PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, April 24, 2010

Kegagalan vs Kejayaan..

Anda pernah gagal? Jangan takut gagal kerana kegagalan mendewasakan kita!

Menurut Kamus Dewan:


Kegagalan membawa maksud tidak berhasil atau tidak berjaya mencapai matlamat atau cita-cita yang dikehendaki.


Menurut Pandangan Ahli Falsafah:


Kegagalan hanyalah kekalahan atau ketewasan sementara. Kita boleh mendapat pengajaran serta membina akhlak melalui kekalahan. Kita mesti menerima kegagalan tanpa perasaan malu atau aib. Ia hanya merupakan kegagalan sementara dalam kehidupan. Tidak ada salahnya jika mengalami kekalahan sementara. Kegagalan yang sebenar ialah apabila seseorang itu gagal bangkit daripada kekalahan itu.


Perbezaan antara kekalahan sementara dengan kegagalan bergantung kepada penafsiran mental kita. Kekalahan sementara tidak akan menjadi kegagalan sebenar kecuali kita membenarkan keadaan itu berlaku. Kita mempunyai kuasa atau hak untuk membuat pilhan. Pilihlah sesuatu yang mendatangkan kebaikan dan kemajuan kepada anda.

Kegagalan akan membakar semangat anda untuk lebih berjaya!


Menurut Kamus Dewan:


Kejayaan membawa maksud kemenangan atau berhasil mencapai kemajuan dan cita-cita


Menurut Pandangan Ahli Falsafah:


Kejayaan ialah cara meningkatkan kuasa untuk mendapatkan sesuatu yang kita mahu dalam hidup tanpa mengganggu hidup orang lain.


Kejayaan membawa makna yang berbeza bagi setiap individu. Bagi sesetengah individu, kejayaan merupakan keinginan yang telah tercapai seperti kaya, masyhur, dan pangkat. Bagi sesetengah individu pula makna kejayaan ialah kedamaian, keluarga dan kepuasan hati. Seterusnya ada juga individu merasakan diri mereka telah mencapai kejayaan dengan berkhidmat sebagai ahli sukarelawan, guru atau mubaligh.

-ibnumustafa-

Tuesday, April 20, 2010

Kuasa Allah SWT mengatasi teknologi manusia..

Letusan Eyjafjallajokull gegar ekonomi dunia

Kesan abu gunung berapi Iceland lebih buruk daripada yang dijangkakan. Abu yang muncul akibat letusan gunung tersebut telah melumpuhkan sistem pengangkutan udara Eropah.

International Air Transport Association (IATA) meramalkan syarikat-syarikat penerbangan menanggung kerugian pendapatan US$200 juta sehari. Ini tidak termasuk kos-kos lain melibatkan penjadualan semula dan penggunaan lencongan. Mungkin sebahagian syarikat akan terpaksa gulung tikar jika keadaan ini berterusan.

Kesan sebenar kepada ekonomi ialah kebekuan ekonomi akibat ketiadaan pengangkutan udara, bukan sekadar di Eropah malah di seluruh dunia. Tanpa pengangkutan udara, manusia tidak dapat bergerak untuk melaksanakan tugas masing-masing, mesyuarat tidak berjalan, pertemuan terpaksa dibatalkan, persidangan dan perhimpunan besar terpaksa ditangguhkan. Sektor perkhidmatan dan pelancongan akan terjejas, tempahan hotel dan pusat peranginan terpaksa dibatalkan, kontrak tidak dapat dipenuhi.

Pengangkutan barangan tidak dapat dilaksanakan, produk bernilai tinggi tidak bergerak, produk pertanian tidak dapat dihantar dengan segera, penghantaran produk kesihatan, perubatan dan saintifik tertangguh, sistem courier dan pos ekspres menjadi kelam kabut, alat ganti mesin dan kilang tidak dapat diperoleh.

Dalam surah ad-Dukhan, kita telah diberikan amaran bahawa kedatangan asap/kabut dari langit adalah sesuatu yang mengazabkan.

"Maka tunggulah hari ketika langit membawa kabut yang nyata. Yang meliputi manusia. Inilah azab yang pedih. (Mereka berdoa): "Ya Rabb kami, lenyapkanlah daripada kami azab itu. Sesungguhnya kami akan beriman.” - Surah Ad-Dukhan, ayat 10-12.

Kita tidak mengatakan abu gunung berapi Eyjafjallajokull inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT dalam ayat ini, tetapi yang penting, amaran Allah SWT bahawa asap/kabut dari langit itu adalah salah satu azab bagi manusia dan merupakan salah satu tanda kedatangan kiamat.

Muslim perlu sentiasa sedar bahawa fenomena alam adalah tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal.” - Surah Ali Imran, ayat 190.

Bagi kita, letusan gunung berapi serta luapan abu terjadi dengan kudrat dan iradat Allah SWT. Jelas kepada kita bahawa kuasa Allah SWT jauh lebih tinggi, lebih hebat mengatasi kekerdilan teknologi ciptaan manusia. Kapal terbang manusia yang dianggap canggih tidak dapat terbang dan berfungsi hanya kerana satu letusan daripada salah satu gunung berapi. Begitulah lemahnya manusia berbanding yang Maha Esa.

Wallahualam..

-ibnumustafa-

Sunday, April 18, 2010

Kita sering bertanya dan Al-Quran sudah menjawabnya..

Kita bertanya: Kenapa aku diuji sampai sebegini rupa?
Al-Quran menjawab:
“Apakah manusia itu dibiarkan saja mengatakan, “Kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar, dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta
.” - Surah al-Ankabut, ayat 2-3.

Kita bertanya: Kenapa aku tidak dapat apa yang aku idam-idamkan?

Al-Quran menjawab:“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu. Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.”
- Surah al-Baqarah, ayat 216.

Kita bertanya:
Kenapa ujian yang ku lalui ini, seberat ini?Al-Quran menjawab:Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” - Surah al-Baqarah, ayat 286.

Kita bertanya: Kenapa aku harus kecewa?

Al-Quran menjawab:“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman.
- Surah al-Imran, ayat 139.

Kita bertanya: Bagaimana harus aku menghadapi semua ujian ini?

Al-Quran menjawab:“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang, dan sesungguhnya sembahyang itu amat berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”
- Surah al-Baqarah ayat 45.

Kita bertanya: Kepada siapa aku berharap?

Al-Quran menjawab:
“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain daripadaNya. Hanya kepadaNya aku bertawakal.” -
Surah at-Taubah, ayat 129.

Kita bertanya: Apa yang aku dapat dari semua ujian ini?

Al-Quran menjawab: “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang mu'min, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka.” - Surah at-Taubah, ayat 111.


Kita berkata:
Aku tak tahan dengan ujian ini!!
Al-Quran menjawab:


“..dan janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa daripada rahmat Allah melainkan kaum yang kafir.” -
Surah Yusuf, ayat 87.


Kita berkata:
Sampai bila aku merana begini?
Al-Quran menjawab:
Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan. Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.” - Surah al-Insyirah, ayat 5-6.

Semoga kita beroleh kekuatan dan semangat untuk terus menempuh ujian dan mihnah dariNya dengan redha dan beriman..

-ibnumustafa-

Friday, April 16, 2010

Cinta Si Burung Layang-layang..

Mungkin ramai yang pernah melihat, hanya sekadar berkongsi buat peringatan untuk semua.
Gambar yang diambil oleh seorang jurufoto yang telah melariskan jualan akhbar di Perancis pada hari ia disiarkan.

Di sinilah pasangan (isteri? suami?) kepada burung layang-layang ini terlantar antara hidup atau mati, kerana dilanggar oleh kereta ketika terbang rendah.


Di sinilah ia menghantarkan makanan kepada pasangannya itu, dan menemaninya dengan penuh setia dan kasih sayang..

Sekali lagi ia terbang dan datang membawakan makanan, namun ia sangat terkejut apabila mendapati pasangannya telah mati.. Ia cuba menggerak-gerakkan pasangannya itu, satu keadaan yang jarang dilihat bagi burung atau binatang sepertinya..

Menyedari pasangannya sudah tidak bergerak, dan tidak akan kembali lagi kepadanya, ia mengeluarkan bunyi seolah-olah sedang menangisi pemergian itu dengan hiba..

Berdiri di sisi pasangannya yang sudah tidak bernyawa, merasa sedih dengan pemergian itu..

Dan akhirnya menerima hakikat bahawa pasangannya itu telah pergi meninggalkannya buat selama-lamanya... Hidup menjadi sepi...

Begitulah kasih sayang yang Allah ciptakan antara sesama makhluk Nya..

Bagaimana pula dengan manusia yg berakal?

Pastinya burung yg ditinggalkan pasangan... hidup menjadi sepi... kita manusia..... ???

-ibnu
mustafa-

Thursday, April 15, 2010

Peranan Aqidah Dalam Pembinaan Ummah

Pertanyaan-pertanyaan yang selalu menghantui manusia dalam hidupnya adalah dari manakah ia berasal (di dunia ini), kemanakah ia akan dikembalikan kelak dan apakah tujuan kehidupannya ini?

Pertanyaan-pertanyaan yang dilontarkan manusia kepada dirinya sepanjang masa ini memerlukan jawapan yang jitu dan memuaskan, supaya ia, berdasarkan jawapan tersebut, dapat mengambil sikap yang tegas dalam kehidupannya, meluruskan perilakunya dan menegakkan undang-undang ideal yang diminati oleh masyarakatnya.

Dengan asumsi-asumsi hampa dan tidak memuaskan rasa ingin tahu manusia akan hakikat dan realiti kehidupan, aqidah-aqidah hasil rekacipta manusia (al-'aqai'd al-wadl'iyah) mengalami kegagalan fatal dalam menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut. Jawapan-jawapan yang dilontarkan oleh aqidah-aqidah tersebut dalam menjawab pertanyaan-pertanyaan itu antara lain; ‘manusia ditemukan dengan sendirinya’, ‘manusia ditemukan akibat perkembangan materi’ dan lain sebagainya.

Dan kegagalan aqidah-aqidah itu tidak sampai di sini saja. Mereka juga gagal dalam menciptakan formulasi-formulasi undang-undang kemasyarakatan yang dapat membina manusia dan merealisasikan kebahagiannya.

Di saat aqidah dan kepercayaan-kepercayaan agama yang tidak asli itu menjawab pertanyaan-pertanya an di atas dengan jawapan-jawapan yang palsu dan membingungkan dengan asumsinya bahawa manusia memiliki pencipta, akan tetapi pencipta yang serupa dengan makhluknya, aqidah Islam telah berhasil menjawab pertanyaan-pertanyaan tersebut dengan jitu dan memuaskan. Aqidah Islam mengakui bahawa manusia memiliki Pencipta Yang Maha Bijaksana lagi Kuasa yang tidak dapat dicapai dengan panca indra dan tidak boleh disamakan dengan manusia. Aqidah Islam menegaskan bahawa manusia diciptakan untuk sebuah tujuan yang tinggi, iaitu menyembah Allah SWT yang keputusannya nanti, ia akan dapat mencapai tingkat kesempurnaan dan keabadian yang tertinggi.

Di samping itu, aqidah ini juga mewujudkan naluri ideal (dalam diri manusia) yang Islam menganjurkan agar naluri tersebut selalu dikembangkan demi terwujudnya manusia sempurna di bidang pemikiran, sosial dan perilaku. Begitu juga demi terwujudnya keperibadian beraqidah yang berjalan sesuai dengan akal yang terarah, perilaku yang lurus dan siap mengembang misi, tidak seperti keperibadian yang mengalami kehakisan aqidah, yang seluruh perhatiannya tercurahkan kepada egoisme dan kemaslahatan dirinya. Keperibadian semacam ini akan mengalami kehilangan akal, kemelut jiwa dan kehilangan tujuan dalam hidup.

Patut untuk diingat di sini bahawa aqidah Islam bukan seperti aqidah (yang didefinisikan oleh) para filsufi yang tidak lebih dari sekadar teori pemikiran yang tersembunyi di sudut-sudut otak manusia. Akan tetapi aqidah Islam adalah sebuah kuasa yang bergerak di dalam hati dan berpengaruh secara positif pada jiwa dan anggota badan. Dengan ini, orang yang memiliki aqidah akan terdorong untuk berjuang di medan jihad dan beramal. Atas dasar ini, aqidah Islam (pada masa kejayaan Islam) telah menjadi sebuah kekuatan yang aktif dan motor penggerak (bagi muslimin) yang telah mampu mengubah perjalanan sejarah, merombak kebudayaan-kebudayaan (yang berlaku kala itu), meletuskan revolusi-revolusi agung dalam kehidupan manusia, baik di bidang kehidupan sosial mahupun pemikiran dan menciptakan kemenangan ketenteraan. Telah kita ketahui bersama bahawa kelompok minoriti (muslim) Makkah yang tertindas telah mampu bertahan selama tiga belas tahun menghadapi kezaliman yang melanda mereka bagai taufan dengan aqidah tersebut.

Aqidah inilah yang telah berhasil mengumpulkan tentara sebanyak sepuluh ribu orang untuk berkhidmat kepada Rasulullah SAW yang sebelumnya beliau tidak memiliki kekuatan ketenteraan dan lari dari Makkah secara sembunyi-sembunyi kerana diusir oleh orang-orang kafir Makkah. Dan orang-orang yang memerangi beliau sepanjang masa itu tidak mampu bertahan menghadapi kekuatan iman yang kukuh ini. Oleh kerana itu, mereka menyerah dan menyatakan keislaman mereka di hadapan beliau atau membayar jizyah.

Muslimin kala itu memiliki maksud kemenangan yang paling kuat, iaitu aqidah Islam yang telah mampu menciptakan hal-hal yang tidak dipercayai oleh manusia biasa. Aqidah ini telah memberanikan Hamzah RA untuk memimpin perang pertama Islam yang hanya berkekuatan tiga puluh pasukan berkuda ketika menghadapi tiga ratus pasukan berkuda Quraisy di pinggiran Laut Merah. Perang Islam ini tidak hanya keluar ke medan perang sekadar untuk mempamerkan susuk tubuh yang tegap. Perang ini memiliki semangat juang tinggi yang hanya ingin bertujuan menumpas musuh yang kekuatannya lebih besar sepuluh kali ganda dari kekuatan dirinya.

Dan belum pernah terjadi dalam sejarah pertempuran-pertempuran Islam yang selalu menghasilkan kemenangan-kemenangan gemilang itu, kekuatan muslimin secara kebendaan setara dengan kekuatan musuh. Akan tetapi, dari sisi jumlah dan prasarana, kekuatan mereka terkadang hanya seperlima lebih kecil dari kekuatan musuh. Kemenangan yang mereka peroleh itu bersumber dari kekuatan spiritual yang terpancar dari aqidah dan kekuatan-kekuatan ghaib yang turun kepada mereka secara bersambung-sambung. Prasarana kebendaan hanyalah pelengkap kemenangan tersebut.

Dengan ini, aqidah adalah kekuatan yang fundamental dalam setiap pertempuran (yang pernah terjadi pada masa kejayaan) Islam dan faktor utama terwujudnya kemenangan di segala bidang.

Dan supaya kita mampu mewujudkan sebuah kebangkitan peradaban di dalam diri setiap individu muslim, (salah satu cara yang efektif adalah) kita mengingatkannya akan persembahan- persembahan yang telah dianugerahkan oleh aqidah Islam ini kepada masyarakat muslim masa lampau.

Benar, bahawa seorang muslim tidak akan membuang aqidahnya dari sanubarinya. Akan tetapi, dek kerana adanya perang pemikiran yang menyerang aqidah tersebut dan faktor-faktor dekadensi moral yang menyerang masyarakatnya sebagai akibat dari jauhnya mereka dari budaya dan ajaran-ajaran langit, aqidah tersebut akan kehilangan fungsi, dan ia akan kehilangan rasa perpaduan sosial dalam praktik kehidupan seharian.

Yang harus diperhatikan dalam hal ini adalah:

Pertama, mengenalkan setiap individu muslim dengan aqidah yang benar melalui sumber-sumbernya yang bersih dan suci.

Kedua, meyakinkannya akan kebenaran aqidah yang dimiliki, kesahihan aqidah tersebut untuk dipromosikan di zaman moden ini dan keunggulannya secara mutlak atas aqidah-aqidah yang lain.

Ketiga, berusaha untuk memulihkan kembali peranan aqidah dalam membina ummah supaya aqidah tersebut merasuk ke dalam sanubarinya berbentuk sebuah iman yang kukuh, perilaku yang baik dan akhlak yang terpuji dalam perilaku seharian, sebagaimana aqidah tersebut telah mempengaruhi cara hidup muslimin terdahulu dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka.

Untuk merealisasikan tujuan ini, saya mengangkat pembahasan yang meliputi peranan aqidah dalam membina manusia, baik secara pemikiran, tata cara kehidupan sosial dan kejiwaan, dan refleksi-refleksinya terhadap etika dan perilaku seorang muslim ini ke permukaan. Dan di sini juga saya mengenengahkan peranan Ahlul Bait AS yang besar dalam memelihara aqidah dan memerangi usaha-usaha (sebahagian orang) yang ingin melupakan muslimin (terhadap erti hidup) yang sedang menimpa masyarakat muslim dalam dunia politik di masa kini.

Patut disinggung di sini, dalam pembahasan ini saya mengikuti metod naqli dan bersandarkan kepada rujukan-rujukan Islam.

-ibnumustafa-

Tuesday, April 6, 2010

Jangan marah kalau Melayu tidak minat membaca buku..

Kita sering terbaca berita yang mengatakan warga negara kita ini kurang membaca. Daripada kajian dan pukul rata, seorang warga Malaysia dikatakan hanya membaca dua muka surat sahaja untuk satu tahun - berbanding 40 hingga 50 buah buku untuk seorang warga Sweden atau Finland.

Hasilnya, buku-buku yang dicetak tidak terjual. Penulis kita agak susah untuk mencari makan. Budaya buku dan budaya ilmu tidak berkembang. Warga negara kita ini tidak ambil pot (peduli) tentang buku dan tulisan. Jauh sekali mereka hendak merapati buku-buku sastera, falsafah atau budaya, pameran lukisan atau pementasan teater. Kalau ada pun sekadar membaca novel.

Mengapa ini berlaku? Apakah warga Malaysia ini, terutama manusia Melayu, amat culas dalam hal baca-membaca dan berbudaya? Apakah manusia Melayu ini tidak ada keingian untuk tahu apa yang sedang berlaku di alam sekeliling mereka? Atau apakah manusia Melayu ini telah menjadi begitu mandul sehinggakan mereka tidak dapat lagi melihat apa yang sedang berlaku terhadap keluarga, anak dan dirinya sendiri.

Memang betul pada ketika ini proses pembodohan orang Melayu sedang berjalan dengan ligat. Proses ini tidak akan berjaya jika para seniman, para penulis dan para sasaterawan Melayu bangun menentang dan melawan proses pembodohan ini.

Di sini peranan penulis, seniman dan sasterawan cukup penting dalam memperkasa kembali fikrah yang selama ini telah diperbodohkan melalui budaya yang disebar luas oleh United Malays National Organisation.

Selama lebih 50 tahun hegemoni budaya United Malays National Organistaion telah melakar dan mengkonstruksi cara warga Malaysia terutama manusia Melayu berfikir dan bergerak. Dengan bantuan lembaga - seperti lembaga feudal, lembaga keagamaan, lembaga tradisional Melayu – United Malays National Organisation telah berjaya memagar dan mengikat cara manusia Melayu berfikir dan bergerak.

Apabila kita terbaca berita yang mengatakan kita semua ini kurang membaca, maka kita menerima hakikat ini tanpa kita berfikir panjang atau menimbulkan pelbagai persoalan. Sikap ini sikap yang salah - inilah sikap hasil hegemoni budaya United Malays National Organisation.

Budaya ini memalaskan kita untuk berfikir. Seharusnya, kita menimbulkan persoalan demi persoalan terhadap kenyataan tadi. Kenapa agaknya manusia Melayu tidak suka membaca?

Jika manusia Melayu tidak mahu atau tidak suka membaca buku, maka mari kita selidiki apa sebenarnya isi buku itu. Jika manusia Melayu tidak ingin membaca sebuah novel, maka mari kita selidiki apa yang cuba dipaparkan oleh penulis dalam novel itu.

Jika manusia Melayu gagal menghayati sebuah puisi, maka mari kita lihat dan selidiki apa isinya puisi itu. Jika manusia Melayu tidak menghayati sebuah lukisan, maka mari kita selami apa yang telah dilukis.

Selama lebih 20 tahun ini, buku-buku daripada tulisan sasterawan kita, buku-buku yang cuba membawa hal ehwal semasa, buku-buku yang dikatakan cuba membuka mata dan hati warga Malaysia – kebanyakannya bergenre bodek. Puisi, teater dan sandiwara yang dipentaskan banyak juga yang membawa unsur-unsur budaya bodek. Budaya bodek ini telah menjadi salah satu ciri yang amat penting dalam proses pembodohan manusia Melayu.

Cara untuk memahami budaya bodek ini berkembang dan bergerak cukup senang. Contohnya, ketika di zaman Islam Hadhari dahulu, banyak buku yang ditulis tentang Islam Hadhari. Banyak seminar akademik dianjurkan tentang Islam Hadhari.

Ada teater dipentaskan tentang Islam Hadhari. Ada kajian dijalankan tentang Islam Hadhari. Ada lagu, ada puisi, ada muzik, ada pameran lukisan tentang Islam Hadhari.

Seorang penulis puisi, yang bercita-cita ingin melihat puisinya diterbitkan dalam akhbar, tidak dapat tidak akan melakar Islam Hadhari sebagai tema puisinya. Seorang pensyarah yang ingin membuat kajian ilmiah pasti akan membuat kajian tentang Islam Hadhari.

Tindakan mereka ini untuk memastikan kajian ini akan diluluskan oleh universiti dan akan mendapat dana. Di sekolah pula akan ada pertandingan menulis karangan dan esei tentang Islam Hadhari; akan diadakan pertandingan berbahas atau berbalas pantun tentang Islam Hadhari.

Sebuah pereka seni papan tanda juga akan meletakkan logo Islam Hadhari agar logo ini akan mendapat kelulusan pihak yang berkuasa sebelum disebarkan di tepi-tepi jalan. Iklan-iklan di akhbar, radio atau tv juga akan menayangkan Islam Hadhari.

Drama tv juga mula berkisar dengan Islam Hadhari.

Apabila pencadang Islam Hadhari ini tidak ada kuasa lagi, maka semua beralih kepada slogan '1Malaysia'. Proses yang sama akan berulang lagi. Proses membodek tetap berlaku. Justeru inilah caranya hegemoni budaya bodek bergerak dan menyerapi jauh dalam masyarakat kita.

Sebenarnya orang ramai tahu – semua yang terpampang ini adalah bodek. Malah si penulis, si penyair, si pengkaji, si pembikin teater, si pencipta lagu, si pereka – semua mereka tahu bahawa apa yang mereka buat itu adalah membodek orang yang berkuasa ketika itu. Justeru kerja bodek mereka tidak membawa apa-apa yang menakjubkan.

Kerja-kerja bodek tidak menarik. Kerja-kerja seni bodek tidak akan membuka pandangan orang ramai. Tulisan-tulisan bodek tidak akan mengancam menggelodakkan fikrah yang beku. Kerja-kerja seni membodek tidak akan mengusik jiwa.

Novel-novel, cerpen-cerpen, puisi-puisi yang muncul hasil daripada peraduan membodek tidak akan ada sesiapa yang akan membeli atau membacanya. Malah, jika buku-buku bodek ini diberikan percuma besar kemungkinan buku ini akan menjadi penyelak pintu atau pengalas cerek panas. Inilah hakikatnya hasil kerja seni bodek.

Justeru kita tidak boleh menyalahkan manusia Melayu sebagai manusia yang malas membaca. Mereka malas membaca buku-buku yang tidak ada kaitan dengan kehidupan mereka. Mereka culas membaca kerana mereka merasakan buku-buku ini tidak memberikan apa-apa manfaat kepada kehidupan mereka.

Bayangkan jika buku-buku atau kerja-kerja seni ini ada kaitan dengan kehidupan mereka, pasti manusia Melayu ini akan berhenti, melihat dan cuba mendengar apa yang cuba disampaikan oleh buku-buku ini. Jika sebuah puisi itu indah dan ada hubungan dengan perjuangan kehidupan manusia Melayu, pasti puisi ini akan dihayati.

Apa yang diinginkan oleh warga Malaysia khasnya manusia Melayu hari ini adalah buku-buku dan kerja-kerja seni yang temanya memaparkan perlawanan. Buku-buku yang mengajukan tema perlawan terhadap penindasan. Perlawaan ini perlawanan manusia Melayu yang tertindas dalam kehidupan harian mereka.

Kehidupan harian yang mereka lalui dan alami. Justeru dengan sendirinya mereka akan dapat memahami dan menghayati kerja seni ini. Bukan buku-buku yang berkhayal tentang kehidupan orang-orang kaya yang tidak ada talian dengan majoriti manusia Melayu.

Puisi-puisi yang mengajukan tema penentangan terhadap kezaliman. Atau lagu-lagu yang menggerakkan nadi dan jiwa mereka untuk bangun melawan. Atau syair dan sajak yang melakar kehidupan mereka yang saban hari bertempuran dengan kezaliman dan penindasan. Jika tema ini yang digarap oleh para seniman, pasti kerja seni mereka merebak luas.

Contoh terbaik hari ini - tema besar yang sedang terpampang dalam dunia Melayu hari ini ialah konspirasi untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim. Inilah tema besar yang tidak mungkin dapat disorok-sorok. Tema ini sedang menunggu penulis, penyair, pemusik, pelukis untuk digarap seseni mungkin.

Jika para penulis, seniman, saterawan, pelukis dan penggiat teater gagal untuk melihat tema yang besar ini, maka jangan marah kepada manusia Melayu. Jangan marah apabila buku tidak ada orang beli. Jangan marah apabila lagu tidak ada sesiapa mendengar.

Jangan kecewa apabila pameran lukisan hanya dilihat sebagai pameran syok sendiri. Jangan marah jika tidak ada sesiapa ambil pot (peduli) terhadap buku puisi bodek yang tidak ada siapa ingin membeli.

Hakikatnya manusia Melayu hari ini mahu mendengar bunyi dan suara laungan perjuangan. Manusia Melayu mahu mendengar pekikan perlawanan. Manusia Melayu telah jelak dengan puisi bodek dan cinta. Manusia Melayu telah jelak dengan irama ampu dan cium tangan.

Seniman yang melakar dan menggarap tema perjuangan adalah seniman yang akan dinobatkan oleh manusia Melayu.

"MEMBACA JAMBATAN ILMU, JADIKAN IA BUDAYA KITA.."

-ibnumustafa-

Thursday, April 1, 2010

APRIL FOOL'S DAY: Suatu penghinaan terhadap Islam dan martabat ummah..

Pada setiap tanggal 1 April, ada saja orang ramai terutamanya anak-anak muda yang meraikan hari tersebut dengan membuat pelbagai kejutan atau sesuatu yang aneh di luar jangkaan. April Fools Day, demikian orang Barat menyebut hari tanggal 1 April atau lebih popular disebut sebagai ‘April Fool’. Namun tahukah anda jika perayaan tersebut sebenarnya berasal dari sejarah pembantaian tentara Salib terhadap Umat Islam Sepanyol yang memang didahului dengan segala upaya penipuan? Inilah sejarahnya yang disalin kembali sebahagiannya dari buku Valentine Day, Natal, Happy New Year, April Fool, Halloween: So What? (Rizki Ridyasmara, Pustaka Alkautsar, 2005)

SEJARAH APRIL FOOL'S DAY

Perayaan April Fool yang selalu diakhiri dengan kegembiraan dan kepuasan itu sesungguhnya bermula dari suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan. April Fool atau The April’s Fool Day bermula dari suatu episod sejarah Umat Islam Sepanyol di tahun 1487 M atau bertepatan dengan 892 H. Sebelum sampai pada tragedi tersebut, ada baiknya kita bongkar dahulu sejarah Sepanyol itu sendiri ketika masih di bawah kekuasaan Islam.

Sejak dibebaskan Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi satu negeri yang aman makmur. Pasukan Islam tidak sahaja berhenti di Sepanyol, namun terus melakukan pembebasan di negeri-negeri sekitarnya sehingga ke Perancis. Perancis Selatan dengan mudah telah dibebaskan. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours, dan sebagainya jatuh. Walaupun sangat kuat, pasukan Islam masih memberikan toleransi kepada suku Goth dan Navaro di daerah sebelah Barat yang berupa pegunungan.

Islam telah menerangi Sepanyol. Kerana sikap para penguasa Islam begitu baik dan rendah hati, maka ramai orang-orang Sepanyol yang kemudiannya dengan tulus dan ikhlas memeluk Islam. Umat Islam Sepanyol bukan hanya beragama Islam, malah mereka bersungguh-sungguh mengamalkan kehidupan secara Islami. Mereka tidak hanya membaca Al-Qur'an tetapi juga bertingkah laku berdasarkan Al-Qur'an. Mereka selalu berkata untuk tidak dengan muzik, arak, pergaulan bebas dan segala hal yang dilarang Islam. Keadaan tenteram seperti itu berlangsung hampir enam abad lamanya.

Selama itu pula kaum kafir yang masih ada di sekeliling Sepanyol tanpa kenal penat dan lelah terus menerus menghancur dan mengusir Islam dari bumi Sepanyol, namun mereka selalu gagal. Telah beberapa kali dicuba tetapi selalu tidak berhasil. Dikirimlah sejumlah perisik untuk mempelajari kelemahan umat Islam di Sepanyol. Akhirnya perisik itu menemukan satu cara untuk menakluk Islam di Sepanyol, iaitu dengan melemahkan iman mereka dahulu dengan jalan serangan pemikiran dan budaya.

Maka bermulalah secara diam-diam mereka mengirim alkohol dan rokok secara percuma ke dalam wilayah Sepanyol. Muzik diperdengarkan untuk memujuk kaum mudanya agar lebih suka bernyanyi dan menari berbanding membaca Al-Qur’an. Mereka juga mengirim sejumlah ulama' palsu yang kerjanya meniup-niupkan perpecahan di dalam tubuh umat Islam Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini membuahkan hasil.

Akhirnya Sepanyol jatuh dan berjaya dikuasai pasukan Salib. Penyerangan oleh pasukan Salib benar-benar dilakukan dengan kejam tanpa mengenal erti peri kemanusiaan. Tidak hanya pasukan Islam yang diserang, warga tua, wanita, anak-anak kecil, orang-orang tua, semuanya diserang dengan kejam.

Satu persatu daerah di Sepanyol jatuh, Granada adalah daerah terakhir yang ditakluki. Penduduk-penduduk Islam di Sepanyol (juga disebut orang Moor) terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Tentera-tentera Kristian terus mengejar mereka.

Ketika jalan-jalan sudah sepi, yang tinggal hanyalah ribuan mayat yang bergelimpangan bermandikan genangan darah, tentara Salib mengetahui bahawa masih ramai umat Islam Granada yang masih bersembunyi di rumah-rumah. Dengan lantang tentara Salib itu membuat pengumuman, bahawa umat Islam Granada boleh keluar dari rumah dengan aman dan dibenarkan berlayar keluar dari Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka. “Kapal-kapal yang akan membawa kamu keluar dari Sepanyol sudah dipersiapkan di pelabuhan. Kami menjamin keselamatan kamu jika ingin keluar dari Sepanyol, setelah ini maka kami tidak lagi memberikan jaminan!” demikian pujuk tentera Salib.

Orang-orang Islam masih mencurigai dengan tawaran ini. Beberapa orang dari umat Islam diperbolehkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah dipersiapkan di pelabuhan. Setelah benar-benar melihat ada kapal yang sudah dipersiapkan, maka mereka segera bersiap untuk meninggalkan Granada bersama-sama menuju ke kapal-kapal tersebut. Mereka pun bersiap untuk berlayar.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada yang keluar dari rumah-rumahnya dengan membawa seluruh barang-barang keperluannya beriringan jalan menuju pelabuhan. Beberapa orang Islam yang tidak mempercayai tentera Salib bertahan dan terus bersembunyi di rumah-rumahnya. Setelah ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan cepat tentera Salib menggeledah rumah-rumah yang telah ditinggalkan penghuninya. Julangan api dilihat menjilat-jilat angkasa ketika para tentera Salib itu membakari rumah-rumah tersebut bersama orang-orang Islam yang masih bertahan di dalamnya.

Sedang ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan hanya mampu melihat ketika tentera Salib juga membakari kapal-kapal yang dikatakan akan membawa mereka keluar dari Sepanyol. Kapal-kapal itu dengan cepat tenggelam. Ribuan umat Islam tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata. Mereka juga kebanyakan terdiri dari para perempuan dan anak-anaknya yang masih kecil-kecil. Sedangkan tentera Salib itu telah mengepung mereka dengan pedang yang terhunus.

Dengan satu teriakan dari pemimpinnya, ribuan tentera Salib itu segera menyerang dan membunuh umat Islam Sepanyol tanpa perasaan belas kasihan. Jerit tangis dan takbir membahana. Dengan ganas tentera Salib terus membunuh warga tua yang sama sekali tidak berdaya.

Seluruh umat Islam Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam. Darah bergenangan di merata-rata. Laut yang asalnya berwarna biru telah berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Tragedi ini bertepatan dengan tanggal 1 April. Inilah yang kemudiannya diperingati oleh dunia Kristian setiap tanggal 1 April sebagai April Fool (The Aprils Fool Day).

Bagi umat Islam April Fool tentu sekali merupakan tragedi yang amat menyedihkan. Hari di mana ribuan saudara-saudara seiman dengannya disembelih dan diserang oleh tentera Salib di Granada, Sepanyol. Sebab itulah, adalah sangat tidak bagus jika ada orang Islam yang terikut-ikut merayakan tradisi ini. Sebab dengan ikut merayakan April Fool, sesungguhnya orang-orang Islam itu ikut bergembira dan tertawa atas tragedi tersebut. Siapa pun orang Islam yang turut merayakan April Fool, maka ia sesungguhnya sedang merayakan ulang tahun pembunuhan kejam ribuan saudara-saudaranya di Granada, Sepanyol, beberapa abad silam.


April Fool Merupakan Perayaan Pembunuhan Umat Islam, Tidak Layak Dirayakan

Umat Islam sangat tidak layak merayakan “The April Fool Day” kerana kebiasaan itu didasarkan untuk memperingati peristiwa pembunuhan umat Islam di Sepanyol pada 1 April 1487 Masihi.

Ir.H.Asmara Dharma, seorang cendekiawan muslim dari Indonesia menuturkan di dalam tulisannya; “Umat Islam banyak yang “latah” dan merayakan April Fool tanpa mengetahui dasar dan asal muasal peristiwa tersebut”

Ia menjelaskan, perayaan April Fool itu didasarkan atas peristiwa penyerangan besar-besaran oleh tentera Salib terhadap negara Sepanyol yang ketika itu di bawah kekuasaan kekhalifahan Islam pada Mac 1487 Masihi.

Kota-kota Islam di Sepanyol seperti Zaragoza dan Leon di wilayah Utara, Vigo dan Forto di wilayah Timur, Valencia di wilayah Barat, Lisbon dan Cordoba di Selatan serta Madrid di pusat kota dan Granada sebagai kota pelabuhan berjaya dikuasai tentera Salib.

Umat Islam yang tersisa dari peperangan itu dijanjikan kebebasan jika meninggalkan Sepanyol dengan kapal yang disiapkan di pelabuhan Granada. Tentera Salib itu menjanjikan keselamatan dan membolehkan umat Islam menaiki kapal jika mereka meninggalkan Sepanyol dan tidak membawa sebarang persenjataan mereka.

Namun, ketika ribuan umat Islam sudah berkumpul di pelabuhan, kapal yang tadinya berlabuh di pelabuhan segera dibakar dan kaum muslim dibunuh dengan kejam sehingga air laut menjadi merah kerana darah.

Peristiwa pembunuhan dan pengingkaran janji tersebut terjadi pada 1 April 1487 Masehi dan dikenang sebagai “The April Fool Day.”

Selanjutnya, Dharma menjelaskan, peristiwa “The April Fool Day” itu dipopularkan dengan “ritual” yang mempersendakan, menipu dan memperbodohkan orang lain tetapi bernuansa gembira.

“Ritual tersebut disyaratkan agar orang-orang yang dipersendakan tidak boleh berasa marah atau membalas” katanya.

Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudiannya diraikan oleh tentera Kristian. Keraian ini akhirnya dirayakan setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol tetapi juga di serata dunia. Yang menyedihkan, orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa ini turut meraikan April Fool's Day tanpa menyedari mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara seIslam mereka sendiri.

Sama ada benar atau tidak latar belakang sejarah April Fool's Day ini tidak perlulah dibahas-bahaskan sangat mana yang betul, mana yang salah. Huraian tentang sejarah April Fool's Day itu sendiri pun banyak yang fool.

Jelasnya ia fool!

Terungkap pada sabda Nabi SAW:

lubangdhab.jpg

“Kamu akan mengikuti sunnah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehinggakan jika mereka memasuki lubang biawak (dhab) nescaya kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani, wahai Rasulullah? Sabda Baginda SAW: Ya, siapa lagi kalau bukan mereka?” - HR al-Bukhari dan Muslim.

Semoga Allah SWT sentiasa membuka pintu taubat untuk kita.

"Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu." - Hadith Riwayat Tirmizi.

"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat." - Dari Abdullah bin 'Amr RA.

Astaghfirullah Al Azieemm... ampunkan dosa2 kami Ya Allah dan terimalah taubat kami, amieenn...

-ibnumustafa-