PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, March 26, 2010

Fadhilat Hari Jumaat


Telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah, daripada Salman Al-Farisi RA katanya, Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:

Wahai Salman, adakah engkau tahu apakah itu hari Jumaat? Lalu saya menjawab, Allah dan RasulNya sahaja yang mengetahui. Baginda menerangkan, Hari itu ialah hari yang Allah himpunkan manusia, seseorang itu apabila berwudhu' dengan baik, kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, maka ia menjadi kaffarah (penghapus dosa) kepadanya di antara Jumaat itu dan Jumaat berikutnya, iaitu selama dia tidak melakukan dosa besar. - Hadith Riwayat At-Tabrani.

JUMAAT adalah hari paling mulia serta mempunyai banyak fadhilatnya untuk direnungi.
Kitab As-Sabi’ iyahti Fi Mawa’izhil Bariyyat banyak memaparkan peristiwa agung yang berlaku pada Jumaat. Antara peristiwa itu ialah perkahwinan diantara Nabi Adam AS dengan Hawa; Nabi Yusuf AS dengan Zulaikha: Nabi Musa AS dengan Shafura binti Syuaib AS; Rasulullah SAW dengan Khadijah; Rasulullah SAW dengan Siti Aisyah RA binti Abu Bakar RA serta Ali KW bin Abi Thalib dengan Fatimah az-Zahara RA binti Muhammad SAW.

Daripada Abu Hurairah RA katanya, Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:

“Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat, pada hari itulah, Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga.

“Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” - Hadith Riwayat Muslim.

Dalam hadith lain, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdhal daripada hari Jumaat.

“Pada hari itu terdapat suatu masa di mana seorang hamba mu'min apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” - Hadith Riwayat Tirmizi.

Solat Jumaat dua rakaat yang difardhukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu adalah semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapat ganjaran Allah SWT daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.

Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu

“Barang siapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas.

“Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”

Kemudian apabila seseorang memasuki masjid, maka ambillah saf pertama dan apabila saf itu sudah penuh ambillah tempat yang kosong dan jangan melangkahi bahu orang lain serta jangan lalu di hadapan orang sedang bersolat.

Para jemaah digalakkan menunaikan solat tahiyatul masjid dan yang paling afdhal hendaklah menunaikan solat itu empat rakaat dengan membaca setiap rakaat sesudah Al-Fatihah dengan bacaan Surah Al-Ikhlas sebanyak 50 kali. Dalam sebuah hadith dinyatakan: Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang itu tidak akan mati sebelum ia melihat tempat di syurga.

Jangan sesekali meninggalkan solat sunat tahiyatul masjid sekalipun imam sedang berkhutbah. Di dalam sunnah dinyatakan bahawa sangat baik jika membaca dalam keempat-empat rakaat solat itu dengan surah Al-Ana'am, Al-Kahfi atau Yaasin. Jika tidak mampu maka bacalah Surah Yasin atau Surah ad-Dukhan atau Alif Lam As-Sajdah atau surah Al-Mulk tetapi jangan sampai tidak membaca surah-surah itu pada malam Jumaat, kerana di dalamnya terdapat beberapa kelebihan.

Manakala pada hari Jumaat pula hendaklah ia memperbanyakkan membaca surah al-Ikhlas dan selawat ke atas Nabi. Apabila Imam naik ke mimbar hentikanlah sembahyang sunat dan juga berkata-kata, jawablah seruan muazzin kemudian perhatikan khutbahnya. Apabila selesai dari solat Jumaat, maka bacalah Al-Fatihah 7 kali sebelum berkata-kata dan surah Al-Ikhlas, Surah Ma'uzatain (Surah Al-Falak dan An-Nas) amalan sebanyak 7 kali (Lihat Kitab Sirussalikin Jil 1 - 2. m.s 82).


Hal itu dapat memelihara diri seseorang muslim dari satu Jumaat hingga Jumaat akan datang dan memeliharanya dari syaitan.

Kemudian kalau boleh, cubalah untuk iktikaf di masjid hingga waktu Asar atau sampai Maghrib dan hendaklah memperelokkan dalam beribadah pada waktu yang baik iaitu sepanjang hari Jumaat.

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan turut sama mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan dalam buku kehadiran malaikat.

Rasulullah SAW juga bersabda: Barangsiapa yang dapat menunaikan solat Jumaat maka baginya disisi Allah pahala seratus orang yang mati syahid. Dan barangsiapa meninggalkan solat Jumaat sebanyak 3 kali tanpa darurat, maka Allah akan mengecap hatinya.

Ibadah sunnah pada hari Jumaat

Perjalan ke masjid - adalah sunnah mengambil jalan yang jauh tetapi apabila pulang sunnah diambil jalan yang dekat - Imam Al-Ghazzali.

Bersedekah - suatu amalan yang sangat mulia yang mendatangkan pahala yang besar. Ia menjauhkan bala, menjauhkan penyakit dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Apatahlagi jika dilakukan pada hari Jumaat.

Berselawat - Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Banyakkanlah berselawat ke atasku pada hari Jumaat kerana sesungguhnya ia adalah hari saksi (hari Jumaat) disaksikan oleh para malaikat.

Berpakaian cantik dan bersih - digalakkan mandi, kemudian memakai pakaian yang bersih dan berwarna putih kerana pakaian putih lebih disukai Allah SWT. Pakailah minyak wangi yang diharuskan dan berhiaslah dengan memotong rambut, mencukur kumis, memotong kuku dan menggosok gigi. Ibnu Masu'd berkata: Mereka yg memotong kuku pd hari Jumaat, Allah akan sembuhkan dia dari segala penyakit dan berikannya keselamatan.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadhilatnya, termasuk dalam hal berwudhu', mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.

Imam Muslim meriwayatkan di dalam sebuah hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesiapa berwudhu' lalu memperelokkan wudhu'nya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus mendengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi.

“Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni bersalah.”

Hadith di atas menunjukan bahawa Islam memberi penekanan terhadap perlunya ma'mum menumpukan perhatian kepada khutbah yang sedang disampaikan. Isi kandungan khutbah perlu diteliti bukan hanya sebagai sumber ilmu, malah mencakupi teguran, pembinaan hidup dan nasihat yang berguna.

Umat Islam juga digalakkan berdoa ketika khutbah. Ulama' berpendapat waktunya adalah di antara dua khutbah, iaitu pada saat imam sedang duduk setelah khutbah pertama selesai sebelum beliau bangun untuk khutbah kedua pula. Saat inilah saat yang paling dimustajabkan doa.

Daripada Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” - Muttafaq ‘alaih.

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Sesiapa yang berwudhu' pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi tetapi mandi itu adalah lebih utama.” - Hadis Riwayat Imam Abu Daud dan Termizi.

Kemuliaan yang ada pada Jumaat meletakkannya sebagai ‘penghulu’ segala hari.

Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan Abu Hurairah RA yang bermaksud:

“Jumaat dinamakan sebagai ‘Saidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari).”

Ada banyak hadith dan riwayat mengenai kelebihan hari Jumaat yang bertujuan menceritakan ganjaran yang perlu direbut oleh umat Islam. Antaranya:
  • Orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat akan terlepas soal jawab kubur hingga hari Kiamat. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak seorang muslim yg mati pada hari Jumaat atau pada malam Jumaat kecuali diselamatkan Allah daripada fitnah kubur.

  • Sesiapa yang membaca surah Ali Imran pada hari Jumaat, maka Allah SWT dan Para Malaikat AS mendoakan kebaikan ke atasnya sehingga matahari terbenam pada hari itu.

  • Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Said Al-Khudri bermaksud: “Sesiapa membaca surah Al-Kahfi pada hari Jumaat, Allah menerangi hidupnya antara dua Jumaat.

  • Sesiapa membaca Surah Yassin pada malam Jumaat, Allah SWT mengampunkan dosa kecil yang dilakukan, demikian menurut hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah RA.

  • Sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Abi Khatadah, bermaksud: Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat seolah-olah dirinya bersih hingga Jumaat akan datang.

  • Mereka yang mendirikan solat Jumaat antara satu Jumaat ke satu Jumaat berikutnya, maka Allah SWT mengkifarahkan atau mengelakkan dia daripada terbabit dosa besar.

  • Mereka yang berdoa dengan penuh keikhlasan hati pada hari Jumaat, mudah dimakbulkan Allah SWT.

Imam Al-Ghazzali pernah berkata bahawa Kaab Al-Ahbar (seorang tabien dan ulama yahudi yang memeluk agama Islam pada zaman Saidina Abu Bakar RA) berkata burung-burung dan haiwan apabila bertemu satu sama lain pada hari Jumaat mengucapkan Selamat, selamat hari yang baik.

Imam Al-Ghazzali juga berkata malam Jumaat mempunyai banyak kelebihan dan disunahkan pada mereka yg mempunyai isteri bersatu pada malam itu agar beroleh zuriat yang soleh, solehah lagi beriman..

-ibnumustafa-

No comments: