebih banyak daripada pahala kebaikan, kerana mereka tidaka membaca al-Quran, mentelaah, berdiskusi apatah lagi untuk beramala dengan perintah Allah di dalamnya.

2- Adapun golongan yang bersederhana: Ialah golongan di mana kesalahan dosa mereka sama banyak dengan pahala, mereka adalah golongan yang membaca al-Quran tetapi belum bersedia untuk melaksanakan isi-isi kandungannya yang terdiri daripada hukum-hakam Allah.

3- Sementara golongan yang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan: Ialah golongan yang amat banyak kebaikan yang dilakukannya dan amat jarang berbuat kesalahan, mereka adalah golongan yang bersedia untuk melaksanakan hukum perintah Allah dalam al-Quran seperti hukum Hudud, Qisas dan Ta’zir, kerana hukum-hukum itu sahaja yang mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh umat manusia sepanjang masa.

Terserahlah kepada kita untuk meletakkan kedudukan diri di antara tiga jenis orang Islam seperti ayat di atas, apa yang jelas, al-Quran bukanlah kitab untuk dipertandingkan semata-mata, malah lebih daripada itu bagi mencapai maksud untuk mendapatkan cahaya keredhaan Allah S.W.T. 

Contoh ayat motivasi dalam al-Quran yang sepatutnya dikuasai 

1- Sesungguhnya yang membaca al-Quran serta menyelidiki hikmah di dalamnya adalah mereka yang bernama Islam, kerana orang bernama Ah Chong atau Arumugam tidak sekali-kali membacanya melainkan mereka hendak mendekati Islam, tetapi yang menjadi tanda tanya di sini, mengapa Allah S.W.T lontarkan persoalan kepada seorang Muslim yang membaca al-Quran seperti pertanyaan-Nya dalam ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud:

“Bagaimana kamu sampai menjadi kafir, pada hal ayat-ayat (al-Quran) dibacakan kepada kamu dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu?”

Ayat di atas menunjukkan kepada kita bagaimana terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Rasulullah S.A.W berada di sisinya, iaitu apabila menganjurkan Musabaqah Tilawah al-Quran, mengadakan Majlis Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Isra' Mi'raj dan sebagainya, namun akhirnya tidak dapat menerima petunjuk Allah malah menjadi golongan yang menentang (kafir) kebenaran.

2- Menerusi ayat 10 surah Fatir bermaksud:

“Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah-lah kemuliaan itu semuanya, kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal solih dinaikkannya.”

Ayat di atas menggambarkan kepada bagaimana Allah S.W.T memberikan kemuliaan kepada kita sebagai manusia akan kemuliaan-Nya agar kita menjadi golongan yang mulia, ia menunjukkan bahawa dengan cara memberi atau mendengar perkataan dalam majlis ilmu, kuliah, ceramah atau forum agama seseorang itu akan dimuliakan Allah S.W.T.

Inilah satu pendekatan yang mampu untuk mengisi kekosongan jiwa manusia pada hari ini, namun manusia tetap angkuh disebabkan tidak berusaha untuk mendapatkan kemuliaan daripada Allah, mereka memilih jalan yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka-Nya. 

Tadarus al-Quran pada bulan Ramadhan 

Perkataan tadarus telah dijelaskan oleh baginda Rasulullah S.A.W. dalam satu hadith (hadith yang ke-36 dalam hadith 40 susunan Imam an-Nawawi), daripada Abu Hurairah R.A, dari Nabi S.A.W bersabda:

“Tidak berhimpun satu kaum dalam rumah Allah S.W.T, mereka membaca al-Quran dan bertadarus (berdiskusi isi kandungannya) di kalangan mereka, melainkan perhimpunan mereka itu diturunkan ketenangan daripada Allah S.W.T, diliputi dengan rahmat-Nya, dikelilingi dengan para Malaikat dan Allah S.W.T akan mengingati mereka yang ingat kepada-Nya.”

Menurut hadith di atas, baca disebut tilawah, sedangkan tadarus ialah berdiskusi segala isi kandungan al-Quran, sama ada dari sudut hukum-hakam ilmu tajwid, persoalan ilmu sains meliputi persoalan kejadian manusia, tumbuh-tumbuhan, ilmu alam, ilmu kaji hayat, cakrawala dan berbagai-bagai macam lagi yang perlu diterokai, ayat-ayat syurga dan neraka, ayat-ayat mengenai tentang dosa dan pahala, ayat-ayat motivasi (tazkirah) dan sebagainya yang tidak dapat dihitung dengan sepuluh jari, ia bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Apa yang penting, Ramadhan tahun ini menjadikan kita umat yang suka bertadarus (berdiskusi, mengkaji) isi-isi kandungan al-Quran termasuklah memperelok sebutan huruf-huruf al-Quran dengan memperdalami hukum-hukum ilmu tajwid, supaya Ramadhan kali ini benar-benar meninggalkan seribu kenangan berbanding tahun-tahun sebelum ini, sekali gus merubah keadaan diri kita kepada suka membaca, mengkaji serta beramal dengan al-Quran, mudah-mudahan dengan cara itu kita menjadi graduan Ramadhan cemerlang pada kali ini, Aamieen.. 

-ibnumustafa-

Sunday, August 14, 2011

Tidak Mahu Puasa Di Bulan Ramadhan? Boleh, Asalkan.....

Tidak mahu puasa di bulan Ramadhan? Tidak ingin haus dan lapar dari sejak fajar sampai ke maghrib? Ingin makan yang enak-enak di siang hari di bulan Ramadhan? Boleh, asalkan anda termasuk dari golongan yang berikut:

1. Orang Yang Musafir - Seorang yang melakukan perjalanan jauh, mendapatkan keringanan untuk tidak berpuasa di bulan Ramadhan.

Allah S.W.T berfirman: “Maka barang siapa di antara kamu ada yang sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. - Surah Al-Baqarah; ayat 184.

2. Orang Yang Sakit - Jika sakit yang diderita seseorang akan bertambah parah dengan berpuasa atau susah sembuh, atau malah boleh mengakibatkan kematian, maka dalam hal ini ada keringanan untuk tidak berpuasa. Dalil yang menunjukkan hal tersebut adalah firman-Nya pada ayat di atas.

3. Wanita Yang Haid Dan Nifas - Rasulullah S.A.W bersabda, “Bukankah wanita bila haid tidak solat dan berpuasa? Mereka para wanita menjawab, Tentu.” - Hadith Riwayat Bukhari dari Abu Said Al-Khudri R.A.

Wanita yang haid dan nifas bukan hanya diperbolehkan berbuka puasa, bahkan wajib baginya untuk berbuka puasa. Ulama' telah sepakat bahawa wanita yang haid dan nifas tidak dibolehkan untuk berpuasa, kalaupun ia tetap berpuasa, maka puasanya tetap tidak sah.

4. Orang Yang Sudah Lanjut Usia
- Imam Bukhari meriwayatkan dari ‘Atha, ia mendengar Ibnu ‘Abbas R.A membaca ayat: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankan puasa, (jika mereka tidak berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.” - Surah Al-Baqarah; ayat 184.

Berkata Ibnu ‘Abbas, “Ayat ini tidak mansukh (dihapus) hukumnya, ia untuk lelaki dan perempuan lanjut usia yang tidak mampu untuk berpuasa, maka hendaknya keduanya memberi makan setiap harinya seorang miskin.


5. Wanita Hamil Dan Menyusui - Dari Anas Bin Malik R.A, ia berkata, Rasulullah S.A.W bersabda kepadanya, “Mendekatlah, aku akan ceritakan kepadamu tentang masalah puasa. Sesungguhnya Allah S.W.T menggugurkan setengah solat atas musafir dan menggugurkan kewajipan puasa atas orang yang hamil dan menyusui.” - Hadith Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah.

Maka, sekiranya anda termasuk dari mana-mana golongan yang di atas, silahkan berbuka puasa. Tetapi, jika anda bukan dari golongan tersebut, silakan juga berbuka puasa sekiranya mahu mendapatkan imbalannya. Apa itu imbalannya? Berikut ini imbalannya:

Imbalan Bagi Yang Tidak Berpuasa di Bulan Ramadhan Tanpa Uzur Yang Diizinkan Syariat

Rasulullah S.A.W bersabda, “Tatkala aku lagi tidur, datanglah dua orang menghampiriku. Keduanya lalu memegang lenganku dan membawaku ke sebuah bukit yang sukar dilalui. Berkatalah dua orang itu, “Naiklah!” Maka aku pun berkata, “Aku tidak mampu.” Keduanya berkata, “Kami akan memudahkan itu untukmu.” Akhirnya aku pun memanjatnya. Tatkala aku sampai di bukit yang gelap, tiba-tiba terdengar suara yang sangat kuat. Aku bertanya, “Suara apa ini?” Mereka menjawab, “Ini suara jeritan penduduk neraka.” Lalu keduanya membawaku lagi hingga sampai ke tempat sekumpulan orang yang digantung terbalik dengan kaki di atas. Robek mulut-mulut mereka, dan mengalirlah darinya darah. Aku bertanya, “Siapa mereka?” Mereka menjawab, Mereka adalah orang-orang yang berbuka puasa sebelum tiba waktunya.” - Hadith Riwayat imam An-Nasaie dan selainnya dari Abu Umamah Al-Bahili R.A.

Cukuplah hadith ini sebagai imbalan bagi orang yang meremehkan Puasa di bulan Ramadhan.

-ibnumustafa-

Hukum Lewat Mandi Hadas Setelah Berjimak Di Malam Hari

Soalan:

1. Apakah sah puasa bagi orang yang berjimak pada malam hari pada bulan puasa tetapi hanya melakukan mandi hadas setelah terbit fajar tetapi sebelum terbit matahari?

2. Apakah hukum melewatkan mandi hadas?

3. Apakah sah solat seseorang yang ragu-ragu sama ada dia sudah mandi hadas atau belum?

Jawapan:

1. Yang membatalkan puasa ialah jimak pada siang hari. Sedangkan pada malam harinya dibolehkan, sekalipun mandi hadas setelah terbit fajar. Orang yang berhadas besar sah berpuasa, kerana suci dari hadas besar dan kecil bukan syarat sah puasa.

Orang yang melewatkan mandi hadas juga tidak batal puasanya dan boleh terus berpuasa, dan puasanya tetap sah selagi mana dia tidak membatalkan puasanya.

Syarat-syarat sah puasa menurut Mazhab Imam Syafi'e:

1. Islam ketika berpuasa

2. Mumayyiz

3. Suci dari haid, nifas dan wiladah

4. Berpuasa pada waktunya

Al-Khatib asy-Syarbini menjelaskan:

“Dan jika suci perempuan yang haid pada malam hari dan berniat puasa, seterusnya berpuasa atau berpuasa orang yang berjunub tidak mandi terlebih dahulu, maka sah puasanya...” - Mughnil Muhtaj, vol.1, hlm.436.

Katanya lagi:

“Ada hadith salihin (Bukhari & Muslim) yang mengatakan bahawa Nabi S.A.W berpagi-pagi (subuh) dalam keadaan junub dari jimak, bukan kerana mimpi, kemudian Baginda mandi dan berpuasa.” (ibid.)

Katanya lagi:

“Adapun hadith Bukhari: "Barangsiapa yang berjunub, maka tiada puasa baginya", ia dimengertikan dengan orang yang berjimak ketika mendekati waktu subuh dan meneruskannya (sehingga masuk waktu). Sebahagiannya pula mengatakan bahawa hukum dari hadith berkenaan telah dimansuhkan.” (ibid.)

2. Melewatkan Mandi Hadas - Mandi hadas boleh ditunda dari malam sehingga siang. Dengan itu, pasangan yang berjimak boleh melewatkan untuk mandi hadas sehingga pagi dan mengerjakan mandi hadas sejurus sebelum mengerjakan solat subuh, tetapi pasangan itu disunatkan berwudhuk sebelum tidur jika ingin melewatkan mandi hadas mereka hingga ke pagi.

Seseorang itu boleh melewatkan mandi hadas sebelum solat. Setelah masuk waktu solat, ia wajib mandi sebelum boleh menunaikan solat.

3. Ragu-ragu - Jika seorang yang mengerjakan solat tetapi ragu-ragu apakah sama ada ia sudah mandi wajib atau belum, maka seluruh solat yang telah dikerjakannya (selama itu) adalah sah, dan untuk solat-solat berikutnya ia harus mandi wajib dahulu.

Wallahu 'alam

-------------------------------------------------------------------------------------------------------

Rujukan:
Al-Feqh Alal Mazahibil Arba'ah, vol 1, Abdul Rahmana al-Jaziri Mughnil Muhtaj, vol 1

-ibnumustafa-

Saturday, August 13, 2011

Perbanyakkan Amalan Bersedekah Di Bulan Ramadhan

Firman Allah S.W.T:

إِنْ تُبْدُوا الصَّدَقَاتِ فَنِعِمَّا هِيَ وَإِنْ تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَيُكَفِّرُ عَنْكُمْ مِنْ سَيِّئَاتِكُمْ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ (٢٧١)لَيْسَ عَلَيْكَ هُدَاهُمْ وَلَكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاءُ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلأنْفُسِكُمْ وَمَا تُنْفِقُونَ إِلا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّهِ وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنْتُمْ لا تُظْلَمُونَ (٢٧٢)لِلْفُقَرَاءِ الَّذِينَ أُحْصِرُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ لا يَسْتَطِيعُونَ ضَرْبًا فِي الأرْضِ يَحْسَبُهُمُ الْجَاهِلُ أَغْنِيَاءَ مِنَ التَّعَفُّفِ تَعْرِفُهُمْ بِسِيمَاهُمْ لا يَسْأَلُونَ النَّاسَ إِلْحَافًا وَمَا تُنْفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ (٢٧٣)الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ بِاللَّيْلِ وَالنَّهَارِ سِرًّا وَعَلانِيَةً فَلَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ وَلا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya:

Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali. Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu. Dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian kesalahan-kesalahan mu; dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan. Bukanlah kewajibanmu menjadikan mereka mendapat petunjuk, akan tetapi Allah-lah yang memberi petunjuk (memberi taufiq) siapa yang dikehendaki- Nya. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka pahalanya itu untuk kamu sendiri. Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari wajah Allah. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan, nescaya kamu akan diberi pahalanya dengan cukup dan kamu sedikitpun tidak akan dianiaya (dirugikan). (Berinfaqlah) kepada orang-orang fakir yang terikat (oleh jihad) di jalan Allah; mereka tidak dapat (berusaha) di bumi; orang yang tidak tahu menyangka mereka orang kaya kerana memelihara diri dari perbuatan meminta-minta. Kamu mengenali mereka dengan melihat sifat-sifatnya, mereka tidak meminta kepada orang secara mendesak. Dan apa saja harta yang baik yang kamu nafkahkan (di jalan Allah), maka sesungguhnya Allah Maha Mengatahui. Orang-orang yang menafkahkan hartanya di malam dan di siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kebimbangan terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. - Surah al-Baqarah; ayat 271-274.

ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ

Maksudnya:

Ibnu 'Abbas R.A berkata: Nabi S.A.W adalah manusia yang paling dermawan (pemurah) di dalam perkara kebaikan dan kemuncak sifat dermawan beliau itu ditunjukkan pada bulan Ramadhan. - Hadith Riwayat al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, Kitab Shaum (Puasa), 6/470, no. 1769) Mereka Yang Wajar (Utama) Untuk Dihulurkan Sedekah Padanya

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَيْسَ الْمِسْكِينُ بِهَذَا الطَّوَّافِ الَّذِي يَطُوفُ عَلَى النَّاسِ فَتَرُدُّهُ اللُّقْمَةُ وَاللُّقْمَتَانِ وَالتَّمْرَةُ وَالتَّمْرَتَانِ قَالُوا فَمَا الْمِسْكِينُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ الَّذِي لَا يَجِدُ غِنًى يُغْنِيهِ وَلَا يُفْطَنُ لَهُ فَيُتَصَدَّقَ عَلَيْهِ وَلَا يَسْأَلُ النَّاسَ شَيْئًا

Maksudnya:

Dari Abu Hurairah R.A, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda: Orang yang miskin itu bukanlah orang yang sibuk ke sana dan ke sini meminta-minta satu dua buah kurma, satu dua suap makanan dan satu dua kali makan, akan tetapi orang miskin itu adalah orang yang tidak memiliki harta yang mencukupi bagi dirinya dan dia tidak mampu berusaha, maka hendaklah dia diberi sedekah dan dia tidak boleh meminta apa pun kepada orang lain. - Hadith Riwayat Muslim, Shahih Muslim, Kitab az-Zakah, 5/243, no. 1722.

Juga sebagaimana yang dijelaskan melalui firman Allah S.W.T di atas.

Wallahu a'lam..

-ibnumustafa-

Friday, August 12, 2011

Malaikat berdoa untuk orang yang bersedekah di bulan Ramadhan

Bulan Ramadhan al-Mubarak antara bulan yang digandakan amalannya buat kata. Justeru itu, pada bulan ini digalakkan bersedekah malah ia merupakan sunnah Nabi S.A.W dan salah satunya ialah memberi makan untuk orang berbuka puasa.

Bahawa tercatit di dalam sebuah hadith Nabi S.A.W yang bermaksud:

Sesiapa yang memberi minum orang yang berpuasa maka ia akan diberi minum oleh Allah S.W.T daripada kolam-Nya di hari akhirat nanti yang mana minumannya tidak akan dahaga sehingga dia masuk syurga.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: Pagi-pagi lagi Malaikat berdoa kepada orang yang bersedekah supaya ditambahkan hartanya dan orang yang kedekut akan dibinasakan hartanya.

Bersedekah kepada fakir miskin akan mendapat empat kelebihan untuk mengukuhkan dunia ini.

Empat perkara tersebut ialah keadilan pemerintah, ulama yang beramal, pemurahnya orang yang hartawan dan doa daripada orang fakir.

Sekurang-kurangnya bersedekah kepada fakir miskin boleh mengurang tahap jurang sosial.

Kebanyakan orang fakir ialah terdiri daripada orang yang berjiwa halus.

Apabila bersedekah kepada orang fakir mereka akan berasa diri tidak dipinggirkan, malah akan sentiasa mensyukuri dan berdoa yang terbaik untuk yang membantu mereka..

-ibnumustafa-

Thursday, August 11, 2011

Perang Badar inspirasi umat Islam di bulan Ramadhan

Setelah penghijrahan Baginda Nabi S.A.W ke Madinah, permusuhan kaum kafir Quraish terhadap umat Islam masih belum reda.

Penyiksaan dan gangguan mereka kepada kaum muslimin yang masih berada di Mekah dan tidak dapat keluar dari kota itu semakin menjadi-jadi.


Pada sudut yang lain pula harta benda yang ditinggalkan oleh mereka yang telah berhijrah ke Madinah dirampas oleh kafir Quraish.


Hal inilah yang menjadi dasar bagi Baginda Rasulullah S.A.W untuk menyekat kafilah dagang Quraish yang melintas dekat Madinah dalam perjalanan perniagaan menuju ke Syam atau dari Syam menuju Mekah.


Tahun kedua hijrah, Rasulullah S.A.W bersama 313 sahabatnya bergerak menuju Badar untuk menyekat kafilah Quraish yang membawa harta berlimpah hasil dari perniagaan di Syam.


Setelah mendengar berita itu, Abu Sufyan, yang memimpin kafilah ini, mengirimkan utusannya ke Mekah untuk meminta bantuan tentera kafir Quraish dalam menghadapi ancaman ini.


Bagi kafir Quraish, sekatan kafilahnya oleh kaum muslimin tidak bererti kerugian harta tetapi apa yang paling penting baginya ialah kehormatan suku besar di Mekah ini.


Untuk itu, Abu Jahal yang merupakan salah seorang bangsawan terkemuka Quraish bersama seribu orang lengkap dengan peralatan perang meninggalkan Kota Mekah dan bergerak menuju ke Badar.


Sementara kafilah pimpinan Abu Sufyan dengan melintasi jalan alternatif berjaya meloloskan dari sekatan kaum muslimin.


Abu Sufyan mengirimkan utusannya untuk meminta Abu Jahal kembali ke Kota Mekah kerana baginya dia telah berjaya melepaskan diri daripada sekatan bahaya itu.


Namun pesanan itu ditolak oleh Abu Jahal beliau segera bersiap untuk berperang bagi menghadapi pasukan Islam Madinah.


Di Badar, pasukan muslimin yang dipimpin oleh Rasulullah S.A.W telah bersiap siaga sepenuhnya. Pasukan kecil berjumlah 313 orang dan peralatan yang ala kadarnya, siap menghadapi seribu orang di barisan kafir Quraish yang lengkap bersenjata.


Namun keimanan yang dimiliki oleh umat Islam menjadi sandaran dan pendorong mereka untuk tegar dan siap menanti kematian di jalan Allah S.W.T yang basalannya adalah syurga.


Tepat pada tarikh 17 Ramadhan tahun kedua hijrah, perang di Badar berkecamuk setelah dimulai dengan konfrantasi iaitu satu lawan satu antara tiga pihak dari dua barisan perang.


Satu demi satu wakil musuh terkorban. Darah bersimbah di sana sini. Tak lama, berita tersebar bahwa Abu Jahal yang pernah disebut Rasulullah S.A.W sebagai Firaun di tengah umat ini tewas di tangan pasukan muslimin.


Dengan terbunuhnya Abu Jahal dan beberapa pemuka kafir Quraish di medan perang Badar menjadi pukulan hebat bagi pasukan Mekah yang akhirnya memilih untuk melarikan diri.


Dalam perang Badar, pasukan kafir Quraish menderita kerugian tujuh puluh tewas dan tujuh puluh yang lain menjadi tawanan.


Sementara barang rampasan perang yang ditinggalkan bukanlah jumlah yang sedikit, dianggarkan sebanyak 150 unta, sepuluh kuda, sejumlah kulit dan kain, serta peralatan perang ditinggalkan oleh pasukan Mekah yang lari tunggang langgang menyelamatkan diri.


Suasana pada malam tercetusnya perang di Badar


Malam itu terjadi beberapa keajaiban, perasaan takut dan tertekan yang ada pada kaum Muslimin tiba-tiba hilang, pasukan Islam menikmati malam itu dengan senang dan tenang, dan akhirnya tertidur dengan puas.


Hujan pun turun, membasahi pasir padang Badar sehingga menjadi padat dan lembut apabila dipijak (pasir dalam keadaan kering, seperti pasir pantai, membuat susah berjalan). Inilah seperti yang dijanjikan Allah S.W.T di dalam Surah Al-Anfaal; ayat 8:


(Ingatlah), ketika Allah S.W.T menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu ketenteraman daripada-Nya, dan Allah S.W.T menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki (mu).

Subuh hari, Abu Bakar 'menganggu' ibadah Rasul S.A.W kerana kafir Quraish sudah semakin hampir mendekati umat Islam.


Pasukan Islam dengan segera membuat persiapan, ketika pasukan kafir Quraish sudah kelihatan jelas oleh Rasul S.A.W, Rasul S.A.W memanjatkan doa,
Ya Allah! Kaum kafir Quraish yang enggan untuk menyembahMu dan mendustai utusanMu sudah berada di sini. Ya Allah, kami menunggu dan mengharapkan daripadaMu kemenangan yang Engkau janjikan kepadaku dan sahabat-sahabatku. Kami memohon kepadaMu, ya Allah, untuk mengalahkan mereka.

Rasulullah S.A.W minta pendapat sahabat sebelum berangkat ke Badar


Sebaliknya pihak Muslimin, yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan, sudah sepakat akan bertahan terhadap musuh bila diserang.


Oleh kerana itu merekapun segera berangkat ke tempat mata air di Badar itu, dan perjalanan ini lebih mudah lagi kerana waktu itu hujan turun.


Setelah mereka sudah mendekati mata air, Rasulullah S.A.W berhenti. Ada seseorang yang bernama Hubab bin Munzir bin Jamuh, orang yang paling mengetahui atau disifatkan sebagai seorang pakar tentang mengenal tempat itu, setelah melihat Nabi S.A.W turun di tempat tersebut, dia bertanya:

“Ya Rasulullah, bagaimana pendapat tuan untuk berhenti di tempat ini? Kalau ini sudah wahyu Tuhan, kita takkan maju atau mundur setapakpun dari tempat ini. Ataukah ini sekadar pendapat tuan sendiri, suatu taktik perang belaka?

Sekadar pendapat saya dan sebagai taktik perang, jawab Rasulullah S.A.W.

Rasulullah, katanya lagi. Kalau begitu, tidak tepat kita berhenti di tempat ini. Mari kita pindah sampai ke tempat mata air terdekat yang tahu tempat itu dengan penuh yakin, lalu telaga-telaga kering yang di belakang itu kita timbun setelah diambil airnya. Selanjutnya kita membuat kolam, kita isi sepenuhnya. Barulah kita hadapi mereka berperang. Kita akan mendapat air minum, mereka tidak.

Melihat saran Hubab yang begitu tepat itu, Nabi Muhammad S.A.W dan rombongannya segera pula bersiap-siap dan mengikut pendapat temannya itu, sambil mengatakan kepada sahabat-sahabatnya bahawa dia juga manusia seperti mereka, dan bahawa sesuatu pendapat itu dapat dimusyawarahkan bersama-sama dan dia tidak akan menggunakan pendapat sendiri di luar mereka. Dia perlu sekali mendapat konsultasi yang baik dari sesama mereka sendiri.

Selesai kolam itu dibuat, Sa'ad B. Mu'az memberikan usulnya:

Rasulullah, katanya, kami akan membuatkan sebuah dangau buat tempat Tuan tinggal, kenderaan Tuan kami sediakan. Kemudian biarlah kami yang menghadapi musuh. Kalau Tuhan memberi kemenangan kepada kita atas musuh kita, itulah yang kita harapkan.

Tetapi kalau pun sebaliknya yang terjadi; dengan kenderaan itu Tuan dapat menyusul teman-teman yang ada di belakang kita. Rasulullah, masih ramai sahabat-sahabat kita yang tinggal di belakang, dan cinta mereka kepada Tuan tidak kurang dari cinta kami ini kepada Tuan.

Sekiranya mereka dapat menduga bahawa Tuan akan dihadapkan pada perang, nescaya mereka tidak akan berpisah dari Tuan. Bagi mereka Tuhan menjaga Tuan. Mereka benar-benar ikhlas kepada Tuan, berjuang bersama Tuan.

Nabi Muhammad S.A.W sangat menghargai dan menerima baik saranan Sa'ad itu. Sebuah dangau buat Nabi S.A.W lalu dibangunkan. Jadi bila nanti kemenangan bukan di tangan Muslimin, ia takkan jatuh ke tangan musuh, dan masih akan dapat bergabung dengan sahabat-sahabatnya di Kota Yathrib.

Di sini orang perlu berhenti sejenak dengan penuh kekaguman, kagum melihat kesetiaan Muslimin yang begitu dalam, rasa kecintaan mereka yang begitu besar kepada Rasulullah S.A.W, serta dengan kepercayaan penuh kepada ajarannya.

Semua mereka mengetahui, bahawa kekuatan kafir Quraish jauh lebih besar dari kekuatan mereka, jumlahnya tiga lipat ganda banyaknya. Tetapi, sungguhpun begitu, mereka sanggup menghadapi, mereka sanggup melawan.

Dan mereka inilah yang sudah kehilangan kesempatan mendapatkan harta rampasan. Tetapi sungguhpun begitu kerana bukan pengaruh kebendaan itu yang mendorong mereka bertempur, mereka selalu siap disamping Nabi S.A.W, memberikan dukungan, memberikan kekuatan.

Dan mereka inilah yang juga sangsi, antara harapan akan menang, dan kecemasan akan kalah. Tetapi, sungguhpun begitu, fikiran mereka selalu hendak melindungi Nabi S.A.W, hendak menyelamatkannya dari tangan musuh. Mereka menyiapkan jalan baginya untuk menghubungi orang-orang yang masih tinggal di Kota Madinah.

Suasana yang bagaimana lagi yang lebih patut dikagumi daripada ini? Iman mana lagi yang lebih menjamin akan memberikan kemenangan seperti iman yang ada ini?

Menentukan nasib 70 orang tawanan

Baginda Rasulullah S.A.W mencari kesempatan dan ruang ada untuk bertemu dua sahabat terdekatnya bagi meminta pandangan mereka berdua berhubung isu tawanan.

Saidina Abu Bakar R.A menyatakan bahawa setiap seorang daripada mereka mengajar sepuluh anak orang Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan, agar kesemua mereka hingga berjumlah 700 anak orang-orang Islam menjadi pandai dan celik ilmu, inilah juga pandangan peribadi Rasulullah S.A.W.

Walau bagaimanapun, Saidina Umar R.A tidak bersetuju dengan pandangan itu, beliau mencadangkan agar setiap mereka itu dibunuh sahaja, kerana merekalah penyebab kepada masalah syirik dan penentangan terhadap ajaran-ajaran baginda Rasulullah S.A.W kalau masih mahu mereka terus hidup.

Rasulullah S.A.W tidak dapat berkata apa-apa terhadap dua pandangan yang sama sekali bercanggah antara satu sama lain, namun pada malam itu Baginda menerima turunnya wahyu Ilahi agar kesemua tawanan itu dihapuskan dari muka bumi ini, kisah itu dirakam menerusi ayat 67 Surah al-Anfaal:

Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai (menyimpan) tawanan sebelim ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu mengharapkan harta benda duniawi sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat untukmu. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Keesokan harinya, Baginda S.A.W bertemu semula dengan dua orang sahabat karibnya bagi menyatakan ketegasan Allah S.W.T mengenai masalah tawanan, sambil Baginda S.A.W menyifatkan sikap Saidina Abu Bakar R.A seperti Nabi Nuh A.S dan Isa A.S dan menyifatkan sikap Saidina Umar R.A seperti Nabi Ibrahim A.S dan Musa A.S yang sentiasa tegas dalam segenap tindak-tanduknya.

Akhirnya Baginda Rasulullah S.A.W menyatakan arahan Allah S.W.T supaya kesemua tawanan itu perlu dihapuskan daripada muka bumi ini dengan segera sebelum berbagai-bagai tindakan lain muncul bagi melemahkan Islam dan umatnya.

Mengapa perang ini begitu istimewa?

Pertama, kerana Perang ini Rasulullah S.A.W beserta pasukannya mengalami kemenangan meskipun hanya berjumlah 313 orang sahabat (terdiri dari 82 Muhajirin, 61 dari suku Aus dan 170 dari suku Kharaj) serta pasukan kaum Muslimin hanya memiliki dua ekor kuda dan 70 ekor unta, bahkan satu ekor dinaiki sampai dua tiga orang.

Kedua, Baginda S.A.W mengadakan mesyuarat terlebih dahulu sebelum berangkat ke Badar, sesungguhnya tindakan Baginda S.A.W itu tidak sedikitpun mengurangkan kedudukannya sebagai seorang pemimpin tertinggi umat Islam dan perkara bagi menentukan nasib para tawanan yang berjumlah seramai 70 orang, Baginda S.A.W meminta pandangan dua orang sahabatnya yang terdekat iaitu Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar Bin al-Khattab R.A untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Ketiga, peranan doa yang diajarkan oleh Baginda S.A.W menjadi teras dan pemangkin sebelum sesuatu tindakan dibuat, ia bertujuan untuk mendapatkan keredhaan dan restu Allah S.W.T.

Keempat, walaupun menghadapi suasana getir dalam peperangan, ia sedikitpun tidak menghalang umat Islam daripada terus berpuasa, apatah lagi ia merupakan arahan Rasulullah S.A.W dan pelengkap kepada rukun Islam yang lima.

Kelima, jumlah yang sedikit bukan ukuran untuk mudah dikalahkan, yang penting kesungguhan, keutuhan jati diri, kerjasama dan perancangan yang hebat menjadi penentu kepada sesuatu kejayaan.

Keenam, kepatuhan kepada arahan pimpinan yang tidak berbelah bagi dalam perkara yang tidak menyanggah agama, menjadi faktor utama keberhasilan mendapatkan kejayaan.

Ketujuh, mengetahui sumber peralatan perang pihak musuh seperti pengetahuan Nabi S.A.W terhadap bilangan unta yang dimiliki tentera kafir Quraish boleh membantu melancarkan strategi peperangan.

Kelapan, menghantar wakil bertemu pihak musuh dari kalangan individu yang hebat seperti Saidina Hamzah R.A, Saidina Ali K.W boleh menggerunkan pihak musuh, kerana mereka beranggapan bahawa pihak umat Islam memiliki pasukan perang terkuat yang sukar dikalahkan.

Kesembilan, menghalakan niat dan matlamat perang menghadapi musuh adalah kerana Allah S.W.T dan meninggikan syiar-syiar agama-Nya, bukan atas tujuan meraih harta dan habuan dunia yang melalaikan.

Kesepuluh, cara berfikir yang bernas patut dilontarkan ketika mengadakan sesuatu perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian seperti yang dilakukan oleh Saidina Abu Bakar R.A dan Saidina Umar R.A bagi menyelesaikan isu tawanan perang.

Kesebelas, sebagai seorang Nabi, Baginda S.A.W tidak sedkitpun rasa malu untuk menerima pandangan dari sahabatnya yang bukan bertaraf Nabi atau Rasul dalam isu-isu tertentu bagi mencari jalan penyelesaiannya.

Keduabelas, sesungguhnya banyak pengajaran positif yang perlu diambil kira oleh setiap individu muslim yang cintakan agamanya ke arah satu tahap kekuatan dalam pelbagai aktiviti harian hidup mereka.

Wallahualam..

-ibnumustafa-

Wednesday, August 10, 2011

Adakah Kita Muslim Yang Istiqamah Dalam Ibadah Harian?

Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus (Siratol Mustaqim), iaitu jalan yang lurus tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan Allah S.W.T.

Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah, kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah, tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang muslim.

Istiqamah atau boleh juga disebut makna yang hampir dengannya iaitu iltizam (komited) dengan Islam yang membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta.

Dengan kata lain, istiqamah itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia.

Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beristiqamah dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat tanpa terikat kepada musim tertentu, sebagai contoh, seorang muslim yang beristiqamah tidak menunggu untuk ke rumah pada bulan Ramadan, malah setiap bulan itu adalah bulan yang dikhususkan untuknya beribadat kepada Allah.

Begitu juga dengan amal ibadat di bulan Ramadan, bukan hanya pada awalnya saf-saf solat dipenuhi dengan para jemaah, tetapi pada pertengahan dan penghujung Ramadan sepi dengan orang yang sama memenuhi ruang-ruang masjid atau surau sebelum dan selepas Ramadan, yang tidak beristiqamah akan merasa gelisah dengan Ramadan lambat untuk melabuhkan tirainya, sikap seumpama ini tidak pernah wujud dalam diri para sahabat baginda Rasulullah s.a.w.

Semakin hampir menjelang Aidil Fitri, semakin gelisah dan jelas tergambar di raut wajah mereka kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan mereka, peluang untuk memperolehi bonus amalan di malam-malam terakhir yang terdapat padanya Lailatul Qadr sudah sampai ke penghujungnya, terdapat di antara mereka yang menangis kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya.

Peluang yang ada pada malam-malam terakhir Ramadan, diisi dengan aktiviti pengabdian diri kepada Allah SWT seperti Qiyamullail meliputi pelbagai jenis solat, tadarus al-Quran meliputi diskusi isi-isi kandungannya, beriktikaf, berzikir dan bermacam-macam lagi tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai manusia biasa di siang hari.

Persoalannya di sini, di mana diri kita dengan para sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka telah buktikan istiqamah yang mantap dan menyeluruh bagi meraih keredaan, kita pula bagaimana?

Tanda atau bukti istiqamah

*Bukti istiqamah itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An’am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”.

*Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku”.

*Selain itu, istiqamah juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka”.

Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beristiqamah dengan amalan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam.

Penjelasan tanda beistiqamah dengan Islam

Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa, istiqamah itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin.

Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain.

Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beristiqamah dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi.

Justeru menurut para ulama’, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.

Jalan terbaik untuk mengekalkan istiqamah dengan Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas”.

Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.

-ibnumustafa-