PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, December 21, 2009

Hadith Nabi SAW

Telah bersabda Rasulullah SAW:
“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka berkatalah yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah jirannya. Dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka muliakanlah tetamunya” - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

-ibnumustafa-

Thursday, December 17, 2009

Doa Akhir Tahun Dan Awal Tahun Hijrah.

Salam 1 Muharam.. Selamat menyambut Ma'al Hijrah 1431..

Semoga amalan2 kita diterima oleh Allah SWT dan diampunkan segala kesalahan kita.. Insyallah..

1. Berdoa akhir tahun pada hari terakhir bulan Zulhijah selepas Solat Asar sebanyak 3X.
2. Berdoa awal tahun pada 1 Muharam selepas Solat Maghrib 3X.
3. Banyakkan amal ibadat seperti solat sunat, zikir dan sebagainya.

Telah berkata Abu Hurairah RA, "Setiap kali datangnya tahun baru membuat aku risau dan resah kerana semakin singkat umurku, semakin dekatnya ajalku, semakin tipisnya waktu pengampunan Allah SWT terhadapku, semakin dekatnya hari perhitunganku.

"Maksud Hadith:
"Barang siapa yang berpuasa tiga hari dalam bulan Muharam, iaitu hari Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah SWT menulis padanya pahala seperti mana beribadat selama 2 tahun."

-ibnumustafa-

Tuesday, November 24, 2009

JODOH pertemuan di tangan Tuhan..

Jodoh tiada kaitan dengan keturunan...

Hanya belum sampai masanya. Ia bagai menanti jambatan untuk ke seberang. Kalau panjang jambatannya jauhlah perjalanan kita. Ada org jodohnya cepat sebab jambatannya singkat. Usia 25 tahun rasanya belumlah terlalu lewat. Dan usia 30 tahun belum apa-apa kalau sepanjang usia itu telah digunakan untuk membina kecemerlangan. Nyatakanlah perasaan dan keinginan anda itu dalam doa-doa lewat menunaikan solat. Allah SWT mendengar..

Wanita baik untuk lelaki yang baik, sebaliknya wanita yang kurang baik untuk lelaki yang kurang baik. Biar lambat jodoh asalkan mendapat yang baik dan biar seorang diri daripada menjadi mangsa lelaki atau wanita yang tidak beriman..

Memang kita mudah tersilap menafsir kehidupan ini. Kita selalu sangka, aku pasti bahagia kalau mendapat ini, aku pasti bahagia kalau mendapat itu. Hakikatnya, apabila kita benar-benar mendapat apa yang kita inginkan itu, ia juga datang bersama masalah..

Kita selalu melihat orang memandu kereta mewah dan terdetiklah di hati kita, bahagianya orang itu. Hakikatnya apabila kita sendiri telah memiliki kereta mewah kita ditimpa pelbagai karenah. Tidak mustahil pula orang yang memandu kereta mewah (walaupun sebenarnya tak mewah) terpaksa membayar lebih tatkala berhenti untuk membeli durian di tepi jalan. Orang lain membeli dengan harga biasa, dia terpaksa membayar berlipat kali ganda atas penipuan kehidupan..

Ketika anda terperangkap dalam kesesakan jalan raya, motosikal mencelah-celah hingga mampu berada jauh di hadapan. Anda pun mengeluh, alangkah baiknya kalau aku hanya menunggang sebuah motosikal seperti itu dan cepat sampai ke tempat yang dituju. Padahal si penunggang motosikal mungkin sedang memikirkan bilakah dia akan memandu kereta di tengah-tengah bandar raya..

Bukan semua yang anda sangka membahagiakan itu benar-benar membahagiakan. Bahagianya mungkin ada tetapi deritanya juga datang bersama. Semua benda, pasti ada baik buruknya..

Demikian juga dengan halnya perkahwinan. Ianya nampak baik sebab ia dibenarkan oleh agama, sunnah Nabi SAW, sebagai saluran yang betul untuk melepaskan shahwat disamping membina sahsiah dan sebagainya, tapi ia juga buruk sebab ramai orang yang berkahwin hidupnya semakin tidak terurus..

Ramai orang menempah neraka sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam berumahtangga. Bukankah dengan ijab dan kabul selain menghalalkan hubungan kelamin, tanggungjawab yang terpaksa dipikul juga turut banyak. Bukankah apabila anda gagal melaksanakannya, anda membina dosa seterusnya jambatan ke neraka?

Berapa ramaikah yang menyesali perkahwinan masing-masing padahal dahulunya mereka bermati-matian membina janji, memupuk kasih dan cinta, malah ada yang sanggup berkorban apa sahaja asalkan segala impian menjadi nyata..

Jika tidak sanggup untuk memikul tanggungjawab tidak usah berkahwin dulu. Jika merasakan diri belum cukup ilmu untuk bergelar ibu ataupun ayah, belajarlah dulu. Jika rasa-rasa belum bersedia untuk bersabar dgn karenah anak-anak, carilah dulu kesabaran itu. Jangan berkahwin dulu sebab kenyataannya ramai yang tidak bersedia untuk melangkah tetapi telah melompat, akhirnya jatuh terjerumus dan tidak jumpa akar berpaut tatkala cuba mendaki naik..

Berkahwin itu indah dan nikmat bagi yang benar-benar mengerti akan tuntutan2nya..

Berkahwin itu menjanjikan pahala tidak putus-putus bagi yang menjadikannya gelanggang untuk mengukuhkan iman, mencintai Tuhan dan menjadikan syurga sebagai matlamat hidup. Berkahwin itu sempadan dari ketidaksempurnaan insan kepada kesempurnaan insan - bagi yang mengetahui akan rahsia-rahsianya..

Berkahwinlah anda demi Tuhan dan Nabi-Nya, bukanlah berkahwin kerana perasaan dan keterpaksaan. Jodoh usah terlalu dirisaukan, tiba masanya ia akan datang menjemput, namun perlu juga anda membuka
lorong-lorongnya agar jemputan itu mudah sampai dan tidak terhalang..

Seorang teman pernah berpesan...

Kadang kala Allah SWT sembunyikan mentari...
Dia datangkan petir dan kilat...
Kita menangis dan tertanya-tanya...
Kemana hilangnya sinaran mentari...
Rupa-rupanya...
Allah SWT ingin menghadiahkan kita..
Sejalur pelangi nan indah...


-ibnumustafa-

Thursday, November 19, 2009

Wudhuk Dan Mandi Hadas Anggota Cedera

Dalam masalah ini, kebanyakan ulama' menyatakan: Dia hanya perlu menyapu air pada balutan berkenaan. Dia tidak perlu menyampaikan air pada kulit di bawah balutan tersebut. Bab ini dipanggil al-Mash ‘ala al-Jabirah wa al-‘Isabah iaitu menyapu di atas balutan patah dan luka.

Namun begitu oleh kerana hadith-hadith dalam masalah ini kesemuanya tersangat daif, ini seperti yang dinyatakan oleh para ulama' hadith seperti al-Baihaqi, dan tegaskan lagi oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah, maka berlaku perbezaan pendapat di kalangan ulama' dalam masalah ini.

Apa yang saya rumuskan daripada perbahasan para ulama' feqah, ialah dua pendapat yang boleh diikuti;

Pertama: Hanya perlu sapu di atas balutan tersebut. Dia tidak diwajibkan berwudhuk sebelum memakai balutan tersebut. Ketika berwudhuk atau mandi wajib dia hanya perlu sapu air di atas balutan tersebut, tanpa perlu membasuhnya, atau melalukan air di bawahnya, atau menanggalkannya. Inilah pendapat terpilih daripada kebanyakan ulama' feqah. (lihat: ‘Abd al-Karim Zaidan, Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar`ah, 1/140, cetakan: Muassasah al-Risalah, Beirut).


Kedua: Disebabkan hadith-hadith dalam bab ini terlalu daif maka ada ulama' feqah yang berpegang kepada tidak ada apa yang dikatakan sapu atas balutan patah atau luka. Sebaliknya anggota yang cedera, atau dibalut tersebut tidak perlu sebarang sapuan atau basuhan kerana telah gugur kewajipan syarak ke atas anggota tersebut. Ini pendapat yang dikemukakan oleh al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi (wafat 456H). Kata beliau ketika memberikan alasan pandangannya:

Dalilnya firman Allah SWT (maksudnya) “Allah SWT tidak bebankan kepada seseorang kecuali apa yang dia terdaya” dan sabda Nabi SAW: “Apabila aku perintah kamu dengan sesuatu perintah, maka datangilah ia dengan kadar kemampuan kamu”.

Dengan dalil al-Quran dan as-Sunnah gugur kewajipan apa yang seseorang tidak mampu. Maka gantinya ialah apa yang disyarakkan. Syarak pula tidak wajib diikuti melainkan dengan dalil daripada al-Quran atau As-Sunnah. Tiada dalil al-Quran atau As-Sunnah yang menggantikan basuhan dengan sapuan ke atas balutan patah atau ubat bagi anggota yang tidak mampu dibasuh. (lihat: Ibn Hazm al-Andalusi, Al-Muhalla,1/316, cetakan Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut ). Tokoh hadith zaman ini yang terkenal asy-Syeikh Muhammad Nasir ad-Din al-Albani RA cenderung kepada pendapat ini. (lihat: Al-Albani, Tamam al-Minnah, 133-135, cetakan: Dar ar-Rayah, Riyadh).

Salah satu pendapat atas boleh untuk diamalkan, keduanya lebih mudah untuk pesakit dibandingkan pendapat-pendapat lain. Dia juga tidak perlu mengulangi solat yang dilakukannya apabila dia sembuh. Inilah pendapat yang paling kuat.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Wednesday, November 18, 2009

ISLAM bukanlah barang 'SPARE PART'!

Barang spare part biasanya kita gunakan bagi memenuhi kehendak dan keperluan kita. Barang spare part juga akan kita gunakan apabila berada dalam keadaan kesusahan ataupun pada keadaan tertentu sahaja.

http://www.autocarindia.com/new/Images/Information/Swift-ZXI-stepney.jpg

Tayar spare contohnya, amat bernilai dan dipuji-puji ketika saat tayar utama bocor. Jika tidak, kewujudannya tidak di endah, hadirnya ia tidak dipedulikan! Agak malu hendak menyatakan hakikat bahawa, keadaan Islam adalah seperti itulah sekarang. Islam yang sepatutnya menjadi 'kenderaan' bagi membawa penumpangnya sampai ke destinasi sebaliknya hanya menjadi barang spare part! Barang yang hanya diletakkan di 'bawah' bonet, dan di belakang sekali! Amat hina, tidak bernilai dan martabat yang rendah.

Jika di sepanjang perjalanan itu tidak terjadi apa-apa musibah umpama tayar bocor, maka tayar spare part tidak akan diendah lansung. Tidak ada cakap-cakap pun tentang tayar spare. yang ada hanya yang nampak seperti minyak hitam, air radiator, bateri, bunga tayar utama. Tayar spare part? ahh, pedulikan ia. Segala macam bukti boleh dihujahkan bagi menyatakan bahawa begitulah status Islam pada hari ini. Hanya diguna apabila perlu. Hanya disebut apabila terdesak.

Kadang-kadang dalam satu perbincangan, terpaksa menggunakan Islam bagi menyatakan dan membuktikan keadaan masih lagi boleh terkawal kononnya. Pemandu utamanya dengan tidak segan silu membaca bait-bait al-Quran sedangkan penumpang-penumpangnya di belakang gelak gelak ketawa memijak-mijak Islam, mengutuk ulama', menghina syariat dan hukum Islam, mempersenda kes murtad. Mungkin pemandu itu terlupa mengingatkan penumpangnya agar jangan suka bermain ketika dalam kereta. Mungkin ada juga 'seorang' penumpang dalam kereta itu yang yang mengingatkan pemandunya agar 'jangan bawa laju-laju'. Tetapi, pemandunya berkata: 'aku tau la, aku yang pandu, kau duduk diam-diam'. Demikian juga kes seorang wira yang berjaya pusing-pusing satu dunia guna kenderaan kapal layar. Ketika belayar, mungkin langsung tak menjadikan islam barang spare part malah terus TIDAK DIBAWA bersama! Hendak buat apa bawa Islam? Bukankah menyusahkan?

Misi utama harus dikejar terlebih dahulu. Jika Islam dibawa, tentu ia akan membantutkan usaha memburu impian itu! Hari ini, dengan tidak malu dan sedikit janggal, mengambil semula Islam yang pernah ditinggalkannya dahulu. Dijaja disana sini dengan sedaya upaya bagi mengatakan 'aku pun islam juga'.

Hei, orang berada di pentas, tidak akan tahu bagaimana persepsi penonton! Jika tidak tahu berlakon, jangan berlakon! Jika tersalah skrip, anda menempah bahaya!! Tidak kurang juga ulama'-ulama' jahat yang kini sedang membiak dan membesar dengan pantas. Ulama'-ulama' jahat semakin berleluasa di sana sini. Ada yang diangkat menjawat jawatan penting. Mereka ini kelak akan memakan dan meranapkan ulama'-ulama' yang baik agar ulama' yang baik ini tidak kedengaran suaranya. Yang akan terdengar hanyalah suara-suara ulama' jahat yang mahukan umat tersesat dan terpesong dengan lebih jauh.

Ulama' jahat ini juga lebih jahat daripada pemimpin negara yang cetek ilmu agamanya. Kerana jahatnya itu, dia memutarbelitkan fakta-fakta, sirah, syariat yang ada agar semuanya selari dengan zaman kini. Lantaran itu, golongan ulama' jahat ini sepatutnya tidak disanjung dan tidak dipuji ilmunya walaupun ada manfaat di sebalik kata-katanya. Banyak lagi keadaan yang berlaku bagi menyatakan bahawa Islam sudah tidak lagi dijunjung, malah yang menjinjing pun sudah tidak ada. Apa yang berlaku ialah Islam dipijak-pijak bagi melenyapkan addinnya supaya kehidupan mendatang tidak lagi mengikut garis panduan Islam yang anggapannya menyusahkan dan memayahkan.

Golongan pencinta dan pejuang agama seharusnya sedar akan situasi ini. Islam bukan barang spare part yang hanya digunakan ketika perlu sahaja. Islam adalah tinggi. Tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Islam lebih tingi daripada segenap lapisan langit hingga ke arasy Allah Azzawajalla. Kerana itulah, Islam hanya satu-satunya penyelamat ummah dan menyatupadukan keadaan serta menyerlahkan kebenaran yang hakiki. Bagi sesiapa yang menyatakan cintakan Islam, seharusnya mendalami dan memperhalusi setiap ajarannya dan bukan hanya diguna pada bahagian tertentu sahaja. Politik Islam tidak terkongkong hanya pada pilihanraya. Ia lebih luas merangkumi segenap aspek kehidupan.

http://www.arroyoseco.org/images/water_drop.jpg

Parti Politik ataupun pertubuhan serta NGO yang menyatakan memperjuangkan Islam harus jelas dalam menyerlahkan apa yang diperjuangkan. Jangan melakukan sesuatu yang tampak mengelirukan dan melemahkan kekuatan Islam itu sendiri. Penganjuran apa-apa program mesti selaras dengan piagam Islam dan tidak terkeluar dari prinsip yang selama ini diagung-agungkan. Kita tak perlu berubah. Kita tak perlu banyak tindakan atau program alternatif. ISTIQAMAH! Bukankah itu jalan yang Allah SWT nilai? Jika Allah SWT tidak memberikan kemenangan hari ini, mungkin akan datang, insyaAllah. Ingatlah! Jika hendak mengejar sesuatu, pastikan yang dikendong tidak tercicir!!

-ibnumustafa-

Monday, November 9, 2009

Ikhwah wa akhwat.....

Assalamualaikum & salam sejahtera..

Teringat dialog antara sahabat seperjuangan (yang mungkin tidak berapa mengerti akan hakikat 'izzah atau nilai harga diri seorang muslimat, dan hakikat ikhtilat [pergaulan ikhwah/akhawat] yang sewajarnya dijaga rapi)

Muslimin A : Kenapa kawan awak tu garang sangat? Kalau cakap tu tegas semacam je.. kalau cakap dengan saya, bukan nak tengok muka.. dahla kerja sama-sama untuk program ni.. Dia tak suka saya ke?
Muslimat B : Habis tu awaka nak macam mana?
Muslimin A : Cuba lah lembut-lembut sikit.. dia kan perempuan?

Pemerhati dari jauh : (oouh? lembutkan suarakah maksudmu? manjakan lirikankah maksudmu? Bukankah itu menggadaikan keizzahan seorang muslimah? atau aku yang tidak faham apa kehendak sebenarmu? atau aku yang bersangka buruk?)

Maruah seseorang adalah bergantung kepada dirinya sendiri. Dengan penuh sedar, saya ingin menegaskan bahawa saya bukanlah manusia terbaik untuk dijadikan contoh dalam hal ini, apatah lagi untuk mengatakan bahawa saya tidak terjebak dengan sebarang kesilapan ketika berbicara.

Namun, bila baru masanya akan datang manusia yang serba sempurna yang dinobatkan layak berbicara tentang adab? Berbicara di sini saya fokuskan kepada adab berbicara antara ikhwah dan akhawat. Allah SWT menegaskan adab berbicara khususnya bagi golongan muslimat apabila berkomunikasi dengan lelaki yang bukan mahram :

"Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)..." - Surah Al-Ahzab, ayat 32.

Ibnu Kathir Rahimahullah di dalam Tafsir Quranul `Azim semasa menafsirkan ayat di atas menyebut bahawa perintah tersebut tidaklah hanya terbatas kepada isteri-isteri Nabi bahkan kepada semua wanita- wanita muslimah. Apa yang dimaksudkan dengan lembut manja itu ialah sengaja melembutkan suara apabila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Termasuk juga di dalam perintah ini ialah para lelaki semasa berbicara dengan wanita-wanita yang bukan mahram.

Manakala Al-Qurtuby pula berpendapat percakapan yang dimaksudkan ialah percakapan yang hanya meliputi perkara-perkara yang perlu sahaja dengan suara yang tidak sengaja dilembut-lembutkan. Berdasarkan kepada ayat ini, kita sepatutnya boleh melakukan satu muhasabah yang terbaik. Sudah sering kali kita laungkan untuk membina atau sekurang-kurangnya mengekalkan apa yang kita namakan sebagai 'biah solehah' , namun semakin hari rasanya impian itu semakin terhakis apabila melihat adab berbicara dan berkomunikasi antara ikhwah dan akhawat yang semakin tidak terjaga.

Kenapa ini harus berlaku apabila kita suburkan cita-cita murni untuk melahirkan generasi pejuang? Realiti kita hari ini menyatakan kepada kita bahawa semakin ramai yang berani 'memperkosa' suasana murni yang ingin kita wujudkan. Maaf seandainya perkataan kurang elok terpaksa digunakan namun itulah hakikatnya.

Di hati ini, hanya Tuhan yang tahu.. (maaf UNIC, senikatamu kupinjam tanpa kebenaran) pedihnya hati ini bila melihat ikhwah dan akhwat berbicara antara satu sama lain dengan jarak yang mampu diukur oleh pembaris 30 cm, diselangi dengan hilai tawa dan suara lemak manja persis suasana di alam sekolah. Mana lagi maruah sebagai pejuang Islam?

Saya ingin bertanya kepada ikhwah yang terlalu enak
berbicara dengan akhwat bersama lagak yang kurang menyenangkan itu, tidak malukah anda meruntuhkan kredibiliti anda sebagai bakal pemimpin? Tidak malukah anda memperlihatkan kepada orang lain betapa besarnya keruntuhan moral yang ada di dalam jiwa anda? Tidak malukah anda menzahirkan betapa anda tidak layak untuk digelar sebagai pejuang Islam?

Pejuangkah anda yang sudah tunduk dengan kelunakan suara seorang wanita ?!!


Kepada akhwat, tentu sekali kita ingin bertanya, tidak aibkah
anda mendedahkan kelunakkan suara yang begitu lemak manja yang pastinya hanya layak untuk seseorang di malam yang pertama?

Realitinya, ramai di kalangan anda yang memakai
jubah luaran namun tidak 'menjubahkan' hati dan peribadi. Tahukah anda, ramai lelaki yang runtuh hatinya semata-mata kerana kelunakkan suaramu? Tidak sedarkah anda, dengan melunakkan suara selembut yang mungkin bila berbicara, anda sebenarnya sudah merosakkan 'dara' suaramu..? Masih tidak tahukah anda bahawa walau senakal manapun seorang lelaki beriman yang normal, dia tetap akan mencari isteri solehah yang terbaik menjadi suri hidupnya..?

Namun, solehahkah ketawa terkekek-kekek di tengah
khalayak ketika berbicara dengan lelaki bukan mahram? Anda bangga dengan perbuatan itu?

Terpulang!!


Kita tidak mahu ikhwah dan akhwat menjaga adab pergaulan
hanya kerana malu kepada mata-mata yang memandang. Apa yang kita mahukan ialah generasi pemuda-pemudi yang hanya takutkan Allah. Kita tidak suka munculnya generasi yang penuh dengan sikap kepura-puraan, tunduk menikus hanya kerana malu menghadapi kata-kata orang lain, namun di celah-celah yang tersembunyi, kita benarkan diri kita merobohkan pagar IMAN!

Tanyalah diri sendiri, layakkah aku digelar pejuang?!
Dalam kelemahan diri yang begitu banyak, kita lantas melabelkan diri kita sebagai pendokong kebangkitan Islam, tidak malukah kita?!! Kita akan mendapat jawapannya seandainya kita ikhlas dalam memberikan jawapan. Sudah ramai di luar sana yang rebah kerana tidak mampu bertahan dengan ujian di zaman remaja. Lalu, masihkah ingin kita memilih untuk turut menjadi mereka?

Sepatutnya kita sudah cukup
untuk menangis dengan kemunculan generasi remaja yang sudah lupakan Tuhannya, lalu kita bangkit sebagai generasi qudwah yang akan mengungguli contoh yang terbaik.

Sayang, dalam keadaan kampus kehidupan kita seperti hari ini,
secara ikhlas ingin saya nyatakan, kita mungkin hanya akan mengulangi sejarah kegagalan generasi yang terdahulu. Di peringkat umur dihela nafas, tentulah kita tidak mahu ikhwah dan akhwat perlu 'dimarahi' terlebih dahulu untuk melazimkan mereka dengan adab pergaulan. Lebih berkesan seandainya masing-masing menyedari tanggungjawab dan batasan pergaulan khususnya golongan yang sepatutnya menjadi contoh (tentunya pimpinan dan senior).

Mungkin ramai yang menganggap ia sebagai isu yang
remeh temeh di tengah-tengah cabaran globalisasi menuntut kita berfikiran terbuka, namun bagi saya, ia tetap isu yang besar di dalam menjana pertumbuhan generasi qudwah. Sekali lagi, sebelum mengakhiri tulisan ini, saya memohon maaf, sedar atas kelemahan diri ini bukanlah seorang contoh yang terbaik, malah mungkin kadang-kadang turut rebah di tengah-tengah kehebatan prinsip dan idealisme. Namun, kalau tidak sekarang kita menegur, bila lagi? Dan kalau tidak kita, siapa lagi ?!!

"Untungnya orang mukmin, semakin banyak masalah, semakin mustajab doanya, bukan perjuangan tanpa kesulitan, tapi dalam kesulitan ada ketenangan, memugar kekuatan.. kita tidak sendirian.."

"Daerah kita bukan daerah cinta, bukan masanya merajuk, kasih memujuk, tiada senda gurau memanjang, kerana kita dalam berjuang..."

Moga Allah SWT memberi kita bantuan untuk bermujahadah, memperelokkan akhlak dan ketaqwaan kita, kerana kita semua barisan mujahid dan mujahidah Islami.. Moga Allah SWT memberi sokongan dan kemudahan untuk kita gilap kembali permata yang sekian lama bersalut lumpur.. yang kian lama terbenam di ceruk rumpaian-rumpaian yang telah mati….

-ibnumustafa-

Merenung ke dalam kamar hati..


Merenung ke dalam kamar hati..

Sudah jauh perjalanan kuharungi
Meniti titi usia sendiri
Mencari apa ku pun tak pasti…

Mengungkap tirai semalam
Penuh noda penuh kelam
Lisan ku kelu hatiku terbungkam
Ku menyesali kesilapan silam…

Merungkai jendela hari muka
Diam-diam hatiku berdoa
Memohon petunjuk dari Yang Esa Agar
bahagia hakiki bakal ku jumpa…

Merenung ke dalam kamar hati..
Kini kuyakin kini kupasti
Aku telah terjumpa cinta yang kucari
Cinta sejati Rabbul Izzati…

Menyingkap tabir senja
Aku insan biasa penuh alpa
Tak pernah lari dari dosa dan noda
Namun hatiku terus-terusan berdoa
Agar aku terus disini bersama cinta Yang Esa…

Menanti di sini
Di perhentian yang tak pasti
Dunia yang tak pernah kumengerti
Bersama harapan yang menggunung tinggi
Di alam yang kekal abadi nanti
Bahagia hakiki yang kutemui…

Semoga diriku yang kerdil ini
sentiasa mendapat petunjuk dariNya
Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

-ibnumustafa-

Saturday, October 24, 2009

Rintihan ROH..

Diriwayatkan:

“Jika roh telah keluar dari tubuh manusia dan telah lewat tiga hari, maka roh itu berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku sehingga aku berjalan dan melihat tubuhku yang dahulu aku berada di dalamnya.”

Maka Allah SWT memperkenankan kepadanya. lalu ia datang ke kuburnya dan melihat kepadanya dari jauh.

Kedua lubang hidungnya dan mulutnya mengalir darah. Maka ia menangis dengan suatu tangisan yang cukup lama. Lalu ia merintih, aduuuhhh.. hai tubuhku yang miskin, wahai kekasihku. Ingatlah akan hari kehidupanmu. Rumah ini adalah rumah serigala, bala bencana, rumah yang sempit, rumah kesusahan dan penyesalan.

..Setelah lewat lima hari roh berkata: “Wahai Tuhanku, perkenankanlah aku untuk melihat tubuhku.”

Maka Allah SWT memperkenankannya. Lalu ia datang ke kuburnya dan melihat dari jauh. Dan mengalirlah kedua lubang hidung dan mulutnya berupa air nanah. Firman Allah SWT bermaksud:

“Mereka tidak dapat berbicara pada hari roh (Jibril atau ruhul qudus) dan para malaikat berdiri dengan berbaris.” - Surah An-Naba’, ayat 38.

Disebutkan dalam satu keterangan, bahawa yang dimaksud roh itu adalah rohnya anak Adam (manusia), dan keterangan yang lain mengatakan bahawa roh itu adalah rohnya malaikat Jibril AS. Juga ada keterangan yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya Nabi Muhammad SAW yang berada di bawah Arasy, ia minta izin dari Allah SWT di malam Lailatul Qadar untuk turun memberikan salam penghormatan kepada seluruh mukminin dan mukminat dan roh itu berjalan melalui mereka.

Ada pula yang menyebutkan bahawa roh itu adalah rohnya para kerabat yang sudah mati, mereka berkata:

“Wahai Tuhan kami, semoga Engkau memperkenankan kami untuk turun ke rumah-rumah kami, sehingga kami melihat anak-anak kami dan ahli-ahli kami."

Maka roh-roh itu turun pada malam Lailatul Qadar. Sebagaimana Ibnu Abbas RA mengatakan:

“Jika datang Hari Raya, hari Asyura’, hari Jumaat yang pertama dari bulan Rajab, malam Nisfu Sya’ban, Lailatul Qadar dan malam Jumaat, roh-rohnya para mayat semua keluar dari kubur mereka dan mereka semua berdiri di pintu-pintu rumahnya seraya berkata: “Belas kasihanlah kamu semua kepada kami di malam yang berkah ini dengan sedekah satu suap, sebab kami memberikan sedekah. Jika kalian bakhil dengan sedekah dan kamu sekalian tidak mahu memberikannya, maka hendaklah kalian mengingat kami dengan bacaan surah Al-Fatihah di malam yang penuh keberkahan ini.

Adakah seorang telah belas kasihan kepada kami, apakah dari salah seorang ada yang mengenangkan ratapan kami wahai orang yang menempati rumah-rumah kami, wahai orang yang menikmati wanita (isteri kami), wahai orang yang berdiri memperluas mahligai kami yang sekarang kami dalam kesempitan kubur kami, wahai orang yang membagi harta benda kami, wahai orang yang menyiakan anak yatim kami. Adakah salah seorang dari kamu sekalian ada yang mengenang perantauan kami? Buku amal kami dilipat dan kitab amal kalian dibuka. Dan bukanlah bagi mayat yang berada dalam liang kubur melainkan pahalanya.

Maka janganlah kalian melupakan kami dengan sebuku rotimu dan doamu, sebab kami orang-orang yang berhajat kepada kamu sekalian, selama-lamanya."

Jika roh memperoleh sedekah dan doa dari mereka maka ia kembali dengan riang gembira, dan jika ia tidak memperoleh maka ia pulang dengan sedih dan duka serta terhalang, dan putus asa dari mereka.

Telah diterangkan, bahawasanya roh dalam perkumpulan haiwan tidak dalam seluruh tubuh, tapi ia dalam satu bahagian dari beberapa bahagian yang tidak dapat ditentukan dengan dalil. Bahawasanya seorang dilukai dengan luka-luka yang banyak maka ia tidak mati. Dan ia dilukai dengan luka-luka satu maka ia menjadi mati. Sebab luka itu jika menimpa pada tempat di mana roh bertempat di mana roh di dalamnya, dan bahawasanya roh bertempat pada seluruh tubuh dan bahawasanya mati itu dalam seluruh tubuh, maka Firman Allah SWT menunjukkan: Katakanlah:

“la akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali yang pertama.” - Surah Yaa Siin, ayat 79.

Jika dikatakan, apakah bezanya antara roh dengan rawan? Maka kita katakan bahwa keduanya adalah satu. Keduanya tidak ada perbezaan, sebagaimana tubuh serta tangan adalah menjadi satu. Cuma kalau tangan dapat bergerak kesana kemari tapi kalau tubuh sama sekali tidak bergerak.

Demikian pula rawan kesana kemari tapi sama sekali tidak bergerak. Kemudian mengenai tempatnya roh di dalam tubuh tidak dapat ditentukan. Adapun tempatnya rawan di antara kedua alis. Maka jika roh itu hilang seorang hamba menjadi mati, dan jika rawan hilang ia menjadi tidur. Sebagaimana air yang dituangkan qas’ah dan ditaruh di rumah ada matahari yang sinarnya melalui lubang atap dan qas’ah itu tidak bergerak dari tempatnya. .

http://upload.wikimedia.org/wikipedia/commons/thumb/1/1e/Koran_cover_calligraphy.PNG/524px-Koran_cover_calligraphy.PNG

Maka demikian halnya roh bertempat di dalam tubuh dan pusatnya berada di Arasy. Adapun rawan melihat dikala bermimpi dan ia berada di alam malakut. Adapun tempatnya roh setelah dicabut, ada diterangkan bahawa tempatnya disengkala yang didalamnya terdapat lubang sejumlah bilangan haiwan-haiwan yang dijadikan sampai hari kiamat. Jika ia mendapat kenikmatan berada di situ dan jika mendapat azab maka di situ pula. Ada disebutkan bahawa roh-roh para mukminin berada dalam telur burung yang hijau di syurga iliyyin, adapun rohnya orang-orang kafir berada dalam telur burung yang hitam di neraka.

Dan ada dikatakan bahawa rohnya para mukminin ketika dicabut, maka para malaikat rahmat sama mengangkat membawa naik roh ke langit yang tujuh dengan memuliakan dan mengagungkan. Kemudian dipanggil Zat pemanggil dari sisi Allah yang Rahman:

“Hendaklah kamu semua menulis roh itu dalam Illiyyin lalu kembalikanlah ke bumi.”

Maka mereka mengembalikan roh seorang mukmin ke dalam tubuhnya dan ia dibukakan pintu syurga, ia melihat tempatnya di syurga sampai datangnya hari kiamat. Dan bahawasanya rohnya orang-orang kafir sewaktu dicabut maka para malaikat azab sama membawa naik roh itu ke langit dunia. Maka ditutuplah pintu-pintu langit yang lain dan ia diperintah mengembalikan ke tempat berbaring tubuhnya, kuburnya disempitkan dan ia dibukakan pintu neraka. Oleh kerananya ia melihat tempat kediamannya kelak sampai datangnya hari kiamat.

Dalam hal ini sebagaimana pernah disabdakan Nabi SAW, sehingga bahawasanya mereka mendengar suara sandal-sandal kalian, hanya saja mereka terhalang dari berkata.

Sebahagian Hukama’ ditanya tentang tempat roh-roh setelah mati, maka ia menerangkan sebagai berikut:

1. Bahawasanya roh-roh para Nabi berada dalam Syurga Adn, ia berada dalam liang yang menyenangkan tubuhnya. Adapun tubuh bersujud kepada Tuhannya.

2. Roh-roh para Syuhada berada di syurga Firdaus, pada tengahnya syurga itu berada dalam telih burung yang hijau yang terbang di syurga sekehendak hatinya. Kemudian datang keqanadil yang digantungkan di Arasy.

3. Adapun roh-rohnya anak-anak kecil yang Islam berada dalam telih burung pipitnya Syurga.

4. Roh-rohnya para anak-anak musyrik berputar-putar di syurga dan ia tidak punya tempat, sampai hari kiamat. Lalu mereka melayani para mukminin.

5. Roh-rohnya orang-orang mukmin yang mempunyai hutang dan aniaya digantung diangkasa. Ia tidak sampai ke syurga dan tidak pula ke langit sampai ia membayar hutangnya dan penganiayaannya.

6. Roh-rohnya orang-orang Islam yang berdosa diazab dalam kubur beserta tubuhnya.

7. Roh-rohnya orang-orang kafir dan munafik dalam penjara neraka Jahannam dipintakan diwaktu pagi dan petang.

Dan disebutkan, bahawasanya roh adalah merupakan jisim yang halus. Oleh kerana itu tidak dapat dikatakan jika Allah SWT itu mempunyai roh. Sebab mustahil kalau Allah SWT mempunyai tempat seperti jisim-jisim. Dan dikatakan bahawa roh adalah merupakan sifat dan dikatakan pula kalau ia pecah jadi angin, maka kedua perkataan ini adalah perkataannya orang yang mengingkari adanya seksa kubur. Ada diceritakan, bahawasanya seorang Yahudi datang kepada Nabi SAW, maka mereka bertanya kepada baginda tentang roh dari Ashabi Raqim dan dari Raja Dzil Qarnain.

Dengan perdebatan Yahudi itu maka turunlah surah Al-Kahfi. Dan diturunkan tentang haknya roh adalah terkandung di dalam firman Allah SWT.

“Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh, katakanlah: “Roh itu termasuk urusan Tuhanku.” - Surah Yaa Siin, ayat 79.

PETIKAN DARI BUKU 1001 DUKA SIRI 1

-ibnumustafa-

Friday, October 16, 2009

Looking For Housemate - Bdr Sri Permaisuri

Pangsapuri Sri Penara, Blok C, Tingkat 6.

KEMASUKAN SEGERA: AWAL NOV '09 (LELAKI MUSLIM SAHAJA)

* Lokasi: Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur
* Sewa Bilik: Lebih kurang RM130 Sebulan + Deposit RM100
* Kemudahan Rumah: TV (astro), Radio, Dapur, Peti Ais, Mesin Basuh, Sofa, Dll..
* Lain-lain Kemudahan: Berhampiran Dengan Stesyen Star LRT & Komuter Salak Selatan, Laluan Bas RapidKL & Teksi, Berhampiran Dengan Masjid, Pasar Basah, Kedai Makan, Kedai Runcit, Workshop, Maybank, JPJ, Pasar Malam, Supermarket HERO, 7 Eleven, Cyber Cafe, Kedai Dobi, Shell, Petronas, Dll..
* Berminat????? Sila Hubungi Segera..

012-258 7824 / 012-657 1226
012-256 4020 / 017-396 7812

Saturday, October 10, 2009

Setiap CUBAAN itu terselit HIKMAH disebaliknya..


Di antara hikmah di balik terjadinya musibah adalah :

1. Untuk memunculkan bentuk ibadah berupa doa, yang sebelumnya tidak pernah nampak.

Seseorang berkata: ”Maha Suci Dzat yang telah memunculkan doa hambaNya dengan cara memberinya cubaan.” Dalam sebuah atsar disebutkan bahawa Allah SWT memberikan cubaan kepada seorang hambaNya yang soleh, lalu Allah SWT berfirman kepada para malaikatNya: ”Tujuannya adalah agar Aku medengar suaranya.” Maksudnya, doa dan permohonannya.

2. Untuk meredakan nafsu manusia yang cenderung melampaui batas.

Allah SWT berfirman: "Ketahuilah! Sesungguhnya manusia itu benar-benar melampaui batas. Ketika melihat dirinya merasa serba cukup." - Surah Al-An’aam, ayat 6-7.

3. Untuk membangkitkan kesedaran manusia untuk menyayangi dan mendoakan orang yang tertimpa musibah.

Sesungguhnya manusia mempunyai kecenderungan untuk bersimpati dan saling membantu ketika tertimpa musibah dan bencana.

4. Untuk menunjukkan adanya anugerah yang nilainya jauh lebih besar daripada musibah itu sendiri.

Kerana musibah yang menimpa seseorang jauh lebih kecil bila dibandingkan dengan besarnya nilai anugerah yang bakal diberikan kepadanya. Seseorang yang ditimpa musibah akan diberi keampunan atas dosa-dosanya dan kesalahannaya dan akan diberi pahala oleh Allah SWT. Jika seorang hamba telah mengetahui bahawa semua hal yang telah disebutkan di atas adalah hikmah yang dapat dipetik dari adanya musibah, nescaya ia akan tenang, tenteram, tidak akan gelisah dan tidak akan berputus asa tatkala mendapat musibah. "...sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang akan dicukupkan pahala mereka tanpa batas." - Surah Az-Zumar, ayat 10.


Dipetik dari buku La Tahzan, Jangan bersedih setelah kesulitan pasti ada kemudahan, karangan Dr 'Ayidh bin Abdullah Al-Qarni dan diterjemah oleh Noraine Abu.

-ibnumustafa-

Wednesday, October 7, 2009

Gempabumi suatu peringatan dari Allah SWT

Kejadian gempabumi di Sumatera, Indonesia pada petang Rabu, 30 September 2009 (30:09, 20:09) yang lalu adalah suatu peringatan dari Allah SWT kepada hamba-hambaNya. Segala sesuatu kejadian di muka bumi merupakan ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah yang bernama gempabumi. Hanya berselang sehari setelah kejadian, beredar kabar di antaranya melalui e-Mail dan SMS yang mengaitkan waktu terjadinya musibah gempa itu dengan surah dan ayat yang terkandung di dalam kitab suci Al-Qur’an. Sama-samalah kita renungi..

Indonesia sekali lagi dilanda gempabumi kuat, kali ini wilayah Sumatera Barat digegarkan dengan gempa berukuran 7.6 pada skala Richter. Gempa yang berpusat di Kilometer 57, barat daya Padang Pariaman dengan kedalaman 71 kilometer di bawah laut itu dilaporkan berlaku pada pukul 17:16 petang waktu tempatan (pukul 18:16 petang waktu Malaysia), 53 kilometer ke barat laut bandar Padang..


Manakala di
Sumatera Barat gempa kedua berukuran 6.2 pada skala Richter pada pukul 17:58 petang yang turut menggegarkan kawasan Pariaman di kedalaman 110 kilometer dari dasar laut.

Dan keesokannya satu lagi gempa berukuran 6.8 pada skala Richter, menggegarkan pula daerah Jambi di Sumatera Selatan iaitu kira-kira 162 km di Barat laut Bengkulu, Indonesia pada pukul 8:52 pagi.

SAHABAT SEKALIAN, CUBA PERHATIKAN TERJEMAHAN AL-QUR'AN SURAH 30:09, 20:09, 17:16, 17:58 & 8:52. ALLAHU AKBAR!

أَوَلَمْ يَسِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَيَنْظُرُوا كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ كَانُوا أَشَدَّ مِنْهُمْ قُوَّةً وَأَثَارُوا الْأَرْضَ وَعَمَرُوهَا أَكْثَرَ مِمَّا عَمَرُوهَا وَجَاءَتْهُمْ رُسُلُهُمْ بِالْبَيِّنَاتِ ۖ فَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَـٰكِنْ كَانُوا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ

"
Tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu dari mereka? Orang-orang itu lebih kuat daripada mereka sendiri dan orang-orang itu telah meneroka bumi serta memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka dan orang-orang itu juga telah didatangi oleh Rasul-rasulnya dengan membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (lalu mereka mendustakannya dan kesudahannya mereka dibinasakan). Dengan yang demikian, maka Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri." - Surah Ar-Room, ayat 9.

وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ مُوسَىٰ

"Dan sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal Nabi Musa?" - Surah Taha, ayat 9.

وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا

"Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya." - Surah Al-Israa', ayat 16.

وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا ۚ كَانَ ذَ‌ٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا

"
Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Luh Mahfuz)." - Surah Al-Isra', ayat 58.

كَدَأْبِ آلِ فِرْعَوْنَ ۙ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَدِيدُ الْعِقَابِ

"(Keadaan orang-orang kafir itu) samalah seperti keadaan Firaun dan kaumnya serta orang-orang yang terdahulu dari mereka. Mereka kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, lalu Allah menyeksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha berat seksaNya.
" - Surah Al-Anfal, ayat 52.

Lima ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa di Sumatera, membicarakan mengenai azab Allah SWT berupa kehancuran dan kematian, dan kaitannya dengan hidup bermewah-mewah dan kederhakaan, dan juga dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya. Ini tentu suatu kisah yang sangat menarik..

Dengan adanya berbagai “kebetulan” yang Allah SWT sampaikan dalam musibah gempa tersebut, Allah SWT jelas hendak mengingatkan kita semua. Apakah semua “kebetulan” itu sekadar sebuah “kebetulan” semata-mata tanpa pesan yang bererti? Apakah pesan Allah SWT itu akan mengubah kita semua agar lebih taat pada perintahNya dan menjauhi laranganNya? Atau malah kita semua sama sekali tidak memperdulikannya, bahkan mentertawakan semua pesan ini sebagaimana dahulu kaum kafir Quraiys mentertawakan dakwah Rasulullah SAW? Semua terpulang kepada diri kita masing-masing..

Astaghfirullah Al-Azieem..
Lihatlah segala-galanya telah diaturkan. Ayuhlah kita sama-sama kembali menunaikan segala suruhan Allah & meninggalkan segala laranganNya, sebelum azab Allah SWT yang lebih pedih menghancurkan segalanya..

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan..
Sayang, engkau tak duduk di sampingku kawan..
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan..
Di tanah kering berbatuan..
Tubuh ku terguncang di hempas batu jalanan..
Hati tergetar menampak kering rerumputan..
Perjalanan ini seperti jadi saksi..
Gembala kecil menangis sedih..
Kawan coba dengar apa jawabnya..
Ketika ia ku tanya "Mengapa?"..
Bapa ibunya telah lama mati..
Ditelan bencana tanah ini..
Sesampainya di laut ku khabarkan semuanya..
Kepada karang, kepada ombak, kepada matahari..
Tetapi semua diam, tetapi semua bisu..
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit..
Barangkali di sana ada jawabnya..
Mengapa di tanahku terjadi bencana..
Mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita..
Yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa..
Atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita..
Coba kita bertanya pada rumput yang bergoyang...

-ibnumustafa-

Tuesday, September 22, 2009

Adakah SAYA?

Adakah saya seorang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman AS.

Adakah saya seorang yang manis dalam senyuman?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi, aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Adakah saya seorang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Adakah saya seorang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.

Adakah saya seorang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Adakah saya seorang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Adakah saya seorang yang mempunyai rumah paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Adakah saya seorang yang mempunyai rumah sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Adakah saya seorang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.


-ibnumustafa-

Sunday, September 13, 2009

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1430H - Madrasah Ad-Diniah Islamiah

Assalamu'alaikum & salam sejahtera,

Majlis Sambutan Hari Raya Eidulfitr 1430H bersama bekas pelajar, tenaga pengajar & pendokong Madrasah Ad-Diniah Islamiah akan diadakan;

Tarikh: 4 Syawal 1430 / 23 Sept 2009
Masa: 3.00 petang
Tempat: Perkarangan Madrasah Ad-Diniah Islamiah, Jalan Besar Sg.Bakap.
Tema: Hari Raya Eidulfitr

Sila SMS nama, no.tel & alamat terkini ke pihak penganjur untuk proses pendaftaran dan kehadiran ke;

En.Fathi Hj.Mustafa - 019-4729811
En.Ahmad Taufiq Hj.Mustafa - 012-2587824

Sila majukan berita ini kepada semua kenalan anda. Terima Kasih..

Hukum Memotong Kuku Atau Rambut Dan Bercukur Semasa Dalam Keadaan Uzur Syar'ie

Soalan;

1. Apakah hukum memotong kuku atau rambut dan bercukur semasa dalam keadaan uzur syar'ie?

2. Benarkah bahawa membuang kuku setelah memotongnya termasuk perbuatan haram? Benarkah bahawa kuku-kuku itu harus ditanam?

Jawapan;

1. Terdapat ulama' memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulama' dari Mazhab Hanbali).

Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’, menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya' Ulumiddin;

“Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” - Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil.1, hlm. 91.

Mereka berdalilkan hadith yang dikatakan dari Rasulullah SAW yang berbunyi;


لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر

“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” - HR al-Ismaili dari Saidina ‘Ali RA.

"Tidaklah salah mencukur rambut atau janggut atau mengerat kuku sebelum mandi wajib (bagi yg hidup saja) dan tidak wajib mengangkat hadas ke atas benda-benda itu. Hanya sunat sahaja mencukur atau mengerat kuku selepas mandi." - dipetik dari kitab Panduan Ilmu Fiqih Bab Thahaarah (Hukum Bersuci Dalam Islam) oleh Sheikh Omar Al-Khatib.

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Shari`ah di Univ. Kaherah.

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, jil.1, hlm.382, maka beliau menjawab:

“Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati, malah Nabi SAW memberitahu: “buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya."

Jumhur ulama' tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi SAW yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadith di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab). Berkata Imam ‘Ato’ (seorang Tabi’in terkenal);

“Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”[2] - HR Imam al-Bukhari.

Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi SAW ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah” - HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib RA. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadith di atas Nabi SAW hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhatan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

2. Alhamdulillah, memotong kuku adalah perkara yang disyariatkan, hal itu termasuk salah satu perkara fitrah. Tidaklah masalah membuangnya di tempat sampah atau menanamnya. Tiada kemestian menanam (mengebumikan) rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam. Fatwa Lajnah Daimah V/174.

Akan tetapi jika ia khuatir kuku-kuku itu jatuh ke tangan tukang-tukang sihir, hendaklah dia menanamnya atau membuangnya di tempat yang tidak dapat dijangkau oleh tukang-tukang sihir..

Wallahu a’lam.

--------------------------------------------------------------------------

Rujukan;

1. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.

2. al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 1/438.

3. Kitab Panduan Ilmu Fiqih Bab Thahaarah (Hukum Bersuci Dalam Islam) oleh Sheikh Omar Al-Khatib.

4. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.

Nota Kaki;

[1] Kembali berjunub kerana bulu, kuku dan rambut yang dibuangnya sebelum mandi itu masih berhadas.

[2] Terdapat hadith di mana seorang yang berjunub jika hendak tidur (sebelum mandi wajib), hendak menikmati makanan dan minuman atau hendak kembali bersetubuh dengan isterinya, ia disunatkan mengambil wudhuk terlebih dahulu. Jadi adalah makruh ia melakukan perkara-perkara tersebut tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu. Namun bagi perbuatan mencukur rambut/bulu, memtong kuku dan sebagainya tadi, tidak ada sebarang hadis menyarankan supaya mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum melakukannya. Kerana itu Imam Atha’ menyatakan; harus melakukannya sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dulu.

-ibnumustafa-