PERKARA 19: Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan pendapat dan mengeluarkan fikiran; hak ini termasuklah kebebasan memegang pendapat tanpa gangguan dan menuntut, menerima dan menyebarkan maklumat dan buah fikiran melalui sebarang media dan tanpa mengira sempadan. - Universal Declaration of Human Rights (OHCHR)

Monday, February 6, 2012

Kelahiran Rasulullah S.A.W Mengangkat Martabat Para Ulama'

Tidak ada manusia di dunia ini yang mampu untuk mencari jalan bagi mengangkat kedudukan Para Ulama' melainkan Baginda Rasulullah S.A.W, justeru kelahiran Baginda benar-benar memberi ruang dan peluang kepada golongan Ulama' untuk melangsungkan tugas, peranan dan tanggungjawab yang pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Ini kerana dalam sebuah hadith Baginda S.A.W ada menegaskan bahawa: "Akan datang satu masa kepada orang ramai, di mana mereka menjauhkan diri daripada Para Ulama' dan golongan Fuqaha' (ilmuan dalam ilmu fiqh), maka Allah S.W.T akan menimpakan ke atas mereka dengan tiga bala:

1- Allah S.W.T akan mengangkat dari diri mereka keberkatan dalam segenap usaha yang dilakukan.
2- Allah S.W.T akan menghukum mereka dengan wujudnya pemerintah yang zalim.
3- Mereka akan meninggalkan dunia ini tanpa membawa walau secebis iman dalam diri mereka."

Hadith di atas dengan jelas menunjukkan bahawa Para Ulama' mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah S.W.T, malah dalam satu hadith yang lain, Baginda S.A.W menegaskan: "Para Ulama' itu adalah pewaris Nabi-Nabi."

Al-Quran juga ada menegaskan, bahawa Ulama' adalah golongan yang paling takut di sisi Allah S.W.T, mereka takut kerana bersebab:

1- Takut jika tidak menjalankan tanggungjawab menyedarkan masyarakat ke jalan kebenaran.
2- Takut jika Islam tidak tersebar secara meluas di kalangan umat manusia sejagat.
3- Takut jika masyarakat mencari selain Islam sebagai pegangan dan kepercayaan mereka.
4- Takut untuk dihumban ke dalam api neraka, justeru mereka sentiasa berwaspada.
5- Takut apabila tidak menyampaikan yang hak dan menyokong yang bathil.
6- Takut apabila tidak menyuruh yang baik (ma'ruf) dan tidak mencegah yang mungkar.
7- Takut apabila ada di kalangan orang Islam yang mati dalam agama selain Islam.

Justeru, Ulama' diseru agar sentiasa peka dalam mengemas-kinikan pengisian agar mudah diterima ole semua golongan manusia, yang muda, tua, bukan Islam dan sebagainya, kerana Islam adalah hak milik bersama dan bukan khusus buat golongan tertentu sahaja.

-ibnumustafa-

No comments: