PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, August 31, 2010

Lailatul Qadr : Malam misteri yang dirindui kedatangannya

Umat Islam di seluruh dunia sedang memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu ini, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadhan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun lagi.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecapi sepanjang berada dalam bulan Ramadhan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah S.W.T, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.

Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadhan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah S.W.T dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadr, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadr itu? Malam Lailatul-Qadr lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" - Surah Al-Qadr; ayat 1-5.

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadr disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah S.W.T mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.

Kepada mereka Allah S.W.T memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah S.W.T bermaksud:

"Malam al-Qadr itu itu lebih baik daripada seribu bulan" - Surah al-Qadr; ayat 3.

Sebab-sebab Allah S.W.T adakan Lailatul Qadr

Allah S.W.T yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahala yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama' yang menyebut bahawa, Allah S.W.T mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad S.A.W antara lain;

Menurut Imam Malik R.A, Rasulullah S.A.W melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah S.W.T memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi R.A pula berpendapat, Rasulullah S.A.W diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda S.A.W berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad S.A.W antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadith Rasulullah S.A.W. Sebab itu Allah S.W.T menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah S.A.W, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda S.A.W.

Justeru, malam al-Qadr adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada Rasulullah S.A.W dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama' sebagai 83 tahun empat bulan.

Dorongan Nabi S.A.W supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah S.A.W menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr yang penuh keberkatan itu. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadhan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat Tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah S.W.T dan amalan solih lain yang dianjurkan Islam.

Rasulullah S.A.W sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering Baginda S.A.W baca ialah doa maksudnya:

"Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah S.W.T. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah S.W.T daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah S.W.T. Dalam hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya:

"Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah S.W.T." - Hadith Riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah.

Berdasarkan permohonan inilah maka Allah S.W.T menurunkan Lailatul Qadr.

Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadhan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh Baginda S.A.W, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadr itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah S.W.T mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan Nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadr. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad S.A.W sebagai Nabi dan Rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadr itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad S.A.W sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama' lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadr kerana pada malam itu Allah S.W.T menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadr tahun ini hingga ke malam al-Qadr tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadr, ulama' berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi R.A berkata bahawa sebahagian ulama' menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadhan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadr itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadhan.

Sementara menurut jumhur ulama', Lailatul Qadr berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadhan iaitu pada malam 27 Ramadhan. Ini berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadith dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud.

"Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadr itu pada malam 27."

Sebahagian sahabat dan ulama' mencuba menentukan Lailatul Qadr dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama' menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadr itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama' lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadr itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadhan.

Petua oleh Imam Ghazali dan lain-lain ulama’ untuk mencari Lailatul Qadr

Jika awal Ramadhan jatuh pada hari:

I) Ahad atau Rabu – malam Lailatul Qadr dijangka berlaku pada malam 29 Ramadhan;

II) Isnin - malam Lailatul Qadr dijangka berlaku pada malam 21 Ramadhan;

III) Selasa atau Jumaat - malam Lailatul Qadr dijangka berlaku pada malam 27 Ramadhan;

IV) Khamis- malam Lailatul Qadr dijangka berlaku pada malam 25 Ramadhan;

V) Sabtu- malam Lailatul Qadr dijangka berlaku pada malam 23 Ramadhan.

Kata Sheikh Abu Hassan bahawa mula dia baligh, dia sentiasa dapat menghidupkan Lailatul Qadr pada malam yang tepat mengikut petua di atas.

Berdasar petua di atas, insyaAllah malam Lailatul Qadr akan jatuh pada malam ke 29 Ramadhan 1431 bersamaan dengan malam selepas siang 7 September 2010.

Walau bagaimanapun, janganlah ibadat pada malam ini sahaja, carilah malam qadar pada malam-malam ganjil yang lain juga!!

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadr adalah hadith daripada Aishah R.A yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.

"Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadr itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadhan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama' ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama' bersepakat dengan hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Aishah R.A tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadhan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadr supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadhan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadhan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.

Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi S.A.W adalah bahawasanya ketika Baginda S.A.W bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga Baginda S.A.W sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah S.W.T, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga Malaikat Jibril A.S akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadr akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada Malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.

Ada yang berkata doa permohonannya makbul.

Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah S.W.T, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:

I) Menghayati malam tersebut dengan ibadah

II) Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadr itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.

III) Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah S.W.T semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.

Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah S.W.T sahaja yang tahu. Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadith-hadith Nabi S.A.W ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadith Nabi S.A.W menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi S.A.W ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!

Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah S.W.T, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadhan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah S.W.T yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertaqwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.

Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadhan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddith terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (di dalam buku Risalah Qiyam Ramadhan):

"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana Baginda S.A.W bersabda: "Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu" - Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318.

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya:

"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat Subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail."

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi S.A.W bersabda:

"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut." - Hadith Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadith Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341.

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadith Abu Daud dan Tirmizi:

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam." - Sumber yang sama - 6342.

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah S.W.T dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah..

-ibnumustafa-

MERDEKA KAH KITA ???!!!....


SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YG KE-53..

MERDEKAKAH KITA???!!

Erti sebuah kemerdekaan yg sebenar adalah apabila kita merdeka dari penjajahan pemikiran, kesengsaraan hidup, pengangguran, jenayah, rasuah, penindasan & kezaliman..

Apakah kita sudah merdeka dari semua ini??

Negara ini bukanlah Negara Mereka.. Negara ini adalah Negara Kita!!

Merdekakan Negara!! Merdekakan Minda!!

Ke Arah Malaysia Baru!!

-ibnumustafa-

Monday, August 30, 2010

1st Award For Ibnumustafa


Ni la ropenyer 1st award yang saya dapat dari Ladybird..

"Sepasang Kaki Hitam"

ingatkan mendela yg dia nk kabo,
"
abg, ambik awards kat blog ika yer.."
ropenyer nak suruh amik awards.. syukran ya ukhtie kareem..
:P
sekali lagi tQ yer sebab sudi memberi awards ni ke laman ibnumustafa..

-ibnumustafa-

Monday, August 23, 2010

Penggunaan Inhaler Semasa Puasa; Batal Puasa Atau Tidak?

Soalan : "Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap asthma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?"

Para ulama' semasa berbeza pandangan tentang penggunaan Inhaler bagi orang yang berpuasa. 
PENDAPAT PERTAMA: Penggunaan inhaler MEMBATALKAN PUASA, tidak boleh menggunakannya dalam bulan Ramadhan melainkan ketika ada keperluan bagi pesakit dan puasa hari tersebut hendaklah diganti pada bulan lain. Inilah pandangan Dr. Fadhal Hasan ‘Abbas, asy-Syeikh Muhammad al-Mukhtar as-Salamiy, Dr. Muhammad al-Alfiy, asy-Syeikh Muhammad Taqiyuddin al-‘Uthmaniy dan Dr. Wahbah az-Zuhailiy.

Bukti Penghujahan:
1. Kandungan inhaler atau semburan akan sampai atau masuk ke dalam perut melalui mulut. Maka ia membatalkan puasa.

Dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, di antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu `ain (unsur benda) walaupun sedikit ke dalam rongga terbuka yang biasa seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur. Perkara ini disebut adalah karya-karya fiqh mazhab kita asy-Syafi`iyyah seperti
"Fathul Mu`in" yang menyatakan:-
و يفطر بدخول عين و إن قلت إلى ما يسمى جوفا
 

"Dan batal (puasa) dengan masuknya sesuatu 'ain (benda) walaupun sedikit ke dalam apa yang dinamakan sebagai jauf (rongga)."

Daripada nas kitab tersebut, dapatlah difahami bahawa jika seseorang tanpa paksaan daripada seseorang (yakni tanpa ikrah yang mu'tabarah pada syara`) dengan sengaja dan dengan tahu memasukkan sesuatu `ain, walaupun sedikit, baik berupa ubat yang diperlukannya melalui alat penyembur ubat (inhaler) ke mulut atau ke hidungnya maka batallah puasanya. Cuma bagi orang yang terpaksa melakukannya tidaklah dia berdosa kerana berbuka dari puasanya, tetapi dia kenalah mengqadha`nya pada hari lain atau jika penyakitnya tersebut tiada harapan untuk sembuh, di mana setiap siang hari hidupnya terpaksa menggunakan ubat tersebut, maka wajiblah dia mengeluarkan fidyah atas keuzurannya untuk tidak berpuasa tersebut.

 
Inilah hukumnya bagi seumpama penghidap asthma apabila terpaksa menggunakan inhaler sewaktu berpuasa. Dan inilah yang difatwakan oleh banyak ulama' kita termasuklah oleh Darul Ifta` al-Mishriyyah melalui Syaikh Dr. Ali Jum`ah Muhammad hafizahUllah, mufti Mesir, yang menyebut antara lain:-
وكل ما دخل إلى جوف الإنسان عن طريق فتحة طبيعية مثل الفم والأنف والأذن فإنه يكون مفطرا والبخاخات التي تستعمل في مثل الحالات التي ذكرت في السؤال تدخل رزازا إلى جوف الإنسان مما يؤدي إلى فطر من استعملها وعدم انعقاد صيامه............... فإن البخاخات المستعملة في مثل هذه الحالات مفطرة للصائم

"Dan setiap apa yang masuk ke dalam rongga seseorang insan melalui jalan yang terbuka secara semulajadi seperti mulut, hidung dan telinga, maka jadilah ianya membatalkan puasa. Penyembur (inhaler / spray) yang digunakan seumpama dalam situasi yang disebut dalam pertanyaan (yakni penggunaan inhaler bagi penghidap asthma) memasukkan sesuatu semburan ke rongga seseorang insan yang membawa kepada batalnya puasa sesiapa yang menggunakannya.... Sesungguhnya penyembur yang digunakan dalam situasi ini membatalkan puasa orang yang berpuasa."
Dalam fatwa beliau yang dihimpun dengan jodol "al-Kalimuth Thoyyib", Dr. 'Ali Jum`ah menyatakan pada halaman 109:-
 
Jika ubat yang digunakan dengan perantaraan penyembur (spray) tersebut sampai ke rongga seseorang melalui mulut atau hidung, maka ianya membatalkan puasa. Jika tidak sampai sesuatu daripadanya ke rongga, maka tidaklah ianya membatalkan puasa. Dalam situasi batalnya puasa, maka wajiblah seseorang itu mengqadha`nya pada hari-hari lain setelah hilang penyakitnya. Jika penyakitnya itu berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, maka menurut hukum syarak tidaklah wajib atasnya untuk berpuasa, tetapi dia diwajibkan mengeluarkan fidyah berupa memberi makanan untuk siang dan malam kepada orang miskin sebanyak hari yang dia tidak berpuasa itu.

Syaikh 'Athiyyah Saqr rahimahUllah, mantan ketua Lujnah Fatwa al-Azhar asy-Syarif, pun menyatakan pendapat yang sama dengan yang diutarakan oleh Mufti Dr. 'Ali Jum`ah di atas. Di mana dalam himpunan fatwa beliau "Ahsanul Kalaam fi al-Fatawaa wal Ahkam", beliau menyatakan antara lain:-

فقد قال العلماء: نقط الأنف والبخار الذي يشم من إصبع الربو يبطل بهما الصيام، وإذا كان المريض لا يستغني عنهما في الصيام؛ جاز له الفطر وعليه القضاء بعد الشفاء من المرض، وإن كان المرض مزمنا لا يرجى شفاؤه كان له الفطر، وعليه الإطعام عن كل يوم مسكينا

Para ulama telah berpendapat ubat titik hidung dan wap (yakni wap ubat / nebulizer ) yang disedut oleh penghidap asthma membatalkan puasa. Apabila si pesakit terpaksa menggunakannya tatkala berpuasa, maka haruslah dia berbuka dan hendaklah dia mengqadha` puasanya setelah dia sembuh dari penyakit. Jika sekiranya sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, pesakit tersebut tidak perlu berpuasa, dia hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari (yang dia tidak berpuasa)
Begitulah juga fatwa daripada Dr. Ahmad al-Haji bin Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin Muhammad 'Assaf al-Kurdi, seorang ulama yang menjadi pakar syariah (fiqh) di Kuwait dan anggota lembaga fatwanya, menyatakan:-

فالبخاخ مفطر للصائم، فإذا احتاج إليه المريض حاجة كبيرة في نهار رمضان ولم يغن غيره عنه، فله الفطر ثم القضاء بعد العيد. وعند العجز الدائم عن الصوم تجب الفدية.

"Penyembur ubat (inhaler) itu membatalkan puasa orang yang berpuasa. Maka apabila orang sakit itu sangat memerlukannya pada siang hari Ramadhan dan tidak ada cara lain selain daripada menggunakannya, maka dia boleh berbuka kemudian mengqadha` puasanya selepas hari raya. Sekiranya dia lemah daripada berpuasa selamanya, wajiblah dia membayar fidyah."
Selain daripada mereka-mereka di atas, ramai lagi ulama' yang mempunyai pendapat yang serupa. Antaranya Syaikh Omar al-Khatib Singapura, Dr. Wahbah az-Zuhayli dan lain-lain. Di Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dalam koleksi soal-jawab onlinenya menyatakan:-
"Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asthma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat bergantung kepada penggunaan 'inhaler' (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan. Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib mengqada semula puasa tersebut."
Namun hujah-hujah di atas ini dijawab dengan hujah kedua dari pandangan ulama' yang mengatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa. (Sila rujuk di bahagian bawah)

Kata Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil: “Aku tidak dapati bagi golongan yang kedua ini bukti yang lain salain dari yang ini.” Seterusnya beliau melakukan tarjih (pemilihan pendapat yang terkuat) dengan berkata:

“Yang jelas, Allah sahaja yang lebih mengetahui, Inhaler TIDAK membatalkan puasa. Ini kerana apa yang dinyatakan (hujah) oleh mereka yang berpendapat TIDAK batal puasa adalah terserlah. Dan kias yang mereka gunakan terhadap berkumur dan bersiwak adalah kias yang benar. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.”

PENDAPAT KEDUA:
Namun tidak dinafikan dalam isu penggunaan inhaler ini tidak lepas dari perbezaan pendapat. Ada segelintir ulama, terutamanya ulama Saudi @ Wahabi seperti asy-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdullah bin Baz R.A, asy-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin R.A, asy-Syeikh ‘Abdullah bin Jibrin R.A, asy-Syeikh Dr. as-Siddiq ad-Dharir, dan Dr. Muhammad al-Khayyath, demikian juga Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi dan sebagainya, menghukumkan penggunaannya TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Dan dikatakan bahawa inilah juga pendapat Syeikh Yusuf al-Qardhawi. Di antara alasan mereka ialah penggunaan inhaler tidak termasuk dalam hukum makan dan minum kerana yang disedut itu diumpamakan seperti menyedut udara dan ianya tidak masuk ke dalam perut.

Bukti Penghujahan:
1. Unsur yang masuk ke tekak ketika penggunaan inhaler, kemudian terus masuk ke perut terlalu sedikit. Perkara ini tidak membatalkan puasa dengan dikiaskan kepada lebihan atau air yang masih berbaki di dalam mulut kerana berkumur (al-Madhmadhah) dan menyedut air ke hidung (al-Isyintinsyaq) ketika berwudhu'.

Penjelasan:
- Satu-satu inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar sebahagian dari 1 ml. Ini menunjukkan setiap semburan terbentuk kurang dari satu titisan. Satu titis ini pula akan terbahagi kepada beberapa bahagian yang kebanyakannya akan masuk ke alat pernafasan tubuh, dan sebahagian kecil yang lain akan tertinggal di dinding tekak mulut, dan yang selebihnya akan turun ke perut. Jumlah yang amat sedikit ini termasuk perkara yang dimaafkan dengan dikiaskan kepada air yang berbaki selepas berkumur dan menyedut air ke hidung ketika berwudhu'. Bahkan air yang berbaki dari berkumur dan menghisap air ke hidung ketika berwudhu' itu lebih banyak jika dibandingkan dengan air yang berbaki dari semburan inhaler.

2. Masuknya sesuatu ke dalam perut hasil dari penggunaan inhaler bukan sesuatu yang pasti, sebaliknya ia sekadar sangkaan, barangkali ia masuk ke dalam perut dan barangkali juga tidak, kerana kadar cecair yang digunakan terlalu sedikit. Oleh kerana itu puasa orang yang menggunakan inhaler dikira SAH dan TIDAK batal berdasarkan kaedah yang menyebut: “Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”

3. Penggunaan inhaler tidak menyamai makan dan minum.

4. Para Doktor mengesahkan bahawa siwak mengandungi 8 jenis bahan kimia yang berperanan membersihkan gigi dan kotoran yang penyebab sakit. Dan unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan akan masuk ke dalam tekak. Sedangkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari menunjukkan Nabi S.A.W sentiasa bersiwak ketika berpuasa. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah S.A.W bersiwak ketika baginda berpuasa, dalam kekerapan yang tidak boleh dihitung.” - Hadith Riwayat al-Bukhari secara ta’lik di dalam Bab Siwak.

Oleh itu, unsur kimia yang masuk ke dalam badan ketika bersiwak termasuk perkara yang dimaafkan disebabkan jumlah yang sedikit dan tidak dimaksudkan. Maka penggunaan inhaler juga adalah termasuk dalam perkara yang sama.

Bagi pesakit athma atau lelah. Amalan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan perubatan. Ini adalah fatwa Syeikh Ben Baz dalam koleksi fatwanya (Fataawa ad-Da'awah Syeikh Abdul Aziz ben Baz, Grand Mufti of Saudi Arabia, Fatwa No 979)

Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit asthma juga harus berdasarkan Fatwa umum dalam masalah ini oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu' Fatawa Ibn Taymiyah, Jld 25, ms 248) Keharusan ini meliputi teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu maka ia diharuskan

Imam Ibn Hazm al Andalusi (al Muhalla, Jld 6, ms 203) tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk..

Kita terpaksa menggunakan dalil fatwa dalam masalah ini kerana ini adalah masalah baru yang tidak ujud semasa Imam-Imam besar Fiqh dahulu.
Dari dua pendapat di atas, maka saya lebih cenderung dengan pendapat para ulama' yang kedua tadi, iaitu PENGGUNAAN INHALER SEMASA PUASA TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

Sungguh inilah pendapat yang berhati-hati dalam fatwa dan jauh dari sikap bermudah-mudah. Tetapi sesiapa yang hendak ikut fatwa yang mengatakan batal, maka terpulanglah pada diri anda. Kuburnya masing-masing, pepandailah jawab.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-