PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, October 17, 2008

Beza kalori wanita, lelaki

Individu hari ini makan mengikut selera tanpa mengambil kira berapa banyak kalori yang telah diambil. Tabiat ini boleh menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit seperti diabetes atau darah tinggi.
PENGAMBILAN ulam-ulaman juga penting untuk kesihatan.


BERCAKAP tentang makanan, bagaimana penyediaan sesuatu masakan itu? Adakah ia menepati selera atau banyak menggunakan bahan perasa untuk menyedapkan makanan tersebut?

Tambahan pula, pada zaman moden ini, pelbagai jenis masakan boleh disediakan dalam tempoh yang ringkas dengan hanya menggunakan perencah segera. Ini mendorong ramai individu memilih cara yang lebih mudah untuk memasak.

Menyedari tentang kepentingan bagi menyediakan jenis masakan yang sihat dan berkhasiat, syarikat farmaseutikal Merck, Sharp & Dohme (MSD) telah menganjurkan satu bengkel masakan bersama media baru-baru ini.

Bertemakan Masakan Ke Arah Hidup Sihat, media berpeluang mempelajari beberapa jenis resipi berkhasiat yang disediakan oleh pakar pemakanan dari Pusat Perubatan Prince Court, Datin Farah Diba Khan dan Chef Nicholas Pillai.

Empat resipi tersebut adalah nasi ulam, ayam masak kurma, ayam percik panggang dan sayur lodeh.


NASI ulam antara menu berkhasiat yang harus dicuba.


Kesemua resipi ini dimasak dengan cara yang lebih sihat, contohnya tanpa menggunakan santan, sebaliknya digantikan dengan yogurt rendah lemak dan susu cair.

"Walaupun tidak menggunakan santan asli seperti kebiasaan yang sering dilakukan kaum ibu, namun rasanya tetap enak. Tambahan dua cawan stok ayam pula, menjadikan masakan itu tidak naik minyak di permukaannya.

"Begitu juga dengan ayam percik panggang, sayur lodeh dan nasi ulam yang baik untuk kesihatan. Semua resipi ini mudah disediakan dan penuh khasiat tersendiri," kata Farah kepada wartawan yang mengikuti bengkel tersebut.

Menurut Farah, untuk wanita Asia, mereka hanya memerlukan 1,200 kalori manakala bagi lelaki pula, cukup dengan 1,600 kalori setiap hari.

"Tetapi rata-rata individu hari ini makan mengikut selera tanpa mengambil kira berapa banyak kalori yang telah diambil. Ini secara tidak langsung menyebabkan mereka mudah mendapat penyakit seperti diabetes atau darah tinggi.

"Oleh itu, setiap individu terutamanya kaum ibu harus memastikan makanan yang dimasak disediakan dengan cara terbaik, berkhasiat dan menyelerakan bagi memelihara kesihatan seisi keluarga," jelasnya.

Sementara itu, Chef Nicholas, berkata, penggunaan bahan penambah rasa monosodium glutamat (MSG) yang terlalu banyak dalam sesuatu masakan juga sebenarnya tidak baik untuk kesihatan.

"Jika perlu, hanya tambah bahan tersebut dalam kuantiti yang kecil. Jangan terlalu banyak kerana ia akan memudaratkan kesihatan," ujar Chef Nicholas yang menjadi anak Malaysia pertama memenangi anugerah tahunan Culinary Trust Award dari Persatuan Kulinari Profesional Antarabangsa baru-baru ini.




Pada bengkel tersebut, Farah turut memberi tip untuk mengurangkan pengambilan kalori dengan bahan gantian setiap makanan yang sesuai.

"Contohnya untuk produk tenusu, pengambilan dua biji telur setiap hari boleh digantikan dengan hanya makan telur putih daripada dua biji telur itu atau penggunaan mentega biasa boleh ditukar dengan marjerin rendah lemak.

"Begitu juga dengan makanan lain seperti daging, ikan, snek ringan, minuman atau pencuci mulut. Semuanya boleh diganti dengan bahan yang sesuai.

Melamin ada di mana-mana

Pendedahan kronik terhadap melamine boleh menjurus kepada penyakit kanser dan kerosakan sistem pembiakan, masalah mata, kulit dan gangguan pada sistem pernafasan.

SUSU yang mengandungi melamin telah menyebabkan ribuan bayi merana kesakitan.


MELAMIN tiba-tiba popular sejak sebulan lepas. Seluruh dunia seakan mengalihkan tumpuan kepada bahan ini. Semuanya gara-gara skandal susu yang berlaku di China sehingga mengakibatkan ribuan bayi tidak berdosa merana dalam senyap.

Jumlah kes bayi-bayi Cina yang terlantar di hospital akibat tindakan tidak bertanggungjawab pihak pengeluar formula susu tercemar itu berganda hampir 13,000 orang. Malah, empat nyawa telah pun diragut ekoran masalah batu karang dalam buah pinggang dan pelbagai komplikasi kesihatan.

Berikutan daripada itu, sebahagian besar negara-negara Asia mengharamkan dan menarik semula produk-produk tenusu keluaran negara China.


GULA-GULA White Rabbit dipercayai mengandungi melamin.


Dalam ‘bencana’ tidak diduga ini, mungkin ada hikmahnya apabila hampir satu dunia membuka mata terhadap bahan bernama melamin ini.

Apakah itu melamin? “Melamin bukan plastik. Tetapi ia sejenis bahan kimia yang digunakan untuk membuat plastik,” kata Pegawai Farmasi Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Sazaroni Md. Rashid ketika dihubungi Kosmo!.

Dalam industri penyediaan polimer untuk mengeluarkan pelbagai rangkaian produk seperti fabrik, gam, barangan peralatan rumah dan perencat api misalnya, melamin digunakan secara meluas.

Ia juga merupakan sejenis bahan kimia yang berupaya meningkatkan jumlah penghasilan produk.


SELAIN biskut, moja dan baju, melamin juga ditemui dalam produk haiwan ternakan.


Maka tidak hairanlah apabila pengeluar susu memilih jalan pintas untuk mengaut keuntungan tanpa menghiraukan aspek keselamatan dan kesihatan pengguna.

“Pencampuran melamin dalam susu tepung jenama Sanlu misalnya boleh mengeluarkan produk tenusu yang rendah kosnya tetapi tinggi protein. Cuma yang menjadi mangsa adalah bayi-bayi tidak berdosa itu,” katanya.

Hakikatnya, selama ini pun kita hidup dan bekerja dalam persekitaran yang ada melamine.

Malah sebelum skandal susu di China dikupas sedalam-dalamnya baru-baru ini, melamin telah menjadi satu isu perdebatan pada awal tahun 2007.

Perdebatan itu berlaku apabila para saintis dan doktor haiwan berusaha mengesahkan melamin bertanggungjawab meragut ratusan nyawa binatang peliharaan akibat pencemaran makanan haiwan.

Biar pun begitu, melamin adalah bahan yang selamat. Syaratnya, jika pengambilan melamin tidak melebihi satu sukatan tertentu.

Terdapat laporan lain yang sekali gus membantah penggunaan melamin sebagai bahan dalam makanan atau tujuan pengeluaran makanan haiwan.

“Garis panduan Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) menyatakan melamin yang dibenarkan adalah 0.63 miligram (mg) bagi setiap kilogram badan untuk setiap hari.

“Jadi, melamin tidak toksik dalam kuantiti yang sedikit. Tapi dalam contoh kes susu tepung jenama Sanlu di China, kandungan melamin yang dicampurkan dalam susu telah pun melebihi had,” jelasnya.


KESAN tindakan haba pinggan melamin yang digunakan dalam ketuhar mikro, memaksa melamin diserap ke dalam makanan.


Tambahnya, susu keluaran New Zealand (NZ) sebenarnya juga mengandungi kandungan melamin tetapi pada kuantiti tidak merbahaya. Kementerian Kesihatan NZ telah menetapkan had maksimum satu mg melamin sahaja bagi setiap satu gram susu tepung keluaran negara tersebut.

Melamin yang digunakan dalam sebahagian besar produk pengguna sejak empat dekad lalu adalah bahan yang tidak larut dalam air. Namun, apabila digabungkan dengan asid sianurik ia akan menyebabkan batu karang buah pinggang.

Sazaroni berkata, pendedahan kronik terhadap melamin boleh menjurus kepada penyakit kanser dan kerosakan sistem pembiakan, masalah mata, kulit dan gangguan pada sistem pernafasan.

Menurut saintis-saintis FDA, kandungan melamin dan asid sianurik yang diserap ke dalam aliran darah akan berinteraksi membentuk batu karang.

Selain dicampur dalam produk tenusu, melamin sebenarnya turut ditemui dalam biskut, meja, baju malah haiwan ternakan seperti ayam.

“Secara tidak langsung, setiap daripada kita akan terambil melamin. Kalau pinggan melamin yang digunakan dalam ketuhar mikro, maka kesan tindakan haba akan memaksa melamin meresap ke dalam makanan.

“Begitu juga, apabila kita memerah jus menggunakan pemerah jus plastik yang ada melamin. Wang ringgit, baju, semua ada melamin.

“Racun serangga yang mengandungi melamin apabila disembur akan dimakan oleh binatang ternakan. Apabila manusia mengambil daging tersebut, maka, melamin memasuki tubuh kita juga,” katanya.


PARA saintis dan doktor haiwan mengesahkan melamin bertanggungjawab meragut nyawa haiwan.


Nasihat Sazaroni, biarpun kita mungkin tidak dapat mengelak daripada melamin dalam kehidupan, tetapi, ibu-ibu boleh memilih untuk menyusukan anak mereka. Itulah satu-satunya cara untuk mengurangkan kesan langsung kimia yang sangat penting dalam kehidupan ini.

Menangani kekecewaan

Tiada siapa yang dapat lari daripada kegagalan hidup. tetapi yang membezakan kita ialah bagaimana kita berdepan dengan kegagalan itu.


SOLAT adalah kunci kepada ketabahan dan kejayaan kerana ia menjadi penguat jiwa yang lara, pengukuh ketahanan mental dan penyubur hati yang sedih. – Gambar hiasan


KEKECEWAAN boleh berlaku bila apa yang kita ingini tidak diperoleh. Kenaikan harga barang yang mendadak menyebabkan seseorang tidak dapat menguruskan perbelanjaan dengan baik dan mengakibatkan masalah kewangan. Ada orang mencari jalan pintas untuk mendapatkan wang dengan cara meminjam dan sebagainya. Akhirnya menghadapi masalah hutang. Gagal dalam mengejar cita-cita juga boleh menimbulkan rasa kecewa.

Kecewa tidak mendapat apa yang diingini boleh merosakkan emosi dan fizikal. Kecewa kerana tidak ada peluang, tidak diberi peluang atau hilang peluang sangat menguji keinginan seseorang malah meluluhkan jiwa.

Kecewa inilah yang mengundang hidup yang tidak terurus dan dukacita berterusan. Allah mengingatkan kita dengan Firmannya : 'Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman' - Surah ali-Imran : 139

Bagaimana kita harus hadapinya? Sabar dan solat adalah kunci kepada ketabahan dan kejayaan. Solat adalah penguat jiwa yang lara, pengukuh ketahanan mental dan penyubur hati yang sedih.

Firman Allah: 'Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)' -Surah ali-Imran : 200.

'Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk'- Surah al-Baqarah: 45

Apa yang kita dapat daripada dugaan ini? Darjat keimanan akan meningkat. Begitu juga dengan adat dunia. Belajar daripada satu peringkat ke peringkat yang lebih tinggi. Jika lulus, barulah kita akan dibenarkan naik ke peringkat yang seterusnya.

Jika gagal, terpaksa mengulangi dan berusaha untuk lulus. Tegas Allah dalam firmannya: 'Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran, dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar' - Surah at-Taubah: 111.


GAGAL dalam peperiksaan boleh menimbulkan kecewa. – Gambar hiasan


Jika berlaku demikian, kepada siapa kita harus berharap? Harapan adalah cita-cita, bukannya pemusnah hidup. Ramai orang yang keliru di antara harapan dan cita-cita. Mengharapkan bantuan Allah adalah pengukuh jiwa, penguat yang mengukuh tautan hati, mental dan fizikal hamba kepada Tuhannya.

Tidak ada apa yang dapat diharapkan selain daripada harapan yang sepenuhnya kepada Allah yang menguasai hati manusia. Firman Allah: 'Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagi Allah (yang menolong dan memelihara ku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, kepadanya aku berserah diri, dan Dialah yang mempunyai Aras yang besar'- Surah At-Taubah: 129.

Hidup, perlu diyakini adalah suatu ujian yang sangat hebat. Semakin kuat iman, semakin kuatlah ujian yang diterima. Banyak kisah yang kita lihat sendiri, kita dengar dan diceritakan betapa orang yang berjaya dalam hidup tidak pernah berputus asa.

Harapan mereka adalah bantuan daripada Allah, biar apa pun yang berlaku. Tidak pernah sekali-kali kecewa dengan rahmat Allah. Pesan Rasulullah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas : 'Sesiapa yang banyak beristighfar, iaitu mengingati Allah serta memohon ampun daripadanya, dia dilepaskan Allah daripada segala kesukaran dan kesempitan, serta diberi rezeki daripada sumber-sumber yang tidak disangka'.

Berani katakan tidak

Sejauhmanakah mitos dalam sebuah hubungan percintaan dapat dikaitkan dengan punca berlakunya persengketaan?


WASPADA dengan janji-janji manis si dia yang akan membuatkan diri kamu teraniaya. – Gambar hiasan


PERCAYA kepada perkara yang melibatkan mitos mahupun berunsurkan cerita dongeng adalah lumrah kehidupan manusia hari ini. Lebih-lebih lagi pasangan yang sedang mabuk bercinta.

Padahal, terdapat beberapa mitos yang belum pasti kesahihannya, bahkan kadangkala menyesatkan.

Pandangan yang memesongkan ini juga kerap kali berlaku dalam hal yang melibatkan pertikaman lidah atau perang mulut di antara dua pihak, sehingga menyebabkan berlakunya kekerasan dalam perhubungan.

Akibat mitos, ramai wanita menjalani kehidupan tanpa rasa bahagia dan tidak berdaya lagi melawan kudrat kejantanan si lelaki, meskipun ia terjadi berulang kali. Intim minggu berkongsi sebahagian mitos tersebut.

MITOS: Cemburu mahupun kekerasan yang seringkali dilakukan pasangan merupakan suatu bentuk perhatian kepada kamu. Sikap dan kelakuannya itu juga dapat dijadikan bahan bukti atau tanda cinta yang telus dalam melayari dunia percintaan berdua.

Fakta: Cemburu ada batasnya. Itu bukan namanya cinta sejati atau bukti kasih sayang yang begitu mendalam terhadap kamu. Malah, si dia berupaya mengongkong kamu agar patuh, tunduk dan sentiasa menurut segala kemahuannya.

MITOS: Korban kekerasan atau sanggup membiarkan diri dikotak-katikkan semata-mata untuk memuaskan nafsu cintanya. Korban diri ini bukan sahaja dapat membuktikan sejauh mana cinta kamu terhadapnya malah menjelaskan tahap kesetiaan yang begitu mendalam. Jadi, korban diri sendiri menyebabkan punca berlakunya kekerasan.

Fakta: Pasangan akan tetap melakukan kekerasan itu meskipun kamu tidak pernah membangkitkan sebarang kesalahan mahupun tiada sebarang punca yang berbangkit. Kadangkala, dengan cara menyalahkan diri kamu, pasangan berupaya membela diri dan melemparkan kesalahannya dengan cara melakukan keganasan seksual.

MITOS: Jika si dia mula memohon maaf di atas segala kesalahan yang dilakukan ke atas diri kamu sehingga dia bersumpah tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi, maka kamu berasa sudah aman dan meletakkan kepercayaan 100 peratus kepada dirinya bahawa dia tidak akan mengulangi perbuatan lama itu lagi.

Fakta: Kebiasaannya, titik hitam yang masih bertapak di dalam hati seseorang pasangan akan kembali pada pola lamanya. Sesudah melakukan kekerasan atau melepaskan geram yang tiada sebabnya, si dia seringkali meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Oleh itu, kamu harus waspada kerana janji-janji itu begitu sulit untuk dipercayai.

MITOS: Setelah melakukan kekerasan kepada diri kamu, si dia dilihat semakin mesra. Sehingga adakalanya kamu berserah sahaja segala perbuatan yang dilakukan, tanpa rasa marah dan kecewa.

Fakta: Ini merupakan salah satu pandangan yang begitu memesongkan. Sekiranya kemesraan yang dilemparkan itu berterusan, dia patut dipuji, tetapi sekiranya ia terhenti di tengah jalan, bencana yang akan kamu cari.

MITOS: Janji manis. Sekiranya si dia sudah berjanji akan bertanggungjawab di atas segala perbuatan terkutuk yang pernah dilakukan bersama, maka kamu akan menaruh harapan dan mempercayai segala kata-katanya itu.

Fakta: Hati-hati dengan janji manis atau rayuan yang dilontarkan lelaki di saat dia memaksa kamu melakukan sesuatu untuknya.

MITOS: Pasangan berhak melakukan apa saja memandangkan kamu sudahpun menjadi miliknya, walaupun baru sahaja mengikat tali pertunangan.

Fakta: Tiada seorang pun yang berhak melakukan apa jua perkara yang bertentangan dengan diri kamu selain diri sendiri. Ingat, insan yang bergelar kekasih sememangnya tidak berhak memperlakukan kamu dengan sewenang-wenangnya.

Tulus menyayangi Allah

Mengingati Allah bukan hanya ketika berdepan dengan kesusahan, tetapi juga memanjatkan kesyukuran ketika diberikan kejayaan.


SYUKUR bukti kita sentiasa mengingati dan menyayangi Allah pada waktu susah dan senang.


SYUKUR merupakan sifat mulia yang dikaitkan dengan amalan hati dan akhlak terpuji yang sepatutnya sentiasa menghiasi kehidupan. Syukur sebagai satu sifat yang dilahirkan daripada respons terhadap nikmat yang dikurniakan Allah. 'Ingatlah kepada ku (Allah) nescaya aku ingat kepada mu. Dan hendaklah kamu bersyukur kepada ku dan janganlah kamu lupakan budi ku'- surah al-Baqarah: 152. Orang yang sentiasa bersyukur adalah orang yang sentiasa menyemai sifat manusiawi dalam erti kata sentiasa bertimbang rasa, tahu menerima kasih sayang Allah.

Syukur terhadap nikmat Allah datang daripada pelbagai bentuk. Syukur terhadap kurniaan Allah atas anugerah kesempurnaan fizikal atau jasmaniah (anggota tubuh badan). Firman Allah: 'Dan Allah telah mengeluarkan kamu dari perut ibu mu tanpa mengetahui sesuatu. Kemudian diberikannya kamu pendengaran, penglihatan dan hati semoga kamu bersyukur' - surah al-Nahl: 78.

Syukur juga merangkumi kurniaan terhadap rezeki kurniaan Allah. Firman Allah: 'Dan sebagai bukti untuk mereka ialah bumi yang mati (kering), kami hidupkan dan kami keluarkan dari dalamnya biji-bijian, lalu mereka makan daripadanya.

'Dan kami jadikan daripadanya beberapa kebun dari kurma dan anggur dan kami pancarkan padanya mata air agar mereka makan dari buah-buahan dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan-tangan mereka. Tidakkah mereka bersyukur'. Tegas Allah lagi dalam surah al-Nahl ayat 18 yang bermaksud: 'Dan kalau mahu menghitung nikmat Allah, nescaya tidaklah kamu menghitung (seluruhnya) dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang'.

Rasulullah sentiasa menjadikan amalan bersyukur dalam kehidupan Baginda. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud menjelaskan bahawa 'Adalah Nabi apabila mendapat khabar yang menyenangkan hati, lantas beliau sujud kepada Allah'. Sementara dalam hadis yang lain menyatakan 'Dari Abu Bakrah, bahawa Nabi Muhammad apabila mendapat sesuatu yang menggembirakan atau khabar gembira, segera beliau tunduk bersujud sebagai tanda syukur kepada Allah'- Hadis riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Tirmizi. Al-Baihaqi meriwayatkan: Rasulullah lakukan sujud syukur bila menerima surat daripada Ali ketika menceritakan tentang ramai penduduk Yaman memeluk agama Islam.

Syukur boleh dicernakan dalam pelbagai bentuk sama ada melalui perbuatan, melalui hati dan melalui lisan. Syukur melalui perbuatan merangkumi membelanjakan harta ke jalan kebajikan seperti sedekah dan amalan jariah. Melalui ilmu yang diperoleh dan disebar serta diajar kepada orang lain.


PELBAGAI cara menzahirkan rasa syukur kepada Allah antaranya melafazkan zikir.


Melalui kuasa, pangkat dan kedudukan pula dengan memberi khidmat yang terbaik. Syukur melalui hati pula adalah dengan cara mengakui dan menyedari dalam hati apa yang diperoleh daripada anugerah Allah.

Firman Allah: 'Tuhan mu lebih tahu apa yang ada dalam jiwa, jika kamu orang yang baik. Sesungguhnya dia Pengampun bagi orang yang bertaubat' - surah al-Isra'-25. Syukur dalam bentuk lisan adalah melalui ucapan seperti sentiasa melafazkan zikir seperti ucapan seperti Subhanallah, Alhamdulillah dan Allahuakhbar.

Oleh itu, cernakan selalu budaya syukur dalam kehidupan kita, ingatlah bahawa apa yang kita peroleh hanya sementara dan sebagai ujian untuk melihat sejauh manakah kita dapat menzahirkan rasa ketakwaan yang tinggi terhadap Allah.

-am-

Matematik lebih menyeronokkan

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela tetapi bagaimanakah ini boleh dilakukan?




KUNCI kepada kemahiran mengira bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah adalah mengenali nombor-nombor asas dari satu ke lima sebelum memasuki peringkat lebih tinggi.

Ini termasuk menyusun nombor mengikut urutan, menghitung objek satu persatu atau menolak serta menambah nombor. Paling penting adalah bagaimana untuk meletakkan kemahiran ini ke dalam konteks pengiraan atau menyelesaikan sesuatu masalah sebenar.

Di sekolah, masalah matematik diajar menggunakan bahasa matematik dan kemahiran menyelesaikan masalah. Tetapi, apa yang lebih penting adalah mengajar anak tentang nombor dan matematik melalui kaedah yang lebih bermakna dan menyeronokkan.

Ramai ibu bapa tidak tahu bahawa kemahiran mengira boleh dikaitkan dengan kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh si anak.


OBJEK-OBJEK yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mengajar anak tentang penambahan serta penolakan.


Berikut adalah beberapa idea bagaimana untuk membuatkan anak menikmati sesi 'pengiraan':

*** Tunjukkan kepada anak tentang apa sahaja yang bernombor di sekitar rumah atau ketika keluar bersiar-siar. Kalendar, jam dinding, telefon, rumah, bas dan nombor plat kereta adalah contoh terbaik untuk memberi anak perhatian positif terhadap segala yang berkait dengan nombor.

Pada mulanya anak akan mengenali ia sebagai angka sebelum memahami apa sebenarnya ia. Selepas itu, ia menyenangkan anda membantu anak melihat urutan serta membaca nombor-nombor tersebut.

*** Berikan anak pengenalan asas tentang masalah kiraan harian. Apabila membuat kek, anda boleh mengira bilangan telur, amaun gula pasir, berapa sudu teh air dan sebagainya.

Atau sewaktu membahagikan snek kepada rakan-rakan, anak anda boleh menjadi 'tukang pengukur' sama ada amaun yang diberikan sama rata. Mintalah anak membantu anda ketika menyediakan makan malam. Dia boleh diajar menghitung bilangan sudu dan garpu di atas meja.

Makanan sesungguhnya adalah insentif yang baik. Bijirin mahupun pasta kering boleh dikira sebelum dimakan. Ataupun anda boleh menghiaskan biskut-biskut mahupun mufin dengan kepingan gula yang cantik untuk dikira oleh anak.

*** Objek-objek asli seperti kulit kepah atau biji pokok ru juga merupakan satu kaedah menarik untuk digunakan sebagai bahan kiraan. Pastikan anak mengira satu-satu jenis objek pada sesuatu masa. Ini mungkin mengambil sedikit masa sebelum dia benar-benar mahir.

Tetapi, objek-objek yang dikira boleh ditambah atau dikurangkan dari semasa ke semasa untuk mendidik anak tentang penambahan serta penolakan. Formula menambah dan menolak akhirnya akan dihafal oleh anak yang lebih dewasa bagi memudahkan mereka menyelesaikan masalah yang lebih kompleks dengan pantas.

Perkenalkan angka dalam permainan anak anda asalkan dia rela. Jika anak anda suka bermain dengan kereta, letakkan pelekat bernombor pada kereta atau minta anak untuk menyusun semula kotak-kotak kasut mengikut urutan nombornya. Perkara yang sama boleh dilakukan untuk keretapi.

*** Jika anak anda suka bermain permainan yang melibatkan watak, gunakan barang permainan atau telefon lama untuk 'menelefon' rakan-rakan, ahli keluarga yang lain, doktor atau sekadar menempah piza. Tuliskan nombor dalam buku 'telefon' tersebut.

*** Rekakan angka menggunakan adunan tepung atau guntingkan penyedut air untuk dijadikan lilin palsu di atas 'kek' bagi tujuan kiraan. Berlakonlah seakan anda adalah peniaga dengan menggunakan duit sebenar dan letakkan tanda harga pada makanan atau barangan mainan untuk tujuan jual beli.

*** Nyanyikan lagu yang melibatkan nombor sambil menghitung menggunakan jari, barang permainan atau binatang plastik. Berbincanglah dengan anak tentang urutan nombor sebelum dan selepas. Gunakan kad-kad bergambar sebagai bantuan.

*** Untuk anak yang lebih aktif, gunakan lukisan bernombor yang besar atas kad atau kertas untuk menarik perhatiannya. Pilihlah sebarang nombor dan mintanya menyebut nombor tersebut. Satu lagi alternatif lain adalah dengan melabelkan nombor pada kotak-kotak dan membiarkan anak membuang bola ke dalam kotak berbeza bagi mengumpulkan mata.

*** Dapatkan anak untuk bermain permainan klasik yang melibatkan pengiraan seperti 'Pukul berapa sekarang?' atau mengambil bahagian dalam permainan 'ular dan tangga'.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.supernanny.com.

Memanjangkan usia komputer

Bagaimana anda dapat memperbaharui atau dengan kata lain memanjangkan hayat komputer anda dengan mengambil kira aspek ekonomi semasa?
MONITOR LCD dapat menyuntik pembaharuan kepada komputer anda.


DENGAN keadaan ekonomi hari ini, menukarkan komputer yang berusia dua atau tiga tahun mungkin sesuatu yang agak kurang ekonomikal. Untuk menjual komputer seusia itu akan hanya menyebabkan harganya jatuh hingga satu pertiga dari harga asalnya. Oleh yang demikian, pilihan terbaik ialah dengan memanjangkan hayat komputer anda dengan cara menaiktaraf komponen di dalamnya. Dengan kos sekitar RM1,000, anda boleh menukar tiga komponen utama komputer - RAM, papan induk dan unit pemproses.

Unit pemproses

Unit pemproses atau juga dikenali sebagai CPU (Central Prosessing Unit) merupakan nadi utama sesebuah komputer. Ia juga merupakan antara komponen paling mahal untuk dimiliki. Unit pemproses terbaru Intel Core 2 Duo E8400 berharga sekitar RM560. Ia memiliki dua 'otak' yang mampu melakukan tugasan berasingan, membolehkan anda menggandakan keupayaan pemprosesan.

Kad grafik

Sekiranya anda seorang kaki permainan komputer, kad grafik merupakan komponen yang wajar dipertimbangkan untuk ditukar. Kebanyakan kad grafik berkuasa tinggi hari ini sudah menghampiri keupayaan unit CPU tetapi tugas utamanya ialah untuk menghasilkan grafik yang lancar dan terperinci.

Kad grafik berkuasa tinggi seperti ATI Radeon HD 4650 mampu memberikan kepuasan dan pengalaman permainan komputer yang tidak terhingga. Selain itu, sesetengah kad grafik terbaru mampu menyokong teknologi video berdefinisi tinggi (HD), membolehkan anda menikmati tayangan video setanding set TV berdefinisi tinggi.

Memori (RAM)

Dengan meningkatkan nilai RAM akan secara langsung meningkatkan kelajuan keseluruhan sistem. RAM membolehkan komputer data baca dan tulis diakses oleh CPU. Dengan kata lain, dengan meningkatkan
MEMANJANGKAN hayat komputer boleh dilakukan dengan menaiktaraf komponen-komponennya.


RAM membolehkan program diakses lebih pantas berbanding cakera keras. Harga bagi RAM DDR2 bersaiz 1GB adalah sekitar RM150. Ia lebih murah berbanding SDRAM, walaupun ia agak lama berbanding DDR2. Tetapi pastikan papan induk anda boleh menyokong RAM jenis ini. Sekiranya papan induk anda menggunakan RAM yang lebih lama, anda mungkin perlu menukarkannya bagi mendapatkan RAM dengan kos yang lebih rendah.

Papan induk

Penukaran papan induk membolehkan anda menggunakan unit pemproses yang lebih baru, lebih berkuasa dan efisien. Ia juga membenarkan anda meningkatkan modul RAM dengan harga yang lebih murah. Papan induk baru berharga sekitar RM200 hingga RM600. Ia juga memberikan anda slot tambahan yang terkini seperti PCI Express untuk kad video, kad Gigabit LAN dan antaramuka cakera keras terbaru - Serial ATA.

Monitor LCD

Anda boleh mendapatkan monitor LCD bersaiz 19 inci pada harga sekitar RM500. Sekiranya anda menggunakan monitor baru sebagai tambahan kepada monitor yang sedia ada, anda boleh menggandakan tempat kerja anda secara efektif dengan penggunaan dua monitor - satu ciri yang terdapat pada sistem operasi Windows XP, Vista dan Linux.

Memiliki dua buah monitor bermakna anda tidak perlu lagi risau apabila membuka aplikasi yang banyak dalam satu masa. Bagaimanapun, anda perlu memastikan kad grafik yang digunakan mampu menyokong sistem dua paparan sebelum boleh menggunakan fungsi ini.

Memori flash

Jika anda menggunakan sistem operasi Windows Vista, anda boleh mendapatkan storan jenis ini seperti pemacu storan bersaiz sehingga empat GB pada harga bawah RM100 bagi menggunakan ciri ReadyBoost. Dengan menggunakan ciri ReadyBoost ini membolehkan prestasi komputer dipertingkatkan - seumpama mempunyai tambahan modul memori RAM.

Cakera keras

Ruangan di cakera keras utama anda semakin berkurangan tetapi tidak mahu mendapatkan cakera keras Parallel ATA (PATA), anda boleh mendapatkan storan luaran seperti Western Digital My Book Home bersaiz 1-Terabait sekitar RM700 yang menggunakan sambungan USB.