PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Saturday, August 21, 2010

POLEMIK POLITIK PULAU PINANG - Hukum Mendoakan Orang Yang Bukan Muslim

Kita sebagai umat muslim haruslah membezakan antara mu'amalah dengan ibadah mahdhoh. Hubungan sesama yang bukan muslim adalah bentuk daripada salah satu cabang mu'amalah. Inilah yang perlu kita perhatikan dan mengambil berat:

PERTAMA: BERTAKZIAH KAPADA ORANG YANG BUKAN MUSLIM


Para ulama' telah menyepakati bahawa bertakziah kepada orang yang bukan muslim hukumnya boleh (harus). Termasuk berbuat baik, bermu'amalah, berjiran tetangga, saling bertukar hadiah dan seterusnya. Sama dengan halnya menziarahi kawan-kawan, jiran yang bukan muslim ketika sakit.

Perilaku ini dibenarkan berdasarkan teladan Nabi S.A.W di masa lalu, di mana beliau pernah mengunjungi jenazah orang kafir. Dan Syara' tidak melarang kita untuk melakukan hal ini, kerana tidak ada nash yang melarangnya. Termasuk juga yang dibolehkan adalah mengucapkan belasungkawa (takziah) kepada keluarga atau kerabatnya.


"Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil." - Surah Al-Mumtahanah; ayat 8.

Diriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W menjenguk seorang Yahudi yang dahulu pernah melayaninya dan akhirnya Yahudi itu memeluk Islam. Hal itu diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, juga disebutkan oleh Ibnu Hajar dalam Al-Matalib Al-Aliyah.

Intipatinya ialah bermu'amalah itu dibolehkan selama mana dalam koridor atau lingkungan syariah. Tokoh Hadith yang terkenal Imam Sufian At-Tsauri pernah berkata bahwa seorang muslim dibolehkan untuk bertakziah kepada orang bukan Islam yang mati, dan kepadanya disunnahkan untuk mengucap (lillahis-sultanwal azhamah), kekuasaan dan keagungan hanyalah milik Allah.


Al-Hasan berkata bila kamu bertakziah kepada orang kafir maka ucapkanlah,

"Tidaklah menimpamu kecuali kebaikan."


Abu Ubdullah bin Baththah berkata,

"Yang diucapkan pada saat bertakziah kepada orang kafir adalah: Semoga Allah memberikan kepada atas musibah ini sesuatu yang lebih baik dari apa yang Allah berikan kepada siapapun dari orang yang memeluk agamamu."

Seorang muslim boleh memilih lafaz manapun yang lebih disukainya dari lafaz-lafaz di atas.


KEDUA: MENDOAKAN ORANG KAFIR

Hukum mendoakan orang kafir itu tergantung dari kandungan doanya dan pada saat atau ketika bila doa itu dipanjatkan. Berdoa kepada Allah SWT untuk orang kafir yang dibenarkan adalah mendoakannya agar mendapatkan hidayah agar masuk Islam. Sebagaimana dahulu Rasulullah S.A.W pernah berdoa agar Islam dikuatkan oleh salah satu dari dua Umar. Dan akhirnya Umar bin Al-Khattab memeluk Islam.

Selain itu, doa yang dibolehkan adalah memintakan ampunan untuk orang kafir KETIKA MASIH HIDUP. Hal itulah berdasarkan dari hadith berikut ini:


Dari Abi Abdirrahman Abdillah ibni Mas'ud R.A berkata, "Seolah aku masih melihat Rasulullah S.A.W tengah menceritakan seorang nabi di antara para nabi shalawatuhu wa salamuhu alaihim yang dipukul oleh kaumnya hingga berdarah. Nabi itu lalu menyeka darah dari wajahnya seraya berdoa, "Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana mereka tidak tahu"." - Hadith Riwayat Muttafaqun 'alaihi.


Namun meminta keampunan bagi orang kafir yang SUDAH MENINGGAL DUNIA hukumnya HARAM. Dalilnya adalah ketika Rasulullah S.A.W meminta izin kepada Allah S.W.T untuk meminta ampunan dari Allah atas ibunya, permintaan itu ditolak Allah S.W.T. Dalil lainnya adalah sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Al-Quran kisah meninggalnya Abu Thalib, di mana saat itu Rasulullah S.A.W ingin meminta keampunan kepada Allah S.W.T atas dosa-dosa Abu Thalib. Saat itu turunlah ayat berikut ini:


"Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman meminta keampunan bagi orang-orang musyrik, walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu adalah penghuni neraka jahanam. Dan permintaan ampun dari Ibrahim untuk bapaknya tidak lain hanyalah kerana suatu janji yang telah diikrarkannya kepada bapanya itu. Maka, tatkala jelas bagi Ibrahim bahawa bapanya itu adalah musuh Allah, maka Ibrahim berlepas diri dari padanya. Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang yang sangat lembut hatinya lagi penyantun." - Surah At-Taubah; ayat 113 - 114.


"Orang-orang Yahudi berpura-pura bersin di majlis Rasulullah S.A.W dengan tujuan supaya Baginda S.A.W bersabda dan mendoakan mereka dengan mendapat rahmat Allah S.W.T – sebagaimana doa bagi orang-orang Islam apabila mereka bersin – Maka Baginda S.A.W bersabda (kepada orang-orang Yahudi ketika mereka bersin) semoga Allah S.W.T memberi hidayah kepada kamu dan membetulkan hal ehwal kamu." - Hadith Riwayat Tirmizi.


Harus pula seseorang itu berdoa supaya orang bukan Islam itu beroleh hidayah dan petunjuk dari Allah S.W.T. Ini berdasarkan hadith:


"Thufail bin 'Amr datang kepada Rasulullah S.A.W lantas berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya kabilah Daus telah menderhaka dan enggan (menerima Islam), mohonlah (berdoalah) kepada Allah agar ditimpakan keburukan ke atas mereka." Orang-orang menyangka bahawa Baginda S.A.W akan berdoa memohon sesuatu keburukan ke atas mereka (kabilah Daus). Maka Baginda S.A.W bersabda: "Ya Allah! Berikanlah hidayat kepada kabilah Daus dan datangkanlah mereka sebagai orang-orang Islam." - Hadith Riwayat Bukhari.


Kesimpulan yang boleh saya buat di sini adalah, jika dipandukan daripada dalil atau nash yang ada di atas adalah tidak menjadi keharusan malah ianya menjadi haram ke atas seseorang muslim tersebut mendoakan supaya bebas dari azab dunia & akhirat, keampunan dari ALLAH S.W.T dan Rahmat (kesejahteraan) kepada ORANG KAFIR YANG TELAH MATI kerana ianya ditegah sama sekali oleh ALLAH S.W.T.


Tetapi lain pula halnya andai seorang muslim mendoakan ORANG KAFIR YANG MASIH HIDUP ke arah keampunan dan rahmat (selamat) serta diberikan hidayah atau petunjuk supaya dibukakan mata hati seseorang kafir untuk lebih mendekati dan mengamalkan nilai-nilai Islam tidak kira dia adalah pemimpin atau pun tidak maka hukumnya adalah dibolehkan (harus). Malah ianya adalah sunnah Rasulullah SAW.

Wallahu'alam..

-ibnumustafa-

Tips Nak Kejutkan Orang Bangun Bersahur..

Sedar tak sedar dah 11 hari kita berpuasa.. Tapi time untuk bangunkan orang bersahur nilah time paling kritikal sangat.. Di bawah ni ada macam-macam tips menarik untuk dicuba =)

Kalau nak kejutkan orang bangun tidur especially sahur.. cam ni antara caranya..

1. Pegang anak jari kiri / kanan sambil tu panggil nama dia perlahan lahan.. kalau x bangun jugak..

2. Sentuh bahu org tidur tu.. dan goyangkan perlahan lahan.. sambil panggil nama dia.. kalau x bangun jugak..

3. Renjis air kat muka dia.. sambil panggil nama dia.. kalau x bangun jugak..

4. Tampar-tampar manja pipi dia.. sambil panggil nama dia.. kalau x bangun jugak..

5. Tutup kipas / air cond..

Tapi kalau still tak ada effect..

1. Jerit nama dia kuat kuat.. kalau x bangun jugak..

2. Gigit ibu jari kaki dia.. cam antu toyol gigit tu.. kalau x bangun jugak..

3. Simbah air sebaldi kat muka dia.. pastikan air tu masuk lobang idung dia.. kalau boleh air rendam pakaian korang.. x bangun jugak..

4. Tarik rambut dia sampai jatuh dari tilam.. x bangun jugak..

5. Goyang badan dia kuat-kuat then jerit Gempa Bumi! Gempa Bumi! Tsunami! Tsunami! Banjir! Kilat!.. x bangun jugak..

6. Jerit api! api! api!.. Rumah terbakar!.. x bangun jugak..

7. Letak KFC ke McD ke.. xpun ikan patin masak tempoyak yang baru dibeli sebelah lobang hidung dia.. bagi ambik bau sikit..

Tapi kalau still tak ada effect gak kannnn...

1. Pergi kat telinga dia.. then sebut maa rabbuka! sambil seru nama dia banyak kali.. kalau masih x bangunnnn..

2. Pergi kat dia, baca je surah Yaa Sin!..

Tapi kalau still tak dak effect gak.. ni je la cara terakhir..

1. Panggil je la orang masjid @ surau untuk uruskan apa2 yg patut.. kerana Tuhan lebih menyayangi dirinya.. Al-Fatihah..

~ SELAMAT BERPUASA ~ 0-0 ~ MAAF ZAHIR & BATIN ~

-ibnumustafa-

Friday, August 20, 2010

Roh di bulan Ramadhan

"Walau setinggi mana kasih sayangku, sesungguhnya Allah lebih berhak menyayangimu, Damai lah engkau disana di bawah limpahan rahmat dan kasih sayang-Nya, Sesungguhnya kami semua akan menyusulmu di kemudian hari... Al-Fatihah buat semua muslimin dan muslimat yang telah pergi mendahului kita"

Pagi tadi sempena hari Jumaat bulan Ramadhan yang mulia ini, aku menghadiri majlis ilmu yang membincangkan tentang amalan di bulan Ramadhan. Satu perkara yang menarik perhatian aku tadi, ustaz penceramah bercerita tentang keadaan roh di bulan Ramadhan. Menurut satu hadith Rasulullah S.A.W.. (maaf aku tak sempat catat perawi hadith ini).. menceritakan apabila tiba bulan Ramadhan, semua roh berkumpul di Luh Mahfuz memohon kepada Allah S.W.T untuk kembali ke bumi. Ada roh yang dibenarkan pulang ke bumi dan ada yang tidak dibenarkan. Roh yang dibenarkan pulang adalah kerana amalan baik mereka semasa hayat mereka ataupun ada penjamin-penjamin yang mendoakan mereka. Manakala roh-roh yang tidak dibenarkan pulang disebabkan kesalahan mereka semasa hayat mereka akan terus di penjara di Luh Mahfuz.

Apabila roh dibenarkan pulang, perkara pertama yang mereka lakukan adalah pergi ke tanah perkuburan untuk melihat jasad mereka. Kemudian mereka akan pergi ke rumah anak-anak mereka, orang yang mendapat harta pusaka mereka dan ke rumah orang yang mendoakan mereka dengan harapan orang yang mereka lawati itu memberi hadiah untuk bekalan mereka. Perkara ini akan berlarutan sehinggala tibanya Hari Raya Aidilfitri. Pada saat ini mereka akan mengucapkan selamat tinggal kepada jasad dan pulang semula ke Luh Mahfuz dengan bekalan yang diberikan oleh mereka-mereka yang masih hidup.

Di sini ustaz memberitahu hikmah adanya alam kubur. Alam kubur membuktikan bahawa Allah itu Maha Penyayang. Orang yang melakukan kesalahan semasa hayatnya boleh dibantu dengan doa orang-orang yang masih hidup. Alangkah bahagianya jika seseorang yang telah meninggal dunia masih mendapat bekalan dari orang-orang yang masih hidup.

Oleh itu wahai sahabatku, jangan biarkan orang-orang yang kita sayang, yang mengadap Allah S.W.T terlebih dahulu daripada kita sepi tanpa doa dan sedekah daripada kita. Sesungguhnya apabila mati seseorang anak adam itu, terputus
ia semua hal kecuali 3 perkara iaitu doa anak-anak yang soleh, ilmu yang bermanfaat dan sedekah amal jariah.

-ibnumustafa-

Tuesday, August 17, 2010

Sesetengah Melayu mudah lupa, bulan puasa bulan tak puasa sama saja bagi mereka..

RAMADHAN adalah syiar keagungan Islam. Bulan puasa menjadi pemangkin umat Muhammad S.A.W, meneruskan langkah untuk meningkatkan ibadah kepada yang Maha Esa setelah bulan-bulan sebelumnya leka dan sibuk kerana kesibukan mengejar 'kekayaan' dunia.

Baru-baru ini sebelum menjelangnya bulan Ramadhan sekali lagi umat Islam digemparkan dengan keganasan Yahudi Israel laknatullah yang memuncak-muncak terhadap penduduk Palestine dan juga pada para sukarelawan seluruh dunia yang berniat baik datang membantu penduduk Palestine.

Sekali lagi emosi setiap entiti masyarakat Islam terganggu dengan kebiadapan dan kekejaman Yahudi Israel itu.

Tindakan zalim dan kejam itu turut menerima kecaman pelbagai lapisan masyarakat dilihat sebagai satu 'time bomb' yang sedikit sebanyak menyatukan umat Islam di seluruh dunia.

Tidak kurangnya di negara ini, umat Melayu Islam bangkit menghentam kekejaman Yahudi Israel ini, malah ada pihak yang menganjurkan demonstrasi membantah kekejaman Yahudi Israel baik di Kedutaan Amerika mahupun dijalanan.

Keberanian orang Melayu ketika berhadapan dengan isu tersebut agak membanggakan meskipun Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak ketika berhadapan dengan Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dalam pertemuannya di New York yang lalu akur dengan pandangan Mr.Right tersebut.

Di tanah air orang Melayu tak kira ahli UMNO, PAS, PKR atau berkecuali tidak henti-henti menghentam kekejaman dan kebiadapan yahudi Israel dan ada yang berani menyelar mereka secara terbuka dan keras. Inilah keberanian umat Melayu Islam di negara ini.

Namun kenyataan itu bagaimanapun tidak mampu menyedarkan sebilangan kecil masyarakat Islam yang kononnya 'sensitif' dalam soal 'agama' mereka. Bulan puasa langsung tidak menjadi nadi perubahan kepada golongan ini, malah isu penzaliman Israel ke atas umat Islam Palestine tidak memutuskan golongan ini memerdekakan hati dan jiwa daripada jajahan nafsu mereka.

Semasa pulang bercuti baru-baru ini, saya terlihat beberapa orang Melayu yang dengan selambanya makan dan minum di beberapa buah Cyber Cafe Internet malah ada juga tanpa segan silu makan di kedai makan milik peniaga Cina. Hal ini berlaku pada siang hari bulan puasa. Berani sungguh golongan ini, kata hati kecil saya.

Paling menyedihkan mereka ini tidak pun berasa malu dengan golongan bukan Muslim. Mereka makan secara terang-terangan sedangkan orang uzur termasuk perempuan yang 'off day' disuruh makan secara sembunyi-sembunyi.

Lebih malang, mereka ini makan dan minum di kedai pemiliknya bukan Islam dan hidangan mereka entahkan halal, entahkan haram.

Terlihat saya di satu sudut kedai makan, beberapa orang Melayu yang tidak berpuasa makan dan minum, menu 'kerbau pendek panggang', 'mi kerbau pendek' dan segala hidangan haiwan larangan.

Sedar atau tidak kumpulan manusia daripada golongan yang tidak malu ini telah memberi imej yang buruk kepada bukan Islam dengan kelakuan mereka yang langsung tidak menghormati Ramadhan yang mulia.

Seorang kenalan yang turut menyaksikan 'adegan makan-makan pada bulan puasa' menyapa sambil melahirkan rasa malunya terhadap sikap beberapa orang Melayu tersebut yang baginya hanya mengundang satu senario bahawa umat Islam kini tidak lagi menghormati ajaran agama mereka.

Tak perlu tunggu bangsa lain terutamanya Yahudi Israel menghina Islam, umat Islam berbangsa Melayu sendiri menghina keberkatan dan kemuliaan Ramadhan.

Kewajiban puasa kini tidak dilihat sebagai satu perintah Allah S.W.T lagi, malah ia dilanggar dengan tidak ada rasa malu sepertimana mereka melanggar undang-undang jalan raya.

Kekuatan Ramadhan bukan lagi satu 'medan' kepada umat Islam di bumi Malaysia ini untuk membina satu benteng kekuatan dan kegemilangan Islam sebaliknya ia hanya menjadi satu medan untuk hanya merayakan pesta 'makan-makan' di mana-mana bazar Ramadhan yg bersepah.

Sebelum ini Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata Melayu mudah lupa, tetapi kini orang bukan Islam boleh melihat... mudahnya Melayu lupa agama, mana tidaknya Melayu tak malu makan di kedai orang bukan Islam ketika bulan puasa... Astaqfirullah al azieemm..

-ibnumustafa-

Monday, August 16, 2010

Kasih Sayang


-Beutiful Life-
Pada suatu hari di sekolah..
Seorang murid bertanya kepada gurunya..
Ketika itu guru tersebut sedang mengajar tentang kasih sayang.

Pelajar :
Cikgu, macam mana kita nak pilih seseorang yang terbaik sebagai orang yang paling kita sayang? Macam mana juga kasih sayang itu nak berkekalan?

Cikgu :
Ok, ikut apa yang saya suruh. Kamu pergi ke padang. Kamu berjalan di atas rumput sambil memandang rumput di depan kamu. Pilih yang PALING cantik tanpa menoleh ke belakang lagi walau sekali. Dan petik rumput yang PALING cantik, bawa ke kelas.

Apabila pelajar tersebut pulang ke kelas, tiada sehelai rumput pun di tangannya.

Cikgu :
Kenapa tiada rumput yang dipilih?

Pelajar :
Tadi masa saya berjalan, saya carilah rumput yang paling cantik. Memang ada banyak yang cantik tapi cikgu kata petik yang paling cantik, maka saya terus berjalan ke depan sambil mencari yang paling cantik tanpa menoleh ke belakang lagi. Tapi sampai di penghujung padang, saya tak jumpa pun yang paling cantik. Mungkin ada di antara yang di belakang saya tadi rumput yang paling cantik tapi dah cikgu cakap tak boleh menoleh ke belakang semula, jadi tiadalah rumput yang saya boleh petik.

Cikgu :
Itulah jawapannya. Maknanya apabila kita telah berjumpa dengan seseorang yang kita sayang, janganlah kita mencari lagi yang lebih baik dari itu. Kita patut hargai orang yang berada di depan kita sebaik-baiknya. Jangan kita menoleh ke belakang lagi kerana yang berlaku tetap dah berlaku. Semoga yang berlalu tidak berulang lagi. Dan ingatlah orang yang paling kita sayang itulah yang paling cantik dan yang paling baik walaupun nak ikutkan banyak lagi yang cantik dan baik seperti rumput tadi..

*Special dedicate for her..*

-ibnumustafa-

Wednesday, July 7, 2010

Betapa cuaknya Orang Melayu apabila ada lambang zionis dalam PC mereka..

Betapa cuaknya orang melayu apabila mereka dapat tahu ada lambang zionis dalam komputer masing-masing. Kemudian, mereka akan hantar mesej beramaran kepada rakan-rakan melalui facebook, yahoo messenger dan email berantai..

Pergh! memang gempaklah dapat mesej ni..

Salam nak tahu tak sebenarnya dalam MO (Microsoft Office) ada lambang zionis yahudi yang kita xsedar… cuba check C:\ProgramFiles\MicrosoftOffice\MEDIA\CAGCAT10\J0285926.WMF tolong delete file ni.. foto kemenangan lambang zionis yg kita x sedar.. harap hebahkan… tq

Tengok punya tengok.. memang ada, Ia tersorok dalam file Microsoft Office. Gambar sepertimana tertera di atas. Siap ada lambang Yahudi lagi. Rupa-rupanya Zionis selama ini dok menyorok dalam komputer kita. ngeh3..

Untuk pengetahuan semua, bukan setakat gambar zionis sahaja yang ada dalam komputer kita malah gambar Ka'abah pun ada juga. Sila check di komputer masing-masing:-

C:\ProgramFiles\MicrosoftOffice\MEDIA\CAGCAT10\J0301050.WMF

Sebagaimana lambang zionis ada dlm PC kita selama ni, selama itu jugalah Baitullah al-Haram juga berada di dalam komputer kita. Pelik?

Janganlah cuak sangat bila dengar zionis ni, kita umat islam bukan lemah, jangan tunjukkan yang kita ini lemah dan bodoh, umat Islam bukan bodoh! maka tolonglah jangan nampakkan sangat yang umat Islam ini bodoh. Tak ada maknanya zionis nak menyorok dalam komputer kita selama ini..

Untuk pengetahuan semua WMF itu biasalah untuk perisian pictures dalam Windows, semua agama dan fahaman ada dalam tu sebab untuk memudahkan pengguna komputer, bukan setakat lambang zionis je ada, Ka'abah umat Islam pun ada! bahkan patung buddha pun ada, nak tengok patung buddha dalam PC sila check:-

C:\ProgramFiles\MicrosoftOffice\MEDIA\CAGCAT10\J0300912.WMF

Bayangkan umat Islam duduk berkempen delete lambang zionis dlm PC, Adakah pihak zionis akan lakukan kempen yang sama supaya delete gambar Ka'abah al-Haram dalam komputer mereka juga? xde maknanya..

Malah kalau zionis tahu sekalipun kempen umat Islam mendelete lambang zionis dlm PC ni, sudah pasti mereka akan tergelak terbahak-bahak pada umat Islam, betapa nampak bodohnya umat Islam di mata mereka! Mereka ada agenda besar lain lagi yang lebih bagus daripada isu ini untuk melemahkan umat islam.. sedangkan umat Islam khususnya orang melayu cepat melatah dengan isu2 yang remeh ini, dalam waktu yang sama masih menyondol dan menjilat.. fikir-fikirkanlah..

-ibnumustafa-

Friday, June 11, 2010

Selamatkan Masjid Al-Aqsa

Assalamu'alaikum wrt wbt..

Saya menyeru agar kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan sebenar-benar taqwa sama ada dalam keadaan terang atau tersembunyi. Marilah kita bersama-sama berusaha memelihara dan mengelakkan diri kita daripada azab Allah Subhanahu Wata’ala dengan melaksanakan amal-amal soleh dan menjauhi setiap larangan-Nya.

Palestin telah melalui sejarah yang panjang dalam tamadun manusia dan menjadi rebutan kepada tiga agama. Namun demikian, Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa di dalam hati setiap muslim sejak zaman-berzaman. Keistimewaan Palestin seperti yang terdapat di dalam Al-Quran, Al-Hadith dan Kitab-kitab Sejarah ialah:

1. Sebagai Qiblat pertama umat Islam.
2. Terdapat Masjidil-Aqsa iaitu masjid kedua yang dibina di atas muka bumi. Dan masjid ketiga paling suci selepas Masjidil-Haram dan Masjidin-Nabawi.
3. Tempat berlakunya Israk dan Mikraj.
4. Harta wakaf umat Islam sehingga ke Hari Qiamat.
5. Tempat kelahiran Para Anbia’

Kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis yang bermula pada tahun 1948 setelah terbinanya negara haram Israel telah menyaksikan bukan sahaja isu-isu kemanusiaan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia melibatkan isu akidah umat Islam, tanahair, maruah dan peradaban. Sesungguhnya bumi Palestin yang terdapat di dalamnya qiblat pertama umat Islam adalah watan yang perlu dipertahankan oleh umat Islam seluruh dunia. Apatah lagi Masjidil-Aqsa yang merupakan persinggahan Rasululah s.a.w. sebelum dimikrajkan ke langit, sekarang ini terancam dengan apa yang dilakukan oIeh Yahudi laknatullah terhadap masjid yang mulia ini.

Firman Allah dalam Surah Al-Isra’ ayat 1: Bermaksud: "Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil-Haram (di Mekah) ke Masjidil-Aqsa (di Palestin) yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepada-Nya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Sejak berzaman lagi Yahudi berusaha untuk meruntuhkan Masjidil-Aqsa bermula dengan siri pengeboman terhadap masjid suci yang ketiga umat Islam pada 01 Mei 1980 setelah mereka berusaha untuk memusnahkannya dengan membakarnya pada tahun 1969. Hari ini usaha meruntuhkan Masjidil-Aqsa giat dijalankan dengan menggali terowong di bawah Masjidil-Aqsa supaya masjid ini runtuh dengan sendirinya dan didirikan di atasnya Haikal Sulaiman (Kuil Yahudi) yang merupakan di antara matlamat mereka untuk menguasai Masjidil-Aqsa.

Kini Masjidil-Aqsa dalam keadaan merbahaya. Zionis Yahudi berusaha memastikan doktrin-doktrin Thalmud, kitab yang menyeleweng yang mereka yakini dapat direalisasikan dengan proses pengyahudian dan projek-projek penempatan rumah-rumah haram.

Islam amat menghendaki umatnya bersatu menentang musuh tanpa mengenal sempadan dan warna kulit.

Firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 15: Bermaksud: "Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang yang percaya kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah. Mereka itulah orang yang benar (pengakuan imannya)".

Apa yang memeritkan, tatkala masyarakat Islam seluruh dunia bangun memprotes apa yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap rakyat Palestin, pemimpin negara-negara Arab dan Islam seolah-olah merestui apa yang dilakukan oleh rejim Zionis yang disokong oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Britain untuk melakukan apa sahaja kepada saudara mereka.

Di manakah maruah umat Islam?. Inilah di antara bahana yang berlaku apabila umat Islam terlalu bergantung dengan kuasa-kuasa besar dan bukannya kepada Allah Subhanahu Wata’ala. Sikap ini perlu dibebaskan daripada jiwa kita dan kita wajib membantu rakyat Palestin dengan apa jua cara dan tindakan, yang bermula dengan doa kita kepada Allah Subhanahu Wata’ala sehinggalah kepada tekanan-tekanan yang boleh menyebabkan Yahudi dihalau keluar daripada negara yang mereka jajahi.

Masjidil-Aqsa dikepong dan umat Islam yang berumur di bawah 45 tahun tidak dibenarkan bersolat di dalamnya. Selain daripada itu kezaliman dan penindasan rakus terus-menerus berlaku. Pembunuhan kejam menggunakan senjata-senjata moden yang dimiliki mereka dibenarkan oIeh undang-undang. Mahkamah Tinggi Israel mengisytiharkan keizinan untuk orang Yahudi bersembahyang di Masjidil-Aqsa. Ajaran yang dikeluarkan oIeh paderi mereka ialah menyarankan agar warga lsrael membawa kitab Thalmud tiga kali seminggu di dalam Masjidil-Aqsa. Pencerobohan ke atas Masjidil-Aqsa Al-Mubarak oleh puak Ekstremis Yahudi di bawah pengawasan tentera Israel berlaku pada hari Ahad 04 Oktober 2009 yang lalu. Pencerobohan yang dilakukan itu dicetuskan selepas 9 tahun Ariel Sharon melaksanakan tindakan memalukan, berlaku pada Perayaan Yahudi 'Yom Kippur'. Tindakan mereka ini telah menyebabkan 16 orang rakyat Palestin dimasukkan ke hospital dan 9 lagi dipenjarakan. Masjidil-Aqsa Al-Mubarak adalah tempat suci bagi umat Islam tidak boleh menerima sama sekali tentera Israel bersama penduduknya melakukan jenayah yang kejam terhadap rakyat Palestin, Komuniti Muslim dan masjid sucinya. Malangnya umat Islam masih leka dan terus menyokong bantuan-bantuan yang telah diberikan kepada Israel melalui pembelian barangan makanan, rokok, mahu pun Perkhidmatan Profesional yang secara jelas keuntungannya diberikan untuk membiayai negara Israel. Di manakah maruah umat Islam?.

Sesungguhnya kekejaman Zionis pasti akan berulang dan terus berulang tanpa mengenal siapa yang menjadi sasaran. Utusan Malaysia bertarikh 24.03.2010 melaporkan Perdana Menteri Israel “Benjamin Netanyahu” dengan bangga menyatakan Baitul-Muqaddis adalah ibu negara Israel yang sah, dengan itu tiada halangan bagi Israel untuk membina penempatan baru untuk penduduk Yahudi berhampiran Masjidil-Aqsa. Di manakah kita sekarang?. Adakah kita masih lalai dan leka?. Adakah kita masih nyenyak tidur dengan mimpi-mimpi yang indah?. Umat Islam pada hakikatnya sekarang ini sedang disibukkan dengan isu-isu remeh-temeh, dipesongkan fikiran mereka dengan sukan dan hiburan yang menghancurkan, kadangkala artis lebih dikenali daripada masjidil-Aqsa.

Majalah Haretz Israel baru-baru ini telah mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan umat Islam, iaitu pada tarikh 16 Mei 2010 Masjidil-Aqsa akan siap dirobohkan dan terbinalah Kuil Yahudi di atas tapak yang sama. Adakah ini sesuatu yang mustahil?. Untuk mencapai tujuan yang besar ini, Israel tidak melakukannya dengan serta-merta, akan tetapi mereka melaksanakannya dengan perlahan-lahan. Berita yang dilaporkan oleh radio Israel pada 24.03.2010, pihak berkuasa Israel meluluskan pembinaan penempatan haram Yahudi sebanyak 1,000 unit rumah di dalam Kota Baitul-Muqaddis berhampiran Masjidil-Aqsa. Namun umat Islam seolah-olah hanyut dengan kemewahan dan budaya hiburan Hidonisme khayal yang akhirnya mereka lupa dengan apa yang berlaku terhadap saudara-mara seaqidah mereka. Tusukan tajam jarum-jarum Zionis melalui hiburan, telah menyebabkan pegangan akidah umat Islam semakin longgar. Justeru, perasaan ukhuwwah perlu disemai dan dibaja semula dengan iman dan Islam, agar apa yang berlaku di Palestin dirasai bersama sehingga menghasilkan tindakan-tindakan yang sesuai sebagai seorang muslim.

Di saat ini masjid-masjid lain di Palestin telah ditukarkan menjadi Kuil-kuil Yahudi, kelab-kelab malam, panggung wayang dan kandang-kandang lembu. Di saat ini umat Islam Palestin menanggung sengsara yang tidak terhingga dan tidak terkata, malah menjadi buntu kepada siapakah pertolongan mahu dipinta?. Di manakah umat Islam?. Adakah kita lupa pada kalimah syahadah yang sama-sama kita ucapkan?. Adakah terdapat perbezaan antara dua kalimah syahadah umat Islam Palestin dengan umat Islam di Malaysia?. Jawapannya sudah tentu tiada bezanya. Bahkah solat kita sama, puasa kita sama, qiblat kita sama. Tuhan yang kita sembah juga sudah pasti sama, iaitu Allah yang Maha Esa. Akan tetapi persoalannya kenapa kita masih membiarkan mereka bersendirian mempertahankan Masjidil-Aqsa?.

Bumi Palestin dinodai. Umat Islam Palestin dinafikan hak mereka. Rakyat Palestin menangis kesedihan kerana mereka yang serba kekurangan dari semua sudut, berlawan bersendirian dengan rejim Zionis untuk mempertahankan Masjidil-Aqsa yang mendapat sokongan dan dokongan dari Dunia Barat yang diketuai Amerika Syarikat. Umat Islam perlu sedar, apakah yang hendak diharapkan daripada musuh-musuh Islam bagi mempertahankan dunia Islam?. Umat Islam wajib bersatu berganding bahu tanpa membuang masa dan waktu, bangun mempertahankan Baitul-Muqaddis yang satu. Islam adalah teras kepada kesedaran ini dan bukannya hanya semangat yang ditiup oIeh kepentingan individu. Umat Islam mesti dimotivasikan dan dibangunkan jiwa mereka dengan kitab suci Al-Quran. Itulah cara dan jalan terbaik bagi memastikan umat Islam terbela dan mendapat haknya dan tidak lagi diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh Islam. Sesungguhnya kemenangan Islam itu memang pasti akan berlaku. Maka beruntunglah bagi mereka yang berusaha untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dikecapi sebelum ini. Hati kita dengan umat Islam di Palestin adalah terikat dengan ikatan akidah yang satu. Perjuangan rakyat Palestin dengan nyawa dan darah mereka adalah fardhu 'ain dan kefardhuan jihad telah dilaksanakan oleh mereka. Sekiranya umat Islam Palestin berjihad menggunakan senjata dan ia merupakan fardhu 'ain ke atas mereka, maka kefardhuan tersebut diganti dengan jihad harta dan sokongan moral kepada kita bagi membantu rakyat Palestin. Tidakkah ini satu perjanjian dan satu pertukaran yang menguntungkan kepada umat Islam di negara kita?. Sesungguhnya bantuan kewangan bagi memenuhi keperluan umat Islam Palestin wajib ke atas kita semua.


Firman Allah dalam Surah As-Soff ayat 10-12: Bermaksud: “Wahai orang yang beriman!, mahukah aku tunjukkan satu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjihad di jalan Allah (membela dan menegakkan agama Allah) dengan harta dan diri kamu. Yang demikian itulah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya). Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai serta di tempatkan kamu di tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar”.

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam. Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, kehidupan kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

-ibnumustafa-