Barang spare part biasanya kita gunakan bagi memenuhi kehendak dan keperluan kita. Barang spare part juga akan kita gunakan apabila berada dalam keadaan kesusahan ataupun pada keadaan tertentu sahaja.
Tayar spare contohnya, amat bernilai dan dipuji-puji ketika saat tayar utama bocor. Jika tidak, kewujudannya tidak di endah, hadirnya ia tidak dipedulikan! Agak malu hendak menyatakan hakikat bahawa, keadaan Islam adalah seperti itulah sekarang. Islam yang sepatutnya menjadi 'kenderaan' bagi membawa penumpangnya sampai ke destinasi sebaliknya hanya menjadi barang spare part! Barang yang hanya diletakkan di 'bawah' bonet, dan di belakang sekali! Amat hina, tidak bernilai dan martabat yang rendah.
Jika di sepanjang perjalanan itu tidak terjadi apa-apa musibah umpama tayar bocor, maka tayar spare part tidak akan diendah lansung. Tidak ada cakap-cakap pun tentang tayar spare. yang ada hanya yang nampak seperti minyak hitam, air radiator, bateri, bunga tayar utama. Tayar spare part? ahh, pedulikan ia. Segala macam bukti boleh dihujahkan bagi menyatakan bahawa begitulah status Islam pada hari ini. Hanya diguna apabila perlu. Hanya disebut apabila terdesak.
Kadang-kadang dalam satu perbincangan, terpaksa menggunakan Islam bagi menyatakan dan membuktikan keadaan masih lagi boleh terkawal kononnya. Pemandu utamanya dengan tidak segan silu membaca bait-bait al-Quran sedangkan penumpang-penumpangnya di belakang gelak gelak ketawa memijak-mijak Islam, mengutuk ulama', menghina syariat dan hukum Islam, mempersenda kes murtad. Mungkin pemandu itu terlupa mengingatkan penumpangnya agar jangan suka bermain ketika dalam kereta. Mungkin ada juga 'seorang' penumpang dalam kereta itu yang yang mengingatkan pemandunya agar 'jangan bawa laju-laju'. Tetapi, pemandunya berkata: 'aku tau la, aku yang pandu, kau duduk diam-diam'. Demikian juga kes seorang wira yang berjaya pusing-pusing satu dunia guna kenderaan kapal layar. Ketika belayar, mungkin langsung tak menjadikan islam barang spare part malah terus TIDAK DIBAWA bersama! Hendak buat apa bawa Islam? Bukankah menyusahkan?
Misi utama harus dikejar terlebih dahulu. Jika Islam dibawa, tentu ia akan membantutkan usaha memburu impian itu! Hari ini, dengan tidak malu dan sedikit janggal, mengambil semula Islam yang pernah ditinggalkannya dahulu. Dijaja disana sini dengan sedaya upaya bagi mengatakan 'aku pun islam juga'.
Hei, orang berada di pentas, tidak akan tahu bagaimana persepsi penonton! Jika tidak tahu berlakon, jangan berlakon! Jika tersalah skrip, anda menempah bahaya!! Tidak kurang juga ulama'-ulama' jahat yang kini sedang membiak dan membesar dengan pantas. Ulama'-ulama' jahat semakin berleluasa di sana sini. Ada yang diangkat menjawat jawatan penting. Mereka ini kelak akan memakan dan meranapkan ulama'-ulama' yang baik agar ulama' yang baik ini tidak kedengaran suaranya. Yang akan terdengar hanyalah suara-suara ulama' jahat yang mahukan umat tersesat dan terpesong dengan lebih jauh.
Ulama' jahat ini juga lebih jahat daripada pemimpin negara yang cetek ilmu agamanya. Kerana jahatnya itu, dia memutarbelitkan fakta-fakta, sirah, syariat yang ada agar semuanya selari dengan zaman kini. Lantaran itu, golongan ulama' jahat ini sepatutnya tidak disanjung dan tidak dipuji ilmunya walaupun ada manfaat di sebalik kata-katanya. Banyak lagi keadaan yang berlaku bagi menyatakan bahawa Islam sudah tidak lagi dijunjung, malah yang menjinjing pun sudah tidak ada. Apa yang berlaku ialah Islam dipijak-pijak bagi melenyapkan addinnya supaya kehidupan mendatang tidak lagi mengikut garis panduan Islam yang anggapannya menyusahkan dan memayahkan.
Golongan pencinta dan pejuang agama seharusnya sedar akan situasi ini. Islam bukan barang spare part yang hanya digunakan ketika perlu sahaja. Islam adalah tinggi. Tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Islam lebih tingi daripada segenap lapisan langit hingga ke arasy Allah Azzawajalla. Kerana itulah, Islam hanya satu-satunya penyelamat ummah dan menyatupadukan keadaan serta menyerlahkan kebenaran yang hakiki. Bagi sesiapa yang menyatakan cintakan Islam, seharusnya mendalami dan memperhalusi setiap ajarannya dan bukan hanya diguna pada bahagian tertentu sahaja. Politik Islam tidak terkongkong hanya pada pilihanraya. Ia lebih luas merangkumi segenap aspek kehidupan.
Parti Politik ataupun pertubuhan serta NGO yang menyatakan memperjuangkan Islam harus jelas dalam menyerlahkan apa yang diperjuangkan. Jangan melakukan sesuatu yang tampak mengelirukan dan melemahkan kekuatan Islam itu sendiri. Penganjuran apa-apa program mesti selaras dengan piagam Islam dan tidak terkeluar dari prinsip yang selama ini diagung-agungkan. Kita tak perlu berubah. Kita tak perlu banyak tindakan atau program alternatif. ISTIQAMAH! Bukankah itu jalan yang Allah SWT nilai? Jika Allah SWT tidak memberikan kemenangan hari ini, mungkin akan datang, insyaAllah. Ingatlah! Jika hendak mengejar sesuatu, pastikan yang dikendong tidak tercicir!!
-ibnumustafa-
No comments:
Post a Comment