PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, March 26, 2010

CINTA & BENCI..

“Janganlah hendaknya KECINTAAN anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi LUPA dan KEBENCIAN anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi HANCUR
- Saidina Umar al-Khatab RA

Fadhilat Hari Jumaat


Telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, daripada Salman Al-Farisi RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

Wahai Salman, adakah engkau tahu apakah itu hari Jumaat? Lalu saya menjawab, Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui. Baginda menerangkan, Hari itu ialah hari yang Allah himpunkan manusia, seseorang itu apabila berwudhu' dengan baik, kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, maka ia menjadi kaffarah (penghapus dosa) kepadanya di antara Jumaat itu dan Jumaat berikutnya, iaitu selama dia tidak melakukan dosa besar. - Hadith Riwayat At-Tabrani.

JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai banyak fadhilatnya untuk direnungi.
Kitab As-Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat. Antara peristiwa itu ialah perkahwinan diantara Nabi Adam AS dengan Hawa; Nabi Yusuf AS dengan Zulaikha: Nabi Musa AS dengan Shafura binti Syuaib AS; Rasulullah SAW dengan Khadijah; Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah RA binti Abu Bakar RA serta Ali KW bin Abi Thalib dengan Fatimah az-Zahara RA binti Muhammad SAW.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.

“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” - Hadith Riwayat Muslim.

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdhal daripada hari Jumaat.

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mu'min apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” - Hadith Riwayat Tirmizi.

Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapat ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu

“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang bersolat.

Para jemaah digalakkan menunaikan solat tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan solat itu empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Al-Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadith dinyatakan: Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga.

Jangan sesekali meninggalkan solat sunat tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat solat itu dengan surah Al-Ana'am, Al-Kahfi atau Yaasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.

Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya. Apabila selesai dari solat Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).


Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.

Kemudian kalau boleh, cubalah untuk iktikaf di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan turut sama mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Rasulullah SAW juga bersabda: Barangsiapa yang dapat menunaikan solat Jumaat maka baginya disisi Allah pahala seratus orang yang mati syahid. Dan barangsiapa meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali tanpa darurat, maka Allah akan mengecap hatinya.

Ibadah sunnah pada hari Jumaat

Perjalan ke masjid - adalah sunnah mengambil jalan yang jauh tetapi apabila pulang sunnah diambil jalan yang dekat - Imam Al-Ghazzali.

Bersedekah - suatu amalan yang sangat mulia yang mendatangkan pahala yang besar. Ia menjauhkan bala, menjauhkan penyakit dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apatahlagi jika dilakukan pada hari Jumaat.

Berselawat - Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari saksi (hari Jumaat) disaksikan oleh para malaikat.

Berpakaian cantik dan bersih - digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang bersih dan berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah SWT. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi. Ibnu Masu'd berkata: Mereka yg memotong kuku pd hari Jumaat, Allah akan sembuhkan dia dari segala penyakit dan berikannya keselamatan.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadhilatnya, termasuk dalam hal berwudhu', mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa berwudhu' lalu memperelokkan wudhu'nya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.

“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadith di atas menunjukan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya ma'mum menumpukan perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Isi kandungan khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Umat Islam juga digalakkan berdoa ketika khutbah. Ulama' berpendapat waktunya adalah di antara dua khutbah, iaitu pada saat imam sedang duduk setelah khutbah pertama selesai sebelum beliau bangun untuk khutbah kedua pula. Saat inilah saat yang paling dimustajabkan doa.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” - Muttafaq ‘alaih.

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesiapa yang berwudhu' pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” - Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan Termizi.

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.

Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Ada banyak hadith dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:
  • Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak seorang muslim yg mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.

  • Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah SWT dan Para Malaikat AS mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.

  • Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.

  • Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah SWT mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA.

  • Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.

  • Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah SWT mengkifarahkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.

  • Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada hari Jumaat, mudah dimakbulkan Allah SWT.

Imam Al-Ghazzali pernah berkata bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabien dan ulama yahudi yang memeluk agama Islam pada zaman Saidina Abu Bakar RA) berkata burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan Selamat, selamat hari yang baik.

Imam Al-Ghazzali juga berkata malam Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan disunahkan pada mereka yg mempunyai isteri bersatu pada malam itu agar beroleh zuriat yang soleh, solehah lagi beriman..

-ibnumustafa-

Thursday, March 25, 2010

Hari Kiamat menurut pandangan Al-Quran

Hari Kiamat

Dengan mengkaji ayat-ayat Al-Quran, kita dapat memahami bahawa pada tahap pertama kehidupan alam akhirat bukan dihidupkannya kembali manusia, tetapi terjadi perubahan yang menyeluruh di dalam sistem dan hukum alam semesta, lalu terjadilah alam akhirat yang memiliki ciri-ciri khas yang tidak mungkin dapat kita ketahui secara detail. Dan nyatanya, kita tidak memiliki pengetahuan yang cukup mengenai hal itu. Ketika hari itu terjadi, seluruh umat manusia akan dibangkitkan secara bersamaan, dari manusia pertama yang diciptakan Allah SWT sampai manusia terakhir, agar mereka semua dapat melihat akibat dan hasil dari perbuatan mereka di dunia ini, yang kemudian mereka akan menempati syurga atau neraka selama-lamanya.

Ayat-ayat Al-Quran yang berhubungan dengan masalah ini banyak sekali, sementara pembahasan tentangnya memerlukan waktu dan tempat yang cukup, untuk itu pada kesempatan ini saya akan menjelaskannya secara singkat sahaja.

Kedudukan Bumi, Laut dan Gunung

Ketika Hari Kiamat tiba, terjadi goncangan bumi yang luar biasa dahsyat. Bumi ini memuntahkan seluruh isi perutnya ke luar, berhamburan dan hancur berantakan. Lautan meluap dan terbelah. Gunung-gunung bergerak dan berguncang keras, kemudian pecah beserpihan bagaikan butir-butir pasir yang berserakan, beterbangan bagaikan kapas-kapas yang bertebaran di udara. Gunung-gunang yang menjulang tinggi itu pun tak ubahnya seperti fatamorgana, tak lagi meninggalkan bekas keperkasaannya. [1]

Kedaaan Langit dan Bintang-bintang

Al-Quran memberikan gambaran tentang keadaan benda-benda langit ketika Hari Kiamat tiba. Bahawa bulan, matahari, bintang-bintang yang begitu besar, bahkan sebahagian bintang-bintang itu lebih besar dari bumi yang kita diami ini, yang lebih terang jutaan kali ganda dan sinarnya dari matahari yang kita lihat, semua itu akan hancur dan sinarnya menjadi pudar lalu padam. Segala gerak, tatapan dan aturannya menjadi hancur. Matahari bertlanggaran dengan bulan. Adapun langit yang kita lihat akan bergoncang, terbelah dan hancur. Gugusan langit akan cair bagaikan barang-barang logam yang dicairkan dan mencair. Alam ini dipenuhi dengan asap tebal dan awan gelap. [2]

Jerit Kematian

Dalam kedudukan seperti itu, ditiuplah sangkakala, jerit kematian pun menyeruak ke seluruh alam. Ketika itu, seluruh manusia dan makhluk hidup akan mengalami kematian. Tidak sesuatu pun yang tertinggal di dunia ini. Pada detik-detik peristiwa itu terjadi, seluruh manusia merasa ketakutan dan panik. Mereka gementar dan kebingungan, kecuali orang-orang mukmin yang memahami hakikat wujud ini, segala hikmah dan rahsianya, hati mereka tenggelam dalam makrifat dan mahabbah (cinta) kepada Allah SWT.

Jerit Kebangkitan dan Permulaan Kiamat

Setelah peristiwa itu terjadi, alam akhirat pun memasuki babak baru; alam yang memiliki potensi untuk kekal dan abadi. Nur Ilahi memancarkan sinarnya, jeritan kebangkitan bergema, nusyur segera berlangsung, seluruh umat manusia serta binatang-binatang pun dihidupkan kembali hanya dengan sekejap saja. Seluruh manusia diliputi kebingungan dan goncangan jiwa yang dahsyat bagaikan kupu-kupu yang beterbangan tanpa arah.

Kini, mereka berada di suatu tempat yang agung, berdiri di hadapan Tuhan Yang Maha Besar untuk dilakukan hisab dan perhitungan atas amalan masing-masing. Seluruh manusia dikumpulkan. Bahkan, sebahagian mereka mengira bahawa mereka berada di alam barzakh hanya sekejap atau sehari saja.

Kerajaan Allah SWT dan Terputusnya Sebab dan Nasab

Di alam baru itu tersingkaplah segala hakikat. Kerajaan dan kekuasaan seluruhnya hanya milik Allah SWT. Seluruh umat manusia menjadi ketakutan dan tidak seorang pun yang berani atau mampu berkata-kata dan mengangkat suara. Mereka tenggelam di dalam fikiran masing-masing; tentang nasib dan perjalanan akhir mereka. Bahkan, anak akan lari dan tidak mempedulikan lagi akan ayah dan ibunya. Sanak keluarga satu sama lainnya saling meninggalkan, hubungan nasab dan keturunan pun menjadi terputus tidak lagi bererti. Hubungan kekerabatan dan persahabatan yang dibina berdasarkan keuntungan materi, duniawi dan hawa nafsu berubah menjadi permusuhan satu sama lainnya. Seluruh jiwa manusia dipenuhi oleh penyesalan dan kerugian terhadap apa yang telah mereka lakukan di dunia. [3]

Mahkamah Keadilan Ilahi

Kemudian, dibentuklah Mahkamah Keadilan Ilahi, segala amal perbuatan seluruh manusia pun dihadirkan. Lembaran amal dibahagi-bahagikan, setiap amalan didedah di hadapan pelaku masing-masing sebegitu jelas sehingga tidak lagi memerlukan pemeriksaan terhadap amal tersebut.

Di dalam mahkamah ini, dihadirkan para malaikat, para nabi dan hamba-hamba pilihan sebagai saksi-saksi atas berbagai amal tiap-tiap manusia. Bahkan tangan, kaki dan kulit tubuh pun akan berbicara dan menjadi saksi atas perbuatan seseorang. Seluruh manusia akan dihisab secara teliti. Segenap perbuatan mereka akan ditimbang dengan timbangan mizan Ilahi. Seluruhnya akan diadili berdasarkan keadilan Ilahi, dan masing-masing akan melihat hasil perbuatannya.

Secara khusus, orang-orang soleh akan dilipatgandakan ganjarannya. Mereka yang membawa amal kebajikan akan mendapat balasan sepuluh kali ganda. Di sana, seseorang tidak akan menanggung dosa dan perbuatan orang lain. Sementara mereka yang tersesat dan menyesatkan orang lain akan menanggung kesesatan orang lain yang disesatkannya itu, selain menerima balasan atas perbuatan mereka sendiri, tanpa kurang sedikitpun.

Pengorbanan seseorang untuk orang lain pada saat itu tidak akan bererti. Bahkan, syafa'at dan pertolongan seseorang pun tidak akan diterima, kecuali syafa'at orang-orang yang diizinkan oleh Allah SWT mereka dapat memberikan syafa'at sesuai dengan timbangan-timbangan yang diredhai Allah SWT. [4]

Menuju ke Tempat Abadi

Setelah pengadilan itu selesai, tibalah babak berikutnya, diumumkanlah keputusan Ilahi. Orang-orang yang soleh dipisahkan dari orang-orang yang durhaka. Kaum mukmin menuju ke syurga firdaus dengan wajah yang berseri-seri dan penuh gembira. Sinar Ilahi memancar dan mengantar mereka ke tempat abadi syurgawi. Sedangkan orang-orang kafir dan kaum munafik diiring ke neraka jahanam dalam keadaan terhina. Wajah mereka hitam dan kotor, berjalan di dalam kegelapan. Ketika itu, orang-orang munafik berkata kepada orang-orang yang beriman, “Pada hari ketika orang-orang munafik laki-laki dan perempuan berkata kepada orang-orang yang beriman, ‘Tunggulah kami supaya kami dapat mengambil sebahagian dari cahayamu.’ Ketika itu dikatakan kepada mereka, 'Kembalilah kamu ke belakang dan carilah sendiri cahaya untukmu.” Orang-orang munafik itu memanggil mereka (orang-orang yang beriman) seraya berkata, ‘Bukankah kami dahulu bersama-sama kamu?’ Mereka menjawab, ‘Benar, akan tetapi kamu mencelakakan dirimu sendiri dan menunggu kehancuran kami dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah, dan kamu telah ditipu terhadap Allah oleh syaitan yang amat menipu.' Maka pada hari ini tidak diterima tebusan darimu dan tidak pula dari orang-orang kafir. Tempat kamu adalah neraka, itulah tempat berlindungmu dan seburuk-buruknya tempat kembali bagimu.” - Surah Al-Hadid; ayat 13-15.

Ketika orang-orang mukmin telah mendekati syurga, dibukakan pintu untuk mereka. Para malaikat rahmat pun menyambut kedatangan mereka seraya mengucapkan selamat dengan penuh hormat, dan memberi khabar gembira kepada mereka akan kebahagiaan yang abadi. [5]

Akan tetapi, tatkala orang-orang kafir dan munafik itu sampai di neraka jahanam, terbukalah pintu di hadapan mereka, dan para malaikat azab mencaci-maki mereka dengan kasar dan penuh kedengkian. Mereka diancam dengan siksa pedih selama-selamanya.

Syurga

Di dalam syurga, terdapat taman yang terbentang, seluas langit dan angkasa, dipenuhi oleh aneka ragam pepohonan dengan bermacam-macam buahnya yang sudah matang dan mudah dipetik. Di dalam taman itu juga terdapat tempat istirehat dan bersenang-senang yang sangat luas dan indah, sungai-sungai dengan airnya yang sejuk, susu, madu dan minuman yang bersih dan segar. Apa pun yang mereka inginkan tersedia di dalamnya. Bahkan lebih dari apa yang mereka inginkan.

Pakaian penduduk syurga terbuat dari sutera, sundus dan istabrak (jenis sutera) yang dihiasi dengan bermacam-macam hiasan yang indah. Mereka duduk bersandaran di atas kerusi dan tempat duduk yang empuk sambil berhadap-hadapan. Tidak terdengar suara apapun dari penduduk syurga selain puji dan syukur kepada Allah SWT. Mereka tidak pernah berbicara dengan kata-kata yang sia-sia dan kotor, mereka pun tidak mendengar hal yang serupa. Mereka tidak diganggu oleh rasa dingin atau pun panas, tidak mengenal rasa sakit, lelah dan bosan, tidak juga rasa sedih dan takut. Hati mereka bersih, tidak sedikit pun tergores rasa dengki dan iri hati.

Para pelayan anak-anak kecil senantiasa melingkari mereka bagaikan mutiara-mutiara yang tersimpan rapi, begitu indah dan menakjubkan. Mereka menyajikan gelas-gelas yang berisi minuman syurgawi nan lazat dan membangkitkan semangat yang tak terbayang. Tidak ada bahaya dan rasa sakit apa pun. Mereka dapat menikmati berbagai macam buah dan daging burung.

Di dalam syurga, kaum lelaki mendapat layanan terbaik dari isteri-isteri yang cantik, suci dari segala aib dan sangat mencintai suami-suaminya. Lebih dari itu semua, mereka pun memperoleh kenikmatan rohani dan keredhaan Ilahi. Mereka senantiasa mendapat kasih sayang dan kelembutan dari Tuhan Yang Maha Kasih, sehingga mereka hanyut dalam kebahagiaan dan kedamaian yang tidak seorang pun dapat menggambarkannya. Sungguh kebahagiaan yang tidak ada bandingan. Segala kenikmatan yang tidak mungkin terbayang, dan rahmat, keredhaan serta dekatnya diri di sisi Allah SWT, semua itu abadi dan tidak terbatas.

Neraka

Neraka adalah tempat akhir orang-orang kafir dan kaum munafik yang tidak mempunyai nur sama sekali di dalam hatinya. Di tempat itulah seluruh para penderhaka dikumpulkan. Neraka masih saja dapat menampung dan menyambut, sampai ia berkata: “Apakah masih ada tambahan lagi?”. Di dalamnya tidak ada selain api dan siksa.

Lidah api neraka itu menjilat-jilat sampai ke atas dan dari semua arah. Suaranya yang menakutkan dan penuh murka menambah rasa takut, ngeri dan menggetirkan jiwa. Wajah-wajah penghuninya masam, redup, gelap, hitam dan sangat jelek. Bahkan, para malaikat yang dipercaya untuk menjaganya pun berlaku keras dan kejam. Dari wajah-wajah mereka tidak tampak rasa belas kasih, sedikit pun.

Penghuni neraka itu dibelenggu dengan rantai-rantai dari besi. Mereka dikelilingi api neraka dari semua sisi, bahkan mereka sendiri sebagai kayu-kayu bakarnya. Mereka tidak mendengar apa-apa selain jeritan, rintihan, tangisan dan keluh kesah para penghuninya, serta teriakan para malaikat yang mengawal mereka.

Wajah-wajah para penghuni neraka itu disiram dengan air mendidih yang sangat panas sehingga isi perut mereka pecah. Setiap kali meminta minum, mereka diberikan minuman dari muhl yang sangat panas dan berbau busuk. Mereka menerima minuman itu bagaikan unta-unta yang kehausan. Ketika diminum, usus-usus mereka menjadi terputus-putus dan hancur.

Makanan mereka terbuat dari pohon zakum, iaitu sejenis pohon yang tumbuh di dalam neraka. Jika mereka memakannya, akan bertambah pedih siksa mereka, perut mereka terbakar. Adapun pakaian mereka dibuat dari bahan hitam yang sangat kasar, yang jika dipakai akan menambah siksa menjadi lebih pedih lagi.

Di dalam neraka, mereka ditemani oleh syaitan-syaitan, jin dan para durjana, sehingga mereka berangan-angan ingin menghindar jauh. Satu sama lain saling melaknat dan bertikai. Setiap kali menampakkan penyesalan dan memohon maaf kepada Allah, mereka malah menerima siksa yang semakin pedih agar mereka diam. Ketika itulah mereka memohon kepada penjaga neraka. Al-Quran mengisahkan, “Para penghuni neraka itu berkata kepada penjaga jahanam, 'Mohonlah kepada Tuhanmu agar meringankan azab kami ini walaupun hanya satu hari saja!' Mereka menjawab, ‘Bukankah sudah datang kepadamu para utusanmu itu dengan membawa penjelasan?' Mereka menjawab, ‘Ya.’ Mereka berkata lagi, ‘Kalau begitu mintalah. Sesungguhnya doa-doa orang-orang kafir senantiasa dalam kesesatan.'" - Surah Ghafir; ayat 49-50.

Begitu beratnya siksa yang ditanggung, mereka meminta dimatikan lagi. Akan tetapi, jawapan yang datang kepada mereka adalah: kalian akan menetap di neraka ini selama-lamanya. Allah SWT berfirman, “Mereka memanggil-manggil, 'Wahai penjaga, mohonlah agar Tuhanmu itu mengadili kami lagi.' Ia menjawab, 'Sesungguhnya kamu akan menetap di sini.'”

Meskipun diliputi oleh kematian dari semua sisi, mereka tidak mengalami kematian lagi. Setiap kali kulit mereka terbakar, digantikan dengan kulit yang baru sehingga siksa itu terus berlangsung, mendera tiada henti.

Akhirnya, mereka memohon kepada penduduk syurga agar memberikan air dan makanan walau sedikit saja. Jawapan yang datang hanyalah “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan atas kalian kenikmatan syurga. Penduduk syurga bertanya kepada mereka, “Apakah yang membuat kamu masuk ke neraka saqar?" Mereka menjawab, “Kami tidak menunaikai solat, kami juga tidak memberi makan fakir miskin. Kami tenggelam bersama orang-orang yang derhaka dan kami mendustakan Hari Kiamat.” - Surah Al-Muddatstsir; ayat 42-46.

Kemudian terjadilah adu-bicara sesama mereka sendiri di dalam neraka itu. Orang-orang yang sesat berkata kepada orang-orang yang menyesatkan mereka: “Sesungguhnya kalianlah yang telah menyesatkan kami”. Mereka menjawab, “Jesteru kamulah yang menghendaki sendiri hal itu lantas mengikuti kami.” Orang-orang yang tertindas dan lemah berkata kepada orang-orang yang bongkak, “Seandainya tidak kerana kamu, maka kami ini adalah orang-orang yang beriman." Orang-orang yang sombong itu berkata kepada orang-orang yang lemah, 'Kamikah yang telah menghalang kamu dari petunjuk setelah petunjuk itu datang kepada kamu? Tidak, sebenarnya kamu sendiri orang-orang yang berdosa.'" - Surah Saba'; ayat 32.

Lalu, mereka berkata kepada syaitan-syaitan, Sesungguhnya kamulah yang telah menyesatkan kami. Syaitan-syaitan itu pun menjawab mereka, Dan berkatalah syaitan ketika urusan hisab telah diselesaikan, ’Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kepada kamu dengan janji yang benar dan aku pun telah berjanji kepada kamu akan tetapi aku menyalahinya. Sekali-kali tidak ada kekuasaan bagiku terhadapmu, melainkan sekadar aku ini menyuruh kamu, lalu kamu mematuhi seruanku, oleh sebab itu janganlah kamu mencerca aku, akan tetapi cercalah dirimu sendiri. Aku sekali-kali tidak akan dapat menolongmu. Dan kamu pun tidak akan dapat menolongku." - Surah Ibrahim; ayat 22.

Sungguh, tidak ada jalan lain di hadapan mereka kecuali menyerah dan menerima siksaan lantaran kekufuran dan kesesatan mereka. Mereka menetap untuk selama-lamanya di dalam neraka jahim.

[1] Lihat surah Az-Zilzal: 1-2, Al-Hajj: 1, Al-Waqi’ah: 4, Al-Muzammil: 14, Al-Insyiqaq: 4, Al-Haqqah: 14, Al-Fajr: 21, At-Takwir: 6, Al-Infithar: 3, Al-Kahfi: 47, An-Nahl: 88, Ath-Thur: 10, Al-Takwir; 2, Al-Ma’arij: 9, dan Al-Qari’ah: 5.

[2] Lihat surah Al-Qiyamah: 8-9, Al-Takwir: 1-2, Al-Infithar: 2, Ath-Thur: 1, Al-Haqqah: 16, Ar-Rahman: 37, Al-Mursalat: 9, An-Naba’: 19, Al-Anbiya’: 104, Al-Furqan: 25, Ad-Dukhan: 10.

[3] Lihat surah Ibrahim: 21, Al-'Adiyat: 10, Ath-Thariq: 9, Qof: 22, Al-Haqqoh: 18, Al-Hajj: 56, Al-Furqon: 26, Ghafir: 16, Al-Infithor: 19, Hud: 105, Thaha: 108, An-Naba': 38, 'Abasa: 34, Asy-syuara': 88, Al-Ma'arij: 10-14, Luqman: 33, Al-Baqoroh: 166, Al-Mu'minun: 101, dan Az-zukhruf: 67.

[4] Lihat surah Al-An'am: 31, 70, 160, Maryam: 39, 87, Yunus: 54, 59, Ali-Imran: 30, 91, Lukman: 33, Al-Ma'idah: 36, Al-Hadid: 15, At-Takwir: 14, Al-Isra': 49, 13-14, Al-Haqqah: 19, Al-Insyiqaq: 7-10, Ar-Rahman: 39, Az-Zumar: 7, 24, 69, 75, Al-Baqarah: 143, 255, 281-286, Ali 'Imran: 140, 25, 161, An-Nisa': 41, 69, Hud: 18, 111, Al-Hajj: 78, Yasin: 65, 54, 47, Fushshilat: 20-21, An-Nur: 24, Al-Mu'minun: 102-103, Al-Qari'ah: 6-8, Al-Jatsiyah: 17, 22, An-Nahl: 25, An-Naml: 78, An-Najm: 26, 40-41, 39, Ibrahim: 51, Thaha: 15, 109, Ghafir: 17, Ath-thur: 21, Al-Muddatsir: 38, Al-'Ankabut: 13, Fathir: 18. Saba': 23, dan Az-Zukhruf: 87.

[5] Lihat surah Al-A'raf: 33, Al-Anfal: 37, Ar-Rum: 14-16, 43-44, Asy-Syura': 7, Hud: 105-108, Yasin: 59, Az-Zumar: 60, 71, 73, Ar-Ra'd: 23-24, Ali 'Imran: 106, Al-An'am: 124, Yunus: 27, Maryam: 71-72, 86, Thaha: 101, 124-126, Ibrahim: 43, Al-Qamar: 8, Al-Mi'raj: 44, Al-Ghasyiyah: 2, Al-Isra': 72, 97, 'Abasa: 40-41, Al-Hadid: 13-15, At-Tahrim: 6, dan Al-Anbiya': 103.

-ibnumustafa-

Hukum Memakai Kanta Sentuh (Contact Lens) Ketika Berpuasa

Soalan:

Saya ingin bertanya apakah hukumnya samada batal atau tidak puasa saya sekiranya saya memakai kanta sentuh (contact lens) ketika berpuasa kerana saya perlu menitiskan ubat mata (lens drop) apabila mata saya kering?

Jawapan:

Sah puasanya kerana mata bukanlah rongga yang terbuka. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

Di dalam Kitab Fiqh al-‘Ibadat, muka surat 191:

“Puasa orang yang memakai kanta sentuh atau contact lens tidak batal kerana ia tidak masuk ke perut dan bukan kategori makanan atau minuman. Dibolehkan juga menitikkan sebarang ubat mata atau telinga ketika berpuasa walaupun jika ia memasuki halkum. Ia bukan makan atau minum juga tidak termasuk makna makan atau minum.”

Berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh Majma’ Feqah Islami dalam satu persidangannya, bahawa sesuatu yang dimasukkan ke dalam mata seperti titisan ubat tidak membatalkan puasa. Ia juga adalah pendapat yang pernah ditarjihkan oleh Ibn Taimiyyah.

Maka, tidak mengapa memakai contact lens ketika puasa. Walaupun ketika memakainya, ada cairan solution yang mungkin masuk dalam rongga mata. Ia bukannya makanan dan bukan minuman, dan tidak boleh disamakan dengannya pada hukum.

Wallahu a'lam..

-ibnumustafa-

Madah Berhikmah..

“Janganlah hendaknya KECINTAAN anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi LUPA dan KEBENCIAN anda terhadap sesuatu itu membuatkan anda menjadi HANCUR

- Saidina Umar al-Khatab

Wednesday, March 17, 2010

Lemahnya IMAN ini...

Lemahnya IMAN ini,
Baru sedikit Allah menguji,
Sudah rebah tak mampu berdiri..

Lemahnya IMAN ini,
Baru saja bayu dunia menyapa pipi,
Sudah melayang tak sedarkan diri..

Lemahnya IMAN ini,
Baru sekelumit keindahan wajah diberi,
Sudah mula lupa diri..

Lemahnya IMAN ini,
Baru sedikit kejayaan diberi,
Sudah lupa siapa yang memberi..

Lemahnya IMAN ini,
Baru sedikit buat kebaikan,
Riak dan ujub bersorak riang..

Lemahnya IMAN ini,
Bila suatu kebajikan dimulakan,
Tak berdaya untuk diteruskan,
Tiada istiqamah dalam amalan..

Lemahnya IMAN ini,
Baru diuji dengan seorang wanita/lelaki,
Iman sudah bisu menyepi,
Nafsu pula mengawal diri..

Lemahnya IMAN ini,
Jalan dakwah kata nak tempuhi,
Baru saja melangkah kaki,
Beberapa tapak sudah berhenti..

Lemahnya IMAN ini,
Nikmat anugerah Ilahi,
Biar sudah tak terhitung lagi,
Tapi masih lupa mensyukuri..

Lemahnya IMAN ini,
Asyik lagha dengan urusan duniawi,
Tak pernah khuatir amalan diterima atau dibenci..

Lemahnya IMAN ini,
Bagaimana nak sahut seruan jihad?
Baru sedikit dilukai,
Sudah menangis meratapi..

Lemahnya IMAN ini,
Lupa matlamat lupa syari’at,
Terkejar-kejar yang tak pasti,
Leka dibuai syaitan terlaknat..

Lemahnya IMAN ini,
Asyik ketawa
tak kering gusi,

Lupa menangis mengingat MATI..

Ya Allah Ya Tuhanku.. Lemahnya iman dan hati ini.. Kami memohon kekuatan daripadaMu.. Pimpinilah setiap langkah kami, biar hanya mampu merangkak, itu pasti lebih baik daripada terus rebah dalam kaku.. Berikan kami peluang merentasi jalan yang Engkau redhai.. Ampunilah kekhilafan semalam atas kejahilan kami mengenal makna kasih sayangMu.. Ya Rabbal Izzati...

-ibnumustafa-

Friday, March 12, 2010

Doa dan Amalan Terbaik Semasa Hamil dan Bersalin, Serta Panduan Menyambut Cahayamata.

KEHAMILAN adalah nikmat hidup dan anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Pencipta kepada kaum wanita.

Nikmat ini lebih menyerlah dengan kelahiran bayi sihat dan sempurna, apatah lagi jika kehamilan itu yang pertama.

Melalui proses kehamilan ada ketikanya ibu merasakan dia adalah orang yang paling bertuah dan ada ketikanya pula mahu diberi perhatian lebih daripada biasa.

Dalam kehidupan seharian bagaimana menghadapi cabaran ketika hamil dan bakal menjadi ibu sebenarnya adalah bayangan daripada personaliti individu itu sendiri.

Apabila memiliki anak segala-galanya akan berubah secara semula jadi termasuk corak kehidupan seharian.

Pada setiap kehamilan, ia agak berbeza-beza termasuk perubahan kelakuan dan kesihatan yang mana ia membantu menguruskan jangkaan serta emosi kita untuk menghadapi saat-saat getir untuk bergelar ibu.

Dalam masa yang sama, ibu juga perlu mengenalpasti siapakah dirinya yang secara tidak langsung dapat membantu mengawal emosi, membuat keputusan penting dan menyesuaikan diri dengan situasi baru.

Normal bagi masyarakat kita, semasa mengandung untuk mengamalkan beberapa petua, bukan saja untuk kesejahteraan ibu semasa mengandung, malah juga untuk bayi dalam kandungan dan semasa proses bersalin. Selain dari yang berbentuk fizikal seperti regular check up, elakkan aktiviti lasak, etc. Amalan dan petua yang popular ialah yang bersangkutan dengan kerohanian.

Dengan itu timbullah banyak amalan2, zikir2 serta surah2 yang bagus untuk diamalkan membacanya semasa mengandung, antaranya:

  • Surah Al-Fatihah - bertujuan untuk memperolehi anak yang pandai, ceridk, terang hati dan kuat ingatan
  • Surah Yusuf - bertujuan untuk memperolehi anak yang cantik rupa dan akhlak
  • Surah Luqmanbertujuan untuk memperolehi anak yang cerdik akal dan jiwa
  • Surah Yaasinbertujuan untuk memperolehi anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang sentiasa mengajak kepada maksiat
  • Surah Ibrahim - bertujuan untuk memperolehi anak yg rajin mengerjakan ibadah dan tidak meninggalkan solat
  • Surat Toha - bertujuan untuk memperolehi bayi yang lembut hati
  • Surah Al-Nahl - bertujuan untuk memperolehi anak yang berdisplin
  • Surah Maryambertujuan untuk memudahkan ibu bersalin
  • Surah al-Hujurat – untuk memperbanyakkan susu ibu dan sebagainya
  • Surah At-Taubah - untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat
Ibu Imam Syafie ketika mengandungkan Imam Syafie, sentiasa membaca surah Al-Fatihah dan surah Yaasin.

Sewaktu membaca, ibunya menyeru pada Allah SWT agar anak di dalam kandungannya memahami apa yang dibacanya.

Sebab itu, tidak hairanlah Imam Syafie boleh menghafal al-Quran 30 Juzu' sejak berusia 7 tahun kerana sejak dalam kandungan lagi ia telah belajar al-Quran.

DOA KETIKA HAMIL

Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam kandunganku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit..

Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu..

Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat..

Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal..

Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad SAW, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah

  • Saidul (penghulu) Istighfar
  • Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, ayat 8-9)
  • Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, ayat 38)
  • Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, ayat 40-41)

Selain daripada surah dan doa, terdapat beberapa perkara yang elok diamalkan oleh para ibu agar anak yang bakal dilahirkan nanti sejahtera dan berakhlak mulia. Antaranya;

Para ibu haruslah banyak mengingati Allah SWT dengan memohon ampun dan taubat supaya Allah SWT akan mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini dan seterusnya akan membersihkan hati dari perasaan yang tidak baik. Dengan ini juga diharap anak yang bakal lahir nanti bersih hatinya dan ibu dapat bersalin dengan tenang dan selamat.

Melakukan amal ibadat, membuat kebajikan dan meninggalkan segala larangan agama. Wanita hamil dituntut memperbanyakkan amal ibadat seperti solat sunat, puasa sunat terutama Isnin dan Khamis serta sentiasa menjaga syariat. Bukan sahaja isteri, suami juga dituntut sama.

Sentiasa berakhlak baik. Ibu-ibu yang sedang mengandung harus lebih banyak bersabar, bersikap baik dengan jiran, menghormati ahli keluarga dan teman-teman. Tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak yang bakal lahir.

Sentiasa tenang dan gembira. Keadaan emosi yang tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak seterusnya kelahiran bayi yang sihat, terangsang, pintar dan cerdas.

Semasa mengandung juga para ibu digalakkan menjaga lidah, menjaga sikap, menjaga perangai, menjaga hati dan sebagainya, agar anak yang dikandung beroleh segala kebaikan dan keberkatan.

Malah, termasuk juga si bapa, digalakkan memperbanyakkan amalan sunat, membaca al-Quran, bersedekah, bersabar, tenang dan gembira agar proses mengandung dan bersalin berlangsung dengan selamat dan anak yang bakal lahir akan terjaga emosinya dan mendapat rangsangan awal.

Walau bagaimanapun, agak sayang kerana amalan-amalan ini hanya dilakukan ketika hamil sahaja. Kalau bukan kerana hamil, usahkan hendak membaca al-Quran, letak duduk Kitab Suci itu pun dah lupa ada di mana. Usahkan hendak membaca surah Yusuf (yang masa mengandung sehari dalam 10 kali membacanya sebab nak anak cantik rupa dan akhlak), surah al-Ikhlas pun baca di dalam solat sahaja. Malah tuturkata si ibu pun ikut lepas sedap sahaja, semasa mengandung bukan main lagi menjaganya, takut-takut terkena pada anak dalam kandungan.. =)

Mungkin sebab itulah Allah SWT memberikan nikmat syahid kepada ibu yang meninggal semasa melahirkan anak. Bukan sahaja pengorbanan sakit melahirkan anak, tapi juga banyaknya amalan semasa mengandung. Agak-agak pada waktu lain, memang tidak layak langsung hendak mendapat syahid, tetapi semasa mengandung memang bagus, solehah habis.. =)

Alangkah menariknya jika amalan-amalan tersebut dapat dilakukan secara berterusan, bukanlah sebab kita sebagai ibu, tapi kerana kita juga sebagai hamba Allah. Allah SWT menyukai amalan yang istiqamah – amalan yang sedikit tetapi berterusan. Lagipun, dengan meniatkan amalan2 semasa mengandung untuk dapatkan anak yang begini-begini, dapatlah anak yang begini-begini, tetapi apakah kita pernah terfikir akan pahala yang kita dapat kerana niat yang bukan Lillahi Taala?

Walaubagaimana pun amalan-amalan baik ini dituntut juga untuk diamalkan ketika hamil. Sekurang-kurangnya ada juga masa dalam hidup ini difokuskan terhadap ibadat dan menjaga akhlak.

Sebenarnya banyak amalan-amalan yang baik diamalkan semasa mengandung. Para ibu sedaya upaya cuba yang terbaik demi anak dalam kandungan walaupun semput untuk menghabiskan sesuatu surah. Maklumlah nafas pun makin pendek. Takut tidak berkesempatan melihat cahayamata. Semoga hasil penulisan ini dapat memberi sedikit tips dan persediaan buat para ibu dan bapa agar memperolehi zuriat yang soleh dan solehah lagi diberkati Allah SWT..

Wallahualam..

-ibnumustafa-