Krisis remaja, pembuangan anak luar nikah, krisis keruntuhan moral, krisis keyakinan dan terkini krisis ekonomi adalah disebabkan kesalahan tangan-tangan manusia yang mentadbir bumi tanpa mengikut arahan Allah, justeru Dia menurunkan bala agar manusia merasai keperitan, moga-moga mereka mahu menerima kebenaran Islam, perkara ini ditegaskan Allah menerusi ayat 41 surah ar-Rum maksudnya : �Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).�
Kesalahan tidak mahu mentadbir negara dengan Islam atau tidak terfikir untuk menginsafi diri juga dianggap sebagai krisis yang melanda umat manusia, maka krisis demi krisis akan terus melanda jika mereka tidak berniat langsung untuk kembali memartabat dan mendaulatkan Islam.
Ramai cerdik pandai hari ini, sama ada di kalangan umat Islam dan bukan Islam bersetuju mengatakan bahawa keangkuhan dan tindakan biadap Amerika sebenarnya mengundang kepada berlakunya krisis ekonomi di peringkat global, hingga akhbar New Starits Time Singapura dalam laporannya Jumaat 10 Oktober 2008 menyebut bahawa, kemungkinan besar ramai pekerja negara itu akan diberhentikan kerja dalam tempoh sebulan dua ini kesan daripada krisis ekonomi.
Syariat Islam adalah penyelesai kepada kemelut ekonomi
Negara-negara umat Islam, khususnya negera-negara OIC perlu menjadi perintis kepada pelaksanaan sistem ekonomi bertepatan dengan roh syariat Islam yang berteraskan elemen ayat-ayat al-Quran tanpa sedikitpun terikat dengan mana-mana elemen sistem ciptaan manusia, kerana Islam menganggap ia sebagai cara untuk menghapuskan sistem-sistem yang dikenal pasti menindas kepentingan orang ramai.
Bagi menangani kemelut ekonomi yang dianggap menyusahkan banyak pihak khususnya orang awam, Islam telah meletakkan garis panduan untuk diikuti oleh seluruh peringkat individu di kalangan umat Islam, iaitu prinsip al-Quran yang menghubungkan naluri manusia dengan hukum syariat Allah SWT, ia dapat dijelmakan menerusi tiga perkara berikut : 1- Menyediakan kaedah membersihkan hati manusia daripada segala dosa, dengan meninggalkan segala aspek muamalat yang dianggap jijik oleh Islam. 2- Kaedah menambah-baik pengurusan harta dan cara pensuciannya daripada daki riba, faedah dan sebagainya. 3- Menjamin keharmonian hidup kepada setiap individu dalam bermasyarakat untuk memenuhi keperluan mereka dari sudut penggalakan pertumbuhan ekonomi bagi meneruskan agenda hidup harian terutama kepada golongan fakir, miskin dan mereka yang benar-benar perlu dibantu.
Islam dan keperluan pertambahan pengeluaran produk
Islam sentiasa menggalakkan penganutnya agar peka dalam menambahkan pengeluaran produk yang bermutu tinggi yang menjadi keperluan kepada orang ramai tanpa melakukan pembaziran lebih-lebih lagi boleh dijadikan pendapatan negara.
Produk yang perlu dihasilkan adalah berbentuk pengeluaran keutamaan seperti beras, gandum, bukannya dengan penanaman tembakau atau bahan-bahan yang yang tidak boleh dimanfaat oleh sebahagian besar rakyat sesebuah negara malah ia adalah produk yang membawa kepada bahaya.
Apa yang penting untuk penghasilan sesuatu produk itu benar-benar diberkati Allah, ialah dengan wujudnya aspek akhlak yang menjadi tunjang kepada ekonomi negara, iaitu akhlak yang menjadikan seseorang itu berdisplin dan beretika malah jauh dari sebarang tindakan negatif seperti yang dibahaskan di atas antaranya, menipu, terlibat dengan rasuah, judi, arak, pelacuran dan lain-lain.
Disiplin, tekun, bersungguh dan beretika dalam pekerjaan menjamin produktiviti yang disantuni Allah sebagai satu bahagian akhlak yang cukup memberangsangkan, sekali gus seseorang itu akan merasakan ketenangan dalam meningkatkan mutu hasil ekonomi yang terbaik buat negara dan masyarakatnya malah membantu mencapai tahap ekonomi yang baik.
Konsep Pembangunan Ekonomi
Asas Iman, Islam dan Ihsan melatari segala gerak kerja pembangunan.
Syariat adalah asas pembangunan yang berikutnya. Pengembangan ekonomi mesti merujuk kepada asas-asas yang syar�i dan halal. Segala akad-akad yang fasid serta muamalat yang berunsur gharar dan qimar tidak boleh menjadi amalan dalam membangun ekonomi. Pembangunan mesti menjulang dasar yang adil, tidak menindas, atau melalui kaedah yang zalim dan haram. Asas berikutnya ialah asas akhlak atau Ihsan. Pembangunan keperihatinan moral adalah prasyarat dalam pembangunan ekonomi Islam. Sebab itu usaha meningkatkan kemakmoran mesti digandingi oleh usaha meningkatkan ibadah, menggilap ruhani dan tendensi kejiwaan yang lohor dan positif.
Hal ini penting untuk mengukuhkan kawalan dalaman serta daya kontrol nafsu dan kemahuan yang rendah. Jika tidak dilakukan maka masyarakat akan dihantui oleh kecenderungan melempiaskan nafsu syahwat dan peningkatan jenayah serta maksiat.
Selain dari itu ilmu, teknologi dan keterampilan adalah asas yang tidak kurang pentingnya dalam menjana pembangunan ekonomi umat Islam. Semakin tinggi pencapaian warga umat Islam dalam bidang ilmu, teknologi dan keterampilan maka semakin meningkat kemajuan pembangunan ekonomi yang dapat dicapai. Ini berkait rapat dengan keupayaan untuk takhassus dalam berbagai bidang pengeluaran.
Pembangunan Seimbang juga merupakan matlamat pembangunan ekonomi Islam. Ia bukan hanya bermakna pembangunan yang harmoni dan seimbang antara wilayah-wilayah dan antara sektor-sektor ekonomi tetapi juga kepada pemulihan kesaksamaan agihan pendapatan dan pemilikan harta.
Jika apa yang diutarakan di atas dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya oleh para pemerintah Islam di seluruh dunia, pembangunan ekonomi bukan sahaja meningkat, malah negara dibayangi dengan faktor rahmat daripada Allah SWT, malah Dia akan menganugerahkan punca dan sumber rezeki (ekonomi) yang tidak disangka-sangka, sama ada hasil yang keluar daripada perut bumi ataupun yang turun daripada langit, ia bertepatan dengan firman-Nya menerusi ayat 96 surah al-�Araf maksudnya : �Sekiranya penduduk di sesebuah negeri, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.�
-am-
No comments:
Post a Comment