PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, December 13, 2010

Antara Haji Mabrur dan Mengekalkan Amalan Buruk Selepas Haji

Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pelaksanaan rukun-rukun haji telah pun selesai, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka. Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu. Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai 'role-model' dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.

Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajjah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke tanah suci?

Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.

Justeru, sekembalinya para jemaah haji daripada tanah suci Makkah dan Madinah, apatah diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah SWT, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardhu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.

Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah SWT seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa.

Memilih kawan-kawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah SWT sepertimana yang ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud :

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Begitu juga mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim dan muslimah mencapai status hamba Allah SWT yang diterima di sisi-Nya. Antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

- Melakukan solat lima waktu dengan baik

- Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran

- Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah SWT dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

- Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad SAW, sirah para sahabat Nabi SAW, malah bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan aqidah mereka.

- Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah SWT.

- Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah SWT dan banyak berdoa kepada Allah SWT agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah SWT agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya.

-ibnumustafa-

Sunday, December 12, 2010

Bulan Muharram Bukanlah Bulan Baginda Nabi S.A.W Berhijrah

Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab R.A. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi S.A.W berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.


Di zaman Saidina Umar R.A., umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi S.A.W untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam, namun ditolak oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi S.A.W berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.


Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadhan. Namun, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan pada bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi S.A.W berhijrah.


Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi S.A.W, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadhan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi S.A.W berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

Menurut para pengkaji Sirah Nabi S.A.W, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi S.A.W yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi S.A.W keluar dari rumah baginda ke rumah Saidina Abu Bakar as-Siddiq pada malam 28hb Safar, tahun ke 14 selepas kerasulan Baginda S.A.W. Dari situ, Baginda S.A.W bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ke Gua Thur. Mereka berdua berada di dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal Baginda S.A.W dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi S.A.W sampai ke Quba. Baginda S.A.W berada di Quba selama 4 hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah Baginda S.A.W memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadith. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

gua_thur.jpg

Gambar Hiasan - Gua Thur

Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelaslah bahawa bulan Muharram bukanlah bulan Baginda Nabi S.A.W berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; Baginda S.A.W keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi S.A.W pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi S.A.W.

Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A. adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar R.A. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.

Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab R.A. bukan pada zaman Rasulullah S.A.W, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi S.A.W lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman Baginda S.A.W. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi S.A.W dan al-Khalafa al-Rasyidin.

Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah di setiap masa.

Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik, insya Allah..

-ibnumustafa-

Monday, December 6, 2010

Doa Akhir dan Awal Tahun Hijriah

Doa akhir tahun dibaca pada akhir waktu 'Asar tanggal 29 atau 30 Zulhijjah sebanyak 3 kali. Dengan izin Allah, insya Allah sesiapa yang membaca doa ini akan mendapat perlindungan Allah S.W.T dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa selama setahun kebelakang. Semoga semua amalan kita diterima dan semua dosa diampunkan-Nya dan juga semoga kita menjadi insan yang lebih mulia, lebih bertaqwa dan berhijah menjadi yang lebih baik dari sebelum ini. Aamieen.. Berikut adalah doa akhir tahun:

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada penghujung waktu Asar, sebelum masuk waktu Maghrib.

Maksudnya:

Allah S.W.T berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah!

Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Fadhilat doa Awal Tahun pula adalah membenteng diri dari gangguan syaitan. Barang siapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba'diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun. Berikut adalah doa awal tahun.

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali pada awal tahun sesudah masuknya waktu Maghrib.

Maksudnya:

Allah S.W.T berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantuny a dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka..

Salam Maal Hijrah.. Semoga Beroleh Kehidupan Yang Lebih Bermakna, insya Allah..

-ibnumustafa-

Hati Yang Sakit Berpunca Dari Pandangan Yang Tidak Terjaga

Hati yang sakit, atau bahkan mati, disebabkan oleh titik-titik dosa yang bertambah dari waktu ke waktu kerana amal perbuatan yang kurang terpelihara, sehingga menjadikan hati tersebut hitam legam dan berkarat. Akan tetapi walau bagaimana keadaan hati kita saat ini, tidak tertutup terus peluang untuk sembuh, sehingga dapat kembali menjadi hati yang sihat sekiranya kita berjuang sekuat-kuatnya untuk mengubatinya.

Salah satunya perkara yang membuat hati ini semakin gelap, kotor dan keras membatu adalah tidak pandai menahan pandangan. Barang siapa yang ketika di dunia ini tidak mahir menahan pandangan, gemar melihat hal-hal yang diharamkan Allah, maka jangan terlalu berharap dapat memiliki hati yang bersih.


Umar bin Khattab pernah berkata,

"Lebih baik aku berjalan di belakang singa daripada berjalan di belakang wanita."

Mereka yang sengaja mengarah pandangannya terhadap hal-hal yang tidak hak bagi dirinya, maka tidak hairanlah kalau hatinya lambat laun akan semakin keras membatu dan nikmat iman pun akan semakin hilang manisnya.


Sebenarnya hal ini bukan sahaja termasuk pandangan terhadap lawan jenisnya, bahkan juga pandangan mata hatinya terhadap kehidupan dunia ini. Contohnya melihat sesuatu yang tidak ia miliki, rumah orang lain yang lebih mewah, kenderaan orang lain yang lebih bagus, atau harta orang lain yang lebih banyak. Apa yang ada jarang disyukuri dan apa yang tiada dimilki sering ia risaukan. Hatinya lebih bergelojak memikirkan hal-hal yang tidak dimilikinya daripada menikmati apa-apa yang dimilikinya..

Kunci bagi orang yang memiliki hati yang bersih adalah menundukkan pandangan! Jika melihat lawan jenis yang bukan muhrim, cepat-cepatlah tundukkan pandangan. Kalau melihat dunia pula jangan sekali-kali melihat ke atas. Sekiranya tidak, akan penat dan letih kita akhirnya, kerana rezeki yang telah menjadi hak kita tidak kita syukuri dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana asyik melihat orang yang lebih daripada kita.

Adalah lebih baik melihat ke bawah. Lihatlah orang yang lebih fakir dan lebih menderita daripada kita. Lihatlah orang yang jauh lebih sederhana hidupnya. Semakin sering kita melihat ke bawah,semakin hati ini akan semakin dipenuhi oleh rasa syukur dibandingkan dengan orang yang suka mengadah pandangan ke atas. Walaupun kita melihat ke atas, tetapkan pandangan kita kepada Yang Maha Atas, iaitu kepada Zat Penguasa alam semesta. Lihatlah kekuasaan-Nya, Allah Maha Kaya dan tidak pernah berkurang kekayaan-Nya sedikitpun walau kita selalu meminta kepadaNya sampai akhir hayat.

Orang yang hanya melihat ke atas dalam urusan dunia, hatinya akan cepat kotor dan hancur. Sebaliknya, kalau tunduk dalam melihat dunia dan mengadah pandangan dalam melihat keagungan serta kebesaran Allah, maka kita akan menjadi orang yang memiliki hati bersih yang selamat.

Prof. Hamka pernah berkata,

"Mengapa manusia bersikap bodoh? Tidakkah engkau menatap langit yang biru dengan awan yang berarak seputih kapas? Atau engkau turuni ke lembah sehingga akan kau dapatkan air yang bening. Atau engkau bangun di malam hari, kau saksikan bintang-bintang bertaburan di langit biru dan rembulan yang tidak pernah bosan orang menatapnya. Atau engkau dengarkan suara cengkerik dan katak saling bersahutan. Sekiranya seseorang amat gemar memandang keindahan, amat senang mendengar keindahan, niscaya hatinya akan terbebas dari perbuatan keji. Kerana sesungguhnya keji itu buruk, sedangkan yang buruk itu tidak akan pernah bersatu dengan keindahan."

Berbahagialah orang yang senang melihat kebaikan orang lain. Tatkala dia mendapat seseorang tidak baik kelakuannya, ia segera sedar bahwa manusia itu bukanlah malaikat. Di sebalik segala kekurangan yang dimilikinya pasti ada kebaikannya. Perhatikanlah kebaikannya itu sehingga akan tumbuh rasa kasih sayang di hatinya. Apabila mendengar seseorang selalu berbicara buruk dan menyakitkan, dia segera sedar. Siapa tahu sekarang dia berbicara buruk, namun esok lusa dia mungkin berbicara yang baik.

Jalaluddin Rumi pernah berkata,

"Orang yang begitu senang dan nikmat melihat dan menyebut-nyebut kebaikan orang lain bagaikan hidup di sebuah taman yang indah. Ke sini anggerik, ke sana melati. Ke mana saja mata memandang yang kelihatan adalah bung-bunga yang indah dan harum mewangi. Di mana-mana sahaja yang kelihatan hanyalah keindahan. Sebaliknya, orang yang gemar melihat aib dan kekurangan orang lain, fikirannya hanya diselimuti dengan aneka keburukan sementara hatinya hanya dikepung dengan prasangka-prasangka buruk. Ke mana pun matanya melihat, yang kelihatan adalah ular, kala jengking, duri, dan sebagainya. Di mana saja ia berada senantiasa tidak akan pernah dapat menikmati indahnya hidup ini."

Sungguh berbahagialah orang yang pandai memelihara pandangannya kerana dia akan sentiasa merasakan nikmatnya kebeningan hati. Allah Azza wa Jalla adalah Zat Maha Pembolak-balik hati hamba-Nya. Sama sekali tidak sulit dan masalah baginya untuk menolong siapapun yang merindukan hati yang bersih dan bening sekiranya ia berikhtiar sungguh-sungguh.

-ibnumustafa-

Sunday, November 28, 2010

Alahai.. Nasib orang bujang..

Enjoy it..

Bila nak kawin???
Di sini orang bertanya..
Di sana orang menyoal..
Tak kira teman mahu kenalan..
Asyik-asyik itu je yang jadi bualan..
Begitulah nasib orang bujang..
Tak kira lelaki mahupun perempuan..

Bila nak kawin???
Keluarga pun dah mula risau..
Si teruna, emak bimbang jadi bujang terlajak..
Si dara, ayah takut bergelar andalusia..

Bila nak kawin???
Jiran turut sama menumpang tanya..
Bila dijawab jodoh belum ada..
Kata mereka, kita kenalah usaha..
Mandi bunga salah satu caranya..
Tak pun mandi ais boleh dicuba (hehe.. ni cadangan pelik kawan saya)

Bila nak kawin???
Aduuuhh... aku disoal lagi..
Kawin??? Nak kawin dengan sapa?..
Calon pun takde..
Hah!!! Awak tu memilih sangat agaknya..
Ewah-ewah sedap sungguh mulut berkata (aku ambil tunang @ suami @ isteri korang, baru padan muka)

Bila nak kawin???
Akan ku kawin jam-jam ni juga ( haha.. haha..)
Andai memilih suami isteri semudah bershopping di pasar malam..
Atau semudah membeli VCD cetak rompak..
Atau sesenang memakan twisties.. (yummyyyyy)

Bila nak kawin???
Aaahhh... sungguh aku bosan..
Banyak yang lain boleh jadi persoalan..
Kenapa asyik itu yang dihadapkan..
Apa kita nak heran..
Lambat cepatnya jodoh, Allah yang tentukan..

Bila nak kawin???
Pada yang masih bujang..
Biarkanlah mereka terus bertanya..
Usah ditunggu letih mulut mereka (Takkan letihnya sampai bebila..)
Kalau ada jodoh, Insya-Allah takkan ke mana..

Bila nak kawin???
Pada yang asyik menanya..
Usah dirisaukan jodoh orang..
Jaga masjid sendiri agar tidak goyang..
Lain orang lain rezekinya..
Syukurlah dengan apa yang kita ada..

MORAL OF THE STORY : DONT ASK!

"..Secebis KASIH membuat kita SAYANG... seucap JANJI membuat kita PERCAYA... sekecil LUKA membuat kita KECEWA... tetapi sebuah PERSAHABATAN selamanya BERMAKNA.."

-ibnumustafa-

Sunday, November 21, 2010

Makna 'Takbir' dan 'Korban Eidul Adha'..

Umat Islam seluruh dunia telah sama-sama menyambut kemuliaan Eidul Adha baru-baru ini, sama ada yang telah menunaikan fardu haji di tanah-tanah suci, ataupun di tanah air masing-masing, semangat takbir yang dilaungkan pada 10 - 13 Zulhijjah setiap tahun, mengandungi pengajaran yang amat besar dan meninggalkan kesan mendalam dalam sanubari umat Islam.

Ini kerana laungan takbir yang dilaungkan pada hari-hari berkenaan, bertujuan untuk membesarkan Allah S.W.T di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada semua. Justeru, sepatutnya setiap diri daripada kita yang mengaku Islam, perlu mengetahui secara mendalam pensyariatan laungan takbir pada malam hari raya.

Ia adalah untuk mengisytihar, bahawa Allah S.W.T adalah Tuhan yang tidak pernah sama memungkiri janji-Nya terhadap hamba-Nya Muhammad S.A.W untuk memenangkannya dalam medan pertempuran menghadapi pihak musuh (pasukan al-Ahzab) yang terdiri daripada puluhan ribu tentera menghadapi tentera Islam yang kecil jumlahnya.

Sesungguhnya laungan takbir mempunyai makna tersendiri yang mesti difahami dengan jelas oleh setiap individu muslim yang beriman bahawa Allah S.W.T adalah Tuhan mereka, iaitu menjelmakan kefahaman bahawa Allah S.W.T adalah segala-segalanya seperti maksud di bawah ini :

  1. Kita percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah S.W.T, kita juga percaya bahawa tiada undang-undang yang lebih hebat daripada undang-undang-Nya.
  2. Kita meyakini bahawa setiap masalah yang timbul adalah daripada-Nya dan jalan penyelesaiannya juga adalah daripada-Nya.
  3. Kita mesti beradab dengan kitab suci al-Quran tanpa ada sebarang perasaaan ragu atau syak terhadapnya.
  4. Kita hanya tunduk kepada Allah S.W.T dan agama-Nya (Islam) sahaja, serta menjauhkan diri daripada menganut ajaran atau fahaman yang tiada kena mengena dengan Islam.
  5. Kita berjanji untuk menunaikan segala sumpahan kita terhadap-Nya seperti lafaz dalam doa iftitah, al-Fatihah dan doa Qunut.
  6. Pasrah hanya kepada Allah S.W.T dengan menyanjung tinggi serta mendaulatkan undang-undang Islam yang lebih tinggi daripada undang-undang ciptaan manusia yang serba kekurangan.
  7. Menjadikan Allah S.W.T matlamat dalam kehidupan kita termasuk ungkapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.
  8. Meyakini bahawa segala bencana, ujian dan dugaan yang menimpa adalah atas kesilapan kita sendiri dan termasuk dalam senarai qada' dan qadar Allah S.W.T.
  9. Merasa takut dan cemas akan ancaman Allah S.W.T.
  10. Takut kepada azab api neraka.
  11. Tidak memilih pemimpin yang menyalahi Syariat Islam, sama ada dari sudut perbuatan, tingkah laku (body language), role model, percakapan dan lain-lain.
  12. Tidak terdetik sedikitpun dalam hati untuk tidak percaya kepada Allah S.W.T pada undang-undang, hukuman dan sebagainya.
  13. Menjadikan rumah Allah S.W.T sebagai tempat mengembalikan kemuliaan Islam dalam segenap aspek dan bukan hanya tempat untuk beribadat semata-mata.
  14. Mensuci dan membesarkan Allah S.W.T pada sifat-sifat serta nama-nama-Nya.
  15. Meyakini bahawa Allah S.W.T tidak membiarkan hamba-hamba-Nya meraba-raba di muka bumi ini tanpa buku panduan.
  16. Menjadikan diri kita patuh, setia serta taat hanya kepada-Nya sahaja.

Sementara maksud korban pula, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi Ismail A.S.

Korban binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah S.W.T, apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang berlangsung.

Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wudhu' serta tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah S.W.T kerana ibadatnya bercampur dengan maksiat kepada Allah S.W.T.

Begitulah dengan ketegasan Allah S.W.T yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud:

"Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu, sekali-kali tidak mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya."

Jelas dari apa yang ditegaskan Allah S.W.T dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima dari mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah S.W.T.

Dalam ayat 27 surah al-Maidah pula Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa."

Persoalan di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh dikategorikan sebagai bertaqwa kepada Allah S.W.T?

Sepatutnya mereka perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota yang tidak peka amalan serta ajaran agama.

Tetapi apakah sebenarnya taqwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?

Taqwa seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib K.W ialah:

"Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan al-Quran, redha dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah SWT."

Taqwa juga menurut sebahagian ulama' ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan melaksanakan segala tuntutan agama Allah S.W.T.

Selanjutnya, sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah S.W.T melainkan dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan dalam ilmu Usul Fiqh.

Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan dengan rasa rendah diri kepada Allah S.W.T dan menerusi kemantapan ilmu yang diwariskan oleh baginda Rasulullah S.A.W.

Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan:

  1. Tidak memakai seluar pendek.
  2. Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.
  3. Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.
  4. Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher haiwan sembelihan.
  5. Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto, Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain bola sepak yang beragama Kristian dan sebagainya.

Apa yang penting, hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi ismail A.S sebagai iktibar berguna meniti jalan taqwa kepada Allah S.W.T.

-ibnumustafa-

Friday, November 19, 2010

Salam Eidul Adha 1431H, Kulla 'Am Wa Antom Bi Khoir..


Selamat menyambut Hari Raya Eidul Adha kepada para pembaca blog ini, khususnya yang beragama Islam di mana juga anda berada.. semoga hari yg mulia ini disambut dengan penuh pengertian dan keinsafan..

Khutbah Eidul Adha 1431H


اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 2 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا . الحَمْدُ للهِ الَّذِي جَعَلَ يَوْمَ عِيْدِ الأضْحَى أَسْعَدَ الأياَّمِ لنَاَ . وَنَحْمَدُهُ عَلَى مَا أَوْلانَا وَنَشْكُرُهُ عَلَى نِعَمِهِ الَّتِى بِهَا وَالانَا. وَأَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ . أَمَّا بَعْدُ……

فَيَا إِخْوَانِيْ ! اتَّقُوْا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ المُتَّقُوْنَ فرمان الله تعالى دالم أية 1-3 سورة الفجر : وَالْفَجْرِ وَلَيَالٍ عَشْرٍ وَالشَّفْعِ وَالْوَتْرِ

Maksudnya: "Demi waktu fajar; Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah); Dan bilangan yang genap serta yang ganjil";

Selamat menyambut hari raya Eidul Adha diucapkan kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat. Kesyukuran yang tidak terhingga kita panjatkan ke hadhrat Allah S.W.T atas nikmat hari raya korban yang juga dipanggil Eidul Akbar bermakna hari raya besar. Sepatutnya hari raya korban lebih dirasai kemeriahan sambutannya berbanding hari raya puasa yang juga dipanggil Eidul Asghor iaitu hari raya kecil. Sesungguhnya Eidul Adha mengingatkan kita kepada Saiyidina Omar bin Al-Khattab R.A yang memberikan ucapan beliau;

“Sesungguhnya Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan, lalu ia disambut dengan Eidul Fitri. Manakala hari penurunan terakhir Al-Quran pula ialah pada bulan Zulhijjah ketika Rasulullah s.a.w. menunaikan ibadah haji yang terakhir (Haji Wada’), maka ia disambut dengan Eidul Adha”.

Maka jelaslah Eidul Adha adalah hari merayakan kesyumulan Islam sebagai satu-satunya cara hidup yang lengkap dan sempurna, yang mengatur, menyusun segala aspek kehidupan manusia, akidah, syariat, politik, ekonomi, pendidikan, kemasyarakatan, perundangan, akhlak dan sebagainya. Sempena berada pada hari yang mulia ini marilah kita sama merebut kelebihan yang dijanjikan oleh Allah sebagaimana yang disebut oleh Allah pada awal surah al-Fajr di mana Ibnu Abbas dan Mujahid menyatakan bahawa malam sepuluh yang dimaksudkan ialah 1 hingga 10 Zulhijjah di mana pendapat ini dikuatkan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas R.A:

عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ مَا الْعَمَلُ فِي أَيَّامٍ أَفْضَلَ مِنْهَا فِي هَذِهِ قَالُوا وَلَا الْجِهَادُ قَالَ وَلَا الْجِهَادُ إِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ يُخَاطِرُ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ بِشَيْءٍ” – رواه البخاري

Maksudnya : "Tidak ada dari hari-hari yang dilakukan amal soleh padanya yang lebih disukai oleh Allah daripada hari-hari yang sepuluh ini. Sahabat r.a bertanya, Wahai Rasulullah! Dan tidakkah juga berjihad fi sabilillah (lebih afdal daripada beramal pada hari-hari ini)? Rasulullah SAW bersabda,“Tidak juga berjihad fi sabilillah, kecuali orang yang berjihad dengan diri dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.

Muslimin/muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,

Bulan Zulhijjah mempunyai kelebihan tersendiri di mana al-Hafiz Ibnu Hajar menjelaskan sebab keutamaan 10 hari pertama Zulhijjah ialah kerana pada hari-hari tersebut terkumpul ibadat-ibadat yang induk seperti solat, puasa, sedekah, ibadat korban dan haji yang mana hal-hal itu kesemuanya tidak terdapat secara serentak pada bulan-bulan lain. Rasulullah S.A.W sendiri begitu gemar untuk berpuasa sunat pada 9 awal bulan Zulhijjah terutama pada hari Arafah. Kita juga disunatkan untuk bertakbir bermula dari waktu subuh hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah yang menunjukkan bagaimana besarnya kelebihan dan sambutan hari raya korban berbanding hari raya puasa tetapi kita di sebelah Asia Tenggara adalah sebaliknya di mana lebih meriah menyambut Eidul Fitri daripada Eidul Adha. Ketika kemeriahan menyambut Eidul Adha marilah kita sama-sama menghayati isi penting yang pernah disampaikan oleh junjungan besar Nabi Muhamamd S.A.W dalam khutbah haji wada’ atau perpisahan antaranya;

[1] Pengharaman riba yang menindas manusia di mana Islam sentiasa menanamkan kasih sayang dalam setiap aspek kehidupan agar tidak wujudnya sikap suka mengambil kesempatan di atas kesusahan orang lain. Riba telah menghancurkan ekonomi dunia dan membawa kepada penderitaan seperti keganasan terhadap peminjam sehingga ada yang dibunuh dan tidak kurang yang membunuh diri sendiri. Takutilah amaran Allah S.W.T melalui ayat 278 -279 surah al-Baqarah:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْبٍ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ ۖ وَإِنْ تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa";

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 179:

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يَا أُولِي الْأَلْبَابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: "Dan di dalam hukuman Qisas (balasan yang seimbang) itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang-orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertaqwa".

Perkara ke-[2] yang disentuh dalam khutbah wada’ iaitu Islam sentiasa menjamin perlindungan jiwa manusia daripada diceroboh samada dengan pembunuhan langsung atau tidak langsung. Kes bunuh yang terus meningkat tanpa mengira usia dan pangkat bagaikan tiada penyudahan. Begitu juga masalah kemalangan maut yang berlaku silih berganti di mana disarankan agar Kerajaan melaksanakan hukum Islam dalam menanganinya sebagai contoh kes jika seseorang melanggar orang hingga mati maka dia kena bayar diyat kepada keluarga si mati berbanding undang-undang hari ini di mana pesalah hanya dikenakan bayaran kompaun kepada kerajaan sedangkan keluarga mangsa hanya menerima kematian dan kesedihan tanpa pembelaan atau pun pampasan sewajarnya.

Perkara ke-[3] Rasulullah S.A.W turut menekankan agar menghindari peperangan kerana Islam adalah agama yang sejahtera yang membenci perang kecuali setelah terpaksa bagi mempertahankan agama, negara dan diri. Pelbagai cara dilakukan oleh musuh Islam dalam menuduh Islam sebagai agama pengganas disamping sekatan demi sekatan termasuk pembinaan masjid, pakaian purdah bagi menghalang kebangkitan Islam namun usaha mereka tetap digagalkan oleh Allah S.W.T. Kewajipan kita umat Islam ialah menerangkan tentang keindahan Islam melalui kefahaman terhadap agama kita sendiri dan pengamalan dalam kehidupan seharian.

Muslimin/muslimat yang diberkati Allah S.W.T,

Firman Allah dalam ayat 59 surah al-Ahzab:

يَا أَيُّهَا النَّبِيُّ قُلْ لِأَزْوَاجِكَ وَبَنَاتِكَ وَنِسَاءِ الْمُؤْمِنِينَ يُدْنِينَ عَلَيْهِنَّ مِنْ جَلَابِيبِهِنَّ ۚ ذَٰلِكَ أَدْنَىٰ أَنْ يُعْرَفْنَ فَلَا يُؤْذَيْنَ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Maksudnya : "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".

Sesuai dengan kedatangan Nabi Muhamamd S.A.W pembawa rahmat kepada sekalian alam maka jasa baginda terhadap golongan wanita begitu banyak yang menukar pandangan masyarakat yang dulu menganggap wanita setaraf dengan syaitan, binatang, hamba abdi kepada kedudukan yang tinggi sehingga;

Perkara ke -[4] Nabi S.A.W menyentuh berkaitan kewajipan menjaga hak wanita tetapi malangnya semakin ramai yang menzalimi wanita dan ramai pula wanita sendiri yang rela maruah mereka dilacurkan dengan mendedah aurat dan bergaul bebas sehingga keadaan akhlak semakin parah. Apa yang lebih malang jasa Nabi S.A.W seperti dilupakan apabila berlakunya penghinaan terhadap Islam dan Nabi Muhammad S.A.W dalam Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu di mana kebanyakan yang terlibat sebagai peganjur adalah beragama Islam. Pertunjukan itu bukan sahaja tidak menutup aurat dengan sempurna malah menghina Nabi Muhammad S.A.W di pakaian seksi mereka dengan menamakannya sebagai Islam seolah-olah meghalalkan apa yang jelas diharamkan oleh Allah S.W.T demi menjaga hati musuh Islam. Mereka yang terlibat belum lagi memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam sehingga hari ini. Mereka sepatutnya takut kepada Allah dan azabnya yang begitu dahsyat disamping malu kepada masyarakat barat sendiri yang mula merasai bagaimana pakaian seksi dan menjolok mata boleh menyebabkan masalah kerosakan akhlak dan merebaknya kes jenayah. Kita dapat baca berita terbaru di mana ada sebuah Bandar persisiran pantai di Itali akan menyaman sehingga RM2000.00 kepada mereka yang memakai skirt pendek atau menjolok mata sedangkan kita di sini rasa malu dan rimas menutup aurat;

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Perkara ke-[5] yang ditekankan dalam Khutbah haji wada’ ialah Islam menghalang penindasan melalui penyalah gunaan kuasa oleh pemimpin ke atas rakyat jelata seperti hukum rimba ISA dan sebagainya. Semasa rakyat terus dihimpit dengan kenaikan harga minyak RON97 ketika minyak RON95 sedang dikaji kerana banyak kes menyebabkan kenderaan mudah terbakar disamping harga barangan yang terus naik ditambah lagi dengan saman ekor yang jelas zalim kerana ia memeras wang rakyat bukan untuk mendidik rakyat supaya cermat di jalanraya. Begitu juga pemimpin terus menambah hutang negara dengan nisbah setiap rakyat terpaksa menanggung RM14 ribu seorang hutang akibat penyelewengan dan pembaziran disamping kerugian akibat rasuah RM10 bilion setahun. Pemimpin juga terus bernafsu untuk melakukan pembaziran dengan cadangan pembinaan Menara Warisan setinggi 100 tingkat bernilai lebih RM5 bilion di samping Pusara Negara bersebelahan tugu negara memuatkan 250 lubang kubur VIP Islam dan 250 VIP bukan Islam dengan kos RM70 juta dengan anggaran RM140 ribu selubang. Akibat pemimpin bernafsu besar maka rakyat jelata terus menderita. Ingatlah peringatan Nabi S.A.W

قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ

Maksudnya: "Sabda nabi tentang tanda-tanda qiamat bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing berlumba-lumba untuk membina bangunan tinggi-tinggi lambang kemegahan".

Ulama’ menerangkan pada akhir zaman akan timbul golongan miskin yang mendirikan bangunan tinggi dengan cara berhutang di mana tidak pelik walau hutang negara terus meningkat tetapi nafsu untuk membazir terus bertambah. Penyakit suka berhutang turut ditiru oleh rakyat sehingga ramai yang sanggup berhutang melebihi kemampuan demi memiliki rumah atau kenderaan mewah. Penafsiran yang lain mengatakan golongan miskin menjadi orang kaya secara tiba-tiba termasuk melalui rasuah pilihan raya sehingga dapat membina bangunan tinggi

Muslimin/muslimat yang dirahmati Allah S.W.T,

Perkara ke- [6] Khutbah wada’ turut menekankan persamaan nilai kemanusiaan tanpa mengira bangsa dengan membuang semangat perkauman sempit yang boleh menghancurkan perpaduan rakyat. Kerajaan sepatutnya menjadikan pelajaran agama sebagai mata pelajaran teras di sekolah bukannya mata pelajaran sejarah bagi menangani masalah sosial, perpaduan dan semangat cintakan negara kerana pelajaran sejarah yang banyak lagi kekurangan dibimbangi hanya melahirkan masyarakat yang memuja pemimpin bukannya yang cintakan perpaduan dan negara;

Perkara ke- [7] yang ditekankan oleh Nabi S.A.W iaitu Islam membanteras sistem monopoli yang menghakis rasa kasih sayang dengan menggalakkan penindasan terutama menerusi sistem kapitalis yang digunapakai. Akhirnya syarikat tertentu menguasai harga barangan di pasaran yang membolehkan mereka sesuka hati menaikkan harga yang sepastinya menindas rakyat jelata; Wasiat Nabi S.A.W;

Perkara ke- [8] yang paling penting sekali iaitu wajib menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai panduan di mana kejayaan umat Islam bergantung kepada sejauh mana mereka berpegang teguh kepada 2 sumber utama ini dalam kehidupan. Kita merasa kecewa bila pemimpin masih gagal mengasingkan antara sumber halal dengan haram seperti hasil judi bernilai RM2.3 bilion yang terdapat dalam akaun hasil yang disatukan di Kementerian Kewangan pada tahun 2009. Hasil inilah yang telah digunakan oleh kerajaan untuk membayar gaji kepada seramai 1.2 juta penjawat awam dan semua projek pembangunan termasuk untuk manfaat masyarakat Islam. Begitu juga cadangan untuk menggadaikan maruah dan akhlak rakyat demi mengaut keuntungan dengan mengisytiharkan Malaysia sebagai Hab hiburan malam yang bakal menyaksikan masalah semakin bertambah bukan semakin kebah. Sepatutnya pemimpin melahirkan rakyat bertaqwa untuk mendapat berkat bukan manusia derhaka yang mengundang laknat Allah dunia akhirat. Firman Allah dalam ayat 7 surah al-Hasyru:

ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: "...Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

خطبة كدوا

اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ ( 3 كالي ) اللهُ أَكْبَرُ كَبِيْرًا و الحَمْدُ ِللهِ كَثِيْرًا وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَأَصِيْلا. الحَمْدُ ِللهِ وَحْدَهُ صَدَقَ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَأَعَزَّ جُنْدَهُ وَهَزَمَ الأحْزَابَ وَحْدَهُ . أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَحْدَهُ لا شَرِيْكَ لَهُ , وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ , اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ . أَمَّا بَعْدُ…….فَيَا أَيُّهَا المُسْلِمُوْنَ اتَّقُوْا اللهَ وَأَطِيْعُوْهُ وَاعْلَمُوْا أَنَّ اللهَ يُحِبُّ المُتَّقِيْنَ …. فرمان الله تعالى دالم أية 103-107سورة الصافات : فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا إِنَّا كَذَلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ إِنَّ هَذَا لَهُوَ الْبَلاَءُ الْمُبِينُ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ

Maksudnya: "Setelah keduanya berserah bulat-bulat ( menjunjung perintah Allah) dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya atas tompok tanah ( untuk disembelih) serta Kami menyerunya: ”Wahai Nabi Ibrahim! Sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu”.

Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata. Dan Kami tebuskan anak itu dengan sembelihan yang besar.

Muslimin/muslimat yang dirahmati Allah,

Ketika mengingati pengorbanan hebat Nabi Ibrahim A.S yang terpaksa menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S melalui suatu arahan dalam mimpi benarnya maka umat Islam pada hari ini mesti disuburkan kembali rasa yakin tentang keadilan dan kehebatan sistem Islam dalam menjanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Kira pernah menyaksikan bagaimana Suraqah bin Malik terlalu yakin dengan janji Nabi S.A.W yang belum lagi menjadi pemimpin Daulah Islamiah di Madinah bahawa dia bakal dikalungkan dengan gelang kerajaan Kisra, Parsi ditambah lagi dengan keyakinan para sahabat yang lain sehingga kerajaan Islam yang mulanya hanya dianggap kecil akhirnya berjaya menumbang Empayar Kristian, Rom dan Majusi, Parsi pada zaman Sayyidina Umar al-Khottab R.A seterusnya menguasai Empayar Hindu, India dan Budha, China. Begitu juga keyakinan pejuang Islam terhadap janji Nabi S.A.W bahawa sebaik-baik ketua ialah yang berjaya membuka kota Intanbul dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya sehingga Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota Istanbul yang begitu kukuh kubunya. Oleh itu bila umat Islam berjaya menyuburkan rasa yakin terhadap janji Allah S.W.T untuk membebaskan Masjid Aqsa maka kemenangan semakin dekat dan hampir;

Muslimin/muslimat yang dirahmati Allah,

Sempena berada pada hari raya korban juga kita mesti meningkatkan tahap pengorbanan dalam memperjuangkan Islam dan membantu saudara seagama. Jika semasa menyambut Eidul Fitri kita diwajibkan membayar zakat untuk meringankan bebanan saudara seagama begitulah kedatangan Eidul Adha yang digalakkan kita mengerjakan ibadat korban untuk diagihkan daging kepada saudara yang memerlukan di mana ia semua bertujuan melahirkan masyarakat yang penyayang dan mengambil berat tentang penderitaan saudara seagama yang lain. Penderitaan umat Islam yang sedang dibunuh di Selatan Thailand, Filiphina, Palestin, Iraq, Afghanistan dan sebagainya menuntut pembelaan sewajarnya daripada kita. Begitu juga mangsa Gunung Berapi dan Tsunami di Indonesia. Tidak lupa kita ucapkan takziah kepada mangsa banjir di Kedah, Perlis dan Kelantan sendiri di samping hulurkanlah bantuan setakat termampu. Ringankanlah bebanan dan penderitaan mereka terutama dalam susana hari raya di mana Allah S.W.T pasti meringankan bebanan kita di akhirat kelak

اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ! اللهُ أَكْبَرُ وَلِلهِ الحَمْدُ

Salam Eidul Adha diucapkan kepada seluruh muslimin dan muslimat. Bagi yang berkemampuan disarankan agar menghidupkan sambutan Eidul Adha ini dengan ibadat korban sebagaimana yang dianjurkan oleh Islam.

قَالَ الرَّسُوْلُ :

مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّناَ – رواية ابن ماجه

Maksudnya: "Sesiapa yang mempunyai kemampuan sedangkan dia tidak melakukan ibadat korban maka janganlah dia mendekati tempat solat kami".

اللّهُمَّ صَلِّ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ اللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الأحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأمْوَاتِ إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعَوَاتِ وَقَاضِيْ الحَاجَاتِ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَانْصُرْهُمْ عَلَى عَدُوِّكَ وَعَدُوِّهِمْ , اللّهُمَّ لا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا مَنْ لايَخَافُكَ وَلا يَرْحَمُنَا, اللّهُمَّ انْصُرِ المُجَاهِدِيْنَ الَّذِيْنَ يُجَاهِدُوْنَ فِيْ سَبِيْلِكَ فِيْ كُلِّ زَمَانٍ وَمَكَانٍ , اللّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانِنَا المُسْلِمِيْنَ فِى عِرَاق وَفِى فَلَسْطِين وَفِى لبنان وَفِى سوريا وَفِى كَشْمِيْر وَفِى الهِنْد وفى أفغانستانِ وَفِى شِيْشَان وَفِى جَنُوْبِ بِلِيِبين وَفِى إيندونيسيا وفى تايلند وَفِى بَلَدِنَا ماليزيا اللّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الكِتَابِ وَ يَا مُجْرِيَ السَّحَابِ وَ يَاهَازِمَ الأحْزَابِ اِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِاليَهُوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالنَّصَارَى وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالهُنَوْدِ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالأمِيرِكَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِالِبرِيطَان وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ عَلَيْكَ بِأَحْزَابِ المُشْرِكِيْنَ الطَّاغِيْنَ الظَّالِمِيْنَ وَمَنْ وَالاهُمْ, اللّهُمَّ دَمِّرْهُمْ تَدْمِيْرًا وَ تَبِّرْهُمْ تَتْبِيْرًا وَاجْعَلْهُمْ هَبَاءً مَنْثُوْرًا اللّهُمَّ انْصُرْ مَنْ نَصَرَ دِيْنَكَ وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ دِيْنَكَ , اللّهُمَّ أَعِزَّ الإسْلامَ وَالمُسْلِمِيْنَ وَأَذِّلَّ الشِّرْكَ وَالمُشْرِكِيْنَ وَدَمِّرْ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ وَانْصُرْ عِبَادَكَ المُؤْمِنِيْنَ . اللّهُمَّ تَقَبَّلْ مِنَّا صَلاتَنَا وَقِيَامَنَا وَجَمِيْعَ حَسَنَاتِنَا وَاجْعَلْهَا خَالِصَةً لِوَجْهِكَ الكَرِيْم. رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ. سبُحْاَنَكَ اللّهُمَّ وَتَحِيَّتُهُمْ فِيْهَا سَلامٌ وَآخِرُ دَعْوَاهُمْ أَنِ الحَمْدُ ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ

-ibnumustafa-

Monday, November 15, 2010

Memali, peristiwa hitam dikenang sebagai sejarah kezaliman!

Tanggal '19 November 1985' hingga 19 November 2010, genap 25 tahun terjadinya peristiwa kejam, Memali yang berlaku di kawasan pendalaman di Baling, Kedah yang mengorbankan para pejuang agama Allah S.W.T dalam sekelip mata. Ketika kejadian, lebih 3000 anggota polis ditugaskan menggempur kumpulan yang kononnya didakwa menganjurkan ajaran sesat, maka 'Operasi Angkara' diberi jolokan untuk mencabut nyawa rakyat yang tak berdosa.

Peralatan ala tentera digunakan ketika itu oleh pihak berkuasa hanya untuk memerangi sejumlah tidak sampai 100 pengikut Ustaz Ibrahim Mahmud (Libya).

Operasi itu bermotifkan untuk menahan Ustaz Ibrahim di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana beberapa kontroversi ucapan-ucapannya dalam memangkinkan semangat pejuang agama Allah S.W.T.

Tan Sri Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri Malaysia menjelaskan Operasi Angkara bertujuan menangkap dan menghapuskan penjenayah. Ibrahim Libya memang dikehendaki pihak polis di bawah ISA.

Ibrahim Libya dituduh mengancam keselamatan negara dengan kegiatan memecah-belahkan masyarakat Islam. Selain itu, dalam sidang akhbar New Straits Times bertarikh 21 November 1985 Musa Hitam turut menyanggah kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Kedah yang mengatakan Ustaz Ibrahim hanyalah memberikan ceramah agama.

Ibrahim Libya juga dituduh melindungi penjenayah yang sangat dikehendaki oleh Polis iaitu Yusof Che Mit dan Ramli Che Mit. Sebelum polis menyerang, penduduk kampung yang berkumpul di rumah Ibrahim Libya diminta menyerahkan Yusuf dan Ramli, tetapi mereka berdua tidak ada di situ. Beberapa hari kemudian Ramli ditangkap, tetapi tidak pula dibicarakan di mahkamah kerana dia ditahan di bawah ISA.

Ibrahim Libya lahir dan tinggal di Kampung Memali, mukim Siong, Baling, Kedah Darul Aman.

Lulusan Universiti Al Azhar, Mesir. Kemudian menyambung pengajiannya di India dan Libya. Bekerja sebagai pegawai pendakwa di Bahagian Agama di Jabatan Perdana Menteri Malaysia.

Beliau kerap berceramah di RTM 1, kemudian memulakan kelas agama dan sekolah agama di kampungnya di Kampung Memali. Beliau ingin meneruskan usaha tuan-tuan guru pada masa yang dahulu yang membuka sekolah pondok atau sekolah agama. Perjuangannya sealiran dengan PAS dan menyertai PAS kemudiannya.

Pada tahun 1978, atas tiket PAS bertanding di kawasan Bayu-Baling. Beliau memperoleh 5,081 undi berbanding 6,169 undi yang dimenangi Barisan Nasional.

Tragedi Berdarah memali berlaku tatkala Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, malah ketika kejadian beliau melakukan lawatan ke China, entah mengapa 'hanya Allah yang tahu'.

Sementara menteri yang bertanggungjawab dalam soal keselamatan ketika itu ialah Tan Sri Musa Hitam yang dibantu Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Rakyat ketika itu dikhabarkan bahawa kerajaan mahu melakukan operasi menjejaki pengganas komunis, namun kemudiannya apabila 'terhidu' operasi ditukar wajah dengan tajuk pembasmian ajaran sesat.

Maka beberapa akhbar milik Umno/BN ketika itu memutarbelitkan laporan-laporan mereka dengan menuduh Ustaz Ibrahim Libya membawa ajaran sesat dan kerajaan perlu memerangi ajaran ini.

Maka berlakulah pertempuran hebat antara 'wakil kerajaan' dengan kumpulan yang diketuai Ustaz Ibrahim Libya, yang akhirnya tanpa sebarang senjata atau senapang, nyawa mereka direntap tanpa 'izin' pemilikNya.

Berlinangan darah membasahi perkarangan rumah Ibrahim Libya, kanak-kanak bertempiaran, balu-balu menangis disamping mayat suami yang kaku membisu tanpa sebarang 'isyarat' akan roh masih berada dalam jasad.

Semuanya bagaikan 'padang jarak padang terkukur' direntap musnah, dalam laungan Allahu Akbar, 13 pejuang agama Allah syahid mempertahankan diri, keluarga dan perjuangan membela agama Allah.

Status mereka sebagai syahid disahkan oleh ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Kedah, Tuan Guru Haji Yahya Junid dan Ustaz Azahari Abdul Razak berdasarkan mereka yang mempertahankan diri dan harta mereka adalah syahid. Bagaimanapun mereka yang mengeluarkan fatwa berkenaan disingkirkan daripada menganggotai badan fatwa berkenaan.

Mereka yang terkorban ialah, Ustaz Ibrahim Mahmud (libya), Kampung Charok Puteh, Siong, Baling, Kedah 45 tahun, guru dan pendakwah Islam. Beliau meninggalkan seorang balu yang juga telah ditahan beberapa minggu dalam kem tahanan di markas Polis Hutan Sungai Petani, kemudian dipindahkan ke Penjara di Alor Setar sehingga dibebaskan. Beliau meninggalkan lima orang anak, dua orang sedang bersekolah dan tiga orang lagi masih kecil.

Ahmad Hassan, Kampung Alor Melentang, Gunung, Alor Setar, 30 tahun, kerja sendiri, bekas pegawai LPN, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Kuala Kedah 1979-1981, bekas Setiausaha Kerja DPPN Kedah 1981-1983. Beliau meninggalkan seorang balu dan empat orang anak yang masih belum bersekolah.

Syafie Dahaman, Sekolah Menengah Siong, Baling, 30 tahun, guru Sekolah Menegah Siong, meninggalkan seorang balu dan seorang anak.

Abdullah Abdul Rahman, Mukim Siong Baling, 72 tahun, penoreh getah. Beliau meninggalkan seorang balu dan tujuh orang anak.

Abdul Manaf Waden, Kampung Becah Sawa, 58 tahun, penoreh getah, meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Ghazali Mohd Saman, Kampung Becah Sawa, 36 tahun, merinyu malaria, meninggalkan seorang balu dan 3 orang anak.

Mohd Radzi bin Ahmad, Kampung Ubi Memali, 27 tahun, penoreh getah, meninggalkan empat orang anak dan isterinya telah meninggal sejak beberapa lama.

Wan Abdullah @ Idris Lebai Kadir, Kampung Charok Bunting, Siong, Baling, 32 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak sebahagiannya masih bersekolah.

Mohd Aroff Hashim, Kampung Becah, Siong, 36 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan enam orang anak.

Zamri bin Md Isa, Kampung Charok Puteh, 37 tahun, pemandu; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Abdullah Yasin, Kampung, Guar Reban, Kupang, 33 tahun, berniaga; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Mohd Daud bin Kadir, Kampung Becah Sawa, 53 tahun, penoreh getah; meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak.

Ahmad Ismail, Kampung Cepir, Sik, 30 tahun, mekanik motosikal; meninggalkan seorang balu dan 4 orang anak.

Abdul Rahmah Jusoh, Siong, Baling, 69 tahun. Beliau cedera parah dan akhirnya meninggal dunia kerana kecederaan tersebut pada 31 Jan 1986.

Sebaik selesai operasi memautkan kumpulan Ustaz Ibrahim Libya, media-media pro kerajaan ketika itu melagukan semula lagu-lagu fitnah tanpa henti, kononnya untuk membenarkan segala tindakan mereka.

Peristiwa memali menyayat hati sesiapa sahaja yang hidup ketika itu dan turut mengalaminya termasuk balu-balu mereka yang Syahid, lantas selang beberapa hari selepas peristiwa berdarah di Baling itu, Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi Awang yang berucap di Markas PAS Taman Melawar mengecam keras tindakan zalim itu.

Nada ucapan Ustaz Abdul Hadi amat memilukan, sebak suarannya tak mampu ditahan lagi, air mata membasahi wajahnya dan sesekali teresak-esak menahan kesedihan.

Masih segar dalam ingatan, akan untaian kata-kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat;

"Kita akan mengingati peristiwa pembunuhan beramai-ramai ini seumur hidup. Akan kita ingat dan sebut terus menerus. Akan kita perkatakan hingga Hari Kiamat."

Peristiwa hitam dan tragedi berdarah yang membabitkan ahli PAS itu sebenarnya belum pudar dihati para penyokong dan ahli PAS hingga kini. Tangisan anak-anak kecil masih 'basah' ditelinga para amilin dan pejuang.

Mana tidaknya, Perdana Menteri yang 'wujud' ketika peristiwa berdarah itu (Tun Dr Mahathir) kini masih hidup lagi, dan masih segar untuk membungkam kenyataan-kenyataan yang liat politiknya.

Hingga kini, mulutnya tidak pernah menukilkan 'maaf' kepada keluarga mangsa Memali, lantas hal ehwal mangsa juga tak pernah dipedulikan Mahathir yang merejimkan Malaysia sehingga 22 tahun dengan dihujung pemerintahannya, Dato' Seri Anwar Ibrahim menjadi mangsa terakhirnya.

Malah selepas bersara dari kerajaan pun, Mahathir giat memangsakan Tun Abdullah Ahmad Badawi hingga 'longlai' kaki tidur itu yang akhirnya berundur dari jawatan nombor satu dalam negara.

Memali tetap akan menjadi satu titik hitam dalam demokrasi di negara ini, rakyat yang mudah ditindas hanya kerana 'aspirasi' berbeza, malah kekejaman menjadi 'bahan' memuaskan nafsu penguasa.

Peristiwa ini tetap akan segar selagi pihak-pihak yang terbabit dengan memohon maaf atau melafaskan 'keinsafan' di atas kezaliman yang dilakukan, nescaya Allah S.W.T akan membalasnya walaupun di hujung usia.



Juga video Tragedi Memali

-ibnumustafa-