PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, March 9, 2010

Sunnah Tidur Di Waktu Siang & Penemuan Semasa..

Tidur siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak berlebih-lebihan dengannya.



Di dalam kitab 'Misykatul Masabih' disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh Nabi SAW: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji. Rasulullah SAW ada melakukannya."

Imam Al-Ghazali di dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah bangun sebelum tergelincir matahari untuk solat zohor."

Islam mempunyai pandangan tertentu tentang tidur tengahari. Ia dianggap sebagai sunnah dan bukan sebagai suatu yang keji. Tidurnya hanya sekejap. Tujuannya adalah untuk kesegaran tubuh badan agar dapat dimanfaatkan untuk melaksanakan amal dan ibadah yang berkualiti.

Dewasa ini, berpandukan kajian-kajian saintifik, tidur sekejap di waktu siang (day napping), terutamanya pada waktu tengahari, didapati amat berkesan untuk mempertingkatkan tenaga, tumpuan dan akhirnya produktiviti pekerja-pekerja.

Baru-baru ini satu kajian 25 tahun tentang kesan tidur ke atas negara-negara industri dan pasca-industri telah mendapati bahawa "92.5% pekerja-pekerja yang berkesempatan tidur di waktu tengahari, mempunyai daya kreativiti yang lebih tinggi. Daya kemampuan mereka untuk menyelesaikan masalah juga meningkat. Semua ini pastinya meningkatkan produktiviti." (Napping News: 'Scientific Proof Confirms: Napping Enhances Worker Productivity,' from e-Fuse)

Waktu tengahari merupakan masa yang paling sesuai untuk tidur seketika kerana sistem badan kita memang bersedia untuk memanfaatkan fasa tidur pada waktu itu. Fasa ini disebutkan sebagai 'a mid-afternoon quiescent phase' atau 'a secondary sleep gate.'

Di antara tokoh-tokoh yang menggalakkan tidur tengahari ini ialah Dr.William A.Anthony, Ph.D. dan Camille W.Anthony, pengarang buku 'The Art of Napping at Work.' Demikian juga yang disebutkan oleh David F.Dinges dan Roger J.Broughton di dalam buku mereka 'Sleep and Alertness: Chronobiological, Behavioural and Medical Aspects of Napping.' Dr.James Maas, pakar tidur dari Cornell University juga telah merumuskan bahawa tidur di tengahari sekadar 15-20 minit sudah mencukupi untuk mengembalikan tenaga dan menjaga kesihatan.

Seorang pengkaji yang lain, Donald Greeley, telah mengatakan bahawa tidur tengahari adalah bermanfaat selama mana ianya tidak melebihi satu jam. (Gail Benchener: 'Parents and Sleep Deprivation,' Family.com)



Sunnah tidur tengahari yang diajarkan Nabi SAW rupa-rupanya merupakan suatu yang amat saintifik lagi relevan pada hari ini. Wallahualam..

-ibnumustafa-

Friday, March 5, 2010

Adakah menutup kepala tatkala memasuki tandas suatu SUNNAH?

Jawapan dari Jabatan Komiti Kajian Fatwa – Dipengerusikan oleh Sheikh `Abd al-Wahhâb al-Turayrî.

Ini merupakan satu amalan tradisi. Tidak terdapat bukti yang Sahih dari Sunnah untuk menyokongnya.


Berkenaan hadith dari Sunan al-Bayhaqî tentang menutup kepala apabila masuk kedalam tandas, Hadith (status) adalah seperti berikut:


Hadith pertama:


`Â’ishah RA berkata: “Apabila Rasulullah SAW masuk ke dalam tandas, Beliau akan menutup kepalanya dan apabila mendatangi Isterinya, beliau akan menutup kepalanya."


Hadith diriwayatkan oleh al-Bayhaqî dalam al-Sunan al-Kubrâ (1/96) dan al-Dhahabî dalam al-Muhadhdhab fî Ikhtisâr al-Sunan al-Kabîr (#405).


Jalan periwayatannya seperti berikut:


`Abd al-Khâliq b. Alî al-Mu’adhdhin dari Abû Ahmad b. Hamdân as-Sayrafî dari Muhammad b. Yûnus al-Qurashî (al-Kudaymî) dari Khâlid b. `Abd al-Rahmân dari Sufyân al-Thawrî dari Hishâm b. `Urwah dari ayahnya dari `Â’ishah.

Setelah meriwayatkan hadith tersebut al-Bayhaqî sendiri berkata: “Hadith ini adalah salah satu yang perlu ditinggalkan oleh kerana Muhammad b. Yûnus al-Kudaymî.”

Al-Bayhaqî kemudiannya menyatakan bahawa Ibn `Adî berkata tentang hadith ini: ‘Aku tidak kenal orang yang meriwayatkannya selain al-Kudaymî dari sanad ini. Dan al-Kudaymî amat terkenal untuk perlu dipastikan bertapa lemahnya dia.

Al-Dhahabî juga berkata terhadap al-Kudaymî ketika meriwayatkan hadith ini: “Dia dituduh sebagai penipu” [al-Muhadhdhab (1/104)]

Ibn `Adî berkata tentang dia: “Al-Kudaymî telah di tuduh memalsukan hadith”

Ibn Hibbân berkata: “Kemungkinan dia memalsukan lebih dari 1000 hadith”. al-Dhahabî, Mîzân al-I`tidâl (4/74 #8353).

Al-Bayhaqî kemudian berkata: “Telah diriwayatkan dari Abû Bakr menutup kepalanya ketika masuk ke tandas. Ini adalah satu perkara yang benar tentang beliau.” al-Sunan al-Kubrâ (1/96)]

Hadith kedua

Habîb b. Sâlih meriwayatkan “Apabila Rasulullah SAW memasuki tandas, Beliau akan mengenakan kasut dan menutup kepalanya”

Hadith ini di riwayatkan oleh al-Bayhaqî dalam al-Sunan al-Kubrâ (1/96) dan by al-Dhahabî dalam al-Muhadhdhab fî Ikhtisâr al-Sunan al-Kabîr (#406).

Jalan periwayatannya seperti berikut:

Abû `Abd Allah al-Hâfiz dari Abû Bakr Ahmad b. Ishâq al-Sibghî dari Ismâ`îl b. Qutaybah dari Yahyâ b. Yahyâ dari Ismâ`îl b. `Ayyâsh dari `Abû Bakr b. `Abd Allah dari Habîb b. Sâlih.

Al-Bayhaqî menjelaskan dari mula lagi bahawa hadith ini Mursal, bermakna ia telah diriwayatkan Tabiien tanpa menyebut Sahabah yang meriwayatkannya sendiri dari Rasulullah SAW. Habîb b. Sâlih adalah Tabiien yang tidak pernah berjumpa dengan Rasulullah SAW.

Al-Dhahabî setelah meriwayatkannya, memberi komen kepada Abû Bakr b. `Abd Allah b. Abî Maryam dengan berkata: ‘Abû Bakr adalah periwayat yang lemah” [al-Muhadhdhab (1/104)]

Ibn Hibbân berkata tentang Abû Bakr b. `Abd Allah b. Abî Maryam: “Dia seorang yang lemah dalam Ingatan. Apabila dia menyampaikan dia melakukan kesilapan dan perkara menjadi kesalahan yang teruk, oleh kerana itu dia perlu di tinggalkan.”

Abû Zur`ah ar-Râzî berkata: “Dia periwayat yang lemah dan Hadithnya palsu (munkar).”

Al-Dâraqutnî berkata: “Dia perlu ditinggalkan.”

Dia telah diumumkan sebagi lemah oleh kebanyakan pakar dalam kritikan periwayat termasuk Yahyâ b. Ma`în, Ahmad b. Hanbal, al-Nasâ’î, al-Âjurî, dan selainnya

Siyar A`lâm al-Nubalâ’ (7/65) and Tahdhîb al-Tahdhîb (4/490).

Ibn Hajar al-`Asqalânî berkata tentang dia: “Dia seorang periwayat yang lemah. Rumahnya di rompak dan kemudian periwayatanya menjadi celaru.” [Taqrîb al-Tahdhîb (1116 - #8031)]

Kedua-dua hadith ini tidak sesuai dijadikan bahan bukti. Hadith pertama adalah tertolak (mungkar). Hadith kedua adalah tersangat lemah..

Allah Maha Mengetahui

Sumber:
http://www.islamtoday.com/show_detail_section.cfm?q_id=905&main_cat_id=14
http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News

-ibnumustafa-

Tuesday, February 23, 2010

TUDUNG DAN HUKUM SYARA'

Soalan 1:

Apakah hukum wanita yang sekejap memakai tudung dan sekejap tidak memakainya ketika keluar rumah? Adakah itu perbuatan berdosa?

Jawapan:

Allah SWT berfirman:

“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya… hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka.” - Surah an-Nur, ayat 31.

Di antara ciri wanita beriman ialah dia memakai tudung setiap kali apabila keluar. Ini kerana memakai tudung bukan satu fesyen atau kehendak bebas tetapi merupakan perintah Allah SWT. Wanita yang sekejap memakai tudung dan sekejap tidak, dia sebenarnya sudah ada kesedaran tentang hukum memakai tudung, hanya kadangkala imannya lemah sehingga dia terikut kepada nafsu yang enggan memakai tudung. Saya tidak berminat dalam persoalan dosa atau tidak, sebaliknya lebih berminat kepada memberi saranan agar beristiqamah dalam memakai tudung.

Maka saya sarankan beliau agar berdoa kepada Allah SWT diberikan kekuatan iman untuk mentaati perintah larangan-Nya secara keseluruhan, termasuklah beristiqamah dalam memakai tudung setiap kali keluar rumah. Seterusnya saya sarankan agar beliau bersahabat dengan sesama muslimat yang beristiqamah dalam mentaati perintah larangan Allah SWT, kerana sahabat yang soleh memainkan peranan yang penting untuk memberi motivasi kepadanya menjadi soleh juga.

Soalan 2:

Apakah hukum bagi wanita yg memakai tudung tetapi tidak sempurna, contohnya memakai pakaian yg ketat, pendek, singkat dan jarang. Apakah dikira menutup aurat? Apakah dalil yg tepat untuk menerangkan kemusykilan ini?

Jawapan:

Hukum memakai tudung bagi wanita adalah wajib. Walau bagaimanapun wanita tersebut wajib memahami bahawa memakai baju ketat, pendek, singkat dan jarang bukanlah termasuk dalam ajaran Islam dan tidak termasuk dalam kategori menutup aurat yang sebenar dalam Islam. Terdapat hadith Nabi SAW yang menyatakan "Akan berlaku pada akhir zaman, wanita yang memakai pakaian tetapi bertelanjang, kerana pakaiannya yang jarang sehingga nampak auratnya" - Hadith Riwayat Muslim.

Perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang pada hakikatnya masih dikatakan mendedahkan auratnya berdasarkan kepada hadith Nabi SAW tersebut yang menceritakan ramalan Rasulullah SAW tentang akan ada sesetengah kaum wanita di kalangan umatnya yang akan berpakaian tetapi bertelanjang.

Ini kerana tatacara berpakaian yang dilakukan olehnya masih belum boleh dikatakan sebagai teknik berpakaian yang sebenar menurut kaca mata Islam, apalagi jika bentuk badannya jelas kelihatan. Ia tetap dikira berdosa kerana melakukan suatu perbuatan yang haram di sisi Allah SWT. Jika ia meninggal tanpa sempat bertaubat maka ia akan merasai azab neraka Allah. Nauzubillah..

Tatacara berpakaian yang lengkap di sisi Allah ialah memakai pakaian yang boleh menutupi seluruh badan kecuali muka dan dua tapak tangan sahaja. Pakaian itu pula tidak ketat dan warnanya pula tidak menarik perhatian kaum lelaki. Seeloknya yang berwarna hitam, kelabu atau yg gelap.

Dibawa ditunjukkan serba sedikit tudung-tudung zaman sekarang dan kesilapannya dalam penutupan aurat..

Tudung 'Mickey Mouse'

Pemakaian tudung yang hanya menutup bahagian rambut dan kepala tanpa menutup kedua-dua telinga. Barangkali untuk menunjukkan subang atau apa-apa perhiasan. Pemakaian yang lebih teruk ialah apabila tudung tersebut dililit sehingga menampakkan leher.

Tudung Lilit

Jenis tudung ini jika dilihat telah menutup keseluruhan kepala termasuk telinga tetapi tidak dilabuhkan menutup dada dan hanya dililitkan di leher sahaja. Kriteria menutup dada tidak dipenuhi seolah-olah ingin menayangkan kurniaan yang tidak diberikan kepada kaum lelaki.

Tudung 'See Through'

Salah satu jenis tudung yang popular ini banyak dilihat di merata tempat, kain tudung yang nipis menampakkan leher dan telinga walaupun telah menutup lengkap. Lebih teruk jika tidak memakai anak tudung kerana ianya seperti tiada beza dengan mereka yang tidak bertudung.

Tudung Jambul

Pemakaian jenis ini banyak dipromosikan dalam drama-drama Melayu yakni menutup separuh rambut di bahagian belakang dengan membiarkan yang depannya tersembul keluar seperti jambul unta. (Cara Pemakaian Ini Sering Digunakan Di Kalangan Isteri Menteri)

Tudung 'Singlet'

Tudung yang sempurna tetapi dengan hanya memakai lengan pendek menyebabkan aurat dan lain-lain perhiasan yang sepatutnya ditutup daripada menjadi tatapan umum. Tiada kelongaran hukum tentang penutupan aurat di kawasan awam hatta hanya untuk bersukan.

Tudung Saji

Sekejap pakai, sekejap tidak. Tudung atau lebih tepat dikatakan selendang yang hanya menjadi perhiasan leher. Boleh dilihat di kenduri-kenduri kematian yang mana selendang tersebut akan turun dan naik diangkat si pemakai seolah-olah menjadikannya seperti tudung mengikut keperluan situasi.
.

TUDUNG DAN HUKUM SYARA' (Huraian dan kupasan)..

Sekiranya kita telusuri perkara yang berkaitan dengan makanan dan barangan halal dan haram, sejak dahulu lagi, banyak isu yang telah timbul di negara ini. Kita pernah kecoh tentang isu berus bulu khinzir yang digunakan untuk menyapu mentega apam balik, ayam daging import yang tidak disembelih mengikut syara’, ayam dicampur dengan daging babi di sebuah pasar raya dan terakhir sekali adalah isu sosej yang dibungkus dengan usus babi. Memang tidak dapat dinafikan, umat Islam di negara ini memang sangat peka terhadap isu barangan dan makanan halal-haram. Namun apa yang kerap diperhatikan adalah, kepekaan umat terhadap isu-isu ini hanya muncul buat sementara; umat akan sibuk membuat ulasan, pandangan dan kritikan hanya apabila isu ini panas dimainkan oleh pihak akhbar dan televisyen tetapi sejurus selepas isu-isu tersebut tidak dimuatkan lagi, masyarakat pun terlupa dan pihak yang terlibat pun ikut terlena semula….


Yang lebih menyedihkan lagi adalah, isu makanan halal-haram ini adalah isu yang bermusim yang seringkali dimainkan oleh pihak media cetak dan elektronik setiap kali kemunculannya. Jarang sekali kita melihat isu ini dibincangkan dari aspek pemikiran Islam yang jernih dan juga sistem dan pengaturan yang wajib ada bersamanya. Ini termasuklah mengenai konsep halal-haram di sisi Islam secara terperinci dan seterusnya mengenai penerapan sistem halal-haram yang lebih komprehensif dan mendalam, supaya masalah seperti ini dapat ditangani dengan tuntas.

Tudung – Ya atau Tidak?

Selain isu makanan halal-haram, isu busana Muslimah juga turut menjadi perbincangan hangat dan mendapat respon yang bercampur baur. Sebagai contoh kisah mantan Pengetua SMK Abdullah Munshi di Pulau Pinang, melarang pelajarnya yang berumur 15 – 18 tahun dari mewakili sekolah dalam perlawanan bola jaring negeri kerana membuka tudung semasa bermain [New Straits Times 23 Mac 2006]; di Pahang, terdapat pula guru di sebuah sekolah aliran agama, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Sentang, yang telah menggunting tudung labuh pelajarnya seramai 65 orang kerana tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh mereka [Utusan Malaysia bertarikh 25 Februari, 2006]; begitu juga nasib seorang Muslimah, Habsah Jaafar yang dibuang kerja kerana majikannya, Hotel Renaissance, tidak membenarkan beliau memakai tudung semasa berkerja [Utusan Malaysia 27 Februari 2006]. Mantan Ketua Polis Negara Tan Sri Omar Bakri memeranjatkan banyak pihak dengan kenyataannya mewajibkan polis wanita memakai tudung semasa bertugas dengan alasan keseragaman [New Straits Times 22 Mac 2006] namun isu ini diredakan oleh kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Mantan Perdana Menteri Malaysia yang menyatakan bahawa pemakaian tudung hanyalah pilihan, bukan wajib, kecuali untuk perbarisan rasmi, di mana mereka perlu mengikuti peraturan [Mingguan Malaysia 26 Mac 2006].

Lebih menyedihkan lagi adalah ’mazhab’ yang dianuti oleh artis dan isteri para menteri; mereka akan memakai tudung hanya apabila melakukan umrah atau haji serta ketika menghadiri majlis keagamaan tetapi akan meninggalkannya apabila tidak terlibat dalam majlis tersebut dan itu pun pemakaiannya tidak mengikuti hukum yang sepatutnya. Artis pula menganggap ‘menudung’ hati adalah lebih utama daripada menudungkan kepala, sehinggakan mereka akan memakainya hanya apabila sudah sampai ‘seru’ seperti kenyataan penyanyi terkenal Datuk Siti Norhaliza yang dikhabarkan sebelum ini akan memakai tudung satu hari nanti, dan masih dianggap ‘baik’ oleh sesetengah pihak [Al Islam Ogos 2004 m/s 13]. Selain itu juga, Norhayati Kaprawai dari SIS (Sister In Islam) pernah mengatakan semasa sesi Dialog Islam Liberal di Hotel Selesa, Pasir Gudang bahawa pakaian taqwa itu yang lebih baik daripada menutup aurat.

Respon kepada isu ini menampakkan bahawa ada pihak yang bersetuju dengan pemakaian tudung dan tidak kurang juga pihak yang mengecam. Sebagai contoh, kemunculan mantan ahli parlimen Indera Mahkota, Pahang, seperti seorang pelawak, mendedahkan bahawa anaknya telah dipulaukan di Methodist Girls’ School, Kuantan kerana tidak memakai tudung dan mempersoalkan kenapa berlaku diskriminasi kepada yang tidak bertudung. Sepatutnya Ahli Parlimen terbabit menyokong tindakan tersebut dan memboikot anaknya yang tidak bertudung serta memuji komuniti sekolah tersebut kerana memanifestasikan ruh Islam.

Isu tudung juga hangat diperdebatkan di Perancis dan United Kingdom. Di Perancis sebagai contoh, apabila pemakaian tudung tidak dibenarkan di sekolah-sekolahnya, ia telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam seluruh dunia. Di London pula sebelum ini, Shabina Begum, 17 tahun telah dibenarkan memakai jilbab dan tudung ke sekolah oleh mahkamah, namun begitu keputusan tersebut telah ditarik balik, dan akhirnya dia tidak dapat bersekolah.

Tudung … Hukum Syara’?

Isu tudung pada hakikatnya tidak sepatutnya menjadi polemik masyarakat umat Islam yang tidak berkesudahan. Isu ini bukanlah isu etika berpakaian sehingga ia harus dipertimbangkan sama ada perlu atau tidak, sesuai atau tidak kepada masyarakat kita atau bila dan di mana ia wajar dipakai. Isu ini bukanlah isu yang boleh diperdebatkan atau dibincangkan dalam mencari kaedah perlaksanaan yang terbaik, atau samada ia harus diwajibkan atau tidak. Isu tudung adalah isu yang menyangkut soal hukum syara’ dan kedaulatannya. Oleh yang demikian, umat Islam wajib memartabatkan hukum syara’ dan wajib terikat di setiap masa dan detik tanpa menilai pangkat mahupun kedudukan. Inilah hakikat pemakaian tudung.

Tudung telah diWAJIBkan oleh Allah dalam firmanNya yang amat jelas:

“…Dan hendaklah mereka (wanita beriman) menutup kain tudung mereka ke paras dada…” - Surah an-Nur, ayat 32.

Kehendak ayat ini adalah jelas. Allah SWT tidak menerangkan lebih lanjut tentang maksud ayat ini dan tidak terdapat hadis qauli (ucapan Nabi SAW) yang sahih tentangnya. Namun begitu, hadisth iqrari (perakuan Nabi SAW) yang sahih tentangnya amat banyak sekali, Ini merupakan hadith berbentuk perakuan Nabi SAW terhadap para sahabat wanita yang semuanya bertudung setelah turun ayat tersebut. Di antaranya adalah:

Yang pertama, hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Ibn Jarir daripada ‘Aishah radhiAllahu ’anha:

"Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama, apabila turunnya ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta mereka mengoyakkan apa sahaja kain (yang ada di sekeliling mereka) lalu bertudung dengannya."

Kedua, hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim dan Abu Dawud daripada Safiyyah binti Shaybah katanya:

"Ketika kami bersama ‘Aisha r.a., kami menyebut-nyebut tentang kelebihan-kelebihan wanita Quraisy, lalu ‘Aisha menyampuk: "Memang benar wanita Quraisy ada kelebihan, tetapi demi Allah sesungguhnya aku tidak pernah melihat wanita yang lebih baik daripada wanita Ansar dari segi kuatnya iman dan pegangan mereka terhadap kitab Allah. Apabila Allah turunkan ayat (yang bermaksud) "…dan hendaklah mereka menutup belahan leher baju mereka dengan tudung kepala mereka…", serta-merta suami-suami mereka balik dan membacakan kepada mereka apa yang Allah turunkan kepada mereka, anak perempuan mereka, saudara perempuan mereka dan semua kaum kerabat mereka, sehingga tiada seorang perempuan pun daripada mereka melainkan bergegas mencari apa saja kain yang ada di sekeliling mereka lalu bertudung dengannya sebagai membenarkan dan membuktikan iman kepada apa yang Allah turunkan, maka jadilah mereka wanita-wanita yang bertudung bersama Rasulullah saw., seperti sekumpulan gagak hitam berada atas kepala mereka."

Jelas sekali, apabila perintah kewajiban memakai tudung diturunkan, kaum wanita Islam zaman awal tidak mempersoalkan sama ada boleh atau tidak, sesuai atau tidak, bila dan di mana dan tidak pula meminta para cendekiawan atau pemimpin mereka membincangkan soal pemakaian tudung; namun mereka bergegas menyambut perintah tersebut dengan mengoyakkan sebahagian kain sarung mereka untuk menutup kepala dan dada. Mereka melakukannya kerana menginginkan keredhaan Allah semata-mata dan bukan kerana ingin mendapatkan keredhaan manusia atas nama ‘glamour’, peraturan sekolah, undang-undang tempat kerja, periuk nasi, tidak sampai ‘seru’, pakaian ‘taqwa’ lebih baik atau pelbagai lagi alasan yang tidak masuk akal. Golongan wanita Muslim awal seperti inilah sepatutnya dijadikan contoh dan teladan kepada kaum wanita zaman kini untuk segera melaksanakan perintah pemakaian tudung, sekiranya merasakan diri merupakan wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala

Perintah Agama atau Kenyataan Politik?

Jelasnya, tudung adalah kewajiban agama yang penting. Kewajiban ini dihasilkan secara langsung dari sumber-sumber Islam dan bukan merupakan hasil kenyataan politik terkini umat Islam. Hukum tudung telah ditetapkan oleh ulama salaf yang membentangkan keperluannya seribu tahun sebelum fenomena kebangkitan semula Islam. Hari ini , tudung telah menjadi isu kontroversi umat dan ahli politik; oleh itu, motivasi luhur yang menyangkut soal pemakaian tudung bagi menutup aurat hendaklah lahir hanya dari perasaan/ruh Islam dan bukan yang lain. Tambahan pula, pemakaian tudung yang tidak diasaskan kepada rasa tanggungjawab untuk menegakkan hukum syara’ dan mendapat keredhaan Allah SWT tidaklah bermakna di sisiNya. Ini adalah kerana motivasi menutup aurat seperti ini masih tidak dikaitkan kepada perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Pahala dan keredhaan Allah SWT hanya akan diperoleh ketika melakukan sesuatu kewajiban semata-mata keranaNya dan bukan atas alasan yang lain.

Khatimah

Pemakaian tudung adalah suatu kewajiban syara’. Ia bukanlah isu yang terkait dengan pilihan peribadi. Tanggapan bahawa adalah salah menghukum seseorang kerana ia tidak memakai tudung merupakan suatu tanggapan yang terpesong. Tudung juga tidak boleh dianggap sebagai adat budaya orang Melayu. Bagi umat Islam di Malaysia, pendidikan mengenai tudung, hakikat syara’nya dan cara pemakaiannya yang betul hendaklah diperhebatkan. Ini adalah perlu kerana ramai di antara kaum Muslimin dan Muslimat di Malaysia tidak difahamkan dengan jelas, sama ada oleh individu-individu di sekelilingnya, masyarakat, keluarga mahupun pemerintah tentang kewajiban mengenakan tudung dan pakaian menutup aurat yang sah di sisi syara’. Dengan pemahaman ini, masyarakat akan lebih peka mengenai aturan syara’ dalam penutupan aurat. Seterusnya, ini akan menimbulkan kepekaan yang amat tinggi di dalam masyarakat; tegur menegur atas kebaikan, khususnya di dalam isu pemakaian tudung dan busana Islam yang betul akan berleluasa dan nuansa Islam akan menyelubungi seluruh umat.

Di samping teguran dan tunjukan, hukuman takzir juga hendaklah dilaksanakan oleh negara kepada sesiapa yang tidak melaksanakan pemakaian tudung dan busana Islam yang sah di sisi syara’. Ini pernah dilakukan oleh Sultan Abdul Hamid II, Khalifah Uthmaniyyah Turki, dengan mengeluarkan pekeliling mendenda wanita yang tidak memakai tudung. Kalau sekiranya kompromi tidak diberikan terhadap pesalah trafik, seperti yang dinyatakan oleh mantan Ketua Trafik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner II Nooryah Md Anvar [Berita Harian 23 Mac 2006], begitu juga sepatutnya kita melayan kesalahan wanita yang tidak memakai menutup aurat dengan betul. Wanita yang melanggar hukum ini sepatutnya dikenakan denda kerana melanggar hukum syara’.

Semua ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sebenar-benarnya kecuali sekiranya semua pihak, tidak kira individu, masyarakat mahupun negara bekerjasama sepenuhnya melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala. Walaubagaimanapun, perlu diingati bahawa ini hanyalah sebahagian kecil dari hukum Islam yang telah ditinggalkan dan dipandang remeh. Hukum pemakaian tudung wajib dilaksanakan bersama-sama dengan hukum-hukum, peraturan dan sistem Islam yang lain seperti sistem ekonomi, pemerintahan, pendidikan, penghukuman dan sistem sosial. Dengan kata lain, Islam perlulah dilaksanakan secara kaffah (menyeluruh).

Wahai Umat Islam yang dimuliakan oleh Allah, sedarlah bahawa keterikatan kita kepada Islam mewajibkan kita untuk melaksanakan kesemua aspek hukum-hukumnya . Namun, hakikatnya, ini tidak akan mampu dilaksanakan kecuali dengan kita saling bahu membahu berdakwah mengikut jalan yang ditunjukkan oleh Rasulullah dan menegakkan Daulah Khilafah yang akan membawa rahmat keseluruh alam ini. Amieen..

-ibnumustafa-

Thursday, February 18, 2010

Hukum Meluruskan Rambut (Teknik Rebonding)

Soalan 1:

Saya memakai tudung dan ingin meluruskan rambut dengan niat untuk suami. Saya rasa musykil, sekiranya saya meluruskan rambut (teknik rebonding), adakah chemical yang digunakan akan menyaluti rambut sehingga menyebabkan tidak sah mandi hadas, kerana air tidak sampai pada rambut?

Jawapan:

Tidak salah untuk kecantikan bagi suami, tetapi mesti memastikan bahawa bahan kimia itu tidak menghalang air, jika ia bertindak menghalang air dari rambut, maka tidak sah mandi hadas.

Cadangan:
Pastikan bahan-bahan yang digunakan halal dan suci serta tidak menghalang air dari terkena rambut bagi memastikan sah solat dan mandi hadas.

Soalan 2:

Saya nak taula. apa hukum teknik rebonding (meluruskan rambut)? saya bakal berkahwin dan bakal suami suka jika rambut saya lurus (sedangkan saya tidak). bolehkah saya melakukannya atas tujuan menggembirakan hati suami (kelak selepas berkahwin)? harap dapat diberikan penjelasan.

Jawapan:

Teknik rebonding bukanlah satu rawatan ia sekadar untuk mencantikkan rambut sahaja, sekiranya dibuat untuk suami adalah dibenarkan dan tidak dibenarkan untuk selain daripada itu.
Harus membuat rambut dengan menggunakan kaedah rebonding dan sebagainya dengan syarat tidak dengan tujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk kepada orang lain tentang kecantikannya. Pastikan bahan-bahan tersebut tidak mengandungi najis.

Soalan 3:

Bolehkan saya meluruskan rambut dengan tujuan untuk kelihatan cantik didepan suami dan anak-anak tetapi saya akan mengenakan tudung apabila keluar rumah?


Jawapan:


Islam tidak pernah melarang wanita berhias untuk suaminya. Paling penting, hiasan itu hendaklah sesuatu yang tidak menyanggahi syariat Islam. Contohnya, seorang wanita bertindik di hidung atau mata, mewarnakan rambut dengan sesuatu yang tidak diharuskan, memakai rambut palsu dan sebagainya. Ia tetap ditegah dan diharamkan dalam Islam.

Oleh itu, mengenai masalah meluruskan rambut, ulama berbeza pendapat sama ada dibolehkan atau sebaliknya. Yang terbaik, tinggalkan perkara yang tidak dapat disepakatkan oleh ulama. Apa yang dibimbangi, ia termasuk perkara merubah kejadian asal yang dilarang dalam Islam.

Terlalu banyak hadith-hadith sahih yang membahaskan tentang perbuatan wanita akhir zaman yang mengubah ciptaan asal seperti mewarna rambut dengan warna hitam, memakai rambut palsu, mencabut kening dan sebagainya. Semua ini tidak lain hanyalah semata-mata menyembunyikan apa yang zahir dan mempamerkan kecantikan.

Oleh itu, kekalkan kejelitaan rambut kamu yang dianugerahkan oleh ALLAH SWT tanpa meluruskannya. Perhiasan paling baik ialah ketaqwaan kepada ALLAH SWT dalam segala keadaan agar tidak terjerumus ke arah kemurkaan-NYA sama ada disedari ataupun tidak.


MUKADDIMAH

Sudah lama persoalan hukum teknik rebonding ditimbulkan. Cuma kesibukan dan sumber rujukan yang menyebabkan lambat untuk saya menulis tentangnya. Mudah2an dgn penulisan ini akan memberi ilmu yang bermanfaat kepada masyarakat agar mereka sentiasa berada di landasan kebenaran.

APAKAH ITU TEKNIK REBONDING

‘Rebonding’ merupakan sejenis teknik meluruskan rambut dengan menggunakan bahan kimia yang tertentu dan melalui proses yang tertentu. Bahan kimia tersebut akan mengurai struktur asal rambut dan membinanya kembali mengikut bentuk yang dikehendaki. Rambut yang melalui proses rebonding akan kekal dalam keadaan lurus sehinggalah rambut baru tumbuh.

Proses rebonding :

Proses ini mengambil masa lebih kurang 8 jam. Jika rambut lelaki biasanya 3 jam.

1. Rambut dibasuh dengan syampu.

2. Kemudian rambut dipisah-pisahkan dan dikenakan krim pelembut atau ‘relaxant’ untuk menjadikan rambut lurus. papan plastik kecil diletak bagi memastikan rambut kekal lurus

3. Krim pelembut atau ‘relaxant’ tadi dibiarkan selama lebih kurang 30 minit, kemudian rambut dipanaskan dengan wap sebelum dibilas.

4. Rambut dikeringkan dan dikenakan ‘keratin lotion’.

5. Kemudian sejenis seterika khas untuk rambut yang mempunyai permukaan yang rata digunakan bagi memastikan seluruh rambut menjadi lurus, tiada saki baki yang tertinggal.

6. Rambut dipisah-pisahkan sekali lagi, dan ‘neutraliser’ digunakan bagi mengukuhkan balik struktur rambut

7. Neutralizer dibiarkan selama 30 minit dan dibilas. Kemudian ‘seterika khas’ digunakan sekali lagi dan rambut akan kelihatan lurus dan berseri.

Adakah rebonding membawa mudarat kepada rambut?

Krim pelembut atau ‘relaxant’ yang digunakan dalam teknik rebonding mengandungi unsur-unsur kimia yang mengubah struktur rambut dan boleh mengakibatkan rambut kering, lemah, dan masalah rambut gugur. Antara bahan kimia tersebut adalah sodium hydroxide, calcium hydroxide dan ammonium thioglycolate. Rambut yang dilakukan rebonding perlu mendapat penjagaan yang istimewa, jika tidak rambut tersebut akan mudah rosak.

MENGUBAH BENTUK ASAL RAMBUT MENURUT ULAMA'

Ulama' Syafie menyatakan bahawa mengkerintingkan rambut adalah perkara yang diharamkan melainkan sekiranya sudah berkahwin dan diizinkan oleh suaminya.

Imam Ramli (Ulama' Mazhab Syafie) berkata dalam kitabnya Nihayatul Muhtaj:

"Dan diharamkan seorang wanita mengkerintingkan rambutnya. Sekiranya wanita itu mendapat keizinan suaminya (bagi yang bersuami) atau tuannya (bagi hamba) untuk mengkerintingkan rambutnya maka diharuskan. Ini kerana suami ada hak untuk mendapat perhiasan pada isterinya. Ini disebut dalam kitab Radatut Tolibin oleh Imam Nawawi." (Jilid 2 ms 25)

Menurut ulama', seperti mana haram mengkerintingkan rambut, begitu juga dengan meluruskan rambut.

SEBAB PENGHARAMAN

Ada dua sebab bagi pengharaman ini. Ianya adalah seperti berikut:

SEBAB PERTAMA: PENGUBAHAN

Rasulullah saw bersabda:


لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والمتلفجات للحسن المغيرات خلق الله




“Allah melaknat orang yang membuat tatu dan orang yang ditatu,pencukur kening dan orang yang dicukur kening,orang yang merenggangkan gigi untuk kecantikan yang mengubah ciptaan Allah” (Hr Bukhari Muslim)


Definasi pengubahan ciptaan Allah adalah seperti berikut:



إحداث تغييردائم في خلقة معهودة

“ Membuat perubahan kekal pada anggota yang normal"


Menurut ulama , kekal disini tidak semestinya kekal selamanya. Pengubahan yang memakan masa berbulan-bulan juga dianggap sebagai pengubahan yang diharamkan sekiranya untuk kecantikan.

SEBAB KEDUA: PENIPUAN

Muawiyah berkata:


إن رسول الله صلى الله عليه وسلم بلغه فسماه الزور

" Sesungguhnya Rasulullah saw menamakan rambut palsu sebagai penipuan."


Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim.

Bagi pengubahan rambut dengan teknik ini dianggap sebagai penipuan kerana manusia nampak seperti elok rambutnya padahal sebaliknya.

Kesimpulan:

Pengharaman ini untuk pengubahan yang ketara, dilihat jelas perbezaannya. dan berkekalan lama Adapun perubahan yang sedikit dengan bersikat, menggunakan gel dan dandanan rambut itu tidak dianggap perkara yang diharamkan. Malahan ini perkara yang disunatkan. Nabi saw bersabda:

مَنْ كَانَ لَهُ شَعْرٌ فَلْيُكْرِمْهُ

" Sesiapa yang memiliki rambut hendaklah dia muliakannya."

Hr Abu daud - hasan sahih

Rujukan: Nihayatul Muhtaj oleh Imam Ramli, Hafluz Zafaf Fil Feqhil Islami oleh Rafif Abdul Aziz Sabag, Al-Jarahah at-Tajmiliah oleh Dr soleh Fauzan. (terima kasih pd ikhwah yg cari maklumat tentang teknik rebonding)

-ibnumustafa-

Indahnya MATEMATIK!

1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321

1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111

9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888

Brilliant, isn't it? And look at this symmetry:
1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111=123456789 87654321

Now, take a look at this... 101% From a strictly mathematical viewpoint: What Equals 100%? What does it mean to give MORE than 100%? Ever wonder about those people who say they are giving more than 100%? We have all been in situations where someone wants you to GIVE OVER 100%. How about ACHIEVING 101%? What equals 100% in life? Here's a little mathematical formula that might help answer these questions:

If: A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z Is represented as: 1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26.

If: H-A-R-D-W-O- R- K 8+1+18+4+23+ 15+18+11 = 98%

And: K-N-O-W-L-E- D-G-E 11+14+15+23+ 12+5+4+7+ 5 = 96%

But: A-T-T-I-T-U- D-E 1+20+20+9+20+ 21+4+5 = 100%

THEN, look how far the love of God will take you:
L-O-V-E-O-F- G-O-D 12+15+22+5+15+ 6+7+15+4 = 101%

Therefore, one can conclude with mathematical certainty that: While Hard Work and Knowledge will get you close, and Attitude will get you there, It's the Love of God that will put you over the top! SUBHANALLAH.................... Sesungguhnya tiada suatu pun yang kebetulan, hatta sehelai daun yang berguguran..melainkan semuanya dalam pengetahuan Allah... "Ya Rabb kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. (QS. 3:191)

-ibnumustafa-

Hukum Memakai Pendakap Gigi (Braces)

Islam melarang manusia mengubah ciptaan Allah pada dirinya yang telah sempurna tanpa ada suatu keperluan atau darurat. Perbuatan ini akan mengundang laknat dari Rasulullah s.a.w. sebagaimana disebut oleh hadis;

عن رسول الله صلى الله عليه وسلم الواشمة والموشمة، والواشرة والمستوشرة

“Rasulullah s.a.w. melaknat perempuan yang membuat tatu dan meminta dibuat tatu, perempuan yang menipiskan gigi dan yang meminta dinipiskan giginya”. (Riwayat Ibnu Jarir dari Ibnu ‘Abbas r.a.)


Namun jika ada keperluan seperti untuk membaiki kecacatan pada diri sama ada semulajadi atau kerana sebab-sebab mendatang seperti kemalangan, terbakar dan sebagainya, diharuskan kita melakukan pembedahan atau sebarang tindakan lain pada badan untuk membaiki kecacatan tersebut. Di dalam bukunya al-Halal Wa al-Haram Fil-Islam, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan; “Jika pada diri seorang insan itu terdapat kecacatan yang boleh menyakitinya sama ada dirasai secara fizikal atau secara mental (iaitu menimbulkan rasa rendah diri) setiap kali berada di dalam majlis atau singgah di satu tempat, diharuskan ia membaiki kecacatan tersebut selama niatnya ialah untuk menghilangkan kepayahan yang dihadapinya. Allah tidak menjadikan di dalam agama ini sebarang kepayahan ke atas kita”. Keharusan ini disokong oleh hadis yang mengaitkan laknat Allah ke atas perbuatan mengubah gigi tadi dengan tujuan semata-mata untuk menambah kecantikan dan mengubah ciptaan Allah (bukan kerana keperluan atau darurat), iaitu sabda Nabi s.a.w.;

لَعَنَ اللهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالنَّامِصَاتِ وَالْمُتَنَمِّصَاتِ، وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللهِ

“Allah melaknat perempuan-perempuan yang membuat tatu dan yang meminta dibuat tatu pada badannya, perempuan-perempuan yang minta dicukur alis (bulu keningnya) dan perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik iaitu perempuan-perempuan yang merubah ciptaan Allah”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)


Imam Nawawi semasa mensyarahkan hadis di atas, beliau menegaskan; sabda Nabi s.a.w. “
perempuan-perempuan yang menjarangkan giginya untuk kelihatan cantik” menunjukkan bahawa yang diharamkan ialah bagi orang-orang yang melakukan perkara tersebut (yakni mengubah gigi) untuk tujuan kecantikan semata-mata. Adapun kerana keperluan iaitu untuk mengubati atau untuk membaiki kecacatan pada gigi dan seumpamanya, maka diharuskan”. (Syarah Soheh Muslim, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah).


Jelaslah bahawa memakai braces (pendakap gigi) tidak termasuk di dalam perbuatan mengubah gigi yang dilaknat Allah dan RasulNya di dalam hadis di atas kerana tujuannya bukan untuk mengubah ciptaan Allah dengan sengaja tetapi untuk membaiki kecacatan pada gigi. Gigi yang jongang sekalipun tidak mendatang kesakitan pada fizikal, tetapi mendatangkan kesakitan pada mental kerana dipandang hodoh oleh orang lain, menyebabkan kita tidak selesa apabila berhadapan dengan orang lain.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. al-Halal Wa al-Haram, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 87-88.

2. Soheh Muslim, Bisyarhi al-Imam an-Nawawi, juz. 14, Kitab al-Libas Wa az-Zinah, Bab Tahrim Fi’li al-Washilah Wa al-Mustaushilah.

-ibnumustafa-

Thursday, February 4, 2010

ANAK KECIL MAIN API..

Anak kecil main api,
Terbakar hatinya yang sepi,
Air mata darah bercampur keringat,
Bumi dipijak milik orang..

Nenek moyang kaya raya,
Tergadai seluruh harta benda,
Akibat sengketa sesamalah kita,
Cinta lenyap diarus zaman..

Indahnya bumi kita ini,
Warisan berkurun lamanya,
Hasil mengalir ketangan yang lain,
Peribumi merintih sendiri..

Masa depan sungguh kelam,
Kan lenyap peristiwa semalam,
Tertutuplah hati terkunci mati,
Maruah peribadi dah hilang..

Kini kita cuma tinggal kuasa,
Yang akan menentukan bangsa,
Bersatulah hati bersama berbakti,
Pulih kembali harga diri..

Kita sudah tiada masa,
Majulah dengan maha perkasa,
Janganlah terlalai teruskan usaha,
Kitakan gagah di Nusantara..

Siapa yang mencipta lagu Warisan ni aku tak pasti, cuma apa yang aku tau lagu ni dicipta sekitar tahun 80-an dulu.. Walau siapa pun yg menciptanya, itu bukanlah menjadi persoalan sekarang ini.. Yang menjadi persoalan ialah setiap bait yang diungkapkan… Memberi makna dan tafsiran yang cukup mendalam.. Apakah kita masih belum sedar? Masih lupa? Masih alpa? masih leka? dengan apa yg telah berlaku dan terjadi di sekeliling kita hari ini, terutamanya anak-anak melayu (Muslim), yang telah banyak hanyut ditelan arus kerosakan.. Semoga dapat kita menyedari dan menginsafi diri dari kealpaan dan tidak tenggelam bersama dihanyut arus sengketa, tamak haloba, dengki dan dendam...

-ibnumustafa-