Justeru, sesungguhnya pelaksanaan segala rukun, wajib dan sunat haji adalah untuk menyatakan sikap kerdil tersebut, sekali gus untuk menggarap pengajaran, rahsia serta hikmah daripadanya.
Apabila seseorang Muslim yang berjaya menjalani ibadah haji dengan rukun-rukunnya dengan penuh keinsafan, sesungguhnya dia telah berjaya menjalani proses tarbiah yang sedia ada dalam ibadah tersebut.
Marilah kita singkap satu persatu daripada pelaksanaan rukun serta falsafah daripada ibadat haji tersebut yang mampu mendidik hati-hati manusia yang telah mati, sekali gus menjadikan umat Islam agung, hebat dan berwibawa dalam menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan mereka.
Haji dan Ihram Haji
Menzahirkan rasa persamaan di kalangan umat Islam dengan pemakaian pakaian ihram berwarna putih yang tidak berjahit, tidak ada yang merasakan dirinya sebagai ketua negara atau rakyat biasa, semuanya sama di hadapan Allah S.W.T, seolah-olah mereka sedang berada di padang Mahsyar menanti giliran untuk dihisab segala amalan.
Ia mendidik mereka akan kepentingan amalan serta bekalan untuk hari akhirat dan menyatakan bahawa mereka mengharapkan keampunan, rahmat serta kasih sayang Allah S.W.T.
Haji dan Talbiah (seruan di musim haji)
Lafaz Talbiah: L.
Maksudnya: Aku penuhi panggilan-Mu Wahai Allah! Aku penuhi panggilan-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu, sesungguhnya segala puji, segala nikmat dan semua kerajaan adalah milik-Mu, tidak ada sekutu bagi-Mu.
Ia merupakan satu seruan untuk disahut oleh setiap Muslim / Muslimah yang sedang mengerjakan haji, untuk menyatakan rasa takut dan mengharap segala amalan diterima di sisi-Nya, untuk menyatakan bahawa tidak ada satu kerajaan pun di dunia ini yang mampu menandingi kerajaan Allah S.W.T di akhirat, iaitu kerajaan yang mendaulatkan Islam dengan pelaksanaan al-Quran sebagai hukum-hakam yang tertinggi dalam negara, kerana Dialah (Allah S.W.T) adalah Raja segala kerajaan.
Haji dan Tawaf
Tawaf merupakan tindakan pusingan mengelilingi Kaabah (rumah Allah S.W.T) bersama-sama para Malaikat yang mengelilingi Rumah Allah S.W.T, ia bukan hanya bermaksud mengelilinginya dengan hati, malah dengan roh, perasaan dan hati yang amat mengharapkan kasih sayang Allah S.W.T, ia merupakan amalan Nabi Ibrahim A.S yang disambung oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Para Malaikat mencatat segala amalan manusia yang sedang mengelilingi Kaabah dengan rasa rendah diri walaupun dia merupakan seorang Perdana Menteri, apa yang dicatat itu akan dibaca di hadapan Allah S.W.T di akhirat dengan kitab sebalah kanan, iaitu golongan ahli Syurga.
Haji dan Sa’i
Sa'i adalah rukun haji dan merupakan satu perbuatan bagi mengingati peristiwa Siti Hajar R.A yang berulang-alik antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mencari air (Zam Zam) untuk dirinya sendiri dan anaknya Nabi Ismail A.S. Ketika itu dia telah ditinggalkan di situ oleh suaminya Nabi Ibrahim A.S.
Ia mengajar manusia erti kesabaran hingga diberikan Allah S.W.T nikmat yang tidak terhingga iaitu dengan pancutan air Zam Zam yang merupakan makanan dan minuman utama buat Nabi Ismail A.S dan ibunya Siti Hajar R.A bagi kelangsungan amal ibadah yang difardhukan Allah S.W.T ke atas setiap Muslim.
Di sebalik tindakan berulang-alik antara kedua-dua bukit berkenaan, Allah S.W.T mengajar kita agar bersikap rendah diri kepada-Nya, kerana Dialah yang menentukan segala-gala, sama ada yang baik atau pun buruk, pengharapan Siti hajar R.A hanyalah kepada Allah S.W.T yang memelihara segala-galanya.
Haji dan Wukuf di Arafah
Wukuf di Arafah adalah rukun haji yang kedua tetapi yang utama daripada rukun-rukun haji itu. Itu adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
Daripada Abdul Rahman bin Ya'mur R.A katanya: Bahawa Rasulullah S.A.W menyuruh seorang penyeru menyerukan: "Haji itu ialah 'Arafah'. Barang siapa datang pada malam 10 Zulhijah, sebelum terbit fajar, bererti dia telah mendapatkan Arafah." - Hadith Riwayat Imam Ahmad dan Ashabus-Sunan.
Ia untuk menyatakan seoalah-olah manusia sedang menghadapi satu perhimpunan yang getir di Padang Mahsyar, menantikan amalan dihisab, terutamanya ibadah solat yang merupakan amalan pertama yang akan disoal oleh Allah S.W.T.
Haji dan Lontaran Tiga Jamrah
Ia merupakan ikutan kepada amalan Nabi Ibrahim A.S yang mengisyaratkan bahawa lontaran itu simbolik kepada lontaran Syaitan dan Iblis Laknatullah yang banyak mengganggu manusia dalam melaksanakan amal ibadah. Justeru, manusia perlu belajar daripadanya agar sentiasa melawan Syaitan yang berusaha menyesatkan bangsa manusia seluruhnya.
Haji dan Penyembelihan Qorban
Ia juga pengajaran pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim A.S yang diperintahkan Allah S.W.T untuk menyembelih anaknya Nabi Ismail A.S.
Ini membuktikan bahawa dalam urusan agama perlu ada pengorbanan, sama ada masa, harta, idea, tenaga dan sebagainya bagi kesinambungan Islam, tanpa berkorban untuk agama, Islam tidak akan berada di puncak jaya seperti yang dilakukan oleh baginda Rasulullah S.A.W, para Sahabat R.A dan tokoh-tokoh Islam. Wallahualam..
No comments:
Post a Comment