Ia berlaku kerana manusia pada ketika itu, telah hilang punca sebenar kebenaran, golongan wanita dianggap alat tunggangan lelaki bila perlu untuk ditunggangi, para wanita serta anak-anak gadis tidak ada tempat dalam masyarakat, malah tiada nilai sedikit pun pada sisi orang lelaki, anak-anak perempuan ditanam hidup-hidup kerana mereka dianggap pembawa sial kepada kedua ibu dan bapa.
Penyembahan berhala serta patung-patung hasil ciptaan tangan manusia mendapat tempat di hati masyarakat pada masa itu, pokoknya kehidupan mereka jauh dari suasana damai, aman, tenang dan meyakinkan.
Justeru, bagi menyelamatkan mereka dari terus bergeluman dan tenggalam dengan amalan-amalan yang songsang lagi syirik sisi Allah S.W.T, maka Allah S.W.T tidak terus membiarkan hamba-hamba-Nya sedemikian rupa, maka diutusnya seorang Rasul terakhir bagi menyelamatkan pegangan dan aqidah mereka supaya hati mereka lurus hanya untuk Allah S.W.T.
Sehubungan itu, Allah S.W.T menjelaskan menerusi ayat 9; Surah As-Sof maksudnya :
"Dia (Allah) telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa hidayah dan agama yang benar (Islam), agar ia dapat mengalahkan agama-agama yang ada seluruhnya, walaupun tindakan itu dibenci oleh orang-orang Kafir."
Jelas ayat di atas menunjukkan, bahawa Allah S.W.T mengutus Nabi Muhammad S.A.W adalah untuk membawa agama Islam ke bumi bagi menyelamatkan manusia seluruhnya dari terus berada dalam kesyirikan kepada Allah S.W.T.
Tetapi kenapa mesti di Makkah?
Menurut ulama Sirah, Allah S.W.T memilih Makkah kerana ia betul-betul berada di tengah bola dunia (globe), ia memudahkan proses penyampaian agama Islam ke seluruh dunia, kerana dari Makkah mempunyai jalan mudah untuk sampai ke Eropah timur melalui Syria, Turki dan seterusnya Bulgaria, di sebelah Barat pula melalui Mesir, Libya, Tunisia, Algeria dan Maghribi untuk ke Sepanyol dan negara-negara Afrika, sementara melalui Yemen pula adalah jalan untuk menuju ke negara-negara Asia.
Demikianlah hikmah Allah S.W.T memilih Makkah di kalangan bangsa Arab untuk tujuan penyebaran Islam, selain penentangan Bani Israel terhadap Nabi-Nabi mereka.
Islam yang dibawa oleh baginda Rasulullah S.A.W adalah untuk menyelamatkan manusia sesuai dengan sifat namanya Islam iaitu penyelamat, ia adalah untuk menyelamatkan manusia sejagat dari melakukan kezaliman, penindasan dan pelbagai tindakan kedurjanaan, agar mereka berlaku adil, sopan, bermaruah walaupun ia tidak disukai oleh golongan yang menentang Allah S.W.T, suasana seumpama ini akan terus berlangsung sampai ke hari kiamat selagi mana manusia masih tidak tunduk kepada Tuhan mereka yang benar iaitu Allah S.W.T.
No comments:
Post a Comment