Seorang agamawan sama ada dia sarjana besar, atau memiliki puluhan Ph.D sekalipun, mufti atau siapa sahaja, jika huraiannya mengenai agama ini tidak selaras dengan dalil-dalil sunah Nabi S.A.W maka ia tidak diterima.
Penolakan terhadap sunah Rasulullah S.A.W berlaku dalam dua bentuk;
Pertama; golongan yang menolaknya secara prinsip iaitu golongan antihadith. Mereka ini pada hakikatnya menolak nas-nas al-Quran itu sendiri yang menyuruh agar kita mengikuti Rasulullah S.A.W.
Kedua; mereka tidak mendakwa menolak sunah Nabi S.A.W. Tetapi apabila mereka dapati nas-nas hadith yang tidak bersesuaian dengan selera, kepentingan, kebiasaan atau adat mereka, maka berbagai-bagai alasan diberikan agar dimandulkan isi kandungan hadith berkenaan sekalipun jelas kepada mereka kebenaran hadith tersebut.
Bukan kerana mereka tidak tahu hadith adalah rujukan yang benar dalam Islam namun kerana enggan mengubah kebiasaan atau ketaksuban terhadap pendapat yang diikuti sejak sekian lama.
Tokoh-tokoh cendekiawan Islam yang agung seperti para imam mazhab yang empat dan selain mereka sering menegaskan agar hal yang seperti ini tidak boleh dilakukan oleh seorang Muslim. Sebagai contohnya apa yang disebut oleh tokoh sarjana kita, al-Imam asy-Syafii yang melambangkan ketaatan kepada nas-nas sunah dan kebebasan dirinya yang agung dari ketaksuban pendapat.
Beliau pernah berkata: “Setiap apa yang aku ucapkan lalu didapati hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Rasulullah S.A.W menyanggahi pendapatku, maka hadith itu yang lebih utama, jangan kamu mengikutiku.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/34, Beirut: Muassasah ar-Risalah). Katanya juga: “Jika kamu dapati apa yang ada di dalam bukuku menyanggahi sunah Rasulullah S.A.W maka berpeganglah dengan sunnah dan tinggalkanlah pendapatku.” (Az-Zahabi, Siyar A’ lam an-Nubala. 10/34).
Kata seorang rawi hadith yang besar iaitu al-Humaidi (meninggal 219H): Suatu hari asy-Syafii meriwayatkan sebuah hadith. Aku bertanya: “Apakah engkau akan berpegang dengannya?” Dia menjawab: “Apakah engkau menganggap aku ini datang dari gereja, atau memakai tali pinggang Kristian sampai apabila aku mendengar sesuatu hadith daripada Rasulullah S.A.W lalu aku tidak berpegang dengannya.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/35).
Juga al-Imam asy-Syafii: “Setiap hadith daripada Nabi S.A.W adalah pendapatku, sekalipun kamu tidak mendengarnya daripadaku.” (Az-Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/35). Katanya lagi: “Manusia telah sepakat bahawa sesiapa yang telah ternyata kepadanya sesuatu sunah daripada RasululLah s.a.w. maka tidak boleh dia meninggalkannya kerana pendapat seseorang dari kalangan manusia.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/263).
Juga katanya: “Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedangkan ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadith daripada Nabi S.A.W yang menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas mati.” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, ‘Ilam al-Muwaqqi‘iin, 2/266). Sehingga beliau berkata: “Apabila sahihnya sesuatu hadith maka itulah mazhabku.” (Az- Zahabi, Siyar A’lam an-Nubala. 10/35).
Inilah imam yang agung. Melarang kita taksub kepada pandangannya tanpa melihat dalil sunah daripada Rasulullah S.A.W. Demikian juga imam-imam agung yang lain, menyatakan pendirian yang sama.
Malangnya, ada orang mendakwa pengikut mazhab imam-imam ini lebih lajak dari laju sehingga mendakwa seseorang tidak boleh mengambil pendapat lain selain mazhab tertentu.
Kita sepatutnya mencontohi akhlak terhadap Rasulullah S.A.W yang ditunjukkan oleh para imam kita ini. Kesopanan yang tinggi terhadap inti kandungan sunah Nabi S.A.W dan seruannya agar semua pihak membebaskan diri dari ketaksuban.
Berbalik kepada kehidupan kita, kadang-kala kebiasaan mengongkong kita lebih dari dalil dan nas-nas agama. Umpamanya kadangkala lihat wanita yang menutup aurat, tetapi apabila hendak bersolat dia seakan tidak mampu selagi tidak memakai telekung putih yang menjadi kebiasaan orang Nusantara.
Saya bukan menyalahkan pakaian tersebut. Seseorang boleh memakainya jika dia mahu. Tetapi keterikatan dengan ‘uniform’ yang seperti itu boleh membebankan diri dan melupakan kita bahawa dengan pakaian yang ada sudah memadai. Sehingga ada yang menangguh solat hanya kerana tertinggal telekungnya.
Apabila saya memperkatakan tentang pemandu bas perjalanan jauh boleh berbuka puasa kerana musafir, ramai yang bersetuju. Tetapi apabila saya menyebut mereka sepatutnya berbuka puasa, bahkan disuruh berbuka puasa jika puasa itu mengganggu tumpuan pemanduan mereka lalu membahayakan nyawanya dan penumpang dan jika dia berpuasa juga dia menyanggahi petunjuk agama ini, ada pihak yang bertanya saya; apakah sampai hendak disuruh buka, setakat diberikan pilihan itu, tidak mengapalah?!
Saya beritahu kepada mereka bahawa dalam hadith;
Rasulullah S.A.W dalam satu perjalanan lalu mellihat orang ramai berkumpul dan seorang lelaki yang dipayung (kerana terlalu teruk berpuasa). Lalu baginda S.A.W bertanya: Kenapa? Mereka menjawab: Dia berpuasa. Baginda S.A.W bersabda: Bukanlah sesuatu yang baik itu, berpuasa ketika musafir. - Hadith Riwayat al-Bukhari.
Hadith ini adalah ulasan Nabi S.A.W terhadap lelaki berkenaan yang mana puasanya telah membawa mudarat kepada dirinya sendiri. Maka baginda S.A.W menyatakan bukan satu perkara yang dianggap baik dalam Islam berpuasa ketika musafir sehingga memudaratkan diri. Jika memudaratkan diri disebabkan berpuasa ketika musafir dibantahi oleh Rasulullah S.A.W bagaimana pula dengan pemandu bas yang jika puasanya boleh memudaratkan dirinya, penumpang yang ramai di belakangnya dan pengguna jalanraya yang lain? Tentulah mereka ini lebih utama untuk berbuka lebih dari lelaki dalam hadith di atas.
Dalam banyak hal, kita kurang bertanya dalil mengenai amalan agama kita, melainkan berdasarkan ikutan yang sudah menjadi kebiasaan semata. Ada orang yang sakit mata dan telinga berkata; saya terpaksa menanggung kesakitan sepanjang hari kerana jika saya titikkan ubat saya nanti batal puasa saya.
Saya bertanya dia; siapa yang menyatakan batal? Dia berkata: Ramai yang kata macam itu. Saya kata kepadanya:
Dalam hadith disebutkan: Rasulullah S.A.W bercelak sedangkan baginda S.A.W berpuasa. - Hadith Riwayat Ibn Majah, dinilai sahih oleh al-Albani.
Jika memasukkan sesuatu ke daerah mata atau setiap rongga membatalkan puasa, tentu baginda S.A.W tidak lakukan.
Demikian juga anggapan ramai pihak bahawa seseorang yang mandi disebabkan keletihan atau terlalu dahaga pada bulan Ramadhan, mengurangkan pahala puasanya. Ada yang menambah, sesiapa yang mandi selepas waktu asar, juga berkurangan pahala puasanya. Sedang di dalam hadis yang sahih yang diriwayatkan oleh al- Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud: Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabah yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah S.A.W di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda ketika baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kapalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabah bahawa mereka melihat Rasulullah S.A.W di al-‘Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala baginda S.A.W ketika baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas.” (Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, Beirut: Dar al-Fikr).
Maka tidak menjadi kesalahan mereka yang letih atau kekeringan ketika bertugas membasahkan kepala atau mandi demi menambahkan kesegaran dan meneruskan urusan. Agama ini sangat rasional. Ia tidak menyuruh kita keletihan dan tersandar sepanjang hari.
Dalam sunah kita disunatkan berbuka puasa dengan rutab, jika tidak ada dengan tamar, jika tidak dengan air. Rutab ialah buah kurma yang masak sebelum menjadi tamar kering, ianya lembut dan manis.
Adapun tamar adalah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu‘jam al-Wasit 1/88). Faedah kesihatan juga terbukti secara saintifik berbuka dengan rutab atau tamar. Sesetengah menganggap jika ada air zamzam itu lebih baik.
Sebenarnya, dakwaan seperti ini tidak berteraskan hadith.
Anas katanya: Bahawa Rasulullah S.A.W berbuka dengan puasa sebelum bersolat dengan beberapa biji rutab, sekiranya tiada rutab maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar maka baginda minum beberapa teguk air. - Hadith Riwayat al-Imam Ahmad dan at-Tirmizi, Ad-Diya al-Maqdisi menilai hadith ini sebagai sahih.
Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H): Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada maka dengan tamar, dan sekiranya tiada maka dengan air…
Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zamzam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zamzam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi S.A.W telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah namun tidak pernah diriwayatkan baginda S.A.W menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air. (al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Demikian sesetengah kita, akan berhenti memakan sahur apabila melihat jadual waktu imsak yang disebarkan oleh kebanyakan pihak. Jadual itu biasanya akan menetapkan waktu berpuasa lebih awal dari masuknya waktu solat subuh.
Padahal al-Quran menyebut: (maksudnya): "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam." - Surah al-Baqarah; ayat 187.
Dalam hadith al-Bukhari dan Muslim, Nabi S.A.W menyebut dengan jelas: Makan dan minumlah sehingga azan Ibn Ummi Maktum, kerana beliau tidak akan azan melainkan setelah masuk waktu fajar (subuh).
Ibn Ummi Maktum adalah muazzin Nabi S.A.W. Baginda S.A.W mengajar kita dalam hadith ini agar kita boleh bersahur sehingga masuknya waktu solat subuh. Apabila waktu solat subuh, bererti waktu sahur berakhir. Baginda S.A.W tidak pula menyebut beberapa ketika atau setengah jam sebelum subuh. Bahkan dalam hadith Abu Daud dan Ahmad baginda S.A.W memberikan kelonggaran yang lebih luas untuk umatnya.
Baginda S.A.W bersabda: Apabila seseorang kamu mendengar azan sedangkan bekas minuman berada di tangannya, maka janganlah dia meletakkannya sehingga selesai hajatnya (dinilai sahih oleh al-Albani). Baginda S.A.W tidak menyuruh seseorang meludah atau memuntahkan apa yang ada dalam mulut apabila mendengar azan seperti pendapat sesetengah orang. Islam itu mudah dan praktikal.
Ada orang kata, dia tidak dapat terima pendapat ini. Saya katakan kepadanya: Ini hadith bukan pendapat. Dia kata: Saya pakai pendapat orang ramai. Saya katakan: Agama berdasarkan dalil, bukan emosi.
Dalam hadith disebut “Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah dengan makanan sebelum kamu menunaikan solat maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Dalam hadith yang lain baginda S.A.W bersabda:
"Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesai." - Hadith Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Tujuan hadith ini agar solat tidak diganggu oleh ingatan kepada makanan. Makanlah dengan sederhana kemudian bersolatlah. Namun ramai yang apabila hidangan berbuka puasa di hadapan matanya dan keinginannya pula tinggi, lalu dia meninggalkan hidangan pergi menunaikan solat dengan hati yang tidak fokus. Seakan itu petunjuk agama. Sebenarnya petunjuk Nabi S.A.W bukan demikian. Baginda S.A.W lebih memahami jiwa insan.
Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadith-hadith tersebut menunjukkan dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ianya boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk. (an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, Beirut: Dar al-Khair).
Apa yang ingin saya jelaskan, betapa pentingnya agama ini dibina di atas dalil. Sesiapa sahaja yang berbicara tentang agama, sehebat mana dia, mintalah kemukakan dalil syarak. Agar agama tidak menjadi jualan murah yang diberi lesen kepada sesiapa sahaja untuk mewakili Allah S.W.T dan Rasul-Nya tanpa bukti.
Contoh-contoh puasa adalah sempena Ramadhan yang masih kita lalui. Banyak lagi contoh lain jika ingin dibicarakan.
Semoga puasa kita mendekatkan kita kepada sumber yang agung; al-Quran dan as-Sunnah.
-ibnumustafa-
No comments:
Post a Comment