PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, October 23, 2008

Tunjuk perasaan bantu ubah kemungkaran kepada kebenaran

Pendahuluan: Tunjuk perasaan merupakan satu cara menyatakan sikap terhadap sesuatu perkara yang mungkar supaya ia boleh diubah kepada kebenaran.

Ia amat penting dalam menyatakan kekuatan hak bagi menghentikan kezaliman golongan tertentu, agar mereka menginsafi segala kesalahan menggunung kepada satu keadaan yang memberangsangkan semua pihak.

Tunjuk perasaan diharuskan selagi ia tidak bercanggah dengan hukum syarak. Malah ada ketikanya ia menjadi wajib, sekiranya tiada cara lain untuk merubah kemungkaran yang dijana oleh pihak berkuasa atau pemerintah yang berkuasa di sesebuah negara melainkan dengannya.

Perkara ini juga pernah dilakukan oleh segelintir pada ulama pada zaman silam tanpa sebarang bantahan daripada pihak lain yang seakan-akan bersetuju dengan tindakan mereka itu.

Sebuah hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Sebaik-baik jihad di sisi Allah adalah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim.”

Menyatakan perkataan yang benar adalah wajib, perkara ini telah ditegaskan oleh Allah SWT menerusi ayat 70-71 surah al-Ahzab yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu berkata dengan perkataan yang benar. Nescaya (dengannya) Allah akan memperbaiki amalan kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu, sesiapa yang mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah mendapat kemenangan yang besar.”

Justeru, bagaimana pula dengan berhimpun dalam satu tunjuk perasaan bagi menyatakan sikap mempertahankan hak sebagai warganegara khususnya dalam pilihan raya dan juga bagi menyatakan sokongan terhadap saudara-saudara seagama yang dizalimi, diseksa, dibunuh dengan kejam seperti di Palestin, selatan Thailand dan Filipina dan seumpamanya oleh rejim Yahudi dan ejen-ejen musuh Islam?

Ia menjadi wajib, sepertimana menghadapi kezaliman kerajaan yang tidak membela nasib rakyat jelata dengan pelbagai kenaikan harga barangan dengan pelbagai alasan dan menipu untuk kekal sebagai kerajaan dalam proses pilihan raya dijalankan, maka rakyat berhak untuk menyatakan rasa tidak puas hati mereka dengan berhimpun dalam satu tunjuk perasaan, kerana mereka tidak diberikan peluang untuk mengkritik kerajaan sama ada melalui stesen televisen, radio ataupun surat khabar.

Amalan rasuah, konspirasi bagi menjatuhkan orang lain, tipu dalam pilihan raya, memperbanyakkan program maksiat serta premis-premis perjudian dan sebagainya adalah tindakan yang menyalahi tuntutan agama Islam khususnya dan pegangan agama lain amnya, kesemua itu adalah untuk meraih sokongan pihak tertentu dan untuk kekal berkuasa walaupun matlamat tidak menghalalkan cara.

Kepentingan tunjuk perasaan adalah disandarkan kepada Sirah Nabi Muhammad s.a.w. dan amalan para ulama berdasarkan kaedah-kaedah syarak. Antara elemen yang dikenal pasti mengesahkan kebenaran tunjuk perasaan adalah seperti berikut:

Kesan tunjuk perasaan terhadap musuh

Ini pernah terjadi pada tunjuk perasaan pertama antara barisan umat Islam pimpinan Rasulullah s.a.w. dan Quraisy, di mana pihak Islam diketuai oleh Sayidina Hamzah dan di pihak musuh adalah Omar.

Akhirnya pihak Quraisy mengarahkan pasukan tenteranya supaya berundur dari peperangan setelah melihat kehebatan tentera Islam.

Tunjuk perasaan menyatakan keburukan perbuatan mungkar

Ia berlaku ke atas saudara-saudara Islam di negara-negara umat Islam termasuklah pembunuhan ke atas kanak-kanak yang tidak berdosa, kaum wanita dan orang-orang tua, di mana Islam menganggap ia sebagai perbuatan mungkar yang patut dibantah menerusi saluran tunjuk perasaan besar-besaran agar dihentikan segera tindakan rakus pihak musuh di serata dunia.

Tunjuk perasaan bagi menyatakan kekuatan orang Islam

Ia juga berlaku pada setiap mukaddimah peperangan yang disertai baginda Rasulullah s.a.w., baginda mengarahkan sekurang-kurangnya tiga orang sahabat untuk melawan pedang sebelum peperangan meletus, bagaimanapun para sahabat berjaya mengalahkan lawan masing-masing dan menyemarakkan anggota tentera yang lain.

Satu bukti yang pernah terjadi di Perancis pada 2004, apabila dua orang adik beradik iaitu Laila, 18, dan adiknya Lina, 17, dilarang masuk pekarangan sebuah universiti atas alasan mereka berdua memakai tudung kepala dan berpurdah.

Kedua-duanya telah menunjuk perasaan di sebatang jalan raya di kota Paris bagi menyatakan rasa tidak puas hati kerana dilarang berbuat demikian, akhirnya mereka disokong oleh orang awam termasuk yang beragama Kristian yang menyifatkan tindakan larangan itu menyalahi hak asasi manusia, apatah lagi mereka berdua adalah warganegara Perancis.

Dengan tunjuk perasaan yang disertai ribuan orang itu, akhirnya Kementerian Pendidikan Perancis menarik balik larangan tersebut. Akhirnya tindakan mereka berdua itu menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar perempuan lain yang terus bebas mengenakan tudung kepala.

Ia merupakan roh Syariat Islam

Kehadiran Syariat Islam di tengah-tengah masyarakat umat manusia, adalah untuk merealisasikan keagungan dan kemuliaan Islam dalam segenap aspek.

Ia dapat dilihat menerusi solat jemaah (umpama tunjuk perasaan dengan memohon kekuatan daripada Allah SWT), solat Jumaat, solat dua hari raya, pelaksanaan manasik haji dan sebagainya. Semuanya tidak dapat dijayakan melainkan dengan berjemaah.

Hukum tunjuk perasaan pada asalnya adalah harus

Tunjuk perasaan merupakan wasilah untuk sampai kepada matlamat yang mulia, seperti mendedahkan kejahatan dan kezaliman manusia durjana seperti Yahudi. Semua jenayah yang dilakukan itu patut didedahkan agar boleh bertindak bagi menyekatnya.

Tunjuk perasaan seumpama ini dibenarkan kerana tidak ada nas yang menegahnya daripada dilakukan oleh rakyat yang dahagakan keadilan dan kesaksamaan pemerintah yang bergelumang dengan pelbagai penyelewengan dan memperbodoh-bodohkan rakyat.

Justeru, rakyat telah mencipta satu sejarah yang akan dikenang sampai bila-bila dalam perhimpunan anjuran bersih pada Sabtu, 10 November 2007 bagi menuntut pilihan raya bersih, ia bagi memastikan calon yang menang dalam pilihan raya juga mendapat hasil wang pendapatan yang bersih lagi halal untuk menyara keluarga agar menjadi sebahagian masyarakat yang berdisiplin dan berhemah tinggi.

Dengan sebab proses pilihan raya di Malaysia ini amat menjijikkan dengan penipuan, jika tidak tipu mereka tidak akan menang, justeru tunjuk perasaan bertujuan membuka mata semua pihak termasuk masyarakat antarabangsa.

Tunjuk perasaan hari ini umpama separuh peperangan

Menyatakan suara melalui media massa atau apa sahaja alat sebaran berhubung jenayah, kejahatan atau kezaliman yang dilakukan oleh pihak tertentu, diterima oleh segenap lapisan masyarakat yang cintakan kedamaian.

Ia tidak dapat dibuktikan melainkan dengan membantah dari sudut penerangan, sama ada akhbar, siaran berita dan lain-lain yang disifatkan sebagai bantahan tunjuk perasaan media massa.

Tunjuk perasaan boleh jadi haram jika berlaku kemudaratan

Jika tunjuk perasaan dianjurkan atas sebab-sebab yang telah disebutkan di atas, ia diterima dan sah mengikut peraturan Islam dan undang-undang dunia.

Akan tetapi jika ia dianjurkan hingga merosakkan harta benda awam, tercetus rusuhan hingga berlaku pertumpahan darah, pada ketika itu tunjuk perasaan menjadi haram dari dianjurkan. Ia patut dihentikan seberapa segera bagi mengelak pelbagai kemungkinan yang tidak terduga akan berlaku.

Bukti pendekatan yang dilakukan para ulama

Sejarah telah membuktikan bahawa para ulama menganjurkan tunjuk perasaan seperti yang pernah berlaku di Kuwait, Algeria, Syria yang memenuhi jalan-jalan raya untuk menyatakan sikap penentangan terhadap penjajah.

Di Mesir, tunjuk perasaan yang diterajui oleh al-Marhum Syeikh Rasyid Reda bertujuan mengusir penjajah Perancis keluar dari bumi Mesir.

Ia juga pernah dilakukan oleh para ulama Universiti al-Azhar dalam tunjuk perasaan menentang penjajahan British pada 1919, tidak seorang pun mengeluarkan fatwa mengatakan tunjuk perasaan adalah haram ketika itu.

Tunjuk perasaan dikongsi oleh Muslim dan non-Muslim

Apabila sesuatu tindakan pihak tertentu menjurus kepada penganiayaan yang menindas golongan yang lebih rendah (bawahan), maka pada ketika itu, orang ramai bertindak untuk berhimpun dalam satu tunjuk perasaan menyatakan sikap ketidak-puasan hati mereka terhadap apa yang dihadapinya.

Ia bukan sahaja berlaku di negara-negara yang bukan Islam, malah masyarakat di negara-negara Arab dan Islam juga bertindak melakukan demikian, kerana fenomena percanggahan antara hak dan batil tetap berlangsung sepanjang masa, justeru ia diperlukan bagi meredakan keadaan.

Natijah tunjuk perasaan membuahkan hasil positif

Tidak dinafikan oleh pihak yang cintakan keharmonian, tiada cara lain untuk menyatakan sikap membendung perkara negatif, melainkan ia dapat diatasi dengan adanya tunjuk perasaan secara aman tanpa melibatkan pihak-pihak yang sepatutnya dipelihara hak mereka seperti kanak-kanak kaum wanita, orang-orang tua dan jauh dari melakukan kerosakan terhadap harta benda awam dan mengancam nyawa manusia.

-am-

No comments: