PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Wednesday, September 17, 2008

Pembetukan Kerajaan: Kenyataan Penuh Anwar

— KENYATAAN MEDIA UNTUK EDARAN SEGERA—

PETALING JAYA, MALAYSIA, 16 SEPTEMBER 2008

Hari ini rakyat Malaysia menyambut Hari Malaysia- hari di mana negara kita menjadi satu dan rakyatnya bersatu. Hari ini mempunyai makna baru. Selepas bertahun berjuang, melawan sistem yang dilanda dan mengabaikan prinsip keadilan- kita sekarang berada diambang kemenangan. Hasrat kita untuk membina semula negara dan menyatu padukan rakyat Malaysia sebagaimana yang dicita-citakan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan sudah semakin dekat.

Keadaan ekonomi yang merudum jatuh dengan kadar pengangguran dan inflasi yang tinggi telah menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat yang meluap-luap. Hubungan antara kaum menjadi tegang, diburukkan lagi dengan propaganda oleh media yang dikawal oleh kerajaan. Pentadbiran sekarang gagal untuk menawarkan jawapan buat negara kita keluar dari kedudukan sukar ini.

Pakatan Rakyat yakin dapat menyelamatkan Malaysia dari masalah ekonomi dan politik berbaur perkauman. Kami akan melaksanakannya secara bertanggungajwab, menuruti prinsip undang-undang dan tidak akan sama sekali menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara dan rakyat negara ini.

Pakatan Rakyat kini memiliki majoriti yang selesa untuk membentuk sebuah kerajaan baru yang stabil. Kerajaan baru yang mencerminkan masyarakat Malaysia yang majmuk.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam.

Dengan mandat ini kami bertekad untuk melaksanakan peralihan kuasa yang aman. Kami tidak ingin berulangnya peristiwa yang berlaku sewaktu mengambil alih kuasa di negeri Perak dan Selangor, di mana dokumen milik kerajaan negeri di lupuskan oleh pentadbiran terdahulu.

Kami mengingatkan kepada elemen radikal di dalam Barisan Nasional agar tidak menyalahgunakan kuasa serta menahan para penyokong Pakatan Rakyat. Penyiasatan yang dibuat secara tergesa-gesa oleh BPR terhadap Dato Seri Yong Teck Lee selepas mengumumkan akan membuat undi tidak percaya terhadap Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan di antara taktik yang kita tolak. Penggunaan ISA terhadap Ahli Parlimen Teresa Kok merupakan contoh untuk menghalang perubahan dengan tidak mengikut lunas-lunas perundangan.

Jesteru itu kami ingin duduk semeja dengan Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk melaksanakan peralihan kuasa secara bertanggungjawab, lancar dan aman. Hasrat ini telah kami sampaikan kepada Perdana Menteri melalui surat yang dikirimkan jam 2.30 petang semalam dan kami menuntut beliau memberi perhatian terhadap beberapa perkara seperti berikut :

1) Agar Barisan Nasional tidak menghalang ahli parlimennya dari bertindak menurut suara hati mereka, hak yang dijamin undang-undang serta keputusan yang mereka buat tanpa paksaan;

2) BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk menahan ahli parlimen yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat atau ahli parlimen Pakatan Rakyat yang berjumlah 82 itu;

3) Kerajaan BN tidak seharusnya menggunakan kuasa darurat, kuasa polis, atau menggantung perlembagaan mahupun membubarkan parlimen di dalam usaha mereka untuk menghalang Pakatan Rakyat dari berkuasa;

4) Dan Kerajaan Barisan Nasional tidak membuat sekatan jalan raya dan menghalang ahli parlimen, dari memasuki parlimen dan juga institusi-institusi kerajaan lainnya.

Kami yakin Perdana Menteri berkongsi keperihatinan yang sama terutamanya berkenaan kebajikan rakyat dan keselamatan negara. Kami percaya beliau akan memastikan Barisan Nasional bertindak mengikut perlembagaan dan prinsip-prinsip demokratik demi memastikan peralihan kuasa yang aman, serta tiada tindakan sabotaj untuk menghalang hasrat rakyat ataupun menggunakan retorik berbaur perkauman.

Kami menyeru masyarakat di semua lapisan agar memahami hasrat kami semata-mata untuk kebaikan negara ini. Saya juga ingin mengingatkan media massa jangan lagi berada di dalam penafian dengan meneruskan propaganda bahawa kami berbohong. Kita sekarang berada dalam era baru maka saya menyeru media massa meninggalkan tabiat lama dan mengambil iltizam untuk meningkatkan professionalisme kewartawanan.

Selepas pertemuan dengan Perdana Menteri, kami berhasrat untuk meneruskan gerak kerja kami sebagaimana yang digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan di dalam kami membentuk kerajaan baru dengan perkenan Yang Di-Pertuan Agong.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat

* sumber dari suarakeadilan.com

Tuesday, September 16, 2008

Mati, peringatan penting dipinggirkan Muslim

Dalam satu wasiat Nabi Muhammad s.a.w. kepada Ibnu Umar (Abdullah) r.a. berbunyi: "Anggaplah dirimu di dunia ini sebagai seorang musafir atau pun sebagai pengembara."

Huraiannya

Hadis ini menganjurkan kepada kita supaya sentiasa mengingatkan mati dan mengurangkan cinta keterlaluan terhadap dunia yang fana ini.

Ibnu Umar pernah berkata: Jika anda masih hidup pada waktu pagi, jangan tunggu hingga ke petang dan jika anda masih hidup pada waktu petang, jangan tunggu hinga ke pagi, sediakan dirimu pada masa hidup untuk bekalan waktu mati, dan pada masa sihat untuk bekalan waktu sakit.

Justeru, wasiat Nabi di atas sentiasa mengingatkan kita betapa kita bagaikan musafir yang sedang berlalu sementara di dunia ini, maka apakah persiapan bekalan yang telah kita buat bagi menghadapi Allah SWT pada hari yang penuh dengan persoalan di padang Mahsyar?

Kita tidak akan hidup kekal dan lama di dunia, oleh itu, jangan sekali-kali kita melakukan kejahatan. Jika kejahatan yang dilakukan boleh menyebabkan kita tidak mati, maka lakukanlah, tetapi kejahatan yang kita buat semasa hidup di dunia, kesemuanya akan ditayangkan semula di hadapan Allah oleh para jururakam di kalangan para Malaikat, walaupun kita telah melupakannya, tetapi Allah sekali-kali tidak demikian.

Mereka yang telah pun meninggal dunia dan mendapat seksa kubur, meraung-raung minta pertolongan daripada orang yang masih hidup, terutamanya ahli keluarga terdekat, apakan daya, kita tidak mendengarnya, maka yang dibawa oleh seseorang dalam alam kubur bersamanya ialah amalannya semasa hidup di dunia satu ketika dahulu, maka fikir-fikirlah...

Manusia hari ini enggan bercakap tentang mati

Ia terjadi kerana manusia pada hari ini tidak berapa mahu meletakkan urusan agama itu lebih penting daripada segala-galanya. Sebagai contoh, terkadang-kadang kita dapat lihat seorang Muslim itu dari agenda hariannya sebagai seorang yang beragama Islam, tetapi tidak berusaha untuk menampilkan diri dengan Islam itu sendiri.

Sejak mencelikkan mata bangun daripada tidur, paling tidak menunaikan solat Subuh, itupun bukan dalam keadaan berjemaah, sama ada di masjid, surau ataupun menjadi imam di rumah bersama isteri dan anak-anak.

Kalau pada hujung minggu, lepas solat tidur semula, tidak berapa terikat dengan kuliah subuh, pembacaan al-Quran, membaca zikir Ma�thurat, kaunseling diri, isteri dan anak-anak, atau apa sahaja yang boleh meningkatkan peristasi iman kepada Allah SWT.

Bangun selepas itu bersarapan pagi, kemudian ke pasar atau berjalan-jalan bersama keluarga ke tempat yang boleh menghilangkan rasa gundah seminggu di pejabat.

Tetapi persoalannya di sini, kenapa elemen-elemen agama tidak termuat dalam diari atau agenda harian hidup seseorang Muslim.

Apakah kita sudah rasa cukup dengan ilmu yang ada di dada mengenai ilmu-ilmu yang boleh mengingatkan kita kepada alam kematian?

Ilmu agama terakhir yang dipelajari mungkin semasa menduduki peperiksaan SPM beberapa tahun lalu di sekolah menengah, kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat M.A. atau PhD. Selepas daripada itu, menjawat jawatan mantap dengan gaji yang lumayan, sibuk dengan tugas harian yang akhirnya menjadikan diri teramat sibuk. Kuliah di pejabat pun tidak boleh hadir dan begitulah kuliah-kuliah yang disediakan di surau atau masjid berdekatan di rumah.

Hati menjadi keras

Rasulullah s.a.w. pada penghujung hayatnya, pernah memanggil menantu merangkap sepupu baginda iaitu Sayidina Ali bin Abi Talib. Baginda mewasiatkan kepadanya: Wahai Ali! Jika berlalu di kalangan orang Islam 40 hari (sahaja), mereka tidak hadir dan duduk dalam majlis ilmu (fardu �Ain), maka orang itu akan menghadapi dua akibat buruk. Pertama hatinya menjadi keras (sukar untuk menerima petunjuk llah atau segala kebaikan) dan kedua berani pula melakukan dosa-dosa besar.

Insan bernama Muslim hari ini tidak berapa mempedulikan persoalan agama mereka sendiri. Sudahlah tidak mahu jadi orang yang faham agama, melakukan dosa-dosa pula. Si suami membiarkan isteri keluar rumah tanpa berhijab (tudung kepala). Si ayah pula membiarkan anak gadis tidak berhijab dan menampakkan pusat-pusat mereka. Anak lelaki tidak mengnal huruf-huruf al-Quran dan ada yang tidak tahu mandi junub (hadas besar atau mandi wajib).

Kesemua itu adalah implikasi daripada tidak hadir dan duduk dalam majlis-majlis ilmu.

Ada antara para ibu bapa Muslim seronok melihat anak-anak mereka berjaya dalam bidang hiburan, daripada menyertai bidang nyanyian peringkat dewasa hinggalah ke peringkat bakat bintang kecil. Apa yang pasti penampilan anak-anak ini dengan pakaian yang tidak dibenarkan oleh hukum syarak, tetapi semua itu tidak dipedulikan oleh mereka yang bernama Islam.

Seolah-olah Islam tidak boleh dicakap-cakap jika hendak maju dalam pelbagai bidang dalam kehidupan dunia. Tetapi mereka lupa, bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda maksudnya, �Sesiapa yang mahukan kejayaan di dunia, mestilah dengan ilmu (agama), jika dia mahu kejayaan di akhirat juga mestilah dengan ilmu, dan jika mahu kedua-duanya sekali mestilah dengan ilmu.�

Apabila ilmu agama tidak menjadi teras dan sandaran dalam kehidupan orang Islam pada zaman ini. Maka mereka sebenarnya telah mengundang pelbagai masalah seperti terlibat dengan rasuah, keruntuhan moral serta harga diri, tidak berakhlak, meninggalkan solat, penagihan dadah, mentadbir negara bukan dengan hukum Allah, dan semua masalah itu tidak akan dapat diselesaikan kecuali menerima penyelesaiannya daripada Allah juga, iaitu pelaksanaan hukum-hukum Islam dan Sunnah (hadis) Nabi Muhammad s.a.w.

Tanpa pelaksanaan hukum-hukum Islam itu menandakan bahawa manusia menolak Allah yang telah menawarkan yang terbaik buat diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka.

Mereka tidak akan bercakap mengenai mati, bekalan untuk hari akhirat, persoalan alam kubur apatah lagi mengenai nasib di penghujung hayat, sama ada boleh mengucap dua kalimat syahadah atau pun tidak, semua ini tidak ada dalam kamus kehidupan manusia hari ini, kerana mereka sudah semakin jauh daripada Allah walaupun mereka dilahirkan sebagai seorang muslim.

Penyelesaian masalah

Justeru bagi menyelamatkan diri selagi terdaya untuk dilakukan, maka renungilah empat perkara di bawah ini seperti yang pernah diperingatkan oleh Imam Al-Ghazali:

Pertama: Berurusanlah dengan Allah sepertimana kamu suka orang bawahanmu berurusan denganmu dengan cara yang terbaik.

Kedua: Setiap kali kamu bekerja dengan orang lain, perbuatlah sepertimana kamu mahu diperbuat ke atas diri kamu. Kerana tidak sempurna iman seseorang selagi mana dia tidak suka orang lain memperolehi sesuatu yang dia sendiri menyukainya.

Ketiga: Jika kamu mahu mempelajari sesuatu, pilihlah untuk mempeljari ilmu yang dapat memperbaiki hati dan memperbaiki jiwa dan sanubarimu.

Sekiranya kalau kamu tahu umurmu hanya tinggal seminggu sahaja lagi, sudah pasti kamu tidak akan memilih untuk mempelajari ilmu fiqh, tahudid, sirah, akidah dan sebagainya.

Dan mungkin juga kamu akan mengawasi hatimu dan berusaha melepaskannya dari belenggu dunia.

Kamu akan memperbaiki akhlakmu dan sibuk untuk beribadat kepada Allah SWT (selaku Penciptanmu) setiap saat.

Justeru, kamu mestilah sentiasa berakhlak mulia, kerana sesungguhnya kematian itu akan datang pada bila-bila masa sahaja.

Begitulah cuba kamu bayangkan, jika seorang pemimpin negara akan datang menziarahimu, sudah tentu kamu akan lakukan persiapan yang mantap, menghias rumah, memperbaiki mana-mana yang tidak betul dan bermacam-macam lagi.

Keempat: Janganlah mengumpul harta dunia lebih daripada keperluanmu untuk satu tahun.

Rasulullah s.a.w. sendiri menyediakan bekalan yang sebanyak itu sahaja untuk isteri-isteri baginda yang lebih kukuh imannya hanya dengan disediakan bekalan untuk sehari setengah sahaja. Bagi orang yang suka mengumpul harta hingga tidak sempat untuk menjenguk rumah Allah tujuan untuk beribadat kepada-Nya, maka orang itu akan disibukkan Allah SWT.

Renung-renungkanlah wahai saudara-saudaraku sekalian!

-am-

BN Abaikan semangat pembentukan Malaysia dan Pengisytiharan Kemerdekaan - Anwar

45 tahun lalu, enam tahun selepas mengecapi kemerdekaan, negara ini mulai dikenal sebagai Negara Malaysia. Tarikh keramat 16 September 1963 menyaksikan pembentukan sebuah negara Persekutuan Malaysia yang berdaulat dan bebas merdeka. Pada hari tersebut 45 tahun lalu rakyat Malaysia seluruhnya, dari Perlis hingga ke Sabah, tidak kira sama ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, bersetuju untuk hidup bersama.

Namun apa yang berlaku selepas 45 tahun Kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin UMNO semakin rakus berkuasa. Semangat Pembentukan Persekutuan Malaysia dan Pengisytiharan Kemerdekaan diabaikan agar mereka dapat terus berkuasa. Penggunaan undang-undang kuku besi digunakan sewenang-wenangnya manakala retorik perkauman sering digunakan untuk melaga-lagakan rakyat yang berbilang kaum. Ini lah yang dikatakan penindasan ke atas manusia oleh manusia.

Ini semua harus berhenti. Kini sudah tiba masanya untuk kita melakukan perubahan. Perubahan yang memastikan kamu semua dan saya setara, perubahan yang memastikan kita semua dikenal sebagai Bangsa Malaysia. Perubahan yang akan menyaksikan ‘kepada pelampau tiada dokongan, kepada diskriminasi tiada sokongan.’

Bersempena sambutan Hari Malaysia yang ke 45 yang diadakan di Stadium Kelana Jaya, saya menyingkap ringkas idealisme kebebasan Sun Yat Sen; dan memetik pidato presiden Sukarno yang menjanjikan kemerdekaan Indonesia “semua untuk semua” bukan sekadar melayani tuntutan kelompok kecil. Saya memetik ucapan ‘Tryst with Destiny’ yang disampaikan oleh Jawaharlal Nehru, “We have to build the noble mansion of free India where all her children may dwell. The appointed day has come-the day appointed by destiny-and India stands forth again, after long slumber and struggle, awake, vital, free and independent.”

Juga pidato Muhammad Ali Jinnah, pengasas negara Pakistan di Constituent Assembly 1947. Jinnah mengaggap kemerdekaan negaranya muncul dari gejolak rakyat, satu “cyclonic revolution” tetapi memberi amaran agar pasukan keselamatan bebas tidak terheret dengan politik dan pemimpin menghindari dari rasuah.

Malah dalam Pemasyhuran Kemerdekaan 31 Ogos 1957, YTM Almarhum Tunku ARahman menekankan soal kebebasan, keadilan dan hak semua rakyat.

Saya menyentuh semangat muafakat Pakatan Rakyat yang menerima peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai Bahasa Melayu, kedudukan Islam dan hak keistimewaan Melayu-Bumiputra di samping menjamin hak semua rakyat.

Saya percaya rangkuman dan adunan petikan ucapan yang telah saya sorot sebelumnya sangat jelas untuk menggambarkan harapan semua rakyat Malaysia yang kepingin untuk Malaysia kembali makmur dan perkasa.

Dirgahayu Malaysia!

ANWAR IBRAHIM

* sumber dari suarakeadilan.com

Perubahan Kerajaan Tetap Akan Berlaku- Anwar

KELANA JAYA, 16 JANUARI (SK) - PERUBAHAN kerajaan akan berlaku dalam masa terdekat setelah mengambil kira pelbagai faktor dan jumlah Ahli Parlimen sudah mencukupi.

Dalam ucapan dihadapan kira-kira 30,000 penyokong Pakatan Rakyat di Stadium Kelana Jaya malam tadi, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata wakil-wakil Pakatan Rakyat telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri Abdullah Badawi untuk bertemu denganya.

“Petang tadi, Anthony Loke, Johari telah pergi ke Putrjaya, hantar surat untuk berjumpa segera dengan perdana menteri sebab kita mahukan perubahan aman dan tenteram,” kata Anwar.

Ketua Umum KeADILan itu juga berkata banyak perkara yang telah dilakukan Barisan Nasional antaranya dengan membawa Ahli-ahli Parlimen ke Taiwan beberapa hari lalu serta menahan Ahli Parlimen DAP Teresa Kok dibawa ISA, walaubagaipun perubahan kerajaan masih seperti yang dirancang.

“Kita ada cukup jumlah untuk mengalahkan BN. Bukan hendak paksa, pergi Putrajaya hendak heret, ambil alih bukan mengikut hukum rimba, yang lalu tetap berlalu,” katanya lagi.

Anwar turut berkata, ada pengumumkan akan dilakukan hari ini berikutan pendirian Pakatan Rakyat. Suara Keadilan turut difahamkan bahawa satu sidang media oleh beliau akan diadakan hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai peletakan jawatan Zaid Ibrahim sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Anwar berkata Zaid akan mengumumkan berita gembira dalam masa dua atau tiga hari ini.

* sumber dari suarakeadilan.com

Andainya kau dan aku tahu..

andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu siangnya engkau sibuk berzikir
tentu engkau tak akan jemu melagukan syair rindu
mendayu..merayu. .kepada- NYA Tuhan yang satu
andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tentu sholatmu kau kerjakan di awal waktu
sholat yang dikerjakan.. .sungguh khusyuk lagi tawadhu'
tubuh dan qalbu...bersatu memperhamba diri
menghadap Rabbul Jalil.. menangisi kecurangan janji
'innasolati wanusuki wamahyaya wamamati lillahirabbil 'alamin'
[sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku, dan matiku.....
kuserahkan hanya kepada Allah Tuhan seru sekalian alam]..


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir
tidak akan kau sia siakan walau sesaat yang berlalu
setiap masa tak akan dibiarkan begitu saja
di setiap kesempatan juga masa yang terluang
alunan Al-Quran bakal kau dendang...bakal kau syair kan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu malammu engkau sibukkan dengan
bertarawih.. .berqiamullail. .bertahajjud. ..
mengadu...merintih. .....meminta belas kasih
'sesungguhnya aku tidak layak untuk ke syurga-MU
tapi...aku juga tidak sanggup untuk ke neraka-MU'


andai kau tahu ini Ramadha n terakhir

tentu dirimu tak akan melupakan mereka yang tersayang
mari kita meriahkan Ramadhan
kita buru...kita cari......suatu malam idaman
yang lebih baik dari seribu bulan


andai kau tahu ini Ramadhan terakhir

tentu engkau bakal menyediakan batin dan zahir
mempersiap diri...rohani dan jasmani
menanti-nanti jemputan Izrail
di kiri dan kanan ...lorong-lorong redha Ar-Rahman


Duhai Ilahi....
andai ini Ramadhan terakhir buat kami
jadikanlah ia Ramadhan paling berarti...paling berseri...
menerangi kegelapan hati kami
menyeru ke jalan menuju ridho serta kasih sayangMu Ya Ilahi
semoga bakal mewarnai kehidupan kami di sana nanti


Namun teman...
tak akan ada manusia yang bakal mengetahui
apakah Ramadhan ini merupakan yang terakhir kali bagi dirinya
yang mampu bagi seorang hamba itu hanyalah
berusaha...bersedia ...meminta belas-NYA



andai benar ini Ramadhan terakhir buat ku
MAAFKAN SEMUA KESALAHAN YANG PERNAH DILAKUKAN


-am-

Friday, September 12, 2008

16 September wajar dimartabatkan – Prof Khoo Kay Kim

Bagi rakyat Malaysia yang menetap di Semenanjung, perayaan kemerdekaan 31 Ogos setiap tahun sememangnya telah sinonim untuk di raikan sebagai usaha memperingati kemerdekaan. Namun bagi rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak tarikh 31 Ogos 1957 adalah detik yang mana dua negara di kepulauan Borneo itu masih berada di bawah jajahan British. Manakala 16 September 1963 merupakan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia. Editor, Mat Zahari Ali menemubual Pakar Sejarah Universiti Malaya, Prof Khoo Kay Kim untuk meneliti kewajaran tarikh 16 September untuk di nukilkan sebagai hari kebesaran negara.

SK: Prof membuat kenyataan dalam media arus perdana baru-baru ini bahawa 16 September tidak harus diraikan sebagai hari hari besar kerana telah ada 31 Ogos?


Prof Khoo : Ha ha ha( ketawa kecil)… itu yang saya hairan, ada wartawan yang telefon saya tapi yang dia tulis lain dari apa yang saya cakap. Dia (wartawan arus perdana) tanya saya, apakah saya setuju dengan saranan Anwar supaya 16 September di jadikan sebagai hari cuti umum sebagaimana 31 Ogos. Saya jawab lain tapi dia tulis lain.

SK : Apa jawapan Prof?


Prof Khoo : Saya kata dua tarikh itu berdasarkan fakta sejarah adalah penting dan wajar di rayakan sebagai hari kebesaran negara. 31 Ogos 1957 sebenarnya adalah tarikh British menyerahkan kedaulatan negara pada kuasa raja bukannya kepada orang tertentu sebagaimana di dakwa. Tetapi kemudiannya raja menurunkan atau memberikan kedaulatan itu kepada rakyat kerana kuasa tertinggi dalam Tanah Melayu pada ketika itu adalah Raja bukannya individu tertentu. Lalu mandat itu di terima oleh rakyat untuk di sambut sebagai kemerdekaan itu.

16 September pula adalah ulangan kita untuk mengingati tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Tanah Melayu pada 1963 yang kemudiannya Tanah Melayu di tukar kepada Persekutuan Malaysia. Maka mengapa kita tidak boleh bertolak ansur untuk menjadikan 16 September sebagai sebahagian dari hari kebesaran negara. Kita mulakan dengan sambut 31 Ogos dan 16 September sebagai hari puncak perayaan. Dua minggu saja tempohnya dan hari mula dan hari terakhir di jadikan hari cuti. Bukan susah sangat.

SK: 31 Ogos hari merdeka, 16 September apakah pula nama yang sesuai untuk diraikan?

Prof Khoo: Ha, ha ( ketawa kecil).. apa nama pun tak apalah, Hari Malaysia ke, Hari Persekutuan ke atau apa-apa sajalah tetapi mesejnya perlu jelas supaya rakyat memahaminya dalam kontek yang lebih luas.

SK: Maksud Prof

Prof Khoo : Sejarah Negara yang terhidang di depan kita selepas 51 tahun merdeka dan 45 tahun Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia kita menemukan banyak jurang yang berlaku antara Malaysia Barat dan Malaysia Timur.
Baik dalam kontek bahasa, budaya, ekonomi, pendidikan, perpaduan kaum, politik dan sebagainya banyak yang berbeza. Kita di semenanjung dengan kesemenanjungannya dan kawan kita di Malaysia Timur pula dengan cara mereka dan tidak ada titik pertemuan yang harmoni antara keduanya.
Walaupun ada di bidang politik tetapi masing-masing ada agenda yang bukan bermatlamatkan penyatuan bangsa Malaysia tetapi lebih kepada kekuasaan dan pengaruh politik. Ini sebenarnya lebih memisahkan lagi.
Kita di semenanjung ini pun dalam politik kita di pecah dan di pisahkan dengan kesukuan dan kebangsaan masing-masing. Maka lebih hebat lagilah jurangnya apa yang berlaku di Sabah dan Sarawak yang turut di pisahkan lagi oleh Laut China Selatan.

SK: Berdasarkan falsafah sejarah apakah mekanisma sesuai untuk menjadikan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak lebih bersatu dan ‘harmoni’?

Prof Khoo: Kalau kita membicarakan soal 16 September, saya bersetuju 16 September di jadikan sebagai satu tarikh yang harus dikenang dan dirai oleh rakyat Malaysia secara keseluruhan kerana 31 Ogos tidak sangat memberi signifikan kepada rakyat di Sabah dan Sarawak. Kalau ini berlaku saya rasa tarikh ini akan memberi satu pengiktirafan dan penghormatan kepada rakyat di kepulauan Borneo itu oleh kerajaan pusat. Tetapi ini bukanlah jalan pokok ke arah itu tetapi ia boleh dijadikan simbol asas ke arah penyatuan yang menyeluruh kerana setiap sesuatu itu harus dimulai dengan satu titik. Maka tidak salah kalau kita jadikan perayaan sempena 16 September sebagai satu titik tersebut.

SK: Ada pihak menganggap menjadikan 16 September sebagi hari cuti umum sebagai hal remeh dan mencukupi dengan hari-hari cuti yang sedia ada?.

Prof Khoo: Saya tidak berminat untuk bercakap hal politik tetapi dalam konteks sejarahnya kita tidak boleh meremehkan sejarah orang lain dan kesalahan yang lebih besar adalah kita memaksa orang lain menerima sejarah kita. Kita kena ingat bahawa sejarah memberi kesan yang besar kepada pelbagai disiplin hidup baik politik, ekonomi, sosial hingga ke pasaran saham. Banyak kegagalan pemimpin dunia dalam menguasai rakyat mereka di sebabkan mereka mengabaikan fakta sejarah. Sejarah juga membuktikan pemimpin yang meletakkan penguasaan kuasa di hadapan dan membelakangkan kedaulatan rakyat adalah pemimpin yang bersifat sementara.

SK: “Perpaduan Asas Kejayaan” sebagai moto sambutan kemerdekaan baru-baru ini dianggap moto tahun 60′an dan tak wajar selepas negara merdeka 51 tahun. Prof setuju dengan saya?

Prof Khoo: Saya setuju kerana berdasarkan status kedaulatan negara itu, perpaduan merupakan hiraki kedua selepas keamanan dalam piramid kemanusiaan. Tapi apabila kita meletakkan perpaduan itu sebagai satu ikon dalam kita memberi sesuatu manifestasi ia menggambarkan pemimpin negara tersebut sedang menghadapi masalah asas dalam mengurus tadbir negara dan rakyatnya. Ini kerana moto itu memberi makna atau bersifat kempen oleh kerajaan kerana ia sedang berhadapan dengan masalah yang menyebabkan moto tersebut disebarkan kepada rakyat.
Pada pandangan saya, kita seharusnya telah selesai mengatasai masalah perpaduan setelah merdeka lebih 51 tahun tetapi saya hairan mengapa kita masih gagal menyelesaikan masalah perpaduan antara kaum ini.

SK: Andai 16 September berjaya di letakkan sebagai satu hari keraian oleh negara kita. Apakah moto perpaduan ini sesuai untuk dijadikan sebagai ikon sulungnya?

Prof Khoo: Boleh juga kalau mahu kerana buat masa ini kita sedang berhadapan dengan mood perkauman yang memperlihatkan semakin menakutkan di mainkan oleh ahli-ahli politik.
Ia tidak berapa ketara di Malaysia Timur tapi di semenanjung telah menampakkan putik-putiknya.
Dalam teori sejarah keadaan ini di lihat sebagai fenomena melangkah kebelakang kerana macam saya sebutkan kita seharusnya menyelesaikan masalah perkauman ini dalam masa sepuluh tahun pertama selepas kemerdekaan tetapi kita gagal.
Sistem pendidikan kita juga gagal, sistem sosial kita juga gagal, dalam ekonomi pun gagal malah banyak yang kita gagal sehingga kesannya selepas 51 tahun merdeka pun kita masih berhadapan dengan masalah asas iaitu perkauman dan perpaduan hingga ke saat ini.
Walhal Penyata Razak 1956 dijadikan agenda perlembagaan Persekutuan untuk merealisasikan perpaduan dikalangan pelbagai kaum.
Tapi hal ini tidak selesai sampai bila-bila pun apatah lagi apabila amalan ahli politik yang menggunakan isu perkauman sebagai jalan mudah untuk berkuasa dan mendapatkan sokongan dari kaum yang diwakilinya. Sampai bila pun tak akan selesai.

* sumber dari suarakeadilan.com

Sinar Cahaya Ayat Kursi

Salam,
Dlm sebuah hadith, ada menyebut perihal seekor syaitan yang duduk di atas pintu rumah. Tugasnya ialah untuk menanam keraguan di hati suami terhadap kesetiaan isteri di rumah dan keraguan di hati isteri terhadap kejujuran suami di luar rumah. Sebab itulah Rasulullah S.A.W tidak akan masuk rumah
sehingga Baginda S.A.W mendengar jawaban salam dari isterinya. Di saat itu syaitan akan lari bersama-sama dengan salam itu.

Hikmat Ayat Al-Kursi mengikut Hadith-hadith:

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi bila berbaring di tempat tidurnya, Allah S.W.T mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap solat fardhunya, dia akan berada dalam lindungan Allah S.W.T hingga solat yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap solatnya, dia akan dimasukkan ke dalam syurga dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur,
Allah S.W.T akan memelihara rumahnya dan rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap-tiap solat fardhunya, Allah S.W.T menganugerahkan dia setiap hati orang yang bersyukur,
setiap perbuatan orang yang benar, pahala nabi2, serta Allah S.W.T melimpahkan rahmat padanya.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah S.W.T mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua
memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir solatnya, Allah S.W.T akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid..

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah S.W.T berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah ibnu 'Amr R.A., Rasulullah S.A.W. bersabda:


"Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."

"Utamakan SELAMAT dan SEHAT untuk Dunia-mu, utamakan SOLAT dan ZAKAT untuk Akhirat-mu"

Wallahu 'alam....


-am-