PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, December 28, 2011

Setiap Yang Terjadi Tentu Ada Hikmahnya


Tersebutlah kisah di sebuah desa, Tok Penghulu dengan anaknya membela seekor kuda. Mereka amat menyayangi kuda itu. Suatu hari, kuda itu terlepas dan terus lari ke dalam hutan berhampiran. Orang kampung yang tahu akan hal tersebut berkata kepada Tok Penghulu,

"Kami simpati di atas kehilangan kuda kesayangan Tok. Tentu Tok sedih.."

Sebaliknya,Tok Penghulu tersenyum lalu berkata, "Tak apalah. Tentu ada hikmahnya.."

"Apa hikmahnya Tok?"

"Tok pun tak tahu. Tapi Tok pasti tentu ada hikmahnya.."

Beberapa minggu kemudian, kuda kesayangan Tok Penghulu pulang semula dengan membawa beberapa ekor kuda liar. Orang kampung sangat kagum kerana sekarang bilangan kuda kepunyaan Tok Penghulu bertambah secara tiba-tiba. Sudah rezekinya.

"Tok bertuahlah. Untung.." Begitulah kata mereka tumpang gembira.

Tok Penghulu sebaliknya berkata, "Belum tentu lagi. Tapi Tok yakin tentu ada hikmahnya.."

Dan yang paling gembira sudah tentulah anak lelaki Tok Penghulu, kerana saban hari dia bermain dengan kuda kesayangannya itu, dia menganggap kuda itu seperti saudaranya sendiri. Setiap hari dia menunggang kuda kesayangannya sambil mengembala kuda-kuda liar yang lain. Entah bagaimana pada satu hari, anak Tok Penghulu itu terjatuh daripada kudanya lalu tangan kanannya patah.

Orang kampung tahu dia adalah anak kesayangan Tok Penghulu. Mereka datang menziarahi anak Tok Penghulu yang terlantar.

"Malang benar nasib tok. Baru dapat nikmat sekarang ditimpa bala pula." kata mereka.

Tok Penghulu tersenyum dan berkata, "Ini ujian Allah. Tentu ada hikmahnya.."

Tidak lama kemudian, kampung mereka didatangi oleh pegawai-pegawai atasan tentera negara itu. Orang kampung semuanya bimbang kerana raja mereka memang terkenal zalim dan tidak berperikemanusiaan.

"Raja memerintahkan semua anak muda lelaki dikumpulkan! Negara memerlukan tentera tambahan untuk dihantar ke medan perang!" Arah ketua tentera.

Semua ibubapa kampung itu risau dan sedih kerana terpaksa berpisah dengan anak-anak lelaki mereka. Belum tentu dapat bertemu kembali atau tidak. Para remaja lelaki dibariskan dihadapan ketua tentera, termasuk anak lelaki Tok Penghulu yang patah tangan itu.

"Kamu dikecualikan! Tidak ada gunanya membawa orang yang patah tangan!" Kata ketua tentera sambil menunding jarinya kepada anak lelaki Tok Penghulu.

Pada ketika itu, terngiang-ngiang kata-kata dari mulut penghulu mereka, "Tentu ada hikmahnya.."

Pengajaran:

Setiap apa yang berlaku ada buruk dan ada baiknya. Orang yang beriman sentiasa melihat daripada sudut yang baik daripadanya. Mereka menerima yang buruk dengan sabar, namun didalam hati sentiasa mengharap kebaikan disebaliknya daripada Allah S.W.T.

"Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini (dengan sebaik-baik balasan) disebabkan kesabaran mereka; sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya." - Surah Al-Mu'minun; ayat 111.

-ibnumustafa-

Tuesday, December 13, 2011

Sembah Tahniah KDYMM Sultan Kedah Darul Aman Sebagai SPB YDP Agong Malaysia Yang Ke-14

Daulat Tuanku


Patik Merafak Sembah Setinggi-tinggi Tahniah Sempena Pertabalan
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan Almu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mua’dzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah
Sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Malaysia Yang Ke-14
Berkuatkuasa 13 Disember 2011, Bersamaan 18 Muharram 1433 H

D.K., D.K.H., D.K.M., D.M.N., D.U.K., D.M.K., D.K. (Kelantan), D.K. (Pahang), D.K. (Selangor), D.K. (Perlis), D.K. (Negeri Sembilan), D.K. (Johor), D.K. (Terengganu), D.K. (Perak), D.K. (Brunei), D.P. (Sarawak), D.U.N.M., S.P.M.K., S.S.D.K., D.H.M.S., D.G.M.K., Grand Cordon of The Order of the Rising Sun of Japan, Bintang Maha Putra Adiprana (Indonesia), Order of the Rammata Thailand, Honourable Knight Grand Cross Order of the Bath of U.K., Asso. Knight Order of St. John.

SULTAN NEGERI KEDAH DARUL AMAN

DIRGAHAYU TUANKU !

Semoga Allah S.W.T lanjutkan usia Tuanku

Ikhlas dari Patik,

-ibnumustafa-

Saturday, December 10, 2011

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011

Seperti yang telah diwar-warkan malam ini akan terjadinya fenomena Gerhana Bulan Penuh. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas pada Jun 2010, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai. Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.32 malam. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam.

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam.

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):

Bulan mula memasuki Penumbra : 7.32 malam
Bulan mula memasuki Umbra : 8.46 malam
Permulaan gerhana Penuh : 10.06 malam
Waktu gerhana Maksima : 10.31 malam
Tamat gerhana Penuh : 10.57 malam
Bulan meninggalkan Umbra : 12.18 tengah malam
Bulan meninggalkan Penumbra : 1.31 pagi

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat. Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Apabila berlakunya gerhana bulan penuh atau gerhana matahari, umat Islam di galakkan untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari/bulan dan panduan untuk menunaikannya boleh dirujuk di sini: PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI DAN BULAN

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersolatlah.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.


Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium:



-ibnumustafa-

Panduan Solat Sunat Gerhana Matahari Dan Bulan

Solat Gerhana disebut di dalam bahasa Arab dengan perkataan khusuf (الخُسُوفِ) bagi bulan dan kusuf (الكُسُوفِ) bagi matahari, iaitu hilangnya cahaya bulan atau matahari.

Ia bukanlah berlaku kerana kemurkaan Allah S.W.T, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah S.W.T. Ia juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah S.W.T pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains. Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tetapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi S.A.W yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.

Dalilnya:

Daripada Aisyah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ
ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا

“Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dalilnya:

عن ابن مسعود الانصارقال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله. يخوف بهما عباده. وَاِنَّهُمَا لا ينكسفان لموتِ أحد مِنَ النَّاسِ. فإذا رأيتم منها شيئا. فصلوا وادعوا الله يكشف ما بكم.

Dari Abu Mas’ud Al-Anshari beliau berkata: Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Solat Khusuf/Kusuf adalah Solat Sunat Muakkad sama ada bagi orang yang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dan sama ada ditunaikan secara berjamaah atau bersendirian.

1. Bagi Solat Gerhana Matahari waktunya bermula apabila ternyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu, dan sehingga jatuh matahari dan gerhana tersebut. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.

2. Bagi Solat Gerhana Bulan waktunya bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana dan naik matahari. Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya. Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya, dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat. Tetapi jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar, maka terdapat dua pendapat iaitu:

a. Qaul Qadim: Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang bila terbit fajar (subuh).

b. Qaul Jadid: Ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan masih ada sehinggalah terbit matahari (syuruk).

* Di dalam mazhab Syafie dibolehkan bersolat walaupun ketika berlaku gerhana tersebut adalah waktu tahrim.

Boleh dilakukan di mana-mana samada di rumah, musolla, surau atau masjid. Walau bagaimanapun yang afdhal ialah masjid yang didirikan Jumaat.

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari:

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan:

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya: “Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”

a. Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

b. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Kaifiatnya adalah seperti berikut:

Berdasarkan hadith:

عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu Baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian Baginda mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan Baginda berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian
Baginda ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian Baginda sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian Baginda bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bersyukurlah kepada solat gerhana.” - Hadith Riwayat Bukhari (4-hlm: 358).

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.

Daripada Abdullah bin Amr bin Al-Ash R.A, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah S.A.W, maka diserukan: ‘As Solatu Jami`ah’. Lalu Rasulullah S.A.W melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah R.A berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu.” - Hadith Riwayat Muslim (2-hlm: 81).

Secara ringkasnya seperti berikut:

1. Rakaat Pertama:

a. Takbiratul Ihram.

b. Membaca doa iftitah.

c. Membaca Ta`awudz.

d. Membaca Surah al-Fatihah.

e. Membaca mana-mana surah, yang terlebih afdhal Surah al-Baqarah.

f. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.

g. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau mana-mana surah.

h. Ruku
dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.

i. Iktidal.

j. Sujud dan membaca tasbih.

k. Duduk antara 2 sujud.

l. Sujud kembali.

m. Berdiri ke rakaat kedua.

2. Rakaat kedua:

a. Membaca Surah al-Fatihah.

b. Membaca Surah an-Nisa’ atau mana-mana surah.

c. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.

d. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah atau mana-mana surah.

e. Ruku
dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.

f. Iktidal.

g. Sujud dan membaca tasbih.

h. Duduk antara 2 sujud.

i. Sujud kembali.

j. Membaca tasyahud akhir.

k. Memberi salam.

* Tidak perlu iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )

* Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.

* Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

Khutbah Solat Gerhana:

Dalil:

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata:

ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان

من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة
.

Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu Baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana.” - Hadith Riwayat Bukhari (4-hlm: 358).

a. Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang.

b. Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir.

c. Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.

d. Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah.

Pertembungan antara dua solat:

Secara umumnya bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.

Contoh:

a. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah.

b. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu.

c. Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.

-ibnumustafa-

Amalan-amalan Sunat Yang Dianjurkan Semasa Gerhana Matahari Dan Bulan

Gerhana Bulan

Menerusi sekian banyak hadith berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

1. Solat dan berdoa:

Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi.”

2. Berzikir dan beristighfar:

Daripada Abu Musa R.A, beliau berkata: “Tatkala terjadi gerhana matahari di masa Rasulullah S.A.W, Baginda bangkit terkejut, takut terjadi kiamat sampai Baginda menuju ke masjid. Baginda melakukan solat dengan rukuk dan sujud yang lama sekali. Tidak pernah aku melihatnya melakukan solat seperti itu. Kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda kebesaran yang dikirimkan Allah, gerhana ini terjadi bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang, tetapi Allah yang mengirimkannya untuk menakut-nakutkan hamba-hambaNya. Oleh sebab itu, apabila kamu melihatnya, maka bersegeralah ingat kepadaNya, berdoa dan mohon keampunanNya.” - Hadith Riwayat Muslim.

3. Berlindung daripada azab kubur:

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata: “Setelah Nabi S.A.W selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda S.A.W memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

4. Bersedekah:

Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

5. Memerdekakan hamba:

Daripada Asma’ R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi S.A.W menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. Dalam satu riwayat: 'Gerhana bulan'.”

Inilah sunnah Baginda S.A.W ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita S.A.W kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Hadith-hadith lain yang berkaitan dengan gerhana bulan dan matahari:

Daripada Abdullah bin Amru R.A, beliau berkata: “Tatkala gerhana matahari terjadi di masa Rasulullah S.A.W, (manusia) diseru dengan seruan: "As-solatu jami'atan" (marilah solat berjamaah). Rasulullah S.A.W melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat. Kemudian berdiri dan melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat (yang terakhir). Kemudian matahari nampak kembali.” - Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Abdullah bin Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan tidak terjadi gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang, tetapi keduanya termasuk tanda kebesaran Allah. Maka jika kamu melihat gerhana, kerjakanlah solat.” - Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Mughirah bin Syu'bah R.A, beliau berkata: Pada masa Rasulullah S.A.W pernah terjadi gerhana matahari pada hari kematian Ibrahim. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana disebabkan kematian atau kelahiran seseorang. Oleh sebab itu, apabila kamu melihatnya, maka berdoalah kepada Allah dan tunaikan solat hingga matahari nampak kembali.” - Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersolatlah.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Daripada Abu Mas’ud Al-Anshari R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

-ibnumustafa-

Wednesday, December 7, 2011

Lima Syarat Untuk Melakukan Maksiat

Suatu hari ada seorang lelaki menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata:

Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku nasihat.

Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata:


Jika kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka kamu boleh melakukan maksiat.

Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.


Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?

Ibrahim bin Adham berkata:


Syarat pertama, jika kamu mahu bermaksiat kepada Allah, jangan memakan rezekiNya.

Mendengar itu dia mengenyitkan kening seraya berkata:

Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi ini rezeki Allah?

Ya! tegas Ibrahim bin Adham.

Kalau kamu sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekiNya, sedangkan kamu selalu berkeinginan melanggar laranganNya?

Yang kedua, kata Ibrahim, kalau mahu bermaksiat, jangan tinggal di bumiNya!

Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.

Ibrahim kembali berkata kepadanya:

Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah kamu layak memakan rezekiNya dan tinggal di bumiNya, sedangkan kamu melanggar segala laranganNya?

Ya! Anda benar. kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat yang ketiga, lalu Ibrahim menjawab:

Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah tempat tersembunyi yang tidak dapat dilihat olehNya!

Lelaki itu kembali terperanjat dan berkata:

Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana mungkin Allah tidak melihat kita?

Ya, kalau memang yakin demikian, apakah kamu masih berkeinginan untuk melakukan maksiat? kata Ibrahim.

Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang keempat.

Ibrahim melanjutkan:

Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu, katakanlah kepadanya, Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan melakukan amal soleh.

Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan segera tersedar lalu berkata:

Wahai Ibrahim , mana mungkin malaikat maut akan memenuhi permintaanku?

Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari kemurkaan Allah?

Baiklah, apa syarat yang kelima?

Ibrahim pun menjawab:

Wahai Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya.

Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf, lalu dia berkata:

Wahai Aba Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya. Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran. Mulai saat ini aku ingin bertaubat kepada Allah. katanya sambil teresak-esak.

-ibnumustafa-