Ini kerana laungan takbir yang dilaungkan pada hari-hari berkenaan, bertujuan untuk membesarkan Allah S.W.T di atas segala nikmat yang dianugerahkan kepada semua. Justeru, sepatutnya setiap diri daripada kita yang mengaku Islam, perlu mengetahui secara mendalam pensyariatan laungan takbir pada malam hari raya.
Ia adalah untuk mengisytihar, bahawa Allah S.W.T adalah Tuhan yang tidak pernah sama memungkiri janji-Nya terhadap hamba-Nya Muhammad S.A.W untuk memenangkannya dalam medan pertempuran menghadapi pihak musuh (pasukan al-Ahzab) yang terdiri daripada puluhan ribu tentera menghadapi tentera Islam yang kecil jumlahnya.
Sesungguhnya laungan takbir mempunyai makna tersendiri yang mesti difahami dengan jelas oleh setiap individu muslim yang beriman bahawa Allah S.W.T adalah Tuhan mereka, iaitu menjelmakan kefahaman bahawa Allah S.W.T adalah segala-segalanya seperti maksud di bawah ini :
- Kita percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah S.W.T, kita juga percaya bahawa tiada undang-undang yang lebih hebat daripada undang-undang-Nya.
- Kita meyakini bahawa setiap masalah yang timbul adalah daripada-Nya dan jalan penyelesaiannya juga adalah daripada-Nya.
- Kita mesti beradab dengan kitab suci al-Quran tanpa ada sebarang perasaaan ragu atau syak terhadapnya.
- Kita hanya tunduk kepada Allah S.W.T dan agama-Nya (Islam) sahaja, serta menjauhkan diri daripada menganut ajaran atau fahaman yang tiada kena mengena dengan Islam.
- Kita berjanji untuk menunaikan segala sumpahan kita terhadap-Nya seperti lafaz dalam doa iftitah, al-Fatihah dan doa Qunut.
- Pasrah hanya kepada Allah S.W.T dengan menyanjung tinggi serta mendaulatkan undang-undang Islam yang lebih tinggi daripada undang-undang ciptaan manusia yang serba kekurangan.
- Menjadikan Allah S.W.T matlamat dalam kehidupan kita termasuk ungkapan, tindakan dan keputusan yang dibuat.
- Meyakini bahawa segala bencana, ujian dan dugaan yang menimpa adalah atas kesilapan kita sendiri dan termasuk dalam senarai qada' dan qadar Allah S.W.T.
- Merasa takut dan cemas akan ancaman Allah S.W.T.
- Takut kepada azab api neraka.
- Tidak memilih pemimpin yang menyalahi Syariat Islam, sama ada dari sudut perbuatan, tingkah laku (body language), role model, percakapan dan lain-lain.
- Tidak terdetik sedikitpun dalam hati untuk tidak percaya kepada Allah S.W.T pada undang-undang, hukuman dan sebagainya.
- Menjadikan rumah Allah S.W.T sebagai tempat mengembalikan kemuliaan Islam dalam segenap aspek dan bukan hanya tempat untuk beribadat semata-mata.
- Mensuci dan membesarkan Allah S.W.T pada sifat-sifat serta nama-nama-Nya.
- Meyakini bahawa Allah S.W.T tidak membiarkan hamba-hamba-Nya meraba-raba di muka bumi ini tanpa buku panduan.
- Menjadikan diri kita patuh, setia serta taat hanya kepada-Nya sahaja.
Sementara maksud korban pula, ia merupakan istilah daripada bahasa Arab yang bererti hampir/dekat, iaitu ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T seperti yang pernah dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi Ismail A.S.
Korban binatang ternakan adalah dikira sebagai satu ibadat kepada Allah S.W.T, apabila ia disebut sebagai ibadat, sudah pasti ibadat itu sendiri tidak dapat menerima perlakuan maksiat ketika ibadat korban sedang berlangsung.
Sebagai contoh, apabila seorang wanita itu berniat untuk menunaikan ibadat solat, lengkap dengan mengambil wudhu' serta tempat solat yang suci dari sebarang najis yang nyata, tetapi ketika dia melakukan solat, dia bersolek atau memakai baju kebaya yang mendedahkan auratnya, apakah kita dapat menerima hakikat yang mengatakan ibadat solatnya itu sah dan diterima di sisi Allah S.W.T kerana ibadatnya bercampur dengan maksiat kepada Allah S.W.T.
Begitulah dengan ketegasan Allah S.W.T yang menjelaskan dalam ayat 37 surah al-Haj yang bermaksud:
"Daging-daging (unta, lembu, kambing) dan darahnya yang dikorbankan itu, sekali-kali tidak mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya."
Jelas dari apa yang ditegaskan Allah S.W.T dalam ayat tersebut di atas, sesuatu amalan ibadat korban dengan menyembelih binatang-binatang ternakan pada hari raya itu hanya diterima dari mereka yang benar-benar bertaqwa kepada Allah S.W.T.
Dalam ayat 27 surah al-Maidah pula Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah hanya menerima (korban) dari orang-orang yang bertaqwa."
Persoalan di sini, adakah orang yang berkorban binatang ternakan pada hari raya korban dengan penampilan macam orang yang tidak beriman boleh dikategorikan sebagai bertaqwa kepada Allah S.W.T?
Sepatutnya mereka perlu tahu keadaan dan tempat yang membezakan diri mereka pada waktu ibadat korban dijalankan, sebenarnya penampilan mereka itu memperlihatkan kecetekan ilmu yang ada pada diri mereka sendiri, malah memberi ruang kepada orang lain menghukumnya sebagai seorang warga kota yang tidak peka amalan serta ajaran agama.
Tetapi apakah sebenarnya taqwa itu yang membezakan antara kita dengan mereka yang kurang peka terhadap Islam?
Taqwa seperti yang pernah dijelaskan oleh Saidina Ali Bin Abi Talib K.W ialah:
"Takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan isi kandungan al-Quran, redha dengan apa yang sedikit ada pada kita dan bersiap untuk hari pembalasan untuk bertemu dengan Allah SWT."
Taqwa juga menurut sebahagian ulama' ialah membersihkan diri dari sifat-sifat terkeji dan melaksanakan segala tuntutan agama Allah S.W.T.
Selanjutnya, sesuatu ibadat itu tidak diterima di sisi Allah S.W.T melainkan dilakukan atas dasar ilmu dan kefahaman yang mendalam seperti yang telah disyaratkan dalam ilmu Usul Fiqh.
Kesimpulannya, ibadat mesti dilakukan dengan rasa rendah diri kepada Allah S.W.T dan menerusi kemantapan ilmu yang diwariskan oleh baginda Rasulullah S.A.W.
Perkara yang perlu dielak ketika menyertai ibadat korban sebagai renungan dan peringatan:
- Tidak memakai seluar pendek.
- Tidak bersolek atau memakai baju kebaya belah.
- Tidak merokok ketika ibadat korban dijalankan.
- Tidak bercakap pada perkara dunia semasa mata pisau diletakkan atas leher haiwan sembelihan.
- Tidak memakai baju yang tertera tulisan Tiger, Carlsberg, Sports Toto, Magnum ENE, Guinness, Akademi Fantasia, Mentor, One In A Million, Malaysian Idol atau pakaian sukan yang tertera nama-nama pemain bola sepak yang beragama Kristian dan sebagainya.
Apa yang penting, hayati ibadat korban yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S ke atas anaknya Nabi ismail A.S sebagai iktibar berguna meniti jalan taqwa kepada Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment