PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, August 18, 2011

Ramadhan dan Kematian..

Ramadhan dihayati lagi. Alhamdulillah kita sempat menyapa dan mendakapinya penuh erat. Antara sedar dan tidak sudah separuh bulan ia berlalu. Bulan kurniaan Ilahi maha hebat, cukup sempurna, menyejukkan gelisah, mententeramkan resah..

Awalannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirannya bebas dari api neraka. Masya-Allah..

Namun, ini mungkin Ramadhan yang terakhir buat kita. Penghujung nyawa adalah rahsia. Renungilah..

Berapa ramai anggota keluarga terdekat dan teman rakan, yang bersama kita Ramadhan setahun lalu, kini tiada lagi, tidak sempat untuk menikmati ujian dan menjalani tarbiyah dalam madrasah penuh pengorbanan ini..

Justeru jangan terleka. Peluklah dengan penuh kecintaan - setelah rindu yang amat sangat terlerai sudah - Ramadhan yang sarat dengan keberkatan ini. Pintu-pintu syurga terbuka, pintu-pintu neraka ditutup, syaitan terbelenggu. Hamparan ketaqwaan dibentang seluas-luasnya..

Detik nafasmu adalah ibadah. Tidur rehatmu adalah ibadah. Apa lagi dengan bertadarus, menyantuni anak yatim, menyempurnakan silaturrahim, membela golongan tertindas, bersedekah, memuliakan ibu bapa, mengasihi orang tua, membantu golongan tidak berupaya, menyediakan bahan berbuka, selain berdoa dan memanjangkan sujud, serta menghidupkan malam dengan munajat dan taubat selepas bertarawih, sementara menanti malam seribu bulan..

Menghampiri Ramadhan kerap mengingatkan saya tentang pemergian secara tiba-tiba buat selama-lamanya, jantung hati kami sekeluarga, Kanda Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa, pada malam 19 Ramadhan 1421 bersamaan 15 Disember 2000, sebelas tahun lalu. Dalam usia 27 tahun, kematian kanda tercinta, anak lelaki pertama harapan ayah dan ibu, cukup meremukkan hati; mencampakkan saya, adik-beradik, ayah & ibu terutamanya dan saudara mara yang lain ke penjuru satu dunia yang berbeza..

Ternyata kasih sayang buat saudara darah daging sendiri begitu luar biasa, tertanam jauh di dalam kalbu, menyelinap setiap denyut nadi..

Ya, Ramadhan dan kematian menjadi cukup intim, saling mengingatkan, walaupun selalunya peringatan itu mudah dilupakan. Khabar kematian sering mengejutkan. Debarannya keras sekali..

Hentakannya boleh memutuskan angan-angan. Sayang, insan selalu alpa. Kematian saudara kandung yang belum berkeluarga, yang masih muda, apa lagi yang tidak didahului dengan sakit memanjang, lebih "istimewa" berbanding kehilangan ibu atau ayah, atau keluarga terdekat lainnya..

Ia memang menyesakkan nafas, membuntukan fikir, namun secara misteri mudah menyuntik rasa sedar-insaf bahawa panggilan Ilahi bisa datang secara tiba-tiba, tanpa bertanyakan apakah persiapan sudah beres atau masih khayal dengan hal duniawi yang tidak berkesudahan..

Benar sekali Sabda Nabi S.A.W, perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat meragut kelazatan dunia, iaitu mati. Rasulullah S.A.W pernah ditanya tentang orang Mu'min yang paling mulia, maka jawabnya adalah orang yang paling baik akhlaknya..

Ditanya lagi, orang Mu'min mana yang paling beruntung atau cerdas, maka jawab Baginda S.A.W, mereka yang paling banyak mengingati mati dan mempunyai bekal yang banyak untuk menghadapi kematian..

Ramadhan menjanjikan gandaan pahala, menghaluskan jiwa dan mendorong untuk melakukan amalan kebajikan. Manakala mengingati kematian menyebabkan seseorang menyegerakan taubat, rendah hati dan rajin beribadah. Namun Ramadhan bukan pula membungkus seseorang dengan aktiviti individualistik semata..

Khidmat buat masyarakat, menarik tangan masyarakat bawahan yang tertekan, terutama dalam kesempitan hidup yang menggigit ini; semuanya perlu ditingkatkan setulusnya, sebagai satu persembahan agung buat Ilahi Rabbul A'lamin. Sesungguhnya Allah SWT amat mencintai makhluk yang paling penyayang pada makhluk yang lain, yang paling bersungguh-sungguh dalam memenuhi keperluannya..

Usah terlepas lagi daripada merangkul kenikmatan Ramadhan yang sangat istimewa itu. Pesanku buat diri yang sangat mudah terleka ini, juga kita semua.. walaupun kanda kerap mengejutkannya..

Al-Fatihah buat kedua orang kanda & kekanda tercinta

Hj Ahmad Fuad Bin Hj Mustafa

19 Ramadhan 1421H / 15 Disember 2000

&

Hjh Latifah Binti Hj Mustafa

25 Jamadil Awal 1421H / 26 Ogos 2000

Kalian tetap di jiwa kami selamanya~

-ibnumustafa-

2 comments:

nusoibahmustafa said...

بِسْــــــــمِ اٌللَّهِ اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْـــــــــمِ*
أٌلحَمْدُلِلَّهِ رَبِ اٌلْعَلَمِينَ*
اٌلرَّحْمَنِ اٌلرَّحِيْمِ*
مَلِكِ يَوْمِ اٌلدِّيْنِ*
إِيَّاكَ نَعْبُوْدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ*
...إٌهْدِنَا الصِّرَطَ اٌلْمُسْتَقِيْمُ*
صِرَطَ اٌلَّذِيْنَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِّمْ غَيْرِاٌلْمَغْضُبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ اٌلضَّآلِّينَ*

afidah said...

sehari sebelum arwah pergi, dia berkata 'MUKMIN SEJATI TAKKAN TAKUT MATI'......