PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, August 27, 2011

Bersedekahlah Tanpa Mengira Agama, Bangsa Dan Negara..

SEMPENA bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam digalakkan bersedekah di dalam kerangka menambah amal ibadah.

Tafsiran sedekah itu sendiri amat luas. Sedekah wang ringgit dan tenaga dalam bentuk amalan kebajikan seperti membantu orang lain dalam kesusahan, memberi apa-apa khidmat yang diperlukan oleh sesiapa sahaja, mengajar ilmu dan sebagainya.

Alhamdulillah dalam masyarakat, kita lihat umat Islam dan pelbagai organisasi Islam dilihat berlumba-lumba mengadakan bermacam-macam program terutamanya memberi bantuan berbentuk makanan dan kewangan. Namun ini nampaknya semarak hanya di kalangan orang Islam.

Ada juga orang Islam yang mengadakan jamuan berbuka puasa dan dijemput sahabat dan kenalan bukan Islam. Islam tidak melarang malah amalan ini dilihat boleh meningkatkan persahabatan dan perpaduan anggota masyarakat.

Namun saya ingin melihat sedekah kewangan atau makanan ini tidak dihadkan kepada umat Islam sahaja. Yang miskin dan yang lapar bukan daripada kalangan orang Islam sahaja.

Lihatlah di sekeliling kita, pasti terdapat orang bukan Islam yang menderita. Agama Islam tidak pula mensyaratkan sedekah ini hanya dikeluarkan kepada orang Islam sahaja. Malah sesetengah ulama' berpendapat zakat itu sendiri boleh diberi kepada kalangan bukan Islam yang miskin untuk menjinakkan mereka kepada Islam.

Masjid-masjid yang memberi makanan kepada orang ramai hendaklah juga membuka pintu sedekah mereka kepada orang bukan Islam yang miskin.

Biarlah mereka juga merasai nikmat dan rahmat Allah S.W.T pada bulan Ramadhan yang berkat ini. Orang Islam yang beratur untuk mengambil makanan seperti bubur lambuk di Masjid Kampung Baru dan masjid-masjid lain bukannya semua daripada kalangan yang tidak mampu, malah yang ramai datang hanya untuk merasa bubur lambuk yang masyhur itu dan malah mungkin lebih daripada mampu untuk layak mendapat makanan percuma.

Pelbagai majlis dianjurkan oleh korporat untuk anak-anak yatim yang boleh dikatakan semuanya anak-anak yatim Islam. Bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang bukan Islam dan memang banyak terdapat rumah-rumah anak yatim agama-agama lain.

Mereka juga perlu perhatian daripada masyarakat Islam. Mungkin lebih berkesan kalau peruntukan-peruntukan korporat-korporat tersebut disampaikan kepada pengurusan rumah anak yatim untuk mengurus kehidupan mereka sepanjang tahun daripada berhabis dengan acara berbuka puasa yang ada unsur pembaziran dan kadangkala maksiat (acara hiburan sehinggakan waktu solat tidak dihormati).

Selamat berpuasa dan semoga amalan pada bulan Ramadhan berkekalan sepanjang tahun.

-ibnumustafa-

No comments: