PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, August 10, 2011

Adakah Kita Muslim Yang Istiqamah Dalam Ibadah Harian?

Istiqamah bermaksud menuruti jalan yang lurus (Siratol Mustaqim), iaitu jalan yang lurus tanpa liku-liku atau condong ke kiri atau kanan meliputi segenap perbuatan taat sama ada yang zahir atau yang batin serta meninggalkan segala larangan Allah S.W.T.

Kebiasaannya, istiqamah menyusul selepas beriman kepada Allah, kerana iman adalah asas kepada keutuhan istiqamah, tanpa iman yang utuh, tiada istiqamah dalam diri seorang muslim.

Istiqamah atau boleh juga disebut makna yang hampir dengannya iaitu iltizam (komited) dengan Islam yang membawa maksud, pelaksanaan aspek dan konsep agama yang dilakukan oleh seorang muslim dengan memelihara hubungan intimnya dengan Allah SWT selaku Pencipta.

Dengan kata lain, istiqamah itu ialah segala tindakan dan tingkah laku muslim bagi merealisasikan makna Islam, iaitu menyelamatkan bangsa manusia atau penyerahan diri mereka hanya kepada Allah dengan sebenar-benarnya menerusi pengamalan agama dalam segenap bidang kehidupan, kepercayaan (akidah), peribadatan, perlakuan, perhubungan atau pergaulan sesama manusia.

Begitu juga dengan masyarakat umat Islam dikatakan sebagai umat yang beristiqamah dengan Islam, apabila melaksanakan tuntutan agama dalam pegangan akidah mereka, kepercayaan, peribadatan, perlakuan, perhubungan dan pergaulan sesama umat Islam dan manusia sejagat tanpa terikat kepada musim tertentu, sebagai contoh, seorang muslim yang beristiqamah tidak menunggu untuk ke rumah pada bulan Ramadan, malah setiap bulan itu adalah bulan yang dikhususkan untuknya beribadat kepada Allah.

Begitu juga dengan amal ibadat di bulan Ramadan, bukan hanya pada awalnya saf-saf solat dipenuhi dengan para jemaah, tetapi pada pertengahan dan penghujung Ramadan sepi dengan orang yang sama memenuhi ruang-ruang masjid atau surau sebelum dan selepas Ramadan, yang tidak beristiqamah akan merasa gelisah dengan Ramadan lambat untuk melabuhkan tirainya, sikap seumpama ini tidak pernah wujud dalam diri para sahabat baginda Rasulullah s.a.w.

Semakin hampir menjelang Aidil Fitri, semakin gelisah dan jelas tergambar di raut wajah mereka kesedihan kerana Ramadan akan meninggalkan mereka, peluang untuk memperolehi bonus amalan di malam-malam terakhir yang terdapat padanya Lailatul Qadr sudah sampai ke penghujungnya, terdapat di antara mereka yang menangis kerana belum tentu dapat bertemu dengan Ramadan pada tahun-tahun berikutnya.

Peluang yang ada pada malam-malam terakhir Ramadan, diisi dengan aktiviti pengabdian diri kepada Allah SWT seperti Qiyamullail meliputi pelbagai jenis solat, tadarus al-Quran meliputi diskusi isi-isi kandungannya, beriktikaf, berzikir dan bermacam-macam lagi tanpa meninggalkan tanggungjawab sebagai manusia biasa di siang hari.

Persoalannya di sini, di mana diri kita dengan para sahabat Rasulullah s.a.w? Mereka telah buktikan istiqamah yang mantap dan menyeluruh bagi meraih keredaan, kita pula bagaimana?

Tanda atau bukti istiqamah

*Bukti istiqamah itu telah dirakam oleh Allah SWT dalam ayat 162 surah al-An’am yang bermaksud : Katakanlah (wahai Muhammad) “Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekelian alam”.

*Istiqamah juga diungkapkan sebagai mencapai atau merealisasi perutusan kejadian manusia, perkara ini telah disebut oleh Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud : “Tidak Aku (Allah) menciptakan jin dan manusia, melainkan untuk menyembah (beribadat) kepada-Ku”.

*Selain itu, istiqamah juga diertikan sebagai menerima segala hukum-hakam Allah dalam al-Quran dan apa yang dijelaskan oleh baginda Rasulullah s.a.w dengan pasrah dan bersungguh-sungguh, hakikat ini diperjelaskan oleh Allah menerusi ayat 36 surah al-Ahzab yang bermaksud : “Dan tidaklah patut bagi lelaki yang beriman dan tidak pula bagi wanita yang beriman, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka”.

Justeru, kita perlu bertanya pada diri sendiri, apakah kita termasuk dalam golongan orang-orang yang beristiqamah dengan amalan Islam, atau hanya berpura-pura atau menerima Islam separuh-separuh ataupun menerima Islam apabila sesuai dengan naluri, dengan kata lain, Islam tunduk pada kehendak kita, bukannya kita yang patut tunduk dan akur kepada segala ajaran Islam.

Penjelasan tanda beistiqamah dengan Islam

Para ulama’ bersepakat mengatakan bahawa, istiqamah itu dapat dikenal pasti menerusi penyerahan diri muslim pada perkara yang zahir dan batin.

Dalam perkara zahir, seorang muslim itu melaksanakan segala perintah Allah yang wajib ditunaikan seperti pelaksanaan ibadat solat, puasa, haji, zakat, memakai hijab (tudung kepala) bagi muslimat, berakhlak mulia dan lain-lain.

Sementara dalam perkara batin pula, seorang muslim itu wajib beristiqamah dengan aspek ketuhanan dalam mentauhid (mengesakan) Allah, bertakwa kepada-Nya, takut kepada ancaman dan hukuman-Nya, mengharapkan keampunan dan rahmat hanya daripada-Nya dan banyak lagi.

Justeru menurut para ulama’, jika seseorang itu menzahirkan kepada manusia kebaikannya seperti banyak solat sunat, puasa sunat, suka menderma, suka tolong orang lain, berulang alik ke masjid, sedangkan dia tidak begitu, suka mengumpat, memfitnah orang, menuduh orang tanpa bukti kukuh, pakai tudung kepala pada masa tertentu, maka dia dikatakan tidak beristiqamah dengan Islam, atau paling tidak dikatakan istiqamahnya masih berkurangan. Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.

Jalan terbaik untuk mengekalkan istiqamah dengan Islam, ialah bersahabat dengan orang-orang yang baik-baik, apatah lagi mereka yang dapat mengingatkan diri kita kepada Allah SWT, menyuruh yang makruf, mampu pula mencegah kemungkaran, berdakwah dengan penuh hikmah, berakhlak mulia, tidak wujud sebarang kepentingan dunia, apa yang diharap hanyalah keredaan Allah, ia menepati seruan Allah menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : “Dan bersabarlah kamu bersama-sama dengan orang-orang yang menyeru kepada Allah, di waktu pagi dan malam dengan mengharapkan keridaan-Nya, janganlah kamu berpaling dari mereka kerana mengharapkan perhiasan (habuan) kehidupan dunia ini, janganlah kamu mengikuti orang-orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta mengikut hawa nafsu, sesungguhnya urusan hidup mereka telah melampaui batas”.

Mudah-mudahan, kita mampu dan boleh berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, isteri, anak-anak, adik-beradik, terlebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.

-ibnumustafa-

Tuesday, August 9, 2011

The Arrivals - Episode 34 - The Infiltration Of Religion


P/s: Sila pastikan radioweb nasyid.fm yang sedang anda dengarkan ini di PAUSE kan terlebih dahulu sebelum menonton. Terima Kasih~

The Arrivals - Episode 33 - The Choice Is Yours


P/s: Sila pastikan radioweb nasyid.fm yang sedang anda dengarkan ini di PAUSE kan terlebih dahulu sebelum menonton. Terima Kasih~

Rahsia Amalan Puasa Kita Diterima

Diceritakan pada satu hari, seorang Soleh di kalangan salaf berlalu di sebuah perkampungan, terdapat di situ beberapa orang lelaki (selepas Ramadhan) ketawa berdekah-dekah dengan membuang masa di kedai kopi, bercerita tentang persoalan dunia yang tiada kaitan dengan alam kubur, akhirat atau di padang Mahsyar.

Maka orang Soleh itu pun menyapa mereka dengan berkata: Adakah tindakan tuan-tuan dengan banyak ketawa merasakan tidak ada dosa yang tertanggung atau begitu yakin amalan tuan-tuan diterima Allah S.W.T dengan membuang masa begini?

Jika diterima sekali pun adakah sesuai tuan-tuan duduk lama di kedai kopi bersembang pada perkara yang tidak menguntungkan Islam dan umatnya?


* Justeru menurutnya, sesungguhnya amal-amal soleh yang berkekalan yang dilakukan pada bulan Ramadhan seperti berpuasa, membaca al-Quran, solat Tarawih, bersedekah dan berzakat, menyedia atau memberi makanan kepada orang lain, bersegera ke masjid untuk menunaikan solat Jamaah, menjaga waktu solat fardhu lima waktu, menghubungkan silaturrahim sesama muslim, beriktikaf dalam masjid, bangun malam dan lain-lain adalah petanda amalan orang berpuasa diterima di sisi Allah S.W.T.


* Hendaklah setiap muslim menjadikan ketaatan dan muraqabah (pengawasan) terhadap Allah S.W.T setiap masa seperti di bulan Ramadhan adalah perkara utama agar amalannya terus diterima di sisi-Nya, di samping menjauhkan diri daripada terlibat dalam perkara dosa, mungkar dan keji bersesuaian dengan inspirasi hadith Baginda S.A.W yang bermaksud:

“Susulilah kejahatan itu dengan kebaikan yang mampu menghapuskan kejahatan, dan berakhlak mulialah terhadap manusia dengan akhlak yang terpuji”.

* Bercakap dengan ungkapan yang berisi nasihat atau bimbingan serta beramal soleh merupakan pra syarat terkabul amalan di sisi Allah S.W.T seperti yang ditegaskan-Nya menerusi ayat 10 Surah al-Fatir: “Kepada-nya (Allah) sampai perkataan-perkataan yang baik (kalimat Tauhid) dan amal soleh disampaikan kepada-Nya.”

* Bersegera dalam melakukan kebaikan dan kebajikan juga adalah faktor dikenal pasti sebagai penyebab amalan seseorang diterima Allah S.W.T.

* Suka bersedekah dan tidak kedekut adalah punca amalan diterima Allah S.W.T.

* Mengekal dan memelihara taqwa kepada Allah juga menyebabkan amalan diterima Allah S.W.T.

* Istiqamah dalam agama dengan terus beramal dan melakukan perintah serta meninggalkan perkara yang terlarang adalah punca amalan diterima.

* Memelihara rukun Islam yang lima serta rukun Iman yang enam juga penyebab amalan diterima Allah S.W.T.

* Konsisten dalam beramal secara berterusan walaupun sedikit, ia bertepatan dengan penjelasan baginda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadith yang bermaksud:

“Sebaik-baik amalan di sisi Allah ialah yang bersifat berterusan walaupun sedikit”.

Apapun Ramadhan telah melahirkan dua jenis manusia yang mempunyai cara berbeza dalam penampilan mereka selepas Ramadhan, justeru marilah sama-sama kita renung secara mendalam untuk kita tentukan golongan mana yang patut dicontohi.

Golongan Pertama

Golongan yang dapat disaksikan dalam bulan Ramadhan begitu ghairah melakukan apa sahaja amal ibadat selagi sanggup melakukannya, solat ketika orang lain juga bersolat, ruku’, sujud, bertadarus dengan berlinangan air mata kerana takutkan azab Allah S.W.T ketika membaca al-Quran.

Agak sukar untuk melihat dalam diri mereka akhlak yang terkeji, kerana satu bulan Ramadhan diisi dengan pelbagai ketaatan kepada Allah S.W.T, menjauhkan diri dari segala maksiat dan perkara yang melalaikan.

Namun setelah sebulan dua ditinggalkan Ramadhan, ketaatan, ibadat dan segala apa yang dilakukan hanya menjadi kenangan manis yang berlalu pergi bersama pertukaran bulan-bulan yang lain, surau dan masjid bukan lagi menjadi tempat destinasi persinggahan, al-Quran bukan lagi menjadi bahan bacaan harian, bulan berganti bulan hingga terbit Ramadhan pada tahun berikutnya, inilah golongan yang hanya beribadat secara bermusim, seolah-olah Allah S.W.T hanya wujud di bulan Ramadhan sahaja, sedangkan pada bulan-bulan yang lain kehangatan beribadat semakin pudar.

Golongan Kedua

Golongan yang merasa amat gembira dengan kedatangan Ramadhan dan merasa hiba dengan pemergian bulan yang mulia ini, kerana mereka merasa seronok dengan kemanisan dan janji-janji yang ada padanya.

Ramadhan bagi mereka adalah peluang untuk menambah koleksi pahala sebanyak mungkin, kerana mereka mengetahui, bahawa Ramadhan bulan kesabaran, persamaan, berkasih-sayang, terdapat padanya Lailatul Qadr, solat Tarawih, rahama, keampunan, pelepasan dari api neraka, Nuzul al-Quran, tadarus, tazkirah, pengeluaran Zakat Fitrah, peristiwa Badr al-Kubra, pembukaan Kota Mekah dan seribu macam pahala yang tersedia untuk direbut.

Mereka beramal dengan sepenuh hati bagi menjana diri sebagai hamba-hamba Allah S.W.T yang bertaqwa menerusi ibadat puasa, mereka akan menangis jika Ramadhan hampir melabuhkan tirainya kerana mungkin tidak akan bertemu dengannya pada tahun-tahun yang mendatang.

Kesimpulannya

Terserah kepada anda untuk menentukan kedudukan yang mana satu yang harus anda pilih di antara dua golongan yang disebutkan di atas.

Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat Baginda Rasulullah S.A.W ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan ke dalam syurga Allah S.W.T yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan.

-ibnumustafa-

Monday, August 8, 2011

Kelebihan Ramadhan al-Kareem

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah S.W.T sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadith yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Dari Abu Hurairah R.A menyatakan: Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“
Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan.” - Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim, an-Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi.

2. Dari Abu Hurairah R.A daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“
Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu.” - Hadith Riwayat Imam an-Nasai'e, Ibn Majah, Ibn Habban dan Baihaqi.

3. Dari Abu Hurairah R.A telah berkata: Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud:
“
Sesiapa yang mendirikannya (Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya segala dosanya yang telah lalu.” - Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, an-Nasai'e, Malik, Ahmad dan Baihaqi.

4. Dari Abu Hurairah R.A telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“
Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan (iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan: Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah RA: Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda SAW bersabda: Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah (Islam).” - Hadith Riwayat Imam Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi.

5. Dari Abi Soleh az-Zayyat R.A bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah R.A berkata:
“
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untuk-Ku dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri (bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad S.A.W ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” - Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim, an-Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi.

-ibnumustafa-

Friday, August 5, 2011

Puasa, Iman dan Taqwa

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat.

Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada Surah 'Ali Imran; ayat 43:

“Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk.”

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad S.A.W. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam..

Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa A.S menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim A.S.

Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.


Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini.

Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa.

Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain.

Seperti yang difirmankan Allah S.W.T di dalam al-Qur'an,

“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” - Surah Al-Baqarah; ayat 183.

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.

Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu.

Lantaran itulah, Allah S.W.T menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi.

Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Allah S.W.T menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman.

“Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam.” - Surah Ali Imran; ayat 102.

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah S.W.T meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar.

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu..” -Surah Al-Ahzab; ayat 70-71.

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.

“Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat)..” - Surah Al-Hasyr; ayat 18.

Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka. Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” - Surah Al-Anfal; ayat 29.

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.

Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu.

Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah S.W.T mengingatkan kita dalam firmanNya,

“Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang.” - Surah Al Hujuraat; ayat 12.

Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.

Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan.

Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid.

Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.

Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah S.W.T.

-ibnumustafa-

Thursday, August 4, 2011

Fadhilat-fadhilat Sahih Bagi Solat Tarawih

Saban tahun bila menjelangnya Ramadhan selalu kita mendengar dan terbaca akan tentang kelebihan solat tarawih yang diriwayatkan dari Sayyidina Ali R.A yang cukup popular. Barangkali kerana tersebarnya kitab Durrah an-Nasihin dan terjemahan Melayunya yang memuatkan hadith tersebut di dalamnya.

Antara teksnya; daripada Sayyidina Ali R.A beliau telah menanyakan kepada Rasulullah S.A.W tentang fadhilat Solat Tarawih pada bulan Ramadhan. Jawab Rasulullah S.A.W tentang fadhilat tarawih sebagai berikut, mulai dari malam pertama sampai malam 30 Ramadhan:

1. Malam Pertama: Diberi balasan seperti bayi baru dilahirkan.
2. Malam Kedua: Diampuni Allah dosanya dan bagi ibu-bapanya jika keduanya mukmin.
3. Malam Ketiga: Diseru oleh malaikat di bawah Arasy dan dengan solat tersebut diampuni Allah dosanya yang telah lalu.
4. Malam Keempat: Dibalas Allah seperti membaca kitab Taurat, Injil, Zabur, dan Quran.
5. Malam Kelima: Kemudian dikurniai Allah seolah-olah sembahyang di Masjidil Haram, Masjid Madinah, dan Masjidil Aqsa.
6. Malam Keenam: Dikurnia Allah seolah-olah dia tawaf di Baitul Makmur dan dipintakan ampun oleh segala batu dan pasir.
7. Malam Ketujuh: Dikurniai Allah seolah-olah ia berjumpa dengan Nabi Musa AS dan membantu Musa melawan Fir’aun dan Haman...
8. ...demikian seterusnya hingga akhir malam ke-30.

Pengarang Durrah an-Nasihin hanya menyebut sumber petikannya daripada kitab Majalis. Bagaimanapun, hadith ini adalah hadith palsu, malah tiada sumber asal yang muktamad bagi hadith ini sebagaimana yang disebutkan oleh pakar-pakar hadith. Antaranya seperti yang disebut oleh Dr. Ahmad Lutfi Fathullah dalam tesisnya (Ph.D.), Takhrij Hadith-hadith Durrah an-Nasihin. Dalam Fatwa Mufti Kerajaan Brunei (1999) juga menyatakan ianya tiada di dalam kitab-kitab Ahlus Sunnah, namun ada diriwayatkan seumpamanya di dalam kitab-kitab Syiah seperti kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi dan Wasa’il al-Syi’ah oleh al-Hurr al-’Amili. Dan rujukan mereka tidak dapat dipegang oleh kita.

Maka bagi menggantikan hadith palsu tersebut saya telah menemukan empat buah hadith yang sabit mengenai kelebihan solat tarawih ini. Iaitu sepertimana berikut;


1. Diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.


عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يرغب في قيام رمضان من غير أن يأمرهم بعزيمة ثم يقول : من قام رمضان إيمانا واحتسابا غفر له ما تقدم من ذنبه. رواه البخاري ومسلم وأبو داود والترمذي والنسائي.


Daripada Abu Hurairah R.A katanya: “
Rasulullah S.A.W pernah menggalakkan sahabatnya berqiam Ramadhan tanpa menyuruh mereka dengan kesungguhan (yang menunjukkan wajib), kemudian sabdanya: Barangsiapa yang berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan redha dan ganjaran Allah) akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. - Hadith Riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, at-Tirmizi dan an-Nasa’i.

2. Kembali sepertimana hari ibunya melahirkannya.

حديث عبد الرحمن بن عوف: من صامه وقامه إيمانا واحتسابا خرج من ذنوبه كيوم ولدته أمه. رواه النسائي في الكبرى (11،295) والصغرى (2199)، وأحمد (1618، 1645) وابن خزيمة (2015) وابن ماجه (1331) والبيهقي في الشعب (3462).

Daripada ‘Abdur Rahman bin ‘Awf, sabda Nabi SAW: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dan berqiam Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab, ia akan keluar daripada dosa-dosanya sepertimana hari ibunya melahirkannya” - Hadith Riwayat an-Nasa’i, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Majah dan al-Baihaqi.

3. Ditulis dari kalangan para siddiqin dan syuhada’.

عن عمرو بن مرة الجهني رضي الله عنه قال : جاء رجل إلى النبي صلى الله عليه وسلم فقال: يا رسول الله، أرأيت إن شهدت أن لا إله إلا الله وأنك رسول الله وصليت الصلوات الخمس وأديت الزكاة وصمت رمضان وقمته، فممن أنا ؟ قال : من الصديقين والشهداء. رواه البزار وابن خزيمة وابن حبان في صحيحيهما واللفظ لابن حبان.

Daripada ‘Amru bin Murrah al-Juhani RA katanya: “Datang seorang lelaki kepada Nabi S.A.W lalu katanya: Wahai Rasulullah, apakah pendapat tuan sekiranya saya bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan sesungguhnya tuan adalah utusan Allah, dan saya bersolat lima waktu, menunaikan zakat serta berpuasa bulan Ramadhan dan berqiam Ramadhan, maka dari golongan siapakah saya ini? Jawab baginda: Dari kalangan para siddiqin dan syuhada’.” - Hadith Riwayat al-Bazzar, Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban.

4. Ditulis baginya pahala seumpama berqiamullail.

حديث أبي ذر : من قام مع الإمام حتى ينصرف كتب له قيام ليلة. رواه الترمذي وقال : هذا حديث حسن صحيح 791.

Hadith Abu Zar R.A, sabda Nabi S.A.W: “Barangsiapa berqiam (Ramadhan) bersama-sama imam sehingga ia selesai, akan ditulis baginya (ganjaran) seumpama berqiamullail”. - Hadith Riwayat at-Tirmizi.

Demikianlah fadhilat-fadhilat yang besar bagi orang yang mengerjakan solat tarawih ini. Kelebihan-kelebihan tersebut tidak tertentu pada malam tertentu sahaja, bahkan ianya adalah umum bagi solat tarawih sepanjang bulan Ramadhan. Semuanya dapat diperolehi dengan kemurahan rahmat Allah S.W.T bagi mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakannya. Mudah-mudahan fadhilat-fadhilat solat tarawih ini dapat tersebar secara lebih luas menghapuskan hadith palsu mengenainya.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-