PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Friday, October 17, 2008

Segalanya Pulau Pinang

Buku ini dapat membantu mempromosikan Pulau Pinang secara lebih santai dan ringkas sebagai paparan kepada pelancong di hotel-hotel dan pintu masuk utama di negeri ini.

NICHOLAS KU menunjukkan buku bertajuk Penang The Worlds's Home.


TIADA kata yang dapat menerangkan keindahan Pulau Pinang kecuali dengan berkunjung sendiri ke negeri yang terkenal dengan jolokan nama Pulau Mutiara itu.

Namun bagi yang tidak berkesempatan untuk datang, memadailah dengan menatap buku meja kopi Penang The World's Home yang lengkap dengan paparan tempat-tempat menarik dan aktiviti penduduk di negeri itu.

Ini kerana segala-galanya tentang Pulau Pinang telah dimuatkan di dalam buku setebal 52 muka surat itu termasuk sejarah latar belakang negeri tersebut serta keindahannya sebagai Tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh Organisasi Pendidikan, Ilmu Pengetahuan, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) serta lokasi-lokasi menarik untuk dikunjungi.

Selain itu, kandungan buku tersebut juga memaparkan kekayaan seni bina termasuk bangunan kolonial yang berabad lamanya atau menjelajah ke celah-celah lorong yang menonjolkan budaya sebenar penduduk Pulau Pinang.

Kepelbagaian etnik yang mendiami negeri ini turut memperkenalkan perbezaan budaya dan sambutan perayaan yang menyerlahkan warna-warni serta dinamik kehidupan masyarakat berbilang kaum.

Penjelajahan ini tidak akan sempurna tanpa merasai atau menikmati sendiri hidangan seperti nasi kandar, char koey teow, pasembur, laksa, roti canai, capati ataupun mencuba jeruk buah pala.

Pulau Pinang juga tidak lupa menawarkan tarikan untuk kembali ke alam semula jadi seperti Taman Rama-Rama, Taman Botani, Taman Negara Pulau Pinang, selain pantainya yang indah di Batu Feringghi dan pulau Jerejak.

Lokasi perniagaan yang ditawarkan pula sesuai untuk mengadakan mesyuarat, bengkel insentif, konvensyen dan pameran (MICE). Ia turut tidak diabaikan di negeri yang sedang meningkat maju itu seperti di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang ataupun hotel-hotel di seluruh negeri itu.

Foto-foto yang dimuatkan di dalam buku ini turut menonjolkan Pulau Pinang secara keseluruhannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, beca, kereta api Bukit Bendera dan feri yang menjadi identiti negeri tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang pada sidang medianya memuji langkah Wan Ling Sdn. Bhd (Wan Ling) menerbitkan buku tersebut.

Katanya, ia dapat membantu mempromosikan Pulau Pinang secara lebih santai dan ringkas sebagai paparan kepada pelancong di hotel-hotel dan pintu masuk utama di negeri ini.

"Ini selaras dengan usaha memperkenalkan Pulau Pinang dalam bidang pelancongan global, selain meletakkan negeri ini sebagai destinasi wajib dilawati oleh pelancong ke Malaysia.

"Pelbagai produk boleh difokuskan di Pulau Pinang sama ada warisan hidup, budaya, seni dan filem, pelancongan kesihatan, pelancongan pendidikan dan tak lupa Pulau Pinang sebagai syurga makanan," katanya.

Penerbitan buku ini menurut Danny adalah tepat pada masanya bagi memaparkan keindahan Pulau Pinang dan sumbangan sebuah syarikat swasta ke arah industri pelancongan yang lebih baik.

"Sebagai pelengkap kepada buku ini, kami merancang untuk mengeluarkan cakera padat digital mengenai tempat-tempat menarik dan makanan Pulau Pinang, selain risalah dan peta pelancongan baru," ujarnya.

Buku Penang The Worlds's Home itu akan dilancarkan pada majlis makan malam amal For Vogue A Glittering Night of Honors di Hotel G, George Town pada malam ini, 17 Oktober.

Sementara itu, Pengarah Kreatif Wan Ling, Nicholas Ku berkata, majlis makan malam ini turut diserikan dengan pertunjukan fesyen oleh pereka terkenal Carven Ong.

No comments: