PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, August 30, 2011

Salam Aidilfitri, Maaf Zahir & Batin..

Assalamu'alaikum & Salam sejahtera..

Kepada semua pengunjung ibnumustafa.blogspot yang dikasihi,

Ramadhan berlalu melabuhkan tirainya, hadirnya Syawal menampakkan sinarnya, gemilang sebulan berpuasa telah berakhir. Hari ini seluruh umat islam sedang menyambut keriangan Aidilfitri, disambut teman, sahabat, saudara mara, keluarga dan yang tersayang.

Di kesempatan ini, saya ingin mengambil kesempatan menyusun jemari, menebar hati memohon ampun dan maaf sesama kita seandai ada terkasar bahasa, terguris di dada, terlanjur perbuatan, terlepas tingkah hingga mencuit rasa hati teman-teman dan para pengunjung.

Kita dahulukan agama, tinggalkan seketika fahaman minda, hentikan permusuhan dan dendam. Atas nama Islah, ucapan maaf ini dipohon agar bersama kita mendapat keberkatanNYA dan, InsyaALLAH Syawal kali ini menjernihkan yang kelam, menyeri yang pudar.

Salam Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin buat kalian para pengunjung, bersama kita jalinkan ukhwah ini agar tidak terlerai.

Dengan ingatan tulus ikhlas,

-ibnumustafa-

Sunday, August 28, 2011

Kadar Zakat Fitrah Seluruh Negeri Di Malaysia 1432H / 2011M

"Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk." - Surah Al-Baqarah; ayat 43.

Jadual di bawah adalah jadual kadar zakat fitrah bagi tahun 1431H / 2010M untuk semua negeri-negeri di Malaysia. Kadar zakat fitrah bagi setiap negeri dikeluarkan oleh pusat zakat negeri masing-masing.



PENGERTIAN ZAKAT FITRAH


Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

SYARAT WAJIB ZAKAT

Orang Islam yang wajib mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan keluarga atau tanggungannya ialah:

i) Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan tanggungannya pada malam dan pagi hari raya.

ii) Anak yang lahir sebelum matahari jatuh pada akhir bulan Ramadhan dan hidup selepas terbenam matahari.

iii) Memeluk Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadhan dan berkekalan Islamnya.

iv) Seseorang yang meninggal selepas terbenam matahari akhir Ramadhan.

KAEDAH PEMBAYARAN ZAKAT FITRAH

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan. Perkara ini dijelaskan melalui hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudry bermaksud:

“Adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah S.A.W sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap orang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang Syair atau satu gantang tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadat haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: Saya berpendapat, bahawa satu mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha’ (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Sufian berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya” – Hadith Riwayat Muslim

KADAR FITRAH

Kadar fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri.

WAKTU MENGELUARKAN FITRAH

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

i) WAKTU WAJIB

Apabila terbenam matahari akhir 30 Ramadhan sehingga terbit matahari esoknya.

ii) WAKTU YANG PALING AFDHAL

Sebelum sembahyang Hari Raya

iii) WAKTU SUNAT

Sepanjang bulan Ramadhan

iv) WAKTU MAKRUH

Selepas sembahyang Hari Raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal

v) WAKTU HARAM

Selepas terbenam matahari satu Syawal


Ingat-ingatkanlah.. Selamat beribadah..

-ibnumustafa-

Ramadhan, Bulan Kurniaan Allah S.W.T Kepada Orang-orang Yang Beriman

Kita sedang berada di penghujung bulan Ramadhan Al-Mubarak, bulan kurniaan Allah S.W.T kepada orang-orang yang beriman. Apabila tibanya bulan Ramadhan Al-Mubarak, Rasulullah S.A.W menyampaikan ucapannya, yang bermaksud:

"Telah tiba kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang mulia, padanya satu malam yang kelebihannya lebih baik daripada 1,000 bulan (Lailatul Qadr), bulan yang pada awalnya kerahmatan, pertengahannya keampunan dan akhirnya pembebasan daripada api neraka."


Pada bulan ini, kita dijemput menjadi tetamu Allah Taala untuk menghadiri majlis hidangan-Nya. Disediakan untuk kita hidangan yang terdiri daripada makanan roh dan jasad, kerana Allah Taala menjadikan manusia dengan dua fitrah iaitu unsur roh dan unsur jasad, kedua-dua unsur ini memerlukan makanan. Makanan ini penuh dengan kelebihan, makanan roh ialah iman, ilmu, taqwa dan segala sifat dan akhlak yang mulia manakala makanan jasad ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan sebagainya.


Allah S.W.T telah menentukan tugas manusia yang berbeza dengan tugas Malaikat di alam roh dan berbeza dengan binatang yang hanya menjaga kepentingan jasad. Manusia mempunyai kedua-dua unsur iaitu unsur Malaikat dan binatang. Sekiranya manusia menunaikan tuntutan roh dengan sebenarnya dan dalam masa yang sama berjaya menghadapi hawa nafsu kebinatangan, maka manusia akan menjadi makhluk yang lebih mulia daripada Malaikat seperti para Nabi dan orang-orang yang soleh. Di sana ada manusia yang lupa kepada makanan roh dan mengendalikan jasadnya seperti binatang, maka manusia itu menjadi lebih jahat daripada binatang.


Allah S.W.T melatih, mendidik dan memberi tarbiah kepada kita pada bulan Ramadhan Al-Mubarak dengan hidangan menunaikan kewajipan berpuasa pada waktu siang hari, memberi sedekah, menjamu makanan kepada saudara-mara dan sahabat handai, jiran dan orang-orang yang memerlukan pertolongan, menghidupkan malam dengan sembahyang tarawih, bertahajud, tadarus al-Quran dan sebagainya. Semuanya ini dijanjikan kelebihannya lebih besar daripada bulan-bulan yang lain.


Ibadat puasa sahaja dijanjikan Allah S.W.T dengan pahala yang tidak terhingga banyaknya. Seseorang manusia yang melakukan kebaikan akan diberikan dari tiap-tiap satu kebaikan itu 10 pahala. Adapun puasa, Allah Taala berfirman, yang bermaksud:


"Sesungguhnya puasa itu untuk Aku, maka terserahlah kepada-Ku untuk menentukan pahalanya."


Betapa besarnya pahala kepada orang-orang yang berpuasa, betapa ruginya mereka yang tidak berpuasa. Sesiapa sahaja yang tidak berpuasa satu hari dengan tiada sebarang keuzuran yang membolehkannya berbuka, walaupun diwajibkan kepadanya menggantikan puasa itu pada hari yang lain, namun dia tidak akan dapat menggantikan pahala puasa yang ditinggalkan satu hari itu walaupun dia berpuasa sepanjang umurnya. Itulah kelebihan yang dijanjikan Allah Taala.


Jaga diri daripada perkara menghilang pahala puasa


Marilah kita menunaikan ibadat yang diwajibkan Allah Taala itu dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang diwajibkan serta dengan adab-adab puasa yang menambahkan kelebihannya supaya kita menyedari bahawa puasa itu bukan sekadar menjaga diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa pada waktu siang hari iaitu tidak makan, minum, bersetubuh dengan isteri, tidak memasukkan sesuatu ke dalam rongga yang terbuka tetapi seseorang itu juga perlu menjaga dirinya daripada perkara yang menghilangkan pahala puasa walaupun tidak membatalkan puasa.


Seseorang itu perlu memelihara anggota dan pancainderanya daripada melakukan perkara-perkara dosa dengan memelihara lidah, mata dan telinga supaya tidak melakukan perkara-perkara yang menghilangkan pahala puasanya. Itulah pendidikan puasa yang merupakan makanan rohani yang dihidangkan oleh Allah S.W.T pada bulan Ramadhan.


Kita juga dijanjikan fadhilat iaitu diberikan pahala pada makanan jasad. Kita makan dan minum pada bulan puasa bukan sahaja untuk kenyang tetapi diberikan pahala. Begitu juga kelebihan mereka yang bersahur. Allah S.W.T menjadikan kelebihan orang yang makan sahur sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W yang bermaksud:


"Sesungguhnya Allah Taala dan para Malaikat berselawat kepada orang-orang yang bersahur."


Ini menunjukkan bahawa bukan sahaja ibadat puasa, bukan sahaja perkara-perkara kebaikan yang dilakukan diberi pahala, bahkan makan dan minum kita pada bulan puasa juga diberi pahala oleh Allah Taala. Itulah keistimewaan pada bulan Ramadhan Al-Mubarak dan banyak lagi keistimewaan yang lain yang disediakan oleh Allah Taala supaya kita mencapai natijah puasa yang baik.


Kita menerima kerahmatan daripada Allah S.W.T pada awalnya, mendapat keampunan pada pertengahannya dan dimerdekakan daripada api neraka setelah kita meninggal dunia sekiranya kita menunaikan puasa dengan sebaik-baiknya. Itulah di antara hidangan yang disediakan oleh Allah Taala. Marilah kita menyahut jemputan Allah S.W.T di bulan yang penuh dengan kemuliaan itu.


Firman Allah Taala yang bermaksud:


"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan kepada umat-umat sebelum kamu supaya kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa."
- Surah al-Baqarah; ayat 183.

-ibnumustafa-

Saturday, August 27, 2011

Ramadhan Peluang Terbaik Mengislah Diri..

Umat Islam seluruh dunia wajib bersyukur kerana masih lagi berkesempatan pada tahun ini menikmati kehadiran bulan Ramadhan yang sudah masuk fasa ke-3 ini, kerana kedatangannya membawa seribu makna yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Apapun Ramadhan memang benar-benar menjanjikan yang terbaik berupa amalan-amalan, yang bukan sahaja tidak dijanjikan pada bulan-bulan lain selainnya, malah setiap amalan itu pula diganjari dengan pahala yang berlipat kali ganda. Ia bertujuan untuk menggalakkan umat agar suka beribadat untuk mencari keredaan Allah S.W.T.

Ditambah pula dalam Ramadhan terdapat 'Lailatul Qadr', tadarus al-Quran, tazkirah, sesi berbuka puasa dan sahur, qiamullail, iktikaf, pengeluaran zakat fitrah, sedekah, penyediaan juadah berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, bersolat jemaah pada solat lima waktu, bersegera melakukan kebaikan dan banyak lagi merupakan amalan-amalan yang boleh melonjakkan prestasi seorang individu Muslim itu kepada Allah S.W.T.

Bayangkan, bahawa Rasulullah S.A.W ada menegaskan dalam sebuah hadithnya yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi maksudnya, "Setiap amalan sunat seseorang Muslim itu pada bulan Ramadhan dianggap sebagai satu amalan fardhu, dan amalan fardhunya pula diganjari hingga 700 pahala, ia bertujuan menggalakkan kepada semua agar bersungguh melakukannya dan meraih pahala daripada allah SWT."

Kaedah bagi melakukan pengislahan diri pada bulan Ramadhan

* Iringkan diri anda sentiasa bersama niat yang suci untuk melakukan pengislahan diri sepanjang bulan Ramadhan.

* Persiapkan diri anda dengan perancangan rapi untuk berubah dan sentiasa raikan perancangan tersebut.

* Paling utama yang perlu anda lakukan ialah pulihkan hubungan baik dengan Allah S.W.T, jadikan Ramadhan tahun ini sebagai langkah permulaan ke arah itu dengan sentiasa memerhatikan segala kekurangan yang telah anda lakukan terhadap-Nya dalam segenap tindakan beribadat sebelum kehadiran Ramadhan.

* Jadikan Ramadhan tahun ini untuk bertekad melakukan solat fardhu pada awal waktu secara berjemaah di masjid atau surau, sama ada ketika berada di rumah atau di pejabat.

* Mulakan tekad untuk bertadarus al-Quran, bukan sahaja dalam bentuk bacaan, malah meneliti ayat-ayatnya yang terdiri daripada arahan, larangan, janji syurga dan neraka, pahala dan dosa, mengenai hukum-hukum Allah S.W.T yang wajib dilaksana, ayat-ayat gembira, sedih, ancaman dan sebagainya bagi membangkitkan rasa tanggungjawab untuk menjadikan diri sebagai hamba Allah S.W.T yang kerdil di sisi-Nya, kerana al-Quran adalah kitab Allah S.W.T yang abadi hingga ke akhir zaman.

* Berjanji di hadapan Allah S.W.T untuk menjadi hamba-Nya yang baik, dengan melakukan amar makruf dan nahi mungkar.

* Menjadikan pelaksanaan solat fardhu lima waktu sebagai pemangkin kepada meninggalkan perkara-perkara terlarang, sepertimana yang ditegaskan Allah S.W.T dalam al-Quran, ia dapat dilakukan melalui penghayatan terhadap segenap bacaan yang terkandung dalam ibadat tersebut.

* Bertekad untuk melakukan 'taubat nasuha' iaitu dengan niat dan berazam untuk meninggalakan segala kejahatan, tidak mahu mengulanginya semula, bersahabat dengan orang-orang yang boleh meningkatkan keimanan kepada Allah S.W.T, kerana setiap satu kesalahan walaupun kecil bentuknya, jika ia dilakukan, sesungguhnya ia telah mengundang kemarahan Allah S.W.T, menggembirakan syaitan, menjauhkan diri anda daripada syurga, mendekatkan diri kepada neraka, menyebabkan Rasulullah S.A.W sedih di dalam kubur, menyakiti para Malaikat, mengkhianati seluruh makhluk yang ada di muka bumi ini.

* Layani kedua-dua ibu bapa dengan baik dan sopan khususnya pada bulan Ramadhan, ia juga termasuk menghormati golongan yang lebih tua daripada diri anda seperti abang, kakak, para guru dengan ungkapan yang boleh membangkitkan rasa hormat terhadap mereka.

* Berbuat baik terhadap jiran tetangga, kawan-kawan, saudara mara, mohonlah kemaafan atas kesalahan yang pernah anda lakukan terhadap mereka, bukan tunggu menjelangnya awal Syawal.

* Hadiri majlis-majlis tazkirah yang boleh membangkitkan kesedaran dan tanggungjawab terhadap agama.

* Carilah keaiban diri sendiri untuk melakukan pengislahan dengan bersungguh-sungguh, kerana sepanjang Ramadhan adalah waktu yang paling sesuai untuk melakukannya, janganlah biarkan Ramadhan berlalu tanpa melakukan perkara yang terbaik buat diri anda sendiri.

* Tinggalkan tabiat buruk dalam menjalani madrasah Ramadhan seperti suka melewatkan solat fardhu, melepak, tidak suka berkunjung ke masjid atau surau.

* Hormati bulan Ramadhan dengan menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika anda seorang Muslimah, kerana orang yang tidak menghormati bulan Ramadhan dengan menjaga maruah dan harga dirinya tidak mungkin akan diberi syafaat (recommendation) Rasulullah S.A.W untuk masuk syurga pada hari Kiamat.

Yang penting, pengislahan diri yang mahu anda lakukan itu pada bulan Ramadhan, janganlah terhenti dengan kedatangan bulan Syawal, kerana Allah S.W.T bukan sahaja ada pada bulan Ramadhan, malah sepanjang bulan, sepanjang masa Dia memerhatikan kita.

Mudah-mudahan Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik untuk kita persembahkan ke hadrat Allah S.W.T. Ingatlah saudara-saudari, umur kita semakin hari semakin meningkat tua, perhatikan sepanjang kita hidup yang sudah pun mencecah puluhan tahun dengan memakan rezeki Allah S.W.T.

Apa yang telah kita lakuan untuk agama-Nya dari sudut sumbangan, jasa bakti seperti yang pernah ditonjolkan oleh pasa sahabat Baginda S.A.W sebelum mereka meninggal dunia.

Sama-samalah kita fikirkan.

-ibnumustafa-

Bersedekahlah Tanpa Mengira Agama, Bangsa Dan Negara..

SEMPENA bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam digalakkan bersedekah di dalam kerangka menambah amal ibadah.

Tafsiran sedekah itu sendiri amat luas. Sedekah wang ringgit dan tenaga dalam bentuk amalan kebajikan seperti membantu orang lain dalam kesusahan, memberi apa-apa khidmat yang diperlukan oleh sesiapa sahaja, mengajar ilmu dan sebagainya.

Alhamdulillah dalam masyarakat, kita lihat umat Islam dan pelbagai organisasi Islam dilihat berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam program terutamanya memberi bantuan berbentuk makanan dan kewangan. Namun ini nampaknya semarak hanya di kalangan orang Islam.

Ada juga orang Islam yang mengadakan jamuan berbuka puasa dan dijemput sahabat dan kenalan bukan Islam. Islam tidak melarang malah amalan ini dilihat boleh meningkatkan persahabatan dan perpaduan anggota masyarakat.

Namun saya ingin melihat sedekah kewangan atau makanan ini tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja. Yang miskin dan yang lapar bukan daripada kalangan orang Islam sahaja.

Lihatlah di sekeliling kita, pasti terdapat orang bukan Islam yang menderita. Agama Islam tidak pula mensyaratkan sedekah ini hanya dikeluarkan kepada orang Islam sahaja. Malah sesetengah ulama' berpendapat zakat itu sendiri boleh diberi kepada kalangan bukan Islam yang miskin untuk menjinakkan mereka kepada Islam.

Masjid-masjid yang memberi makanan kepada orang ramai hendaklah juga membuka pintu sedekah mereka kepada orang bukan Islam yang miskin.

Biarlah mereka juga merasai nikmat dan rahmat Allah S.W.T pada bulan Ramadhan yang berkat ini. Orang Islam yang beratur untuk mengambil makanan seperti bubur lambuk di Masjid Kampung Baru dan masjid-masjid lain bukannya semua daripada kalangan yang tidak mampu, malah yang ramai datang hanya untuk merasa bubur lambuk yang masyhur itu dan malah mungkin lebih daripada mampu untuk layak mendapat makanan percuma.

Pelbagai majlis dianjurkan oleh korporat untuk anak-anak yatim yang boleh dikatakan semuanya anak-anak yatim Islam. Bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang bukan Islam dan memang banyak terdapat rumah-rumah anak yatim agama-agama lain.

Mereka juga perlu perhatian daripada masyarakat Islam. Mungkin lebih berkesan kalau peruntukan-peruntukan korporat-korporat tersebut disampaikan kepada pengurusan rumah anak yatim untuk mengurus kehidupan mereka sepanjang tahun daripada berhabis dengan acara berbuka puasa yang ada unsur pembaziran dan kadangkala maksiat (acara hiburan sehinggakan waktu solat tidak dihormati).

Selamat berpuasa dan semoga amalan pada bulan Ramadhan berkekalan sepanjang tahun.

-ibnumustafa-

Wednesday, August 24, 2011

Panduan Beriktikaf Di Bulan Ramadhan

Di antara rangkaian ibadah dalam bulan suci Ramadhan yang sangat dipelihara sekaligus diperintahkan (dianjurkan ) oleh Rasulullah S.A.W adalah iktikaf. Setiap muslim dianjurkan (disunatkan) untuk beriktikaf di masjid, terutama pada 10 hari terakhir bulan Ramadhan.

Iktikaf merupakan pendekatan ibadat yang sangat efektif bagi muslim dalam memelihara keIslamannya khususnya dalam era globalisasi, materialisasi dan informasi masa kini.

Definisi Iktikaf

Para ulama' mendefinisikan iktikaf iaitu berdiam atau tinggal di masjid dengan adab-adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan untuk mendekatkan kepada Allah S.W.T.

Ibnu Hazm berkata:

"Iktikaf adalah berdiam di dalam masjid dengan niat mendekatkan diri (taqorrub) kepada Allah S.W.T pada waktu tertentu pada siang atau malam hari." - al Muhalla V/179.

Hukum Iktikaf

Para ulama' telah berijmak bahawa iktikaf khususnya 10 hari terakhir bulan Ramadhan merupakan suatu ibadah yang disyariat dan disunatkan oleh Rasulullah S.A.W.

Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa beriktikaf pada bulan Ramadhan selama 10 hari.

Aisyah, Ibnu Umar dan Anas R.A meriwayatkan:

"Adalah Rasulullah S.A.W beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan" - Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.

Hal ini dilakukan oleh Baginda S.A.W hingga wafat, kecuali pada tahun wafatnya, Baginda S.A.W beriktikaf selama 20 hari.

Demikian halnya para sahabat dan isteri Baginda S.A.W sentiasa melaksanakan ibadah yang amat agung ini. Sehubungan itu, Imam Ahmad berkata:

"Sepengetahuan saya tak seorang pun ulama' mengatakan iktikaf bukan sunat."

Fadhilat (keutamaan) iktikaf

Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad:

"Tahukah anda hadith yang menunjukkan keutamaan iktikaf?"

Imam Ahmad menjawab:

"Tidak, kecuali ia hadith lemah (daif)."

Namun demikian tidaklah mengurangi nilai ibadah iktikaf itu sendiri sebagai taqorrub kepada Allah S.W.T dan cukuplah keuatamaannya bahawa Rasulullah S.A.W, para sahabat, para isteri Rasulullah S.A.W dan para ulama' salafus soleh sentiasa melakukan ibadah ini.

Jenis-jenis iktikaf

Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.

Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah S.W.T seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadhan.

Dan iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti:

"Kalau Allah S.W.T menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf."

Waktu iktikaf

Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

Ya'la bin Umayyah berkata:

"Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."

Syarat-syarat iktikaf

Orang yang iktikaf harus memenuhi kriteria-kriteria sebagai berikut:

1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

Oleh kerana itu, iktikaf tidak diperbolehkan bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.

Rukun-rukun iktikaf

1. Niat - Al-Quran, Surah Al-Bayyinah; ayat 5, Hadith Riwayat Bukhari & Muslim tentang niat.
2. Berdiam di masjid - Al-Quran, Surah Al-Baqarah; ayat 187.

Di sini ada dua pendapat ulama' tentang masjid tempat iktikaf. Sebahagian ulama' membolehkan iktikaf di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu.

Hal itu dalam rangka menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.

Ulama' lain mensyaratkan agar iktikaf itu dilaksanakan di masjid yang diguna untuk membuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.

Pendapat ini dikuatkan oleh para ulama' Syafiiyah bahawa yang afdhal iaitu iktikaf di masjid jami', kerana Rasulullah S.A.W iktikaf di masjid jami'. Lebih afdal di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.

Awal dan akhir iktikaf

Khusus iktikaf Ramadhan waktunya dimulai sebelum terbenam matahari malam ke-21. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:

"Barang siapa yang ingin beriktikaf denganku, hendaklah ia beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan." - Hadith Riwayat Bukhari. 10 (sepuluh) di sini adalah jumlah malam, sedangkan malam pertama dari sepuluh itu adalah malam ke-21 atau 20.

Adapun waktu keluarnya atau berakhirnya, kalau iktikaf dilakukan 10 malam terakhir, iaitu setelah terbenam matahari, hari terakhir bulan Ramadhan.

Akan tetapi beberapa kalangan ulama' mengatakan yang lebih mustahab (disenangi) adalah menuggu sampai solat hari raya.

Hal-hal yang disunatkan waktu beriktikaf

Disunatkan agar orang yang beriktikaf memperbanyak ibadah untuk bertaqorrub kepada Allah S.W.T, seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, doa dan sebagainya serta termasuk juga di dalamnya pengajian, ceramah, majlis ta'lim, diskusi ilmiah, mentelaah buku tafsir, hadith, sirah dan sebagainya.

Hal-hal yang diperbolehkan bagi mutakif (orang yang beriktikaf)

1. Keluar dari tempat iktikaf untuk menghantar isteri, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W terhadap isterinya Sofiyah R.A. - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
2. Menyisir atau mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
3. Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .
4. Makan, minum, dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.

Hal-hal yang membatalkan iktikaf

1. Meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.
2. Murtad ( keluar dari agama Islam )
3. Hilangnya akal, kerana gila atau mabuk
4. Haid atau Nifas
5. Berjimak (bersetubuh dengan isteri) - Al-Quran, Surah Al-Baqarah; ayat 187, akan tetapi memegang tanpa syahwat, tidak apa-apa sebagaimana yang dilakukan Nabi dengan isteri- isterinya.
6. Pergi solat Jumaat (bagi mereka yang membolehkan iktikaf di surau yang tidak digunapakai untuk solat Jumaat).

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Tuesday, August 23, 2011

Panduan Ramadhan Bagi Saudara Baru

Bagi golongan yang baru memeluk Islam, pertama kali mengerjakan ibadat puasa mungkin satu pengalaman yang agak berbeza dengan kehidupan terdahulu.

Mungkin juga ada di kalangan saudara baru beranggapan ibadat berpuasa ini sesuatu yang agak 'berat' untuk dikerjakan.

Saudara baru harus memahami bahawa puasa merupakan satu ibadah yang menunjukkan tanda ketaatan serta menambahkan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.

Golongan yang baru memeluk Islam tidak seharusnya merasakan ibadat puasa ini 'suatu paksaan' dan membebankan. Sebaliknya, apabila pertama kali mengerjakan puasa, mereka boleh melakukannya mengikut kemampuan masing-masing.

'Lakukan yang terbaik berdasarkan kemampuan'

Perkara ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185 yang bermaksud;

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa di bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur."

Apa yang dimaksudkan dalam firman Allah S.W.T di atas ialah 'do your best' atau lakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Sewaktu bersahur, mungkin ada di kalangan saudara baru yang tidak biasa makan makanan yang 'berat'. Bagaimanapun, sekurang-kurangnya minum seteguk air, susu atau kurma sudah memadai kerana dalam bersahur itu ada barakahnya.

Keupayaan berpuasa bergantung kepada kemampuan seseorang. Jika dalam pukul 12 tengahari terasa lapar dan tidak boleh meneruskan puasa, dibolehkan berbuka. Jika keesokannya juga tidak dapat menahan puasa, dia juga boleh berbuka. Begitu juga dengan hari seterusnya.

Apa yang penting, saudara baru ini perlu memahami tuntutan berpuasa ini satu kewajipan dan dilakukan kerana Allah S.W.T.

Dalam minggu kedua berpuasa, mungkin puasa tersebut boleh dilanjutkan sehingga ke pukul 2 petang. Bagi saudara baru, mungkin tahun pertama tidak boleh berpuasa penuh, tapi apabila tahun kedua berpuasa, dalam minggu kedua atau ketiga bermungkinan individu tersebut sudah dapat berpuasa sepenuhnya.

Perbanyakkan amalan menjelang sepuluh malam terakhir Ramadhan

Bagi individu yang baru memeluk Islam mungkin menganggap amalan solat sunat Tarawih juga agak sukar untuk dikerjakan.

Dalam hal ini, amalan solat sunat ini boleh dilakukan secara berjemaah atau bersendirian. Bagi saudara baru, mereka boleh melakukannya bersendirian di rumah.

Sementara itu, mengenai kelebihan sepuluh malam terakhir, budaya masyarakat Malaysia hari ini dilihat kurang menyemarakkan sepuluh malam terakhir Ramadhan ini.

Kita menyatakan kelebihan sepuluh malam terakhir, tetapi kita sendiri tidak menggunakan malam ini untuk amal ibadat sepenuhnya, sebaliknya sibuk dengan perkara lain seperti membeli belah atau membuat kuih raya.

Jadi, apabila kita menyuruh mereka yang baru memeluk Islam ini mempraktikkan sepuluh malam terakhir ini atau 'mengejar' malam Lailatul Qadar, mungkin mereka berasa pelik. Untuk itu kita harus mengubah sikap dan perbanyakkanlah amalan-amalan sunat.

Justeru, formula bagi saudara baru ini apabila melalui sepuluh malam terakhir ini juga tetap sama iaitu berdasarkan kemampuan masing-masing. Jika tidak mampu untuk melakukan solat-solat sunat, mereka boleh melakukan amalan lain seperti berzikir dan sebagainya.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Monday, August 22, 2011

Pemakaian Hijab Di Bulan Ramadhan

PERKARA yang perlu diberi perhatian oleh setiap muslimah, adalah supaya ada di dalam hatinya rasa takut jika ibadah puasanya tidak diterima di sisi Allah S.W.T, dengan mentaati segala titah perintah Allah S.W.T dengan menyembah dan tunduk kepada-Nya dan bukan 'menyembah' bulan Ramadhan.

Memakai hijab (tudung kepala) khusus di bulan Ramadhan adalah antara perkara atau amalan yang baik yang akan diberi ganjaran pahala yang besar, tetapi bagaimana pula di luar Ramadhan?


Jadikan pemakaian hijab di bulan Ramadhan sebagai permulaan perubahan dalam diri. Ketahuilah bahawa memakai hijab adalah perintah secara langsung daripada Allah S.W.T, bukannya cadangan Nabi Muhammad S.A.W atau pandangan ulama' fiqh. Ia wajib dipakai bukan sahaja dalam bulan Ramadhan, malah sepanjang hidup hanya di depan lelaki ajnabi atau wanita kafir, sementara bersama suami, ayah, ayah mertua, adik-beradik lelaki atau mahram adalah tidak wajib.


Mohonlah kepada Allah S.W.T dalam Ramadhan, agar dicampakkan dalam hati rasa tanggungjawab untuk memakai hijab, rujuklah ayat 30-31; Surah an-Nur (24) dan ayat 59; Surah al-Ahzab (33) dan mentelaah kitab agama yang membicarakan persoalan hikmah Allah S.W.T mewajibkan pemakaian hijab ke atas muslimah.


Mohonlah keampunan Allah S.W.T terhadap kesalahan tidak memakai hijab sebelum Ramadhan pada tahun ini. Ramadhan memberi peluang seluas-luasnya untuk kembalikan hamba kepada Tuhan. Rasakanlah dalam diri tanggungan dosa-dosa besar kerana tidak berhijab yang merupakan kesalahan amat besar yang hanya boleh ditebus dengan taubat kepada Allah S.W.T.


Akhir sekali, perbetulkan niat untuk menjadi hamba Allah S.W.T yang baik, kerana kita tidak tahu, apakah kita boleh bertemu dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Sehubungan itu Baginda S.A.W bersabda:


"Kalaulah hamba-hamba Allah S.W.T tahu apa yang ada dalam bulan Ramadhan, mereka akan bercita-cita agar sepanjang tahun itu dijadikan Allah S.W.T sebagai bulan Ramadhan."


Sama-samalah kita merenung agar Ramadhan tahun ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.


Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Perbanyakkan Amalan, Perkasakan Diri Di Dalam Bulan Ramadhan Al-Mubarak

RAMADHAN adalah antara bulan yang mulia, kerana terdapat di dalamnya beberapa pengajaran yang perlu diperhatikan oleh setiap muslim bagi mempertingkat hubungan dan memperkasa diri sebagai muslim sejati di sisi Allah S.W.T seperti berlakunya perang Badar Kubra yang terjadi pada bulan Ramadhan.

Ini membuktikan bahawa bulan Ramadhan khususnya dari pelaksanaan ibadah puasa bukan penghalang untuk mencapai matlamat kejayaan dari apa yang dirancang oleh mereka yang mahukan kejayaan.


Ramadhan juga memberi peluang kepada hamba-hamba Allah untuk mendapatkan sebanyak mungkin koleksi pahala yang tidak ada pada bulan-bulan lain.


Justeru, setiap kali menjalani Ramadhan, amat malang jika kita tidak merebut peluang untuk menambahkan ketaqwaan, kerana matlamat berpuasa adalah untuk menjadi golongan hamba yang bertaqwa.


Apa sebenar definisi taqwa? Perkara ini telah dihurai oleh Saidina Ali Bin Abi Talib K.W. Taqwa itu ialah takut kepada Allah Yang Maha Mulia, beramal dengan al-Quran, redha dengan sedikit yang ada pada diri dan bersiap untuk bertemu dengan Allah S.W.T.


Motivasi Nabi S.A.W menjelang Ramadhan

Salman al-Farisi berkata, bahawa baginda Rasulullah S.A.W berkhutbah di akhir bulan Sya'aban, sabda Baginda S.A.W:

"Wahai manusia! Sesungguhnya kamu dibayangi dengan satu bulan yang agung lagi diberkati, iaitu bulan yang ada di dalamnya satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan yang diwajibkan Allah puasa fardhu pada siang hari, amalan sunnat pada malam-malamnya.

Sesiapa yang melakukan sesuatu kebaikan daripada amal-amal kebajikan dan kebaikan, seolah-olah dia telah melakukan satu perkara fardhu, sementara yang melakukan satu perkara fardhu (pada bulan Ramadhan), seolah-olah dia telah melakukan 70 perkara fardhu."

Ramadhan adalah bulan kesabaran, dan pahala sabar itu akan membawa ke syurga. Ia juga bulan bertolak ansur, berkasih sayang, bulan yang menambahkan rezeki golongan mu'min.

Sesiapa yang memberi dan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, baginya keampunan seluruh dosa-dosa yang pernah dilakukannya serta pelepasan dari api neraka. Baginya juga pahala yang tidak berkurangan dari orang yang berpuasa.

Para sahabat bertanya: "Sebenarnya kami tidak ada apa yang boleh dijadikan juadah berbuka puasa untuk yang berpuasa, bagaimana kami boleh meraih pahala?"

Baginda S.A.W menjawab: "Allah tetap akan memberi pahala menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang yang memberi walaupun sebiji tamar, atau seteguk air atau setitis susu untuk orang berpuasa."

Ini kerana sabda Baginda S.A.W, pada 10 pertama Ramadhan adalah rahmat, 10 pertengahan Ramadhan disediakan keampunan dan 10 akhir Ramadhan adalah pelepasan daripada api neraka.

Justeru, tegas Baginda S.A.W, perbanyakkan pada bulan Ramadhan dengan empat perkara:

"Dua perkara daripadanya adalah untuk mendapatkan keredaan Tuhan kamu dan dua perkara lagi tidak boleh tidak, kamu mesti melakukannya.

Dua perkara untuk mendapatkan Tuhan kamu itu adalah dengan mengucap syahadat La Ilaha Illallah (tiada Tuhan melainkan Allah) dan memperbanyak Istighfar.

Sementara dua perkara yang mesti kamu lakukan adalah memohon kepada Allah untuk memasuki syurga-Nya dan minta dijauhkan daripada memasuki neraka-Nya.

Sesiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, maka Allah akan memberi minum kepadanya dari telagaku, di mana dia tidak akan merasa dahaga selepas meminumnya hingga dimasukkan dalam syurga." - Hadith Riwayat Ibnu Khuzaimah dalam kitab sahihnya, al-Baihaqi dan Ibnu Hibban.

Renung-renungkanlah. Selamat beramal..

-ibnumustafa-

Sunday, August 21, 2011

Puasa Kembalikan Manusia Ke Alam Fitrah

Antara sedar dengan tidak kita telah memasuki fasa ke tiga berpuasa dalam bulan Ramadhan yang mulia yang jatuh pada bulan kemerdekaan ini. Sesungguhnya pada bulan Ramadhan inilah kita akan kembali kepada alam fitrah yang semulajadi jika kita puasa mengikut acuan sunnah Rasulullah S.A.W.

Pada ketika kita mengamalkan puasa itulah kita akan melakukan beberapa ibadah yang menyesuaikan diri kita dengan alam kejadian kita.

Amalan puasa yang bermula dengan sahur waktu malam / awal pagi dan berbuka waktu Maghribnya memakan masa lebih kurang tiga belas jam.

Masa itulah yang sebenarnya diperlukan oleh tubuh untuk menghadam makanan keseluruhannya. Makanan yang masuk ke dalam perut itu akan dihadam menjadi sel, darah, otot dan lain-lain.

Inilah sepatutnya kita lakukan hari-hari tetapi dalam keadaan sebenarnya dalam tabiat kita makan sehari-hari kita makan banyak kali.

“Sarapan, makan pukul sepuluh, makan tengah hari, makan dan minum teh petang dan makan malam.

Di mana belum pun sempat proses penghadaman berlaku sepenuhnya makanan dimasukkan ke dalam perut terus menerus sehingga proses penghadaman terganggu.

Ini menyebabkan makanan yang tidak sempat dihadam akan diketepikan sahaja dan membusuk di dalam perut dan usus. Gas pun terkumpul dan gas ini menyebabkan kita sakit perut, sakit kepala dan bila gas dan toksid naik ke permukaan kulit di muka maka jerawat timbul, kelumumur dan macam-macam lagi.

Maka puasa di siang hari sebenarnya kembalikan kita ke alam fitrah di mana kita telah mendisiplin diri kita makan ikut fitrah dan ini sesuai dengan sains perubatan.

Ketika berbuka, hendaknya jangan kita makan banyak cukup sekadar minum segelas air dan makan kuih sedikit atau makan sedikit kurma.

Kemudian kita tunaikan solat Maghrib. Setelah itu minumlah sedikit demi sedikit setiap setengah jam hingga waktu jam sepuluh malam barulah makan yang berat sedikit.

Kalau kita terus makan dengan banyaknya ketika berbuka ianya akan menyebabkan perut menjadi terkejut dan mengalami sakit. Bila kita hendak memulakan perjalanan dengan kenderaan kita tidak memulakan enjin dengan kuat tapi dalam keadaan perlahan-lahan sebelum melajukan kenderaan. Begitu juga dengan tubuh kita.

Begitu juga ketika kita bersahur jangan makan banyak sangat. Ketika kita puasa disiang hari tubuh kita akan menghadam makanan yang kita makan ketika bersahur.

Kalau kita makan banyak maka banyaklah kerja alat penghadaman kita maka kita akan menjadi tersangat letih kerana kekuatan tenaga akan tertumpu pada penghadaman sahaja. Sedangkan di siang hari kita perlu juga terus bekerja mencari nafkah untuk diri dan keluarga.

Solat Fardhu

Dan sudah tentu kita mesti menunaikan solat-solat fardhu yang lima waktu. Kalau pada hari dan bulan lain dari Ramadhan kita lakukan solat tapi tidak regular maka pada bulan Ramadhan lakukanlah dengan penuh semangat tanpa ponteng.

Pada orang yang tidak solat dia tetap akan membasuh muka dan tangan sekejap-kejap untuk merasa nyaman bekerja maka waktu solat sudah tentu kita akan membasuh muka dan lain-lain kawasan tubuh kita; maka dengan sendirinya kita telah merasa nyaman, bersih dan membersihkan diri kita dari dihinggapi jutaan kuman pada kulit kita yang terdedah. Tambahkan pahala kita dengan solat-solat sunat rawatib.

Solat Tarawih

Pada malam harinya kita solat tarawih atau nama sebenarnya solatullail. Pada siang hari dengan kita berpuasa maka perjalanan darah agak 'slow' sedikit maka dengan kita solat tarawih kelancaran perjalanan darah menjadi laju sedikit dan kembalikan kita kepada edaran darah yang normal.

Sesungguhnya solat tarawih sepatutnya dilakukan setiap hari, tarawih pada bulan Ramadhan adalah sebagai latihan kepada bulan-bulan yang lain.

Mengaji / Bertadarus Al-Quran

Kita digalakkan membaca al-Quran pada setiap malam Ramadhan sebagai latihan kepada membaca al-Quran setiap hari di bulan-bulan selain Ramadhan.

Bila kita membaca al-Quran kita mencipta gelombang suara, secara automatik kita mencas kuasa elektrik-magnetik di dalam diri kita, mata kita bergerak, otot-otot muka bergerak, leher kita bergerak, telinga bergerak untuk mendengar bacaan kita itu, 'MAKA JADILAH KEPALA KITA SEPERTI KOTAK SUIS ELEKTRIK' atau seperti komputer yang diberi isiannya.

Inilah satu daripada kebaikan membaca al-Quran setiap hari, tetapi hari ini kita perhatikan amalan bacaan al-Quran tidak lagi menjadi amalan seharian umat Islam. Kalau ada pun mereka menyimpan kaset atau CD al-Quran sahaja.

Kalau di rumah kita baca dengan anggota keluarga kita dan ini akan rapatkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak. Di peringkat masyarakat membaca atau bertadarus di surau dan masjid akan merapatkan ukhuwah Islamiyah di kalangan penduduk.

Orang yang puasa dengan sendirinya mendisiplinkan dirinya dengan tidak makan dan minum di siang hari, menjauhkan perkara maksiat dan lain-lain perkara mungkar.

Dan dia bersama-sama jutaan umat Islam seluruh dunia melakukan puasa ini. Gambarkan keadaan suasana puasa, buka, sahur dan melakukan ibadah solat tarawih dan tadarus al-Quran di seluruh dunia oleh umat Islam - alangkah indahnya suasana ini.

Maka sesungguhnya dengan ibadah puasa manusia telah kembalikan dirinya ke alam fitrah.

-ibnumustafa-

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan dan Kematian..

Ramadhan dihayati lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Antara sedar dan tidak sudah separuh bulan ia berlalu. Bulan kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah..

Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah..

Namun, ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah..

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadhan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini..

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadhan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketaqwaan dibentang seluas-luasnya..

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan..

Menghampiri Ramadhan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Kanda Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa, pada malam 19 Ramadhan 1421 bersamaan 15 Disember 2000, sebelas tahun lalu. Dalam usia 27 tahun, kematian kanda tercinta, anak lelaki pertama harapan ayah dan ibu, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, adik-beradik, ayah & ibu terutamanya dan saudara mara yang lain ke penjuru satu dunia yang berbeza..

Ternyata kasih sayang buat saudara darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi..

Ya, Ramadhan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali..

Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian saudara kandung yang belum berkeluarga, yang masih muda, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya..

Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan..

Benar sekali Sabda Nabi S.A.W, perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat meragut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang orang Mu'min yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya..

Ditanya lagi, orang Mu'min mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab Baginda S.A.W, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian..

Ramadhan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadhan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata..

Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi Rabbul A'lamin. Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya..

Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadhan yang sangat istimewa itu. Pesanku buat diri yang sangat mudah terleka ini, juga kita semua.. walaupun kanda kerap mengejutkannya..

Al-Fatihah buat kedua orang kanda & kekanda tercinta

Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa

19 Ramadhan 1421H / 15 Disember 2000

&

Hjh Latifah Binti Hj Mustafa

25 Jamadil Awal 1421H / 26 Ogos 2000

Kalian tetap di jiwa kami selamanya~

-ibnumustafa-

Ramadhan Menggamit Keinsafan, Mengisi Bekalan Iman Dan Taqwa..

Ramadhan bulan ajaib sedang dilalui. Keinginan untuk mendekatkan diri pada-Nya serta merta bertambah. Sebuah tarikan yang amat kuat. Kita ingin menjadi manusia baru melalui proses The Power of 30 days.

Bulan retreat, segala perlakuan biasa kita, kita tinggalkan pada genap 30 Sya'aban yang lalu, melangkah masuk ke Bulan penuh keberkatan, Ramadhan al-Kareem dengan program komprehensif, bertubi-tubi.


Hari biasa, jadual sarapan, makan tengahari dan malam, kini kita berlapar. Haus.


Lintasan fikiran kita terus ke Padang Mahsyar dengan segala kehausan dan kelaparan, lama dan berat. Tidak tertanggung.


Bukankah, timbul keinsafan untuk kita menjadi manusia baik yang tidak akan kelak menderita tanpa sesiapa menjenguk menghulur segelas Teh O Ais Limau di Perhimpunan Pembalasan yang ngeri itu.


Perut yang kita rajakan selama ini mengempis, membakar lemak-lemak yang telah kita kumpulkan setahun lamanya, lalu tidakkah hati tertumpah kepada para fuqara', anak-anak yatim dan mereka yang melarat, di mana kelaparan adalah hiasan hidup mereka seharian. Bukan seperti kita yang sering bermewah-mewahan.


Hati kita menjadi lebih syahdu. Keinsanan seorang insan, dan keihsanan seharusnya segera memancar, lalu anda menjadi pemurah. Bukankah itu selanjutnya menambahkan pertautan kasih sesama insan sharing is caring?


Paling tidak, anda hulurkan semangkuk kuah, pada jiran anda, sabda Rasulullah S.A.W.


Kita dahulukan dengan sahur. Kita dipaksa, ya, dipaksa 30 hari dalam setahun untuk bangun pada waktu yang sukar, tapi penuh berkat. Waktu Tuhan menjanjikan pengampunan dan kurnia, waktu si mu'min bertekuk;


..pada waktu Sahur, mereka memohon keampunan... - Surah az-Zaariyat; ayat 18.

Al-Quran? Ia email Tuhan untuk kita. Tapi kesibukan kita, atau sebenarnya sikap tak endah kita, kita lupa membaca warkah yang mahal itu. Kita, kita gelarkan diri kita para pejuang Islam, juga lupa mentelaahnya.. ah? Ramadhan merayu kita untuk berfikir semula tentang Quran dan kita. Nuzul al-Quran yang baru berlalu beberapa hari yang lalu apakah kita benar-benar menghayatinya? atau sekadar meraikan hari cuti seperti cuti-cuti umum yang lain.

Dalam qiam Tarawih yang indah dan dalam sayup suara di mana-mana, alunan Quran membawa kita membacanya dari lembar ke lembar, sehingga tamat.

Suluhan petunjuknya kita sematkan di dada, kisah dan teladan kita telusuri semula, hikmah dan maknanya, kita belajar sekali lagi. Harapan dan suruhannya, kita perkukuhkan azam menghayatinya.

Larangannya, kita tidak biarkan ia berlalu tanpa menyentuh hati kita untuk berubah.

Bulan ulangkaji. Bulan koreksi diri. Bulan mengisi tangki bekalan iman dan taqwa. Bulan kesabaran. Jika ada yang mengherdik dan menyakiti hati anda, katakanlah pada mereka,

Saya berpuasa.. Saya berpuasa.. Saya berpuasa..

Ia tidak mudah. Tapi kan Ramadhan itu meninggalkan yang buruk-buruk di pagar harinya yang pertama.

Sabda Rasulullah S.A.W, berapa ramai orang yang berlapar, berdahaga dan berdiri malam, ia hanya sia-sia? Malang sekali. Ini yang seharusnya paling kita takuti. Dalam asyik mengejar ganjarannya, kita terlepas semuanya.

Bukankah ini sahaja sudah cukup untuk mentransform individu dan masyarakat Islam seluruhnya melalui Ramadhan al-Kareem?

Ahli Dewan Undangan, Ahli Parlimen, Para Menteri dan pembuat dasar, karyawan, pengarang dan penulis, peniaga, pekerja, berpuasa dengan ingatan ini, mana lagi kacau bilau dan hiruk pikuk yang tidak menentu dalam masyarakat Malaysia kita?

Muhasabahlah, Allah S.W.T menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.

Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di Ramadhan-Mu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat yang bertaqwa, satu masa. Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurga-Mu.

Alangkah bahagianya, sekali lagi Engkau izinkan aku menemui Ramadhan-Mu yang Pemurah...

-ibnumustafa-

Wednesday, August 17, 2011

Nuzul Al-Quran Dan Hubungkaitnya Dengan Lailatul Qadar


Bulan Ramadhan telah dipilih oleh Allah S.W.T sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah penurunan al-Quran pada suatu malam di dalam bulan Ramadhan. 

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah... - Surah Al-Baqarah; ayat 185.

Sebab itu juga kita digalakkan mempertingkatkan bacaan dan bertadarus al-Quran pada bulan Ramadhan ini iaitu sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadhan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suci-Nya diturunkan.

Manakala dalam bulan Ramadhan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Qadar, maksudnya: 

[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar. 

[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?

[3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.

[4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); 

[5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!" 

Pada ayat pertama, disebutkan dengan jelas bahawa al-Quran itu telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan sudah tentulah hal ini berlaku dalam bulan Ramadhan kerana jumhur ulama' menyifatkan demikian. (Sesetengah sufi besar seperti Ibnu 'Arabi lewat kitab agungnya Futuhat Makkiyyah mendakwa Lailatul Qadar juga pernah turun pada bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan di luar Ramadhan. Wallahu'alam.)

Ini kerana, ayat pertama di dalam surah al-Qadar ini ada kaitan dan kesinambungannya dengan ayat 185 dalam Surah al-Baqarah yang menyebutkan bahawa al-Quran itu memang diturunkan pada malam bulan Ramadhan.

Nabi Musa A.S bermunajat, berpuasa menunggu turunnya Taurat 

Seperti yang termaklum, hubungan Nabi Muhammad S.A.W dengan Nabi Musa A.S itu amat erat. Seperti mana cara al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad S.A.W, maka dengan cara yang sama jugalah kejadian itu berlaku ke atas umat Musa A.S, iaitu Bani Israel.

Suatu zaman yang lalu, Nabi Musa A.S pernah bermunajat selamat 40 hari, 40 malam di atas sebuah bukit. Baginda A.S juga berpuasa dalam tempoh turunnya 10 Rukun atau Ten Commandments itu; iaitu peristiwa seperti mana kita berpuasa untuk mengingati peristiwa turunnya al-Quran tersebut. 

Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya yang zalim (terhadap diri sendiri). - Surah Al-Baqarah; ayat 51.

Peraturan dan syariat baru (Ten Commandments) itu dirakam dalam bentuk batu bersurat, prasasti untuk Bani Israel dan menurut riwayat, Nabi Musa A.S sendiri telah memecahkan batu bersurat yang terakam di atasnya peraturan baru terhadap umatnya itu. Puncanya, Baginda A.S berang ke atas sikap umatnya yang kembali menyembah anak lembu ciptaan Samiri.

Sikap marah Nabi Musa A.S itu turut tercurah ke atas saudaranya Nabi Harun A.S. Allah S.W.T merakamkan kejadian tersebut.

Nabi Harun A.S menjawab: 

Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrael sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku! - Surah Taha; ayat 94.

Kejadian itu benar-benar mengecewakan Nabi Musa A.S kerana hampir keseluruhan Bani Israel telah kembali menuju jalan kesesatan, melainkan segolongan yang kecil sahaja yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Tauhid yang asal.

Samiri, mungkin seorang pengamal sihir telah mengambil kesan jejak langkah rasul untuk menguatkan lagi kesan sihirnya ke atas Bani Israel. Ketika Nabi Musa A.S bertanya kepada Samiri, maka penyihir itu berkata.

Ia menjawab: 

Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku.” - Surah Taha; ayat 96.

Demikianlah halnya dengan nasib umat Islam hari ini. Mereka boleh disesatkan ahli sihir, wanita penyihir yang gilakan kuasa secara halus dan tersirat jika agamawan dan mufti masih setia dan selesa menjaga kedudukannya dengan mengambil sikap membisu (syaitan bisu) dan tidak membuka simpulan tali pada lidahnya dalam usaha menegur amalan sihirnya yang boleh menyesatkan aqidah umat ini secara beransur-ansur.

Sikap Muslimin terhadap Lailatul Quran

Sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit. Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad S.A.W menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj.

Rasulullah S.A.W pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka Nabi S.A.W meminta kita membaca doa, 

Allahumma inna nas alukar ridhoka wal jannah, wa na'uzubika min sakhatika wan nar.. 

Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat serta roh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain.

Biarlah kita memohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, memperbanyakkan amalan bersedekah dan lain-lain.

Dan jika kita mendapat sesuatu projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan tidaklah kita mengalibabakan projek tersebut sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita asing.

Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh Baginda S.A.W tadi - 

Allahumma inna nas alukar ridhoka wal jannah, wa na'uzubika min sakhatika wan nar.. 

Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan dimakbulkan segala doa dan hajat.

Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di depan mata. Adalah terlebih afdhal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan. Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah.. 

-ibnumustafa-