PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan Menggamit Keinsafan, Mengisi Bekalan Iman Dan Taqwa..

Ramadhan bulan ajaib sedang dilalui. Keinginan untuk mendekatkan diri pada-Nya serta merta bertambah. Sebuah tarikan yang amat kuat. Kita ingin menjadi manusia baru melalui proses The Power of 30 days.

Bulan retreat, segala perlakuan biasa kita, kita tinggalkan pada genap 30 Sya'aban yang lalu, melangkah masuk ke Bulan penuh keberkatan, Ramadhan al-Kareem dengan program komprehensif, bertubi-tubi.


Hari biasa, jadual sarapan, makan tengahari dan malam, kini kita berlapar. Haus.


Lintasan fikiran kita terus ke Padang Mahsyar dengan segala kehausan dan kelaparan, lama dan berat. Tidak tertanggung.


Bukankah, timbul keinsafan untuk kita menjadi manusia baik yang tidak akan kelak menderita tanpa sesiapa menjenguk menghulur segelas Teh O Ais Limau di Perhimpunan Pembalasan yang ngeri itu.


Perut yang kita rajakan selama ini mengempis, membakar lemak-lemak yang telah kita kumpulkan setahun lamanya, lalu tidakkah hati tertumpah kepada para fuqara', anak-anak yatim dan mereka yang melarat, di mana kelaparan adalah hiasan hidup mereka seharian. Bukan seperti kita yang sering bermewah-mewahan.


Hati kita menjadi lebih syahdu. Keinsanan seorang insan, dan keihsanan seharusnya segera memancar, lalu anda menjadi pemurah. Bukankah itu selanjutnya menambahkan pertautan kasih sesama insan sharing is caring?


Paling tidak, anda hulurkan semangkuk kuah, pada jiran anda, sabda Rasulullah S.A.W.


Kita dahulukan dengan sahur. Kita dipaksa, ya, dipaksa 30 hari dalam setahun untuk bangun pada waktu yang sukar, tapi penuh berkat. Waktu Tuhan menjanjikan pengampunan dan kurnia, waktu si mu'min bertekuk;


..pada waktu Sahur, mereka memohon keampunan... - Surah az-Zaariyat; ayat 18.

Al-Quran? Ia email Tuhan untuk kita. Tapi kesibukan kita, atau sebenarnya sikap tak endah kita, kita lupa membaca warkah yang mahal itu. Kita, kita gelarkan diri kita para pejuang Islam, juga lupa mentelaahnya.. ah? Ramadhan merayu kita untuk berfikir semula tentang Quran dan kita. Nuzul al-Quran yang baru berlalu beberapa hari yang lalu apakah kita benar-benar menghayatinya? atau sekadar meraikan hari cuti seperti cuti-cuti umum yang lain.

Dalam qiam Tarawih yang indah dan dalam sayup suara di mana-mana, alunan Quran membawa kita membacanya dari lembar ke lembar, sehingga tamat.

Suluhan petunjuknya kita sematkan di dada, kisah dan teladan kita telusuri semula, hikmah dan maknanya, kita belajar sekali lagi. Harapan dan suruhannya, kita perkukuhkan azam menghayatinya.

Larangannya, kita tidak biarkan ia berlalu tanpa menyentuh hati kita untuk berubah.

Bulan ulangkaji. Bulan koreksi diri. Bulan mengisi tangki bekalan iman dan taqwa. Bulan kesabaran. Jika ada yang mengherdik dan menyakiti hati anda, katakanlah pada mereka,

Saya berpuasa.. Saya berpuasa.. Saya berpuasa..

Ia tidak mudah. Tapi kan Ramadhan itu meninggalkan yang buruk-buruk di pagar harinya yang pertama.

Sabda Rasulullah S.A.W, berapa ramai orang yang berlapar, berdahaga dan berdiri malam, ia hanya sia-sia? Malang sekali. Ini yang seharusnya paling kita takuti. Dalam asyik mengejar ganjarannya, kita terlepas semuanya.

Bukankah ini sahaja sudah cukup untuk mentransform individu dan masyarakat Islam seluruhnya melalui Ramadhan al-Kareem?

Ahli Dewan Undangan, Ahli Parlimen, Para Menteri dan pembuat dasar, karyawan, pengarang dan penulis, peniaga, pekerja, berpuasa dengan ingatan ini, mana lagi kacau bilau dan hiruk pikuk yang tidak menentu dalam masyarakat Malaysia kita?

Muhasabahlah, Allah S.W.T menjanjikan keampunan kepada hamba-Nya yang 'berpuasa' dengan keimanan yang penuh.

Berikanlah kami peluang mengutip kuntum-kuntum pahala yang mekar mewangi di Ramadhan-Mu, wahai Maha Pengasih. Jambangannya menghiasi Malaysia Baru dengan pemimpin dan rakyat yang bertaqwa, satu masa. Teduhan dan bekalan kami untuk ke syurga-Mu.

Alangkah bahagianya, sekali lagi Engkau izinkan aku menemui Ramadhan-Mu yang Pemurah...

-ibnumustafa-

No comments: