PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, June 30, 2009

Al-Hadith : Berbaik Sangka Kepada Allah SWT

Daripada Abu Hurairah RA daripada Rasulullah SAW, sabdanya:

Allah Azza wa jalla berfirman-dalam Hadith Qudsi:

"Aku adalah menurut sangkaan hambaKu dan Aku akan selalu besertanya selama ia mengingat padaKu."

"Demi Allah, nescayalah Allah itu lebih gembira kepada taubatnya seseorang hambaNya daripada seseorang di antara kamu semua yang menemukan sesuatu bendanya yang telah hilang di padang yang luas."

"Barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sejengkal, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sehasta dan barangsiapa yang mendekat padaKu dalam jarak sehasta, maka Aku mendekat padanya dalam jarak sedepa. Jikalau hambaKu itu mendatangi Aku dengan berjalan, maka Aku mendatanginya dengan bergegas-gegas."

(Muttafaq 'alaih)

-ibnumustafa-

Wednesday, June 3, 2009

Bahagian TUBUH yang paling PENTING!!

http://atlasshrugs2000.typepad.com/atlas_shrugs/images/jihad_ma.jpg

Ibuku selalu bertanya padaku apa bahagian tubuh yang paling penting. Bertahun-tahun, aku selalu meneka dengan jawapan yang aku anggap benar.

Ketika aku muda, aku fikir suara adalah yang paling penting bagi kita sebagai manusia, jadi aku jawab, "Telinga, bu."
Jawab Ibuku, "Bukan. Ramai orang yang tuli. Tapi, teruslah memikirkannya dan aku menanyakanmu lagi nanti."


Selang beberapa tahun kemudian, dia bertanya padaku lagi. Sejak jawapan pertama, kini aku yakin jawapan kali ini pasti benar. Jadi, kali ini aku mengatakan, "Bu, penglihatan sangat penting bagi semua orang, jadi pastilah mata kita."

Dia memandangku dan berkata, "Kamu belajar dengan cepat, tapi jawapanmu masih salah kerana ramai orang yang buta."

http://img.alibaba.com/photo/50367655/New_Design_Spectacles_Frame_EA3020__Optical_Frame__Eyewear__Eyeglasses__Optics_.jpg

Gagal lagi, aku meneruskan usahaku mencari jawapan baru dan dari tahun ke tahun, Ibu terus bertanya padaku beberapa kali dan jawapannya selalu, "Bukan. Tapi, kamu semakin pandai dari tahun ke tahun, anakku."

Akhirnya tahun lalu, datukku meninggal. Semua keluarga bersedih. Semua menangis. Bahkan, ayahku menangis. Aku mengingatinya kerana itulah saat kedua kalinya aku melihatnya menangis. Ibuku memandangku ketika tiba giliranku untuk mengucapkan selamat tinggal pada datuk.


Dia bertanya padaku, "Apakah kamu sudah tahu apa bahagian tubuh yang paling penting, sayang?"


Aku terkejut ketika Ibu bertanya pada saat seperti ini. Aku sering berfikir, ini hanyalah permainan antara Ibu dan aku.


Ibu melihat tanda kebingungan diraut wajahku dan memberitahu, "Pertanyaan ini penting. Ini akan menunjukkan padamu apakah kamu sudah benar-benar "hidup". Untuk semua bahagian tubuh yang kamu beritahu padaku dulu, aku selalu berkata kamu salah dan aku telah memberitahu kamu kenapa. Tapi, hari ini adalah hari di mana kamu harus belajar pelajaran yang sangat penting."


Dia memandangku dengan wajah keibuan. Aku melihat matanya penuh dengan airmata. Dia berkata, "Sayangku, bahagian tubuh yang paling penting adalah bahumu."


Aku bertanya, "Apakah kerana fungsinya untuk menahan kepala?"

Ibu membalas, "Bukan, tapi kerana bahu dapat menahan kepala seorang teman atau orang yang kamu sayangi ketika mereka menangis."

Kadang-kadang dalam hidup ini, semua orang perlu bahu untuk menangis. Aku cuma berharap, kamu punya cukup kasih sayang dan teman-teman agar kamu selalu mempunyai bahu untuk menangis bila-bila pun kamu memerlukannya.

Akhirnya, aku tahu, bahagian tubuh yang paling penting adalah tidak menjadi orang yang mementingkan diri sendiri. Tetapi, simpati terhadap penderitaan yang dialami oleh orang lain.


Orang akan melupakan apa yang kamu katakan.argue

Orang akan melupakan apa yang kamu lakukan.neutral

Tetapi, orang TIDAK akan pernah lupa bagaimana kamu membuat mereka bererti.

Just because the past is painful, Doesn’t mean the future will be. So never let events from the past, Change the events for future, or You will be miserable forever…

-ibnumustafa-

Monday, June 1, 2009

"Jika ada 2 khalifah, bunuh salah seorangnya"

SEPOTONG hadith ada menyebutkan bahawa jika ada dua orang khalifah, maka bunuhlah salah seorang daripadanya.

Lafaz hadith ini masih boleh diperdebatkan. Kesahihan dan martabat hadith ini juga boleh dipertikai apatah lagi dalam situasi genting di Perak.

Barangkali, atas sebab inilah maka telah berlaku Perang Jamal dan Siffin yang menyaksikan sengketa dahsyat antara para sahabat dalam merebut kekuasaan.

Jadi secara kebetulan atau memang telah disahkan dalam agama - jika ada dua pemimpin yang berebut kuasa, maka bunuhlah salah seorang daripadanya.

Dalam Alam Melayu ada disebutkan pepatah, 'gajah sama gajah bertarung, pelanduk mati di tengah-tengah'.

Ertinya, raja sesama raja berperang, yang menanggung seksa adalah rakyat jelata yang tidak berdosa.

Sebab itu, bagi mengelak masalah pertumpahan ini berlaku, maka dalam ajaran Islam telah pun disebutkan suatu formula, iaitu - bunuhlah khalifah tersebut. Cuma, yang tidak jelas kepada kita, siapakah yang dipertanggungjawabkan untuk membunuh khalifah itu?

Hanya yang kita boleh andaikan buat sementara waktu ialah, kumpulan insan soleh warak yang mendengar hadith ini dan bercita-cita mahu menamatkan sengketa ini, mereka inilah yang boleh membunuh salah seorang daripada khalifah tersebut.

Ulasan dan tafsiran hadith

Dalam keadaan politik di Perak yang tidak menentu sekarang, kita cuba mengelakkan sebarang pertumpahan darah.

Tapi, dalam keadaan kita berhati-hati itu pun, dalam kita tidak isytihar perang membunuh khalifah sekali pun, telah muncul pergaduhan hingga tertumpahnya banyak darah, ekoran tercetusnya pergaduhan demi pergaduhan.

Rakyat telah pun nampak, boleh menilai sendiri. Jika Umno-BN boleh serang, kurung dan culik Speaker Perak dalam setor, maka tidak mustahil ketiga-tiga adun sebelum ini sudah pun diculik dengan kaedah yang sama.

Entah berapa banyak operasi tangkapan oleh polis dan FRU terhadap pejuang demokrasi ekoran siri perhimpunan demi mempertahan kerajaan halal Pakatan Rakyat di Perak sebelum ini.

Memang tepat, dalam apa jua keadaan, orang-ramai dan masyarakat Perak itulah yang akan lebih banyak menanggung derita sengsara.

Mahu tidak mahu kita perlulah kembali kepada kaedah, ajaran dan peraturan agama. Iaitu bunuhlah salah seorang pemimpin, khalifah lalu secara tidak langsung, terhentilah perang antara kedua-dua belah pihak yang bersengketa itu.

Memang itulah yang kerap terjadi. Apabila pemimpin perang, khalifah telah mati. Perang pun tamatlah dan lebih banyak nyawa yang terselamat daripada libasan mata pedang.

Persoalan siapakah yang benar dan siapakah yang salah antara kedua-dua khalifah, hal itu terserahlah kepada Allah SWT di akhirat kelak untuk menjatuhkan hukuman.

Hal ini, samalah keadaannya dengan kaedah li'an. Si suami yang menuduh isteri berzina akan bersumpah dan isteri pun boleh bersumpah. Akhirnya, mereka bercerai. Keputusan itu ditangguh ke mahkamah Allah di akhirat kelak. Itu sahaja.

'Bunuh'lah karier politik salah seorang khalifah

Akan tetapi dalam kes 'perang' permusuhan antara Nizar dan Zambry, adakah kita sampai perlu saling berbunuhan sehingga menumpahkan darah?

Barangkali tak perlu atau tidak sampai ketikanya lagi untuk dibunuh dalam erti kata yang sebenarnya. Dalam pada itu pun, tidaklah salah jika kita mengemukakan pandangan dan ijtihad baru ke atas hadith ini.

Apa kata kalau kita tafsirkan lafaz 'bunuhlah salah seorang daripada khalifah' itu melalui tafsiran seperti ini, iaitu 'bunuhlah jawatan khalifah salah seorang daripadanya'?

Sebenarnya memang sudah ada usaha untuk membunuh dan mempertahan jawatan antara Nizar dan Zambry sendiri. Apa-apa yang berlaku mutakhir ini, khasnya pada 22 Mei lalu ketika mahkamah memutuskan Zambry sebagai MB adalah antara contoh popular.

Tapi, itu adalah contoh membunuh karier politik Nizar melalui jalan mahkamah. Nizar juga cuba mendapatkan haknya melalui mahkamah untuk membunuh karier politik Zambry sebelum ini. Nizar berjaya pada mulanya.

Tapi, akhirnya, melalui kaedah yang sama, Zambry telah ambil injuksi mahkamah, untuk menangguhkan keputusan itu, lalu dengan tidak semena-mena Zambry menjadi MB.

Zaman ini, semua orang menggunakan undang-undang lalu mengenepikan soal moral dan akhlak. Tindakan Zambry dan Najib berhubung hal ini seperti dikatakan orang Inggeris; legally right, but morally wrong.

Sedangkan, dalam kes Nizar itu, tindakannya bersifat legally right dan morally right. Secara perundangan, Nizar di pihak yang benar dan secara beradab, berakhlak, Nizar juga berada di pihak yang benar.

Kalah dari segi moral

Zambry menang melalui undang-undang, tapi dari segi moral dan akhlaknya, beliau tetap bersalah. Rakyat tidak merestui beliau. Dan, sebab itu mereka enggan adakan pilihan raya negeri. Ini kerana, mereka sendiri tahu bahawa mereka akan kalah ditolak rakyat.

Maka, jalan pembunuhan karier politik kedua-dua orang 'khalifah' ini telah gagal melalui jalan kehakiman. Para hakim di peringkat atasan mudah dibeli berbanding hakim-hakim di peringkat bawahan.

Dan mungkin antara tujuan kenapa Zambry mengambil injuksi menangguhkan keputusan awal mahkamah itu, adalah kerana mereka tahu hakim-hakim di peringkat tinggi itu akan mencetak keputusan yang memihak kepada Umno dan BN.

Kalau mahkamah, hakim-hakim dapat dijual beli, maka maruah kehakiman sudah tercalar lalu kuasa kehakiman bukan lagi simbol kuasa, malah industri; 'industri kehakiman'.

Pada zaman dahulu sultan-sultan mempunyai daulatnya. Dan, daulat itu berasal dari bumi dan rakyat yang bernaung di bawah pemerintahan mereka.

Rakyat itulah yang menyebutkan Daulat Tuanku kepada baginda sultan. Zaman berubah. Tetapi, hal naik turun seseorang khalifah, pemerintah itu tetap kekal di tangan rakyat. Di sini amalan demokrasi mengambil peranan dengan menjadikan pilihan raya sebagai suatu mekanisme yang terpenting.

Apabila rakyat menaikkan seseorang pemimpin, maka di tangan rakyat itu jugalah kuasa seseorang pemimpin itu boleh berpindah tangan. Maka, rakyat itulah hakim sejati.

'Industri kehakiman' di mana hakim-hakimnya boleh meletakkan nilai harga diri masing-masing bukanlah kuasa yang telah menaikkan pemimpin dan MB sebelum ini. Itu adalah bidang kuasa rakyat yang dibenarkan memilih perwakilan mereka dalam pilihan raya.

Itu bidang kuasa rakyat sebagai yang termaktub dalam perlembagaan kita. Itu jelas.

Maka berbalik kepada mafhum hadith tadi, hendaklah dibunuh karier politik salah seorang khalifah (Nizar atau Zambry) untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

Hadith itu disebutkan oleh Rasulullah SAW yang hidup pada zaman di mana pengasingan kuasa belum diwacanakan sebagai suatu teori. Baginda SAW tidak ambil pusing soal eksekutif, parlimen dan semua ungkapan itu tentunya asing kepada baginda SAW.

Akan tetapi lafaz yang terlompat daripada pengertian hadith ini amat jelas. Iaitu kumpulan yang dimaksudkan sebagai layak 'membunuh' khalifah itu adalah rakyat itu sendiri. Ini kerana, khalifah itu dibai'ah oleh rakyat dan umat.

Samalah konsepnya dengan sistem politik hari ini iaitu adun-adun perwakilan rakyat akan dipilih oleh rakyat melalui bai'ah atau proses pengundian dalam pilihan raya.

Pemimpin itu lahir, hidup dan diberi nafas pemerintahannya oleh rakyat. Dan, mereka ini boleh dimatikan, pemerintahannya boleh diwafatkan, riwayat kepemimpinannya bolehlah ditamatkan dan dikhatamkan oleh rakyat melalui proses pilihan raya.

Mufti Perak beranikah mengulas hadith ini?

Dan demikian kaedah kita menafsirkan hadith tersebut. Bukanlah kita inginkan berlakunya pertumpahan darah, saling berbunuhan semata-mata kerana wujudnya dua khalifah.

Ringkasnya, antara khalifah Nizar dan khalifah Zambry, siapakah yang mahu 'dibunuh'? Pertanyaan ini mestilah dikembalikan semula kepada rakyat. Ada rakyat yang nak 'bunuh' siasah Nizar dan ada kalangan mereka yang ingin 'bunuh' siasah Zambry.

Lalu, biarkan semua rakyat ini menjalankan proses pembunuhan politik khalifah ini lewat pilihan raya di Perak. Siapa yang mati dahulu, hendaklah berlapang dada.

Yang paling mustahak, dalam situasi gawat di Perak sekarang, adakah mufti negeri akan berani mengulas hadith ini di hadapan baginda Sultan Perak? Adakah tafsiran yang seperti ini akan memenuhi kehendak selera Najib?

Yang kerap kita dengar ialah ungkapan klise mufti, iaitu taatlah kepada pemerintah.

Kita dah mendengar babak perkelahian antara rakyat dan istana dalam cerita kisah silam, Hang Jebat menderhaka kepada istana kerana Hang Tuah dibunuh tanpa usul periksa dan dalam kes Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Megat Seri Rama menjadi penderhaka.

Ini semua berlaku gara-gara kezaliman pemimpin dan beberapa keputusan politik yang tidak dipandukan ajaran agama. Mufti adalah penentu dan pencorak tindak-tanduk siasah. Di manakah suara mufti ketika berlakunya kezaliman dalam kes-kes di atas?

Adakah ulama-ulama, syeikhul Islam dan mufti tidak mengambil peranan dalam siasah istana sebelum ini? Jika benar keadaan itu terjadi, maka muftilah yang patut diletakkan di dalam pertanggungjawaban ini.

Pada zaman ini pula siapa yang bersalah dan siapakah yang perlu dipertanggungjawabkan jika berlaku peristiwa pertumpahan darah seperti di Perak? Insan itu tidak lain dan tidak bukan, ialah Mufti Perak sendiri, Dato' Seri Harussani Zakaria.

Beliaulah yang sepatutnya berbisik ke telinga sultan, membawa kupasan hadith tersebut di telinga Najib dan Zambry. Persoalan yang timbul, adakah beliau berani berbuat begitu?

-ibnumustafa-

Para daie Islam perlu tahu uslub berdakwah

Perbincangan ini adalah mengenai keperluan anggota-anggota jemaah mengetahui selok-belok kaedah yang berkesan bagi menyampaikan mesej dakwah, sama ada di kalangan saudara-saudara seagama, ataupun kepada mereka yang bukan Islam. Ia lebih dikenali dalam konteks dakwah sebagai 'uslub dakwah' atau gaya, pendekatan, cara, kaedah dan sebagainya.

Ini penting kerana dengan memelihara uslub ini akan lebih menceriakan arena dakwah, kerana ia lebih memfokuskan kepada golongan sasaran, serta menentukan sama ada dakwah yang dijalankan itu benar-benar menepati acuan, kaedah atau sebaliknya matlamat jangka panjang dan pendek, ia bergantung kepada sejauhmana penerapan itu dibuat.

Menurut golongan para pendakwah atau daie, kejayaan atau keberkesanan dakwah yang dilakukan oleh pendakwah, ada kaitan dengan pengamalan seseorang pendakwah yang tersirat dalam ciri-ciri yang disebutkan sebelum ini.

Antara lain ketaatan kepada pemimpin, menjaga kerahsiaan, memperkasa diri dengan amalan-amalan Islam seperti memberi perhatian kepada pengukuhan ilmu-ilmu alat, membudayakan pembacaan al-Quran, memastikan isteri dan anak perempuan menutup aurat, mewajibkan perkara sunat untuk diri sendiri, tidak melaga-lagakan pemimpin, menjaga solat berjemaah, memimpin pertubuhan, mampu kendali majlis keramaian atau usrah, menepati janji dan tidak merokok.

Pada masa yang sama juga, pendakwah khususnya di kalangan anggota gerakan Islam meletakkan perkara-perkara berikut sebagai asas kepada uslub dakwah:

1. Berhikmah: iaitu meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya, ia disaring daripada firman Allah SWT menerusi ayat 125 surah an-Nahl yang bermaksud: "Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Hikmah yang dimaksudkan dalam ayat di atas mengandungi pelbagai tujuan yang boleh diselaraskan kepada uslub dakwah, antaranya:

a) Menghormati kotak pemikiran golongan sasaran, maknanya pendakwah perlu melihat tahap mentaliti mereka sebelum menyampaikan sesuatu idea, ditakuti jika tidak sampai apa yang diutarakan, berkemungkinan besar akan menjadi sia-sia, kerana baginda Rasulullah SAW ada menegaskan bahawa: "Bercakaplah kepada orang ramai menurut tahap cara berfikir mereka."

b) Menggunakan gaya bahasa yang mudah difahami dengan mengelak bahasa bunga yang merumitkan golongan sasaran atau menggunakan bahasa secara berterus-terang hingga dapat digarap dengan mudah.

c) Memilih waktu yang sesuai untuk bercakap pada perkara berhubung Islam atau dakwah, ia disandarkan kepada satu peristiwa yang pernah terjadi pada Abdullah bin Mas'ud (sahabat Nabi SAW), di mana beliau sering bercakap tentang Islam pada setiap hari Khamis, salah seorang pendengar setianya bertanya, alangkah bagusnya jika engkau dapat bercakap tentang Islam setiap hari wahai Ibnu Mas'ud, beliau menjawab; aku tidak mahu berbuat demikian bimbang ia akan membosankan kamu semua, aku berbuat demikian sebagai meneladani apa yang pernah dilakukan oleh baginda Rasulullah SAW ke atas kami. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

d) Mengehadkan masa ketika bercakap - iaitu pendakwah tidak meleret-leret ketika menyampaikan pandangannya tentang sesuatu topik, kerana boleh jadi yang mendengarnya seorang yang sakit, orang tua atau yang mempunyai keperluan lain, lebih-lebih lagi ketika menyampaikan khutbah para jemaah tidak boleh balik awal sebelum solat dilaksanakan dan sebagainya, Rasulullah SAW bila berkhutbah menggunakan pendekatan yang sederhana dan segera agar tidak menyebabkan jemaah lama menunggu.

2. Nasihat yang baik: Iaitu satu nasihat atau peringatan yang boleh melunakkan hati-hati manusia yang keras dengan amalan ahli dunia yang lupakan akhirat khususnya pada hari ini, di mana ramai manusia yang lebih cenderung kepada aspek sukan dan hiburan keterlaluan hingga boleh meninggalkan tugas utama sebagai Muslim/Muslimah iaitu solat fardhu lima waktu, begitu juga pendakwah adalah disaran untuk memperbanyak mengingatkan manusia tentang dosa, pahala, syurga, neraka, balasan baik dan buruk. Ia adalah bertujuan untuk mencairkan manusia.

Pendakwah atau daie perlu memelihara perkara berikut:

* Ringkas yang berkesan dan tidak menjemukan penyampaian.

* Menghimpunkan antara perkara baik dan buruk untuk difikirkan.

* Memperbanyakkan sebutan mengenai nikmat Allah SWT ke atas manusia.

* Menyediakan jalan untuk menuju kesempurnaan dalam hidup di dunia dan akhirat.

3. Berbahas dengan cara yang baik: Berbahas adalah salah satu wasilah atau pendekatan dalam menyampaikan sesuatu hujah, adakalanya ia bersifat mulia dan pada ketika yang lain pula bersifat buruk, ia bergantung kepada sejauh mana cara berbahas tanpa mengikut aliran emosi, berbahas dengan cara mulia ada disebut dalam ayat di atas, surah an-Nahl 125 maksudnya: "Berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik."

Ada pun berbahas yang cenderung kepada sifat tercela disebut Allah SWT dalam surah al-Haj ayat 8 maksudnya: "Dan ada di antara manusia yang membantah dalam perkara-perkara yang berhubung dengan Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan, dan tidak berdasarkan sebarang keterangan, dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran."

4. Berbahas dengan cara yang mulia berdasarkan elemen terbaik yang digunakan oleh pendakwah, iaitu mengemukakan hujah mudah tetapi benar yang boleh membuka minda manusia seperti yang ditegaskan Allah SWT mengenai kisah Nabi Ibrahim AS yang berdialog dengan kaumnya, di mana kisah itu dipaparkan menerusi ayat 258 surah al-Baqarah maksudnya: "Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah yang menghidupkan dan yang mematikan," ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim."

Pendakwah boleh juga mengambil inisiatif dengan menggunakan pendekatan al-Quran bagi menguatkan hujahnya ketika berbahas atau berdialog dengan golongan sasaran, apatah lagi mereka yang agak degil dan keras kepala.

Ayat 35-37 surah at-Tur boleh dijadikan modal berdakwah, firman Allah SWT maksudnya: "(Mengapa mereka tidak beriman?) Adakah mereka telah tercipta dengan tiada yang menciptanya, atau adakah mereka yang mencipta diri mereka sendiri? (35). Adakah mereka yang mencipta langit dan bumi itu? (sudah tentu tidak!) bahkan mereka adalah orang-orang yang tidak meyakini (kebenaran apa yang mereka pernah mengakuinya). (36) Adakah pada tangan mereka perbendaharaan Tuhanmu (sehingga mereka boleh memberi atau menahan sesuatu nikmat atau pangkat), atau merekalah yang berkuasa mentadbirkan segala-galanya?(37)"

Pendekatan dakwah melalui kisah teladan dalam al-Quran atau pada Sirah Nabi Muhammad SAW. Sesungguhnya kisah-kisah benar yang dipaparkan dalam al-Quran sebenarnya mampu menarik minat golongan sasaran kepada Islam, kerana ia bukanlah kisah dongengan, tetapi kisah benar yang dikisahkan Allah Yang Maha Benar untuk menjadi bahan renungan, kesedaran dan membuka minda untuk berubah.

Sebagai contoh kisah yang dipaparkan melalui ayat 259 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Atau (tidakkah engkau rasa pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)?" Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama 100 tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Dia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari." Allah berfirman: "(tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama 100 tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging" Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: "Sekarang aku mengetahuiNya (dengan yakin), Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Kesimpulan daripada ayat di atas, bahawa Allah SWT menganjurkan kepada manusia untuk melancong (bukan tujuan maksiat) bagi melihat kebesaran Allah SWT, penting untuk memikirkan pada bahan-bahan ciptaan Allah di muka bumi, menentukan aspek kematian dan kebangkitan yang pasti berlaku, penjelasan mengenai tempoh mati dan hidup tidak boleh dikiaskan dengan kehidupan di dunia, membuktikan kekuasaan Allah SWT dalam melakukan apa sahaja walaupun tidak dapat diterima oleh akal fikiran manusia yang terbatas.

5. Menggunakan teknik soal jawab ketika berdakwah: Penggunaan teknik soal jawab dalam berdakwah, dianggap sebagai satu cara terbaik, kerana ia disandarkan kepada cerita dalam al-Quran, di mana Allah SWT bertanya kepada manusia dalam banyak yang bersifat soalan yang perlu dijawab oleh manusia, antara ayat-ayat berkenaan ialah:

* Ayat 1-3 surah al-Ma'un: "Tahukah engkau akan orang yang mendustakan agama (meliputi hari pembalasan)? (1). Orang itu ialah yang menindas serta berlaku zalim kepada anak yatim, (2) Dan dia tidak menggalakkan untuk memberi makanan yang berhak diterima oleh orang miskin.(3)"

* Surah al-Fil: "Tidakkah engkau mengetahui bagaimana Tuhanmu telah melakukan kepada angkatan tentera (yang dipimpin oleh pembawa) gajah, (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Tuhanmu telah menjadikan rancangan jahat mereka dalam keadaan yang rugi dan memusnahkan mereka? (2) Dan ia telah menghantarkan kepada mereka (rombongan) burung berpasuk-pasukan,(3) Yang melontar mereka dengan batu-batu dari sejenis tanah yang dibakar keras, (4) Lalu ia menjadikan mereka hancur berkecai seperti daun-daun kayu yang dimakan ulat.(5)"

6. Membawa contoh-contoh perumpamaan atau bidalan ketika berdakwah: Penguasaan tentang ayat-ayat al-Quran menjadi keutamaan kepada pendakwah, justeru mereka boleh menggunakan ayat-ayat bersifat perumpamaan seperti yang disebut oleh al-Quran menerusi ayat 261 surah al-Baqarah: "Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya."

Kesimpulannya, apabila uslub dakwah yang disyorkan di atas dapat direnungi bersama oleh mereka yang bergelar pendakwah, khususnya yang menjadi anggota gerakan Islam, insya-Allah ia akan menjadi satu pendekatan yang mampu mencairkan manusia yang cemderung kepada kebenaran Islam. Selamat Mencuba.

-ibnumustafa-