كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ "Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). " - Surah Ali `Imran; ayat 110~
PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)
Saturday, October 11, 2008
Perjalanan terakhir seorang Dolah
Ketua cawangan naik Proton
Ketua bahagian naik Wira
Kontraktor kelas F naik Honda
Putera datang naik tongkang
Puteri datang membawa kangkang
Para YB naik Mercedes
Menteri datang takut muflis
Datang berkumpul bukan menangis
Dolah berundur amatlah tragis
Mereka datang berkumpul untuk melihat muka Dolah kali terakhir sebagai perdana menteri, sebagai presiden United Malays National Organisation dan sebagai pengerusi Barisan Nasional.
Mari mendengar surah saya tentang apa yang berlalu lima tahun dahulu.
Ketika Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, saya masih berada di kem tahanan Kamunting. Berita tangisan Mahathir saya sambut dengan ketawa terbahak-bahak.
Gambar Mahathir menangis di perhimpunan agung Umno itu amat lucu sekali.
Sampai sekarang saya tidak dapat melupakan kasut Rafidah Aziz yang terpatah kerana hendak mengejar dan mencium lutut Mahathir. Semenjak hari itu Dolah telah mula memasang badan sebagai perdana menteri.
Pada malam saya bakal dihantar ke kem Kamunting (Jun 2001) – surat arahan menahan dua tahun – telah ditandatangani oleh Abdullah Ahmad Badawi kerana ketika itu dia menjawat Menteri Dalam Negeri.
Pernah wartawan bertanya kepadanya tentang 10 penggerak Reformasi yang ditahan dibawah ISA, Dolah telah menjawab "...saya tidak tahu..."
Di Kamunting, apabila saya mendengar jawapan "saya tidak tahu" daripada Dolah, maka terlintas juga di kepala saya mungkin si Mamat ini seorang jantan politik yang licik. Dapat mengelak soalan daripada para wartawan.
Apabila saya dibebaskan dua tahun kemudian, saya telah mementaskan teater Tok Sloo dan Bilik Sulit. Bilik Sulit ialah tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala Tok Sloo pula teater komedi.
Dua buah drama ini telah dibawa keliling Semenanjung untuk dipertontonkan kecuali di Perlis.
Tok Sloo memecahkan perut saya sendiri. Saya menulis watak Tok Sloo berdasarkan watak Dolah dan orang-orang di sekelilingnya. Dolah pada ketika teater ini ditulis baru sahaja menjadi perdana menteri.
Scomi – syarikat milik Kamaluddin anaknya - masih belum heboh dan masih belum glamor lagi. Peniaga komponen nuklear BSA Tahir belum menjadi hiasan muka depan majalah Time.
Khairy Jamaluddin baru selesai bersunat politik kerana dapat berkahwin dengan Nori. Kak Endon masih hidup. Kalimullah masih belum kaya-raya. Monsoon Cup dan Jackie Chan belum pernah sampai di Seberang Takir.
Selesai pementasan keliling di Semenanjung, saya telah bertemu dengan seorang kawan lama saya, Cikgu Hashim dari Perlis.
Kami bersembang di sebuah warung pokok ketapang di hadapan pejabat Malaysiakini, Bangsar Utama. Sambil ketawa, sambil kami berlabun tentang siasah semasa.
Akhirnya sampai kepada watak Tok Sloo. Kami ketawa berdekah- dekah. Akhirnya kawan saya ini memberi satu nasihat "... kamu janganlah lawan Dolah ini... Kalau kamu tulis keras sangat tentang dia, macam kamu lawan orang cacat..."
Inilah kata-kata yang membuatkan saya terbarai ketawa hingga ke hari ini.
Apabila saya duduk bersendirian di hadapan komputer dan ingin menulis sesuatu tentang Dolah, maka saya teringat pesanan kawan itu.
Apabila saya perhatikan gerak dan tingkah laku politik Dolah, maka saya cukup yakin bahawa susuk yang bernama Dolah ini ‘orang cacat’ dari segi pemahaman politik.
Akhirnya saya menarik diri daripada mempersendakan Dolah. Saya rasakan cukup tidak adil jika saya terus menulis tentang manusia ‘cacat’ ini.
Saya rasa macam saya bergaduh dengan budak-budak.
Dari awal lagi saya telah menulis bahawa Dolah ini adalah perdana menteri accidental – atau PM yang tidak tersengaja. Dolah tidak memiliki ciri dan pola yang boleh dinobatkan sebagai pemimpin negara.
Dolah dijadikan perdana menteri hasil perancangan licik Mahathir.
Mahathir tidak salah pilih, dia sengaja memilih ‘si cacat’ ini agar dia sendiri akan menjadi Pak Dalang di belakang tabir.
Hanya satu kesilapan Mahathir, dia kurang sedar ada ramai dalang-dalang lain – Khairy, Kamaludin, Kak Endon dan Kalimullah - yang juga bersiap sedia untuk menjadi Pak Dalang kepada si Dolah.
Pada tahun pertama Dolah sebagai PM, cerita mula tersebar bagaimana Dolah ini suka tidur ketika bekerja atau dalam mesyuarat. Pada awalnya saya rasa cerita-cerita ini hanyalah 'kempen hitam' oleh musuh-musuh Dolah dalam United Malays National Organisation.
Tetapi apabila gambar demi gambar mula muncul memperlihatkan 'Dolah tidur', maka saya yakin ‘kecacatan’ Dolah ini tidak mungkin dapat diperbaiki.
Teman-teman sekolah saya yang menjadi ahli perniagaan mula bercerita betapa Dolah tidak memilki keupayaan untuk mendengar taklimat projek-projek yang cuba dibangunkan.
Dolah tidak memiliki daya fikir yang lapang dan luas. Saya juga difahamkan si Dolah ini tidak membaca dan tidak memiliki daya fikir yang dapat melihat dengan jauh dan terperinci.
Pada pilihanraya umum 2004 Dolah telah diberikan mandat besar tetapi Dolah kurang arif untuk memahami makna mandat itu. Semua perancangan yang dibuatnya tinggal terbengkalai setengah jalan.
Dolah mengajukan Islam Hadhari, tetapi saya juga was-was apakah Dolah sendiri memahami konsep yang diajukannya itu.
Para kroni Dolah makin naik tocang. Mereka membedal dan membelasah apa sahaja dana negara yang boleh mereka sebat. Dolah sebenarnya tidak memahami satu pun teori ekonomi, jauh sekali untuk menghadam pergolakan politik global.
Dolah bukan seorang insan yang jahat, ganas dan licik seperti Mahathir. Dolah tidak memiliki sifat membunuh seteru politiknya. Dolah ini seorang yang warak dan berperangai baik. Dolah seorang ritualis agama.
Kalau di kampung saya di Jelebu, Dolah ini akan dilantik sebagai Tok Siak. Sekali-sekala kalau Tok Imam masjid demam, mungkin dia akan dibenarkan mengepalai sembahyang.
Dalam adat Perpatih di Jelebu, Dolah ini tidak akan duduk di anjung rumah bersama kepala adat. Dia akan duduk di tepi pintu untuk mengangkat dulang dan cawan.
Kalau di penanggah di kampung saya, Dolah ini akan menjadi pengacau beras di kawah ketika kenduri-kendara - tidak lebih daripada itu.
Akhirnya Dolah betul-betul menjadi watak Tok Sloo. Ada kesedihan juga dalam hati saya apabila Dolah berundur. Saya sedih dan kasihan melihat Dolah yang ‘cacat’ ditibai Muhyidin yang menjadi suruhan Mahathir.
Dolah terkapai-kapai hilang nafas.
Penasihat-penasihat politik Dolah hanyalah budak yang baru bersunat politik – tidak dapat melakukan apa-apa selain daripada meminta tandatangan akhir dari Dolah untuk projek-projek skim cepat kaya.
Apakah agaknya yang akan kita ingati tentang Abdullah Ahmad Badawi sepuluh tahun dari hari ini?
Mungkin kita akan teringat tentang Dolah yang suka tidur. Atau Dolah bapak mentua KJ. Atau Dolah yang cuba membuka ruang demokrasi di Malaysia tetapi telah digagalkan oleh Mahathir kerana bekas PM itu telah menyediakan budak suruhannya yang akan bersumpah bersetia agar tidak dihantar ke Mongolia untuk menjadi duta.
Hari-hari akhir seorang Dolah sampai
Kamal datang dengan Scomi
KJ datang dengan Nori
Kali datang dengan AirAsia
Jeanne datang dengan kain tudung baru
BSA Tahir datang memakai topeng
Saat akhir akan berlalu
Mereka amat bersedih dan terharu
Dolah terlupa memakai celana dan sepatu
Maka demikianlah berakhir kesah Tok Sloo
Untuk dijadikan tauladan dan sempadan
Dari anak kepada cucu dari cicit kepada menantu
Untuk jadi ingat-ingatan sepanjang zaman
* sumber dari malaysiakini.com
Monday, October 6, 2008
Jangan biarkan hati mati ketika menyambut Aidilfitri
Kerana hati manusia itu ada kaitannya dengan hidup atau mati peranan dan fungsinya, maka baginda mengingati umatnya agar sentiasa memeliharanya dengan baik agar ia terus subur dan hidup hanya untuk Allah.
Justeru, Islam ada memperkenalkan “Ad-Doruriyat al-Khams” iaitu lima perkara yang wajib dan mesti umat Islam pelihara iaitu:
1) Agama.
2) Akal.
3) Harta.
4) Jiwa atau hati.
5) Keturunan dan kehormatan diri.
Hati manusia itu merupakan salah satu perkara yang dititikberatkan oleh Islam, jika salah ditarbiah maka ia akan menyusahkan tuannya nanti di akhirat, sehubungan itu Allah SWT ada menegaskan menerusi ayat 36 surah al-Israa yang bermaksud:
“Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati (manusia), semuanya itu akan diminta untuk dipertanggungjawabkan.”
Bagi memastikan agar hati itu terus subur dan hidup dengan Islam, maka baginda Rasulullah s.a.w mengingatkan umatnya agar jangan sekali-kali mematikan hati pada malam kedua-dua malam Aidilfitri dan Aidiladha. Hati mati dengan tidak bertakbir, bertahlil, bertahmid, bertasbih, berzikir, membaca al-Quran dan sebagainya.
Rasulullah ada bersabda: “"Barangsiapa yang bersembahyang pada malam Aidil Fitri dan Aidiladha tidak akan mati hatinya pada hari hati-hati manusia dimatikan oleh Allah."
Kerana sesungguhnya hati yang hidup itu akan menikmati kebahagian seperti di bawah ini:
Hidupnya hati adalah menjadi pokok pangkal hidupnya iman.
Hidupnya hati adalah pokok pangkal hidupnya akhlaqul karimah.
Hidupnya hati adalah pokok pangkal sebab dapatnya menerima hidayah Allah.
Dan Allah SWT telah mengingatkan kita sebagai hamba-Nya agar membawa hati kita untuk bertemu-Nya pada hari kiamat dengan hati yang sejahtera, ia dirakam menerusi ayat 88-89 surah as-Syu’araa yang bermaksud:
“Iaitu di hari di mana harta dan anak-anak lelaki tidak berguna. Melainkan mereka yang menghadap Allah dengan hati yang bersih (sejahtera).”
Iaitu sejahtera, bersih dan selamat dari penglibatan dalam perkara syirik, nifaq atau tidak mempercayai akan kebesaran Allah SWT.
Apa yang perlu kita tahu tentang persoalan hati?
Menurut Mahmoud Syal, seorang pengkaji agama di laman web islamonline.net, tanda-tanda hati yang sejahtera adalah:
1) Sentiasa mengarah tuan punya diri untuk terus mengingati dan bertaubat kepada Allah.
2) Sentiasa mengingatkan tuannya untuk beribadat kepada Allah.
3) Rasa selesa, seronok dan kelazatan beribadat lebih daripada kelazatan makanan dan minuman.
4) Memberi tumpuan sedalam-dalamnya terhadap apa yang dibaca khususnya ketika melaksanakan solat.
5) Mengingatkan tuannya agar sentiasa menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, sama ada perbuatan, kenyataan dan tindakan.
6) Reda terhadap pelaksanaan perintah Allah dan bersedia untuk meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.
7) Seronok menghabiskan masa untuk Allah dan gelisah apabila habis untuk selain-Nya.
Tanda-tanda hati yang rosak
1) Hati tidak merasa bersalah apabila terlibat melakukan dosa dan maksiat.
2) Tidak terasa untuk melakukan taubat apabila melakukan kesalahan.
3) Mersa seronok bergelumang dalam dosa.
4) Tidak mempedulikan perintah Allah, malah suka terbabit pada larangan-Nya.
5) Benci kepada kebenaran dan cuba menghalang kemaraannya.
6) Benci kepada orang-orang solih atau mereka yang suka melakukan kebaikan.
7) Suka bertengkar pada perkara yang tidak memberi manfaat untuk agama.
8) Menerima rasuah, sogokan, riba dan perkara haram serta merasakan keseronokannya.
9) Takut kepada orang yang gagah, tetapi sedikitpun tidak takut kepada Allah.
10) Benci kepada perkara makruf dan suka kepada perkara mungkar.
Penyakit hati
1) Nifaq dan riya’ (menunjuk-nunjuk).
2) Bersangka buruk, mengumpat, menghina, subahat pada yang haram dan ragu-ragu.
3) Hasad dan dendam kesumat.
4) Sombong, bangga diri dan ego.
5) Bohong dan berputus asa.
6) Cinta mendalam kepada selain Allah.
7) Ikut hawa nafsu.
8) Keras hati (kerana tidak duduk dalam majlis ilmu).
9) Takut kepada selain Allah.
10) Belot dan khianat.
11) Suka memaki hamun orang lain.
12) Bergelumang dengan perkara dunia dan menjadikannya sebagai matlamat hidup.
13) Tidak ada perasaan baik kepada orang lain.
Kaedah rawatan penyakit hati
a) Mentarbiah hati supaya mencintai Allah dengan sedalam-dalamnya.
b) Membaca serta bertadarus (menyelidik) makna dan maksud-maksud ayat al-Quran.
c) Mendekatkan kepada Allah dengan amalan-amalan sunat.
d) Khusyuk dalam solat.
e) Memperbanyak zikir dan memohon ampun kepada Allah.
f) Melakukan kebaikan kerana ikhlas kepada Allah dan mengharapkan keredaan-Nya.
g) Melakukan amal dan ibadat berdasarkan perintah Allah dan Rasul.
h) Beriktikad dengan akidah yang betul.
i) Sentiasa melakukan muhasabah diri.
j) Memperuntukkan masa bagi Allah menerusi penggarapan ilmu-ilmu agama.
k) Memperbanyakkan qiyamullail, berdoa terutamanya pada sepertiga malam.
l) Tunduk dan khusyuk kepada Allah dalam segenap tindakan dan perbuatan.
m) Memastikan sumber makanan dan pakaian adalah halal di sisi Allah SWT.
n) Menundukkan penglihatan kepada perkara-perkara yang diharamkan Allah.
o) Suka menziarahi kubur dan mengingati mati.
p) Sentiasa bersyukur dan reda kepada Allah atas segala nikmat yang dikurniakan.
q) Suka membantu anak-anak yatim dan bermesra dengan mereka.
r) Suka bersahabat dan duduk dengan orang-orang solih yang boleh dijadikan teladan.
Apabila seorang muslim merenung kepada perkara yang telah disebutkan di atas, Insya Allah dia akan menemui sesuatu yang boleh menjadikannya insaf dan sedar dan semoga mahu untuk melakukan perubahan dalam diri menuju kecemerlangan sebagai muslim yang bertakwa kepada Allah.-am-
Berjaga-jaga sayur dicemari melamin
Kementerian Kesihatan kini mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalankan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China bagi memastikan ia benar-benar selamat, lapor Bernama.
"Kami mendapat tahu dari Korea (Selatan) bahawa mereka mengesan kadar melamin yang tinggi dalam sayur-sayuran yang mereka import dari China.
"Kami telah melancarkan pemeriksaan tahap empat terhadap semua produk makanan dari China dengan mengambil contoh produk berkenaan untuk ujian," kata Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri konvensyen MCA Sabah di sini Sabtu, Liow memberi jaminan bahawa kadar melamin dalam produk makanan yang dijual di pasaran negara ini adalah pada paras yang dibenarkan.
Agensi berita yang sama turut melaporkan pihak berkuasa keselamatan makanan Korea Selatan menemui bahan berasaskan nitrogen itu dalam coklat berjenama Kit Kat dan Snickers yang dihasilkan dari China.
Jika diambil berlebihan atau dengan kerap, melamin boleh mendatangkan risiko kesihatan.
Pencemaran melamin dalam produk tenusu telah mengorbankan empat bayi di China dan menyebabkan 54,000 lagi mengalami masalah buah pinggang dan penyakit-penyakit lain.
Agensi kawalan ubatan dan makanan Korea (KFDA) kini sedang memeriksa 428 makanan proses untuk mengesan bahan berbahaya itu.
Setakat hujung minggu lepas, ia telah memeriksa 288 produk.
* sumber dari malaysiakini.com
Hari-hari akhir PM Abdullah
Oleh kerana itu, keputusan pilihanraya umum 2004 menyaksikan BN menang besar, Terengganu dirampas daripada pemerintahan PAS, Kelantan hampir-hampir tumbang dan PKR hanya tinggal satu kerusi.
Kemenangan BN dalam pilihanraya umum ke-11 bukanlah kerana kebijaksanaan “budak tingkat empat” akan tetapi rakyat mahukan perubahan setelah 22 tahun bawah kepemimpinan kuku besi bekas perdana menteri.
Abdullah pada ketika itu dilihat seorang “Mr. Clean” yang mampu mereformasikan Malaysia daripada kepincangan sistem peninggalan Dr Mahathir.
Secara peribadinya, saya dan teman-teman aktivis mahasiswa daripada Universiti Bangsar Utama (UBU) mempunyai pengalaman lucu bersama Abdullah.
Ketika itu, tahun 2001, Abdullah sebagai timbalan perdana menteri (TPM) melawat Universiti Putra Malaysia (UPM).
Saya dan teman-teman ingin menghantar memorandum kepadanya berhubung tuntutan kami mengenai isu-isu kebajikan mahasiswa.
Oleh kerana kawalan dan halangan ketat oleh pengawal-pengawal keselamatan UPM, kami tidak dapat bertemu dengan Abdullah secara bersemuka selepas beliau menyampaikan ucapan di Fakulti Komunikasi.
Kami kemudian merancang bertemu Abdullah di tempat yang kurang kawalan keselamatan UPM. Kami menunggu rombongan kereta beliau berhampiran dengan pintu keluar fakulti tersebut.
Apabila rombongan TPM menghampiri pintu keluar, seorang teman menahan kereta yang dinaikinya dengan berdiri di tengah-tengah jalan.
Kereta tersebut berhenti dan secara spontan pengawal pengiring Abdullah meluru ke arah kami.
Tiba-tiba Pak Lah yang berada di dalam kereta menurunkan cermin keretanya dan menjerit, “jangan tahan pelajar, mereka hanya ingin serahkan surat kepada saya”.
Pengawal pengiring berhenti daripada bertindak dan kami dibenarkan menyerahkan memorandum kepada Abdullah.
Kami tidak pasti sama ada beliau membaca memorandum tuntutan kami atau tidak, akan tetapi kami semua tercengang dan kagum melihat perwatakan Abdullah yang dirasakan baik hati.
Sehingga hari ini, kami tidak mendapat apa-apa respons daripada beliau mengenai tuntutan-tuntutan dalam memorandum tersebut.
Sepanjang pemerintahan beliau selepas pilihanraya Mac 2004, Abdullah gagal melaksanakan reformasi seperti yang dijanjikan oleh beliau dan diharapkan oleh rakyat.
Contohnya, penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Cadangan menubuhkan suruhanjaya itu diuar-uarkan oleh Abdullah demi memperbaiki imej polis yang tercemar akibat berlakunya banyak aduan mengenai salah laku polis, khususnya oleh aktivis-aktivis Gerakan Reformasi.
Sudah tentulah cadangan untuk menubuhkan IPCMC akan mendapat tentangan polis kerana bimbang kuasa mereka berkurangan.
(IPCMC akan memberikan peluang kepada rakyat mengadu tentang salah laku polis dan tindakan boleh diambil terhadap polis jika terbukti bersalah).
Pegawai-pegawai kanan polis secara terang-terangan melawan agenda penubuhan IPCMC sehingga terkeluarnya buletin khas Bukit Aman yang bertajuk “IPCMC: Kuasa Yang Tidak Boleh Dicabar?”.
Buletin tersebut turut disiarkan di laman web rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM) - ia mengandungi 12 bab yang meliputi latar belakang IPCMC, dialog antara PM dengan pihak kumpulan pegawai PDRM dan sebab-sebab mengapa mereka membantah penubuhannya.
Selain itu, IPCMC turut tidak disenangi oleh pemimpin-pemimpin Umno terutamanya yang manjdi proksi kepada bekas Dr Mahathir, termasuk ketua Pemuda, Hishammuddin Hussein.
Abdullah ibarat tersepit di tengah-tengah - antara janjinya kepada rakyat dan penentangan daripada Umno dan PDRM.
* sumber dari malaysiakini.com
Jadilah graduan Universiti Ramadan yang hebat
Alangkah bahagia dan gembiranya pasangan kedua ibu bapa, apabila mendapat tahu bahawa anak mereka berjaya dalam pengajian dan pendidikan, apatah lagi mendapat cemerlang dengan keputusan yang memberangsangkan.
Maka layaklah anak mereka digelar sebagai graduan atau mahasiswaserta layak menghadiri upacara kemuncak iaitu hari konvokesyen yang penuh bersejarah.
Graduan yang hebat bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah cemerlang dalam segenap tindakan, tutur-kata, budi bahasa bukan hanya ketika berada di kampus universiti, malah ia menjadi darah daging sepanjang hidup.
Begitulah dengan umat Islam yang menjalani ibadat puasa selama sebulan di bulan Ramadan, mereka sedang berada dalam sebuah universiti yang menawarkan pelbagai pengajaran yang terdiri daripada Tarbiah Ruhiyyah (kerohanian), Tarbiah Nafsiah (kejiwaan seperti mendidik jadi orang yang bersabar), Tarbiah Imaniah (keimanan hingga meraih golongan bertakwa yang merupakan kemuncak daripada matlamat berpuasa), Tarbiah Aqliah (membentul akal agar sentiasa positif kepada Islam seperti menitik-beratkan motivasi al-Quran) di bulan Ramadan.
Apabila kesemua bentuk tarbiah itu diadun dalam satu diri muslim yang komited dengan Islam khususnya pada bulan Ramadan, ditambah dengan penggarapan ilmu menerusi program tazkirah, maka akan lahirlah insan muslim yang bertakwa sungguh-sungguh kepada Allah SWT, iaitu dalam erti kata takwa yang menjadikannya takut kepada Allah, beramal dengan segala perintah-Nya di dalam al-Quran, reda terhadap qada’ dan qadar-Nya serta bersiap-siap dengan bekalan untuk menghadapi-Nya.
Insan muslim seumpama ini tidak akan keluar daripada Universiti Ramadan menjadi orang yang menantang hukum-hakam Allah SWT, kerana maksud menentang dalam bahasa Arab ialah orang yang kafir, istilah kafir bukannya ditujukan kepada mereka yang belum Islam, kerana bukan semua yang belum Islam menentang kebenaran Islam, malah ia lebih ditujukan kepada orang yang menentang Allah, kerana yang membaca al-Quran adalah terdiri daripada yang bernama, yang bukan Islam tidak akan membacanya, justeru dia lupa untuk memperhalusi ayat 101 surah Ali ‘Imran yang bermaksud: "Bagaimana kamu boleh jadi kafir (golongan penentang), sedangkan kamu baca al-Quran dan Rasulullah bersama dengan kamu?
Merekalah golongan yang sebenarnya layak untuk memeriah serta menyambut malam konvokesyen iaitu malam hari raya kerana hampir sebulan mereka melakukan amal-amal ibadat yang seolah-olah mengembalikan mereka kepada fitrah ('Idul Fitri) yang tidak berdosa bagaikan baru lahir daripada perut ibu-ibu mereka.
Seterusnya mereka tidak sekali-kali reda untuk terlibat dalam perkara yang merosakkan malam raya, kerana mereka sedar bahawa orang yang merosakkannya menerima akibat (implikasi) hati yang mati, sedangkan hati yang mati tidak akan dipandang oleh Allah SWT, firman-Nya dalam surah as-Syu'ara ayat 89 bermaksud: "Di hari (kiamat) harta dan anak pinak tidak berguna, melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera (hidup) dengan Islam."
Graduan-graduan Ramadan yang cemerlang akan menghidupkan malam hari raya dengan bertakbir, berzikir, membaca al-Quran, bersolat sunat, mereka sekali-kali tidak akan reda membasahi bibir dengan perkataan yang sia-sia.
Mereka sedar bahawa lafaz-lafaz takbir mengandungi maksud tarbiah ruh dan iman yang kental yang mampu membawa mereka mencapai status insan-insan yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.
-am-
Perutusan Aidilfitri Dato' Seri Anwar Ibrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Saya, mewakili keluarga dan segenap lapisan kepimpinan & akar umbi Parti Keadilan Rakyat ingin mengucapkan Salam Eidulfitri kepada umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia amnya.
Ramadhan kini menghampiri penghujung, Syawal bakal menjelang tiba. Umat Islam selepas menunaikan ibadat puasa di bulan yang mulia ini pastinya menyambut kedatangan bulan Syawal dengan rasa penuh kesyukuran.
Bulan Ramadhan ini, sebagaimana yang diulaskan oleh para ulama, adalah madrasah terbaik buat melatih serta mendidik kita umat Islam agar berani dan yakin mendepani segala cabaran yang mendatang. Ramadhan sentiasa mengajar kita betapa kesabaran menjadi paksi kepada kejayaan hakiki dan memperkukuhkan kekuatan ruh serta jiwa. Ini kerana jiwa dan ruh yang membentuk manusia, seperti yang diungkapkan oleh Abul Fath al-Busti:
Perhatikan jiwamu, dan sempurnakan,
Kamu insan kerana jiwa, bukan kerana jasad.
Ramadhan pastinya mengingatkan kita akan kisah Pembukaan Kota Mekah(Fath Mekah). Kejayaan Rasulullah S.A.W yang didokong para sahabat baginda wajar menjadi teladan. Kejayaan tersebut sudah tentu tidak datang sekelip mata. Dua tahun sebelum kejayaan membuka Kota Mekah, satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Hudaibiyyah telah dimeterai di antara Rasulullah S.A.W dengan wakil kaum Quraisy.
Tidak sedikit yang merasa ragu dengan perjanjian tersebut. Namun ternyata ada hikmahnya di sebalik kesediaan dan kesabaran Rasulullah S.A.W di dalam menerima perjanjian tersebut. Rupa-rupanya ‘jalan kemenangan sudah jelas nyata.’ Selepas sahaja termeterainya Perjanjian Hudaibiyyah, maka turunlah firman Allah S.W.T yang berbunyi:
Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata.
Ayat ini menghilangkan keraguan umat Islam serta memperkuatkan lagi azam mereka bagi memastikan seruan untuk melakukan islah terlaksana.
Rakan-rakan sekalian,
Ketakwaan yang diadun bersama kesabaran dan kebijaksanaan adalah kunci utama untuk mengecap kejayaan. Janganlah keyakinan kita digugat tatkala kejayaan sudah hampir. Saya menyeru pencinta kebenaran agar perkukuhkan tekad perjuangan. Ingatlah anjuran Al Quran yang berbunyi:
Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!
Perubahan yang ingin kita laksanakan bertapak di atas bongkah-bongkah yang kukuh, jauh sekali dari retorik kosong yang berasaskan kebencian dan persengketaan. Kita harus menyedari negara Malaysia bukannya ekabudaya. Kita harus memastikan negara ini tidak ditelan api asabiyyah dan karam dengan sikap taksub melulu. Ingatlah “siapa yang menyemai angin akan menuai badai.”
Sering saya ulangi pemerkasaan ekonomi tidak akan berjaya selagi mana kemajuan dan pembangunan didorong oleh nafsu serta tamak yang bukan kepalang. Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan harus difahami dan dimaknai dengan pengertian yang lebih luas. Kekayaan tidak boleh berlegar di kalangan segelintir sahaja, ianya harus menjadi pendorong untuk membebaskan masyarakat dari penindasan dan kezaliman. Inilah yang kita tegaskan sebagai ekonomi yang manusiawi. Ekonomi yang dibangun di atas prinsip insan sebagai makhluk bermoral dan berakhlak, bukannya semata-mata homo economicus; yang hanya memburu kepentingan diri sendiri.
Rakan-rakan sekalian,
Syawal yang bakal menjelang pastinya disambut meriah oleh semua. Pun begitu hendaklah kita sentiasa wasatiyah dalam pendekatan, yakni bersederhana tanpa meminggirkan mereka yang tidak berkemampuan. Syawal adalah bulan kemenangan, bulan memupuk ukhuwah. Kemenangan mengharungi Ramadhan dirai dengan jalinan ukhuwah yang utuh sesama ummah. Kemenangan ini bukan sekadar melawan hawa nafsu sepanjang Ramadhan, sebaliknya diterjemahkan jua sebagai kemenangan menentang kezaliman dan menegakkan keadilan.
InshaAllah kemenangan yang diredhai menjadi milik kita pastinya, sebagaimana yang dijelaskan di dalam Al Quran,”ibarat pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit (Ayat 24, Surah Ibrahim)”
Salam Eidulfitri 1429 Hijrah.
Minal ‘aidil wal faiziin.
Maaf zahir dan batin.
ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat
* sumber dari suarakeadilan.com
Raya.. Raya.. Raya.. Raya di Kota Raya...
Selamat pagi semua..
Selamat kembali bekerja pada mereka yg dah masuk bekerja..
Selamat pulang ke kampus pada yg mereka yg masih belajar..
Selamat berbaki raya.. ader laie 24 hari.. huhu..
Puasa sebulan, raya pun sebulan loo.. hohoho..
Dah puas beraya di kampung, jom kita sambung beraya di kota pula..
Di mana2 jua kita boleh beraya.. tapi bukan di jalan raya @ lebuh raya.. hahaha..
Have a nice day.. njoy ur work.. dont be lazy2 ehhh.. hehe..
adios..
-am-
