PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, July 4, 2011

Tarikh sebenar berlaku Israk dan Mikraj

Melalui tinjauan sejarah waktu, tarikh terjadinya Israk dan Mikraj masih diperdebatkan oleh para ulama'. Bukan sahaja tarikh/harinya, berkenaan bulannya juga masih diperselisihkan sehingga kini. Al-Hafiz Ibnu Hajar Al-Asqalani Rahimahullah telah memaparkan perselisihan tersebut di dalam kitabnya, Fathul Bari, 7/203 sehingga mencapai lebih dari sepuluh pendapat. Ada yang berpendapat bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada bulan Ramadhan, Syawwal, Rabi’ul Awwal, Rabi’ul Akhir dan seterusnya. (Lihat: Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)

Al-Imam Ibnu Katsir Rahimahullah menyebutkan dari Az-Zuhri dan Urwah bahawa Israk dan Mikraj berlaku setahun sebelum Nabi S.A.W berhijrah ke Kota Madinah, iaitu bulan Rabi’ul Awwal. Ada pun pendapat As-Suddi, waktunya adalah enam belas bulan sebelum hijrah, iaitu bulan Dzulqa’edah. Al-Hafiz Abdul Ghani As-Surur Al-Maqdisi membawakan dalam sirahnya hadith yang tidak sahih sanadnya tentang waktu Israk dan Mikraj pada tanggal 27 Rejab. Dan sebahagian manusia menyangka bahawa Israk dan Mikraj terjadi pada malam Jumaat pertama bulan Rejab, iaitu malam Raghaib, iaitu yang ditunaikan pada waktu tersebut sebuah solat yang masyhur tetapi tidak ada asalnya. (Al-Bidayah wan Nihayah, 3/108-109, Cet. Maktabah al-Ma’arif. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah Rahimahullah berkata:


Tidak ada dalil yang sahih yang menetapkan bulan atau pun tarikhnya, seluruh nukilan tersebut munqathi’ (terputus) dan berbeza-beza. (Ibnul Qayyim, Za’adul Ma’ad, 1/57. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf as-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 62, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’ban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Imam Abu Syamah Rahimahullah menegaskan:


Sebahagian tukang cerita menyebutkan bahawa Israk dan Mikraj berlaku pada bulan Rejab. Perkara tersebut menurut ahli hadith merupakan kedustaan yang amat nyata. (Al-Ba’its ‘ala Inkar Bida’ wal Hawadith, m/s. 171. Lihat: Abu Ubaidah Yusuf As-Sidawi dan Abu ‘Abdillah Syahrul Fatwa, Ensiklopedi Amalan Sunnah Di Bulan Hijriyah, m/s. 63, Pustaka Darul Ilmi, Cet. 1, Sya’aban 1429H/Ogos 2008M, Bogor)


Kesimpulannya:


Tiada tarikh tertentu yang muktamad bila terjadinya Israk dan Mikraj. Dengan itu, tarikh berlakunya Israk dan Mikraj adalah tidak diketahui dan masih diperbahaskan hingga ke hari ini..


Wallahu'alam~

-ibnumustafa-

No comments: