Sedangkan di dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:
“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: Aku melihat Rasulullah S.A.W di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda S.A.W ketika Baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:
“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah S.A.W di al-'Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda S.A.W ketika Baginda S.A.W berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”
(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).
Yang penting di dalam bulan Ramadhan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunnah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadith:
1. Membaca doa yang thabit daripada Nabi S.A.W.
“Apabila berbuka puasa, Nabi SAW akan membaca: Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala. (Dzahabaz zhoma u wabtallatil ‘uruuqu wa thabatal ajru insyaallah)” – Hadith Riwayat Abu Dawud.
Abdullah Ibn ‘Umar R.A berkata:
“Apabila berbuka puasa bacalah: Ya Allah! sesungguhnya aku memohon rahmat-Mu yang meliputi segala sesuatu agar Engkau mengampunkan aku. (Allahumma inni as aluka birahmatikal lati wasi’ta kulla syai inan taghfirali)” - Hadith Riwayat Ibn Majah.
Di samping doa-doa di atas, kita juga boleh berdoa apa sahaja yang dihajati kerana di antara waktu yang mustajab (makbul) untuk berdoa adalah ketika berbuka puasa.
Sabda Rasulullah S.A.W:
"Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka.” – Hadith Riwayat Ibn Majah.
2. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta'jil al-Iftar.
Ini berdasarkan hadith-hadith yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa'ad bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
Hadith ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunnah Nabi S.A.W, iaitu Baginda S.A.W menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):
“Barangkali sebab Allah S.W.T menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”
(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).
3. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air.
Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadith daripada Anas R.A katanya:
“Bahawa Rasulullah S.A.W berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.” - Hadith Riwayat Imam Ahmad dan at-Tirmizi, katanya hadith ini hasan) Ad-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadith ini.
(lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).
Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda S.A.W, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):
“Hadith ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi S.A.W telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda S.A.W menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”
(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut).
Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi S.A.W.
Hadith yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi S.A.W berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadith-hadith baginda Nabi S.A.W antaranya: Daripada Anas bin Malik R.A.: Bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.” - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dalam hadith yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda S.A.W bersabda:
“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa." - Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.
Riwayat di atas juga menambah:
Bahawa Ibn Umar R.A. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama' menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadith-hadith tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.
(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).
Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:
“Hadith tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”
(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).
Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadith-hadith Nabi S.A.W, lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.
Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi S.A.W ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-'Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):
“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah S.W.T agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”
(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).
5. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka.
Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T maksudnya:
“Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.” - Al-Quran, Surah al-`Araf; ayat 31
“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.” - Riwayat at-Tirmizi, katanya: hadith ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadith ini hasan.
6. Berdoa ketika berbuka.
Ini berdasarkan hadith Nabi S.A.W:
“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.” - Hadith Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin 'Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur'ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif.
Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:
"Hadith di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.” (Faidh al-Qadir, 2/500).
Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi S.A.W ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:
“Adalah Rasulullah S.A.W apabila berbuka, Baginda S.A.W bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.” - Hadith Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan.
Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.
7. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka.
Telah berkata Anas R.A:
“Baginda S.A.W pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.” - Hadith Riwayat Abu Daud, ad-Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.
Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunnah Nabi S.A.W ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.
No comments:
Post a Comment