PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, December 13, 2010

Antara Haji Mabrur dan Mengekalkan Amalan Buruk Selepas Haji

Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pelaksanaan rukun-rukun haji telah pun selesai, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka. Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu. Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai 'role-model' dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.

Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajjah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke tanah suci?

Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.

Justeru, sekembalinya para jemaah haji daripada tanah suci Makkah dan Madinah, apatah diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah SWT, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardhu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.

Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah SWT seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa.

Memilih kawan-kawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah SWT sepertimana yang ditegaskan Allah SWT dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud :

"Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran."

Begitu juga mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?

Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim dan muslimah mencapai status hamba Allah SWT yang diterima di sisi-Nya. Antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

- Melakukan solat lima waktu dengan baik

- Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran

- Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah SWT dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

- Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad SAW, sirah para sahabat Nabi SAW, malah bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan aqidah mereka.

- Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah SWT.

- Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah SWT dan banyak berdoa kepada Allah SWT agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah SWT agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya.

-ibnumustafa-

Sunday, December 12, 2010

Bulan Muharram Bukanlah Bulan Baginda Nabi S.A.W Berhijrah

Bulan Muharram adalah bulan pertama yang dipilih oleh Saidina ‘Umar bin al-Khattab untuk kiraan bulan bagi tahun hijrah. Maksudnya, dua belas bulan dalam satu tahun, Saidina ‘Umar al-Khattab R.A. membuat keputusan untuk memilih Muharram sebagai bulan pertama bagi tahun Hijrah. Ini seperti bulan Januari bagi tahun masihi. Maka, telah berlaku salahfaham sesetengah pihak lalu menganggap Nabi S.A.W berhijrah dalam bulan Muharram. Itu andaian yang tidak tepat.

Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.


Di zaman Saidina Umar R.A., umat Islam mencadangkan agar diwujudkan kiraan tahun bagi kalender umat Islam. Pelbagai cadangan diberikan termasuk dicadangkan tahun kelahiran Nabi S.A.W untuk dijadikan tahun pertama kiraan kalendar umat Islam, namun ditolak oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A. Beliau kemudiannya bersetuju tahun Nabi S.A.W berhijrah dijadikan tahun pertama kiraan tahun dalam kalendar umat Islam.


Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadhan. Namun, Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A menolaknya kemudian memilih bulan Muharram. Ini disebabkan pada bulan tersebut umat Islam baru sahaja menyelesaikan ibadah haji. Bukan kerana bulan tersebut Nabi S.A.W berhijrah.


Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi S.A.W, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadhan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orang ramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).

Riwayat ini jelas menunjukkan pemilihan Muharram sebagai bulan pertama dalam kalender Hijrah bukanlah kerana ia bulan yang Nabi S.A.W berhijrah padanya. Ia hanya bulan pilihan yang dijadikan bulan pertama bagi kalendar hijrah.

Menurut para pengkaji Sirah Nabi S.A.W, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram. Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi S.A.W yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi S.A.W keluar dari rumah baginda ke rumah Saidina Abu Bakar as-Siddiq pada malam 28hb Safar, tahun ke 14 selepas kerasulan Baginda S.A.W. Dari situ, Baginda S.A.W bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ke Gua Thur. Mereka berdua berada di dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal Baginda S.A.W dan Saidina Abu Bakar as-Siddiq keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi S.A.W sampai ke Quba. Baginda S.A.W berada di Quba selama 4 hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah Baginda S.A.W memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadith. (lihat perincian: al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad).

gua_thur.jpg

Gambar Hiasan - Gua Thur

Dengan ini, berdasarkan maklumat yang dinyatakan tadi, jelaslah bahawa bulan Muharram bukanlah bulan Baginda Nabi S.A.W berhijrah, ataupun memulakan hijrah. Kesimpulannya; Baginda S.A.W keluar dari rumah pada akhir bulan Safar. Memulakan hijrah pada hari pertama Rabiul Awwal dan sampai ke Madinah pada 12 Rabiul Awwal. Jika ada perbezaan pendapat dalam kalangan sejarahwan, ia berkisar pada hari-hari yang disebutkan itu sahaja. Adapun bulan, mereka bersetuju hijrah Nabi S.A.W pada Rabiul Awwal. Dengan itu, kita sepatutnya tahu bahawa bulan Muharram adalah bulan pertama dalam kiraan kalendar hijrah, bukan bulan hijrah Nabi S.A.W.

Penetapan kalendar hijrah yang dibuat oleh Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A. adalah langkah yang tepat bagi memenuhi keperluan urusan pentadbiran dan kehidupan umat Islam. Walaupun idea itu bermula dari cadangan meniru cara pengurusan bukan muslim, tetapi meniru bukan muslim dalam perkara yang bukan ibadah dan pula dapat memberikan faedah kepada umat Islam adalah sesuatu yang diizinkan, bahkan disuruh oleh Islam. Langkah Saidina Umar R.A. itu telah membantu pengurusan dan pentadbiran umat Islam sepanjang zaman. Maka, penetapan tarikh bagi tahun hijrah bukanlah bagi mengujudkan satu upacara agama, tetapi untuk urus tadbir umat.

Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab R.A. bukan pada zaman Rasulullah S.A.W, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi S.A.W lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman Baginda S.A.W. Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi S.A.W dan al-Khalafa al-Rasyidin.

Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah di setiap masa.

Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik, insya Allah..

-ibnumustafa-

Monday, December 6, 2010

Doa Akhir dan Awal Tahun Hijriah

Doa akhir tahun dibaca pada akhir waktu 'Asar tanggal 29 atau 30 Zulhijjah sebanyak 3 kali. Dengan izin Allah, insya Allah sesiapa yang membaca doa ini akan mendapat perlindungan Allah S.W.T dari fitnah dan tipu daya syaitan serta mendapat setahun keampunan dosa selama setahun kebelakang. Semoga semua amalan kita diterima dan semua dosa diampunkan-Nya dan juga semoga kita menjadi insan yang lebih mulia, lebih bertaqwa dan berhijah menjadi yang lebih baik dari sebelum ini. Aamieen.. Berikut adalah doa akhir tahun:

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada penghujung waktu Asar, sebelum masuk waktu Maghrib.

Maksudnya:

Allah S.W.T berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah!

Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.

Fadhilat doa Awal Tahun pula adalah membenteng diri dari gangguan syaitan. Barang siapa membaca doa ini sebanyak 3 kali selepas solat rowatib ba'diyyah Maghrib pada malam tanggal 1 Muharram, Allah akan memerintahkan 2 malaikat untuk melindunginya daripada fitnah dan tipu daya syaitan selama setahun. Berikut adalah doa awal tahun.

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali pada awal tahun sesudah masuknya waktu Maghrib.

Maksudnya:

Allah S.W.T berselawat ke atas penghulu kami Muhammad S.A.W, ahli keluarga dan sahabat-sahabat Baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihanMu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantuny a dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka..

Salam Maal Hijrah.. Semoga Beroleh Kehidupan Yang Lebih Bermakna, insya Allah..

-ibnumustafa-

Hati Yang Sakit Berpunca Dari Pandangan Yang Tidak Terjaga

Hati yang sakit, atau bahkan mati, disebabkan oleh titik-titik dosa yang bertambah dari waktu ke waktu kerana amal perbuatan yang kurang terpelihara, sehingga menjadikan hati tersebut hitam legam dan berkarat. Akan tetapi walau bagaimana keadaan hati kita saat ini, tidak tertutup terus peluang untuk sembuh, sehingga dapat kembali menjadi hati yang sihat sekiranya kita berjuang sekuat-kuatnya untuk mengubatinya.

Salah satunya perkara yang membuat hati ini semakin gelap, kotor dan keras membatu adalah tidak pandai menahan pandangan. Barang siapa yang ketika di dunia ini tidak mahir menahan pandangan, gemar melihat hal-hal yang diharamkan Allah, maka jangan terlalu berharap dapat memiliki hati yang bersih.


Umar bin Khattab pernah berkata,

"Lebih baik aku berjalan di belakang singa daripada berjalan di belakang wanita."

Mereka yang sengaja mengarah pandangannya terhadap hal-hal yang tidak hak bagi dirinya, maka tidak hairanlah kalau hatinya lambat laun akan semakin keras membatu dan nikmat iman pun akan semakin hilang manisnya.


Sebenarnya hal ini bukan sahaja termasuk pandangan terhadap lawan jenisnya, bahkan juga pandangan mata hatinya terhadap kehidupan dunia ini. Contohnya melihat sesuatu yang tidak ia miliki, rumah orang lain yang lebih mewah, kenderaan orang lain yang lebih bagus, atau harta orang lain yang lebih banyak. Apa yang ada jarang disyukuri dan apa yang tiada dimilki sering ia risaukan. Hatinya lebih bergelojak memikirkan hal-hal yang tidak dimilikinya daripada menikmati apa-apa yang dimilikinya..

Kunci bagi orang yang memiliki hati yang bersih adalah menundukkan pandangan! Jika melihat lawan jenis yang bukan muhrim, cepat-cepatlah tundukkan pandangan. Kalau melihat dunia pula jangan sekali-kali melihat ke atas. Sekiranya tidak, akan penat dan letih kita akhirnya, kerana rezeki yang telah menjadi hak kita tidak kita syukuri dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya kerana asyik melihat orang yang lebih daripada kita.

Adalah lebih baik melihat ke bawah. Lihatlah orang yang lebih fakir dan lebih menderita daripada kita. Lihatlah orang yang jauh lebih sederhana hidupnya. Semakin sering kita melihat ke bawah,semakin hati ini akan semakin dipenuhi oleh rasa syukur dibandingkan dengan orang yang suka mengadah pandangan ke atas. Walaupun kita melihat ke atas, tetapkan pandangan kita kepada Yang Maha Atas, iaitu kepada Zat Penguasa alam semesta. Lihatlah kekuasaan-Nya, Allah Maha Kaya dan tidak pernah berkurang kekayaan-Nya sedikitpun walau kita selalu meminta kepadaNya sampai akhir hayat.

Orang yang hanya melihat ke atas dalam urusan dunia, hatinya akan cepat kotor dan hancur. Sebaliknya, kalau tunduk dalam melihat dunia dan mengadah pandangan dalam melihat keagungan serta kebesaran Allah, maka kita akan menjadi orang yang memiliki hati bersih yang selamat.

Prof. Hamka pernah berkata,

"Mengapa manusia bersikap bodoh? Tidakkah engkau menatap langit yang biru dengan awan yang berarak seputih kapas? Atau engkau turuni ke lembah sehingga akan kau dapatkan air yang bening. Atau engkau bangun di malam hari, kau saksikan bintang-bintang bertaburan di langit biru dan rembulan yang tidak pernah bosan orang menatapnya. Atau engkau dengarkan suara cengkerik dan katak saling bersahutan. Sekiranya seseorang amat gemar memandang keindahan, amat senang mendengar keindahan, niscaya hatinya akan terbebas dari perbuatan keji. Kerana sesungguhnya keji itu buruk, sedangkan yang buruk itu tidak akan pernah bersatu dengan keindahan."

Berbahagialah orang yang senang melihat kebaikan orang lain. Tatkala dia mendapat seseorang tidak baik kelakuannya, ia segera sedar bahwa manusia itu bukanlah malaikat. Di sebalik segala kekurangan yang dimilikinya pasti ada kebaikannya. Perhatikanlah kebaikannya itu sehingga akan tumbuh rasa kasih sayang di hatinya. Apabila mendengar seseorang selalu berbicara buruk dan menyakitkan, dia segera sedar. Siapa tahu sekarang dia berbicara buruk, namun esok lusa dia mungkin berbicara yang baik.

Jalaluddin Rumi pernah berkata,

"Orang yang begitu senang dan nikmat melihat dan menyebut-nyebut kebaikan orang lain bagaikan hidup di sebuah taman yang indah. Ke sini anggerik, ke sana melati. Ke mana saja mata memandang yang kelihatan adalah bung-bunga yang indah dan harum mewangi. Di mana-mana sahaja yang kelihatan hanyalah keindahan. Sebaliknya, orang yang gemar melihat aib dan kekurangan orang lain, fikirannya hanya diselimuti dengan aneka keburukan sementara hatinya hanya dikepung dengan prasangka-prasangka buruk. Ke mana pun matanya melihat, yang kelihatan adalah ular, kala jengking, duri, dan sebagainya. Di mana saja ia berada senantiasa tidak akan pernah dapat menikmati indahnya hidup ini."

Sungguh berbahagialah orang yang pandai memelihara pandangannya kerana dia akan sentiasa merasakan nikmatnya kebeningan hati. Allah Azza wa Jalla adalah Zat Maha Pembolak-balik hati hamba-Nya. Sama sekali tidak sulit dan masalah baginya untuk menolong siapapun yang merindukan hati yang bersih dan bening sekiranya ia berikhtiar sungguh-sungguh.

-ibnumustafa-