PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, September 23, 2010

Bertudung / berhijab atau sekadar berfesyen?

Bertudung / berhijab atau sekadar berfesyen? Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci.

Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung.

Di zaman 70an, cukup sukar untuk kita melihat wanita Muslim memakai tudung. Nisbahnya sekitar 1:50. Satu pakai, 50 tak pakai.

Di pertengahan zaman 80an, sudah ada kelihatan ramai wanita Muslim memakai tudung. Nisbahnya 1:10. Satu pakai, 10 tak pakai.

Zaman 90an menyaksikan lebih ramai yang memakai tudung, dan yang tak memakai tudung sudah berkurangan. Nisbah 10:3. 10 pakai tudung, 3 tak pakai.

Di zaman 2000 ke atas, 10 pakai tudung, 1 orang tak pakai tudung.

Tetapi yang memakai tudung ada bermacam ragam dan ada yang memakai tudung kerana pelbagai tujuan.

  • Ada yang memakai sebab ikut-ikutan.
  • Ada yang memakai sebab malu kalau tak pakai.
  • Ada yang memakai sebab trend wanita Muslim pakai tudung.
  • Ada yang memakai sebab ia adalah uniform sekolah atau sebahagian dari pakaian tempat kerja.
  • Ada yang memakai sebab ada peraturan suruh pakai seperti di dalam masjid atau di pasar Khadijah.
  • Ada yang memakai sebab takut pada mak ayah.
  • Jarang sekali ditemui memakai kerana iman dan taqwa, kerana iman dan taqwa sukar dinilai.
Apa pun, menutup kepala adalah sebahagian daripada ajaran Islam dalam menutup aurat bagi wanita. Tetapi tutup rambut sahaja tidak cukup kalau tidak tutup aurat dengan cara yang betul.

Cara tutup aurat yang betul.

Dapat kita saksikan di sana sini wanita Muslim mula memakai tudung.

Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan.

Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna.

“Akan muncul dalam kalangan umatku di akhir zaman, kaum lelaki yang menunggang sambil duduk di atas pelana, lalu mereka turun di depan pintu-pintu masjid. Wanita-wanita mereka (isteri mereka atau anak perempuan), berpakaian tetapi seperti bertelanjang (nipis dan ketat). Di atas kepala mereka pula (wanita) terdapat bonggolan (sanggul atau tocang) seperti bonggol unta yang lemah gemalai. Oleh itu laknatlah mereka semua. Sesungguhnya mereka adalah wanita-wanita yang terlaknat”. - Hadith Riwayat Ahmad, jil.2, ms. 223.

Rasulullah S.A.W bersabda,
“Dua golongan penghuni neraka yang mana aku sendiri belum pernah melihat keadaan mereka didunia: golongan yang membawa cemeti seperti seekor lembu lalu menggunakannya untuk memukul manusia dan juga kaum wanita yang berpakaian seperti bertelanjang, menggoyangkan badan dan berlenggang-lenggok, kepala mereka ada suatu seperti bonggol di kepala unta yang bergoyang-goyang. Mereka tentu tidak akan memasuki syurga atau mencium baunya sedangkan bau syurga itu dapat dihidu dari jarak perjalanan begitu dan begini”. - Hadith Riwayat Muslim.
  • Ada yang memakai tudung, tetapi menampakkan jambul; rambut masih terurai di depan dan di belakang.
  • Ada yang memakai tudung, tetapi masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya.

Tudung yang menyerupai pakaian sister

"Barangsiapa yang meniru sesuatu kaum, maka ia termasuk dari kalangan mereka". - Hadith Riwayat Abu Daud.

  • Ada yang memakai tudung, tetapi masih menampakkan bayangan rambutnya kerana kain tudung yang nipis.

  • Ada yang memakai tudung, tetapi memakai T-shirt ketat hingga menampakkan bentuk payudara; bentuk badan dan kulit tangan.
  • Ada yang memakai tudung, tetapi memakai seluar hingga menampakkan lingkaran tubuh bahagian bawah pusat hingga ke lutut.
  • Ada yang memakai tudung, tetapi memakai skirt hingga menampakkan betis.

Bila hati sudah buta.. beginilah jadinya..

  • Ada yang memakai tudung, tetapi masih pakai pakaian yang ketat atau transparent.
  • Juga ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Muslim kini.

Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya (peramugari), dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik.

Malah labuci warna-warni dijahit pula di atasnya.

Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita.

Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita.

Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Muslim sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri.

Sombong makin bertambah, lalu jalan mendabik dada. Sudahlah memakai tudung kecil yang terang-terangan menampakkan dada.

Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya.

Bertudung, tetapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan kita kepadaNya.

Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia.

Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan.

Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

  • Ada orang yang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang.
  • Ada orang yang bertudung tetapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki.
  • Ada orang yang bertudung tetapi masih terlibat dengan pergaulan bebas.
  • Ada orang yang bertudung tetapi masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya.

Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh mereka yang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.

Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam.

Mereka merasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung.

Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.

Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk mempelajari dan memeluk Islam kerana sikap umat Islam sendiri yang tidak menjaga kemuliaan dan kesucian Islam; malah acuh tak acuh terhadap syariat Islam.

Wallahualam..

-ibnumustafa-

Ayuh kita nasihat menasihati..

Jangan sengaja lewatkan solat..
Perbuatan ini Allah SWT tidak suka..
Kalau tertidur lain cerita..

Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar)..
Takut kalau-kalau terbawa keluar najis..
Mengotori seluruh rumah kita..

Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing..
Makruh kerana ia membahayakan..

Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh..
Makruh dan mewarisi kepapaan..

Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki mahal..
(kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat)..

Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan..
Nanti rezeki kita dikongsi syaitan..

Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan..
Takut-takut kita mati dalam perjalanan..

Jangan biarkan mata liar di perjalanan..
Nanti hati kita gelap diselaputi dosa..

Jangan bergaul bebas ditempat kerja..
Banyak buruk dari baiknya..

Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa..
Kerana mati boleh datang bila-bila masa..

Jangan ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia..
Kalau memang kita bersalah, apa salahnya..

Jangan mengumpat sesama rakan taulan..
Nanti rosak persahabatan kita hilang bahagia..

Jangan lupa bergantung kepada ALLAH SWT dalam setiap kerja kita..
Nanti kita sombong apabila berjaya. Kalau gagal kecewa pula..

Jangan bakhil untuk bersedekah..
Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita..

Jangan banyak ketawa..
Nanti mati jiwa..

Jangan biasakan berbohong..
Kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita..

Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan..
Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan Tuhan..

Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia..
Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya..

Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN..
Sebab semuanya untuk keselamatan kita..

ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaanNya!!!...

-ibnumustafa-

Pemilihan Keadilan: Jalani tanggungjawab demokratik dengan etika

Parti Keadilan Rakyat memperkenalkan sistem pemilihan yang demokratik; memberi ruang kepada setiap anggota menentukan calon pilihan mereka.

Maka di atas pundak setiap anggota dibebankan tanggungjawab untuk memastikan idealisme perjuangan dan tuntutan reformasi terus dipertahankan dengan penuh rasa tanggungjawab.

Prinsip tersebutlah yang kelak menjadi asas pertimbangan, dan bukannya tuntutan luaran atau sogokan. Kaedah etika pemilihan wajib dipatuhi semua.

Rakan2 serta pemimpin di peringkat akar umbi juga melahirkan keprihatinan dan melontarkan beberapa cadangan tambahan buat pertimbangan pimpinan.

Maka sesuai ditegaskan bahawa adalah hak anggota memilih berdasarkan prinsip perjuangan parti. Saya menginginkan persaingan yg sihat; dengan semua calon yang dikemuka mematuhi etika pemilihan sepenuhnya dan tidak mendakwa mendapat restu saya.

Saya juga tidak akan menerima sebarang pencalonan untuk sebarang jawatan dalam parti.

http://anwaribrahimblog.com/

Saturday, September 18, 2010

Tanpa Khilafah, Islam terus dihina.

Pada akhir Ramadhan yang lalu hinggalah menjelang Syawal, untuk ke sekian kalinya umat Islam diuji keimanan dan kesabarannya. Kali ini adalah angkara rancangan biadab sekelompok puak Kristian di Florida, Amerika Syarikat. Terry Jones, paderi sebuah gereja Dove World Outreach Center di Gainesville, Florida telah mengisytiharkan ke seluruh dunia dan menyeru warga Amerika untuk memperingati Tragedi 11 September 2001 dengan menjadikannya sebagai International Burn a Koran Day (Hari Membakar Al-Quran Antarabangsa). Sebelumnya, iaitu pada akhir bulan Julai lalu, mereka melakukan propaganda keji dan permusuhan terhadap Islam dengan menyatakan Islam is Of The Devil (Islam adalah syaitan). Terry Jones menuduh Islam dan hukum syariah bertanggungjawab atas aksi keganasan terhadap World Trade Center di New York. “Islam adalah syaitan. Agama itu menyebabkan jutaan orang masuk neraka, agama menipu, agama kekerasan”, katanya ketika wawancara dengan CNN. Dalam laman webnya, mereka mengemukakan sepuluh alasan mengapa Al-Quran mesti dibakar. Di antaranya, Al-Quran dianggap tidak asli, tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan dan mengajarkan totalitarisme kekuasaan. Islam juga dianggap tidak sesuai dengan demokrasi, Hak Asasi Manusia dan Barat. Rancangan gila Jones ini mengundang kritikan hebat dari umat Islam di seluruh dunia. Malangnya pentadbiran AS langsung tidak mahu bertegas dengan Jones atas alasan ‘kebebasan’ di bawah sistem demokrasi yang mereka amalkan. Setelah kecoh dunia dibuatnya, Jones bagaimanapun membatalkan rancangannya di saat akhir.

Namun demikian penghinaan terhadap Islam tetap berlaku pada 11 September lepas, oleh sekumpulan ekstremis Kristian di AS. Empat kejadian mengoyak dan membakar al-Quran dilaporkan berlaku di New York dan Tennessee. Dalam kejadian di depan Rumah Putih, sekumpulan penganut Kristian Konservatif mengoyak beberapa muka surat senaskhah Al-Quran sempena ulang tahun serangan 9/11. Sambil mengoyak, mereka menjerit, “Kata-kata palsu bahawa Islam adalah agama keamanan mesti dihentikan”. Seorang daripada mereka kemudian berkata, “Satu-satunya sebab saya tidak membakarnya dalam kawasan Rumah Putih ialah melakukannya adalah jenayah. Bangunan berkembar (WTC) musnah kerana Al-Quran dan ajarannya
. Dalam kejadian lain di Lower Manhattan, seorang lelaki yang membantah pembinaan masjid di tapak berhampiran Ground Zero (tempat runtuhnya WTC) mengoyakkan beberapa muka surat daripada senaskhah Al-Quran sebelum membakarnya. Dalam kejadian ketiga, seorang lagi lelaki mengoyakkan dan membuat isyarat lucah dengan kitab suci itu, mengejutkan orang lain yang melihatnya. Di satu daerah dekat Nashville, Tennessee, paderi Bob Old dan seorang lagi rakannya menggunakan pemetik api untuk membakar sekurang-kurangnya dua naskhah Al-Quran dan menggelar Islam ‘agama palsu’ (BH13/09/10).

Penyakit Islamophobia


Langkah gereja Dove World Outreach Center dan juga tindakan biadab beberapa orang paderi yang mengoyak dan membakar Al-Quran menunjukkan betapa
Islamophobia (ketakutan terhadap Islam) telah merebak luas di kalangan orang Amerika, khususnya ekstremis Kristian. Apa yang dilakukan oleh puak gereja itu sesungguhnya tidak terlepas dari rencana global AS untuk ‘memangsakan’ Islam setelah serangan 11 September 2001 yang didakwa kononnya dilakukan oleh ‘terrorist’ Muslim. Dunia mengetahui bahawa sejak serangan 9/11, AS melancarkan kempen war on terrorism dengan menjadikan Islam sebagai sasaran. Seluruh dunia menyaksikan bagaimana George W Bush dengan jelas menjadikan war on terrorism ini sebagai ‘perang salib’ baru terhadap Islam yang seterusnya menzahirkan Amerika sebagai sebuah negara penjajah yang buas lagi ganas.

AS telah menghancurkan Afghanistan dan Iraq dan membunuh lebih dari 1.5 juta nyawa yang tidak berdosa dengan cara yang amat kejam serta menjadikan kesemua infrastruktur di kedua negara tersebut hancur luluh. Dunia Islam hingga kini masih dilanda derita nestapa yang belum ada penghujungnya hasil dari perbuatan jahat AS ini. Di sebalik kejahatan nyata AS ke atas umat Islam ini, masih ada segelintir paderi di AS yang buta kayu cuba mengaitkan Islam dengan keganasan! Tindakan mereka ini sesungguhnya membuktikan kebenaran firman Allah S.W.T terhadap mereka,

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan pernah senang kepada kalian hingga kalian mengikuti agama mereka - Surah al-Baqarah; ayat 120.

Allah S.W.T juga menegaskan lagi hakikat mereka itu dalam firmanNya,

Mereka (kaum kafir) tidak pernah berhenti (menimbulkan) kemudaratan atas kalian. Mereka menyukai apa yang menyusahkan kalian. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi - Surah Ali Imran; ayat 118.

Sebagai Muslim, kita hendaklah sentiasa ingat akan firman Allah S.W.T ini dan sentiasa waspada terhadap golongan kuffar ini. Ternyata, walaupun Jones telah membatalkan hasratnya, namun masih tetap ada paderi yang meneruskan apa yang Jones hajatkan. Ini membuktikan bahawa kebencian mereka terhadap Islam tidak pernah ada titik noktahnya.

Dari segi politik, jika kita amati betul-betul apa yang cuba dilakukan oleh Jones, kita akan faham bahawa Jones ‘tidak bersendirian’ dalam hal ini. Sekiranya si paderi gila ini tidak mendapat ‘sokongan’ dari institusi pemerintahan dan juga pihak media Barat, mana mungkin percubaannya yang tak masuk akal ini mendapat liputan yang begitu meluas? Di dalam ucapannya sempena menyambut ulang tahun kesembilan memperingati peristiwa serangan 11 September yang menyebabkan ketegangan agama, Presiden Barrack Obama menegaskan bahawa AS tidak akan pernah berperang dengan Islam. “Sebagai rakyat Amerika, kami tidak akan dan tidak pernah berperang dengan Islam,” kata Obama. “Serangan yang menimpa kami pada 11 September itu bukan berupa serangan keagamaan. Ia dilakukan oleh Al-Qaeda, iaitu sekumpulan lelaki yang menyelewengkan agama,” katanya [AFP]. Kata-kata ini tidak ada bezanya dengan ucapan John Brennan, penasihat kanan kepada Obama dalam isu terrorism ketika menyemak semula sebahagian dari dokumen baru ‘The National Security Strategy’ (Strategi Keselamatan Nasional) yang diisytiharkan oleh Obama pada akhir Mei lepas yang menyebut bahawa the United States ‘does not consider itself at war with Islam’ (AS tidak menganggap dirinya berada dalam keadaan perang dengan Islam). Selanjutnya, disebut “we have never and will never be at war with Islam” (kami tidak pernah dan tidak akan berperang dengan Islam).

Alangkah indahnya permainan kata-kata ini! Bagi Obama dan juga Brennan, pembunuhan langsung yang dilakukan oleh AS ke atas ratusan ribu umat Islam yang terdiri dari wanita, kanak-kanak dan orang-orang tua yang tidak berdosa di Iraq dan Afghanistan bukanlah peperangan terhadap Islam! Ini belum lagi mengambil kira peperangan (dan pembunuhan) ‘tajaan’ AS di Pakistan, Palestin, Turki dan beberapa negara bergolak lainnya, yang kesemuanya dilakukan ke atas umat Islam. Jika ini semua bukannya peperangan ke atas Islam, lalu peperangan ke atas siapakah ini, ke atas Hindu, Buddha atau Yahudi? Orang buta sekalipun mengetahui akan kemunafikan AS ini!


Apakah Reaksi Kita?

Wahai kaum Muslimin! Sudah tidak terhitung rasanya penghinaan yang dilakukan oleh golongan kuffar ke atas agama Allah S.W.T. Mereka semakin berani menghina Rasulullah S.A.W secara terang-terangan, dan kini untuk ke sekian kalinya Al-Quran pula dihina secara terang-terangan oleh musuh Allah S.W.T ini. Hal ini amatlah menyakitkan kita, namun apa yang lebih menyakitkan ialah apabila kita menyaksikan para pemimpin kaum Muslimin yang begitu ramai masih tetap berpeluk tubuh, malah masih menjalin hubungan intim dengan Barat. Jika ada pun ketidaksetujuan, ia hanya dinyatakan dalam nada yang sungguh lembut dan merdu oleh pemimpin-pemimpin bacul ini. Tidak akan ada amaran atau gertakan dari mereka, apatah lagi untuk mengambil tindakan politik bagi menutup mulut si penghina Islam itu. Jauh sekali jika kita ingin mendengar seruan jihad dilaungkan oleh para pemimpin pengecut ini untuk ‘mengajar’ puak kuffar yang biadab tersebut. Sesungguhnya para pemimpin umat Islam hari ini sudah langsung tidak mempedulikan penghinaan yang dilakukan oleh golongan kafir ke atas kitab suci Al-Quran mahupun ke atas Rasulullah S.A.W. Mereka sebaliknya bersekongkol dengan Barat untuk menjahanamkan umat Islam atas alasan memerangi pengganas. Para pemimpin ini lebih sibuk menjaga tuan mereka (AS) daripada menjaga kesucian Al-Quran itu sendiri. Dengan berlakunya begitu banyak peristiwa penghinaan ke atas Islam dewasa ini dan dengan diamnya para pemimpin umat Islam hari ini, apakah kita masih mengharapkan mereka untuk menjaga Islam? Sudah terang lagi bersuluh bahawa umat Islam tidak memerlukan pemimpin seumpama ini!


Sebagai reaksi dari kebiadaban segelintir paderi yang menghina Al-Quran ini, kita telah menyaksikan kemarahan umat Islam dari seluruh pelusuk dunia. Umat Islam semakin sedar bahawa pemimpin mereka tidak pernah menjaga Islam. Umat Islam juga semakin sedar bahawa isu kita cuma satu sahaja, yakni Islam. ‘Islam’ adalah isu umat Muhammad S.A.W yang bersifat sejagat tanpa mengira negara di mana mereka tinggal, tanpa mengira bangsa atau keturunan. Ringkasnya, jika Islam dihina, maka sesiapa sahaja yang mengucap syahadah akan bangkit mempertahankannya tanpa mengira tempat. Jika Al-Quran dihina, umat Islam semakin sedar bahawa kitab suci itu bukan kitab orang Arab, Iran atau Pakistan semata-mata, tetapi ia adalah kitab kita umat Islam. Jika Rasulullah yang dihina, umat Islam semakin sedar bahawa yang dihina itu bukan Nabi orang Arab atau Nabi orang Melayu atau Nabi orang Afrika, tetapi itu adalah Nabi kita umat Islam. Pendek kata, semakin kuat penghinaan berlaku ke atas Islam, arus kebangkitan Islam semakin dapat dirasakan. Dan arus kebangkitan ini sudah tidak lagi mengira sempadan. Yang masih menjadi benteng kepada kebangkitan umat Islam adalah pemimpin-pemimpin jahat yang memerintah negara-bangsa berdasarkan hukum kufur. Merekalah yang menjadi tembok penghalang kepada penyatuan umat Islam untuk bernaung di bawah satu payung pemerintahan.


Istiqamah Berjuang Hingga Tegak Khilafah Sebagai Penyelesaian


Wahai kaum Muslimin! Bangkitlah demi mempertahan dan memperjuangkan Islam. Bangkit dan berjuanglah secara
istiqamah (konsisten). Bagaimana mungkin sebahagian dari kalian masih boleh berdiam diri menyaksikan kebiadaban kuffar menghina kitab suci kalian? Sebahagian dari kalian pula masih menjadikan ‘emosi sesaat’ sebagai perjuangan di mana kalian sungguh-sungguh marah tatkala Al-Quran dihina, namun setelah isu ini reda, kemarahan kalian pun ikut reda. Janganlah kalian terus dihinggapi penyakit wahn (cinta dunia dan takut mati) yang menyebabkan kalian langsung tidak bernilai di sisi Allah S.W.T. Tanyalah diri kalian sudah berapa lama kalian hidup demi mencari dunia dengan meninggalkan akhirat? Muhasabahlah diri sendiri, selama ini apakah usaha yang telah kalian lakukan untuk menegakkan agama Allah? S.W.T Renungilah diri kalian sejauh manakah langkah yang telah kalian ambil demi meletakkan agama Allah S.W.T sebagai agama yang paling tinggi? Hizbut Tahrir telah lama menyeru kalian dan Hizbut Tahrir tidak akan berhenti melakukannya, namun sejauh manakah kalian telah menyahut seruan kami untuk bergerak mengembalikan semula kehidupan Islam dengan jalan menegakkan kembali Daulah Khilafah? Sesungguhnya perjuangan untuk menegakkan agama Allah S.W.T ini memerlukan usaha yang gigih dan istiqamah dari kaum Muslimin. Bagaimana mungkin panji-panji Islam dapat ditegakkan sekiranya perjuangan hanyalah berdasarkan emosi yang bersifat sementara? Sungguh amat mengecewakan apabila ada di kalangan kaum Muslimin yang, apabila diajak untuk istiqamah berjuang untuk mendirikan Daulah Khilafah bagi mengembalikan semula kemuliaan dan kekuatan Islam, mereka tetap berdiam diri, malah lebih buruk, ada pula yang cuba menentang. Sebahagian dari mereka pula, apabila di ajak untuk istiqamah berjuang dengan Islam, pelbagai alasan diberikan yang menunjukkan diri mereka dibelit rasa cinta dunia dan takut mati.

Selama mana umat Islam masih dibelenggu dengan kecintaan kepada dunia dan selama mana pemimpin umat Islam masih menjadi hamba kepada Barat, maka selama itulah agama suci kita ini akan terus dihina oleh musuh Allah S.W.T tanpa pembelaan. Sesungguhnya golongan kuffar
laknatullah tidak akan berani mencabuli kesucian Islam jika Negara Khilafah sudah wujud, sebagaimana takutnya mereka kepada Daulah Khilafah suatu ketika dahulu. Lihat sahaja bagaimana pengajaran yang diberikan oleh Rasulullah S.A.W terhadap Yahudi Bani Qainuqa’ akibat dari penghinaan mereka terhadap seorang Muslimah, di mana Rasulullah S.A.W terus mengisytiharkan jihad ke atas golongan terkutuk itu. Begitu juga dengan peristiwa pembukaan kota Amuriyah oleh Khalifah Mu’tasim melalui jihad fi sabilillah, yang berpunca dari puak Rom menghina seorang Muslimah. Jika ‘pengajaran’ yang keras diberikan oleh Rasulullah S.A.W hanya akibat seorang wanita Islam dihina, maka apatah lagi penghinaan yang dilakukan oleh puak celaka ini terhadap Kitab suci umat Islam, Al-Quran al-Kareem. Jihad adalah setuntas-tuntas jawapan bagi mereka. Namun tidak ada seorang pun pemimpin Islam yang melakukannya. Betapa jauhnya pemimpin ini dari ajaran Rasulullah S.A.W!

Oleh sebab musuh Allah S.W.T ini tahu bahawa semua pemimpin dunia Islam yang ada adalah pengecut dan tidak akan mempertahankan Islam, malah hanya mementingkan diri sendiri dan tunduk kepada Barat, maka segala racangan jahat mereka dapat diteruskan dengan mudah. Pemimpin kaum Muslimin hanya lebih berminat untuk berdialog mencari titik temu dengan puak kuffar, walaupun di saat Islam dihina dengan hebat atau pun di saat darah umat Islam ditumpahkan dengan sewenang-wenangnya oleh golongan kuffar di depan mata mereka sendiri. Inilah sikap pemimpin umat Islam saat ini yang telah meninggalkan jihad dan melanggar perintah Allah S.W.T yang bersifat
qat’ie (tegas), walhal puak kuffar itu adalah kafir harbi yang wajib diperangi sebagaimana firmanNya,

Dan perangilah mereka, supaya tidak ada fitnah (kesyirikan) dan supaya agama itu semata-mata untuk Allah - Surah al-Anfal; ayat 39.

FirmanNya yang lain,


Jika mereka merosak sumpah (janji)nya sesudah mereka berjanji, dan mereka mencerca agamamu, maka perangilah pemimpin-pemimpin orang-orang kafir itu, karena sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang (yang tidak dapat dipegang) janjinya, agar mereka berhenti - Surah at-Taubah; ayat 12.

Selagi mana ada pemimpin yang tidak kembali kepada hukum Al-Quran, begitulah pastinya kesucian Islam akan terus dicabuli berulang-ulang kali oleh pihak musuh.


Khatimah


Wahai Musuh Allah! Pada hari ini kamu boleh menghina kitab kami, kamu boleh menghina Rasul kami, membunuh kaum lelaki, wanita dan anak-anak Muslim kami, menyeksa dan memenjarakan saudara-saudara kami serta merampas sumber alam dan tanah-tanah kepunyaan kami. Ini semua kerana adanya pengkhianatan dari pemimpin-pemimpin kami yang bacul. Tetapi ingatlah dan sedarlah kamu bahawasanya perkara ini hanyalah sementara sahaja. Kebangkitan Islam sedang berlaku dan penyakit
wahn itu sedang dirawat dan sedang mencair secara perlahan-lahan dengan ikatan pemikiran dan akidah Islam yang menebal dan kian utuh di kalangan umat Islam. Kamu sudah tentunya menyedari akan hal ini, maka sebab itulah kamu melancarkan peperangan menentang keganasan dan membelanjakan wang berbillion-billion untuk memastikan Khilafah tidak akan muncul. Nantilah wahai musuh Allah! Tatkala kemenangan dari Allah Azza Wa Jalla telah tiba bagi kami dengan terlantiknya seorang Khalifah, maka di saat itu perisai kami telah kembali. Sang Khalifah akan menyeru dan menyatukan negeri-negeri kami di bawah satu pemerintahan. Daulah Khilafah yang terbentuk itu akan mengerahkan segenap kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraannya untuk membebaskan seluruh tanah kami yang kamu kuasai. Khalifah dan tenteranya akan menjaga kemuliaan dan kesucian Islam dan umatnya, seterusnya akan ‘mengajar’ kamu agar kamu jangan sekali-kali bermain dengan api kerana sesungguhnya api itu akan pasti membakar kamu. Ingatlah wahai musuh Allah S.W.T! Khalifah yang akan berdiri tidak lama lagi akan berhukum dengan hukum Allah S.W.T dan akan mengikuti jalan kenabian dan melalui tangannyalah kamu akan dikembalikan ke tempat kamu yang sewajarnya,

Wahai Nabi, perangilah orang-orang kafir dan orang-orang munafik dan bersikap keraslah terhadap mereka. Tempat mereka adalah jahannam dan itu adalah seburuk-buruk tempat kembali - Surah at-Tahrim; ayat 9.

-ibnumustafa-

Friday, September 10, 2010

Salam Eidulfitri.. Dengan Ingatan Tulus Ikhlas.. Maaf Zahir & Batin..


Buat RaKaN YaNG DiKaSiHi..

aSSaLaMuaLaiKuM WRT WBT..

SeLaMat MeNYaMBuT HaRi RaYa eiDuLFiTR 1431H..

MaaF aNDai TeRDaPaT SaLaH DaN SiLaP,

TeRKaSaR BaHaSa DaN PeRBuaTaN..

HaLaLKaN MaKaN MiNuM..

DaRi JauH Ku PoHoN MaaF..

MaaF ZaHiR & BaTiN..


iKHLaS DaRi SaYa,

aHMaD TauFiQ Hj.MuSTaFa & Sekeluarga..

Sunday, September 5, 2010

PENERANGAN JELAS PROMO IKLAN AIDILFITRI TV3! SESAT LAGI MENYESATKAN!


Scene 1 - Budak Lelaki Melayu sedang menilik-nilik sebuah buku bergambar di malam yang gelap dalam sebuah pondok buruk beratapkan rumbia dengan bertemankan sebiji mentol. Terdapat sebuah sangkar burung yang tergantung di sebelah kanan tingkap yang terbuka.

1. Budak Lelaki Melayu - Orang Melayu

2. Buku – Bible

3. Pondok Buruk Beratap Rumbia – Kemiskinan

4. Malam Yang Gelap - Islam yang mundur

5. Mentol Lampu - Pencerahan (Illumination) – Lucifer @ Iblis

6. Sangkar Burung - Simbol manusia yang terkurung dan terkongkong dengan ajaran ISLAM

7. Tingkap Terbuka - Jalan keluar dari kemiskinan dan kemunduran.


Scene 2 - Close up sehelai mukasurat yang mempunyai gambar sebuah beca bewarna merah dengan berlatarbelakangkan sebuah pokok Krismas dan North Star (Bintang Utara), menutup sehelai mukasurat lain bertulisan JAWI yang diterbalikkan (inverted).

1. Mukasurat Bergambar - Bible (Christianity)

2. Mukasurat Jawi terbalik - Al-Quran yang dihinakan

3. Beca Merah - Samaran untuk kenderaan Santa Claus

4. North Star - Bintang Kelahiran Horus (Dajjal), Pokok Krismas - Simbol Paganism.


Scene 3 - Keluarnya bintang-bintang kecil beraura yang membawa cahaya dari gambar beca. Budak Melayu delighted (kagum dan gembira). Bintang-bintang berterbangan keluar dari tingkap rumah buruk lalu membentuk sebuah beca merah berlampu lip-lap dengan seorang lelaki separuh abad yang memakai songkok (bukan ketayap) putih dan berambut putih. Lelaki separuh abad mempelawa budak Melayu untuk bersama-sama menaiki beca merah dan seterusnya meninggalkan pondok buruk.

1. Bintang-bintang kecil beraura - Keajaiban, kekayaan, kemahsyuran, kemodenan etc.

2. Lelaki Rambut Putih dan Bersongkok Putih - POPE - Ketua Agama Kristian

3. Pelawaan Menaiki Beca - Pelawaan Masuk Kristian.


Scene 4 - Budak Lelaki Melayu dengan seorang Budak Perempuan Melayu masuk ke dalam beca dan terus duduk bersandar. (Scene ini memaparkan kejayaan memurtadkan (merosakkan) Bangsa Melayu)

1. Budak Lelaki dan Budak Perempuan Melayu - Bangsa Melayu.


Scene 5 - Beca terbang ke Pulau Pinang, Teluk Intan, dan Kuala Lumpur. Tempat-tempat ini bercahaya dan bersinar (illuminated) dengan kehadiran beca merah.

1. Pulau Pinang - Tempat Illuminati mula bertapak (Francis Light)

2. Teluk Intan, Hilir Perak (Anson) - Ada Illuminati Lodge kat sini. Rotary club pun bersepah.

3. Kuala Lumpur - Malaysian Illuminati punya capital.


Scene 6 - Tiba-tiba ada satu pasangan tambahan budak lelaki / perempuan melayu dalam beca.

1.Pasangan Melayu Extra - Murtad dan kerosakan makin berkembang dan mendapat sambutan.


Scene 7 - Beca berhenti depan unit kondo. Satu pasangan budak Melayu lagi diorang pickup. Budak Melayu Kampung gembira sampai bercahaya-cahaya mukanya.

1. Kondo - Bandar/Middle Class. Budak kampung dah diterima oleh orang bandar. Masuk Kristian adalah cool, urban, modern dsbnya.


Scene 8 - Seorang budak perempuan memeluk seorang budak perempuan lain dari belakang. Kepala seorang budak lelaki hanya tersengih di tepi pasangan tersebut.

1. Pasangan Budak Perempuan Berpelukan - Lesbianism / Feminism

2. Kepala Budak Lelaki Tersengih - Lelaki yang tak dipedulikan dan diperbodohkan.


Scene 9 - Beca terbang merentasi sebuah pulau.

1. Pulau - Singapore lah.


Scene 10 - Beca terbang merentasi awan dan menuju ke sebuah kawasan pergunungan. Kelihatan sebuah masjid di sebelah kiri, budak-budak Melayu tak mempedulikan kewujudan masjid malah lebih tertarik dengan pemandangan di bawah beca terbang.

1. Kawasan Pergunungan (Bukit-bukau) - tempat tinggal Jin.

2. Masjid Kecil - Agama Islam yang lemah


Scene 11 - Budak-budak Melayu sudah mendarat dan terus berlari sambil menunjuk-nunjuk ke arah Masjid yang terletak jauh disebalik jurang yang dalam sambil ketawa berdekah-dekah. Terdapat dua tangan misteri yang juga sedang menunjuk-nunjuk ke aras masjid. Sebuah bangunan misteri berada di antara masjid dan budak-budak Melayu.

1. Bangunan Misteri - Sebagai cover up (Yang sebenarnya ditunjuk-tunjuk adalah Masjid)

2. Perbuatan Menunjuk Menggunakan Jari Telunjuk - Perlakuan Biadab.


-ibnumustafa-

Saturday, September 4, 2010

Puasa Tidak Boleh Berpisah Dari Dalil Sunnah

Tiada siapa pun yang beriman dapat menafikan bahawa pengamalan agama ini hendaklah berteraskan apa yang dijelaskan oleh Rasulullah S.A.W. Baginda S.A.W adalah tempat rujukan tanpa sebarang pertikaian mengenai hakikat Islam dan cara ibadah dalam Islam.

Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi S.A.W maka ia tidak diterima.

Penolakan terhadap sunah Rasulullah S.A.W berlaku dalam dua bentuk;

Pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadith. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah S.A.W.

Kedua; mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi S.A.W. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadith yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadith berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadith tersebut.

Bukan kerana mereka tidak tahu hadith adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.

Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam asy-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat.

Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W menyanggahi pendapatku, maka hadith itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah ar-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah S.A.W maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Az-Zahabi, Siyar A’ lam an-Nubala. 10/34).

Kata seorang rawi hadith yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari asy-Syafii meriwayatkan sebuah hadith. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadith daripada Rasulullah S.A.W lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/35).

Juga al-Imam asy-Syafii: “Setiap hadith daripada Nabi S.A.W adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).

Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadith daripada Nabi S.A.W yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadith maka itulah mazhabku.” (Az- Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/35).

Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah S.A.W. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama.

Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.

Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah S.A.W yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi S.A.W dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.

Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara.

Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.

Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!

Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadith;

Rasulullah S.A.W dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda S.A.W bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda S.A.W bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir. - Hadith Riwayat al-Bukhari.

Hadith ini adalah ulasan Nabi S.A.W terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda S.A.W menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah S.A.W bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadith di atas.

Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya.

Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:

Dalam hadith disebutkan: Rasulullah S.A.W bercelak sedangkan baginda S.A.W berpuasa. - Hadith Riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani.

Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda S.A.W tidak lakukan.

Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadhan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah S.A.W di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah S.A.W di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda S.A.W ketika baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).

Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.

Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.

Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik.

Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadith.

Anas katanya: Bahawa Rasulullah S.A.W berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. - Hadith Riwayat al-Imam Ahmad dan at-Tirmizi, Ad-Diya al-Maqdisi menilai hadith ini sebagai sahih.

Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…

Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi S.A.W telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda S.A.W menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh.

Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam." - Surah al-Baqarah; ayat 187.

Dalam hadith al-Bukhari dan Muslim, Nabi S.A.W menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).

Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi S.A.W. Baginda S.A.W mengajar kita dalam hadith ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda S.A.W tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadith Abu Daud dan Ahmad baginda S.A.W memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya.

Baginda S.A.W bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda S.A.W tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal.

Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadith bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.

Dalam hadith disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadith yang lain baginda S.A.W bersabda:

"Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai." - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Tujuan hadith ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi S.A.W bukan demikian. Baginda S.A.W lebih memahami jiwa insan.

Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadith-hadith tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).

Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah S.W.T dan Rasul-Nya tanpa bukti.

Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadhan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan.

Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan as-Sunnah.

-ibnumustafa-