DENGAN keadaan ekonomi hari ini, menukarkan komputer yang berusia dua atau tiga tahun mungkin sesuatu yang agak kurang ekonomikal. Untuk menjual komputer seusia itu akan hanya menyebabkan harganya jatuh hingga satu pertiga dari harga asalnya. Oleh yang demikian, pilihan terbaik ialah dengan memanjangkan hayat komputer anda dengan cara menaiktaraf komponen di dalamnya. Dengan kos sekitar RM1,000, anda boleh menukar tiga komponen utama komputer - RAM, papan induk dan unit pemproses.
Unit pemproses
Unit pemproses atau juga dikenali sebagai CPU (Central Prosessing Unit) merupakan nadi utama sesebuah komputer. Ia juga merupakan antara komponen paling mahal untuk dimiliki. Unit pemproses terbaru Intel Core 2 Duo E8400 berharga sekitar RM560. Ia memiliki dua 'otak' yang mampu melakukan tugasan berasingan, membolehkan anda menggandakan keupayaan pemprosesan.
Kad grafik
Sekiranya anda seorang kaki permainan komputer, kad grafik merupakan komponen yang wajar dipertimbangkan untuk ditukar. Kebanyakan kad grafik berkuasa tinggi hari ini sudah menghampiri keupayaan unit CPU tetapi tugas utamanya ialah untuk menghasilkan grafik yang lancar dan terperinci.
Kad grafik berkuasa tinggi seperti ATI Radeon HD 4650 mampu memberikan kepuasan dan pengalaman permainan komputer yang tidak terhingga. Selain itu, sesetengah kad grafik terbaru mampu menyokong teknologi video berdefinisi tinggi (HD), membolehkan anda menikmati tayangan video setanding set TV berdefinisi tinggi.
Memori (RAM)
Dengan meningkatkan nilai RAM akan secara langsung meningkatkan kelajuan keseluruhan sistem. RAM membolehkan komputer data baca dan tulis diakses oleh CPU. Dengan kata lain, dengan meningkatkanRAM membolehkan program diakses lebih pantas berbanding cakera keras. Harga bagi RAM DDR2 bersaiz 1GB adalah sekitar RM150. Ia lebih murah berbanding SDRAM, walaupun ia agak lama berbanding DDR2. Tetapi pastikan papan induk anda boleh menyokong RAM jenis ini. Sekiranya papan induk anda menggunakan RAM yang lebih lama, anda mungkin perlu menukarkannya bagi mendapatkan RAM dengan kos yang lebih rendah.
Papan induk
Penukaran papan induk membolehkan anda menggunakan unit pemproses yang lebih baru, lebih berkuasa dan efisien. Ia juga membenarkan anda meningkatkan modul RAM dengan harga yang lebih murah. Papan induk baru berharga sekitar RM200 hingga RM600. Ia juga memberikan anda slot tambahan yang terkini seperti PCI Express untuk kad video, kad Gigabit LAN dan antaramuka cakera keras terbaru - Serial ATA.
Monitor LCD
Anda boleh mendapatkan monitor LCD bersaiz 19 inci pada harga sekitar RM500. Sekiranya anda menggunakan monitor baru sebagai tambahan kepada monitor yang sedia ada, anda boleh menggandakan tempat kerja anda secara efektif dengan penggunaan dua monitor - satu ciri yang terdapat pada sistem operasi Windows XP, Vista dan Linux.
Memiliki dua buah monitor bermakna anda tidak perlu lagi risau apabila membuka aplikasi yang banyak dalam satu masa. Bagaimanapun, anda perlu memastikan kad grafik yang digunakan mampu menyokong sistem dua paparan sebelum boleh menggunakan fungsi ini.
Memori flash
Jika anda menggunakan sistem operasi Windows Vista, anda boleh mendapatkan storan jenis ini seperti pemacu storan bersaiz sehingga empat GB pada harga bawah RM100 bagi menggunakan ciri ReadyBoost. Dengan menggunakan ciri ReadyBoost ini membolehkan prestasi komputer dipertingkatkan - seumpama mempunyai tambahan modul memori RAM.
Cakera keras
Ruangan di cakera keras utama anda semakin berkurangan tetapi tidak mahu mendapatkan cakera keras Parallel ATA (PATA), anda boleh mendapatkan storan luaran seperti Western Digital My Book Home bersaiz 1-Terabait sekitar RM700 yang menggunakan sambungan USB.
No comments:
Post a Comment