PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, August 23, 2010

Penggunaan Inhaler Semasa Puasa; Batal Puasa Atau Tidak?

Soalan : "Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap asthma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?"

Para ulama' semasa berbeza pandangan tentang penggunaan Inhaler bagi orang yang berpuasa. 
PENDAPAT PERTAMA: Penggunaan inhaler MEMBATALKAN PUASA, tidak boleh menggunakannya dalam bulan Ramadhan melainkan ketika ada keperluan bagi pesakit dan puasa hari tersebut hendaklah diganti pada bulan lain. Inilah pandangan Dr. Fadhal Hasan ‘Abbas, asy-Syeikh Muhammad al-Mukhtar as-Salamiy, Dr. Muhammad al-Alfiy, asy-Syeikh Muhammad Taqiyuddin al-‘Uthmaniy dan Dr. Wahbah az-Zuhailiy.

Bukti Penghujahan:
1. Kandungan inhaler atau semburan akan sampai atau masuk ke dalam perut melalui mulut. Maka ia membatalkan puasa.

Dalam mazhab kita asy-Syafi`iyyah, di antara perkara yang membatalkan puasa adalah masuknya sesuatu `ain (unsur benda) walaupun sedikit ke dalam rongga terbuka yang biasa seperti mulut, hidung, telinga, qubul dan dubur. Perkara ini disebut adalah karya-karya fiqh mazhab kita asy-Syafi`iyyah seperti
"Fathul Mu`in" yang menyatakan:-
و يفطر بدخول عين و إن قلت إلى ما يسمى جوفا
 

"Dan batal (puasa) dengan masuknya sesuatu 'ain (benda) walaupun sedikit ke dalam apa yang dinamakan sebagai jauf (rongga)."

Daripada nas kitab tersebut, dapatlah difahami bahawa jika seseorang tanpa paksaan daripada seseorang (yakni tanpa ikrah yang mu'tabarah pada syara`) dengan sengaja dan dengan tahu memasukkan sesuatu `ain, walaupun sedikit, baik berupa ubat yang diperlukannya melalui alat penyembur ubat (inhaler) ke mulut atau ke hidungnya maka batallah puasanya. Cuma bagi orang yang terpaksa melakukannya tidaklah dia berdosa kerana berbuka dari puasanya, tetapi dia kenalah mengqadha`nya pada hari lain atau jika penyakitnya tersebut tiada harapan untuk sembuh, di mana setiap siang hari hidupnya terpaksa menggunakan ubat tersebut, maka wajiblah dia mengeluarkan fidyah atas keuzurannya untuk tidak berpuasa tersebut.

 
Inilah hukumnya bagi seumpama penghidap asthma apabila terpaksa menggunakan inhaler sewaktu berpuasa. Dan inilah yang difatwakan oleh banyak ulama' kita termasuklah oleh Darul Ifta` al-Mishriyyah melalui Syaikh Dr. Ali Jum`ah Muhammad hafizahUllah, mufti Mesir, yang menyebut antara lain:-
وكل ما دخل إلى جوف الإنسان عن طريق فتحة طبيعية مثل الفم والأنف والأذن فإنه يكون مفطرا والبخاخات التي تستعمل في مثل الحالات التي ذكرت في السؤال تدخل رزازا إلى جوف الإنسان مما يؤدي إلى فطر من استعملها وعدم انعقاد صيامه............... فإن البخاخات المستعملة في مثل هذه الحالات مفطرة للصائم

"Dan setiap apa yang masuk ke dalam rongga seseorang insan melalui jalan yang terbuka secara semulajadi seperti mulut, hidung dan telinga, maka jadilah ianya membatalkan puasa. Penyembur (inhaler / spray) yang digunakan seumpama dalam situasi yang disebut dalam pertanyaan (yakni penggunaan inhaler bagi penghidap asthma) memasukkan sesuatu semburan ke rongga seseorang insan yang membawa kepada batalnya puasa sesiapa yang menggunakannya.... Sesungguhnya penyembur yang digunakan dalam situasi ini membatalkan puasa orang yang berpuasa."
Dalam fatwa beliau yang dihimpun dengan jodol "al-Kalimuth Thoyyib", Dr. 'Ali Jum`ah menyatakan pada halaman 109:-
 
Jika ubat yang digunakan dengan perantaraan penyembur (spray) tersebut sampai ke rongga seseorang melalui mulut atau hidung, maka ianya membatalkan puasa. Jika tidak sampai sesuatu daripadanya ke rongga, maka tidaklah ianya membatalkan puasa. Dalam situasi batalnya puasa, maka wajiblah seseorang itu mengqadha`nya pada hari-hari lain setelah hilang penyakitnya. Jika penyakitnya itu berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, maka menurut hukum syarak tidaklah wajib atasnya untuk berpuasa, tetapi dia diwajibkan mengeluarkan fidyah berupa memberi makanan untuk siang dan malam kepada orang miskin sebanyak hari yang dia tidak berpuasa itu.

Syaikh 'Athiyyah Saqr rahimahUllah, mantan ketua Lujnah Fatwa al-Azhar asy-Syarif, pun menyatakan pendapat yang sama dengan yang diutarakan oleh Mufti Dr. 'Ali Jum`ah di atas. Di mana dalam himpunan fatwa beliau "Ahsanul Kalaam fi al-Fatawaa wal Ahkam", beliau menyatakan antara lain:-

فقد قال العلماء: نقط الأنف والبخار الذي يشم من إصبع الربو يبطل بهما الصيام، وإذا كان المريض لا يستغني عنهما في الصيام؛ جاز له الفطر وعليه القضاء بعد الشفاء من المرض، وإن كان المرض مزمنا لا يرجى شفاؤه كان له الفطر، وعليه الإطعام عن كل يوم مسكينا

Para ulama telah berpendapat ubat titik hidung dan wap (yakni wap ubat / nebulizer ) yang disedut oleh penghidap asthma membatalkan puasa. Apabila si pesakit terpaksa menggunakannya tatkala berpuasa, maka haruslah dia berbuka dan hendaklah dia mengqadha` puasanya setelah dia sembuh dari penyakit. Jika sekiranya sakitnya berpanjangan tanpa ada harapan untuk sembuh, pesakit tersebut tidak perlu berpuasa, dia hendaklah membayar fidyah dengan memberi makan kepada orang miskin pada setiap hari (yang dia tidak berpuasa)
Begitulah juga fatwa daripada Dr. Ahmad al-Haji bin Muhammad al-Mahdi bin Ahmad bin Muhammad 'Assaf al-Kurdi, seorang ulama yang menjadi pakar syariah (fiqh) di Kuwait dan anggota lembaga fatwanya, menyatakan:-

فالبخاخ مفطر للصائم، فإذا احتاج إليه المريض حاجة كبيرة في نهار رمضان ولم يغن غيره عنه، فله الفطر ثم القضاء بعد العيد. وعند العجز الدائم عن الصوم تجب الفدية.

"Penyembur ubat (inhaler) itu membatalkan puasa orang yang berpuasa. Maka apabila orang sakit itu sangat memerlukannya pada siang hari Ramadhan dan tidak ada cara lain selain daripada menggunakannya, maka dia boleh berbuka kemudian mengqadha` puasanya selepas hari raya. Sekiranya dia lemah daripada berpuasa selamanya, wajiblah dia membayar fidyah."
Selain daripada mereka-mereka di atas, ramai lagi ulama' yang mempunyai pendapat yang serupa. Antaranya Syaikh Omar al-Khatib Singapura, Dr. Wahbah az-Zuhayli dan lain-lain. Di Malaysia, Jabatan Agama Islam Selangor dalam koleksi soal-jawab onlinenya menyatakan:-
"Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asthma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat bergantung kepada penggunaan 'inhaler' (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan. Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib mengqada semula puasa tersebut."
Namun hujah-hujah di atas ini dijawab dengan hujah kedua dari pandangan ulama' yang mengatakan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa. (Sila rujuk di bahagian bawah)

Kata Dr. Ahmad bin Muhammad al-Khalil: “Aku tidak dapati bagi golongan yang kedua ini bukti yang lain salain dari yang ini.” Seterusnya beliau melakukan tarjih (pemilihan pendapat yang terkuat) dengan berkata:

“Yang jelas, Allah sahaja yang lebih mengetahui, Inhaler TIDAK membatalkan puasa. Ini kerana apa yang dinyatakan (hujah) oleh mereka yang berpendapat TIDAK batal puasa adalah terserlah. Dan kias yang mereka gunakan terhadap berkumur dan bersiwak adalah kias yang benar. Dan Allah sahaja yang lebih mengetahui.”

PENDAPAT KEDUA:
Namun tidak dinafikan dalam isu penggunaan inhaler ini tidak lepas dari perbezaan pendapat. Ada segelintir ulama, terutamanya ulama Saudi @ Wahabi seperti asy-Syeikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdullah bin Baz R.A, asy-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin R.A, asy-Syeikh ‘Abdullah bin Jibrin R.A, asy-Syeikh Dr. as-Siddiq ad-Dharir, dan Dr. Muhammad al-Khayyath, demikian juga Jawatankuasa Fatwa Arab Saudi dan sebagainya, menghukumkan penggunaannya TIDAK MEMBATALKAN PUASA. Dan dikatakan bahawa inilah juga pendapat Syeikh Yusuf al-Qardhawi. Di antara alasan mereka ialah penggunaan inhaler tidak termasuk dalam hukum makan dan minum kerana yang disedut itu diumpamakan seperti menyedut udara dan ianya tidak masuk ke dalam perut.

Bukti Penghujahan:
1. Unsur yang masuk ke tekak ketika penggunaan inhaler, kemudian terus masuk ke perut terlalu sedikit. Perkara ini tidak membatalkan puasa dengan dikiaskan kepada lebihan atau air yang masih berbaki di dalam mulut kerana berkumur (al-Madhmadhah) dan menyedut air ke hidung (al-Isyintinsyaq) ketika berwudhu'.

Penjelasan:
- Satu-satu inhaler mengandungi 10 ml cecair yang mengandungi ubat. Kuantiti sebanyak ini secara asasnya akan mengeluarkan 200 semburan. Ini bermakna setiap semburan akan keluar sebahagian dari 1 ml. Ini menunjukkan setiap semburan terbentuk kurang dari satu titisan. Satu titis ini pula akan terbahagi kepada beberapa bahagian yang kebanyakannya akan masuk ke alat pernafasan tubuh, dan sebahagian kecil yang lain akan tertinggal di dinding tekak mulut, dan yang selebihnya akan turun ke perut. Jumlah yang amat sedikit ini termasuk perkara yang dimaafkan dengan dikiaskan kepada air yang berbaki selepas berkumur dan menyedut air ke hidung ketika berwudhu'. Bahkan air yang berbaki dari berkumur dan menghisap air ke hidung ketika berwudhu' itu lebih banyak jika dibandingkan dengan air yang berbaki dari semburan inhaler.

2. Masuknya sesuatu ke dalam perut hasil dari penggunaan inhaler bukan sesuatu yang pasti, sebaliknya ia sekadar sangkaan, barangkali ia masuk ke dalam perut dan barangkali juga tidak, kerana kadar cecair yang digunakan terlalu sedikit. Oleh kerana itu puasa orang yang menggunakan inhaler dikira SAH dan TIDAK batal berdasarkan kaedah yang menyebut: “Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan dengan keraguan”

3. Penggunaan inhaler tidak menyamai makan dan minum.

4. Para Doktor mengesahkan bahawa siwak mengandungi 8 jenis bahan kimia yang berperanan membersihkan gigi dan kotoran yang penyebab sakit. Dan unsur kimia ini akan meresap bersama air liur dan akan masuk ke dalam tekak. Sedangkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari menunjukkan Nabi S.A.W sentiasa bersiwak ketika berpuasa. Daripada ‘Amir bin Rabi’ah berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah S.A.W bersiwak ketika baginda berpuasa, dalam kekerapan yang tidak boleh dihitung.” - Hadith Riwayat al-Bukhari secara ta’lik di dalam Bab Siwak.

Oleh itu, unsur kimia yang masuk ke dalam badan ketika bersiwak termasuk perkara yang dimaafkan disebabkan jumlah yang sedikit dan tidak dimaksudkan. Maka penggunaan inhaler juga adalah termasuk dalam perkara yang sama.

Bagi pesakit athma atau lelah. Amalan penggunaan inhaler tidak membatalkan puasa kerana yang disedut itu ialah gas dan untuk tujuan perubatan. Ini adalah fatwa Syeikh Ben Baz dalam koleksi fatwanya (Fataawa ad-Da'awah Syeikh Abdul Aziz ben Baz, Grand Mufti of Saudi Arabia, Fatwa No 979)

Keharusan penggunaan inhaler bagi pesakit asthma juga harus berdasarkan Fatwa umum dalam masalah ini oleh Syaikhul Islam Ibn Taymiyah (Majmu' Fatawa Ibn Taymiyah, Jld 25, ms 248) Keharusan ini meliputi teknik perubatan yang tidak menggunakan makanan atau minuman. Jika dari jenis debu maka ia diharuskan

Imam Ibn Hazm al Andalusi (al Muhalla, Jld 6, ms 203) tidak batal puasa dalam urusan perubatan termasuk suntikan atau menghirup serbuk..

Kita terpaksa menggunakan dalil fatwa dalam masalah ini kerana ini adalah masalah baru yang tidak ujud semasa Imam-Imam besar Fiqh dahulu.
Dari dua pendapat di atas, maka saya lebih cenderung dengan pendapat para ulama' yang kedua tadi, iaitu PENGGUNAAN INHALER SEMASA PUASA TIDAK MEMBATALKAN PUASA.

Sungguh inilah pendapat yang berhati-hati dalam fatwa dan jauh dari sikap bermudah-mudah. Tetapi sesiapa yang hendak ikut fatwa yang mengatakan batal, maka terpulanglah pada diri anda. Kuburnya masing-masing, pepandailah jawab.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

No comments: