PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, October 11, 2008

Ke mana janji reformasi Abdullah?

Abdullah Ahmad Badawi akhirnya mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan presiden Umno dalam pemilihan parti yang ditangguhkan ke Mac 2009.

Beliau mengumumkan sehari sebelum mesyuarat bahagian parti tersebut yang dijadual bermula hari ini.

Ahli parlimen Kepala Batas akhirnya akur kepada desakan-desakan yang diterimanya agar melepaskan jawatan lebih awal daripada pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pertengahan Jun 2010.

Semenjak pilihanraya 8 Mac yang menyaksikan BN kehilangan kuasa dua pertiga di Parlimen dan penguasaan terhadap negeri-negeri Perak, Selangor Kedah dan Pulau Pinang, Abdullah menerima tekanan daripada Umno dan parti-parti komponen BN.

Abdullah menerima tamparan hebat apabila SAPP meninggalkan BN. Kira-kira 60 peratus daripada ahli-ahli Gerakan juga mahukan parti tersebut meninggalkan BN.

Tekanan yang diberikan kepada perdana menteri bertambah hebat apabila Anwar Ibrahim berjaya memenangi pilihanraya kecil Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar berbanding undi yang diraih oleh presiden PKR dalam pilihanraya umum lalu.

Walaupun Najib Razak yang bertanggungjawab sebagai pengarah pilihanraya kecil tersebut dan sering dilihat di Permatang Pauh untuk berkempen, kesalahan diletakkan di bahu Abdullah seratus peratus dan nama Najib langsung tidak dikaitkan.

Kekalahan BN dalam pilihanraya kecil itu telah memberikan suntikan kepada bekas naib presiden Umno, Muhyiddin Yassin untuk mendesak Abdullah berundur lebih awal daripada pelan peralihan kuasa 2010.

Mampukah Najib?

Najib kini disebut-sebut sebagai bakal pengganti Abdullah sebagai presiden Umno sekali gus perdana menteri keenam.

Akan tetapi ia masih belum pasti seperti yang dikatakan oleh Abdullah semalam kerana Najib masih perlu menang sebagai presiden Umno dalam pemilihan parti tersebut Mac depan.

Namun, mengenali Umno yang tidak demokratik dan sering menggunakan alasan perpaduan parti untuk tidak mempertandingkan jawatan tertinggi terutamanya presiden dan timbalannya, peluang Najib untuk menaiki takhta dilihat cerah.

Persolan yang harus difikirkan oleh Umno dan BN pada ketika ini ialah, mampukah anak perdana menteri kedua itu memikul tanggungjawab untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN?

Kepimpinan Abdullah yang diregukan bersama Najib dihukum oleh rakyat dalam pilihanraya umum lalu kerana gagal menunaikan janji-janji untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem kehakiman, mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap polis, memerangi rasuah dan membuka ruang demokrasi.

BN menang besar dalam pilihanraya 2004 kerana rakyat mengharapkan Abdullah melaksanakan reformasi dalam pentadbiran kerajaan setelah hidup selama 22 tahun bawah pemerintahan autokratik Dr Mahathir Mohamad.

Setelah sepenggal pemerintahannya, Abdullah gagal melaksanakan reformasi, lantan rakyat menolak BN.

Jika pilihanraya umum tersebut berjalan secara telus, bebas dan adil, sudah pasti BN menjadi sejarah.

Era kuku besi dan 'momok Altantuya'

Ramai penganalisa politik menjangkakan bahawa Najib akan mengembalikan Malaysia ke era pemerintahan Dr Mahathir apabila hanya sedikit ruang kebebasan yang dapat dikecapi hari ini akan dirampas kembali.

Analisis begini timbul kerana Najib dilihat sebagai penyambung legasi pemerintahan Dr Mahathir yang pernah menyaksikan tragedi Memali, Operasi Lalang, skandal kewangan dan pembungkaman media arus perdana.

Ramai penganalisis percaya bahawa Dr Mahathir akan memainkan peranan penting dalam pentadbiran kerajaan sewaktu Najib menjadi perdana menteri.

Telah timbul juga cakap-cakap mengenai bekas perdana menteri itu akan dilantik menjadi penasihat kerajaan selepas Abdullah melepaskan jawatan secara rasminya pada Mac tahun hadapan.

Selain dilihat sebagai pemimpin yang bakal mengambil tindakan keras, najib juga dihantui kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam perjalanannya ke Seri Perdana.

Baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa, persepsi tidak dapat diubah bahawa timbalan perdana menteri itu tercemar dengan imej pembunuhan kejam wanita Mongolia yang sekarang ini masih lagi dibicarakan dimahkamah.

Sumpah yang dilafazkan oleh Najib sewaktu kempen pilihanraya kecil di Permatang Pauh bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak tahu-menahu mengenai kes pembunuhan kejam itu masih tidak dapat meyakinkan rakyat. Keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh itu boleh dijadikan sebagai bukti.

Ke mana reformasi Abdullah?

Antara perkara yang paling memeningkan kepala Abdullah menjelang saat-saat akhir pemerintahannya ialah, bagaimanakah rakyat Malaysia mengingatinya pada masa akan datang?

Tunku Abdul Rahman dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan Negara. Abdul Razak pula adalah Bapa Pembangunan Malaysia. Hussein Onn dilihat sebagai Bapa Penyatuan Malaysia dan Dr Mahathir diingati sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Apakah gelaran rakyat terhadap Abdullah? Buat masa ini masih belum ada gelaran yang sesuai selain bapa mertua Khairy Jamaluddin.

Sebab itulah Abdullah kini akan berusaha keras untuk melaksanakan Reformasi yang pernah dijanjikan olehnya sebelum meletak jawatan secara rasmi.

Tiga langkah akan dilaksanakan oleh beliau sebelum berundur:

bullet buttonMemperkukuhkan institusi negara dengan melibatkan penubuhan tiga buah suruhanjaya yang berkaitan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan agensi penguatkuasaan.

bullet buttonInisiatif kedua, memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial kerana kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara adil ke serata negara.

bullet buttonKerajaan dan BN memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan sebuah negara yang bersatu dan harmoni.

Mampukah Abdullah melaksanakan perubahan yang besar tersebut dalam masa enam bulan?

Jika sepanjang tempoh empat tahun sejak 2004 perkara-perkara di atas gagal terlaksana, apakah tempoh enam bulan akan menyaksikan perubahan yang mendadak tersebut?

Mampukah Abdullah berhadapan dengan Umno yang jelas menolak reformasi beliau daripada dilaksanakan di Malaysia?

* sumber dari malaysiakini.com

No comments: