PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, October 29, 2008

Sunnah dan bid'ah dalam pemerintahan Islam

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah RA berkata:

"Telah menasihati kami oleh Rasulullah SAW akan suatu nasihat yang menggetarkan hati kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu, baginda pun bersabda: "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah SWT dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak.

Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa' Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."

(Abu Daud dan Tirmidzi)

Menurut pada pesanan yang amat berguna kepada kita pada akhir zaman ini boleh dipecahkan kepada empat perkara.

Pertamanya, mengenai hal ketaqwaan kepada Allah SWT.

Kedua, mentaati perintah pihak yang menguruskan hal ehwal kaum Muslimin walaupun mereka terdiri daripada golongan hamba, selama mereka berpegang dengan al-Qur'an, sunnah Nabi s.a.w dan sunnah-sunnah khulafa' Ar-Rasyidin.

Ketiga, berpegang teguh kepada sunnah Nabi SAW dan sunnah para khulafa' ar-Rasyidin al-Mahdiyyin (Abu Bakar RA, Omar RA, Uthman RA dan Ali KW).

Keempatnya, menjauhi hal bid'ah, iaitu apa jua fahaman dan amalan yang ditambah kepada agama Islam yang sempurna ini, pada hal tidak ada dalil atau asal dan contoh dari agama.

Keterangan lanjut:
Berasaskan hadith ini, saya berminat mengulas hal sunnah dan bid'ah dalam pemerintahan. Lazimnya, kita dapati terdapat jalur pemikiran yang melihat hanya syura saja warisan dan peninggalan sistem pemerintahan Islam itu.

Apakah sistem beraja tidak mewakili pemerintahan Islam? Kalau kita melihat bagaimana Raja Nabi Daud AS mewariskan pemerintahan kepada anaknya Raja Nabi Sulaiman AS, maka di sini kita dapati bahawa sistem beraja juga terpakai sebagai salah satu daripada sistem khilafah itu. Dalam ayat lain, khilafah itu tidak hanya berbentuk syura sahaja, malah sistem beraja juga adalah bahagian daripada belahan daging agama yang terkait dengan siasah.

Selepas era khalifah Ali KW bin Abi Talib, maka bermulalah era khalifah yang ada unsur pemerintahan beraja. Perkembangan Dinasti Umayyah, Abbasiyyah dan seterusnya telah menyaksikan bagaimana pemerintahan itu disalurkan melalui hubungan darah.

Kalau golongan Syiah berpendapat bahawa pemerintahan itu adalah milik ahli bait, iaitu keturunan Rasulullah SAW, maka secara tidak langsung pemerintahan berasaskan kepada hubungan darah ini memang tidak dapatlah dipisahkan daripada sunni dan syiah juga.

Tuhan meredhai semua kaedah bentuk khilafah

Kunci kepada pengertian semua ini adalah tertakluk kepada ceraian nas dalil Al-Baqarah, ayat 30. Dalam tafsiran Inggeris oleh King Fahd Complex, Madinah, menyebutkan:

"..Verily, I am going to place (mankind) generations after generations on earth.."

Generasi demi generasi di sini, tentulah wujudnya pemerintahan dalam bentuk hubungan darah. Namun, ada juga pemerintahan diberikan kepada seseorang yang bukan hubungan persamaan darah, melainkan kerana wujudnya persamaan idea, pemikiran, amalan.

Kes ini terjadi ke atas Raja Nabi Zulkifli AS yang dilantik sebagai raja kerana mampu amalkan beberapa syarat, iatu berpuasa, jangan marah dan sebagainya. Syarat-syarat ini diberikan oleh seorang raja di sebuah negeri yang ingin turun daripada takhtanya.

Ketika Islam mula sampai di Alam Melayu, ulama' dan pendakwah ini tidak membatalkan sistem beraja. Malah, Islam di rantau ini diperteguhkan dengan institusi raja-raja. Apabila raja-raja itu mula zalim menindas rakyatnya maka mereka jatuh terhina dihinakan melalui pemberontakan hulubalang Hang Jebat, Megat Seri Rama dan sebagainya.

Pendek kata, raja-raja boleh dijatuhkan, tapi institusi raja-raja tidak dirobohkan. Raja-raja itu dapat digantikan dengan raja-raja baru yang lebih baik daripada sebelumnya. Dan, ini yang dilakukan oleh Yahudi Freemason di Turki. Iaitu mereka jatuhkan langsung institusi kesultanan. Maka, raja-raja khalifah itu terpupus terus.

Oleh kerana syura suatu yang ideal, kerana ia memerlukan manusia yang berkualiti untuk melaksanakannya, maka dalam realiti sekarang di Malaysia, ia mungkin mustahil. Tetapi, untuk masa-masa akan datang, maka tidak mustahil ia dapat dilaksanakan.

Maka, ketuanan ini boleh dipindahkan melalui

(1) Hubungan darah;

(2) Hubungan idea;

(3) Hubungan amalan dan lain-lain.

Tuhan cuma ingin mewujudkan khalifah sahaja. Tapi, hal mewujudkan satu atau lebih daripada satu 'sistem' untuk melantik, menaikkan khalifah itu maka terpulanglah kepada kebijaksanaan manusia itu sendiri.

Ringkasnya, khilafah yang baik itu boleh juga muncul dalam bentuk syura, sistem beraja, sistem demokrasi. Kalau ekonomi kita mengamalkan dasar ekonomi campuran, ada unsur sosialisme dan kapitalisme digabungkan sekali. Maka hal yang sama terjadi dalam politik di Malaysia, iaitu dasar politik campuran, ada demokrasi, dan sistem beraja.

Sunnah dan bid'ah dalam pemerintahan.

Pendek kata, semua ini, bermodalkan dalil yang ditemukan, bolehlah disebut sebagai satu sunnah dalam pemerintahan Islam.

Cuma, yang peliknya kadangkala, pemimpin kita asyik berseteru merebutkan kuasa tetapi boleh dihadirkan pula konsep perkongsian kuasa. Kuasa yang mulanya direbutkan hingga berlaku sepak terajang dan londeh melondehkan, menelanjangi perbuatan batil musuh, ia akhirnya dikongsi. Walhal kalau ia direbut, sudah tentulah untuk tidak dikongsi.

Yang mungkin boleh didebatkan lanjut adalah, bolehkah diwujudkan perkongsian kuasa dengan bukan Islam? Adakah hal ini termasuk dalam kategori sunnah atau bid'ah dalam pemerintahan? Ini boleh kita lanjutkan dalam bualan akan datang, insya Allah.

Bagaimanapun, berasaskan hadith di atas bolehlah juga kita lihat apakah tahanan ISA yang menahan rakyat tanpa bicara itu merupakan satu warisan daripada sunnah pemerintahan Rasulullah SAW, Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA dan Ali KW? Baginda dan para sahabat terkemuka tidak pernah berbuat demikian.

Pemerintahan Islam Hadhari, pemerintahan bid'ah?

Ertinya, pemerintahan yang menguatkuasakan undang-undang ISA ini tergolong di dalam pemerintahan bid'ah. Syed Abdul Hamid Albar selaku Menteri Dalam Negeri seharusnya malu kerana dia adalah ahli bait tapi tidak meneruskan sunnah nenek moyangnya itu.

Adapun Abdullah Ahmad Badawi pengasas Islam Hadhari telah pun tersasar sunnah juga. Islam Hadhari merujuk era kegemilangan sains dan teknologi dan era itu bukanlah zaman Rasulullah SAW, Abu Bakar RA, Umar RA, Uthman RA dan Ali KW.

Memang zaman itu ilmu berkembang dengan pesat, tetapi kezaliman penguasa tak kurang hebat juga perkembangannya. Semak semula berapa lama zaman salafusoleh berlangsung seperti yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW itu.

"Sebaik-baik kurun, adalah kurunku. Kemudian kurun selepasku, dan kemudian kurun selepas daripada itu."

Jumhur ulama' menafsirkan, kurun Kerasulan berlangsung selama 100 tahun, kurun pada zaman Sahabat selama 100 tahun dan kurun Tabiut Tabiin selama 100 tahun. Maka zaman selama 300 tahun itulah yang diiktiraf oleh Rasulullah SAW sebagai tempoh terbaik yang ditafsirkan kebanyakan ulama' sebagai zaman salafussoleh.

Tapi, rujukan dan sandaran masa Islam Hadhari telah berada di luar lingkungan masa dan di luar lingkaran putaran waktu era salafussoleh itu. Ertinya, pemerintahan Islam Hadhari yang mendokong ISA terbabas dari sunnah pemerintahan Nabi SAW dan sahabat terulung.

Syahadan, sunnah itu bukanlah cuma terkait dengan pemakaian jubah serban, bersugi dan memakai celak saja. Berdasarkan hadith di atas, pengertian sunnah terkait langsung ke atas pemerintahan juga. Adakah nilai pemerintahan hari ini bertepatan dengan sunnah?

Nota-nota ini wajib diteliti, dibantah, dikritik guna mencari kesempurnaan hujah dan ilmu. Artikel ini tidak terhindar daripada sebarang kesilapan dan kekhilafan. Nota-nota bantahan boleh disalur melalui e-mail taufiq_atm@yahoo.com

-am-

2 comments:

Y u Z z 9071 said...

saya bantah

entry ada berjela jela jela macam tali rafia....

pening saya nak baca....

ibnumustafa said...

To Yuzz: Bantahan di terima.. usul akan dibentang oleh YB Sri Nanding minggu hadapan dalam sidang parlimen.. hahaha.. aper yg berjela2nyer yuzz.. ko ni mcm2 arr.. org lain bace tak fenin pun, ko plak yg fenin ek.. hehe..