PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, March 12, 2010

Doa dan Amalan Terbaik Semasa Hamil dan Bersalin, Serta Panduan Menyambut Cahayamata.

KEHAMILAN adalah nikmat hidup dan anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Pencipta kepada kaum wanita.

Nikmat ini lebih menyerlah dengan kelahiran bayi sihat dan sempurna, apatah lagi jika kehamilan itu yang pertama.

Melalui proses kehamilan ada ketikanya ibu merasakan dia adalah orang yang paling bertuah dan ada ketikanya pula mahu diberi perhatian lebih daripada biasa.

Dalam kehidupan seharian bagaimana menghadapi cabaran ketika hamil dan bakal menjadi ibu sebenarnya adalah bayangan daripada personaliti individu itu sendiri.

Apabila memiliki anak segala-galanya akan berubah secara semula jadi termasuk corak kehidupan seharian.

Pada setiap kehamilan, ia agak berbeza-beza termasuk perubahan kelakuan dan kesihatan yang mana ia membantu menguruskan jangkaan serta emosi kita untuk menghadapi saat-saat getir untuk bergelar ibu.

Dalam masa yang sama, ibu juga perlu mengenalpasti siapakah dirinya yang secara tidak langsung dapat membantu mengawal emosi, membuat keputusan penting dan menyesuaikan diri dengan situasi baru.

Normal bagi masyarakat kita, semasa mengandung untuk mengamalkan beberapa petua, bukan saja untuk kesejahteraan ibu semasa mengandung, malah juga untuk bayi dalam kandungan dan semasa proses bersalin. Selain dari yang berbentuk fizikal seperti regular check up, elakkan aktiviti lasak, etc. Amalan dan petua yang popular ialah yang bersangkutan dengan kerohanian.

Dengan itu timbullah banyak amalan2, zikir2 serta surah2 yang bagus untuk diamalkan membacanya semasa mengandung, antaranya:

  • Surah Al-Fatihah - bertujuan untuk memperolehi anak yang pandai, ceridk, terang hati dan kuat ingatan
  • Surah Yusuf - bertujuan untuk memperolehi anak yang cantik rupa dan akhlak
  • Surah Luqmanbertujuan untuk memperolehi anak yang cerdik akal dan jiwa
  • Surah Yaasinbertujuan untuk memperolehi anak yang teguh hati dan tidak terpengaruh dengan godaan syaitan yang sentiasa mengajak kepada maksiat
  • Surah Ibrahim - bertujuan untuk memperolehi anak yg rajin mengerjakan ibadah dan tidak meninggalkan solat
  • Surat Toha - bertujuan untuk memperolehi bayi yang lembut hati
  • Surah Al-Nahl - bertujuan untuk memperolehi anak yang berdisplin
  • Surah Maryambertujuan untuk memudahkan ibu bersalin
  • Surah al-Hujurat – untuk memperbanyakkan susu ibu dan sebagainya
  • Surah At-Taubah - untuk membersih jiwa dan terpelihara daripada maksiat
Ibu Imam Syafie ketika mengandungkan Imam Syafie, sentiasa membaca surah Al-Fatihah dan surah Yaasin.

Sewaktu membaca, ibunya menyeru pada Allah SWT agar anak di dalam kandungannya memahami apa yang dibacanya.

Sebab itu, tidak hairanlah Imam Syafie boleh menghafal al-Quran 30 Juzu' sejak berusia 7 tahun kerana sejak dalam kandungan lagi ia telah belajar al-Quran.

DOA KETIKA HAMIL

Ya Allah, peliharalah anakku ini selama ia berada di dalam kandunganku, dan sihatkanlah dia, Engkau yang menyembuhkan, tidak ada penyembuhan selain penyembuhanMu, Penyembuhan yang tidak meninggalkan penyakit..

Ya Allah, rupakanlah atau bentukkanlah dia yang ada diperutku dengan rupa yang baik dan tetapkanlah di dalam hatinya iman kepada Engkau dan kepada RasulMu..

Ya Allah, keluarkanlah dia dari perutku dengan mudah dan selamat..

Ya Allah jadikanlah dia sihat yang sempurna berakal dan pandai, alim dan beramal..

Ya Allah, panjangkanlah umurnya, sihatkanlah badannya, baikkanlah akhlaknya, fasihkanlah lisannya, baguskanlah suaranya untuk membaca Al-Quran dan hadith dengan berkat Nabi Muhammad SAW, dan segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.

Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah

  • Saidul (penghulu) Istighfar
  • Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, ayat 8-9)
  • Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, ayat 38)
  • Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, ayat 40-41)

Selain daripada surah dan doa, terdapat beberapa perkara yang elok diamalkan oleh para ibu agar anak yang bakal dilahirkan nanti sejahtera dan berakhlak mulia. Antaranya;

Para ibu haruslah banyak mengingati Allah SWT dengan memohon ampun dan taubat supaya Allah SWT akan mengampunkan segala dosa yang telah dilakukan selama ini dan seterusnya akan membersihkan hati dari perasaan yang tidak baik. Dengan ini juga diharap anak yang bakal lahir nanti bersih hatinya dan ibu dapat bersalin dengan tenang dan selamat.

Melakukan amal ibadat, membuat kebajikan dan meninggalkan segala larangan agama. Wanita hamil dituntut memperbanyakkan amal ibadat seperti solat sunat, puasa sunat terutama Isnin dan Khamis serta sentiasa menjaga syariat. Bukan sahaja isteri, suami juga dituntut sama.

Sentiasa berakhlak baik. Ibu-ibu yang sedang mengandung harus lebih banyak bersabar, bersikap baik dengan jiran, menghormati ahli keluarga dan teman-teman. Tingkah laku yang baik akan mempengaruhi sikap anak yang bakal lahir.

Sentiasa tenang dan gembira. Keadaan emosi yang tenang dan bahagia merupakan rangsangan kepada pembinaan otak seterusnya kelahiran bayi yang sihat, terangsang, pintar dan cerdas.

Semasa mengandung juga para ibu digalakkan menjaga lidah, menjaga sikap, menjaga perangai, menjaga hati dan sebagainya, agar anak yang dikandung beroleh segala kebaikan dan keberkatan.

Malah, termasuk juga si bapa, digalakkan memperbanyakkan amalan sunat, membaca al-Quran, bersedekah, bersabar, tenang dan gembira agar proses mengandung dan bersalin berlangsung dengan selamat dan anak yang bakal lahir akan terjaga emosinya dan mendapat rangsangan awal.

Walau bagaimanapun, agak sayang kerana amalan-amalan ini hanya dilakukan ketika hamil sahaja. Kalau bukan kerana hamil, usahkan hendak membaca al-Quran, letak duduk Kitab Suci itu pun dah lupa ada di mana. Usahkan hendak membaca surah Yusuf (yang masa mengandung sehari dalam 10 kali membacanya sebab nak anak cantik rupa dan akhlak), surah al-Ikhlas pun baca di dalam solat sahaja. Malah tuturkata si ibu pun ikut lepas sedap sahaja, semasa mengandung bukan main lagi menjaganya, takut-takut terkena pada anak dalam kandungan.. =)

Mungkin sebab itulah Allah SWT memberikan nikmat syahid kepada ibu yang meninggal semasa melahirkan anak. Bukan sahaja pengorbanan sakit melahirkan anak, tapi juga banyaknya amalan semasa mengandung. Agak-agak pada waktu lain, memang tidak layak langsung hendak mendapat syahid, tetapi semasa mengandung memang bagus, solehah habis.. =)

Alangkah menariknya jika amalan-amalan tersebut dapat dilakukan secara berterusan, bukanlah sebab kita sebagai ibu, tapi kerana kita juga sebagai hamba Allah. Allah SWT menyukai amalan yang istiqamah – amalan yang sedikit tetapi berterusan. Lagipun, dengan meniatkan amalan2 semasa mengandung untuk dapatkan anak yang begini-begini, dapatlah anak yang begini-begini, tetapi apakah kita pernah terfikir akan pahala yang kita dapat kerana niat yang bukan Lillahi Taala?

Walaubagaimana pun amalan-amalan baik ini dituntut juga untuk diamalkan ketika hamil. Sekurang-kurangnya ada juga masa dalam hidup ini difokuskan terhadap ibadat dan menjaga akhlak.

Sebenarnya banyak amalan-amalan yang baik diamalkan semasa mengandung. Para ibu sedaya upaya cuba yang terbaik demi anak dalam kandungan walaupun semput untuk menghabiskan sesuatu surah. Maklumlah nafas pun makin pendek. Takut tidak berkesempatan melihat cahayamata. Semoga hasil penulisan ini dapat memberi sedikit tips dan persediaan buat para ibu dan bapa agar memperolehi zuriat yang soleh dan solehah lagi diberkati Allah SWT..

Wallahualam..

-ibnumustafa-

No comments: