PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Thursday, October 23, 2008

Kemelut harga barang


HARGA barang yang tidak turun meresahkan pengguna. - Gambar hiasan

PENGUMUMAN kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel pada minggu lalu pastinya disambut gembira oleh pengguna-pengguna kenderaan di negara ini. Apatah lagi, ia merupakan penurunan kali ketiga setelah mengalami kenaikan tertinggi, Jun lalu.

Seiring dengan penurunan harga minyak mentah di pasaran dunia, kerajaan mengumumkan pelarasan harga minyak kali pertama pada 23 Ogos lalu dengan mengurangkan harga petrol sebanyak 15 sen seliter dan 8 sen seliter bagi diesel.

Penurunan harga kali kedua pula berlaku pada 25 September lalu dengan kedua-dua petrol dan diesel dikurangkan 10 sen seliter.

Dengan penurunan kali ketiga iaitu 15 sen seliter bagi petrol dan 20 sen seliter bagi diesel pada minggu lalu, harga runcit petrol RON97 kini ialah RM2.30 dan harga diesel RM2.20 seliter. Ini bermakna, dalam tempoh kurang tiga bulan harga petrol dikurangkan sebanyak 40 sen dan diesel 38 sen keseluruhannya.

Harga minyak di pasaran dunia kini berlegar sekitar AS$67.41 (RM239.00) setong berbanding paras tertinggi yang dicapai, AS$140 dolar (RM492.80) setong pada Jun lalu.

Walaupun harga minyak telah turun, namun pengguna kini terus berdepan dengan dilema yang baru apabila sesetengah peniaga terus-terusan menaikkan harga barangan 'seolah-olah mereka masih berada pada bulan Jun 2008.'


APA maknanya harga minyak turun jika harga barang tidak berubah? - Gambar hiasan


Sedangkan pengguna menjangkakan, harga barangan sewajarnya ikut turun apabila harga petrol dan diesel diturunkan kerana faktor itulah yang sering dicanang-canangkan peniaga ketika menaikkan harga barangan dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika diusulkan media pada minggu lalu berhubung rungutan pengguna, meminta agar peniaga mempunyai tanggungjawab sosial dengan menurunkan harga barang.

Justeru, wajarkah jika pengguna memboikot peniaga yang masih berdegil menjual barangan pada harga tinggi?

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman, memboikot bukanlah jalan penyelesaian.

"Bukan boikot, sebaliknya pengguna sendiri perlu bijak membuat pilihan dalam berbelanja. Boikot juga tidak boleh dilakukan kerana ia turut melibatkan barangan keperluan," katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

"Tambahan pula, kita tidak boleh memboikot secara membuta-tuli. Pengguna perlu faham, bahawa bukan harga minyak sahaja yang mempengaruhi harga barang. Ia juga bergantung kepada harga barang asas, faktor kenaikan gaji pekerja, insurans dan berbagai-bagai lagi," katanya.

Bagaimanapun, Maamor tidak menolak bahawa terdapat peniaga yang sengaja menaikkan harga barangan dan golongan ini seharusnya diambil tindakan.




"Tetapi, masalahnya ialah buat masa ini, kita tidak mempunyai undang-undang yang boleh dikenakan kepada peniaga yang menaikkan harga barang sewenang-wenangnya meliputi semua barangan," katanya.

Selain aspek undang-undang, Maamor berkata, masalah lain juga ialah pengguna tidak mempunyai satu prasarana yang membolehkan mereka bertanya sama ada sesuatu harga barangan itu dijual pada harga yang berpatutan.

"Kita sering kali mengingatkan pengguna agar bertindak bijak dalam berbelanja dengan membeli barangan yang dijual pada harga berpatutan. Masalahnya, pengguna sendiri tidak disediakan satu prasarana yang membolehkan mereka memberi maklumat atau bertanyakan sama ada sesuatu harga barangan itu dijual pada harga yang patut atau tidak?

"Kerajaan seharusnya menyediakan prasarana sedemikian untuk menjadi rujukan harga bagi pengguna," katanya.

Dalam pada itu, Maamor menasihatkan para pengguna agar terus mengamalkan amalan berjimat cermat walaupun harga minyak sudah turun.

"Seboleh-bolehnya beli barangan yang menawarkan harga patut. Kenal pasti kedai yang menjual barang dengan harga yang munasabah. Membeli barangan di koperasi juga patut diamalkan," katanya.

Berhubung peniaga yang masih menaikkan harga barang, Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, satu akta perlu digubal untuk membolehkan hukuman dikenakan kepada pihak terbabit.

"Saya berpendapat, kerajaan seharusnya menggubal satu akta yang boleh mengawal selia harga kesemua barangan seperti Akta Perdagangan Adil di Britain dan Australia. Dengan akta seperti ini, barulah hukuman boleh dikenakan kepada peniaga-peniaga yang rakus menaikkan harga barang," jelasnya sambil menerangkan kawalan selia harga berdasarkan akta tersebut dibuat berasaskan kadar keuntungan munasabah sesuatu perniagaan.

"Dengan itu, peniaga tidak boleh memanipulasi harga barangan yang dijualnya. Sekiranya, sesuatu perniagaan itu mendapat keuntungan melampau daripada yang sepatutnya, harga barangannya akan diselia dan jika didapati bersalah kerana meletakkan harga terlampau tinggi, peniaga boleh dikenakan hukuman," katanya.

Mohd. Yusof juga meminta agar kerajaan melakukan kajian data untuk membezakan barangan yang harganya naik berpunca daripada kenaikan harga minyak dan yang bukan disebabkan faktor tersebut bagi membolehkan tindakan diambil.

"Melalui data itu nanti, barulah kerajaan boleh mengenal pasti peniaga yang menaikkan harga sesuka hati atau sebaliknya," katanya.

Di pihak pengguna pula, Mohd. Yusof menggesa supaya mereka mengamalkan perbelanjaan berhemah dan digalakkan membeli barangan separa jenama yang banyak diusahakan pasar raya kerana ia lazimnya lebih murah.

"Jika selalunya kita membeli susu berjenama popular, cubalah pula kita membeli susu separa jenama seperti susu cap Tesco misalnya. Kualiti, sebenarnya serupa. Di Eropah, barangan separa jenama ini mendapat sambutan yang lebih meluas," katanya.

* sumber dari kosmo!

2 comments:

Y u Z z 9071 said...

huhu...

mmg nak berjimat nih..

beli yang murah2 ajoo

adam mukhriz said...

To Yuzz: yela.. aku dah kenal sangat dengan ko tuh.. mmg ler nak berjimat beli yg murah2 ajoo.. tp sekali beli 2, 3 troli.. total sumer harge murah mendernyer.. hahaha