PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Tuesday, October 14, 2008

Teka-teki pilihanraya kampus

Pilihanraya kampus masih menjadi rahsia walaupun tempoh perkhidmatan semua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sudah berakhir awal bulan ini.

Bagaimanapun universiti-universiti di sebelah pantai timur Semenanjung dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan membuat pengundian pada minggu ini.

Notis pemberitahuan tentang pilihanraya sesi 2008-2009 yang dijadual Khamis ini dikeluarkan di kampus-kampus berkenaan dua minggu lalu.

Pemilihan awal ini melibatkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Darul Iman Malaysia (UDM).

Di UUM, pilihanraya kampus dijadualkan Rabu, lapor Bernama hari ini.

Universiti-universiti lain masih belum jelas kedudukannya buat masa ini.

Seorang aktivis mahasiswa memberitahu Malaysiakini hari ini, universiti-universiti utama di Lembah Kelang seperti Universiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Universiti Sains Malaysia (USM) dijangka diadakan Januari tahun depan.

Tarikh pilihanraya di institusi-institusi lain tidak dapat dipastikan, kata jurucakap Pro-Mahasiswa Nasional, Ahmad Shahir Abdul Aziz selepas pertemuan beberapa pemimpin pelajar dengan pegawai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Harun.

Tarikh tepat bagaimanapun tidak dimaklumkan.

Idris hari ini dilaporkan berkata setiap institusi pengajian tinggi awam dibenarkan menetapkan tarikh pilihanraya di kampus masing-masing.

Pertemuan di lobi Parlimen hari ini kira-kira setengah jam turut dihadiri Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis) dan Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM).

Beberapa kumpulan mahasiswa Jumaat lepas menuntut Kementerian Pengajian Tinggi mengumumkan segera tarikh pilihanraya di kampus-kampus lain.

Sebanyak 13 kumpulan mahasiswa bersama penyokong diketuai SSM menuntut kementerian berbuat demikian “supaya amalan demokrasi dapat berjalan dengan baik” di peringkat kampus.

"Pilihanraya kampus kali ini tidak serentak.

"Kementerian Pengajian Tinggi sengaja merahsiakan tarikh pilihanraya keseluruhan kampus daripada pengetahuan mahasiswa,” kata pengerusinya Mohd Hafizuddin Abirerah.

Pada 2 Oktober lalu, Majlis Perwakilan Pelajar di kampus seluruh negara dibubarkan selepas tempoh perkhidmatan mereka tamat.

* sumber dari malaysiakini.com

No comments: