Iktikaf merupakan pendekatan ibadat yang sangat efektif bagi muslim dalam memelihara keIslamannya khususnya dalam era globalisasi, materialisasi dan informasi masa kini.
Definisi Iktikaf
Para ulama' mendefinisikan iktikaf iaitu berdiam atau tinggal di masjid dengan adab-adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan untuk mendekatkan kepada Allah S.W.T.
Ibnu Hazm berkata:
"Iktikaf adalah berdiam di dalam masjid dengan niat mendekatkan diri (taqorrub) kepada Allah S.W.T pada waktu tertentu pada siang atau malam hari." - al Muhalla V/179.
Hukum Iktikaf
Para ulama' telah berijmak bahawa iktikaf khususnya 10 hari terakhir bulan Ramadhan merupakan suatu ibadah yang disyariat dan disunatkan oleh Rasulullah S.A.W.
Rasulullah S.A.W sendiri sentiasa beriktikaf pada bulan Ramadhan selama 10 hari.
Aisyah, Ibnu Umar dan Anas R.A meriwayatkan:
"Adalah Rasulullah S.A.W beriktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan" - Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.
Hal ini dilakukan oleh Baginda S.A.W hingga wafat, kecuali pada tahun wafatnya, Baginda S.A.W beriktikaf selama 20 hari.
Demikian halnya para sahabat dan isteri Baginda S.A.W sentiasa melaksanakan ibadah yang amat agung ini. Sehubungan itu, Imam Ahmad berkata:
"Sepengetahuan saya tak seorang pun ulama' mengatakan iktikaf bukan sunat."
Fadhilat (keutamaan) iktikaf
Abu Daud pernah bertanya kepada Imam Ahmad:
"Tahukah anda hadith yang menunjukkan keutamaan iktikaf?"
Imam Ahmad menjawab:
"Tidak, kecuali ia hadith lemah (daif)."
Namun demikian tidaklah mengurangi nilai ibadah iktikaf itu sendiri sebagai taqorrub kepada Allah S.W.T dan cukuplah keuatamaannya bahawa Rasulullah S.A.W, para sahabat, para isteri Rasulullah S.A.W dan para ulama' salafus soleh sentiasa melakukan ibadah ini.
Jenis-jenis iktikaf
Iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat, dan kedua wajib.
Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata untuk bertaqorrub kepada Allah S.W.T seperti; iktikaf 10 hari terakhir bulan Ramadhan.
Dan iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti:
"Kalau Allah S.W.T menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf."
Waktu iktikaf
Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu tertentu, bila-bila saja pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.
Ya'la bin Umayyah berkata:
"Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tak lain hanya untuk beriktikaf."
Syarat-syarat iktikaf
Orang yang iktikaf harus memenuhi kriteria-kriteria sebagai berikut:
1. Muslim
2. Berakal
3. Suci dari janabah (junub), haid dan nifas.
Oleh kerana itu, iktikaf tidak diperbolehkan bagi orang kafir, anak yang belum mumaiyiz (mampu membezakan), orang junub, wanita haid dan nifas.
Rukun-rukun iktikaf
1. Niat - Al-Quran, Surah Al-Bayyinah; ayat 5, Hadith Riwayat Bukhari & Muslim tentang niat.
2. Berdiam di masjid - Al-Quran, Surah Al-Baqarah; ayat 187.
Di sini ada dua pendapat ulama' tentang masjid tempat iktikaf. Sebahagian ulama' membolehkan iktikaf di setiap masjid yang diguna untuk solat berjemaah lima waktu.
Hal itu dalam rangka menghindari seringnya keluar masjid dan untuk menjaga pelaksanaan solat jemaah setiap waktu.
Ulama' lain mensyaratkan agar iktikaf itu dilaksanakan di masjid yang diguna untuk membuat solat Jumaat, sehingga orang yang beriktikaf tidak perlu meninggalkan tempat iktikafnya menuju masjid lain untuk solat Jumaat.
Pendapat ini dikuatkan oleh para ulama' Syafiiyah bahawa yang afdhal iaitu iktikaf di masjid jami', kerana Rasulullah S.A.W iktikaf di masjid jami'. Lebih afdal di tiga masjid; Masjid al-Haram, Masjid an-Nabawi dan Masjid al-Aqsa.
Awal dan akhir iktikaf
Khusus iktikaf Ramadhan waktunya dimulai sebelum terbenam matahari malam ke-21. Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W:
"Barang siapa yang ingin beriktikaf denganku, hendaklah ia beriktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan." - Hadith Riwayat Bukhari. 10 (sepuluh) di sini adalah jumlah malam, sedangkan malam pertama dari sepuluh itu adalah malam ke-21 atau 20.
Adapun waktu keluarnya atau berakhirnya, kalau iktikaf dilakukan 10 malam terakhir, iaitu setelah terbenam matahari, hari terakhir bulan Ramadhan.
Akan tetapi beberapa kalangan ulama' mengatakan yang lebih mustahab (disenangi) adalah menuggu sampai solat hari raya.
Hal-hal yang disunatkan waktu beriktikaf
Disunatkan agar orang yang beriktikaf memperbanyak ibadah untuk bertaqorrub kepada Allah S.W.T, seperti solat, membaca al-Quran, tasbih, tahmid, tahlil, takbir, istighfar, selawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W, doa dan sebagainya serta termasuk juga di dalamnya pengajian, ceramah, majlis ta'lim, diskusi ilmiah, mentelaah buku tafsir, hadith, sirah dan sebagainya.
Hal-hal yang diperbolehkan bagi mutakif (orang yang beriktikaf)
1. Keluar dari tempat iktikaf untuk menghantar isteri, sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W terhadap isterinya Sofiyah R.A. - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
2. Menyisir atau mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh dari kotoran dan bau badan.
3. Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum (jika tidak ada yang menghantarkannya), dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali setelah menyelesaikan keperluannya .
4. Makan, minum, dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.
Hal-hal yang membatalkan iktikaf
1. Meninggalkan masjid dengan sengaja tanpa keperluan walaupun sebentar, kerana meninggalkan salah satu rukun iktikaf iaitu berdiam di masjid.
2. Murtad ( keluar dari agama Islam )
3. Hilangnya akal, kerana gila atau mabuk
4. Haid atau Nifas
5. Berjimak (bersetubuh dengan isteri) - Al-Quran, Surah Al-Baqarah; ayat 187, akan tetapi memegang tanpa syahwat, tidak apa-apa sebagaimana yang dilakukan Nabi dengan isteri- isterinya.
6. Pergi solat Jumaat (bagi mereka yang membolehkan iktikaf di surau yang tidak digunapakai untuk solat Jumaat).
Wallahu'alam..
No comments:
Post a Comment