Baik buruk akan menceritakan bagaimana spesies ikan tertentu dapat membantu melawan kanser di kalangan wanita, mengapa tabiat membengkeng perlu dikurangkan dan mitos mengenai influenza.
|
|
IKAN LAWAN KANSER
WANITA boleh memerangi barah buah pinggang hanya dengan menyertakan hidangan jenis ikan tertentu dalam diet. Laporan kajian yang disiarkan dalam Journal of the American Medical Association itu disahkan kumpulan penyelidik dari Sweden.
Data kajian Swedish Mammography Cohort itu bermula sejak 1987 apabila lebih daripada 90,000 wanita ditawarkan sesi memogram percuma. Mereka ditanya tentang diet, tabiat meminum alkohol, ukuran berat, ketinggian serta latar pendidikan.
Maklumat yang dikumpulkan itu mendapati seramai 61,433 wanita antara usia 40 hingga 76 tidak pernah didiagnosis kanser sebelum kajian tersebut dimulakan.
Kajian itu mengambil masa purata kira-kira 15 tahun. Berbanding wanita yang tidak mengambil hidangan ikan, kumpulan yang memakan satu atau lebih hidangan ikan berlemak setiap minggu mampu mengurangkan sehingga 44 hingga 74 peratus risiko kanser buah pinggang.
Antara jenis ikan dengan kandungan lemak tinggi yang dimakan adalah salmon, hering, sardin dan makerel. Walau bagaimanapun, tidak semua jenis ikan membantu mengawal ancaman kanser ini.
KURANGKAN BENGKENG
SIKAP cepat marah atau bengkeng di kalangan lelaki berusia disebabkan oleh banyak faktor. Ia boleh disebabkan oleh aspek psikologi, sosial, ekonomi, fizikal dan sebagainya.
Ego yang keterlaluan, kecelaruan perhubungan antara ahli keluarga dan ketidakseimbangan perasaan adalah antara pencetus sikap cepat marah yang lazim. Selain perubahan persekitaran yang mengganggu mood, ia juga disumbang faktor gangguan kualiti kesihatan terutamanya penyakit yang berkaitan dengan jantung.
Antara langkah yang boleh dilakukan adalah melakukan sesuatu hobi yang mententeramkan minda. Antaranya adalah mengisi masa dengan aktiviti sihat seperti berkebun, melancong, bersembang dengan rakan ataupun menduga akal dengan bermain teka silangkata.
Melibatkan diri dengan sesuatu yang baru mampu mencetus pembebasan dopamin, iaitu hormon yang bertindak membantu pengawalan maklum balas dan perilaku yang wajar. Mengulangi aktiviti tersebut berkali-kali pula membekalkan tubuh dengan dos dopamin yang lebih tinggi. Ia adalah ‘dadah’ penenang semula jadi.
Aktiviti yang mengeluarkan peluh juga membebaskan seseorang daripada toksik yang mengancam sel tubuh. Sementara itu, tabiat merokok juga perlu dihentikan.
|
|
MITOS INFLUENZA
RAMAI yang mempunyai pelbagai tanggapan tentang demam selesema termasuk cara menghindar atau merawatnya. Jika silap mengambil langkah asas, penghidap selesema ini bukan bertambah baik malah boleh menyebabkan komplikasi yang lebih teruk. Berikut adalah antara mitos yang biasa kita dengar:
Mitos 1: Vaksin selesema menyebabkan selesema. Jika percaya pada kata-kata ini, maka lebih ramai pesakit berisiko tinggi sedang mendedahkan diri mereka pada bahaya. Vaksin influenza tidak menyebabkan seseorang menghidap selesema kerana ia dihasilkan daripada organisma yang tidak aktif.
Mitos 2: Vaksin hanya untuk orang tua. Salah! Ia sebenarnya diperlukan setiap orang yang mahu mengurangkan kemungkinan dirinya diserang selesema. Mereka yang berusia antara enam hingga 23 bulan, wanita hamil dan penghidap penyakit kronik turut mengambil suntikan vaksin.
Mitos 3: Mengambil vitamin C boleh menghindar selesema. Sebenarnya tidak ada rawatan yang secara sah membuktikan pengambilannya dapat mencegah selesema. Penyebab influenza adalah virus, ia datang dan pergi.
Mitos 4: Sabun anti bakteria boleh mencegah flu. Ia juga satu tanggapan salah. Ia langsung tidak membunuh virus influenza jika seseorang sudah dijangkiti. Namun, tabiat mencuci tangan yang kerap adalah cara yang ringkas dan berkesan untuk mengurangkan pemindahan fizikal penyakit berjangkit, termasuk selesema.
Mitos 5: Keluar dalam cuaca sejuk menyebabkan selesema. Oh, kasihan pada cuaca yang dipersalahkan! Walaupun virus ini lebih aktif ketika musim dingin atau musim hujan, cuaca sejuk bukan penyebab jelas seseorang itu dijangkiti.
Mitos 6: Tiada rawatan selain berehat, aspirin dan sup ayam. Walaupun sup ayam secara tradisi membantu, namun ubat anti virus kini boleh didapatkan daripada klinik. Ramai yang tidak tahu kelebihan ubat anti virus ini. Dalam masa 48 jam ia diambil selepas menyedari simptom jangkitan, ia sudah boleh membantu tubuh agar lebih bertahan dan cepat sembuh. Aspirin pula bukan untuk kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, kerana ia boleh mendatangkan penyakit lain yang dipanggil sindrom Reye.
No comments:
Post a Comment