PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, September 22, 2009

Adakah SAYA?

Adakah saya seorang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman AS.

Adakah saya seorang yang manis dalam senyuman?
Orang yang mempunyai senyuman yang manis adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia berkata "Inna lillahi wainna illaihi rajiuun." Lalu sambil berkata, "Ya Rabbi, aku redha dengan ketentuanMu ini", sambil mengukir senyuman.

Adakah saya seorang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

Adakah saya seorang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk - numpukkan harta.

Adakah saya seorang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan.

Adakah saya seorang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

Adakah saya seorang yang mempunyai rumah paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

Adakah saya seorang yang mempunyai rumah sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

Adakah saya seorang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka.


-ibnumustafa-

Sunday, September 13, 2009

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1430H - Madrasah Ad-Diniah Islamiah

Assalamu'alaikum & salam sejahtera,

Majlis Sambutan Hari Raya Eidulfitr 1430H bersama bekas pelajar, tenaga pengajar & pendokong Madrasah Ad-Diniah Islamiah akan diadakan;

Tarikh: 4 Syawal 1430 / 23 Sept 2009
Masa: 3.00 petang
Tempat: Perkarangan Madrasah Ad-Diniah Islamiah, Jalan Besar Sg.Bakap.
Tema: Hari Raya Eidulfitr

Sila SMS nama, no.tel & alamat terkini ke pihak penganjur untuk proses pendaftaran dan kehadiran ke;

En.Fathi Hj.Mustafa - 019-4729811
En.Ahmad Taufiq Hj.Mustafa - 012-2587824

Sila majukan berita ini kepada semua kenalan anda. Terima Kasih..

Hukum Memotong Kuku Atau Rambut Dan Bercukur Semasa Dalam Keadaan Uzur Syar'ie

Soalan;

1. Apakah hukum memotong kuku atau rambut dan bercukur semasa dalam keadaan uzur syar'ie?

2. Benarkah bahawa membuang kuku setelah memotongnya termasuk perbuatan haram? Benarkah bahawa kuku-kuku itu harus ditanam?

Jawapan;

1. Terdapat ulama' memakruhkan kita memotong kuku, mencukur/menggunting bulu dan rambut, membuang darah (berbekam) dan seumpamanya semasa sedang berjunub dan semasa haid dan nifas. Mereka ialah Imam al-Ghazali dan Abu al-Faraj as-Syirazi (seorang ulama' dari Mazhab Hanbali).

Disebutkan di dalam syarah al-‘Iqna’ Matan Abi Syuja’, menurut Imam al-Ghazali di dalam Ihya' Ulumiddin;

“Tidak sepatutnya seseorang mencukur rambut, memotong kuku, mencukur bulu kemaluannya serta membuang sesuatu dari badannya pada ketika ia sedang berjunub kerana seluruh juzuk pada badannya akan dikembalikan kepadanya di akhirat kelak, lalu ia akan kembali berjunub.[1] Dikatakan bahawa; setiap bulu (yang dicukurnya ketika berjunub itu) akan menuntut dari tuannya dengan sebab junub yang ada padanya (kerana dicukur ketika sedang berjunub)” - Dinaqalkan dari kitab al-Iqna’, jil.1, hlm. 91.

Mereka berdalilkan hadith yang dikatakan dari Rasulullah SAW yang berbunyi;


لا يقلمن أحد ظفراً ، ولا يقص شعراً ، إلا وَهوَ طاهر

“Janganlah sesiapa memotong kukunya dan menggunting rambut kecuali ketika ia suci” - HR al-Ismaili dari Saidina ‘Ali RA.

"Tidaklah salah mencukur rambut atau janggut atau mengerat kuku sebelum mandi wajib (bagi yg hidup saja) dan tidak wajib mengangkat hadas ke atas benda-benda itu. Hanya sunat sahaja mencukur atau mengerat kuku selepas mandi." - dipetik dari kitab Panduan Ilmu Fiqih Bab Thahaarah (Hukum Bersuci Dalam Islam) oleh Sheikh Omar Al-Khatib.

Bagaimanapun, setelah diteliti asas kepada pendapat ini, maka tiada didapati sebarang dalil yang menyokongnya kecuali logik aqal semata-mata tadi. Demikian menurut Syeikh Sayyid Sabiq, Syeikh Atiyyah Saqar dan Dr. Rif`at Fawzi, professor Shari`ah di Univ. Kaherah.

Soalan ini pernah di tujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya “Ghiza’ al-albab, jil.1, hlm.382, maka beliau menjawab:

“Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati, malah Nabi SAW memberitahu: “buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam) “maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Justeru apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya."

Jumhur ulama' tidak bersetuju dengan pandangan tersebut. Menurut mereka; tidak ada dalil dari Nabi SAW yang menegah orang berjunub atau wanita yang sedang haid atau nifas dari melakukan perkara-perkara yang disebut tadi. Adapun hadith di atas, ia adalah munkar dan maudhu’ (yakni palsu), tidak harus sekali-kali dijadikan hujjah (lihat; Syarah Soheh al-Bukhari, oleh; Imam Ibnu Rajab). Berkata Imam ‘Ato’ (seorang Tabi’in terkenal);

“Harus orang yang berjunub untuk berbekam, memotong kuku dan mencukur rambut sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu”[2] - HR Imam al-Bukhari.

Imam Ahmad tatkala ditanya berkenaan hukum orang berjunub yang berbekam (yakni mengeluarkan darah dari kulitnya), mencukur rambut, memotong kuku dan mewarnai rambut atau janggutnya, ia menjawab; “Tidak mengapa (yakni harus)”.

Syeikh Atiyah Saqar dalam fatwanya juga menegaskan; pendapat Imam al-Ghazali itu tidak ada sebarang dalil untuk menyokongnya. Syeikh ‘Atiyah kemudiannya menaqalkan ulasan Imam Ibnu Taimiyyah yang berkata; aku tidak mengetahui ada sebarang dalil yang memakruhkan membuang rambut dan kuku oleh orang berjunub. Malah Nabi SAW ada bersabda kepada orang kafir yang baru masuk Islam;

ألق عنك شعر الكفر ثم اختتن

“Buangkanlah darimu rambut/bulu kekufuran (yakni rambut/bulu yang tumbuh semasa kamu kafir), kemudian berkhatanlah” - HR Imam Ahmad dan Abu Daud dari ‘Uthaim bin Kulaib RA. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadis no; 1580).

Di dalam hadith di atas Nabi SAW hanya menyuruh orang yang baru masuk Islam itu agar berkhatan dan membuang rambut/bulu di badannya. Tidak ada arahan dari baginda supaya ia melakukannya selepas mandi, menunjukkan bahawa membuang rambut/bulu dan berkhatan itu harus dilakukan sama ada sebelum mandi atau selepas mandi.

2. Alhamdulillah, memotong kuku adalah perkara yang disyariatkan, hal itu termasuk salah satu perkara fitrah. Tidaklah masalah membuangnya di tempat sampah atau menanamnya. Tiada kemestian menanam (mengebumikan) rambut, kuku yang dipotong dan sebagainya juga tiada sebarang dalil (kecuali jika dibimbangi akan diambil dan disihirkan), demikian juga larangan memotong kuku di waktu malam. Fatwa Lajnah Daimah V/174.

Akan tetapi jika ia khuatir kuku-kuku itu jatuh ke tangan tukang-tukang sihir, hendaklah dia menanamnya atau membuangnya di tempat yang tidak dapat dijangkau oleh tukang-tukang sihir..

Wallahu a’lam.

--------------------------------------------------------------------------

Rujukan;

1. al-Iqna’, Imam as-Syabini, 1/91.

2. al-Fatawa; Min Ahsanil-Kalam, Syeikh Atiyah Saqar, 1/438.

3. Kitab Panduan Ilmu Fiqih Bab Thahaarah (Hukum Bersuci Dalam Islam) oleh Sheikh Omar Al-Khatib.

4. Fathul-Bari (Syarah Soheh al-Bukhari), Imam Ibnu Rajab al-Hanbali, bab al-Junub Yakhruju Wa Yamsyi Fi as-Suq Wa Ghairihi.

Nota Kaki;

[1] Kembali berjunub kerana bulu, kuku dan rambut yang dibuangnya sebelum mandi itu masih berhadas.

[2] Terdapat hadith di mana seorang yang berjunub jika hendak tidur (sebelum mandi wajib), hendak menikmati makanan dan minuman atau hendak kembali bersetubuh dengan isterinya, ia disunatkan mengambil wudhuk terlebih dahulu. Jadi adalah makruh ia melakukan perkara-perkara tersebut tanpa mengambil wudhuk terlebih dahulu. Namun bagi perbuatan mencukur rambut/bulu, memtong kuku dan sebagainya tadi, tidak ada sebarang hadis menyarankan supaya mengambil wudhuk terlebih dahulu sebelum melakukannya. Kerana itu Imam Atha’ menyatakan; harus melakukannya sekalipun tanpa mengambil wudhuk terlebih dulu.

-ibnumustafa-