PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, March 31, 2009

Adat Melayu.. (Islam + Melayu & Jawa)


Dalam tulisan Ustaz Hasrizal mengenai perkahwinannya, saya tertarik dengan petikan perenggan:

“Biar mati anak, jangan mati adat”

Keras benar bunyi pepatah itu. Sehingga menyakitkan jiwa Melayu Baru bawa jelek benar pemikiran orang dulu, sanggup mati anak semata-mata mahu mempertahankan adat.


Kita tidak boleh memahami bahasa dahulu dengan pemikiran hari ini. Bahasa lama perlu difikir cara lama.

Orang Melayu membungkus agama dan adat, di dalam satu peti emas yang dianggap sebagai jati dan harga diri. Agama dan tatasusila adat Melayu, berfungsi untuk membentuk sebuah kehidupan yang sopan, berseni dalam berakhlak supaya cantik dipandang, sedap didengar dan manis dirasa.

Maka jika kita bertemu dengan watikah bertulis sebagai ”Hukum Adat”, janganlah terus dihumban ke tepi bahawa adat itu adalah budaya resam yang merosak agama. Adat itulah agama, pada bahasa Melayu Lama.

Baru-baru ini saya mendapat email daripada seorang sahabat saya, ada pantun yang disampaikan pada saya:

Dari mana merpati melayang,
Dari Trafalgar ke Piccadily,
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata jatuh ke hati,

Kelip-kelip ada di dusun,
Anak keling bergelang kaca,
Bukan mati kerana racun,
Mati dijeling si ekor manja,

Cincin intan bunga selasih,
Cantik dipakai di waktu petang,
Mengapa tuan tak mahu berkasih,
Adakah orang akan melarang?

Begitulah berhalusnya masyarakat kita. Menerima beralas, menolak berlapik.

Dalam era modenisasi hari ini, kita ingin jawapan & kerja yang cepat & ‘straightforward’, sampaikan kadang-kadang kita hampir terlupa sopan & susila berbicara. Islam mengajar kita untuk saling menjaga perasaan taulan maka disitu saya melihat bagaimana kesopanan & kesusilaan adat Melayu memainkan peranan.

Pernah timbul persoalan dalam benak mengenai Qunut, tatkala kembali pada sunnah menjadi agenda hidup dan ia masih lagi agenda. Banyak buku di’explore’… karangan alBani & lain-lain. Akhirnya, keputusan yang saya ambil adalah untuk tetap membaca Qunut. Ada banyak alasan… Umat Islam dalam kekalutan etc. Namun, saya timbulkan tanda soal dalam fikiran, as Shafie itu belajarnya lagi banyak dari kamu, pengetahuan arab, hadith, Al-Qurannya jua lebih jitu. Justeru, membaca atau tidak bukan masalahnya. Bagaimana berhemah As Shafie, dia tidak membaca Qunut mengimamkan makmum dari kalangan al Hanafi, & makmum pula bertanya kenapa tidak kamu membacanya seperti amalan kamu… kerana as Shafie menghormati mereka, & mereka sama-sama saling menghormati. Itulah antara intipati yang adat Melayu ajarkan. Jgn kerana ada ilmu yang kita tahu, cepat sahaja kita kita menidakkan org lain kerana kita lebih tahu. Mungkin ia mungkin tidak, & ilmu yang kita pelajari menjadi laknat andai belajar tadi untuk berdebat dgn si alim, untuk menunjuk2 pada yang lain…

Berbalik kepada kehalusan budaya kita. Dalam zaman hari ini, mungkin tatkala diperingkat merpati & rerama ingin mencari pasangan… saya memandang lapikan adat Melayu cukup halus dalam menyampaikan apa tersirat di hati. Gurindam, syair, pantun dan lain-lain adalah sulaman bicara & kata untuk menyampaikan maksud tersirat agar tidak hati terluka dalam, & orang yang bijak tidak perlukan penerangan yang panjang. Perlambangan & ‘signs’ melalui perkataan & perbuatan boleh menyampaikan maksud sesuatu urusan.

Bagaimanapun akhirnya, semua arahan kesusilaan terkandung dalam syariat. Cumanya… utk mengikut norma masyarakat, adat Melayu mengajarkan bagaimana. Yang mana benar diambil, yang mana tidak tolaklah dengan baik & ajarkan pada yang tersalah. Senyuman pada tukang sapu, pencuci tandas tak menjatuhkan martabat kita sebagai CEO syarikat ternama, atau medical student atau event heart surgeon. Sapaan pada sahabat & musuh tidak mengundang permusuhan. Salam sesama Muslim tidak menjadikan kita outdated. Ada seorang meminta izin utk solat ketika bersama perkumpulan Mat Salleh… & balasan mereka, “wow…you are a practicing Muslim, that’s why u are so nice”

A Muslim at Prayer Photographic Print by Reza
Maaf pada salah bicara. Betulkan tersilap dimana-mana. Tambah yang mana patut..

-ibnumustafa-

10 Wasiat Imam Syafie.

SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

"Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

PERTAMA: HAK KEPADA DIRI

Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA: HAK KEPADA MALAIKAT MAUT

Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah SWT.

KETIGA: HAK KEPADA KUBUR

Iaitu: Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

KEEMPAT: HAK KEPADA MUNKAR NAKIR

Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

KELIMA: HAK KEPADA MIZAN (NERACA TIMBANGAN AMALAN DI HARI QIAMAT)

Iaitu: Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

KEENAM: HAK KEPADA SIRAT (TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA DI HARI QIAMAT)

Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap wara', suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

KETUJUH: HAK KEPADA MALIK (MALAIKAT YANG MENJAGA NERAKA)

Iaitu: Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

KELAPAN: HAK KEPADA RIDHWAN (MALAIKAT YANG MENJAGA SYURGA)

Iaitu: Berasa redha dengan Qada' dan Qadar Allah SWT, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah SWT dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN: HAK KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

Iaitu: Berselawat ke atas Baginda SAW, berpegang dengan syariat, bergantung kepada al-Quran dan as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah SWT.

KESEPULUH: HAK KEPADA ALLAH SWT

Iaitu: Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

-ibnumustafa-

Kerana itulah pilihanku...


Sunyi sepi.. suasana masih gelap.. dunia masih tidur.. siang bakal menjelang...

Beberapa detik lagi siang akan menjelang.. akan hilang suasana yang damai.. Hiruk-pikuk kenderaan mengiringi kedatangan matahari siang.. Kedamaian subuh bakal berlalu pergi.. ketenangan jiwa diganti dengan kekalutan.. kalut mengejar waktu.. kecoh membuat keputusan.. tergesa-gesa dengan temujanji..

Untuk beberapa jam lagi.. aku akan berhadapan dengan hari siang.. hari yang mencabar.. Saat ini.. ketika ini.. aku mesti membuat pilihan.. Kerana aku ini manusia.. aku bebas membuat pilihan.. justeru aku pun memilih..

Aku memilih cinta dan kasih sayang...

Tiada ruang untuk aku membenci.. tiada ruang untuk aku menyakiti.. Tiada ruang untuk aku memandang sinis kepada orang lain.. Aku memilih cinta dan kasih sayang.. Hari ini aku mencintai Tuhan dan menyayangi apa yang disayangi oleh Tuhan..

Aku memilih kegembiraan...

Tiada ruang untuk aku bersedih dan mengingati perkara yang menyedihkan.. aku ingin bergembira dan ingin melihat orang lain juga bergembira.. aku ingin memandang bahawa setiap masalah bukan penyebab kepada kedukaan sebaliknya peluang yang datang daripada Tuhan yang harus disambut dengan rasa syukur dan gembira..

Aku memilih kedamaian...

Aku akan memaafkan dan berharap akan dimaafkan.. tiada ruang untuk aku bermasam muka dan bermusuhan..

Aku memilih kesabaran...

Aku bersedia menghadapi segala rintangan dan keperitan, kesakitan dan kepayahan.. Daripada menyumpah orang yang memberi masalah kepada aku.. lebih baik aku berbaik-baik dengannya.. Daripada mengomel kerana terpaksa menunggu lama.. lebih baik aku bersyukur kepada Tuhan kerana memberi masa yang lebih untuk aku berdo'a dan berzikir.. Daripada aku lari dari segala kesulitan dan kepayahan.. lebih baik aku menghadapainya dengan perasaan sabar, gembira dan berani..

Aku memilih untuk membantu...

Aku akan membantu insan yang dalam kemiskinan kerana mereka keseorangan.. aku akan membantu yang kaya kerana mereka dalam ketakutan.. aku akan membantu orang yang membantu aku.. kerana begitulah Tuhan telah mendidik aku..

Aku memilih kebaikan...

Aku rela hidup tanpa kekayaan daripada mendapat kekayaan dengan cara yang tidak halal.. tidak ada ruang untuk aku bersikap sombong dan menunjuk-nunjuk.. tidak ada ruang untuk aku memandang rendah dan menuduh orang lain kerana aku memilih kebaikan..

Aku memilih kepercayaan...

Hari ini aku akan menunaikan janjiku.. Teman-temanku tidak akan merasa tertipu dengan setiap patah perkataanku.. Kekasih ku tidak akan tertanya-tanya tentang cinta dan kasih sayang ku.. Anak-anakku tidak akan ketakutan dan bersedih jika aku tidak pulang ke rumah hari ini..

Aku memilih kelembutan...

Tiada yang dapat dicapai melalui paksaan dan kekerasan.. aku memilih kelembutan.. Jika aku terpaksa meninggikan suara, biarlah ia di dalam pujian.. Tiada ruang untuk aku menggunakan kekerasan untuk memiliki sesuatu..

Aku memilih untuk mengawal diri...

Tidak ada ruang untuk aku marah-marah pada perkara yang remeh.. aku mengawal diriku daripada nafsu dan keseronokan yang berlebihan sehingga melalaikan.. aku mengawal lidahku daripada menyakiti hati seseorang.. aku mengawal pergerakan jasadku daripada sesuatu yang memudharatkan.. Pengawalan diriku berpandukan apa yang tercatit dalam Quran dan Sunnah Rasulullah SAW..

Cinta, kegembiraan, kesabaran, membantu, kebaikan, kepercayaan, kelembutan dan mengawal diri...

Inilah pilihanku pada hari ini.. Andainya aku berjaya.. aku amat bersyukur sekali.. andainya tidak, aku memohon ampun kepada Tuhan.. dan tatkala hari ini berakhir.. aku akan lena dengan hati yang tenang dan jiwa yang lapang.. kerana itulah pilihanku..

-ibnumustafa-

Tuesday, March 24, 2009

Uruskan masa dan ringkaskan tugas, Wasiat ke-10 Hasan al-Banna

"Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada, oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya," demikian wasiat Hasan al-Banna yang terakhir.

Kepada setiap pendakwah atau seorang Islam yang sejati, masanya sangat penting. Mereka harus waspada selalu dengan penggunaan masa. Masa yang tidak digunakan dengan teliti akan menyebabkan kita akan menyesal tanpa kesudahan.

Ini kerana, masa yang sudah terlepas itu tidak boleh diganti lagi. Pepatah Melayu ada menyatakan, 'patah tumbuh hilang berganti'. Tetapi, bidalan itu merujuk kepada seseorang pemimpin yang telah mati atau barang hilang yang mungkin boleh ditemukan semula atau sesuatu yang hilang dan boleh digantikan semula.

Yang tak boleh digantikan semula ialah waktu, saat, detik, dan masa. Oleh kerana masa ini sangat penting, maka setiap bangsa punya peraturan, falsafah dan pepatah yang lengkap tentang kepenggunaan waktu. Antara bangsa Asia, kita selalu mendengar bahawa bangsa Jepun menghargai waktu.

Bagaimanapun mereka maju di dunia kerana falsafah penggunaan masa itu hanya sekadar untuk memenuhi keperluan di dunia. Sedangkan, Islam menyeru umatnya agar mengguna masanya guna memenuhi keperluan di dunia dan kebutuhan di akhirat.

Pepatah Melayu menyebutkan bahawa 'masa itu emas'. Malah emas, perak dan intan berlian sekali pun belum dapat menandingi harga emas. Kalau emas itu hilang, maka emas itu boleh dicari semula atau pun diganti dengan wang, tanah atau apa-apa pun yang ada harganya. Itulah kayu ukur yang menandakan masa itu sangat berharga.

Iaitu, jika masa telah berlalu, maka tiada suatu kuasa apa pun yang dapat menggantikannya atau mengembalikannya. Tapi, jika emas hilang, nescaya ada seribu satu jalan, kuasa yang dapat berikhtiar menggantikannya.

Waktu tidak boleh dicipta, malah alam ini tercipta oleh peredaran waktu. Tuhan menyebut bahawa alam ini tercipta dalam enam masa. Masa cuma boleh dinamakan, dipenggal, dipecahkan, dipotong sebagai hari, minggu, bulan serta dinamakan Ahad, Isnin dan sebagainya. Jika ada keperluan untuk amalan rohani gelap, maka ia dinamakan Keliwon mengikut lidah Jawa.

Masa itu tidak boleh direkabentuk seperti benda-benda yang boleh dipegang. Setiap yang boleh dipegang boleh dipatahkan dengan benda lain. Pokok yang dipatahkan rantingnya boleh tumbuh semula. Kerana itu, manusia boleh berkata, yang patah itu boleh tumbuh dan yang hilang boleh berganti. Ini kerana, patah dan tumbuh itu sifat benda dan bukan sifat masa.

Malah, masa itu boleh mengancam manusia. Saidina Ali KW berkata, "Masa itu umpama pedang. jika kamu tidak 'memenggalnya', nescaya ia akan 'memenggal' lehermu."

Sebenarnya yang menyebabkan masa itu berharga ialah disebabkan adanya kerja, tugas, amanah yang perlu disiapkan semasa waktu itu sedang berjalan.

Jika bukan kerana itu, maka masa itu tidak berharga. Misalnya, dengan peredaran masa, pokok perlu membesar dan ia dijual dengan masa tertentu. Sebab itulah masa untuk menunggu pokok itu membesar amat berharga.

Dalam hal ini masa disalahgunakan dalam perniagaan yang melibatkan riba. Sekiranya kita tidak dapat melunaskan hutang dalam tempoh waktu tertentu, maka bunga (riba) akan naik. Demikianlah masa disalahgunakan dalam 'industri' riba.

Maka Hasan al-Banna telah memulakan wasiatnya dengan menggunakan ungkapan 'kewajipan kita' yang bermaksud usaha dakwah kepada umat ini. Kewajipan usaha dakwah ini ada pertalian yang amat erat dengan penggunaan waktu.

Masa makin singkat dan suntuk!

Tetapi jumlah usaha dakwah itu terlalu banyak jika dibandingkan dengan jumlah peruntukan waktu yang kita ada. Di dalam peruntukan 24 jam sehari semalam, kita mungkin memerlukan 48 bentuk dan 72 jenis dakwah. Dalam kata lain, kita mungkin perlukan 2 atau 3 kali ganda program dakwah atau lebih daripada itu dalam tempoh 24 jam.

Itu maksud Hasan al-Banna; jumlah usaha dakwah perlu digembeling dalam jumlah waktu yang sungguh singkat. Masa seperti semakin pendek apabila terlalu banyak urusan dakwah yang perlu dibereskan.

Daripada Anas bin Malik RA berkata: Rasulullah SAW bersabda, "Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu percikan api." - HR at-Tirmizi.

Hasan al-Banna, ketika menyusun wasiatnya, beliau mungkin terkesan dengan sabda Rasulullah SAW ini. Bilangan manusia yang ingin melakukan perubahan ke arah kebaikan dan islah sangat kurang berbanding manusia jahat yang memperuntuk masa dan hartanya ke arah kemusnahan dunia dan tamadun ini.

Oleh itu bayangkanlah bagaimana keadaannya ketika kerja dakwah makin banyak menimbun ini terpikul atas bahu segelintir pendakwah sahaja yang inginkan kedamaian, kesejahteraan, kebaikan dan ketenangan di dunia dan akhirat.

Bantu manusia menguruskan waktunya

Barangkali.. lantaran terkesan dengan semua inilah, maka Hassan al Banna memulakan usaha dakwah di kedai-kedai makanan dan kedai-kedai kopi dan bukannya di masjid. Beliau benar-benar mahukan insan berpeleseran tanpa tujuan ini akhirnya akan faham matlamat hidupnya.

Apabila manusia itu mula faham akan falsafah dan matlamat hidup, maka akan wujud manusia yang akan menggunakan masanya dengan betul, baik dan sempurna.

Manusia yang telah mula dibangunkan kesedarannya ini akan tertanya-tanya pula tentang bagaimana seharusnya mereka mahu memanfaatkan waktunya di dunia ini sementara menunggu waktu di akhirat kelak.

Maka.. di sini Al-Banna menyarankan pendakwah agar membantu mereka yang telah terbuka hatinya untuk memahami bagaimana mereka perlu memanfaatkan waktunya untuk beribadah sementara menunggu waktu dihisab di akhirat kelak.

"Oleh itu bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan kalau saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya," demikian pesan al-Banna lagi.

Orang yang telah dilembutkan hatinya dan dilunakkan jiwanya sentiasa tertanya-tanya mengenai apakah amalan yang harus dilakukan guna mencapai redha Ilahi. Soalan semacam ini kerap hinggap di ranting pertanyaan sahabat dan Baginda SAW selalu hadir bagi menjawab setiap pertanyaan tersebut.

Ghairahnya para sahabat dalam beramal sehingga mereka kerap bertanya, apakah amalan yang paling baik dan bermacam pula jawapan Baginda SAW tergantung kepada keadaan rohani para sahabat itu.

Jika dilihatnya sahabat itu menderhakai ibu bapanya maka Baginda SAW bersabda, berbuat baiklah kepada ibu bapa. Jika dilihatnya penyoal itu seorang yang panas baran, maka dia menasihatkan orang itu supaya tidak marah-marah.

Mereka yang mula lunak kepada agama tidak tahu atau terlupa tentang cara-cara menggunakan masa sebagai yang disaran di dalam al-Quran. Mungkin kerana keterbatasan dalam bahasa Arab, mereka tidak faham mesej dalam surah Al-Muzzammil.

[1] Hai orang yang berselimut! [2] Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, kecuali dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), [3] Iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, [4] Atau pun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil."

[5] (Sayugialah engkau dan pengikut-pengikutmu membiasakan diri masing-masing dengan ibadat yang berat kepada hawa nafsu, kerana) sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu wahyu (Al-Quran yang mengandungi perintah-perintah) yang berat (kepada orang-orang yang tidak bersedia menyempurnakannya).

[6] Sebenarnya sembahyang dan ibadat malam lebih kuat kesannya (kepada jiwa), dan lebih tetap betul bacaannya. [7] (Kami galakkan engkau dan umatmu beribadat pada waktu malam), kerana sesungguhnya engkau pada siang hari mempunyai urusan-urusan yang panjang kira bicaranya.

Orang yang didakwah atau mereka yang baru dinyalakan pencerahan rohani dalam dirinya, selalu hidup pelbagai ragam persoalan dalam hatinya dan menyalalah pula pelbagai rencam pertanyaan yang berwarna-warni dalam dirinya berhubung langkah-langkah awal menuju ke arah kesempurnaan hidupnya sebagai manusia terbaik.

Jadi, bagaimana mereka harus bermula? Jika ada amalan permulaan, maka apakah amalan permulaan itu?

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "Sembahyang Tahajjud" padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada akhirat di tempat terpuji." - Surah Al-Isra' ayat 79.

Adakah insan yang baru merangkak, baru melabuhkan pencarian untuk mendakap pencerahan jiwa serta akal fikirannya dapat menyelami hasrat Tuhan sebagai yang terkandung ayat-ayat al-Qur'an di atas? Mereka perlukan masa untuk dibimbing serta masa perlukan pembimbing yang sabar, teguh hati, kuat pendirian, bijaksana, berhemah tinggi yang kental spiritual.

Ringkaskan amalan untuk membantu saudara lain

Sebab itulah Al-Banna menyarankan anggota Ikhwan Muslimin atau para pendakwah meringkaskan sahaja urusan mereka untuk membantu saudara mereka yang mahu dibangkitkan kesedaran dalam jiwanya.

Bagi Al-Banna, amalan peribadi yang bertujuan menolong keperluan peribadi di akhirat, hanya bermanfaat untuk keperluan mereka sahaja. Sedangkan, usaha mengirim ilmu ke dalam dada manusia yang kosong tanpa dihuni hikmah pengetahuan sangat berguna kepada kedua-dua pihak, sama ada pihak pendakwah dan pihak yang didakwah.

Petunjuk agama menyatakan bahawa, jika ada seseorang beramal dengan sebab ajaran kita, maka pahala dengan sebab amalan itu turut mengalir ke dalam 'akaun pahala' kita kelak.

Sebab itu, pendakwah perlu meringkaskan dan menyedikitkan ruang untuk keperluan amalan peribadi supaya lebih banyak ruang dapat dimanfaatkan untuk tujuan pendidikan dan pengajaran ke atas manusia lain yang dahagakan pengetahuan daripada mereka.

Mereka yang berkhalwat, beruzlah, dan bersuluk tanpa berusaha keras menggerakkan nurani manusia untuk mendapat imbuhan pencerahan rohani daripada Tuhan, tidak termasuk dalam jenis manusia pencerahan.

Al-Banna, Badiuzzaman Said Nursi, dan lain-lainnya adalah ulama' sufi dan bersuluk di 'gua pertapaan' lalu keluar ke lapangan dalam usaha memerangi amalan khurafat dalam pemerintahan manusia mustakbirin sekali gus menyinari mendung awan hitam yang membalut kegelapan hati manusia mustadh'afin.

-ibnumustafa-

Sebarkanlah Salam!, Wasiat ke-9 Hasan Al-Banna

"Berkenalanlah dengan saudara yang baru dikenali walaupun tidak meminta untuk berkenalan. Ini kerana asas gerakan dakwah adalah perkenalan dan berkasih-sayang." - Hasan al-Banna. 

Gerakan dakwah Ikhwan Muslimin ditandai dengan kekuatan hubungan erat dan rasa persaudaraan sesama mereka. Ikhwan Muslimin tidak berhasrat memanjangkan pertengkaran sesama muslimin. Malah, mereka mahu berusaha keras untuk membendung hal-hal yang boleh merebakkan pertikaian dalam umat Islam. Dan, kalimah salam adalah kunci kepada perpaduan itu. 

Pendek kata, hadis Rasulullah s.a.w yang meminta agar ucapan salam itu disebarkan memang dimanfaatkan oleh ahli-ahli ikhwan itu sendiri. Semangat asal dan ruh perpaduan itulah yang sentiasa menjadi ingatan kepada anggota ikhwan.

Pada akhir zaman ini, kita lihat bahawa ada kecenderungan untuk memberikan salam cuma kepada orang yang dikenali saja. Kepada mereka yang tidak dikenali, maka kita abaikan sahaja. Dan, hal inilah yang cuba disampaikan oleh Hasan al-Banna kepada pendokong gerakan Ikhwan Muslimin. 

"Rasulullah s.a.w perintahkan kami 7 perkara: "Mengunjungi pesakit, menghantarkan jenazah, menjawab tahmid ke atas orang yang bersin, membantu orang lemah, membantu orang teraniaya, menyebarluaskan salam dan menepati sumpah." - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Lihat anjuran agama yang mahukan umatnya menyebarluaskan salam itu. Semua ini tidak lari dan tidak jauh daripada sikap Islam yang mahu menjadi juara kepada perpaduan sejagat dan Islam sebagai faham yang membawa rahmat ke serata alam. 

Jika dunia hari ini tidak aman, bererti bukanlah silap Islam. Malah, kesilapan itu berpunca daripada orang Islam yang tidak menyebarluaskan salam dan tidak mengikuti anjuran baginda s.a.w itu dengan bersungguh-sungguh. Islam dan orang Islam itu dua perkara yang berbeza. 

Sinar Islam malap oleh sikap Muslimin
 
Diakui bahawa kelakukan buruk umat Islam menyebabkan Islam itu menjadi buruk gambarannya. Kata Syeikh Muhammad Abduh, "Al-Islam mahjuubun bil Muslimin - (Keindahan) Islam itu terhijab oleh (kelakuan) umat Islam." 

Wasiat ke-9 Al-Banna ini tidak lari daripada seruan baginda Rasulullah s.a.w sendiri. Dalam hadis lain disebutkan: 

Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: "Apakah (amalan) Islam yang terbaik? Nabi berkata: "Engkau memberi makan dan memberi salam kepada orang yang engkau kenali dan kepada orang yang engkau tidak kenali." - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Sebenarnya, hal memberikan salam itu bukanlah satu-satunya cara mengukuhkan perpaduan. Ia perlu disusuli dengan amalan memberikan makanan kepada orang-ramai, menghidupkan amalan baik pada waktu malam dan sebagainya. 

Daripada Abdullah bin Salam r.a katanya, Nabi s.a.w. bersabda: "Hai sekalian manusia, sebarkanlah salam, berikan makanan, bersolatlah pada waktu malam sedang para manusia sedang tidur, maka engkau semua akan dapat memasuki syurga dengan selamat." - Hadith Riwayat lmam at-Tirmizi.

Maka, selain menyebarluaskan salam, Islam melihat hal menjawab salam itu juga termasuk dalam perkara yang mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh oleh umat Islam. 

"Dan apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balas penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah selalu menghitung tiap-tiap sesuatu." - Surah an-Nisaa; ayat 86.

'Budaya lepak' secara Islam
 
Budaya lepak bukan budaya baru. Rasulullah s.a.w tidak suka mereka yang berada di tepian jalanan. Maka, baginda tegah para sahabat membuat pekerjaan yang sia-sia di tepi jalan itu. Tapi jika kita mahu berlepak-lepak juga, hendaklah kita melaksanakan 'hak-hak jalan' itu. Maka, termasuk dalam hak jalan itu ialah menjawab salam! 

Dari Abi Sa'id Al-Khudriy r.a Rasulullah s.a.w bersabda: "Jauhilah duduk-duduk di pinggir jalan!" Sahabat berkata, "Ya Rasulullah, kami tidak boleh meninggalkan majlis kami ini dan juga bercakap-cakap dalamnya." 

Rasulullah berkata, "Kalau enggan meninggalkannya, maka beri hak jalan itu." Sahabat bertanya, "Apakah hak jalan itu ya Rasulullah?" kata Rasulullah, "Tundukkan pandangan, singkirkan gangguan di jalan, jawablah salam dan melakukan amar ma'ruf nahi mungkar." - Hadith Muttafaq 'alaih.

Maka, perbuatan duduk di tepi jalan atau minum-minum petang di kedai kopi dan berbual-bual itu tergolong dalam istilah budaya lepak dalam masyarakat kita. Maka, hendaklah kita menunaikan hak-hak jalan di tempat kita sedang bersantai itu. Rasulullah cuba mengelakkan kita, tapi jika hendak melakukannya, maka hendaklah menunaikan hak jalan. 

Kita lihat, dakwah Hasan al-Banna pun bermula di tempat lepak juga. Seperti yang kita ketahui, Al-Banna pun memulakan dakwah di kedai-kedai makan, kedai kopi, tempat di mana berkembangnya budaya lepak dengan begitu berleluasa. Ceramah dan khutbah di masjid saja tidak cukup menyekat arus kemungkaran dalam masyarakat. 

Lebih ramai orang-orang yang memerlukan seruan dakwah, tetapi mereka sukar menuju ke masjid dengan sebab perawakannya yang menyebabkan mereka sendiri sukar menuju ke masjid. 

Negara Islam terbina oleh masyarakat Islam bawahan yang perlu diislamkan sepenuhnya. Cabaran hari ini ialah bagaimana mahu mengislamkan orang Islam daripada sudut jiwanya, pemikirannya. Ini kerana, masih ramai orang Islam, tetapi sikap mereka seperti Yahudi, pemikiran mereka bukanlah pemikiran Islam dan akhlak mereka tidak mengikuti saranan nabi. 

Sesungguhnya, Islam bermula daripada salah satu 99 nama Allah yang baik, iaitu As-Salaam. Daripada As-Salaam ini maka istilah Islam mendapatkan namanya. Maka, perbuatan menyebarkan salam ke serata alam inilah agenda Islam yang terutama dan Negara Islam terbina daripada masyarakat Islam yang benar-benar Islam. 

Kita telah lama berdakwah di dalam Parlimen, mendakwahkan orang-orang atasan. Tapi, orang-orang bawahan tidak terkena tempias angin dakwah kerana dakwah cuma terhad di atas mimbar masjid, di khutbah-khutbah Jumaat dan di Parlimen. 

Salam perlu disebarluaskan ke seluruh alam, lorong-lorong kecil, tempat anak-anak muda yang kering jiwanya akibat sudah lama hidup dibelenggu oleh faham kebendaan yang mengasuh mereka mengejar kemewahan.

-ibnumustafa-

Thursday, March 19, 2009

Kenapa peduli 'Allah Peduli' Agnes Monica saja?

"Aku pernah datang konsert Agnes Monica malam tu," kata seorang teman. Ketika itu kami sedang rancak berbual kosong di Devi's Corner di Bangsar sekitar jam 2 ke 3 pagi.

Tiba-tiba Agnes Monica berkata, "..Yesus Kristus!" dan semua orang yang hadir terdiam seketika. Begitu teman saya itu bercerita. Saya tidak pasti apakah yang disebut oleh Agnes. Mungkin salam dari Yesus Kristus atau lain-lain ucapan yang biasa diucapkan oleh penganut Kristian.

Bualan itu tercetus kerana mata kami tertancap pada sekeping poster yang menampilkan susuk tubuh Agnes Monica dalam 'pose' yang mengiurkan dan mengghairahkan. Poster iklan itu ditampal pada dinding kedai mamak 24 jam tersebut.

Iklan itu menunjukkan bahawa Agnes Monica akan hadir pada suatu tarikh di Stadium Merdeka kalau tidak salah ingatan saya lagi. Dia hadir bersama siapa? Adakah itu hanya persembahan solo? Siapakah penganjurnya? Saya sudah lupa.

Bagi mereka yang belum tahu, penyanyi muda yang kian laris di Malaysia bagaikan pisang goreng itu mula terkenal lewat lagunya Tak Ada Logika. Lagu itu acapkali diputarkan sehingga melonjakkan namanya ke pentas seni hiburan negara. Klip video Tak Ada Logika sememangnya 'hot', bak kata anak-anak muda.

Nasib tidak menyebelahi Julia Perez (singkatannya Jupe), penyanyi dangdut yang juga memang panas lewat lagunya 'Belah Duren'. Tanya saja kepada Syekh YouTube tentang judul lagu tersebut dan anda boleh buat penilaian sendiri samada klip video itu panas atau pun tidak.

Kemarau seni hiburan bercitra Islami, dimendungkan oleh kebanjiran drama sinetron dan longgokan klip video Indonesia yang meresahkan kita. Jika pun ada kehadiran seni hiburan Islam dari Tanah Seberang itu, nescaya ia bukan dalam pakej yang boleh membanggakan, kerana jumlah dan edarannya terlalu sedikit dan terhad pula.

"Eh! Kau baik-baik sikit Joni.." demikian saya cuba kendurkan ketegangan yang kian berombak di dadanya. "Apa buktinya Agnes Monica cakap begitu? Aku nak Pakatan Rakyat bawa usul agar setiap rakyat diwajibkan ambil insuran mulut lepas ni."

"Betul apa?" Joni cuma tertawa. "Tapi, kalau kau tak percaya.. ya terserah.."

Dan.. kisah itu berlalu begitu sahaja tanpa ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Memang tabiat saya, kalau berlaku di depan mata, barulah saya berani bersuara. Islam mengajar kita bertindak begitu.

Hadis nabi menyebutkan, "Mereka yang 'melihat' kemungkaran, maka hendaklah dicegah dengan tangan, lidah dan hati." Itu cerita mata. Jadi, dalam 'fatwa' peribadi saya, kalaulah kita cuma mendengar (pastinya dengan telinga) tapi tak melihatnya (pastinya dengan mata) maka kita tidak diwajibkan bertindak dengan tangan, lidah dan hati.

Tapi, masalahnya.. ada ayat al-Quran yang menyebutkan dalam surah al-Hujurat, "Hai orang yang beriman, apabila datang kepada kamu seorang fasiq dengan membawa suatu berita perkhabaran, maka hendaklah kamu siasat kebenarannya.."

Maka dalam kes saya, mulanya saya mendapat maklumat melalui kaedah pertama; mendengar. Maka tidak boleh bertindak lagi dalam keadaan begini. Kita mesti siasat dan sudah tentulah penyiasatan itu melibatkan pandangan mata.

Jadi, selepas jelas pada penglihatan mata, maka baru kita boleh bertindak mengikut kaedah tangan, lidah atau hati. Dan hal pemilihan sama ada tangan, lidah atau hati itu tergantung pula kepada taraf kedudukan kita.

Yang ada kuasa, tentu menggunakan tangan, yang ada lidah untuk bersuara tentulah menyuarakan ketidakadilan itu atau menulis bagi menyebarkan dan menyedarkan orang-ramai. Paling rendah ialah berdoa dalam hati, sebagai cara mengubah hal yang tidak betul itu.

Lagu diharamkan?

Alkisahnya, baru-baru ini, selepas isu penggunaan nama Allah berkumandang semula akibat sebuah bahan bercetak menyiar lafaz kalimah Allah, maka timbul desas-desus berhubung Agnes Monica pula.

Terkini.. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) meminta supaya lagu Agnes Monica yang berjudul 'Allah Peduli' diharamkan.

MAIS Mahu Lagu Agnes Monica Diharamkan

SHAH ALAM, 13 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mahu agar tindakan diambil mengharamkan sebuah lagu Indonesia berjudul "Allah Peduli" kerana liriknya antara lain menyebut "..sebab Allah Yesusku mengerti."

Pengerusi Mais Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata walaupun beliau belum pernah mendengar lagu itu, tindakan mengharamkannya wajar diambil memandangkan ia menyentuh sensitiviti yang membabitkan soal agama.

"Kita umat Islam dalam perakuan kepercayaan kepada Allah yang maksudnya tiada tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah, jelas mengakui Allah itu Esa, maka larangan penggunaan Allah oleh agama selain Islam adalah untuk mengelak kekeliruan di kalangan orang Islam," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau diminta mengulas mengenai lagu berkenaan nyanyian penyanyi Indonesia, Agnes Monica. Dalam lagu berkenaan, perkataan Allah diulang beberapa kali manakala perkataan 'sebab Allah Yesus ku mengerti' kedengaran pada bahagian akhir lagu selama tiga minit 40 saat itu.

"Ada sesetengah dari kita yang tidak faham dengan kandungan lirik dan membuta tuli ikut menyanyi. Lirik ini secara senyap memesong keimanan dan akidah," kata Mohamad Adzib.

Beliau berkata Mais akan mengambil tindakan mengharamkan lagu itu serta menarik semua edaran album yang mengandungi lagu berkenaan sebaik kajian dan penelitian dibuat.

"Kita minta pihak yang berkenaan di peringkat kerajaan pusat turut memantau isu lirik lagu ini dan mengambil langkah sewajarnya demi memelihara kesucian agama Islam," katanya.

Rasanya saya boleh faham kenapa lembaga agama seperti Mais mahu haramkan lagu 'Allah Peduli' itu berbanding lagu-lagu lain yang tak kalah unsur kebatilannya. Sekalung tahniah dan penghargaan kepada lembaga agama yang peka, prihatin dan peduli terhadap isu-isu yang menyentuh akidah seperti ini.

Saya sokong langkah Mais 300 peratus dengan beberapa pertanyaan dan sedikit komentar. Adalah menjadi harapan saya agar pihak jabatan agama tidak marahkan saya dengan pertanyaan dan komentar sebegini.

Pertamanya sebelum saya menyorot pandangan dan komentar peribadi, izinkan saya kepilkan lirik lagu 'Allah Peduli' itu di bawah ini. Saya berbuat begini kerana, menurut Pengerusi Mais, beliau sendiri belum pernah mendengar lagu itu.

ALLAH PEDULI

Banyak perkara yang tak dapat ku mengerti
Mengapakah harus terjadi
Di dalam kehidupan ini
Suatu perkara yang ku simpan dalam hati
Tiada satupun kan terjadi tanpa Allah perduli

Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yg kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah mengerti

Allah mengerti
Allah peduli
Segala persoalan yang kita hadapi
Tak akan pernah di biarkannya ku bergumul sendiri
Sbab Allah Yesus ku mengerti

Mereka yang mahu menonton klip video berjudul Allah Peduli, sila rujuk www.youtube.com

Harus diakui masyarakat kita masih ortodoks dalam beberapa segi. Di Indonesia, memang sudah terbiasa penggunaan lafaz 'Allah' bagi penganut Kristen Katolik. (Malah, saya dengar, Muslimin di sana juga tidak sukakan pernikahan berbeza agama ini. Tetapi, undang-undang negara telah membenarkan pernikahan antara dua agama itu dilaksanakan.)

Ketika berlaku gempa bumi di Jogjakarta tak lama dulu, saya dikirim ke sana bersama Yayasan Amal PAS untuk liputan. Di sebuah desa mundur, kami langsung terkejut juga apabila melihat terbentangnya suatu kawasan kubur di mana kubur orang Islam dan Kristian sebelah-menyebelah dalam suatu kawasan.

"Si suami Muslim dan di situ isterinya yang beragama Kristen Katolik," kata seorang pemuda ketika membawa kami berjalan-jalan sekitar kampung. Penduduknya tidak ramai. Sukar melihat penduduk yang memakai kasut. Rata-rata mereka berkaki ayam sahaja. Memang mereka terbiasa dengan kehidupan sebegitu agaknya.

Maka penggunaan nama Allah adalah lafaz biasa. Saya mendapat tahu bahawa di Mesir, ada mazhab Arab Kristian yang juga menggunakan kalimah Allah dalam khutbah agama. Ini lumrah biasa bagi masyarakat Arab Islam di Mesir walaupun sesekali ketegangan agama memuncak sesama mereka.

Jika kita menonton filem komedi Mesir, Hasan wa Morcos, tentulah kita sedikit sebanyak faham mengenai hal ini. Pendek kata, ada baiknya masyarakat kita jadi ortodoks pemikirannya buat sementara waktu walaupun hati saya resah melihatkan keadaan ini.

"Berkahwin dengan ahli kitab itu sah dan ia bertujuan mengembangkan dakwah walaupun kita pun tahu bahawa rata-rata orang Melayu Islam kita mahu nikah dengan Minah Salleh, bukan atas alasan dakwah pun," kata saya kepada Joni.

Joni ketawa berdekah-dekah lantas mengasak pertanyaan, "Walaupun nanti ada kemungkinan anak kita berpindah agama?"

Ini yang susahnya. Saya mengharapkan supaya wujudnya satu saf pemuda yang akan menikahi gadis-gadis Melayu yang telah memeluk Kristian. Itulah sebabnya kenapa saya meminta agar negara mempertimbang hal itu. Saya sebutkan hal ini kerana saya ambil peduli tentang urusan kehidupan beragama rakyat Malaysia hari ini.

Dan, atas sebab itu juga saya rasa ada 'bagusnya' masyarakat kita masih lagi ortodoks. Saya boleh menjawab pertanyaan khalayak dengan bantuan Allah, tapi akhbar kita tidak menyediakan ruang wacana yang sihat, ahli-ahli agama masih lagi takut-takut mahu bersuara menyatakan pendirian tersendiri melainkan memutar kembali fatwa klasik, dan mengitar semula qaul-qaul lama daripada imam mazhab terdahulu.

Sebagai contoh.. mari kita renungkan kembali kes lagu Agnes Monica yang dibahaskan mengenai lagunya Allah Peduli itu. Kalau kita teliti, banyak lagu-lagunya yang 'hit' juga. Lagu Allah Peduli tidak termasuk dalam lagu-lagu hit. Stesen penyiaran radio seperti Hot FM, Suria FM, Era dan lain-lainnya agak mustahil memutarkan lagu tersebut.

Mereka akan putarkan lagu-lagu kegemaran anak muda. Peranan deejay radio sendiri amat besar. Jika deejay sukakan lagu itu, nescaya diputarkannya kerana lagu itu dianggap sebagai lagu kegemaran para pendengar juga. Makin ramai pendengar radio itu, maka makin banyaklah iklan yang akan 'masyuk'. Inilah resam perniagaan.

Lagu Allah Peduli itu bukanlah termasuk dalam kategori jenis lagu yang sedap didengar seperti sesetengah lagu nasyid keagamaan pada zaman-zaman dahulu, kecualilah nasyid kontemporari Raihan, Hijjaz dan sebagainya.

Perlu diingat juga bahawa penggiat nasyid kontemporari ini adalah lulusan 'madrasah' nasyid al-Arqam sebelum kumpulan dakwah itu diharamkan gerakannya. Kehadiran kumpulan inilah yang mencetuskan fenomena nasyid kontemporari negara yang kemudiannya diikuti kumpulan nasyid lain.

Anak-anak muda kita akan menyanyikan lagu yang rentaknya rancak, seronok didengar seperti lagu Agnes Monica yang lain seperti lagu 'Matahariku' yang menjadi lagu tema sinetron Jelita di TV3.

Klip video 'Matahariku' itu kenapa tidak diharamkan?

Barangkali, lagu 'Matahariku' itulah antara lagu-lagu Agnes Monica yang tidak mengelirukan pendengar.

Ah! Tapi, kalau lagu itu mengundang kekeliruan pendengar pun, anak-anak muda termasuk orang dewasa tetap akan menyanyikannya termasuk saya sendiri. Dalam kes lagu 'Matahariku', ia adalah lagu hit selepas lagu Tak Ada Logika.

Diakui, saya sendiri pun sukar menangkap maksud pengertian 'Sbab Allah Yesus ku mengerti' sebagai yang tertulis dalam rangkap lagu 'Allah Peduli' itu. Malam ini, saya sedang menonton filem Superman Returns di TV2. Baru saya nampak juga pertalian Kal-El (clark Kent @ Superman @ Hercules) dengan Jor-El (bapa Superman @ Zeus?)

Ingatan saya terhimbau kepada persamaan watak-watak Isa bin Maryam (Yesus Kristus) dengan Tuhan yang berada di dalam syurga, Uzair (Ezra) yang didakwa anak Tuhan, dan Iskandar Zulkarnain (Alexander The Great) yang ayahnya disifatkan sebagai Dewa Matahari.

Apakah semua watak-watak rekaan ini dihubungkaitkan dengan Hercules anak Dewa Zeus iaitu ketua segala dewa yang mengisi kepercayaan Yunani kuno?

Aduh! Betul juga. Pening betul mahu memahami maksud 'Sbab Allah Yesus ku mengerti' ini. Lebih mudah kalau menyanyikan lagu Matahariku, dendangan Agnes Monica. Siapalah yang menulis lirik lagu Allah Peduli itu pun saya kurang pasti.

Lagu Matahariku senang difahami sehinggakan, jika klip video Matahariku itu ditayangkan di TV3, saya sanggup berhenti mengarang demi menghayati keindahan lirik dan lagunya termasuk menghayati bentuk susuk tubuh Anges Monica yang sedang berkemban saat menyanyikan lagu Matahariku itu.

Tetapi, siapakah yang peduli kepada soal mahu mengharamkan klip video itu daripada terus disiarkan di televisyen? Ada ramai orang yang lebih peduli kepada lagu Allah Peduli berbanding 'Matahariku' yang menampakkan putih ketiak penyanyi itu. Lagu Allah Peduli bercorak keagamaan. Mungkin Agnes lebih peduli soal adab sopan saat menyanyikan lagu itu.

Saya ini masih bujang lajang. Tiada siapa yang berani peduli dalam mempertikai estetika, citarasa, selera saya kepada Agnes Monica. Lelaki kita bebas menyatakan pendirian tentang selera dan citarasanya ke atas wanita Mongolia, Kemboja, Korea, China dan lainnya. Yang salah ialah, tindakan membunuh dengan meledakkan tubuh wanita dengan C4. Itu saja.

Syahadan.. siapa yang peduli sangat untuk mengharamkan penyiaran iklan produk Silky Girl berharga RM1.50 yang siarkan tubuh halus mulus para gadis muda bergetah yang terjelir-jelir lidahnya dari Afrika, United Kingdom, Amerika, Serani, China itu? Tiada siapa peduli barangkali dan kita lebih peduli untuk mengharamkan lagu 'Allah Peduli' sahaja.

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Mais lantaran sikap mereka yang peduli mengenai lirik lagu Allah Peduli walau pun mereka belum pernah lagi mendengar lagu tersebut. (Demikian menurut kenyataan dalam laporan berita itu).

Syahadan wal arakian.. akhir pertanyaan peribadi, siapakah yang ambil peduli kehadiran lagu Allah Peduli itu sehingga sanggup tampil kehadapan untuk memberitahu pihak lembaga agama Islam mengenai lagu itu?

Sekalung tahniah, penghargaan terhadap kepedulian anda. Anda menyebabkan lembaga agama bekerja dan ambil peduli hal lagu. Sekian terima kasih.. :)

* sumber dari coretan www.harakahdaily.net

Saturday, March 14, 2009

Kenyataan Hidup Disebalik Permainan Ini.

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka berserulah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Murid muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Sang guru tersenyum kepada murid-muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika."

"Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain."

"Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kemaksiatan. Faham?" tanya Guru kepada murid-muridnya. "Faham cikgu..."

"Baik permainan kedua..." begitu Guru melanjutkan.

"Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda semua berdiri di luar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada di tengah tanpa memijak karpet?"

Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat, dan lain-lain.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet. "Murid-murid, begitulah ummat Islam dan musuh-musuhnya... Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang... Kerana tentu anda akan menolaknya mentah mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sadar."

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..."

"Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka lakukan... Dan itulah yang mereka inginkan."

"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita..."

"Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya murid- murid.

"Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi."

"Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentak terang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sadar".

"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..."

Matahari bersinar terik takala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan fikiran masing-masing di kepalanya...

RENUNGILAH SAHABAT SEMUA..

TOLONG SEBARKAN PADA SAUDARA2 ISLAM KITA.. MOGA ALLAH MEMBERI TAUFIQ DAN HIDAYAH PADA KITA DAN KELUARGA KITA... MARILAH KITA SAMA2 SEDAR BAHAWA AGAMA, BANGSA DAN TANAHAIR KITA SEMAKIN TERANCAM!

UMAT ISLAM SEMAKIN MUDAH DIBELI DENGAN WANG RINGGIT, DILALAIKAN DENGAN KEINDAHAN DAN MEMUJA KESERONOKAN HIDUP, HINGGA HILANG MARUAH DAN HARGA DIRI!!

JUSTERU, MARILAH, KITA BETULKAN APA YG TERMAMPU BERSAMA2.. USAH HANYA BILA SEGALANYA SUDAH TERJADI, SAMA SEPERTI SAUDARA KITA DINEGARA2 LAINNYA, BARU KESEDARAN ITU TIMBUL, MUNGKIN MASIH BELUM TERLAMBAT TAPI KITA SUDAH TERLEWAT UTK MERUBAH DAN MEMBAIKI KEROSAKAN YG DIALAMI.

YA ALLAH, SATUKANLAH UMAT ISLAM... AMPUNILAH SELURUH DOSA UMAT ISLAM.. AMIEENN...

-ibnumustafa-

Friday, March 13, 2009

Maksiat lemahkan kekuatan hati.

MAKSIAT memiliki pengaruh bahaya dan buruk bagi hati serta fizikal manusia.

Antara pengaruh buruk serta bahaya dosa, ia akan memadamkan cahaya ilmu yang dikurniakan Allah dalam hati. Imam Malik pernah mengagumi kecerdasan Imam Syafie yang masih muda, memiliki ketajaman otak dan kesempurnaan pemahaman.

Imam Malik berkata: “Aku melihat Allah SWT meletak cahaya dalam hatimu, kerana itu jangan kamu padamkan dengan kegelapan maksiat.”

Sementara itu, Imam Syafie pernah menceritakan pengalaman peribadinya dalam bait syair; Saya mengadu pada guru Waqi’ mengenai mutu hafalanku yang buruk, maka ia mengarahkan supaya aku meninggalkan maksiat. Ia berkata, Ketahuilah ilmu adalah kemuliaan dan kemuliaan Allah tidak diberikan kepada ahli maksiat.

Rezeki tidak lancar

Dalam Musnad Ahmad, Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya seorang hamba diharamkan daripada rezeki kerana maksiat yang ia lakukan.


Seperti ketaqwaan kepada Allah SWT mendatangkan rezeki, sebaliknya maksiat akan mendatangkan kekafiran.

Keterasingan antara Allah SWT

Seorang yang melakukan maksiat akan menemukan perasaan terasing antara dirinya dan Allah SWT dalam hatinya. Keterasingan ini tidak boleh diganti dan dinilai dengan kenikmatan apa pun. Andainya semua kelazatan di dunia disatukan, maka tetap tidak boleh mengubati perasaan keterasingan itu. Perasaan itu hanya ada pada hati yang hidup, sementara hati mati tidak mempunyai perasaan itu.

Ada seorang lelaki mengadu perasaan keterasingan pada dirinya kepada ahli makrifat lalu dijawab: Jika kamu menemukan keterasingan dalam dirinya kerana berbuat dosa, segeralah tinggalkan dosa itu dan temui ketenteraman hati dalam berbuat taat. Ketahuilah, tidak ada hati yang rasakan keterasingan kecuali kerana dosa.”

Keterasingan antara manusia

Perasaan terasing bukan hanya terjadi dengan Allah SWT tetapi juga manusia terutama dengan mereka yang melakukan kebaikan.

Allah SWT akan menyulitkan urusannya

Orang yang melakukan maksiat akan selalu menemui jalan buntu pada setiap urusannya. Orang yang bertaqwa kepada Allah SWT akan menemui kemudahan pada urusannya sebaliknya mereka yang jauh daripada taqwa disulitkan urusannya.

Kegelapan dalam hati

Kegelapan itu nyata dalam hatinya seperti melihat dan berasakan gelapnya malam. Ini kerana ketaatan adalah cahaya sementara maksiat adalah kegelapan. Semakin kuat kegelapan dalam hati maka seseorang itu terus dalam kebingungan. Akibatnya ia terjatuh dalam kesesatan dan hal yang menghancurkan tanpa disedari.

Maksiat melemahkan kekuatan hati

Maksiat melemahkan hati dan kelemahan fizikal disebabkan lemahnya hati. Semakin kuat hatinya, semakin kuat fizikalnya. Ahli maksiat, meskipun fizikalnya kuat tetapi apabila diperlukan dan dalam keadaan terdesak, kekuatan fizikal mereka tidak berdaya.

Renungkan bagaimana kekuatan fizikal kaum Rom dan Parsi yang mengkhianati mereka ketika memerlukannya hingga dengan mudah orang beriman menakluki kekuatan fizikal dan hati mereka.

Malas mengerjakan ibadat


Orang yang melakukan maksiat akan malas melaksanakan amal ibadat. Sedangkan setiap bentuk ketaatan kepada Allah SWT nilainya melebihi dunia dan segala isinya.

Terbiasa berbuat dosa


Maksiat melunturkan persepsi buruk mengenai dosa dalam hati seseorang. Ertinya, dia tidak akan berasa bahawa dosa yang dilakukan adalah perbuatan buruk. Akibatnya, dosa menjadi sebahagian daripada kebiasaan. Keadaan ini membahayakan diri sendiri.

Walaupun dilihat dan dicerca, dia tidak rasakan dirinya terhina. Perasaan seperti itu adalah kesenangan dan kenikmatan daripada pelaku maksiat. Bahkan, ada yang bangga menceritakan maksiat yang dilakukan.

Rasulullah SAW bersabda:

Semua umatku akan dimaafkan oleh Allah kecuali muhajirun (yang terang-terangan berbuat maksiat. Termasuk mujaharah adalah ketika Allah menutupi seseorang berbuat maksiat, tapi pagi harinya ia membuka aibnya sendiri. Ia mengatakan, “Hai teman, semalam aku melakukan ini dan itu.” Dia merobek kehormatannya sendiri ketika Allah menutupnya. - HR Bukhari dan Muslim.

-ibnumustafa-

Wednesday, March 11, 2009

Mengenang Tokoh: As Syahid Sheikh Ahmad Yassin



Sheikh Ahmad Yassin

1937- 2004

Sheikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1937. Dia telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin, dia dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.

Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, di mana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak mengahalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke hujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan islam dan dakwah Islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di Masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Sheikh Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama 'Mujamma al-Islam'.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai 'al-Mujahidun al-Filastiniyun' pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan 'Kataib Syuyukh' yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Sheikh Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak mengahalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memilki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekan bumi Palestin dan Masjid al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan islam yang dikenali sebagai HAMAS pada tahun 1987. HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama 'Atfal Hijarah' (Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai 'Intifadah'. Kesan dari 'Intifadah' ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenajarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga mengalami kehilangan penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masaalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh berserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat PAlestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis. Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelabagi usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang Bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.

Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6/9/2003 bilamana sebuah helikopter Apache milik tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22/3/2004, mereka sekali lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari mesjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas beliau yang lumpuh itu telah lalu berjaya mensyahidkan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.

Semoga roh beliau dan para syuhada' yang lain ditempatkan dalam golongan syuhada', orang-orang yang beriman dan dicucuri rahmat seagung-agungnya oleh Allah SWT..

Al-Fatihah..

-ibnumustafa-