Maka orang Soleh itu pun menyapa mereka dengan berkata: Adakah tindakan tuan-tuan dengan banyak ketawa merasakan tidak ada dosa yang tertanggung atau begitu yakin amalan tuan-tuan diterima Allah S.W.T dengan membuang masa begini?
Jika diterima sekali pun adakah sesuai tuan-tuan duduk lama di kedai kopi bersembang pada perkara yang tidak menguntungkan Islam dan umatnya?
* Justeru menurutnya, sesungguhnya amal-amal soleh yang berkekalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan seperti berpuasa, membaca al-Quran, solat Tarawih, bersedekah dan berzakat, menyedia atau memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jamaah, menjaga waktu solat fardhu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan lain-lain adalah petanda amalan orang berpuasa diterima di sisi Allah S.W.T.
* Hendaklah setiap muslim menjadikan ketaatan dan muraqabah (pengawasan) terhadap Allah S.W.T setiap masa seperti di bulan Ramadhan adalah perkara utama agar amalannya terus diterima di sisi-Nya, di samping menjauhkan diri daripada terlibat dalam perkara dosa, mungkar dan keji bersesuaian dengan inspirasi hadith Baginda S.A.W yang bermaksud:
“Susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan, dan berakhlak mulialah terhadap manusia dengan akhlak yang terpuji”.
* Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi Allah S.W.T seperti yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 10 Surah al-Fatir: “Kepada-nya (Allah) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-Nya.”
* Bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan juga adalah faktor dikenal pasti sebagai penyebab amalan seseorang diterima Allah S.W.T.
* Suka bersedekah dan tidak kedekut adalah punca amalan diterima Allah S.W.T.
* Mengekal dan memelihara taqwa kepada Allah juga menyebabkan amalan diterima Allah S.W.T.
* Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.
* Memelihara rukun Islam yang lima serta rukun Iman yang enam juga penyebab amalan diterima Allah S.W.T.
* Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith yang bermaksud:
“Sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit”.
Apapun Ramadhan telah melahirkan dua jenis manusia yang mempunyai cara berbeza dalam penampilan mereka selepas Ramadhan, justeru marilah sama-sama kita renung secara mendalam untuk kita tentukan golongan mana yang patut dicontohi.
Golongan Pertama
Golongan yang dapat disaksikan dalam bulan Ramadhan begitu ghairah melakukan apa sahaja amal ibadat selagi sanggup melakukannya, solat ketika orang lain juga bersolat, ruku’, sujud, bertadarus dengan berlinangan air mata kerana takutkan azab Allah S.W.T ketika membaca al-Quran.
Agak sukar untuk melihat dalam diri mereka akhlak yang terkeji, kerana satu bulan Ramadhan diisi dengan pelbagai ketaatan kepada Allah S.W.T, menjauhkan diri dari segala maksiat dan perkara yang melalaikan.
Namun setelah sebulan dua ditinggalkan Ramadhan, ketaatan, ibadat dan segala apa yang dilakukan hanya menjadi kenangan manis yang berlalu pergi bersama pertukaran bulan-bulan yang lain, surau dan masjid bukan lagi menjadi tempat destinasi persinggahan, al-Quran bukan lagi menjadi bahan bacaan harian, bulan berganti bulan hingga terbit Ramadhan pada tahun berikutnya, inilah golongan yang hanya beribadat secara bermusim, seolah-olah Allah S.W.T hanya wujud di bulan Ramadhan sahaja, sedangkan pada bulan-bulan yang lain kehangatan beribadat semakin pudar.
Golongan Kedua
Golongan yang merasa amat gembira dengan kedatangan Ramadhan dan merasa hiba dengan pemergian bulan yang mulia ini, kerana mereka merasa seronok dengan kemanisan dan janji-janji yang ada padanya.
Ramadhan bagi mereka adalah peluang untuk menambah koleksi pahala sebanyak mungkin, kerana mereka mengetahui, bahawa Ramadhan bulan kesabaran, persamaan, berkasih-sayang, terdapat padanya Lailatul Qadr, solat Tarawih, rahama, keampunan, pelepasan dari api neraka, Nuzul al-Quran, tadarus, tazkirah, pengeluaran Zakat Fitrah, peristiwa Badr al-Kubra, pembukaan Kota Mekah dan seribu macam pahala yang tersedia untuk direbut.
Mereka beramal dengan sepenuh hati bagi menjana diri sebagai hamba-hamba Allah S.W.T yang bertaqwa menerusi ibadat puasa, mereka akan menangis jika Ramadhan hampir melabuhkan tirainya kerana mungkin tidak akan bertemu dengannya pada tahun-tahun yang mendatang.
Kesimpulannya
Terserah kepada anda untuk menentukan kedudukan yang mana satu yang harus anda pilih di antara dua golongan yang disebutkan di atas.
Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat Baginda Rasulullah S.A.W ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah S.W.T yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan.
-ibnumustafa-
No comments:
Post a Comment