PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Showing posts with label Misteri Dan Keajaiban Alam. Show all posts
Showing posts with label Misteri Dan Keajaiban Alam. Show all posts

Saturday, December 10, 2011

Fenomena Gerhana Bulan Penuh 10 Disember 2011

Seperti yang telah diwar-warkan malam ini akan terjadinya fenomena Gerhana Bulan Penuh. Fenomena ini akan berlaku pada waktu puncak, iaitu sebaik sahaja matahari terbenam dan berlarutan sehingga ke lewat tengah malam. Tidak seperti gerhana yang lepas pada Jun 2010, yang mana ia berlaku lewat tengah malam sehingga ke matahari terbit keesokan paginya, gerhana kali ini dijangka dapat disaksikan dengan mudah oleh orang ramai. Fasa gerhana ini akan bermula pada jam 7.32 malam. Namun apabila bulan mula menghampiri kawasan bayang-bayang bumi yang lebih gelap, dikenali sebagai umbra, barulah kesan gelapnya mudah kelihatan, iaitu sekitar jam 8.30 malam.

Bulan akan berada di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya (fasa gerhana penuh) pada jam 10.05 malam sehingga 10.57 malam.

Kemudian ia akan keluar sepenuhnya daripada bayang-bayang umbra pada jam 12.18 tengah malam.

Waktu setiap fasa gerhana boleh dirujuk seperti di bawah (kiraan Skymap Pro 8):

Bulan mula memasuki Penumbra : 7.32 malam
Bulan mula memasuki Umbra : 8.46 malam
Permulaan gerhana Penuh : 10.06 malam
Waktu gerhana Maksima : 10.31 malam
Tamat gerhana Penuh : 10.57 malam
Bulan meninggalkan Umbra : 12.18 tengah malam
Bulan meninggalkan Penumbra : 1.31 pagi

Jumlah masa Bulan bergelap di dalam bayang-bayang bumi sepenuhnya ialah selama 52 min 16 saat. Waktu di atas merupakan waktu tempatan (Malaysia). Ia adalah sama sahaja jika anda berada di Semenanjung, Sarawak atau Sabah. Cuma yang berbeza ialah ketinggian Bulan di langit. Semakin anda berada ke arah timur Malaysia, semakin tinggi kedudukan Bulan pada satu-satu fasa gerhana itu.

Apabila berlakunya gerhana bulan penuh atau gerhana matahari, umat Islam di galakkan untuk menunaikan solat sunat gerhana matahari/bulan dan panduan untuk menunaikannya boleh dirujuk di sini: PANDUAN SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI DAN BULAN

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersolatlah.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.


Video di bawah merupakan simulasi gerhana bulan yang dibuat menggunakan perisian Stellarium:



-ibnumustafa-

Amalan-amalan Sunat Yang Dianjurkan Semasa Gerhana Matahari Dan Bulan

Gerhana Bulan

Menerusi sekian banyak hadith berkaitan gerhana, terdapat beberapa perkara sunat yang dianjurkan supaya dilakukan semasa kejadian gerhana. Di antaranya ialah:

1. Solat dan berdoa:

Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila kamu melihat kedua-duanya (gerhana matahari dan bulan), maka dirikanlah solat dan berdoalah sehingga dihapuskan apa yang kamu hadapi.”

2. Berzikir dan beristighfar:

Daripada Abu Musa R.A, beliau berkata: “Tatkala terjadi gerhana matahari di masa Rasulullah S.A.W, Baginda bangkit terkejut, takut terjadi kiamat sampai Baginda menuju ke masjid. Baginda melakukan solat dengan rukuk dan sujud yang lama sekali. Tidak pernah aku melihatnya melakukan solat seperti itu. Kemudian Baginda bersabda: "Sesungguhnya ini adalah tanda-tanda kebesaran yang dikirimkan Allah, gerhana ini terjadi bukan kerana kematian atau kelahiran seseorang, tetapi Allah yang mengirimkannya untuk menakut-nakutkan hamba-hambaNya. Oleh sebab itu, apabila kamu melihatnya, maka bersegeralah ingat kepadaNya, berdoa dan mohon keampunanNya.” - Hadith Riwayat Muslim.

3. Berlindung daripada azab kubur:

Daripada Aisyah R.A, beliau berkata: “Setelah Nabi S.A.W selesai menyampaikan khutbah gerhana matahari, maka Baginda S.A.W memerintahkan para sahabat supaya memohon perlindungan dari azab kubur.”

4. Bersedekah:

Sabda Rasulullah S.A.W: “Apabila kalian melihat gerhana, maka hendaklah kalian berdoa kepada Allah, mengerjakan solat dan bersedekah.”

5. Memerdekakan hamba:

Daripada Asma’ R.A, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi S.A.W menyuruh memerdekakan hamba ketika berlaku gerhana matahari. Dalam satu riwayat: 'Gerhana bulan'.”

Inilah sunnah Baginda S.A.W ketika berlakunya peristiwa gerhana bulan atau matahari.

Marilah bersama-sama kita menghidupkan sunnah Nabi kita S.A.W kerana inilah jalan hakiki menuju kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Hadith-hadith lain yang berkaitan dengan gerhana bulan dan matahari:

Daripada Abdullah bin Amru R.A, beliau berkata: “Tatkala gerhana matahari terjadi di masa Rasulullah S.A.W, (manusia) diseru dengan seruan: "As-solatu jami'atan" (marilah solat berjamaah). Rasulullah S.A.W melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat. Kemudian berdiri dan melakukan dua kali rukuk dalam satu rakaat (yang terakhir). Kemudian matahari nampak kembali.” - Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Abdullah bin Umar R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan tidak terjadi gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang, tetapi keduanya termasuk tanda kebesaran Allah. Maka jika kamu melihat gerhana, kerjakanlah solat.” - Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Mughirah bin Syu'bah R.A, beliau berkata: Pada masa Rasulullah S.A.W pernah terjadi gerhana matahari pada hari kematian Ibrahim. Lalu Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua tanda di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidak gerhana disebabkan kematian atau kelahiran seseorang. Oleh sebab itu, apabila kamu melihatnya, maka berdoalah kepada Allah dan tunaikan solat hingga matahari nampak kembali.” - Hadith Riwayat Muslim.

Daripada Aisyah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersolatlah.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Daripada Abu Mas’ud Al-Anshari R.A, Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

-ibnumustafa-